Dedahkan Terma-Terma Perjanjian Konsesi Hospital UiTM Puncak Alam

hospitaluitmpuncakalam

Pendedahan saya di dalam Dewan Rakyat pada hari Selasa mengenai cadangan menganugerahkan pembinaan dan operasi Hospital UiTM Puncak Alam telah mendapat beberapa reaksi semalam.

Saya sedia maklum kenyataan rasmi UiTM yang tidak menafikan pendedahan saya tetapi sekadar menyebut maklumat itu tidak tepat dan menyeluruh. Saya menghargai kenyataan rasmi UiTM itu kerana secara tidak langsung ia mengiyakan pendedahan yang saya buat.

Semakan saya menunjukkan bahawa Lembaga Pengarah UiTM akan bermesyuarat pada hari ini dan salah satu agenda utama ialah menilai cadangan penswastaan Hospital UiTM Puncak Alam melalui sistem konsesi seperti yang saya dedahkan. Hari ini, Lembaga Pengarah UiTM akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh syarikat milik Tan Sri Rozalli Ismail iaitu TRIplc Berhad bagi penswastaan tersebut.

Saya menggesa supaya setiap Ahli Lembaga Pengarah UiTM mengambil pendirian bebas dengan menolak sebarang campur tangan Putrajaya dalam projek ini seterusnya membuat keputusan untuk menolak cadangan penswastaan melalui sistem konsesi. Ahli-ahli Lembaga Pengarah UiTM sedia maklum bahawa kos membina dan menguruskan sendiri oleh UiTM adalah jauh lebih murah daripada apa yang terpaksa ditanggung UiTM dan rakyat melalui sistem konsesi.

Saya juga dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Kuala Selangor semalam menyebut bahawa kos keseluruhan pembinaan dan operasi Hospital UiTM Puncak Alam melalui sistem konsesi yang dicadangkan hanyalah RM800 juta, bukannya bernilai RM8.2 bilion seperti yang saya dedahkan.

Saya menasihati beliau supaya menyemak dan meneliti sendiri dokumen mengenai penswastaan ini seperti mana yang telah saya lakukan agar beliau tidak malu nanti apabila maklumat-maklumat ini keluar.

Jika benar kos keseluruhan konsesi hanyalah RM800 juta seperti yang beliau dakwa, saya cabar beliau mendapatkan kebenaran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mendedahkan kertas-kertas cadangan dan perincian konsesi ini yang telah dikemukakan kepada UiTM setakat ini kepada orang ramai supaya kos sebenar konsesi dapat dinilai.

Saya akan menunggu maklumbalas dari kerajaan sebelum mula menghuraikan butiran-butiran mengenai cadangan konsesi ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Anggaran Kos 42 Perjalanan Menggunakan Jet Peribadi Baru ACJ320 Sebanyak RM40.8 Juta Bagi 6 Bulan

Soalan saya mengenai jumlah perjalanan dan kos yang ditanggung rakyat melibatkan jet peribadi baru ACJ320 telah naik dalam senarai soalan lisan pada hari Khamis 22 Oktober 2015 seperti berikut:

IMG_3333

Malangnya, jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Azalina Othman langsung tidak menyentuh perkara-perkara yang ditanya secara khusus. Jawapan yang diberikan adalah seperti berikut:

IMG_3335

Satu-satunya maklumat yang diberikan adalah jet peribadi ini telah digunakan sebanyak 42 kali sejak memulakan perkhidmatan dalam bulan April 2015. Ini bermakna, purata perjalanan jet ini adalah sebanyak 7 perjalanan setiap bulan di antara April 2015 hingga September 2015.

Ini bukan kali pertama soalan mengenai perbelanjaan melibatkan jet peribadi yang digunakan pimpinan kerajaan dibawa ke Parlimen. Sebelum ini, kerajaan memberi jawapan mengenai kos yang ditanggung apabila ditanya oleh YB Nga Kor Ming dalam sidang Oktober 2013.

Keengganan Perdana Menteri mendedahkan butiran perjalanan (ke mana dan bagi tujuan apa) serta kos setiap perjalanan menunjukkan beliau tahu maklumat ini akan menimbulkan kemarahan rakyat. Apabila kerajaan enggan mendedahkan maklumat berkepentingan awam kerana melibatkan dana rakyat, ia menggambarkan Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa perbelanjaan itu tidak berhemah sehingga perlu disembunyikan dari rakyat.

Walau bagaimana pun, saya telah mendedahkan sebelum ini bahawa kontrak penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) jet ACJ320 pula telah ditetapkan pada RM46 juta setahun. Ini tidak termasuk kos minyak jet dan perbelanjaan khusus bersabit setiap perjalanan yang akan dibayar oleh kerajaan.

Maka, sejak mula beroperasi dalam bulan April 2015, saya menjangkakan kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) adalah berjumlah RM23 juta. Mengikut rekod kos lawatan luar negara Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi tahun 2008 hingga 2013, beliau membelanjakan pada purata RM9 juta setahun.

Oleh itu, anggaran saya bahawa kos sewaan, operasi dan perjalanan melibatkan jet ACJ320 sejak mula beroperasi adalah seperti berikut:

1. Kos sewa jet – RM2.217 juta sebulan, jumlah 6 bulan (April 2015 ke September 2015) adalah RM13.3 juta
2. Kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) – RM3.833 juta sebulan, jadi kos bagi 6 bulan adalah RM23 juta
3. Kos perjalanan luar negara Perdana Menteri (berdasarkan purata tahunan) – dianggarkan RM4.5 juta bagi tempoh setengah tahun

Jumlah perbelanjaan melibatkan jet ACJ320 yang cuba disembunyikan oleh Perdana Menteri dianggarkan RM40.8 juta bagi tempoh 6 bulan dari April 2015 hingga September 2015.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Bajet 2016: Kerajaan Kutip GST RM19 Sehari Setiap Keluarga Berbanding Kenaikan BR1M 14 Sen Sehari

JK Ekonomi Pakatan Harapan telah meneliti secara keseluruhan Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober 2015 yang lalu. Sementara pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan akan terus memberi maklumbalas mengenai bajet ini, JK Ekonomi Pakatan Harapan yang bertanggungjawab merangka Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan menyifatkan Bajet 2016 ini adalah yang paling teruk pernah dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kepincangan paling utama Bajet 2016 ini ialah apabila beban membayar hasil kepada kerajaan telah dialihkan kepada rakyat kebiasaan.

Keborosan kerajaan Barisan Nasional mula menjadi-jadi sejak harga minyak mentah naik mendadak sekitar tahun 2005. Peningkatan tersebut menaikkan hasil kerajaan melalui kutipan-kutipan cukai syarikat minyak, cukai petroleum, royalti minyak, cukai tidak langsung ke atas hasil petroleum dan dividen dari PETRONAS. Oleh itu, sejak tahun 2005 wujud pergantungan kepada industri minyak dan gas di negara ini untuk menampung perbelanjaan kerajaan.

Dengan kejatuhan harga minyak mentah, tiba-tiba hasil yang lumayan itu turun mendadak. Kerajaan sendiri menjangkakan bahawa hasil dari sumber petroleum menurun sekitar RM30 bilion dalam tahun 2015 dan telah ditampung oleh kutipan GST. Malangnya, operasi dan kos menguruskan kerajaan telah terbiasa dengan sumber hasil dari petroleum hingga menyebabkan pembaziran dan ketirisan sukar dibendung.

Dalam Bajet 2016, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengalihkan beban membayar hasil ini daripada syarikat-syarikat gergasi minyak kepada rakyat kebiasaan. Lompong hasil sebanyak RM30 bilion ini dijangka akan terus ditampung oleh rakyat kebiasaan yang akan membayar cukai yang lebih tinggi seperti berikut:

 

Cukai Dibayar Rakyat Kutipan 2015 (RM Bilion) Kutipan 2016 (RM Bilion) Peningkatan

(RM Bilion/%)

GST (dan Cukai Jualan & Cukai Perkhidmatan)  

34.5

 

39.0

 

4.5 (13%)

Duti eksais (kereta, rokok dan lain-lain)  

12.2

 

12.4

 

0.2 (2%)

Cukai individu 28.1 30.3 2.2 (8%)
Cukai syarikat 68.3 74.4 6.1 (9%)
Jumlah pertambahan kutipan    

156 Bilion

 

13 Bilion

 

Ini bermakna, rakyat Malaysia akan membayar sebanyak RM13 bilion cukai tambahan dalam tahun 2016. Jika ini diaggregatkan mengikut isirumah (dengan anggaran 1 keluarga pada puratanya mempunyai 5 orang ahli, bersamaan 6 juta isirumah), setiap keluarga Malaysia pada puratanya membayar cukai sebanyak RM27,857 setahun kepada kerajaan dalam bentuk-bentuk seperti di atas.

Peralihan beban cukai kepada rakyat ini lebih ketara apabila analisa kutipan GST setiap isirumah dibandingkan dengan pengumuman kenaikan BR1M sebanyak RM50.

Sementara kerajaan akan mengutip GST pada puratanya RM19 sehari dari setiap keluarga di negara ini dalam tahun 2016, jumlah kenaikan BR1M sebenarnya hanya 14 sen sehari. 

JK Ekonomi Pakatan Harapan akan terus memberikan analisa perbandingan sebegini setiap hari sepanjang minggu ini. Kupasan pada hari-hari berikutnya bakal menyentuh soal tata kelola ekonomi (governance) dan pemotongan subsidi yang akan menyebabkan kenaikan harga barang mendadak dalam tahun 2016.

forumbelanjawan

Analisa-analisa ini akan dibentangkan dengan lebih panjang lebar di dalam forum belanjawan Pakatan Harapan yang bertajuk “Bajet 2016: Mencetus Atau Mengurus Krisis” pada malam ini (Isnin, 26 Oktober 2015) jam 830 malam di Dewan Himpunan Cina KL Selangor.

 

RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN

WONG CHEN, AHLI PARLIMEN KELANA JAYA

KHALID SAMAD, AHLI PARLIMEN SHAH ALAM

LIEW CHIN TONG, AHLI PARLIMEN KLUANG

 

Bagi pihak

JK EKONOMI PAKATAN HARAPAN

 

 

 

Timbalan Menteri Kewangan Mengesahkan Bahawa Pelaburan Kwsp Di Dalam 1MDB Berisiko Tinggi

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani semalam menyatakan pendirian kerajaan bahawa pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam 1MDB dianggap tidak membawa risiko kepada KWSP.

Alasan yang diberikan oleh beliau adalah seperti berikut:

1. Jumlah pelaburan KWSP di dalam 1MDB adalah kecil berbanding dana KWSP

2. 1MDB membayar kadar faedah (“coupon rate”) yang tinggi di atas pelaburan KWSP iaitu di antara 7.7% – 9.85% (pelaburan KWSP di dalam Jimah Energy Ventures) dan di antara 8.25% – 8.35% (pelaburan KWSP di dalam Panglima Power Sdn Bhd)

Timbalan Menteri Kewangan sebenarnya tidak sedar bahawa jawapan beliau itu secara langsung mengesahkan bahawa pelaburan KWSP di dalam 1MDB sebenarnya mempunyai risiko tinggi.

Pertamanya, jumlah pelaburan KWSP di dalam 1MDB bukannya kecil dan berjumlah RM1.72 bilion. Jumlah RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar, apatah lagi bila dana ini adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP. Timbalan Menteri Kewangan sepatutnya tidak mengambil ringan sebarang urusniaga yang melibatkan simpanan wang rakyat tidak kiralah berapa jumlahnya. Dalam perkara ini, pelaburan KWSP di dalam 1MDB yang berjumlah RM1.72 bilion adalah cukup besar.

Keduanya, ukuran sama ada sesuatu pelaburan bon itu mempunyai risiko tinggi itu atau tidak bergantung kepada kadar faedah (“coupon rate”) yang perlu dibayar oleh peminjam (“bond issuer”) kepada pemegang bon (“bond holder”). Oleh itu, untuk menilai sama ada pelaburan KWSP di dalam bon 1MDB adalah berisiko tinggi atau tidak, kadar faedah yang tinggi dibayar oleh 1MDB kepada KWSP berbanding kadar faedah bon-bon lain adalah bukti pelaburan itu sebenarnya berisiko tinggi.

Kadar faedah (“coupon rate”) yang biasa dibayar oleh institusi kerajaan (termasuk GLC utama) selalunya tidak jauh bezanya dari kadar faedah (“coupon rate”) yang dibayar oleh kerajaan. Bon-bon kerajaan pada kadar semasa selalunya melibatkan kadar faedah (“coupon rate”) tidak melebihi 5%, maka bon institusi kerajaan (seperti 1MDB yang dimiliki kerajaan) sepatutnya tidak jauh berbeza dari 5%.

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan semalam menunjukkan bon 1MDB yang dipegang oleh KWSP melibatkan kadar faedah (“coupon rate”) yang jauh lebih tinggi dari bon-bon institusi kerajaan sehingga mencecah dua kali ganda lebih tinggi (mencecah 9.85%). Kadar yang lebih tinggi sehingga mencecah dua kali ganda ini adalah tindakbalas pasaran kepada risiko pelaburan di dalam 1MDB yang menyebabkan pasaran menetapkan 1MDB membayar kadar faedah (“coupon rate”) yang lebih tinggi kerana risiko kewangan 1MDB.

Oleh yang demikian, saya mengulangi desakan saya sebelum ini bahawa KWSP dan semua badan kerajaan yang lain mengambil tindakan segera untuk melupuskan sebarang pegangan bon atau pelaburan di dalam 1MDB kerana risiko kewangan yang tinggi seperti yang diterjemahkan di dalam kadar faedah (“coupon rate”) yang tinggi.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: