Anggaran Kos 42 Perjalanan Menggunakan Jet Peribadi Baru ACJ320 Sebanyak RM40.8 Juta Bagi 6 Bulan

Soalan saya mengenai jumlah perjalanan dan kos yang ditanggung rakyat melibatkan jet peribadi baru ACJ320 telah naik dalam senarai soalan lisan pada hari Khamis 22 Oktober 2015 seperti berikut:

IMG_3333

Malangnya, jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Azalina Othman langsung tidak menyentuh perkara-perkara yang ditanya secara khusus. Jawapan yang diberikan adalah seperti berikut:

IMG_3335

Satu-satunya maklumat yang diberikan adalah jet peribadi ini telah digunakan sebanyak 42 kali sejak memulakan perkhidmatan dalam bulan April 2015. Ini bermakna, purata perjalanan jet ini adalah sebanyak 7 perjalanan setiap bulan di antara April 2015 hingga September 2015.

Ini bukan kali pertama soalan mengenai perbelanjaan melibatkan jet peribadi yang digunakan pimpinan kerajaan dibawa ke Parlimen. Sebelum ini, kerajaan memberi jawapan mengenai kos yang ditanggung apabila ditanya oleh YB Nga Kor Ming dalam sidang Oktober 2013.

Keengganan Perdana Menteri mendedahkan butiran perjalanan (ke mana dan bagi tujuan apa) serta kos setiap perjalanan menunjukkan beliau tahu maklumat ini akan menimbulkan kemarahan rakyat. Apabila kerajaan enggan mendedahkan maklumat berkepentingan awam kerana melibatkan dana rakyat, ia menggambarkan Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa perbelanjaan itu tidak berhemah sehingga perlu disembunyikan dari rakyat.

Walau bagaimana pun, saya telah mendedahkan sebelum ini bahawa kontrak penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) jet ACJ320 pula telah ditetapkan pada RM46 juta setahun. Ini tidak termasuk kos minyak jet dan perbelanjaan khusus bersabit setiap perjalanan yang akan dibayar oleh kerajaan.

Maka, sejak mula beroperasi dalam bulan April 2015, saya menjangkakan kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) adalah berjumlah RM23 juta. Mengikut rekod kos lawatan luar negara Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi tahun 2008 hingga 2013, beliau membelanjakan pada purata RM9 juta setahun.

Oleh itu, anggaran saya bahawa kos sewaan, operasi dan perjalanan melibatkan jet ACJ320 sejak mula beroperasi adalah seperti berikut:

1. Kos sewa jet – RM2.217 juta sebulan, jumlah 6 bulan (April 2015 ke September 2015) adalah RM13.3 juta
2. Kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) – RM3.833 juta sebulan, jadi kos bagi 6 bulan adalah RM23 juta
3. Kos perjalanan luar negara Perdana Menteri (berdasarkan purata tahunan) – dianggarkan RM4.5 juta bagi tempoh setengah tahun

Jumlah perbelanjaan melibatkan jet ACJ320 yang cuba disembunyikan oleh Perdana Menteri dianggarkan RM40.8 juta bagi tempoh 6 bulan dari April 2015 hingga September 2015.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.