SYABAS/Puncak Niaga Wajar Belanjakan Wang Selesai Masalah Air, Bukan Saman

Saya dimaklumkan bahawa SYABAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap saya di atas kenyataan yang saya buat pada hari Isnin mengenai masalah bekalan air yang terganggu melibatkan lebih 100,000 pintu rumah di sekitar Lembah Klang.

Sudah menjadi kebiasaan SYABAS atau Puncak Niaga mengambil pendekatan saman setiap kali ada kritikan mengenai prestasinya sebagai syarikat yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang.

Sebagai wakil rakyat, saya telah mengambil pelbagai jalan untuk membawa rasa tidak puas hati penduduk yang sering menjadi mangsa gangguan bekalan air terutamanya di kawasan Pandan. Ini termasuklah:

1. Mengumpul tanda tangan bantahan
2. Membawa kes kegagalan SYABAS ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia
3. Membawa isu ini untuk dibahaskan di Parlimen
4. Mengusulkan kepada Kerajaan Negeri supaya menyediakan bekalan air kecemasan apabila berlaku gangguan
5. Berbincang dengan kakitangan SYABAS sendiri untuk membantu penduduk

Malangnya, semua langkah-langkah ini baik yang bekerjasama atau berdepan dengan SYABAS tidak sedikit pun membaiki prestasi bekalan air kepada penduduk. Gangguan terus berlaku dan setiap kali gangguan bekalan air berlaku, jumlah lori air untuk menghantar bekalan kecemasan tidak pernah mencukupi.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab saya terus mengkritik prestasi SYABAS kerana kelemahan perancangan dan operasi SYABAS dan syarikat loji pembersihan air (LPA) yang turut dikuasai oleh kepentingan yang sama (melalui Puncak Niaga) terus menyebabkan kesukaran kepada penduduk di Lembah Klang.

Dalam gangguan terbaru, saya tidak dapat menerima alasan bahawa dua LPA iaitu Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi ditutup kerana kandungan ammonia di dalam air sungai melebihi kapasiti pemprosesan yang dibenarkan di dua LPA itu sedangkan sekiranya LPA itu dinaiktaraf lebih awal, ia boleh menangani air sungai yang mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi.

Melalui semakan awam, saya mendapati bahawa kedua-dua LPA itu hanya boleh memproses air sungai yang mempunyai kandungan ammonia maksima sebanyak 1.5 mg/liter. Pada masa yang sama, sisa air rawatan dari sistem kumbahan yang dilepaskan ke sungai-sungai oleh Indah Water Konsortium (IWK) mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi kerana piawai yang dibenarkan adalah maksima 15 mg/liter atau 25 mg/liter (bergantung lokasi sungai).

Ini bermakna pengendali LPA seperti Puncak Niaga sememangnya tahu bahawa wujud kemungkinan bahawa kandungan ammonia di dalam air sungai yang tinggi terutamanya apabila musim panas kerana kekurangan hujan. Dalam keadaan kita boleh merujuk kepada ramalan cuaca, bermakna pengendali LPA seperti Puncak Niaga sepatutnya boleh menduga tempoh tertentu yang mana kadar kandungan ammonia di dalam air sungai lebih tinggi yang boleh menjejaskan bekalan air.

Persoalan yang saya timbulkan ialah kenapa tidak ada tindakan proaktif sebelum ini di pihak Puncak Niaga (dan SYABAS kerana kedua-duanya dikawal oleh kepentingan yang sama) untuk menaiktaraf LPA sedia ada agar LPA-LPA ini boleh mengambil air sungai berkandungan ammonia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter kerana perkara ini boleh dibuat.

Saya difahamkan Puncak Niaga sudah pun bersetuju untuk memasang sistem penapis (filtering system) yang menggunakan Sodium Aluminosilicate yang menelan belanja RM5 juta yang dijangkakan akan meningkatkan keupayaan kedua-dua LPA itu memproses air berkandungan ammnoia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter.

Masalahnya, pemasangan sistem penapis baru ini akan mengambil masa lebih enam bulan dari sekarang dan tidak akan menyelesaikan masalah bekalan air sekarang.

Bukankah jika tindakan ini diambil lebih awal, dengan mengambil kira ramalan cuaca, masalah gangguan bekalan air yang kini menyusahkan rakyat di seluruh Selangor dapat dielakkan?
Sebab itu saya mengkritik kelemahan perancangan SYABAS dan Puncak Niaga yang tidak menduga lebih awal keperluan menggantikan sistem penapis kepada Sodium Aluminosilicate yang jika dibuat lebih awal telah dapat mengelakkan masalah bekalan air sekarang.

Tindakan jangka pendek iaitu menggunakan kolam-kolam air berdekatan dengan hilir Sungai Langat untuk mencairkan air sungai yang digunakan oleh LPA Bukit Tampoi perlulah dilaksanakan segera kerana kosnya hanyalah sekitar RM360,000 sebulan.

Saya akan terus menyuarakan bantahan kepada mana-mana pihak yang saya fikir tidak meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan nombor satu dalam memastikan bekalan air yang baik kepada penduduk di kawasan saya iaitu Pandan dan rakyat Selangor amnya.

Jika ini bermakna saya akan berdepan dengan tindakan undang-undang, ini bukan kali pertama saya diheret ke mahkamah apabila bersuara di dalam isu berkepentingan awam.

Cuma SYABAS dan Puncak Niaga (serta tuan punyanya) nampak dangkal apabila ia sanggup membazirkan wang membayar peguam menyaman wakil rakyat seperti saya, sedangkan wang itu lebih baik digunakan untuk menukar sistem penapis di loji-lojinya supaya kegagalan yang menyebabkan penutupan dua LPA di Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi dapat dielakkan di masa akan datang.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

21 Februari 2014

SPRM Perlu Sahkan Semua Siasatan Ditutup Sebelum Taib Mahmud Boleh Dipertimbang TYT

Perkembangan politik terkini di Sarawak membayangkan bahawa Pehin Seri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sekarang berkehendakkan jawatan Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak dengan harapan ia memberi kekebalan dari pendakwaan undang-undang di masa hadapan.

Keterdesakan beliau itu untuk mendapatkan kekebalan mungkin berpunca dari pelbagai kes penyelewengan yang disabitkan dengan beliau terutamanya apabila tuduhan-tuduhan ini lengkap dengan dokumen yang menunjukkan hubung kait dengan keluarga beliau.

Pendedahan terbaru Sarawak Report mengenai syarikat yang mengundang kontroversi iaitu Regent Star Company Limited menguatkan lagi tuduhan-tuduhan mengenai salah laku melibatkan konsesi balak di Sarawak.

Regent Star Company Limited adalah sebuah syarikat yang dikawal oleh Onn Mahmud, iaitu adik kepada Ketua Menteri. Regent Star pernah disiasat di Jepun oleh pihak berkuasa percukaian Jepun atas tuduhan mengelak cukai atas penerimaan komisen yang diterima oleh syarikat itu yang mencecah 1 bilion yen.

Pehin Seri Taib Mahmud pernah membuat kenyataan di Dewan Undangan Negeri Sarawak menafikan beliau tahu atau kena mengena dengan Regent Star. Kenyataan itu digunakan sebagai alasan untuk menutup skandal yang panas ketika itu.

Semalam, Sarawak Report menunjukkan dengan jelas kaitan di antara Regent Star Company Limited dengan Jamilah Taib, anak kepada Taib Mahmud sendiri. Satu bukti dokumen pemindahan wang sebanyak USD20 juta dari Richfold Investments Limited iaitu syarikat pelaburan yang turut dikawal oleh Onn Mahmud (seperti juga Regent Star) kepada Sakto Development Corporation yang dimiliki dan dikawal oleh Jemilah Taib dan suaminya telah ditampilkan.

Saya difahamkan bahawa bukti-bukti terbaru dalam bentuk dokumen yang mengaitkan Pehin Seri Taib Mahmud kepada syarikat-syarikat pelaburan luar negara yang disiasat oleh pihak berkuasa di sana akan dikemukakan untuk membantu siasatan.

Ini bermakna siasatan di Jepun mengenai tuduhan mengelak cukai sudah tentu akan melibatkan siasatan ke atas Taib Mahmud sendiri melalui bukti-bukti yang mengaitkan keluarga beliau sendiri dengan penerimaan bayaran komisen balak. Walaupun siasatan itu adalah berkaitan tuduhan mengelak cukai, ia melibatkan cukai ke atas penerimaan komisen dari konsesi balak yang merupakan satu penyelewengan dan rasuah di mata rakyat.

Dengan bukti-bukti baru yang dikemukakan ini, jelas bahawa tuduhan rasuah terhadap Taib Mahmud akan terus berlegar. Malah, saya mengambil keputusan untuk membuat satu laporan SPRM baru terhadap Taib Mahmud supaya perkara-perkara ini digunakan di dalam siasatan yang dibuat.

Oleh sebab itulah, saya menggesa supaya Dato’ Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab menasihati DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong membuat pendirian tegas bahawa mana-mana calon yang dipertimbangkan bagi jawatan TYT perlulah diisytiharkan SPRM bahawa tiada siasatan yang masih belum ditutup terhadap calon itu. Ini untuk mengelakkan salah guna jawatan TYT untuk mendapatkan kekebalan dari pendakwaan.

Saya akan menulis secara rasmi kepada SPRM hari ini untuk mengesahkan bahawa masih ada siasatan yang dibuka terhadap Taib Mahmud dan selagi beliau tidak diisytiharkan tiada sebarang siasatan terbuka, beliau tidak boleh dipertimbangkan sebagai TYT.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

13 Februari 2014

Rundingan Semula Perjanjian Tol Perlu Kurangkan Keuntungan Berlipat Kali Ganda

Keputusan kabinet Kerajaan Persekutuan untuk tidak menaikkan tol tahun ini merupakan satu kejayaan kepada suara rakyat dan gerakan protes yang terus membantah sebarang kenaikan harga.

Keputusan itu juga membuktikan bahawa pendirian KEADILAN selama ini bahawa perjanjian konsesi yang telah memberi keuntungan besar kepada pemegang konsesi wajar disemak semula berasaskan perkara-perkara berikut:

1. Pemegang konsesi yang telah mendapat pulangan modal sepenuhnya dari pelaburan tidak wajar terus mengenakan tol pada kadar yang tinggi atas alasan ingin mendapat pulangan pelaburan

2. Perjanjian konsesi perlu dikemaskini dengan angka terbaru kadar kenderaan yang menggunakan dan perbelanjaan pengurusan dan penyenggaraan yang terkini supaya kadar tol yang disemak nanti bukanlah untuk memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi

Sekiranya kedua-dua konsep mudah ini dilaksanakan di dalam rundingan semula konsesi tol, sudah tentu tidak ada syarikat pemegang konsesi yang mendapat kadar keuntungan sehingga 50% hingga 60% seperti sekarang. Keuntungan yang berlipat kali ganda dari pelaburan dan kos ini menunjukkan bahawa perjanjian konsesi sekarang benar-benar berat sebelah.

Atas arahan kabinet sendiri agar rundingan semula perjanjian konsesi dipertimbangkan, saya menyeru supaya matlamat rundingan semula itu adalah untuk melaksanakan kedua-dua konsep di atas, bukannya untuk memanjangkan lagi tempoh konsesi sebagai pampasan kepada arahan tidak menaikkan tol.

Sekiranya perjanjian konsesi terus berat sebelah dan tidak mengambil kira dua perkara di atas, saya yakin kita akan berdepan dengan kenaikan tol dalam tahun 2015 pula.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

6 Februari 2014

Barisan Nasional Perlu Hentikan Kenaikan Insuran Kereta Tahunan

Saya merujuk kepada keputusan kerajaan Barisan Nasional yang dibuat dalam tahun 2012 untuk membenarkan kenaikan premium kereta setiap tahun sehingga tahun 2016. Kadar baru premium insuran kereta akan dikuatkuasakan bermula 15 Februari 2014 ekoran dari keputusan menaikkan kadar premium insuran tahunan itu.

Kenaikan premium insuran adalah satu lagi bebanan kepada rakyat yang meningkatkan kos pemilikan kereta yang sudah pun tinggi akibat keengganan Barisan Nasional menghapuskan duti eksais ke atas kenderaan.

Kadar premium insuran kereta adalah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dan berada sepenuhnya di dalam kawalan kerajaan persekutuan. Kenaikan kadar premium insuran tidak boleh disalahkan kepada mana-mana pihak lain kecualilah Barisan Nasional kerana kelulusan kenaikan premium insuran itu diberikan oleh Barisan Nasional.

Dalam keadaan Barisan Nasional terus gagal untuk menunaikan janji menurunkan harga kereta yang dibuat di dalam Pilihanraya Umum 13 yang lepas setelah isu ini dikupas oleh Pakatan Rakyat, keputusan Barisan Nasional untuk terus membenarkan kenaikan premium insuran ini mempermainkan harapan rakyat yang mahukan kos pemilikan kereta di Malaysia diturunkan.

Saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak mengeluarkan arahan segera supaya kenaikan kadar premium insuran kereta dibekukan serta merta mengambil kira kesusahan rakyat sekarang dan kegagalan beliau mengotakan janji untuk menurunkan harga kereta.

Sudah tentu jika kenaikan premium insuran kereta ini diteruskan juga, ia akan menjadi salah satu dari isu yang akan dibawa di Plihanraya Kecil Kajang kelak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

6 Februari 2014

Siasatan Penyelewengan 1AZAM: Pendakwaan Segera Dan Siasatan Menyeluruh

Saya tidak terkejut dengan berita bahawa ada campur tangan politik yang cuba menghalang beberapa orang yang sebelum ini disiasat kerana disyaki menyeleweng dana rakyat di bawah Skim 1Azam daripada didakwa. Perkara ini turut disahkan oleh Pengerusi Panel Rundingan dan Pencegahan SPRM, Dato’ Johan Jaafar melalui kenyataan rasmi semalam.

Skandal penyelewengan dana rakyat yang disalurkan melalui Skim 1Azam di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah lama berlegar dan bermain di mulut rakyat. Skim ini diperkenalkan semasa Dato’ Seri Shahrizat Jalil menjadi menteri yang berkenaan.

Mengikut Laporan Tahunan Pemandu 2011, di antara tahun 2010 dan 2011 kerajaan persekutuan dianggarkan membelanjakan sehingga RM690 juta untuk program ini. Ia adalah program pembasmian kemiskinan yang terbesar yang dijalankan oleh kerajaan persekutuan.

Salah satu dari inisiatif dibawah 1Azam ialah dengan membekalkan perkakas dan peralatan untuk membolehkan isirumah miskin memulakan perniagaan kecil-kecilan untuk menambah pendapatan. Contoh perkakas dan peralatan yang sering diberikan dibawah skim ini adalah peti sejuk, mesin jahit, gerai burger, pembuat kuih, enjin bot dan lain-lain.

Seawal tahun 2012, saya telah didatangi oleh seorang pembekal kepada skim ini yang mendakwa bahawa berlaku penipuan di dalam pelaksanaan 1Azam di dalam dua bentuk:

1. Perkakas dan peralatan bantuan tidak sampai kepada isirumah miskin seperti yang didakwa, sebaliknya beliau menghantar perkakas dan peralatan yang dibekalkan kepada pimpinan kanan dan aktivis Wanita Umno setempat

2. Harga perkakas dan peralatan bantuan adalah jauh lebih rendah dari yang tuntutan yang dibuat kepada kerajaan kerana pembekal perlu membayar kembali perbezaan di antara harga sebenar dan tuntutan kepada pegawai-pegawai tertentu di kementerian. Contohnya, jika jumlah tuntutan beberapa perkakas adalah RM5,000 – harga sebenar yang dibekalkan mungkin hanya RM2,500. Beza RM2,500 dari tuntutan dibahagikan diantara beberapa orang yang terlibat.

Pembekal tersebut meminta saya menyiasat perkara ini kerana beliau berasa bersalah dengan penipuan yang melibatkan dana rakyat untuk membantu rakyat miskin ini. Setelah mencuba beberapa bulan, saya tidak mendapat apa-apa bukti berbentuk dokumen selain dari percakapan dan pembekal. Oleh sebab itu, saya membuat keputusan untuk tidak terus meneliti perkara ini.

Saya berasa lega apabila diberitakan bahawa SPRM telah menahan beberapa individu yang dikaitkan dengan Yayasan Sayang Malaysia yang ditubuhkan khusus untuk terbabit di dalam pelaksanaan skim 1Azam. Yayasan Sayang Malaysia adalah sebuah syarikat yang dijamin (limited by guarantee), maka tidak banyak maklumat yang diperolehi kecuali pengarahnya adalah Dato’ Suhaimi Ibrahim, bekas Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil sendiri di kementerian.

Download (PDF, 198KB)

Namun, berita kelewatan pendakwaan walaupun SPRM telah menyiapkan kertas siasatan membayangkan ada campur tangan untuk menutup perkara ini. Jika ia meletup, ia benar-benar memalukan Umno kerana pengkhianatannya adalah lebih besar dari penyelewengan NFC. Jika benar penipuan seperti yang dikhabarkan dan dilaporkan oleh pembekal-pembekal, ini bermakna kerajaan persekutuan di bawah Umno/Barisan Nasional membiarkan rakyat termiskin diperalatkan untuk mengkayakan beberapa orang pegawai yang pecah amanah. Ia juga menggambarkan bagaimana puluhan ribu keluarga mungkin tertipu dengan perkakas dan peralatan yang dibekalkan kepada mereka yang harganya jauh lebih murah dari yang didakwa.

Semalam, saya telah menulis kepada Dato’ NurJazlan Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dan Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Audit Negara supaya keseluruhan pelaksanaan skim 1Azam disiasat serta-merta. Saya juga mendesak Tan Sri Gani Patail untuk memastikan pendakwaan hasil kertas siasatan SPRM di dalam kes ini dibuat dengan segera demi kebajika rakyat.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

4 Februari 2014

%d bloggers like this: