Satar Ikan!

Ramadhan mengingatkan saya kepada satar ikan. Satar ikan adalah makanan yang berasal dari Terengganu (walaupun orang Kelantan mungkin boleh mempertikaikannya, memandangkan ramuannya hampir sama dengan solok lada).

Dulu-dulu, setiap kali berbuka satar ikan adalah salah satu juadah yang wajib ada. Berbuka tanpa satar ikan rasanya janggal.

Sekarang, sukar untuk mencari satar ikan yang sebaik satar ikan dulu-dulu. Banyak yang tidak kena – ikannya busuk, atau terlalu kurang kandungan ikan (tahukah anda ada undang-undang yang menetapkan berapa peratusan kandungan udang di dalam belacan?), atau kelapa parutnya terlalu keras dan bukan kelapa muda; dan bermacam-macam lagi. Sekarang, kebanyakan satar ikan yang dijual rasanya mirip bebola ikan, cuma dibungkus dengan daun pisang! Kebarangkalian berjumpa satar ikan yang asli seperti dulu-dulu samalah seperti kebarangkalian berjumpa harta karun Jeneral Yamashita di Filipina 😉

Malaysia pun, kalau kita tidak berhati-hati, boleh menerima nasib seperti satar ikan yang menjadi bebola ikan. Kalau dikira kekayaan per kapita hasil bumi dan kesuburan tanahnya, Malaysia mungkin berada tinggi di dalam senarai negara-negara paling dirahmati Allah.

Tetapi selepas 55 tahun, kita makin ke belakang. Banyak perkara yang dahulunya kita mendahului dan dihormati, kita ditinggalkan jiran.

Malaysia kini berbanding dahulu tidak ubah seperti satar ikan yang rasanya sudah mirip bebola ikan 😉

Nota: Arwah Adlan Benan Omar pernah menghabiskan sebakul satar ikan dalam masa setengah jam!

Blog

Walaupun saya telah menulis di dunia maya sejak tahun 1995 lagi (di zaman-zaman kita perlu tahu html, css dan sebagainya untuk menghasilkan laman web), ini adalah kali pertama saya menulis di laman web sendiri.

Sebelum ini, penulisan adalah bagi laman-laman web lain (reformasi atau yang berkaitan dengan rakan-rakan).

Pertukaran ini agak sukar, walaupun teknologi maya telah berubah sejak tahun 1995 dan sesiapa pun tidak perlu tahu html atau kod asas untuk menyertai dunia maya.

Pertukaran yang lebih besar bukan laman web atau kod, tetapi titik tolak bahawa dari saat ini sedikit privacy perlu dikorbankan. Sebelum ini saya memandang berat isu privacy dan ruang yang saya ada untuk melalui pengalaman pada kadar yang saya sendiri tentukan. Berblog begini, maknanya ada sedikit ruang yang perlu kita kongsi dengan seluruh dunia maya.

Tetapi ini bukan pertentangan (dichotomy) yang baru. Setiap yang baik perlu selalunya memerlukan pengorbanan dan perubahan. Ini kitaran biasa dan mereka yang lebih bersedia untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan peredaran kitaran adalah mereka yang boleh mendepani peredaran itu.

Selamat datang ke laman blog yang tidak seberapa ini.

Seboleh-bolehnya saya berhasrat untuk mengimbangi penulisan supaya menyentuh secara sama rata isu-isu ekonomi, politik, sosial dan pendidikan semasa dengan isu-isu yang lebih peribadi dan ringan. Imbangan ini perlu supaya aspek privacy dan ruang yang saya sebut tadi dapat dicapai.

Mungkin laman ini agak terlambat, tetapi terlambat itu lebih baik dari tertinggal (ha ha).

%d bloggers like this: