Siri Soalan Lazim (FAQ) Mengenai Kewangan INVOKE

Datuk Rizal Mansor, pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor yang secara rasminya adalah Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Khas Jabatan Perdana Menteri melanggar Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sekali lagi apabila terus mengeluarkan kenyataan politik yang menyerang saya dan INVOKE.

Dalam kenyataan terbaru, beliau menuduh saya menyalahgunakan dana awam yang disumbangkan oleh rakyat melalui INVOKE untuk membayar kepada syarikat yang dimiliki oleh saya. Malah, laman-laman Umno dan macaimaya (“cybertrooper”) menggunakan serangan Datuk Rizal sebagai skrip menyerang Pakatan Harapan.

Isu-isu yang ditimbulkan setakat ini boleh dijawab dengan lebih baik melalui kaedah “soalan lazim” (atau frequently asked questions) seperti di bawah.

 

KENAPA INVOKE SEBUAH SYARIKAT, KATANYA NGO?

 Untuk menubuhkan sebuah “pertubuhan” (sama ada persatuan, parti politik, yayasan dan lain-lain) yang bukan syarikat, permohonan perlu dibuat kepada Pendaftar Syarikat (Registrar of Societies atau ROS). Setakat ini, ROS telah dipolitikkan dan sebarang permohonan dilambat-lambatkan. Malah, ROS juga dilihat menjadi senjata kepada Umno/BN untuk menghukum mana-mana pertubuhan atau parti politik yang mereka tidak gemari.

 Contoh yang terbaik ialah permohonan mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai sebuah parti untuk membolehkan Pakatan Harapan bertanding menggunakan satu logo. Sehingga kini, ROS tidak memberikan sebarang maklum balas. Satu lagi contoh ialah status DAP yang masih lagi tergantung sehingga sekarang apabila ROS tidak mahu mengiktiraf pemilihan pimpinan DAP.

 Satu-satunya perkara utama yang memberi kelebihan sebuah NGO didaftarkan sebagai “pertubuhan di bawah ROS” berbanding mendaftarkannya sebagai syarikat sendirian berhad di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia ialah dari aspek percukaian.

 Sebuah pertubuhan ROS tidak dikenakan cukai, tetapi tertakluk kepada pelbagai peraturan yang memberi ruang kepada campur tangan dan tekanan kerajaan.

 Syarikat sendirian berhad dibenarkan menjalankan banyak aktiviti yang selalunya dikategorikan sebagai aktiviti bukan bermotif keuntungan (kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain) tertakluk kepada Memorandum Penubuhan yang diluluskan oleh pemegang saham. Syarikat sendirian berhad perlu membayar cukai jika ada lebihan dari perbelanjaannya.

 Tetapi, Akta Syarikat memberi lebih banyak perlindungan kepada syarikat sendirian berhad dari campur tangan dan tekanan kerajaan berbanding sebuah pertubuhan di bawah ROS.

 Mengambil kira risiko INVOKE tidak akan diluluskan oleh ROS dan segala gerak geri kami dijadikan alasan untuk diberikan tekan oleh ROS, saya membuat keputusan menubuhkannya sebagai sebuah syarikat sendirian berhad yang 99% milik saya.

 

TAPI ITU MASALAHNYA! KAMU KUTIP DUIT MASUK SYARIKAT KAMU PUNYA. SAMA MACAM KUTIP DUIT MASUK POKET KAMU!

 Ada yang berhujah bahawa penggunaan syarikat sendirian berhad bagi tujuan menggembleng sokongan rakyat tidak berparti yang diusahakan INVOKE menimbulkan percanggahan kepentingan (“conflict of interest”) kerana INVOKE dimiliki oleh saya (lebih 90% saham dimiliki oleh saya).

 Soal percanggahan kepentingan hanya timbul dalam keadaan-keadaan berikut:

i. Saya mendapat manfaat kewangan yang langsung dari INVOKE seperti dibayar gaji, perbelanjaan saya ditanggung atau saya mendapat keuntungan dari aktiviti INVOKE yang membolehkan INVOKE membayar dividen kepada saya

ii. Apa-apa kontrak atau perbelanjaan INVOKE diberikan kepada syarikat-syarikat milik saya dan saya mendapat manfaat kewangan (sama seperti (i) di atas) di dalam syarikat-syarikat lain milik saya

 Saya tidak mendapat satu sen pun manfaat kewangan dari INVOKE atau syarikat lain yang saya miliki yang ada urusniaga dengan INVOKE (seperti KEIP Resources Sdn Bhd yang saya akan terangkan selepas ini). Saya tidak dibayar gaji, saya tidak membuat sebarang tuntutan perbelanjaan, perbelanjaan atau elaun hatta satu sen pun dari INVOKE dan KEIP Resources Sdn Bhd.

 Malah, saya memasukkan wang saya ke dalam kedua-dua syarikat ini. Wang simpanan saya yang berjumlah RM755,500 telah saya suntik ke dalam INVOKE dan dipecahkan dalam 2 bentuk: RM255,601 untuk melanggani saham-saham INVOKE, RM499,899 adalah pendahuluan saya kepada INVOKE.

 Jika pun satu hari nanti, INVOKE membuat keuntungan dari operasinya, maka INVOKE hanya boleh mengembalikan paling banyak RM499,899 dari wang yang telah saya suntik. Baki RM255,601 yang telah menjadi saham akan kekal dalam INVOKE sampai bila-bila dan hampir mustahil untuk saya mendapatkannya kembali.

 INVOKE ditubuhkan sebagai badan bukan bermotif keuntungan (“not for profit organisation”) – maksudnya sedang ia menjalankan aktiviti komersil untuk menjana pendapatan, jika ada pun keuntungan, ia mesti dibelanjakan kembali kepada program-program yang sesuai dengan piagam penubuhannya.

 INVOKE ditubuhkan sedemikian rupa kerana saya benar-benar mahu membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mampu membina sebuah gerakan rakyat yang tidak perlu mengemis dan bergantung kepada dedak dari golongan berkepentingan (“vested interest”). INVOKE berpotensi kekal beroperasi pada tempoh masa yang lama kerana banyak kemahiran dan khidmatnya ada nilai komersil dan dari pendapatan itulah, ia dikembalikan kepada program-program INVOKE yang membantu rakyat. Oleh itu, INVOKE ada potensi untuk mencapai kelangsungan kewangan (“financial sustainability”) bagi jangka masa yang panjang.

 Setakat ini, INVOKE kekal rugi sejak hari pertama dan tidak berkemungkinan akan menjana keuntungan dalam masa akan datang. Jika pun ada keuntungan, INVOKE tidak boleh menggunakan keuntungan itu untuk keuntungan peribadi (termasuk pemegang saham seperti saya) dan perlu dikembalikan untuk menampung perbelanjaan aktiviti dan program.

 Oleh itu, INVOKE tidak ada prospek untuk mengisytiharkan dividen dalam keadaan sekarang dan saya tidak berkemungkinan mendapat untung hasil dari pegangan saham INVOKE. Jika ada lebihan pun, paling tinggi saya hanya dapat menuntut kembali RM499,899 yang masih lagi ditunjukkan sebagai pendahuluan (baki RM255,601 kekal di dalam INVOKE sebagai saham).

 Besar kemungkinan kesemua RM499,899 yang saya dahulukan itu pun akan ditukar menjadi saham-saham di dalam INVOKE untuk membolehkan saya mengagihkan saham-saham kepada kakitangan INVOKE yang berkorban selama ini. Saya mahukan mereka tahu bahawa INVOKE adalah sebahagiannya milik mereka kerana mereka yang membinanya – maka mereka perlu ada saham di dalam INVOKE.

 Dalam keadaan-keadaan ini, adalah mustahil untuk saya mendapatkan kembali wang RM755,500 yang telah saya suntik. Saya juga tidak mendapat satu sen pun manfaat kewangan dari INVOKE atau KEIP Resources Sdn Bhd.

 Sebab itu, tidak ada risiko berlakunya “percanggahan kepentingan” apabila INVOKE ditubuhkan sebagai syarikat sendirian berhad kerana organisasi dan struktur kewangannya dibina untuk menghapuskan risiko “percanggahan kepentingan”.

 

TAPI MACAIMAYA UMNO KATA KAMU DIBAYAR GAJI RM44,566 SEBULAN OLEH INVOKE?

 Selepas saya mendedahkan kesemua transaksi terperinci INVOKE minggu lepas termasuklah jumlah yang dibayar sebagai gaji staf, macaimaya (“cyber trooper”) Umno menimbulkan isu saya mendapat gaji sebanyak RM44,566 sebulan dari INVOKE.

 Mereka membuat fitnah ini akibat ceteknya pengetahuan mereka mengenai kewangan, akaun dan transaksi dalam rekod kewangan. Dari lejer pembayaran gaji INVOKE yang saya siarkan, ada tiga transaksi yang mempunyai nama saya iaitu pembayaran gaji bagi bulan Oktober, November dan Disember 2016 seperti di bawah:

 

 Apabila INVOKE mula-mula beroperasi dalam bulan Ogos 2016, kami hanya ada beberapa kakitangan sahaja. Oleh itu, gaji mereka dibayar dengan cek INVOKE.

 Pada masa ini, INVOKE masih berurusan dengan Maybank untuk mengaktifkan kemudahan perbankan internet yang mengambil masa yang lebih lama bagi syarikat berbanding dengan permohonan individu. Oleh itu, semua bayaran untuk 2-3 bulan pertama operasi INVOKE adalah melalui cek.

 Di dalam lejer, apabila perbelanjaan itu dibayar melalui cek, ia dikategorikan sebagai sebagai “cheque expense” yang ditunjukkan sebagai “transaction type”. Bagi setiap urusniaga yang berlaku, akauntan INVOKE perlu memasukkan maklumat mengenai “transaction type”.

 Ada dua jenis kategori “transaction type” yang utama bagi pembayaran iaitu:

i. “Cheque expense” – perbelanjaan dibayar dari akaun bank INVOKE dengan cek

ii. “Expense” – apabila perbelanjaan itu secara berhutang atau didahulukan oleh seseorang. Nama yang ditunjukkan di bawah jalur “NAME” bukanlah nama kakitangan yang menerima gaji, sebaliknya nama syarikat yang mana INVOKE mendapat perkhidmatan secara kredit atau nama pihak yang mendahulukan wang kepada INVOKE untuk membayar perbelanjaan itu.

 Oleh itu, tiga transaksi yang ada nama saya di bawah jalur “NAME” iaitu 23 November 2016 sebanyak RM28,398, 15 Disember 2016 sebanyak RM44,566 dan 27 Disember 2016 sebanyak RM39,952.50 adalah gaji kakitangan bagi bulan-bulan terbabit yang dibayar oleh saya terus melalui bank akaun saya. Jumlah tersebut bukannya gaji yang dibayar kepada saya dari akaun INVOKE, ia adalah perkara yang sebaliknya.

 Antara bulan Ogos hingga Oktober 2016, INVOKE beroperasi dengan menggunakan modal awal yang saya suntik. Semua gaji kakitangan dibayar dengan cek.

 Menjelang November 2016, jumlah kakitangan bertambah dengan mendadak dan INVOKE masih belum berjaya menganjurkan sebarang aktiviti mengumpulkan dana yang besar untuk menampung gaji kakitangan.

 Saya tidak ada pilihan lain kecuali terus membayar gaji kakitangan menggunakan wang saya sendiri tetapi apabila jumlah kakitangan telah mencecah 40 orang menjelang akhir November 2016, proses menyediakan cek dan menandatangani cek adalah membuang masa. Ini kerana saya perlu memindahkan wang dari akaun peribadi ke akaun INVOKE, kemudian masa yang diambil untuk menyediakan cek, kemudian kakitangan perlu ke bank untuk memasukkan cek yang mengambil masa beberapa hari untuk ditunaikan.

 Sebab itu bagi bulan-bulan tersebut, saya membayar terus dari akaun peribadi saya dan menghantar jumlah yang didahulukan untuk membayar gaji kakitangan kepada akauntan INVOKE. Jumlah itu dimasukkan di dalam akaun dan ditunjukkan sedemikian rupa.

 

TAPI RIZAL MANSOR, JURUCAKAP DATIN SERI ROSMAH MANSOR TUNJUKKAN BUKTI INVOKE BAYAR KEPADA KEIP RESOURCES, SYARIKAT MILIK RAFIZI. KENAPA RAFIZI BAYAR RAFIZI?

 Kebodohan dalam memahami debit kredit dan bagaimana rekod kewangan disimpan telah menyebabkan saya difitnah oleh macaimaya Umno kononnya saya mengambil gaji sehingga RM44,566 sebulan (seperti yang saya tunjukkan di atas).

 Tuduhan seterusnya yang dibuat kononnya saya melantik syarikat milik saya KEIP Resources Sdn Bhd untuk mengambil untung dengan membekalkan pekerja kepada INVOKE adalah berpunca dari kebodohan Datuk Rizal Mansor yang tidak faham tentang hal ehwal korporat dan kewangan.

 

 Semasa saya merancang penubuhan INVOKE dalam bulan Jun 2016, saya sedar bahawa INVOKE berkemungkinan berdepan dengan pelbagai tekanan dari pihak berkuasa untuk membunuhnya dari awal. Selain dari kewangan, salah satu latar belakang kemahiran saya di PETRONAS dahulu adalah perancang perniagaan – memang tugas saya mengenal pasti risiko dan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan risiko tersebut.

 Salah satu risiko utama INVOKE di awal penubuhannya adalah risiko tekanan pihak berkuasa atas motif politik. Oleh itu, struktur korporat INVOKE perlu dirancang dan dilaksanakan untuk mengurangkan risiko-risiko ini.

 Berikut adalah contoh-contoh cara bagaimana perancangan korporat penubuhan INVOKE telah menyebabkan struktur entitinya seperti yang ada sekarang dan jenis-jenis risiko yang dikurangkan:

i. Risiko disekat kerana dituduh mengutip derma tanpa kelulusan – INVOKE ditubuhkan di dalam piagamnya dan didaftarkan dengan pihak-pihak berkuasa percukaian di negara ini sebagai sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan atas talian yang memadankan pelanggan khidmatnya dengan pelbagai peluang/aktiviti sukarela yang ada di seluruh negara. Setiap wang yang disumbangkan adalah satu pembelian perkhidmatan yang sah mengikut terma yang sudah diterbitkan secara jelas di laman web INVOKE. Sebab itu INVOKE membayar GST di atas setiap satu sen yang dijananya. Maka tidak timbul soal melanggar undang-undang seperti yang diwar-warkan oleh macaimaya Umno beberapa hari ini.

ii. Risiko kakitangan diugut atau diambil tindakan atas motif politik – Semua kakitangan INVOKE adalah kakitangan syarikat lain iaitu KEIP Resources Sdn Bhd yang tidak ada kena mengena dengan INVOKE. Walaupun kedua-dua syarikat ini dimiliki oleh orang yang sama, secara undang-undang kedua-duanya adalah entiti yang berlainan dan tidak ada kena mengena. Apa-apa tindakan atau tekanan yang ingin diambil oleh pihak berkuasa ke atas INVOKE tidak boleh mengheret kakitangannya kerana kakitangannya hanyalah sub-kontraktor yang menjalankan tugas mengikut terma kontrak yang dipersetujui di antara KEIP Resources Sdn Bhd dan INVOKE. Dengan cara ini, saya cuba sedaya upaya melindungi anak-anak muda yang berkorban ini dari menjadi mangsa politik Umno/BN jika ada serangan politik ke atas INVOKE.

iii. Risiko kewangan ke atas kemampuan majikan membayar kakitangan jika INVOKE disaman – Sebarang tindakan undang-undang atau saman ke atas INVOKE yang mempunyai kesan ke atas kewangannya tidak mengurangkan hak kakitangan mendapatkan gaji. Begitu juga dari segi pengurusan dana, kelangsungan gaji kakitangan INVOKE diberi keutamaan dengan memastikan apa-apa dana yang dijana oleh INVOKE dibayar terlebih dahulu kepada KEIP Resources Sdn Bhd agar gaji kakitangan yang dibayar terlebih dahulu sebelum perbelanjaan-perbelanjaan lain.

 Saya sertakan invois dari KEIP Resources Sdn Bhd. Jumlah yang diinvois adalah jumlah bersih yang perlu dibayar kepada kakitangan dan yuran 5% adalah untuk menampung kos menguruskan segala aspek percukaian kakitangan dan semua hal statutori yang lain.

 KEIP Resources Sdn Bhd tidak mempunyai apa-apa pendapatan atau perbelanjaan lain. Ia adalah sebuah syarikat khusus bagi tujuan perancangan perniagaan untuk mengurangkan risiko seperti yang saya terangkan di atas.

 Kaedah ini iaitu mengasingkan entiti undang-undang (“legal entity”) dari kakitangan adalah kaedah biasa yang diamalkan oleh semua syarikat besar dunia.

 Misalnya, apabila seseorang menyertai PETRONAS, beliau adalah kakitangan kepada PETRONAS (iaitu syarikat induk). Apabila beliau dihantar bertugas ke Sudan, operasi perniagaan PETRONAS di Sudan sebenarnya dijalankan oleh sebuah syarikat lain, contohnya PETRONAS Sudan International Limited yang ditubuhkan di negara lain bagi pelbagai tujuan termasuklah perancangan risiko undang-undang dan perancangan percukaian.

 Kakitangan PETRONAS yang dihantar berkhidmat ke Sudan akan terus dibayar oleh PETRONAS. PETRONAS kemudiannya menghantar invois kepada PETRONAS Sudan International Limited. Jika ada sebarang masalah undang-undang akibat tekanan kerajaan Sudan ke atas operasi PETRONAS, secara undang-undang kakitangan PETRONAS yang berkhidmat di Sudan tidak ada liabiliti undang-undang kerana mereka bukan kakitangan PETRONAS Sudan International Limited.

 Maka tidak timbul soal saya menubuhkan syarikat untuk membekalkan perkhidmatan bagi tujuan mendapatkan manfaat kewangan dari INVOKE.

 Jika Datuk Rizal Mansor seorang yang cerdik dan ada sedikit pengetahuan mengenai urusan mentadbir, beliau mungkin tahu mengenai kaedah-kaedah ini.

 

NAMPAK MACAM JURUCAKAP DATIN SERI ROSMAH NI MEMANG KURANG CERDIK. KENAPA LAYAN MACAIMAYA MACAM INI?

 Saya menubuhkan INVOKE bukan atas dasar membantu calon-calon Pakatan Harapan semata-mata. Saya berniat dari awal untuk membantu menukar budaya dan pemikiran rakyat Malaysia jika INVOKE berjaya menunjukkan ketelusan dan profesionalisme yang dipandang tinggi oleh rakyat.

 Ramai yang menulis kepada saya supaya tidak melayan orang seperti Datuk Rizal Mansor ini kerana dia bukan lawan politik saya. Namun ramai yang tidak tahu dan faham bahawa setiap kali Datuk Rizal Mansor (yang umum tahu adalah jurucakap Datin Seri Rosmah) membuka mulut menyerang INVOKE dan meminta INVOKE menunjukkan pelbagai rekod, rakyat Malaysia boleh melihat sendiri hipokrasi dan kegilaan dalam tindakan itu.

 Hakikat bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak boleh membenarkan seorang Ketua Penolong Pengarah di dalam jabatannya melemparkan fitnah sesuka hati seperti ini dan menumpukan masa yang dibayar rakyat untuk menuntut ketelusan dari INVOKE untuk mendapat kepastian dana awam (dari sumbangan orang ramai) tidak diselewengkan – adalah satu kejanggalan ketara (“stark irony”) yang lebih meyakinkan rakyat bahawa dunia sudah terbalik.

 Namun, setiap kali INVOKE berjaya menunjukkan dengan terperinci bukti yang menyangkal setiap fitnah yang dibawa oleh Datuk Rizal Mansor dan macaimaya Umno – itu juga menjadi satu kontras utama yang berkesan untuk mengingatkan rakyat bila Dato’ Seri Najib didesak untuk berlaku telus mengenai 1MDB, beliau lari dan tidak pernah berani bersikap telus seperti INVOKE.

 Sedangkan dana INVOKE adalah dari poket saya dan rakyat yang lain, berbanding dana 1MDB yang memakan wang orang miskin.

 Rekod INVOKE menunjukkan setiap kali Datuk Rizal Mansor menyerang saya atau INVOKE, jumlah wang yang disumbangkan juga meningkat.

 Sebab itu saya melayan karenah Datuk Rizal Mansor kerana kebodohan beliau itu mendorong lebih ramai rakyat Malaysia menyertai dan menyumbang kepada INVOKE untuk membuang bos beliau dari Putrajaya.

 

Saya akan membuat laporan disiplin terhadap Datuk Rizal Mansor secara rasmi minggu depan kerana melanggar peraturan penjawat awam dan membazir wang rakyat membayar gaji beliau apabila beliau hanya membuat kerja-kerja politik picisan.

Saya juga akan berbincang dengan peguam-peguam saya untuk mempertimbangkan memfailkan saman terhadap Datuk Rizal Mansor kerana fitnah beliau yang menuduh saya bersifat tidak jujur dan mencuri wang rakyat, seperti kritikan terbaru beliau. Walaupun sebelum ini saya tidak pernah menyaman sesiapa hatta Papagomo sekali pun (atas fitnah-fitnah yang terang-terang tidak benar, contohnya saya dipecat dari PETRONAS kerana mencuri wang tuntutan perbelanjaan), saya merasakan Datuk Rizal Mansor ada wang dan dokongan kewangan yang besar.

Berbeza dengan menyaman Papagomo yang tidak ada apa-apa dan kalau menang pun tidak mampu membayar peguam, saya berpendapat saman ke atas Datuk Rizal Mansor atas fitnah yang nyata ini akan berjaya mendapatkan pampasan ratusan ribu ringgit yang boleh disumbangkan kepada INVOKE.

Datuk Rizal Mansor tidak sedar apabila saya melayan beliau selama ini, beliau hanyalah umpan untuk saya menjana lebih banyak dana bagi menampung perbelanjaan INVOKE.

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
Bagi pihak INVOKE

One thought on “Siri Soalan Lazim (FAQ) Mengenai Kewangan INVOKE”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.