Keputusan Mahkamah Rayuan Kes NFC & Bayaran RM306,999.18


Esok (Isnin 2 Oktober 2017, jam 9 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya), Mahkamah Rayuan akan memutuskan sama ada menerima atau menolak permohonan rayuan saya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes saman NFC yang berpihak kepada Dato’ Seri Salleh Ismail.

Perbicaraan di Mahkamah Rayuan selalunya adalah jauh lebih cepat dari di mahkamah tinggi kerana perayu (dalam kes ini saya) hanya mengemukakan hujah undang-undang yang khusus untuk menunjukkan bahawa hakim mahkamah yang lebih rendah telah melakukan kesilapan (sama ada dari segi penggunaan undang-undang yang salah tafsirannya, tidak mempertimbangkan perkara-perkara yang penting atau kesilapan prosedur dan lain-lain) sehingga berlaku ketidakadilan.

Penghujahan bertulis telah pun diuruskan oleh peguam-peguam saya yang terdiri dari Ranjit Singh (dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh www.ranjityeoh.com), Razlan Hadri Zulkifli (dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri), Ng Siau San dan Michele Navinder Kaur (dari Tetuan Sun & Michele).

Pasukan peguam ini unik dan telah membantu saya sejak 2012 lagi. Mereka tidak menerima sebarang bayaran dan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka di mahkamah seperti mana saya melaksanakan tanggungjawab saya di Parlimen. Tanpa peguam-peguam seperti ini, saya tidak boleh membongkarkan pelbagai penyelewengan kerajaan yang saya usahakan selama ini.

Ranjit Singh adalah kacukan Sikh dan Cina. Kali pertama saya bertemu beliau, saya berasa pelik kerana namanya Ranjit tetapi wajahnya lebih mirip Cina. Beliau adalah salah seorang pemidato (“litigator”) terbaik di mahkamah yang saya pernah saksikan setakat ini. Hujah beliau adalah jelas dan pidatonya selalu disertakan dengan kelucuan yang pintar (“wits”).

Razlan Hadri Zulkifli adalah anak Terengganu. Selain dari berasal dari negeri yang sama, kami juga adalah bekas murid tua MCKK (walaupun beliau dari tahun 80an ha3). Juga seorang peguam yang hujahnya lancar dan tajam, beliau adalah peguam kanan yang menguruskan kes-kes saman berprofail tinggi seperti NFC dan saman Najib.

Siau San dan Michele adalah peguamcara (“solicitor”) bagi kes-kes saman saya. Peguamcara adalah sama penting dengan lead counsel semasa perbicaraan kerana mereka menguruskan semua dokumen dan penghujahan yang perlu disediakan dan difailkan. Saya bertemu Siau San setelah diperkenalkan oleh seorang lagi peguam yang menjadi sukarelawan di Pandan yang memaklumkan Siau San sanggup membantu kes-kes saya yang makin meningkat jumlahnya. Michele adalah rakan kongsi firma Siau San dan mereka bergilir menguruskan kes-kes saya.

Keyakinan saya mengusahakan INVOKE kerana saya telah lebih awal ditemukan dengan rakyat Malaysia seperti mereka yang hanya mahu membantu dalam bentuk yang mereka mampu. Mereka juga tidak mendapat apa-apa habuan dan tidak berminat untuk mendapat apa-apa publisiti. Sebab itu saya yakin ada ramai rakyat Malaysia seperti ini dan meyakinkan saya bahawa platform yang bebas dari campur tangan kepartian boleh menarik minat dan sokongan ramai lagi rakyat Malaysia seperti mereka.

Saya memohon supaya sahabat-sahabat yang membaca ini berdoa dan meminta kepada Allah SWT agar saya diberikan keadilan esok.

Walau apa pun keputusannya, ia tidak mengubah keadaan bahawa projek penternakan lembu negara sudah gagal dan RM250 juta itu sebahagiannya telah dibelanjakan untuk membeli kondominium.

Dato’ Seri Salleh dan NFC juga telah mendapat wang mereka sebanyak RM306,999.18 yang dikejar-kejar itu. Cek disampaikan kepada peguam mereka pada hari Selasa 26 September 2017. Saya menyemak sekitar jam 1 pagi Rabu 27 September 2017 dan akaun bank INVOKE menunjukkan jumlah itu telah pun dikeluarkan seawal itu.

Saya tersenyum memikirkan wartawan-wartawan NST yang sibuk mengejar saya pada hari Rabu dan Khamis bertanyakan adakah saya telah membayar Dato’ Seri Salleh dan NFC. Bukankah lebih mudah mereka menelefon saja Dato’ Seri Salleh untuk mengesahkan perkara itu?

Dato’ Seri Salleh tidak pula memaklumkan kepada dunia bahawa dia telah mendapat wang itu seperti mana dia menghebahkan saya tidak menghubunginya atau dia belum dibayar sehari sebelum itu.

Watak-watak begini sepatutnya meyakinkan kita Malaysia sudah berada dalam keadaan yang terbalik dan perlukan perubahan segera.

 Watak-watak seperti Ranjit, Razlan, Siau San dan Michele meyakinkan kita bahawa semangat rakyat Malaysia untuk berlaku adil adalah sangat jitu dan jangan rendahkan rakyat Malaysia yang mungkin senyap tetapi telah berazam untuk menukar kerajaan.

Siri Soalan Lazim (FAQ) Mengenai Kewangan INVOKE

Datuk Rizal Mansor, pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor yang secara rasminya adalah Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Khas Jabatan Perdana Menteri melanggar Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sekali lagi apabila terus mengeluarkan kenyataan politik yang menyerang saya dan INVOKE.

Dalam kenyataan terbaru, beliau menuduh saya menyalahgunakan dana awam yang disumbangkan oleh rakyat melalui INVOKE untuk membayar kepada syarikat yang dimiliki oleh saya. Malah, laman-laman Umno dan macaimaya (“cybertrooper”) menggunakan serangan Datuk Rizal sebagai skrip menyerang Pakatan Harapan.

Isu-isu yang ditimbulkan setakat ini boleh dijawab dengan lebih baik melalui kaedah “soalan lazim” (atau frequently asked questions) seperti di bawah.

 

KENAPA INVOKE SEBUAH SYARIKAT, KATANYA NGO?

 Untuk menubuhkan sebuah “pertubuhan” (sama ada persatuan, parti politik, yayasan dan lain-lain) yang bukan syarikat, permohonan perlu dibuat kepada Pendaftar Syarikat (Registrar of Societies atau ROS). Setakat ini, ROS telah dipolitikkan dan sebarang permohonan dilambat-lambatkan. Malah, ROS juga dilihat menjadi senjata kepada Umno/BN untuk menghukum mana-mana pertubuhan atau parti politik yang mereka tidak gemari.

 Contoh yang terbaik ialah permohonan mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai sebuah parti untuk membolehkan Pakatan Harapan bertanding menggunakan satu logo. Sehingga kini, ROS tidak memberikan sebarang maklum balas. Satu lagi contoh ialah status DAP yang masih lagi tergantung sehingga sekarang apabila ROS tidak mahu mengiktiraf pemilihan pimpinan DAP.

 Satu-satunya perkara utama yang memberi kelebihan sebuah NGO didaftarkan sebagai “pertubuhan di bawah ROS” berbanding mendaftarkannya sebagai syarikat sendirian berhad di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia ialah dari aspek percukaian.

 Sebuah pertubuhan ROS tidak dikenakan cukai, tetapi tertakluk kepada pelbagai peraturan yang memberi ruang kepada campur tangan dan tekanan kerajaan.

 Syarikat sendirian berhad dibenarkan menjalankan banyak aktiviti yang selalunya dikategorikan sebagai aktiviti bukan bermotif keuntungan (kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain) tertakluk kepada Memorandum Penubuhan yang diluluskan oleh pemegang saham. Syarikat sendirian berhad perlu membayar cukai jika ada lebihan dari perbelanjaannya.

 Tetapi, Akta Syarikat memberi lebih banyak perlindungan kepada syarikat sendirian berhad dari campur tangan dan tekanan kerajaan berbanding sebuah pertubuhan di bawah ROS.

 Mengambil kira risiko INVOKE tidak akan diluluskan oleh ROS dan segala gerak geri kami dijadikan alasan untuk diberikan tekan oleh ROS, saya membuat keputusan menubuhkannya sebagai sebuah syarikat sendirian berhad yang 99% milik saya.

 

TAPI ITU MASALAHNYA! KAMU KUTIP DUIT MASUK SYARIKAT KAMU PUNYA. SAMA MACAM KUTIP DUIT MASUK POKET KAMU!

 Ada yang berhujah bahawa penggunaan syarikat sendirian berhad bagi tujuan menggembleng sokongan rakyat tidak berparti yang diusahakan INVOKE menimbulkan percanggahan kepentingan (“conflict of interest”) kerana INVOKE dimiliki oleh saya (lebih 90% saham dimiliki oleh saya).

 Soal percanggahan kepentingan hanya timbul dalam keadaan-keadaan berikut:

i. Saya mendapat manfaat kewangan yang langsung dari INVOKE seperti dibayar gaji, perbelanjaan saya ditanggung atau saya mendapat keuntungan dari aktiviti INVOKE yang membolehkan INVOKE membayar dividen kepada saya

ii. Apa-apa kontrak atau perbelanjaan INVOKE diberikan kepada syarikat-syarikat milik saya dan saya mendapat manfaat kewangan (sama seperti (i) di atas) di dalam syarikat-syarikat lain milik saya

 Saya tidak mendapat satu sen pun manfaat kewangan dari INVOKE atau syarikat lain yang saya miliki yang ada urusniaga dengan INVOKE (seperti KEIP Resources Sdn Bhd yang saya akan terangkan selepas ini). Saya tidak dibayar gaji, saya tidak membuat sebarang tuntutan perbelanjaan, perbelanjaan atau elaun hatta satu sen pun dari INVOKE dan KEIP Resources Sdn Bhd.

 Malah, saya memasukkan wang saya ke dalam kedua-dua syarikat ini. Wang simpanan saya yang berjumlah RM755,500 telah saya suntik ke dalam INVOKE dan dipecahkan dalam 2 bentuk: RM255,601 untuk melanggani saham-saham INVOKE, RM499,899 adalah pendahuluan saya kepada INVOKE.

 Jika pun satu hari nanti, INVOKE membuat keuntungan dari operasinya, maka INVOKE hanya boleh mengembalikan paling banyak RM499,899 dari wang yang telah saya suntik. Baki RM255,601 yang telah menjadi saham akan kekal dalam INVOKE sampai bila-bila dan hampir mustahil untuk saya mendapatkannya kembali.

 INVOKE ditubuhkan sebagai badan bukan bermotif keuntungan (“not for profit organisation”) – maksudnya sedang ia menjalankan aktiviti komersil untuk menjana pendapatan, jika ada pun keuntungan, ia mesti dibelanjakan kembali kepada program-program yang sesuai dengan piagam penubuhannya.

 INVOKE ditubuhkan sedemikian rupa kerana saya benar-benar mahu membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mampu membina sebuah gerakan rakyat yang tidak perlu mengemis dan bergantung kepada dedak dari golongan berkepentingan (“vested interest”). INVOKE berpotensi kekal beroperasi pada tempoh masa yang lama kerana banyak kemahiran dan khidmatnya ada nilai komersil dan dari pendapatan itulah, ia dikembalikan kepada program-program INVOKE yang membantu rakyat. Oleh itu, INVOKE ada potensi untuk mencapai kelangsungan kewangan (“financial sustainability”) bagi jangka masa yang panjang.

 Setakat ini, INVOKE kekal rugi sejak hari pertama dan tidak berkemungkinan akan menjana keuntungan dalam masa akan datang. Jika pun ada keuntungan, INVOKE tidak boleh menggunakan keuntungan itu untuk keuntungan peribadi (termasuk pemegang saham seperti saya) dan perlu dikembalikan untuk menampung perbelanjaan aktiviti dan program.

 Oleh itu, INVOKE tidak ada prospek untuk mengisytiharkan dividen dalam keadaan sekarang dan saya tidak berkemungkinan mendapat untung hasil dari pegangan saham INVOKE. Jika ada lebihan pun, paling tinggi saya hanya dapat menuntut kembali RM499,899 yang masih lagi ditunjukkan sebagai pendahuluan (baki RM255,601 kekal di dalam INVOKE sebagai saham).

 Besar kemungkinan kesemua RM499,899 yang saya dahulukan itu pun akan ditukar menjadi saham-saham di dalam INVOKE untuk membolehkan saya mengagihkan saham-saham kepada kakitangan INVOKE yang berkorban selama ini. Saya mahukan mereka tahu bahawa INVOKE adalah sebahagiannya milik mereka kerana mereka yang membinanya – maka mereka perlu ada saham di dalam INVOKE.

 Dalam keadaan-keadaan ini, adalah mustahil untuk saya mendapatkan kembali wang RM755,500 yang telah saya suntik. Saya juga tidak mendapat satu sen pun manfaat kewangan dari INVOKE atau KEIP Resources Sdn Bhd.

 Sebab itu, tidak ada risiko berlakunya “percanggahan kepentingan” apabila INVOKE ditubuhkan sebagai syarikat sendirian berhad kerana organisasi dan struktur kewangannya dibina untuk menghapuskan risiko “percanggahan kepentingan”.

 

TAPI MACAIMAYA UMNO KATA KAMU DIBAYAR GAJI RM44,566 SEBULAN OLEH INVOKE?

 Selepas saya mendedahkan kesemua transaksi terperinci INVOKE minggu lepas termasuklah jumlah yang dibayar sebagai gaji staf, macaimaya (“cyber trooper”) Umno menimbulkan isu saya mendapat gaji sebanyak RM44,566 sebulan dari INVOKE.

 Mereka membuat fitnah ini akibat ceteknya pengetahuan mereka mengenai kewangan, akaun dan transaksi dalam rekod kewangan. Dari lejer pembayaran gaji INVOKE yang saya siarkan, ada tiga transaksi yang mempunyai nama saya iaitu pembayaran gaji bagi bulan Oktober, November dan Disember 2016 seperti di bawah:

 

 Apabila INVOKE mula-mula beroperasi dalam bulan Ogos 2016, kami hanya ada beberapa kakitangan sahaja. Oleh itu, gaji mereka dibayar dengan cek INVOKE.

 Pada masa ini, INVOKE masih berurusan dengan Maybank untuk mengaktifkan kemudahan perbankan internet yang mengambil masa yang lebih lama bagi syarikat berbanding dengan permohonan individu. Oleh itu, semua bayaran untuk 2-3 bulan pertama operasi INVOKE adalah melalui cek.

 Di dalam lejer, apabila perbelanjaan itu dibayar melalui cek, ia dikategorikan sebagai sebagai “cheque expense” yang ditunjukkan sebagai “transaction type”. Bagi setiap urusniaga yang berlaku, akauntan INVOKE perlu memasukkan maklumat mengenai “transaction type”.

 Ada dua jenis kategori “transaction type” yang utama bagi pembayaran iaitu:

i. “Cheque expense” – perbelanjaan dibayar dari akaun bank INVOKE dengan cek

ii. “Expense” – apabila perbelanjaan itu secara berhutang atau didahulukan oleh seseorang. Nama yang ditunjukkan di bawah jalur “NAME” bukanlah nama kakitangan yang menerima gaji, sebaliknya nama syarikat yang mana INVOKE mendapat perkhidmatan secara kredit atau nama pihak yang mendahulukan wang kepada INVOKE untuk membayar perbelanjaan itu.

 Oleh itu, tiga transaksi yang ada nama saya di bawah jalur “NAME” iaitu 23 November 2016 sebanyak RM28,398, 15 Disember 2016 sebanyak RM44,566 dan 27 Disember 2016 sebanyak RM39,952.50 adalah gaji kakitangan bagi bulan-bulan terbabit yang dibayar oleh saya terus melalui bank akaun saya. Jumlah tersebut bukannya gaji yang dibayar kepada saya dari akaun INVOKE, ia adalah perkara yang sebaliknya.

 Antara bulan Ogos hingga Oktober 2016, INVOKE beroperasi dengan menggunakan modal awal yang saya suntik. Semua gaji kakitangan dibayar dengan cek.

 Menjelang November 2016, jumlah kakitangan bertambah dengan mendadak dan INVOKE masih belum berjaya menganjurkan sebarang aktiviti mengumpulkan dana yang besar untuk menampung gaji kakitangan.

 Saya tidak ada pilihan lain kecuali terus membayar gaji kakitangan menggunakan wang saya sendiri tetapi apabila jumlah kakitangan telah mencecah 40 orang menjelang akhir November 2016, proses menyediakan cek dan menandatangani cek adalah membuang masa. Ini kerana saya perlu memindahkan wang dari akaun peribadi ke akaun INVOKE, kemudian masa yang diambil untuk menyediakan cek, kemudian kakitangan perlu ke bank untuk memasukkan cek yang mengambil masa beberapa hari untuk ditunaikan.

 Sebab itu bagi bulan-bulan tersebut, saya membayar terus dari akaun peribadi saya dan menghantar jumlah yang didahulukan untuk membayar gaji kakitangan kepada akauntan INVOKE. Jumlah itu dimasukkan di dalam akaun dan ditunjukkan sedemikian rupa.

 

TAPI RIZAL MANSOR, JURUCAKAP DATIN SERI ROSMAH MANSOR TUNJUKKAN BUKTI INVOKE BAYAR KEPADA KEIP RESOURCES, SYARIKAT MILIK RAFIZI. KENAPA RAFIZI BAYAR RAFIZI?

 Kebodohan dalam memahami debit kredit dan bagaimana rekod kewangan disimpan telah menyebabkan saya difitnah oleh macaimaya Umno kononnya saya mengambil gaji sehingga RM44,566 sebulan (seperti yang saya tunjukkan di atas).

 Tuduhan seterusnya yang dibuat kononnya saya melantik syarikat milik saya KEIP Resources Sdn Bhd untuk mengambil untung dengan membekalkan pekerja kepada INVOKE adalah berpunca dari kebodohan Datuk Rizal Mansor yang tidak faham tentang hal ehwal korporat dan kewangan.

 

 Semasa saya merancang penubuhan INVOKE dalam bulan Jun 2016, saya sedar bahawa INVOKE berkemungkinan berdepan dengan pelbagai tekanan dari pihak berkuasa untuk membunuhnya dari awal. Selain dari kewangan, salah satu latar belakang kemahiran saya di PETRONAS dahulu adalah perancang perniagaan – memang tugas saya mengenal pasti risiko dan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan risiko tersebut.

 Salah satu risiko utama INVOKE di awal penubuhannya adalah risiko tekanan pihak berkuasa atas motif politik. Oleh itu, struktur korporat INVOKE perlu dirancang dan dilaksanakan untuk mengurangkan risiko-risiko ini.

 Berikut adalah contoh-contoh cara bagaimana perancangan korporat penubuhan INVOKE telah menyebabkan struktur entitinya seperti yang ada sekarang dan jenis-jenis risiko yang dikurangkan:

i. Risiko disekat kerana dituduh mengutip derma tanpa kelulusan – INVOKE ditubuhkan di dalam piagamnya dan didaftarkan dengan pihak-pihak berkuasa percukaian di negara ini sebagai sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan atas talian yang memadankan pelanggan khidmatnya dengan pelbagai peluang/aktiviti sukarela yang ada di seluruh negara. Setiap wang yang disumbangkan adalah satu pembelian perkhidmatan yang sah mengikut terma yang sudah diterbitkan secara jelas di laman web INVOKE. Sebab itu INVOKE membayar GST di atas setiap satu sen yang dijananya. Maka tidak timbul soal melanggar undang-undang seperti yang diwar-warkan oleh macaimaya Umno beberapa hari ini.

ii. Risiko kakitangan diugut atau diambil tindakan atas motif politik – Semua kakitangan INVOKE adalah kakitangan syarikat lain iaitu KEIP Resources Sdn Bhd yang tidak ada kena mengena dengan INVOKE. Walaupun kedua-dua syarikat ini dimiliki oleh orang yang sama, secara undang-undang kedua-duanya adalah entiti yang berlainan dan tidak ada kena mengena. Apa-apa tindakan atau tekanan yang ingin diambil oleh pihak berkuasa ke atas INVOKE tidak boleh mengheret kakitangannya kerana kakitangannya hanyalah sub-kontraktor yang menjalankan tugas mengikut terma kontrak yang dipersetujui di antara KEIP Resources Sdn Bhd dan INVOKE. Dengan cara ini, saya cuba sedaya upaya melindungi anak-anak muda yang berkorban ini dari menjadi mangsa politik Umno/BN jika ada serangan politik ke atas INVOKE.

iii. Risiko kewangan ke atas kemampuan majikan membayar kakitangan jika INVOKE disaman – Sebarang tindakan undang-undang atau saman ke atas INVOKE yang mempunyai kesan ke atas kewangannya tidak mengurangkan hak kakitangan mendapatkan gaji. Begitu juga dari segi pengurusan dana, kelangsungan gaji kakitangan INVOKE diberi keutamaan dengan memastikan apa-apa dana yang dijana oleh INVOKE dibayar terlebih dahulu kepada KEIP Resources Sdn Bhd agar gaji kakitangan yang dibayar terlebih dahulu sebelum perbelanjaan-perbelanjaan lain.

 Saya sertakan invois dari KEIP Resources Sdn Bhd. Jumlah yang diinvois adalah jumlah bersih yang perlu dibayar kepada kakitangan dan yuran 5% adalah untuk menampung kos menguruskan segala aspek percukaian kakitangan dan semua hal statutori yang lain.

 KEIP Resources Sdn Bhd tidak mempunyai apa-apa pendapatan atau perbelanjaan lain. Ia adalah sebuah syarikat khusus bagi tujuan perancangan perniagaan untuk mengurangkan risiko seperti yang saya terangkan di atas.

 Kaedah ini iaitu mengasingkan entiti undang-undang (“legal entity”) dari kakitangan adalah kaedah biasa yang diamalkan oleh semua syarikat besar dunia.

 Misalnya, apabila seseorang menyertai PETRONAS, beliau adalah kakitangan kepada PETRONAS (iaitu syarikat induk). Apabila beliau dihantar bertugas ke Sudan, operasi perniagaan PETRONAS di Sudan sebenarnya dijalankan oleh sebuah syarikat lain, contohnya PETRONAS Sudan International Limited yang ditubuhkan di negara lain bagi pelbagai tujuan termasuklah perancangan risiko undang-undang dan perancangan percukaian.

 Kakitangan PETRONAS yang dihantar berkhidmat ke Sudan akan terus dibayar oleh PETRONAS. PETRONAS kemudiannya menghantar invois kepada PETRONAS Sudan International Limited. Jika ada sebarang masalah undang-undang akibat tekanan kerajaan Sudan ke atas operasi PETRONAS, secara undang-undang kakitangan PETRONAS yang berkhidmat di Sudan tidak ada liabiliti undang-undang kerana mereka bukan kakitangan PETRONAS Sudan International Limited.

 Maka tidak timbul soal saya menubuhkan syarikat untuk membekalkan perkhidmatan bagi tujuan mendapatkan manfaat kewangan dari INVOKE.

 Jika Datuk Rizal Mansor seorang yang cerdik dan ada sedikit pengetahuan mengenai urusan mentadbir, beliau mungkin tahu mengenai kaedah-kaedah ini.

 

NAMPAK MACAM JURUCAKAP DATIN SERI ROSMAH NI MEMANG KURANG CERDIK. KENAPA LAYAN MACAIMAYA MACAM INI?

 Saya menubuhkan INVOKE bukan atas dasar membantu calon-calon Pakatan Harapan semata-mata. Saya berniat dari awal untuk membantu menukar budaya dan pemikiran rakyat Malaysia jika INVOKE berjaya menunjukkan ketelusan dan profesionalisme yang dipandang tinggi oleh rakyat.

 Ramai yang menulis kepada saya supaya tidak melayan orang seperti Datuk Rizal Mansor ini kerana dia bukan lawan politik saya. Namun ramai yang tidak tahu dan faham bahawa setiap kali Datuk Rizal Mansor (yang umum tahu adalah jurucakap Datin Seri Rosmah) membuka mulut menyerang INVOKE dan meminta INVOKE menunjukkan pelbagai rekod, rakyat Malaysia boleh melihat sendiri hipokrasi dan kegilaan dalam tindakan itu.

 Hakikat bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak boleh membenarkan seorang Ketua Penolong Pengarah di dalam jabatannya melemparkan fitnah sesuka hati seperti ini dan menumpukan masa yang dibayar rakyat untuk menuntut ketelusan dari INVOKE untuk mendapat kepastian dana awam (dari sumbangan orang ramai) tidak diselewengkan – adalah satu kejanggalan ketara (“stark irony”) yang lebih meyakinkan rakyat bahawa dunia sudah terbalik.

 Namun, setiap kali INVOKE berjaya menunjukkan dengan terperinci bukti yang menyangkal setiap fitnah yang dibawa oleh Datuk Rizal Mansor dan macaimaya Umno – itu juga menjadi satu kontras utama yang berkesan untuk mengingatkan rakyat bila Dato’ Seri Najib didesak untuk berlaku telus mengenai 1MDB, beliau lari dan tidak pernah berani bersikap telus seperti INVOKE.

 Sedangkan dana INVOKE adalah dari poket saya dan rakyat yang lain, berbanding dana 1MDB yang memakan wang orang miskin.

 Rekod INVOKE menunjukkan setiap kali Datuk Rizal Mansor menyerang saya atau INVOKE, jumlah wang yang disumbangkan juga meningkat.

 Sebab itu saya melayan karenah Datuk Rizal Mansor kerana kebodohan beliau itu mendorong lebih ramai rakyat Malaysia menyertai dan menyumbang kepada INVOKE untuk membuang bos beliau dari Putrajaya.

 

Saya akan membuat laporan disiplin terhadap Datuk Rizal Mansor secara rasmi minggu depan kerana melanggar peraturan penjawat awam dan membazir wang rakyat membayar gaji beliau apabila beliau hanya membuat kerja-kerja politik picisan.

Saya juga akan berbincang dengan peguam-peguam saya untuk mempertimbangkan memfailkan saman terhadap Datuk Rizal Mansor kerana fitnah beliau yang menuduh saya bersifat tidak jujur dan mencuri wang rakyat, seperti kritikan terbaru beliau. Walaupun sebelum ini saya tidak pernah menyaman sesiapa hatta Papagomo sekali pun (atas fitnah-fitnah yang terang-terang tidak benar, contohnya saya dipecat dari PETRONAS kerana mencuri wang tuntutan perbelanjaan), saya merasakan Datuk Rizal Mansor ada wang dan dokongan kewangan yang besar.

Berbeza dengan menyaman Papagomo yang tidak ada apa-apa dan kalau menang pun tidak mampu membayar peguam, saya berpendapat saman ke atas Datuk Rizal Mansor atas fitnah yang nyata ini akan berjaya mendapatkan pampasan ratusan ribu ringgit yang boleh disumbangkan kepada INVOKE.

Datuk Rizal Mansor tidak sedar apabila saya melayan beliau selama ini, beliau hanyalah umpan untuk saya menjana lebih banyak dana bagi menampung perbelanjaan INVOKE.

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
Bagi pihak INVOKE

Warkah Kepada Dato’ Seri Salleh

Assalamualaikum wbth

Ke hadapan Dato’ Seri Salleh Ismail yang dikasihi

Saya ada terbaca berita mengenai keluhan Dato’ Seri yang menghubungi Berita Harian sekitar jam 7 malam tadi kerana Dato’ Seri belum menerima cek dari saya.


Saya ada sertakan petikan skrin dari Berita Harian sebab saya khuatir Dato’ Seri ingat saya memfitnah Dato’ Seri. Kalau Dato’ Seri failkan saman terhadap saya sekali lagi kerana berita ini, nanti Dato’ Seri kena bayar peguam yang mahal untuk menguruskan kes saman yang baru itu.


Saya minta maaf kalau sedikit kelewatan beberapa jam itu begitu meresahkan Dato’ Seri sehingga mendorong Dato’ Seri menghubungi wartawan (Rafidah) selepas waktu kerja biasa. Lagi pun saya tengok Rafidah telah pun menghubungi salah seorang peguam saya (En Razlan Hadri) yang telah mengesahkan bahawa saya telah menyerahkan cek kepada peguam saya. En Razlan juga telah pun memaklumkan Rafidah yang cek itu akan disampaikan kepada peguam Dato’ Seri esok.

Semasa saya dan peguam saya berbincang mengenai kepada siapa saya patut menulis cek berjumlah RM306,999.18 itu, saya dinasihatkan untuk menulisnya kepada peguam Dato’ Seri yang berbulan-bulan kononnya tidak dapat mencari saya. Padahal saya tiap-tiap hari ada buat #liveFB. Pusat Khidmat saya pun terbuka sepanjang minggu tetapi peguam Dato’ Seri ini tidak dapat cari saya seperti mana pihak berkuasa tidak berjaya mencari Jho Low.

Mungkin sebab muka saya ada iras Cina sedikit dan saya pun tembam-tembam juga, agaknya kerani dari firma peguam Dato’ Seri tersalah cari Jho Low!

Mulanya saya mahu membayar kesemua RM306,999.18 itu kepada Dato’ Seri. Saya pun bersimpati dengan Dato’ Seri. Setiap kali kita bertemu di mahkamah, Dato’ Seri nampak murung sekali.

Saya tak salahkan Dato’ Seri kerana bebanan hidup kebelakangan ini sangat menekan. Saya yakin Dato’ Seri juga ada terkesan dengan GST, tambah-tambah dalam keadaan perniagaan Dato’ Seri tidak begitu baik. Saya tahu pasaraya di Singapura itu ditutup dan mungkin juga perniagaan-perniagaan lain.

Oleh kerana saya memang tidak setuju dengan pengenalan GST sekarang, saya harap Dato’ Seri bersabar selagi kita tidak menukar kerajaan kerana selagi itulah kita kena bayar GST.

Hati saya memang mahu membayar kesemua RM306,999.18 kepada Dato’ Seri.

Kemudian barulah peguam saya mengingatkan bahawa RM306,999.18 bukan semuanya milik Dato’ Seri.


Mengikut notis mahkamah yang peguam Dato’ Seri tampal di pintu rumah saya minggu ini, hanya RM150,000 yang perlu dibayar kepada Dato’ Seri (beserta faedah).

RM50,000 lagi (beserta faedah) sebenarnya diarahkan dibayar kepada NFC. Saya pun tidak ingat berapa lagi wang baki dari RM250 juta yang belum dibelanjakan yang telah dipulangkan kepada kerajaan, tetapi jumlah yang dibelanjakan untuk membeli kondominium dan harta lain adalah lebih dari RM50,000.

Jadi wang RM50,000 ini diperlukan oleh NFC untuk membayar balik wang rakyat yang sudah dibelanjakan tetapi NFC masih berhutang dengan rakyat Malaysia.

Baki RM100,000 lagi adalah jumlah khusus untuk dibayar kepada peguam-peguam Dato’ Seri. Saya tahu peguam Dato’ Seri tidak mengambil kes ini secara percuma seperti peguam- peguam saya.

Untuk meringankan beban kewangan Dato’ Seri yang sudah banyak (dengan GST dan lain-lain), saya kena pastikan wang RM100,000 ini sampai kepada peguam.

Daripada menulis 3 cek yang berasingan kepada 3 pihak, saya telah menulis kesemuanya kepada peguam Dato’ Seri yang bernama Khalek Awang itu. Saya telah meminta peguam saya Siau Sun & Michele untuk berhubung dengan peguam Dato’ Seri supaya cek dapat diserahkan secepat mungkin. Saya ingat agaknya dengan cara itu juga peguam Dato’ Seri boleh belajar kaedah yang lebih mudah untuk menghubungi saya iaitu melalui peguam masing-masing.

Itu pun saya agak keberatan untuk menulis cek sekaligus kepada peguam Khalek Awang kerana saya ingat Dato’ Seri mungkin lebih memerlukannya. Tetapi saya tidak mahu menyusahkan Dato’ Seri takut-takut Dato’ Seri ingat wang kepada peguam atau NFC boleh digunakan sesuka hati. Saya takut Dato’ Seri terbelanja wang yang milik NFC atau peguam Dato Seri untuk menternak lembu, seperti dulu Dato’ Seri terbelanja wang RM250 juta untuk membeli kondominium.

Saya harap menjelang jam 7 petang esok Dato’ Seri dapatlah cek itu. Saya harap kalau Dato’ Seri gembira pun jangan sampai tidur dengan cek itu.

Satu perkara lagi, ada kawan saya di Pandan tanya sama ada Dato’ Seri sudah bayar kesemuanya wang RM250 juta yang diambil untuk bela lembu dahulu. Kata kawan saya, kalau Dato’ Seri cepat-cepat bayar, boleh juga kami gunakan wang itu untuk kurangkan GST atau kurangkan harga petrol.

Kalau boleh Dato’ Seri bayarlah sebelum pukul 7 petang esok, saya bimbang kawan saya itu akan sawan dan mula menelefon wartawan Berita Harian kerana belum menerima RM250 juta milik rakyat itu.

Baiklah Dato’ Seri anak saya sudah marah kerana saya sibuk menulis surat kepada Dato’ Seri. Katanya dulu saya selalu tiada di rumah kerana mencari lembu di dalam kondominium-kondominium di Bangsar. Sekarang masih lagi berpusing-pusing dengan kes lembu ini.

Sampaikan salam kepada anak-anak Dato’ Seri juga.

Sampaikan salam hormat dan simpati kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil kerana beliau masih terpaksa bekerja pada umur ini walaupun dipencenkan sejak tahun 2008 lagi. Namun dalam keadaan serba GST ini, kita boleh bernafas lega sedikit kalau isteri kita ada pendapatan tetap. Lebih-lebih lagi Dato’ Seri Shahrizat dapat gaji menteri tiap-tiap bulan.

Sehingga kita ketemu lagi minggu depan di Mahkamah Rayuan kerana mahkamah akan memutuskan permohonan rayuan saya membatalkan keputusan yang berpihak kepada Dato’ Seri.

Jika saya menang, In Sha Allah saya akan menampal notis tuntutan sebesar pintu rumah di pintu pagar rumah Dato’ Seri untuk membayar kembali jumlah RM306,999.18 ini.

Saya bergurau sahaja. Saya yakin jika pun Dato’ Seri diarahkan mengembalikan wang itu minggu depan, seminggu dapat merasa wang itu bolehlah mengurangkan beban beberapa sen membayar GST untuk minggu ini.

Saya mendoakan Dato’ Seri sekeluarga bahagia dan kekal sampai bila-bila.

Yang benar
Rafizi
25 September 2017
1130 malam

PS: Dato’ Seri masih menjual daging lembu di Meatworks? Kalau masih ada, ingat nak singgah belanja Tun Mahathir minggu depan.

Skandal NFC: Iklan Notis Bankrap Sengaja Diusahakan Sebagai Modal Politik

Saya merujuk kepada satu notis menuntut bayaran sebanyak RM306,999.17 setakat 13 Julai 2017 seperti yang diiklankan di dalam akhbar tempatan atas arahan yang diperolehi oleh Dato’ Seri Salleh Ismail (suami kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno) dan NFC daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Saya tahu bahawa tindakan membuat permohonan terus di mahkamah tanpa berusaha sepenuhnya untuk menghantar notis secara tangan agar notis itu diterima sendiri oleh saya (seperti kehendak undang-undang yang biasa diamalkan) adalah satu helah murahan di pihak Dato’ Seri Salleh Ismail untuk memfitnah dan menyerang peribadi saya. Saya tidaklah terkejut, malah bersimpati dengan beliau kerana pada umur sedemikian beliau nampak terlalu terikut-ikut dengan perasaan marah dan dendam atas apa yang berlaku ke atas NFC yang mengheret keluarga beliau.

Dengan mendapatkan notis dari mahkamah itu, ia bertujuan untuk memberi gambaran bahawa saya berlaku tidak jujur kerana menerima sumbangan orang ramai untuk membayar jumlah yang dituntut oleh beliau tetapi menyimpan jumlah itu dan tidak membayarnya kepada beliau. Selain itu, ia digunakan sebagai modal politik murahan oleh cyber trooper Umno untuk menyerang saya sebagai seorang yang bankrap.

Rakyat secara umumnya tidak begitu arif tentang selok belok kaedah undang-undang dalam mengendalikan tuntutan bayaran selepas satu penghakiman kes saman dikeluarkan.

Oleh itu, mudah untuk menggunakan kaedah undang-undang untuk memberi gambaran saya enggan membayar walaupun sudah menerima sumbangan lebih RM1.5 juta dari rakyat Malaysia.

Kaedah-kaedah di sisi undang-undang untuk menghantar notis menuntut bayaran selepas satu penghakiman dibuat dalam kes saman seperti ini tertakluk kepada kaedah-kaedah yang terkandung di dalam Peraturan Mahkamah 2012 (Rules of Court 2012) yang diwartakan.

(Rujuk Peraturan Mahkamah 2012 http://www.malaysianbar.org.my/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=3766 )

Secara umumnya, kaedah-kaedah ditentukan oleh Perintah 10 (“ORDER 10: SERVICE OF ORIGINATING PROCESS: GENERAL PROVISIONS”) dan Perintah 62 (“ORDER 62
SERVICE OF DOCUMENTS”).

Perintah 10 Peranggan 1 menyebut bahawa tertakluk kepada akta-akta dan peraturan-peraturan di dalam Peraturan Mahkamah, sesuatu notis (dipanggil juga writ) perlulah disampaikan secara peribadi kepada pihak yang menerima atau dihantar melalui pos berdaftar. Dalam kes notis menuntut bayaran seperti kes ini, ia bermakna peguam yang dilantik oleh Dato’ Seri Salleh Ismail perlulah membuat temu janji dengan saya untuk datang berjumpa dan menyampaikan sendiri notis tuntutan itu yang perlu ditandatangani oleh saya dalam satu salinan sebagai persetujuan saya telah menerima notis tersebut.

Perintah 62 Perenggan 5 (mengenai “Substituted Service”) menyebut pula bahawa jika sesuatu notis perlu disampaikan secara peribadi tetapi Mahkamah merasakan adalah tidak praktikal (“impractical”) untuk menyampaikannya secara peribadi, satu permohonan boleh dibuat kepada Mahkamah oleh pemohon untuk mendapatkan arahan Mahkamah agar kaedah-kaedah lain digunakan untuk menyampaikan notis itu kepada pembayar.

Mahkamah kemudiannya berhak mengarahkan agar satu notis diiklankan mengikut apa-apa kaedah yang difikirkan sesuai, selalunya diiklankan di dalam sebuah akhbar edaran nasional.

Saya perlu menegaskan bahawa kaedah mendapatkan satu perintah mahkamah agar notis diiklankan bukanlah cara biasa yang digunakan untuk menuntut bayaran seperti dalam kes ini kerana tugas untuk menyampaikan notis secara tangan untuk diterima secara peribadi oleh saya bukan satu perkara yang susah.

Saya dimaklumkan oleh beberapa orang rakan peguam bahawa pemohon (dalam kes ini Dato’ Seri Salleh Ismail) perlu menunjukkan bahawa beliau tidak dapat menjejaki saya sama ada kerana alamat yang diberikan tidak lagi wujud atau tiada yang tahu di mana saya berada. Tambahan pula, kaedah mengiklankan di dalam akhbar akan melibatkan kos yang tinggi.

Sebab itu saya tidak terkejut apabila Dato’ Seri Salleh Ismail dan NFC mengambil jalan yang pelik dan menelan belanja sedangkan cara biasa hanyalah menghubungi saya atau datang ke pejabat saya. Bagi saya, mereka berniat untuk memalukan dan menunjukkan kononnya saya seorang yang pecah amanah kerana telah mendapat sumbangan tetapi tidak membayar tuntutan mereka.

Apa yang tidak dimaklumkan kepada rakyat adalah saya tidak dapat membayar sehingga mereka menyampaikan notis tuntutan itu secara tangan dan diterima peribadi kepada saya kerana saya tidak tahu jumlah sebenar yang perlu saya bayar. Hakim YA Azizul Azmi Adnan bukan sahaja menganugerahkan bayaran RM300,000 kepada NFC dan Dato’ Seri Salleh Ismail, jumlah itu perlu dibayar dengan bayaran faedah yang dikira pada setiap hari.

Oleh itu, saya memang perlu menunggu notis tuntutan itu diserahkan secara tangan untuk memenuhi kehendak undang-undang dan mengetahui jumlah yang perlu dibayar.

Malangnya, perkara yang mudah iaitu menghubungi saya untuk membuat temujanji untuk menyerahkan notis tuntutan yang menyatakan jumlah yang perlu dibayar itu tidak pernah diusahakan oleh Dato’ Seri Salleh Ismail.

Pihak beliau hanya meninggalkan surat di rumah saya kononnya mereka datang tetapi saya tiada di rumah. Seterusnya mereka meninggalkan pula surat untuk menyatakan mereka berkehendakkan saya berada di rumah pada tarikh dan masa yang mereka tetapkan untuk saya menerima notis yang hendak mereka serahkan.

Saya hanya satu arahan mahkamah yang sama seperti yang diiklankan di dalam akhbar buat kali pertama pada hari Selasa lepas iaitu 19 September 2017, semasa saya pulang ke rumah sekitar jam 1 pagi selepas program seharian,. Arahan mahkamah itu bertarikh 14 September 2017 dan memberi saya tempoh seminggu iaitu sehingga 21 September 2017, tetapi hanya ditampal di pintu rumah saya hanya pada 18 September 2017 dan hanya dilihat oleh saya pada pagi 19 September 2017.

Pada 20 September 2017, saya berada di Sitiawan pada sebelah malamnya dan pada 21 September 2017, saya ada kes di mahkamah. 22 September 2017 ialah cuti umum awal Muharram.

Maka saya tidak terkejut apabila saya menyemak telefon saya semalam sekitar 7 malam setelah seharian berkempen di Kedah dan Perlis, saya terlihat ada dua panggilan dari wartawan New Straits Times yang bernama Syed Umar Ariff. Sebelum ini, wartawan ini menulis beberapa rencana pojok politik yang memburuk-burukkan saya tanpa sekali pun merujuk kepada saya sebelum menulis rencana-rencana itu. Itu hak beliau untuk menulis tetapi apabila wartawan pertama yang menghubungi saya mengenai notis kebankrapan ini adalah Syed Umar Ariff dari NST (sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah pun menghubungi saya walaupun tulisan pojok beliau itu boleh sahaja disaman kerana serangan ke atas saya), saya fahamlah sebab musababnya.

Jika niat mereka ini untuk memalukan saya kerana notis bankrap yang disiarkan dan dijadikan modal serangan media milik Umno seperti TV3, NST dan Berita Harian – saya tidak rasa itu berkesan. Saya sudah pun ada berbelas kes mahkamah dan sudah dijatuhkan hukuman penjara. Apalah sangat satu notis menuntut bayaran yang disiarkan di dalam media milik Umno.

Jika niat mereka untuk menunjukkan saya seorang yang menipu kerana menerima sumbangan rakyat tetapi menyelewengkan wang itu untuk diri saya – tindakan yang diambil ini adalah bodoh kerana rakyat Malaysia boleh membaca permainan politik mereka. Cemuhan rakyat kepada keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan Dato’ Seri Salleh Ismail akan berterusan kerana bukan sahaja mereka tidak mengembalikan sepenuhnya RM250 juta wang rakyat yang diambil, kini mereka cuba bermain politik pula dengan menggunakan skandal NFC.

Mulanya Dato’ Seri Salleh Ismail menuntut bayaran RM300,000 walaupun rayuan masih berjalan dan beliau boleh sahaja menunggu sehingga rayuan terakhir. Ketika itu nampak beliau terdesak untuk mendapatkan wang RM300,000.

Setelah saya berjaya mengumpul RM300,000 untuk membayar beliau dan NFC, kini lain pula helahnya. Saya nampak seperti mereka cuba pula mencari jalan untuk saya tidak membayar wang RM300,000 itu dan menggunakan kaedah permohonan mahkamah agar notis tidak disampaikan secara peribadi kepada saya agar saya dapat membayarnya. Sebaliknya satu tindakan mahkamah diambil dan ditampal di saat-saat akhir sebelum tarikh akhir yang diarahkan mahkamah.

Peguam saya akan mengira jumlah terkini yang perlu dibayar dengan mengambil kira bayaran faedah terbaru dan saya akan menyerahkan cek itu kepada beliau esok (Isnin, 25 September 2017) untuk dibayar kepada Dato’ Seri Salleh Ismail dan NFC. Selepas itu, soal kebankrapan sepatutnya tidak timbul dan saya akan menunggu tarikh rayuan untuk membatalkan keputusan Hakim YA Azizul Azmi Adnan tempoh hari.

Saya menasihati Dato’ Seri Salleh Ismail dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil supaya menumpukan perhatian mereka kepada usaha untuk mengembalikan kesemua RM250 juta yang mereka telah ambil dan sebahagiannya dibelanjakan bagi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu seperti kondominium mewah.

Tindakan kebudak-budakan seperti tidak mengusahakan untuk menyerahkan notis tuntutan dengan jumlah yang perlu dibayar secara tangan yang menghalang saya membayar (seperti yang lazim berlaku) supaya satu notis kebankrapan dapat disiarkan di akhbar-akhbar akan terus mengundang cemuhan rakyat terhadap mereka.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

INVOKE: Perincian Sumber Kewangan, Pecahan Gaji, Sewa, Sumbangan Dari Simpanan Dan Soalan-Soalan Berbangkit

Pegawai kepada isteri Perdana Menteri yang bernama Datuk Seri Rizal Mansor semalam menimbulkan persoalan mengenai hal ehwal kewangan INVOKE Malaysia.

Beliau bertanya 5 soalan:

1. Butiran lengkap mengenai derma orang ramai sebanyak RM857,000. Siapa yang menderma? Waktu bila? Di mana?

2. Butiran kutipan langganan perkhidmatan sukarelawan sebanyak RM1.063 juta. Siapakah sukarelawan ini, berapa ramai yang melanggan perkhidmatan ini?

3. Bukti bahawa beliau telah melaburkan duit ASB dan Tabung Haji miliknya edalam Invoke sebagai modal. Tidak pernah ditunjukkan sebarang bukti pengeluaran dan kemasukan wang.

4. Sewa pejabat Invoke berbelas buah di seluruh negara. Benarkah? Bukankah pejabat-pejabat Invoke banyak beroperasi di pejabat cabang PKR?

5. Bayaran gaji 80 orang kakitangan sepenuh masa Invoke (purata gaji mereka adalah RM1100 sebulan). Apakah bukti mereka ini menerima gaji dari Invoke seperti pendaftaran/pemotongan EPF dan Socso? Tidak pernah pun ditunjukkan oleh Rafizi sebagaimana selama ini beliau sering mengaku beliau seorang yang telus.

Melanggar Peraturan Perkhidmatan Awam

Semakan dengan Jabatan Perdana Menteri dan disahkan oleh laporan-laporan media (rujuk http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/rizal-mansor-tidak-perlu-jadi-jaguh-1.709984) menunjukkan seorang pegawai kerajaan yang bernama Datuk Seri Rizal Mansor ini adalah berpangkat Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Khas, Pejabat Perdana Menteri.

Gred beliau boleh disahkan dari senarai rasmi perjawatan kerajaan bagi Bahagian Khas, Pejabat Perdana Menteri (mukasurat B6-206) seperti berikut:

Sebagai pegawai kanan kerajaan bergred M48 iaitu di dalam kumpulan pengurusan, Datuk Seri Rizal Mansor adalah tertakluk kepada Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang menetapkan bahawa pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusandan Profesional adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

(Rujuk Pekeliling yang dikeluarkan oleh Tan Sri Ismail Adam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 6 April 2009 yang disertakan bersama mengenai larangan ini)

Download (PDF, 395KB)

Datuk Seri Rizal Mansor secara terbuka telah berkempen dan menyertai kegiatan-kegiatan politik beliau melalui tindakan-tindakan berikut:

i. Berkempen secara rasmi bagi pihak Barisan Nasional di dalam Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar 2016
ii. Merasmikan mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno Kelana Jaya tahun 2017 seperti dilaporkan https://www.malaysiakini.com/news/389560
iii. Mengeluarkan kenyataan-kenyataan politik dari semasa ke semasa termasuklah kenyataan terbaru semalam

Oleh yang demikian, saya akan berbincang dengan rakan-rakan peguam untuk mengambil langkah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam atas pelanggaran terang-terangan kepada satu peraturan utama penjawat awam yang sering digunakan untuk menghukum penjawat awam yang simpati kepada pembangkang selama ini.

Saya akan membuat pelbagai tindakan susulan termasuk melalui Parlimen untuk memastikan tindakan tatatertib diambil ke atas Datuk Seri Rizal Mansor yang memperlekehkan peraturan yang mengikat kesemua penjawat awam yang lain. Jika beliau dibiarkan berkelakuan begini, ia menimbulkan keadaan tidak adil jika ada penjawat awam yang lain juga bergiat aktif di dalam politik tetapi diambil tindakan.

5 Soalan Mengenai Sumber Kewangan INVOKE

Walaupun 5 soalan yang ditanyakan beliau semalam adalah satu serangan politik dengan tujuan menunjukkan saya mencuri wang melalui satu pertubuhan sukarelawan pilihanraya iaitu INVOKE yang saya tubuhkan, saya menghormati hak setiap rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai tata kelola kewangan INVOKE.

Sebahagian besar dari sumber kewangan INVOKE diperolehi dari orang ramai melalui pelbagai perkhidmatan dan barangan yang diusahakan INVOKE, seperti:

i. Jualan tiket ke majlis-majlis pendanaan (“fundraising dinner) yang dibuat sepanjang masa di seluruh negara. Ada majlis yang besar melibatkan ribuan orang, ada majlis yang sederhana melibatkan ratusan, ada juga majlis yang kecil melibatkan hanya 10 orang. Perolehan (“revenue”) dari jualan tiket-tiket ditunjukkan di dalam akaun INVOKE sebagai “Revenue – Events”

ii. Jualan barangan kempen seperti t-shirt, beg, buku, butang, pelekat kereta dan lain-lain yang ditunjukkan sebagai “Revenue – Merchandise” di dalam akaun INVOKE

iii. Jualan perkhidmatan atas talian yang membolehkan orang ramai yang melanggannya berhak untuk mendapat majalah mingguan INVOKE mengenai kempen sukarelawan di seluruh negara; serta menggunakan sistem pengurusan sukarelawan INVOKE atas talian (di capaian https://volunteer.invokemalaysia.org/) seperti petikan skrin di bawah.

Sistem pengurusan sukarelawan INVOKE adalah perisian yang dibangunkan sendiri oleh INVOKE berkonsepkan media sosial yang memudahkan orang awam mengikuti dan menyertai kempen sukarelawan di seluruh negara. Jualan perkhidmatan atas talian ini juga dikenali sebagai “biayaramai” atau “crowdfunding” dan ditunjukkan sebagai “Revenue – Subscription” di dalam akaun INVOKE

iv. Jualan penerbitan berkala iaitu “Political Intelligence” yang diterbitkan 2 minggu sekali kepada pelanggan yang ditunjukkan di dalam akaun sebagai “Revenue – Subscription (CPI)”

Oleh yang demikian, saya bentangkan maklumat terperinci untuk menjawab 5 soalan yang diajukan oleh Datuk Seri Rizal Mansor.

Soalan 1:
Butiran lengkap mengenai derma orang ramai sebanyak RM857,000. Siapa yang menderma? Waktu bila? Di mana?

Saya kurang pasti apa yang dimaksudkan sebagai derma orang ramai dan angka mana yang dirujuk sebagai RM857,000. Saya beranggapan beliau merujuk kepada jumlah yang diperolehi melalui inisiatif “biayaramai” atau “crowdfunding” yang saya jalankan melalui INVOKE untuk membayar jumlah RM300,000 yang dituntut oleh NFC dan Dato’ Seri Salleh Ismail.

Saya sudah terbitkan sebelum ini analisa penderma mengikut jumlah yang disumbangkan apabila saya mengumumkan jumlah kutipan pada 3 Ogos 2017 (baca http://rafiziramli.com/2017/08/biayaramai-nfc-jangan-putus-harapan/)

Saya ulang analisa penderma yang saya terbitkan sebelum ini:

 Dalam tempoh 10 hari, seramai 7,435 rakyat Malaysia menjawab rayuan saya dan secara bersama menyumbang sejumlah RM1,585,014.49. Jumlah ini adalah 5 kali jumlah yang diperlukan untuk membayar NFC.

 Mereka yang menyumbang datangnya dari pelbagai latar belakang. Dari 5,135 penyumbang yang maklumat mereka diketahui, seramai 1,575 orang adalah Melayu, 2,903 adalah Cina, 348 adalah India, 40 Bumiputra Sabah dan 91 Bumiputra Sarawak. Baki 2,300 orang lagi menyumbang melalui mesin deposit tunai yang tidak memberi maklumat mereka.

 84% dari keseluruhan sumbangan adalah dalam bentuk sumbangan kecil, paling sedikit RM10 dan paling tinggi pun RM200 setiap sumbangan.

Walau bagaimana pun, saya tahu ada di kalangan penyokong Umno dan dalam KEADILAN sendiri yang tidak yakin dengan perincian tersebut. Mereka bersangka buruk kononnya saya menipu dan hanya mendapat sumbangan ratusan ribu ringgit dari beberapa orang taukeh sahaja tetapi diumumkan sebagai derma ribuan rakyat biasa. Tujuannya ialah untuk memfitnah saya kononnya saya juga bergelumang dengan rasuah dan penipuan.

Oleh itu, saya dengan ini menyertakan cetakan penuh lejer INVOKE bagi tempoh 3 hari sahaja iaitu 24 Julai hingga 26 Julai 2017 yang sudah pun berjumlah 194 muka surat untuk diteliti sendiri oleh rakyat Malaysia. Untuk mencetak keseluruhan rekod transaksi setiap satu sen yang keluar masuk di antara 24 Julai hingga 3 Ogos, laporan itu akan mencecah tiga ribu muka surat dan laptop saya telah “crash” beberapa kali setakat ini.

Tanpa rekod 10 hari itu pun saya yakin rakyat Malaysia boleh melihat sendiri bahawa jumlah yang diterima datangnya dari ribuan rakyat Malaysia yang menyumbang dalam jumlah yang kecil.

Datuk Seri Rizal Mansor boleh meneliti sendiri bila, siapa dan jumlah yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Saya yakin rakyat Malaysia yang nama mereka disenaraikan tidak berasa malu atau mahu bersembunyi dengan sumbangan mereka, sebab itu saya ambil keputusan untuk menyiarkan rekod transaksi untuk membuktikan dakwaan dan serangan terhadap saya dan INVOKE selama ini adalah tidak benar.

Soalan 2:
Butiran kutipan langganan perkhidmatan sukarelawan sebanyak RM1.063 juta. Siapakah sukarelawan ini, berapa ramai yang melanggan perkhidmatan ini?

Saya telah terangkan di atas mengenai jualan perkhidmatan atas talian untuk memadankan sukarelawan dengan maklumat, latihan dan aktiviti kempen yang mereka boleh sertai.

Setakat hari ini sejak beroperasi setahun lalu, jumlah perolehan mengikut kategori adalah: Jualan tiket majlis pendanaan – RM929,280.26, Jualan barangan – RM540,802.18, Jualan perkhidmatan padanan sukarelawan – RM1,479,394.63 dan Jualan langganan makalah – RM16,285.12.

Jumlah perolehan adalah RM2,968,902.19 sehingga hari ini.

Untuk mendapat gambaran berapa ramai yang telah melanggan, saya sertakan rekod transaksi jualan perkhidmatan atas talian padanan sukarelawan bagi bulan Mei 2017 berjumlah RM180,650.61 yang mengambil 15 mukasurat. Jumlah yang disumbang bagi setiap sukarelawan adalah berbeza dan telah pun ditolak GST (memandangkan INVOKE terpaksa mengutip GST untuk dibayar kepada kerajaan bagi setiap langganan).

Oleh itu, saya yakin rakyat keseluruhannya boleh menilai bahawa INVOKE didokong oleh ribuan rakyat Malaysia yang menyumbang dengan menjadi sukarelawan dan melanggani perkhidmatan atas talian padanan sukarelawan yang disediakan INVOKE.

Soalan 3:
Bukti bahawa beliau telah melaburkan duit ASB dan Tabung Haji miliknya edalam Invoke sebagai modal. Tidak pernah ditunjukkan sebarang bukti pengeluaran dan kemasukan wang.

Saya sertakan salinan buku-buku akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputra yang dikemaskini hari ini untuk menunjukkan jumlah yang telah saya pindahkan untuk menjadi modal INVOKE.

Untuk rekod, saya telah mengeluarkan RM530,000 dari simpanan Tabung Haji iaitu RM100,000 pada 1 April 2016, RM100,000 pada 20 Jun 2016 dan RM330,000 pada 8 September 2016. Kesemua ini dipindahkan ke akaun simpanan saya di CIMB dan kemudiannya dipindahkan ke akaun INVOKE dari semasa ke semasa mengikut keperluan, seperti rekod yang ditunjukkan dari cetakan lejer di bawah yang saya sertakan.

Untuk rekod, saya telah mengeluarkan RM100,000 pada 24 Februari 2017 dari simpanan ASB yang dipindah masuk ke akaun simpanan CIMB saya. Jumlah ini kemudiannya dipindahkan ke akaun INVOKE dari semasa ke semasa mengikut keperluan, seperti rekod yang ditunjukkan dari cetakan lejer di bawah yang saya sertakan.

Bukti bahawa jumlah ini dipindahkan ke akaun bank INVOKE ditunjukkan di dalam cetakan rekod transaksi seperti lejer yang saya sertakan.

Secara keseluruhannya, setakat ini saya telah memindahkan RM755,500 sebagai modal INVOKE. Dari jumlah tersebut, RM255,601 telah digunakan sebagai langganan saham-saham INVOKE. Baki sebanyak RM499,899 masih lagi kekal sebagai dana yang didahulukan oleh saya kepada INVOKE.

Jumlah RM755,500 yang saya pindahkan adalah dari RM630,000 pengeluaran simpanan Tabung Haji dan ASB (yang saya tunjukkan di atas) dan RM100,000 yang saya pinjam dari seorang rakan untuk membayar gaji kakitangan pada masa jualan tidak mencukupi untuk membayar gaji kakitangan di awal tahun 2017 dahulu. Bakinya sebanyak RM25,500 adalah dari simpanan gaji bulanan saya dan bayaran-bayaran bil INVOKE yang saya dahulukan menggunakan kredit kad sejak setahun lalu.

Soalan 4:
Sewa pejabat Invoke berbelas buah di seluruh negara. Benarkah? Bukankah pejabat-pejabat Invoke banyak beroperasi di pejabat cabang PKR?

Saya sertakan senarai lengkap semua pejabat INVOKE di seluruh negara, alamat dan jumlah sewa bulanan yang ditanggung oleh INVOKE. Maklumat sulit seperti tuan punya dan akaun tuan punya telah dihitamkan untuk menghormati kerahsiaan perjanjian sewa beli.

Jumlah sewa bulanan semua pejabat INVOKE di luar Kuala Lumpur adalah RM12,146 sebulan dan jumlah sewa di Kuala Lumpur untuk ibu pejabat dan dua tingkat serba guna (studio, dewan dan Call Center) adalah RM11,300 sebulan.

Soalan 5:
Bayaran gaji 80 orang kakitangan sepenuh masa Invoke (purata gaji mereka adalah RM1100 sebulan). Apakah bukti mereka ini menerima gaji dari Invoke seperti pendaftaran/pemotongan EPF dan Socso? Tidak pernah pun ditunjukkan oleh Rafizi sebagaimana selama ini beliau sering mengaku beliau seorang yang telus.

Kakitangan INVOKE adalah berjumlah 88 orang setakat September 2017. Mereka tidak menyertai INVOKE sekaligus, sebaliknya jumlah kakitangan bertambah dari semasa ke semasa seperti yang ditunjukkan di dalam jadual rumusan di bawah (rujuk jadual ringkasan menunjukkan jumlah kakitangan mengikut bulan dan pecahan kategori gaji mereka):

Sebahagian besar dari kakitangan INVOKE meletakkan jawatan dari kerjaya masing-masing untuk memberi khidmat di antara satu hingga dua tahun membantu menumbangkan Barisan Nasional. Oleh itu, gaji mereka adalah dalam lingkungan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan. Jumlah kakitangan yang gajinya melebihi RM3,000 sebulan tidak lebih dari 20 orang pada sesuatu masa dan gaji tertinggi adalah RM4,200 sebulan.

Download https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgS3VOWjZqYmp2bE0

Kakitangan INVOKE menandatangani kontrak perjawatan dengan sebuah syarikat yang bernama KEIP Resources Sdn Bhd.

KEIP Resources Sdn Bhd pula menandatangani satu perjanjian membekalkan sumber manusia mengikut keperluan INVOKE dari semasa ke semasa. Kontrak perjawatan kakitangan dimuktamadkan begini dengan mengambil kira perkara-perkara bersabit undang-undang buruh dan perkara-perkara lain.

Oleh itu, semua caruman KWSP dan PERKESO kakitangan INVOKE dibayar di bawah nama KEIP Resources Sdn Bhd.

Saya sertakan slip bayaran caruman KWSP dan PERKESO untuk kakitangan INVOKE sebagai bukti semua caruman telah dibayar mengikut undang-undang.

PERKESO Ogos 2017

PERKESO September 2017

 

KWSP Ogos 2017

Pecahan caruman mengikut kakitangan yang difailkan kepada KWSP

Saya telah menjawab secara terperinci setiap soalan yang ditanyakan. Saya lakukan ini dengan hati yang terbuka kerana saya yakin jika kita tidak menyeleweng, jika kita tidak pecah amanah, kita tidak perlu takut kepada sesiapa untuk berlaku telus.

Oleh kerana saya telah berlaku setelus-telusnya dengan setiap perkara yang dibangkitkan, maka wajarlah Datuk Seri Rizal menasihati Datin Seri Rosmah dan Dato’ Seri Najib untuk turut berlaku telus seperti saya dalam urusan kewangan dan kerja-kerja politik saya.

Saya akan mengusulkan soalan-soalan balas kepada Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dalam masa terdekat sebagai membalas inisiatif Datuk Seri Rizal yang menuntut ketelusan dari saya dan hal ehwal kewangan INVOKE.

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
Bagi pihak INVOKE

%d bloggers like this: