Selain Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad Juga Terlibat Meminjamkan Wang Kepada 1MDB

12 MEI 2015

Ekoran dari maklumat yang kini tersebar luas mengenai hubung kait di antara 1MDB dan agensi pelaburan negara, saya telah membuat beberapa semakan baru untuk menentukan agensi-agensi pelaburan negara yang terdedah kepada risiko kewangan 1MDB.

Minggu ini, umum telah mengetahui bahawa Lembaga Urusan Tabung Haji (TH) telah meminjamkan sebanyak RM920.8 juta kepada 1MDB melalui pembelian bon sukuk yang diterbitkan dalam Februari 2014. Kenyataan Tabung Haji semalam mengesahkan bahawa pembelian sukuk ini adalah berhubung pembangunan Bandar Malaysia oleh 1MDB dan hasil dari pinjaman sukuk ini akan digunakan untuk membiayai pembinaan kem-kem tentera dan infrastruktur berkaitan bagi memindahkan operasi sedia ada di Kem Sungai Besi sebelum ini.

Semakan saya menunjukkan penerbitan sukuk Bandar Malaysia oleh 1MDB ini sebenarnya telah dilaporkan secara meluas sekitar Februari hingga Mac 2014 tetapi tidak mendapat perhatian umum.

Laporan The Star bertarikh 1 Mac 2014 memperincikan butiran lanjut mengenai penerbitan sukuk Bandar Malaysia oleh 1MDB ini; seperti berikut:

1. Jumlah pinjaman yang diambil oleh 1MDB melalui terbitan ini adalah sebanyak RM1.5 bilion dengan kadar faedah 6%

2. Terbitan hutang melalui bon sukuk oleh 1MDB ini melibatkan pembelian sukuk oleh dua agensi pelaburan kerajaan iaitu Tabung Haji (TH) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB)

3. Ini bermakna, sejumlah RM920.8 juta telah dipinjamkan oleh TH kepada 1MDB. Baki RM579.2 juta pula telah dipinjamkan oleh PNB kepada 1MBD

4. Sukuk ini tidak disenaraikan dan tidak didagangkan secara aktif di pasaran bon. Ia adalah kertas hutang yang dirundingkan secara terus di antara 1MDB dengan TH dan PNB

5. Oleh kerana ia tidak disenaraikan, sukuk ini tidak ditarafkan (not rated) seperti mana kertas-kertas lain. Hutang RM1.5 bilion ini dijamin dengan cagaran tanah di Bandar Malaysia (yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB) dan janji bahawa kutipan sewa di Bandar Malaysia (apabila siap nanti) akan digunakan untuk membayar hutang RM1.5 bilion ini

Semakan saya menunjukkan bahawa 1MDB merancang untuk menerbitkan sehingga RM2.5 bilion sukuk bagi membiayai pembangunan Bandar Malaysia, di samping hutang sebanyak RM2 bilion yang diperolehi dari Ambank juga bagi tujuan pembangunan Bandar Malaysia.

Malangnya, sehingga sekarang kita masih belum melihat kemajuan yang meyakinkan bahawa Bandar Malaysia ini akan mendatangkan keuntungan yang membolehkan 1MDB membayar kembali hutangnya kepada TH dan PNB. Di mana lapangan terbang di Ipoh dan kem tentera baru di Negeri Sembilan (sebahagian dari program pemindahan infrastruktur tentera Malaysia apabila Kem Sungai Besi diserahkan kepada 1MDB)?

Soalan paling besar: apa yang telah terjadi kepada RM3.5 bilion (RM1.5 bilion dari sukuk yang dipinjam dari TH/PNB dan RM2 bilion pinjaman dari Ambank) yang telah dipinjam setakat ini kononnya untuk membangunkan Bandar Malaysia? Keterlibatan PNB dalam memberi hutang kepada 1MDB kini mengesahkan kebimbangan saya bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan menggunakan dana-dana awam untuk menyelamatkan 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Bayaran Pinjaman IMDB RM3.6 Bilion Pada September 2015: Jangan Sentuh Dana Rakyat

12 MEI 2015

Beberapa bulan yang lepas, saya telah mendedahkan bahawa selain dari pinjaman daripada bank-bank tempatan, 1MDB juga telah mengambil pinjaman sebanyak USD975 juta (bersamaan RM3.6 bilion) dalam Oktober 2014 dari satu konsortium 6 bank antarabangsa yang diketuai oleh Deutsche Bank.

Pinjaman ini telah dilaporkan di dalam majalah-majalah kewangan antarabangsa. Pinjaman bagi jangka masa satu tahun ini perlu dibayar dalam September 2015 dan telah menarik perhatian pasaran kewangan antarabangsa di saat-saat 1MDB berhadapan dengan masalah membayar hutangnya kepada bank-bank tempatan.

Saya telah cuba mengumpul maklumat tidak rasmi dari pemberi-pemberi maklumat yang bekerja di bank-bank terbabit dan dari pasaran kewangan untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai pinjaman ini. Maklumat tidak rasmi yang saya dapati adalah amat membimbangkan kerana terma-terma pinjaman itu amat membebankan rakyat.

Oleh yang demikian, saya ingin menimbulkan soalan-soalan ini agar Dato’ Seri Najib Tun Razak menjelaskan sendiri mengenai terma-terma pinjaman yang saya perolehi secara tidak rasmi dari pemberi-pemberi maklumat:

1. Apa cagaran yang telah dibuat oleh 1MDB untuk mendapatkan pinjaman ini kerana ia dibuat pada ketika masalah kewangannya telah diketahui umum? Pinjaman sebesar ini sudah tentu melibatkan cagaran (“collateral”). Maklumat yang saya perolehi menyebut cagaran kepada pinjaman ini adalah simpanan wang di BSI Singapura yang sebelum ini telah dilaporkan tidak wujud. Jika cagaran ini tidak wujud, ada kemungkinan besar 1MDB perlu mendapatkan dana lain untuk menggantikan cagaran tersebut.

2. Adakah benar Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan telah mengeluarkan satu surat sokongan atau surat makluman mengenai pinjaman ini? Saya dimaklumkan satu surat sokongan telah dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia yang membolehkan pinjaman ini diluluskan kepada 1MDB. Apakah terma-terma surat sokongan itu?

3. Adakah benar kadar faedah bagi tempoh setahun itu ialah 11% seperti yang dimaklumkan kepada saya? Jika benar, kadar ini sudah mencecah kadar “overdraft” dan menunjukkan terdesaknya 1MDB.

Mengambil kira bahawa hutang ini perlu dibayar dalam tempoh terdekat iaitu September 2015 dan jumlahnya besar, pinjaman ini adalah satu lagi “bail out” yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Sebelum ini, setiap kali 1MDB perlu membayar hutangnya, kerajaan terpaksa menyuntik wang atau satu urusniaga yang merugikan rakyat akan berlaku:

1. Mac 2015 – Kerajaan terpaksa menyuntik RM950 juta dalam bentuk “standby credit” yang kebetulan diluluskan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang

2. Mei 2015 – Tabung Haji membeli hartanah di Tun Razak Exchange dari 1MDB pada kadar untung berlipat kali ganda kepada 1MDB yang kebetulan dimuktamadkan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang

Saya yakin jika rakyat tidak mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak berlaku telus mengenai hutang RM3.6 bilion yang perlu dibayar 1MDB September ini, lebih banyak dana rakyat dan harta kerajaan yang akan disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Dato’ Seri Najib Ada Kuasa Hentikan Pembelian Tanah 1MDB Oleh Tabung Haji, Pulangkan Wang Tabung Haji

8 MEI 2015

Pembelian tanah 1.56 ekar oleh Lembaga Urusan Tabung Haji (atau “TH”) dari 1MDB yang melibatkan pembayaran RM188.5 juta wang pendeposit TH kepada 1MDB akan selama-lamanya dilihat sebagai usaha menyelamatkan (“bail-out”) 1MDB. Tanah itu pula dilaporkan dibeli pada harga yang cukup murah oleh 1MDB dari Kerajaan Persekutuan iaitu pada harga RM74.20 satu kaki persegi dan dijual pada harga berkali-kali ganda mahalnya (iaitu pada harga RM2,779 satu kaki persegi) kepada Tabung Haji.

Lebih mencurigakan, nilai jualan RM188.5 juta itu lebih kurang serupa dengan nilai pembayaran faedah pinjaman yang perlu dilunaskan oleh 1MDB bagi hutang-hutangnya. Mengikut laporan akhbar perniagaan The Edge, 1MDB perlu membayar faedah pinjaman sebanyak USD52.5 juta (bersamaan RM188.5 juta) minggu depan.

Apakah penggunaan duit pendeposit Tabung Haji ini adalah bertujuan untuk membantu 1MDB membayar faedah pinjamannya?

Keadaan ini hampir sama dengan tindakan Kerajaan Persekutuan menyuntik RM950 juta ke dalam 1MDB pada pertengahan Mac lalu iaitu pada tarikh yang hampir sama dengan tarikh bayar faedah hutang 1MDB.

Saya tidak menafikan bahawa tanah 1.56 ekar yang dibeli itu berpotensi untuk dimajukan. Namun, tanah itu pada asalnya adalah tanah milik Kerajaan Persekutuan dan tidak sewajarnya 1MDB membuat untung atas angin dengan mengambil wang pendeposit TH; lebih-lebih lagi jika dana itu kemudiannya digunakan untuk membayar faedah hutangnya.

Ada dua cara terbaik TH membeli tanah tersebut tanpa mengorbankan kebajikan pendeposit TH, iaitu:

1. Pertama – membeli terus tanah itu dari Kerajaan Persekutuan pada harga diskaun yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB. Keuntungan yang dibuat oleh TH di atas pembelian ini bolehlah dikira sebagai sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada pendeposit miskin untuk mereka mencukupkan tabungan untuk naik haji; atau

2. Kedua – membeli tanah tersebut dari 1MDB pada harga “forced sale value” atau harga lelongan kerana 1MDB telah benar-benar terdesak untuk mendapatkan wang tunai. Selalunya, syarikat yang bermasalah melelong harta mereka pada harga yang betul-betul murah dan dalam kesempatan beginilah TH boleh mendapat keuntungan yang baik dari pembelian itu

Saya yakin bahawa perjanjian jual beli tanah yang melibatkan dana sebanyak RM188.5 juta ini belum dimuktamadkan kerana hakmilik belum dipindakmilikkan kepada TH. Oleh yang demikian, kontrak ini belum dikira muktamad dan 1MDB belum memenuhi semua syarat-syarat jual beli.

Oleh yang demikian, ada peluang untuk menghentikan jual beli ini untuk membolehkan dana RM188.5 juta milik pendeposit TH (termasuk simpanan saya sendiri) tidak disentuh.

Kuasa untuk meluluskan pindahmilik tanah selepas sesuatu urusniaga jual beli adalah kuasa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab kepada Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor.

Oleh yang demikian, KEADILAN akan menggembleng tenaga untuk menekan supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor menggunakan kuasa mereka untuk menghentikan urusniaga jual beli ini secara berikut:

1. Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan memutuskan untuk meluluskan permohonan pindahmilik tanah dari 1MDB kepada TH;

2. Oleh kerana 1MDB gagal memastikan hakmilik tanah ditukar nama kepada TH, ia gagal memenuhi syarat-syarat jual beli. Kontrak itu secara automatik juga akan terbatal;

3. Oleh kerana kontrak terbatal, maka 1MDB tidak ada pilihan lain kecuali memulangkan kembali wang RM188.5 juta yang telah diambilnya dari TH.

Kesemua ini boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang dan ia adalah dalam bidang kuasa Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor (yang bertanggungjawab dengan urusan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan) dan Dato’ Seri Najib Tun Razak (Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB).

Sebagai permulaan, saya akan memanggil satu perjumpaan dengan semua pendeposit Tabung Haji pada hari Rabu depan, 13 Mei 2015 jam 9 malam (tempat akan diumumkan kelak) untuk melancarkan kempen mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasanya menghentikan penggunaan dana TH ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Calon BN Permatang Pauh Perlu Nyatakan Pendirian Terbuka Mengenai GST & Kepimpinan Najib

28 APRIL 2015

Sehingga kini tidak ada seorang pemimpin Umno pun yang berani berdebat mengenai GST di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh. Malah, Dato’ Ahmad Maslan yang dikenali sebagai Duta GST pun sehingga kini telah menolak jemputan untuk berdebat dengan saya mengenai GST pada 2 Mei 2015 ini di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Pada hari ini pula, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh menerangkan kenapa tidak ada gambar-gambar Dato’ Seri Najib Tun Razak di PRK Permatang Pauh sedangkan sebelum ini gambar Perdana Menteri itu lebih diserlahkan dari gambar-gambar calon sendiri.

2 isu yang paling dominan dalam PRK Permatang Pauh setakat ini ialah pelaksanaan GST dan ketidakpuasan terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Culaan setakat ini menunjukkan tahap penolakan pengundi Permatang Pauh terhadap GST mencecah 75% – maknanya dari setiap 4 pengundi, 3 menolak GST. Ini termasuklah dari kalangan pengundi Umno/BN sendiri.

Oleh yang demikian, calon Barisan Nasional iaitu Suhaimi Sabudin tidak boleh berdiam dan bersembunyi di belakang pimpinan Umno seperti Dato’ Ahmad Maslan dalam isu GST ini.

Oleh kerana GST adalah isu yang paling penting, wajarlah beliau membuat pendirian sama ada beliau menyokong GST atau pun tidak.

Begitu juga dengan isu kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terutamanya di kalangan pengundi Umno sendiri yang rata-ratanya menolak kepimpinan Presiden Umno itu. Calon Barisan Nasional iaitu Suhaimi Sabudin juga perlu menyatakan pendirian sama ada beliau menyokong atau menolak kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Justeru, kempen KEADILAN di PRK Permatang Pauh selepas ini akan mula meningkatkan tekanan terhadap calon Barisan Nasional ini untuk mula bersuara dan menyatakan pendirian. Setakat ini, beliau hanya bersembunyi di belakang pimpinan Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Ahmad Maslan.

Bagi pihak KEADILAN, saya menjemput beliau menyertai Forum GST: Antara Realiti dan Persepsi yang dianjurkan khusus bagi PRK Permatang Pauh ini menggantikan Dato’ Ahmad Maslan yang tidak berani hadir. Forum pada 2 Mei 2015 di Tapak Ekspo Seberang Jaya ini adalah peluang terbaik untuk beliau menyatakan sendiri pendirian beliau mengenai GST.

Jentera KEADILAN juga telah merancakkan penerangan mengenai GST kepada pengundi Permatang Pauh. Sebagai sebahagian dari kempen dan usaha menyedarkan rakyat menolak GST, saya telah menyiapkan 4 video dalam siri #GST101 untuk membidas hujah-hujah Dato’ Ahmad Maslan.

Dalam tempoh 16 jam, video yang dimuatnaik di laman Facebook telah mencapai “reach” 1.156 juta pengguna Facebook, ditonton sebanyak 120,213 kali dan dikongsi sebanyak 17,085 kali.

gst101-1

Video-video ini telah dimuatnaik di laman Facebook saya https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

dan laman Youtube
https://www.youtube.com/watch?v=oCF-tpKRcys

Video pertama dalam siri #GST101 yang telah mencapai “virality” ini akan ditayangkan di setiap program penerangan kempen KEADILAN dan akan disambung dengan video-video seterusnya dalam siri #GST101 ini untuk memastikan GST kekal isu yang menyebabkan Barisan Nasional paling dibenci.

Bermula minggu ini juga, KEADILAN akan mula menaikkan poster-poster besar calon Barisan Nasional yang menunjukkan beliau bersama-sama Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Ahmad Maslan menyokong GST. Saya yakin dengan kehadiran poster-poster, kain rentang dan papan tanda (“billboard”) besar ini calon Barisan Nasional tersebut tidak ada pilihan kecuali menyatakan pendirian beliau mengenai GST.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Penswastaan Skim Pembayaran Semula GST Untuk Pelancong (Tourist Refund Scheme)

21 APRIL 2015

Sejak GST dilaksanakan pada 1 April 2015 yang lalu, selain dari membebankan rakyat, beberapa perkara lain juga telah ditimbulkan berkenaan pengurusan dan kos untuk melaksanakan GST ini.

Kerajaan telah memutuskan untuk mengecualikan barang-barang yang dibeli oleh pelancong dari dikenakan GST. Ini dilaksanakan melalui satu skim yang dipanggil Skim Pembayaran Semula GST untuk Pelancong (Tourist Refund Scheme). Melalui skim ini, pelancong yang membeli barang-barang di Malaysia boleh mengisi satu borang untuk menuntut kembali GST yang dibayar. Apabila mereka hendak meninggalkan Malaysia, mereka boleh menyerahkan borang ini dan GST akan dipulangkan kepada mereka oleh Kerajaan Malaysia.

Keseluruhan skim ini telah pun diswastakan kepada Iris Corp Berhad yang kemudiannya menubuhkan sebuah usahasama dengan syarikat Global Blue yang berpengkalan di Switzerland. Syarikat usahama ini diberikan konsesi selama lima tahun untuk menguruskan skim pembayaran balik semula GST kepada pelancong. Sebagai habuan, syarikat usahasama ini akan dibayar komisen 15% dari jumlah pembayaran balik GST kepada pelancong.

Tindakan menswastakan skim pembayaran balik GST kepada pelancong melalui konsesi pada kadar komisen 15% ini sudah tentu menimbulkan rasa tidak senang rakyat kerana sedang keseluruhan rakyat terbeban dengan pengenalan GST, ada pihak tertentu yang mengaut keuntungan dari pelaksanaan GST melalui dasar penswastaan.

Jika tidak diswastakan dan diuruskan sendiri oleh Jabatan Kastam dan Eksais, komisen 15% itu akan kekal sebagai pendapatan negara dan boleh menampung perbelanjaan-perbelanjaan lain. Sebaliknya dengan penswastaan ini, bukan sahaja pelancong asing tidak perlu membayar GST seperti rakyat Malaysia, komisen untuk membayar kembali GST kepada mereka kini menjadi keuntungan kepada syarikat swasta dan syarikat antarabangsa.

Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa ada pihak yang menikmati keuntungan dari penswastaan GST sedangkan rakyat terbanyak menanggung beban pelaksanaannya.

Pada masa yang sama, saya mengkritik kos yang telah dibelanjakan kerajaan untuk melaksanakan GST. Walaupun telah membelanjakan RM365 juta untuk kos mempromosikan GST sahaja (seperti jawapan bertulis di Parlimen pada 24 Mac 2014), kerajaan tidak mampu untuk memberi peruntukan agar Jabatan Kastam & Eksais dapat mengendalikan skim pembayaran balik GST kepada pelancong ini sedangkan ini akan dapat menjana pendapatan negara pada masa akan datang.

Saya menyeru supaya kerajaan mengkaji semula kaedah penswastaan ini dan memendekkan konsesi yang diberikan kepada syarikat usahasama swasta itu supaya hasil kutipan GST oleh kerajaan tidak tiris kepada syarikat swasta yang mendapat konsesi seperti ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: