Hentikan Salahguna Kakitangan Polis Bawahan Demi Kepentingan Politik

31 MAC 2015

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan sokongan moral kepada saya dan rakan-rakan tahanan politik yang lain setakat ini. Sejak tahun lepas, beratus-ratus aktivis telah ditahan dan/atau didakwa dengan pelbagai alasan terutamanya bagi tujuan siasatan di bawah Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Amana tau Seksyen 143 Kanun Keseksaan (berhimpun secara haram dengan niat menimbulkan kekacauan).

Pasukan polis datang ke rumah saya pada jam 2 pagi hari Jumaat 27 Mac 2015 untuk menahan saya. Walau bagaimana pun, saya yang mengalami serangan gastrik dan demam pada ketika itu tidak mendengar pintu diketuk. Mereka akhirnya menahan saya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan sejurus selepas solat Jumaat.

Saya tahu bahawa penahanan saya bagi tujuan siasatan di bawah Akta Hasutan berkenaan pekeliling yang saya keluarkan itu hanyalah satu alasan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara yang tidak dipercayai sesiapa pun. Tujuan sebenar penahanan saya ialah untuk memastikan beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat seperti saya, Tuan Haji Mohamad Sabu, Saudara Tian Chua dan lain-lain tidak boleh menyertai perhimpunan #kitalawan pada 28 Mac 2015 yang lalu.

Saya sebenarnya berasa lucu kerana pimpinan Umno seperti Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Polis Negara masih belum faham perubahan di dalam masyarakat kita. Mutakhir ini rakyat lebih menghormati aktivis-aktivis yang dipenjarakan bila berjuang menentang Umno/Barisan Nasional dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Saya tahu saya dilihat sebagai duri yang perlu dibuang kerana sering kali mendedahkan pelbagai penyelewengan dan pembaziran Umno/Barisan Nasional. Setiap kali pendedahan sebegini berlaku, pimpinan Umno/Barisan Nasional tidak mempunyai jawapan kerana ia memang benar-benar berlaku. Akibatnya, pimpinan Umno/Barisan Nasional terpaksa menggunakan Ketua Polis Negara untuk menutup penyelewengan-penyelewengan ini dengan menahan saya dengan harapan ia akan menutup mulut saya.

Apabila saya membuat keputusan meninggalkan dunia korporat untuk menjadi aktivis politik sepenuh masa, saya telah nekad untuk tidak akan berundur sehinggalah ada perubahan dalam negara ini. Tidak ada lokap, penjara atau mahkamah yang boleh menutup mulut saya. Di mana ada pembaziran dan rasuah Umno/Barisan Nasional, di situ saya menunggu. Sebab itu, hari ini saya tampil untuk menyambung pendedahan mengenai skandal pembelian jet peribadi oleh Perdana Menteri.

Saya mengucapkan terima kasih kepada kakitangan polis di IPD Dang Wangi, kakitangan Hospital Kuala Lumpur dan kakitangan Lokap Bersepadu Jinjang yang banyak bertimbang rasa. Pegawai-pegawai polis bawahan ini hanya menerima arahan walaupun mereka pun tidak mahu digunakan sebagai alat politik. Sepanjang tahanan 3 hari, saya sempat memberi beberapa ceramah kelompok kecil kepada anggota-anggota polis mengenai GST. Saya faham mereka juga mangsa kepada kerakusan pimpinan atasan yang tamakkan kedudukan seperti mana rakyat Malaysia yang lainnya.

Oleh sebab itu, jika benar Ketua Polis Negara prihatin mengenai kebajikan kakitangan PDRM, hentikanlah menggunakan pegawai polis bawahan ini demi kepentingan politik beberapa kerat pimpinan Umno/Barisan Nasional.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pelaburan SRC Sebanyak RM3.81 Bilion Sama Kategori Dengan Pelaburan-Pelaburan 1MDB

25 MAC 2015

Soalan saya mengenai pelaburan oleh SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia yang bermula sebagai anak syarikat 1MDB telah dijawab oleh Menteri Kewangan semalam seperti berikut:

jawapan1

jawapan2

Menteri Kewangan mengesahkan bahawa sebanyak RM3.81 bilion dari dana sebanyak RM4 bilion yang diambil dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) telah dilaburkan di dalam aset-aset yang berkaitan dengan sumber alam asli dan batu-bara di luar negara termasuk Indonesia dan Mongolia.

Walaupun soalan saya adalah khusus untuk mengetahui di dalam syarikat manakah pelaburan-pelaburan ini dibuat, Menteri Kewangan terus mengelak dari memberi maklumat seperti mana beliau mengelak dari menjawab semua soalan berkaitan dengan 1MDB.

Saya telah menyemak penyata kewangan terkini SRC International bagi tahun kewangan 31 Mac 2014 yang telah diaudit untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perincian pelaburan-pelaburan ini.

Perincian mengenai pelaburan ini diberikan di dalam nota kepada penyata kewangan mengenai kaedah nilaian aset-aset pelaburan, seperti berikut:

assetforsale1

assetforsale2

Kebiasaannya, jika sesebuah syarikat itu melabur dengan membeli saham atau kepentingan di dalam sebuah syarikat yang lain, pelaburan itu akan diperincikan sebagai pelaburan di dalam anak syarikat atau syarikat bersekutu yang akan memberikan maklumat terperinci. SRC International juga perlu menunjukkan prestasi kewangan anak-anak syarikat dan syarikat bersekutunya di dalam penyata kewangan.

Walau bagaimana pun, pelaburan sebanyak RM3.81 bilion yang disebut oleh Menteri Kewangan ini tidak disertakan di dalam penyata kewangan SRC International sebagai pelaburan di dalam anak syarikat atau syarikat bersekutu. Ia ditunjukkan di dalam pelaburan yang tidak diketahui dan dinilai sebagai Pelaburan Tahap 3 (“Level 3 investments”).

Pelaburan bukan tetap (iaitu pelaburan di dalam saham atau bon) dikategorikan sebagai pelaburan untuk dijual (“available for sale investments”). Ia akan dinilai mengikut ketelusan maklumat mengenai pelaburan itu seperti yang ditetapkan oleh International Financial Reporting Standard (IFRS) seperti berikut:

1. Pelaburan Tahap 1 – saham-saham yang disenaraikan di pasaran saham dan harga sahamnya boleh diketahui setiap hari secara telus

2. Pelaburan Tahap 2 – saham-saham di dalam syarikat yang tidak disenaraikan tetapi aktiviti perniagaannya dan untung ruginya setara dengan syarikat-syarikat di dalam industry yang sama yang disenaraikan atau boleh dibandingkan

3. Pelaburan Tahap 3 – saham-saham di dalam syarikat yang mana juru audit tidak mempunyai maklumat untuk menilai aktiviti perniagaannya atau untung ruginya

Dari nota penyata kewangan yang saya sertakan di atas, sebanyak RM3.7 bilion dikategorikan sebagai “open ended funds” iaitu pelaburan yang tidak diketahui atau boleh diklasifikasikan. Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.1 bilion diklasifikasikan sebagai Pelaburan Tahap 3 iaitu pelaburan yang juru audit tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenainya.

Keadaan ini sama dengan pelaburan-pelaburan yang pernah dibuat oleh 1MDB yang rata-ratanya diklasifikasikan oleh juru audit sebagai Pelaburan Tahap 3. Pelaburan-pelaburan seperti inilah yang akhirnya menyebabkan 1MDB berhadapan masalah aliran tunai sehingga terpaksa menangguhkan bayaran hutang kepada bank-bank beberapa kali.

Perkara ini menerangkan keengganan Menteri Kewangan mendedahkan secara terperinci di dalam syarikat mana dana pencen sebanyak RM3.8 bilion ini dilaburkan. Rakyat Malaysia wajar mengetahui di manakah dana pencen ini dilaburkan secara terperinci supaya masalah yang dihadapi 1MDB tidak berulang dengan dana pencen yang telah diambil.

Saya mengulangi desakan supaya dana RM4 bilion ini dikembalikan serta merta.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

SRC International Rugi RM164 Juta Bagi Tahun Kewangan Terkini Berakhir 31 Mac 2014

24 MAC 2015

Saya dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua telah berkali-kali menyatakan kebimbangan kami mengenai prestasi sebuah anak syarikat yang dimulakan oleh 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd. Syarikat yang penuh dengan kerahsiaan ini menjadi tumpuan apabila berita bahawa Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) telah memberikan pinjaman sebanyak RM4 bilion disahkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Saya sertakan paparan penyata untung rugi SRC International Sdn Bhd bagi tahun kewangan terkini yang berakhir pada 31 Mac 2014:

screenshotp&l2014

Bagi tahun kewangan terkini, SRC International Sdn Bhd telah mengalami kerugian sebanyak RM164 juta dan tanpa sebarang perolehan. Ini bermakna sebarang kegiatan oleh syarikat ini tidak menjana sebarang pendapatan sedangkan ia mempunyai hutang sebanyak RM4 bilion yang dipinjam dari KWAP.

Ini juga bermakna bahawa sebarang pembayaran faedah di atas hutang RM4 bilion itu dibuat menggunakan dana pinjaman asal dari KWAP.

Keadaan ini tidak banyak berbeza dari modus operandi syarikat-syarikat lain yang bersabit dengan 1MDB iaitu meminjam dana yang besar dengan jaminan kerajaan tanpa mempunyai aktiviti perniagaan yang baik atau stabil. Akhirnya, tiada pendapatan yang dijana dari kegiatan perniagaan sehingga menyebabkan 1MDB menghadapi masalah aliran tunai untuk membayar faedah pinjaman yang diambil.

Adalah jelas bahawa perkara yang sama yang kini menghantui 1MDB akan juga berlaku kepada SRC International Sdn Bhd. Lebih malang lagi adalah kerana SRC International Sdn Bhd melibatkan RM4 bilion dana pencen kakitangan awam yang sepatutnya dilaburkan secara berhemah.

Saya menyeru supaya Perdana Menteri dengan segera mengarahkan agar SRC International Sdn Bhd memulangkan serta-merta setiap satu sen dari RM4 bilion wang KWAP yang dipinjam sebelum ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kerajaan Membayar RM109 Juta Lebih Mahal Untuk Membeli Jet Peribadi ACJ320

24 MAC 2015

Sebelum ini, saya telah mendedahkan kos sebanyak RM465 juta yang akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan selama 15 tahun untuk membayar pembelian jet peribadi baru ACJ320. Saya juga telah mendedahkan kos naiktaraf kabin sebanyak RM28 juta yang telah dimasukkan di dalam harga keseluruhan jet peribadi ini. Sehingga kini, tidak ada satu penafian pun dari Perdana Menteri mengenai maklumat kos ini.

Saya ingin menyatakan pada hari ini bahawa kos RM465 juta itu sebenarnya lebih tinggi dari harga sebenar yang sepatutnya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan jika jet peribadi ACJ320 itu dibeli terus oleh Kerajaan Persekutuan tanpa melalui syarikat swasta.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan telah menggunakan khidmat sebuah syarikat swasta iaitu Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd (“JPO”) untuk membeli jet peribadi ACJ320 yang kemudiannya dijual pula kepada Kerajaan Persekutuan.

Maklumat harga dan nilai pasaran jet peribadi ACJ320 ini boleh diperolehi dari perunding penerbangan antarabangsa iaitu Ascend Flight Global Consultancy. Maklumat mengenai takrifan dan kaedah penilaian harga sesebuah jet atau helicopter boleh diperolehi di lamannya iaitu http://www.ascendworldwide.com/2014/03/the-ascend-approach-to-aircraft-valuation.html

Dalam siasatan oleh National Oversight & Whistleblowers (NOW) mengenai kes ini, NOW telah berjaya mendapatkan nilaian harga semasa jet peribadi ACJ320 ini seperti yang dipaparkan di laman Ascend Flight Global Consultancy seperti berikut (capaian kepada maklumat ini hanya terhad kepada syarikat atau individu yang melanggan khidmat Ascend):

flightgobal

Berdasarkan maklumat dari Ascend Flight Global Consultancy ini, nilaian harga ACJ320 oleh Ascend Flight Global Consultancy adalah seperti berikut:

1. Harga pasaran (“half life market value”) berdasarkan urusniaga terkini bagi jet sama model dan sama umur – USD70.4 juta atau RM246.4 juta (pada kadar tukaran RM3.50 kepada USD1)

2. Harga asas (“half life base value”) berdasarkan nilai ekonomi yang boleh dijana oleh jet sama model dan sama umur – USD62.86 juta atau RM220 juta

Ini bermakna harga sebenar jet peribadi ACJ320 ini adalah di antara RM220 juta hingga RM246 juta.

Melalui salinan perjalinan jual beli di antara JPO dan Air Luther AG, saya boleh mengesahkan bahawa JPO bersetuju membayar USD89 juta iaitu USD19 juta lebih mahal dari harga maksima mengikut nilaian semasa. Dari harga USD89 juta itu, USD8 juta adalah bagi naiktaraf kabin seperti yang saya dedahkan semalam dan baki USD11 juta (bersamaan RM39 juta) adalah bayaran yang melebihi harga pasaran semasa.

Tidak cukup dengan pembayaran yang melebihi harga pasaran ini, JPO kemudiannya menjual pula jet peribadi ACJ320 ini pada harga sewa beli yang menyebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membayar lebih tinggi dari kos sekiranya ia membeli sendiri jet peribadi tanpa melalui JPO.

Dengan menggunakan harga ACJ320 pada USD89 juta seperti yang dijual oleh Air Luther AG, sekiranya Kerajaan Persekutuan membeli sendiri jet peribadi ini terus dari Air Luther AG, jumlah bayaran bagi tempoh 15 tahun pada kadar faedah 4% setahun (iaitu kadar pinjaman yang biasa dibuat oleh Kerajaan Persekutuan) adalah RM395 juta.

Jumlah ini adalah RM70 juta lebih murah dari jumlah perjanjian sewa beli di antara Kerajaan Persekutuan dan JPO.

Maka, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menjawab soalan-soalan ini:

1. Kenapa Kerajaan Persekutuan bersetuju membayar harga yang RM39 juta lebih mahal dari harga pasaran mengikut nilaian harga sebenar ACJ320?

2. Kenapa Kerajaan Persekutuan tidak membeli terus ACJ320 dari Air Luther sedangkan itu lebih murah? Tindakan membeli dari JPO menyebabkan Kerajaan Persekutuan membayar RM70 juta lebih mahal berbanding jika Kerajaan Persekutuan membeli terus dari Air Luther.

Keseluruhannya, bukan sahaja pembelian jet peribadi baru ACJ320 ini adalah membazir, ia juga dibuat pada kos yang jauh lebih tinggi dari harga nilaian maksima jet itu.

Berdasarkan perkiraan saya, Kerajaan Malaysia membayar RM109 juta lebih mahal dari harga sebenarnya (iaitu RM39 juta harga yang lebih mahal dari nilaian maksima harga pasaran dan RM70 juta melalui perjanjian sewa beli yang lebih mahal berbanding jika Kerajaan Persekutuan membeli terus).

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kos Naiktaraf Kabin Jet Peribadi ACJ320 RM28 Juta

23 MAC 2015

Jet peribadi untuk kegunaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang baru dibeli iaitu ACJ320 mula beroperasi sejak 3 Mei 2011 setelah disiapkan pada 29 Mac 2010. Sebelum ini, ia disewakan oleh pemiliknya Comlux Aviation Group dan Kerajaan Malaysia pernah menyewanya bagi kegunaan Perdana Menteri.

Jet peribadi ini merupakan antara yang terbaik dimiliki Comlux dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi kapasiti 19 penumpang, termasuk satu bilik khusus untuk VVIP. Ia mempunyai ruang-ruang seperti berikut:

int1
int2

Ruang santai

int3

Ruang mesyuarat

int4

Ruang makan

int5

Ruang penumpang

int6

Ruang tidur di bilik VVIP

Saya mempunyai salinan perjanjian pembelian di antara Jet Premiere One (Malaysia) Sdn Bhd (JPO) dan Air Luther AG iaitu syarikat bersekutu dalam Comlux Aviation Group yang memiliki ACJ320 sebelum ini. JPO membeli jet ACJ320 ini dari Air Luther AG kemudian dijual pula kepada Kerajaan Malaysia dalam satu perjanjian sewa beli yang telah saya dedahkan sebelum ini.

Di dalam perjanjian pembelian di antara JPO dan Air Luther AG, salah satu syarat pembelian ialah kerja-kerja menaiktaraf kabin dari keadaan sedia ada pada harga USD8 juta (bersamaan RM28 juta pada kadar tukaran RM3.5 bagi USD1). Harga USD8 juta ini dimasukkan di dalam harga pembelian yang kemudiannya menjadi asas kepada harga sewa beli bernilai RM465 juta yang ditanggung oleh Kerajaan Malaysia.

Saya memaparkan gambar-gambar ruang dalam sedia ada ACJ320 untuk menunjukkan bagaimana kabin yang belum dinaiktaraf sudah pun cukup mewah di luar imaginasi rakyat Malaysia. Apa keperluan membayar tambahan RM28 juta khusus untuk menaiktaraf kabin apabila jumlah itu akhirnya akan ditanggung oleh rakyat Malaysia?

Jika sebelum ini pimpinan Umno memberi alasan pembelian jet peribadi baru ini adalah perlu demi keselamatan Perdana Menteri dan keluarga, apa pula alasan membelanjakan RM28 juta dana rakyat untuk menaiktaraf kabin menjadi lebih mewah dari apa yang ada sekarang? Sekiranya wang RM28 juta ini digunakan untuk membina rumah bagi mangsa banjir di Kelantan, pada harga RM35,000 setiap rumah dana RM28 juta ini sepatutnya telah dapat membina rumah untuk 800 keluarga yang menjadi mangsa banjir.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: