Usul Tergempar Di Parlimen Mengenai Penjualan Aset IPP 1MDB Kepada Konsortium China-Qatar: Perdana Menteri Perlu Buat Kenyataan Segera

Sejak tarikh bidaan pembelian aset penjana bebas (“IPP”) 1MDB tamat Jumaat lalu, sehingga kini Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak belum mengeluarkan satu kenyataan bagi menyangkal kenyataan saya dan laporan media bahawa pentadbiran beliau telah secara senyap-senyap membatalkan had pegangan ekuiti sektor elektrik negara (iaitu syarikat asing hanya boleh memegang maksimum 49% pegangan dalam syarikat yang terlibat di dalam sektor elektrik negara).

Saya dimaklumkan bahawa pembatalan had pegangan ekuiti ini dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga sahaja tanpa dibawa berbincang di peringkat Jemaah Menteri. Malah, menteri yang terbabit iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili iaitu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA) juga dilaporkan membantah keputusan menghapuskan had pegangan ekuiti tersebut.

Saya mendapat maklumat bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pembida asing iaitu konsortium syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) akan diumumkan sebagai pembida yang berjaya dalam tempoh seminggu ini sedangkan perkara-perkara kontroversi berikut belum dijawab:

1. Bidaan konsortium China-Qatar itu dilaporkan tidak menepati syarat bidaan kerana ia milik 100% syarikat asing yang bertentangan dengan had pegangan ekuiti. Oleh itu, sewajarnya bidaan itu terbatal secara automatik kerana tidak menepati syarat

2. Sebarang keputusan untuk membuka sektor elektrik kepada syarikat asing perlu dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen kerana ia membawa kesan besar kepada kedaulatan negara dan kebajikan rakyat

Saya perlu mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa jika beliau berkeras membatalkan had pegangan ekuiti asing demi untuk menyelamatkan 1MDB, ini akan membawa gelombang kemarahan baru rakyat terhadap beliau. Rakyat faham bahawa keputusan tersebut akan membawa kesan-kesan buruk berikut:

1. Membenarkan syarikat asing mengawal sepenuhnya operasi penjanaan elektrik yang menjadi pembekal utama bekalan elektrik negara akan mengundang risiko besar. Jika ada sebarang masalah di masa hadapan, bekalan elektrik negara boleh terganggu dan kenaikan tarif elektrik adalah tertakluk kepada pengaruh dan kehendak syarikat-syarikat asing ini

2. Syarikat-syarikat gergasi dari negara China mempunyai struktur kos yang berbeza dan lebih murah kerana mereka akan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan, tenaga kerja, kontraktor dan pembekal dari China. Ini akan memberikan kelebihan kepada mereka membida kontrak-kontrak penjana bebas (IPP) baru di masa hadapan kerana besar kemungkinan harga yang mereka tawarkan untuk membina IPP ini adalah lebih murah

3. Namun kesannya kepada rakyat dan negara adalah besar – secara langsung ini akan melemahkan industri tenaga negara kerana syarikat-syarikat tempatan seperti TNB dan syarikat tenaga tempatan lain tidak mampu bersaing. Saya menjangkakan jika ini berlaku, dalam tempoh 10 tahun TNB akan menjadi sebuah syarikat elektrik biasa dan bukan lagi gergasi tenaga yang boleh diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dan negara seperti sekarang

4. Ini akan menyebabkan lebih ramai pekerja tempatan rakyat Malaysia yang kini berkhidmat di dalam sektor tenaga hilang pekerjaan kerana kerja mereka diambil oleh pekerja dari China yang dibawa masuk oleh syarikat-syarikat gergasi China ini

Saya menjangkakan jumlah rakyat Malaysia yang terbabit di dalam sektor tenaga ini adalah sekurang-kurangnya 40,000 orang. Sebahagian besar dari mereka adalah kakitangan TNB dan selebihnya dengan penjana bebas dan khidmat sokongan industri. Mereka mewakili 40,000 keluarga Malaysia yang mempunyai pengaruh besar dalam pilihanraya akan datang.

Oleh yang demikian, kepentingan dan kebajikan mereka perlu dibela dan tidak boleh dikesampingkan hanya kerana 1MDB perlu menutup lubang hutang yang dibuat sebelum ini.

Oleh kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak enggan memberi sebarang penjelasan dan tiada sebarang pengesahan bahawa had pegangan ekuiti syarikat asing akan dikekalkan, saya tidak ada pilihan lain kecuali memfailkan satu usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 Dewan Rakyat untuk menangguhkan sidang dewan pada hari Selasa (17 November 2015) bagi membincangkan perkara ini.

Usul tergempar itu akan difailkan pada hari Isnin, 16 November 2015 iaitu 24 jam sebelum usul tergempar boleh dibahaskan seperti yang ditetapkan di dalam Peraturan Mesyuarat.

Saya dimaklumkan keseluruhan tenaga kerja TNB akan mengadakan solat hajat pada hari ini di seluruh negara ekoran dari perkembangan yang membimbangkan ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak Cadang Hapuskan Had Maksimum Ekuiti Asing Demi Menutup Hutang 1MDB

Hari ini ialah hari akhir bagi pembida-pembida yang berhasrat membeli aset penjana bebas (IPP) milik 1MDB mengemukakan tawaran pembelian kepada 1MDB.

Beberapa laporan kebelakangan ini mengenai urusniaga penjualan aset IPP 1MDB ini membuka satu lagi kontroversi besar yang ada kesan kepada negara dan rakyat – iaitu pemilikan asing ke atas industri penjanaan elektrik negara.

Saya konsisten mempertahankan pendirian bahawa ada beberapa industri strategik yang mesti kekal di dalam pengendalian dan pemilikan nasional bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan negara. Ini termasuklah industri air dan industri elektrik yang perlu dielakkan dari dimiliki oleh syarikat asing kerana bekalan air dan elektrik melibatkan kepentingan harian setiap rakyat Malaysia.

imdbedrautusan

Saya terkejut membaca kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA), Datuk Seri Maximus Ongkili yang dilaporkan Utusan Malaysia bertarikh 5 November 2015 bahawa ada cadangan untuk membenarkan 1MDB melupuskan semua aset IPPnya kepada syarikat yang dimiliki 100% oleh negara asing.

Ini bertentangan dengar dasar kerajaan sedia ada bahawa had ekuiti maksimum pemilikan asing yang dibenarkan bagi aset-aset penjanaan elektrik di negara ini ialah 49% (bagi memastikan majority iaitu 51% masih dikawal syarikat tempatan).

Kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili itu mengiyakan desas desus bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup membatalkan peraturan had pemilikan asing itu demi membantu 1MDB mendapatkan harga bidaan yang lebih tinggi dari yang ditawarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Laporan media semalam menyatakan bahawa harga yang dibida oleh TNB ialah sekitar RM8 bilion iaitu hampir sama dengan harga nilaian pasaran semasa. Harga itu juga padan dengan harga siling yang saya syorkan kepada Dewan Rakyat untuk ditetapkan melalui satu usul yang telah difailkan pada 2 November 2015.

Walau bagaimana pun, harga RM8 bilion itu adalah terlalu rendah berbanding dengan harga yang dikehendaki oleh 1MDB kerana ia telah mengambil hutang yang tinggi untuk membeli aset-aset itu dari Ananda Krishnan dan Genting pada harga lebih tinggi dari harga pasaran sebelum ini. Jika 1MDB mahu mengurangkan hutangnya seperti yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, harga jualan aset-aset ini mestilah lebih tinggi dari harga nilaian semasa.

Sebab itu saya khuatir bila mana harga bidaan pencabar terdekat 1MDB iaitu satu konsortium di antara syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) ialah RM10 bilion iaitu RM2 bilion lebih tinggi dari harga pasaran (yang ditawarkan oleh TNB), pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencari helah untuk membenarkan bidaan tersebut walaupun ia melanggar peraturan sedia ada dari segi had pemilikan maksimum syarikat asing.

Jika bidaan dari konsortium China dan Qatar ini melanggar had pemilikan maksimum syarikat asing iaitu 49% maksimum ekuiti asing, sepatutnya bidaan ini terbatal secara sendiri. Saya khuatir pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sedia faham bahawa bidaan dalam bentuk sedia ada ini oleh konsortium China dan Qatar tidak menepati syarat – maka pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan menukar undang-undang sedia ada untuk membolehkan sektor elektrik negara kini dibuka kepada syarikat yang 100% dimiliki pegangan asing.

Saya memuji pendirian Datuk Seri Maximus Ongkili yang secara terbuka menyatakan beliau tidak bersetuju dengan cadangan membuka sektor elektrik negara kepada syarikat yang 100% dimiliki pegangan asing.

Saya akan memantau perkara ini dengan dekat dan tidak akan teragak-agak memulakan kempen seluruh negara mempertahankan sektor elektrik di negara ini dari dibuka kepada syarikat asing kerana ini akan membawa kesan besar kepada masyarakat dan negara di masa hadapan.

Oleh itu, saya menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan secara terbuka bahawa pentadbirannya tidak akan membatalkan had ekuiti asing dalam sektor elektrik hanya untuk membantu 1MDB menutup lubang hutangnya seperti mana yang sedang bertiup kencang sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kontrak Tan Sri Annuar Musa Sebagai Pengerusi MARA Tetap Disambung Dan Tiada Sebarang Penjelasan Dari Pengerusi MARA Terdahulu

visit5

Saya mengambil maklum kenyataan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kontrak perkhidmatan dua pegawai tinggi MARA iaitu Dato’ Abdul Halim Rahim (CEO MARA Inc) dan Dato’ Mohammad Lan Allani (Pengerusi MARA Inc) telah ditamatkan ekoran pendedahan skandal pembelian hartanah melibatkan dana MARA di Australia.

Sementara tindakan tidak menyambung perkhidmatan kedua-dua mereka itu tepat, itu adalah tindakan yang paling ringan yang diambil oleh MARA dan tidak menyelesaikan apa-apa. Perkara yang paling penting ialah memastikan mereka yang bertanggungjawab di kedua-dua belah pihak (iaitu kepimpinan/pengurusan MARA yang meluluskan pembelian dan ahli politik/ahli perniagaan yang menjadi broker kepada pembelian) perlulah dibawa ke muka pengadilan supaya mereka dihukum kerana terlibat di dalam urusniaga yang menyelewengkan dana rakyat.

Oleh yang demikian, selagi soalan-soalan berikut tidak terjawab:

1. Siapa di kalangan kepimpinan dan pengurusan MARA yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan MARA meluluskan pembelian hartanah-hartanah ini yang sekarang jelas ada unsur penyelewengan?

2. Siapa di kalangan ahli politik dan ahli perniagaan yang menjadi broker kepada pembelian-pembelian ini dan apa kaitan mereka dengan MARA sehingga mereka menjadi begitu berpengaruh?

3. Siapa yang mendapat keuntungan dari urusniaga yang melebihi harga pasaran sehingga RM129 juta dan apakah ada di kalangan kepimpinan dan pengurusan MARA yang mempunyai kepentingan bersama yang turut mendapat laba dari keuntungan ini?

Rakyat akan terus beranggapan bahawa skandal ini ditutup begitu sahaja dan mereka yang bertanggungjawab tidak pun dihadapkan ke muka pengadilan.

Dato’ Ismail Sabri Yaakob sebagai menteri yang bertanggungjawab juga perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa Tan Sri Annuar Musa masih dilantik sebagai Pengerusi MARA bagi penggal yang baru sedangkan pendedahan setakat ini menunjukkan beliau tahu mengenai pembelian-pembelian ini tetapi tidak mengambil sebarang tindakan segera untuk merungkainya, sehinggalah perkara ini didedahkan oleh saya dan media Australia pertengahan tahun ini.

Dato’ Ismail Sabri Yaakob juga perlu menjawab kenapa sehingga kini mantan Pengerusi MARA pada ketika pembelian-pembelian ini berlaku iaitu Dato’ Seri Idris Jusoh sehingga sekarang masih belum dipanggil atau disiasat kerana semua ini berlaku di bawah pengawasan beliau.

Saya akan terus memberi fokus kepada isu ini dan kepincangan MARA dalam menjaga kebajikan anak-anak Melayu/Bumiputra. Skandal ini tidak boleh ditutup dengan penamatan kontrak dua orang pegawai tinggi MARA.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Yang Dipertua Dewan Rakyat Menolak Rang Undang-Undang Persendirian Pemisahan Fungsi Perdana Menteri Dan Menteri Kewangan, Usul 1MDB Difailkan 2 November 2015

usul1mdb

Saya telah memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk memisahkan fungsi Perdana Menteri dari Menteri Kewangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat iaitu sebelum atau pada 23 September 2015. Rang Undang-undang Persendirian itu difailkan melalui emel kepada Setiausaha Dewan Rakyat seperti mana soalan-soalan Parlimen dan urusan lain difailkan.

Saya telah mendapat jawapan rasmi dari Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam (3 November 2015) yang menyatakan bahawa Dewan Rakyat menolak Rang Undang-undang Persendirian itu yang tidak akan disenaraikan di dalam Aturan Dewan atas alasan berikut:

Download (PDF, 974KB)

1. Tidak menepati Peraturan Mesyuarat 27 iaitu perlu dihantar secara bertulis – saya menghormati kuasa Yang Dipertua yang berhak menafsirkan Peraturan Mesyuarat. Walau bagaimana pun, selama ini sebarang pemberitahu termasuklah pemberitahu soalan-soalan diuruskan melalui emel dan telah diterima dengan baik oleh Setiausaha Dewan Rakyat

2. Bertentangan dengan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 – alasan ini bermakna Dewan Rakyat tidak akan membenarkan apa-apa Rang Undang-undang Persendirian yang cuba memisahkan fungsi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selagi Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 tidak dipinda. Ini juga bermakna selagi Barisan Nasional berkuasa, sebarang usaha untuk menggubal undang-undang untuk membina tata kelola yang lebih baik dengan memisahkan fungsi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak akan dibenarkan dibawa ke Dewan Rakyat

Saya berpendapat pendirian ini akan mengurangkan kebebasan Parlimen dan merendahkan kedudukan Parlimen yang sepatutnya setaraf dengan cabang eksekutif kerajaan dari segi bidang kuasanya.

Oleh yang demikian, saya akan memfailkan kembali Rang Undang-undang Persendirian ini secara surat bertulis mengikut Peraturan Mesyuarat 27 dan berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkannya untuk dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam sidang depan.

Download (PDF, 1.03MB)

Saya juga telah memfailkan usul untuk menghadkan harga yang akan dibayar oleh TNB terhadap aset-aset IPP milik 1MDB pada 2 November 2015 dan telah menerima pengesahan dari Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat. Saya percaya Dewan Rakyat mesti memberikan isyarat yang jelas bahawa ia akan campur tangan di dalam sebarang urusniaga besar yang melibatkan kepentingan dan dana awam seperti ini.

Oleh yang demikian, saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkan agar usul ini dibenarkan untuk dibahaskan apabila ia dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam tempoh 2 minggu dari sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Bajet 2016: Biasiswa, Dermasiswa Dan Bantuan Pelajaran Dipotong 23%

Bajet 2016 telah mengundang kontroversi apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak memotong peruntukan kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebanyak RM1.4 bilion dengan Universiti Malaya mengalami potongan terbesar iaitu 27% berbanding peruntukan tahun 2015.

Walau bagaimana pun, potongan peruntukan kepada IPTA bukanlah satu-satunya potongan terhadap sektor pendidikan. Analisa lanjut belanja mengurus bagi tahun 2016 berbanding 2015 menunjukkan Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah memotong peruntukan untuk biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajaran sebanyak RM812 juta (atau 23% berbanding 2015) seperti berikut:

 

2015 2016 Potongan (%)
Perkara 41000

Biasiswa, Dermasiswa dan Bantuan Pelajaran

 

3,458,877,600

 

2,647,375,900

 

811,501,700

(23%)

Ini bermakna, potongan kepada pengajian tinggi iaitu peruntukan kepada IPTA dan biasiswa/dermasiswa serta bantuan pelajaran sebenarnya mencecah RM2.2 bilion dalam Bajet 2016. Ini adalah potongan mendadak yang akan membawa kesan kepada ratusan ribu keluarga di Malaysia.

Malangnya, pada masa yang sama perbelanjaan mengurus yang lain yang merugikan rakyat terus naik. Dua perkara perbelanjaan yang naik adalah “Perkara 44000: Tuntutan Insuran dan Pampasan” serta “Perkara 45000: Faedah, Dividen dan Bayaran Hutang Negara” dengan kenaikan seperti berikut:

  2015 2016 Kenaikan (%)
Perkara 44000

Tuntutan Insuran dan Pampasan

 

1,112,931,700

 

1,186,773,500

 

73,841,800

(7%)

Perkara 45000

Faedah, Dividen dan Bayaran Hutang Negara

 

27,073,231,400

 

32,465,115,900

 

5,391,884,500 (20%)

 
Kedua-dua kenaikan ini sebenarnya dalam kawalan kerajaan dan tidak akan meningkat begini sekiranya kewangan negara diuruskan dengan baik. Malah, sekiranya peningkatan belanja mendadak kos mengurus hutang dan tuntutan insuran/pampasan sebanyak RM5.5 bilion ini tidak berlaku, jumlah ini jauh lebih besar dari potongan kepada IPTA dan biasiswa sebanyak RM2.2 bilion seperti di atas.

Pengurusan kewangan negara di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah sampai ke peringkat kritikal sehinggakan sektor pendidikan dan biasiswa (dua perkara yang dijamin di dalam Perlembagaan untuk orang Melayu dan Bumiputra) turut dikorbankan untuk menampung hutang dan pampasan, sedangkan perbelanjaan hutang dan pampasan itu ialah akibat kelemahan kerajaan Barisan Nasional sendiri.

RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
WONG CHEN, AHLI PARLIMEN KELANA JAYA
KHALID SAMAD, AHLI PARLIMEN SHAH ALAM
LIEW CHIN TONG, AHLI PARLIMEN KLUANG

Bagi pihak
JK EKONOMI PAKATAN HARAPAN

%d bloggers like this: