Dewan Rakyat yang mula bersidang pada hari ini sewajarnya menjadi medan berlumba-lumba di antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan PAS untuk membawa masalah rakyat. Banyak perubahan telah berlaku sejak 10 Mei 2018 yang lalu, tetapi pimpinan politik yang berkerumun di Dewan Rakyat tidak wajar melupakan beberapa perkara asas yang sangat penting kepada rakyat.
Sebahagian dari rakyat memang berminat dengan pelbagai rencam politik kebelakangan ini. Namun, pada pengamatan saya, sebahagian besar yang lain lebih tertumpu kepada soal kehidupan seharian mereka: harga barang, minyak, gaji, peluang pekerjaan, harga rumah dan seumpamanya.
Harga Minyak: Pakatan Mungkir Janji?
Saya sering menjadi serangan penyokong-penyokong UMNO dan PAS yang mendesak saya “membangkang” pentadbiran Pakatan Harapan yang kononnya mungkir janji mengenai harga minyak. Kata mereka, saya ada berjanji jika Pakatan Harapan menang, harga minyak diturunkan kepada RM1.50 seliter. Ada juga yang menuntut kononnya saya berjanji harga minyak turun RM1.80 seliter.
Saya senang tersenyum kebelakangan ini, terutamanya melihat gelagat penyokong-penyokong UMNO dan PAS yang berpadu tenaga tetapi masih hilang punca. Tindakan mendesak saya “membangkang” dalam hal-hal kebajikan rakyat (harga barang, harga minyak) samalah seperti pengakuan mereka tidak yakin dengan kepimpinan UMNO dan PAS yang sedia ada untuk membela kebajikan rakyat.
Lebih teruk lagi, senarai janji yang mereka tuntut itu adalah janji Mat Jenin yang mereka sendiri angan-angankan (sementara mengubat luka kekalahan PRU14) tetapi tidak pernah pun menjadi janji Pakatan Harapan.
Walaupun saya sendiri tidak terlibat secara langsung di dalam penyediaan manifesto Pakatan Harapan, banyak idea-idea berkaitan isu kos sara hidup mengambil pakai idea yang telah dipopularkan sebelum itu.
Saya menulis di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” mengenai pengenalan sistem subsidi minyak berkuota bulanan yang dikemaskini setiap kali kita membeli minyak. Dengan cara ini, harga minyak boleh distabilkan pada satu harga yang tertakluk kepada harga siling dan penggunaannya terhad kepada kuota bulanan tertentu (untuk mengelakkan yang kaya dan yang membazir dari menggunakan minyak bersubsidi pada harga berlebihan).
Saya sertakan petikan skrin buku saya itu (muka surat 91):
Jawatankuasa Manifesto PH mengubah suai sedikit idea itu supaya minyak bersubsidi yang tertakluk kepada harga siling itu hanya diberikan kepada golongan tertentu (berbanding cadangan saya untuk diberikan kepada semua, tetapi tertakluk kepada kuota bulanan) iaitu kegunaan motosikal enjin 125cc ke bawah dan kereta enjin 1,300cc ke bawah, seperti Janji 7 dari Buku Harapan:
PH (atau mana-mana pimpinan) tidak pernah pun menjanjikan harga turun serta merta kepada RM1.50 seliter untuk RON95. Itu kempen PRU13. Penyokong UMNO dan PAS masih mamai dengan kempen PRU13!
Harga RM1.80 seliter itu pula adalah contoh perbandingan pada kala harga minyak mentah dunia sekitar USD45 hingga USD55 se-tong, kerajaan boleh menurunkan harga RON95 kepada RM1.80 seliter dengan subsidi 20 sen setiap liter (kerana harga RON95 mengikut formula pada harga minyak mentah sebegitu adalah RM2.00 seliter).
Harga sekarang bukan USD55 se-tong. Harganya sudah mencecah USD75 se-tong; maka persoalan yang sepatutnya pembangkang dari UMNO dan PAS kupas ialah berapa banyak subsidi diberikan bagi setiap liter petrol dan diesel?
Harga Ikut Formula
Hakikatnya, harga RON95 yang ditetapkan mengikut formula yang diwarisi dari pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak adalah jauh lebih tinggi dari yang ditetapkan oleh pentadbiran PH sekarang.
Rujuk lampiran kiraan harga minyak mingguan sejak 9 Mei 2018 (yang saya sertakan) dan graf harga minyak RON95 mengikut formula:
RON95 – May 9th to July 18th 2018
Sejak 9 Mei 2018, harga minyak mentah Brent (harga rujukan) kekal tinggi sekitar USD75 ke atas setiap se-tong. Pada harga ini, menggunakan formula yang ditetapkan Dato’ Seri Najib sendiri dan harga minyak ditapis MOPS95 (harga rujukan dari Singapura), harga RON95 mengikut formula kekal tinggi antara RM2.35 seliter (paling rendah) kepada RM2.50 seliter (paling tinggi).
Bagi penyokong UMNO dan PAS yang masih lagi terkebil-kebil tidak memahami angka dan graf, saya sertakan pengiraan terperinci di dalam lampiran (dengan menunjukkan harga mingguan MOPS95, kadar tukaran mata wang dan jaminan keuntungan kepada syarikat minyak) untuk dihadam, seperti berikut:
Jika PH tidak menang pada 9 Mei yang lalu, rakyat Malaysia telah menanggung harga minyak RON95 yang naik mendadak dari RM2.20 kepada RM2.44 (minggu ini). Malah, berdasarkan harga formula mingguan di atas, antara 9 Mei hingga 18 Julai (minggu ini), jika PH tidak menang, harga minyak sepatutnya naik 6 kali dan turun 5 kali.
Formula yang ditetapkan Dato’ Seri Najib itu akan melonjakkan harga minyak RON95 kepada RM2.50 seliter. Bayangkan, bila harga minyak telah mencecah ke paras itu, harga barang juga dinaikkan (dan sangat sukar diturunkan apabila telah naik!).
Hasil Lebihan Minyak Dipulangkan Sebagai Subsidi
Saya berpuas hati kerana pentadbiran PH berpegang kepada dasar ekonomi pro-rakyat yang kita perjuangkan selama ini. Beratus-ratus ceramah saya di atas (dan di bawah) trak mempertahankan subsidi demi menjaga kebajikan rakyat biasa.
Saya tidak “membangkang” pentadbiran PH dalam bab harga minyak kerana subsidi yang dipulangkan kepada rakyat adalah melebihi dari yang dijanjikan di dalam Manisfesto PH!
Saya ingat pimpinan UMNO dan PAS pun tidak bersuara kerana mereka tahu prestasi pentadbiran PH dalam bab menstabilkan harga minyak adalah lebih cemerlang dari yang mereka sendiri jangkakan. Masalahnya, bukan mudah untuk “menyekolahkan” penyokong taksub UMNO dan PAS yang syok sendiri dengan janji manifesto Jenin yang mereka sendiri igaukan.
Saya berkempen untuk mengembalikan subsidi minyak kerana saya tahu bagi setiap satu dollar kenaikan harga minyak mentah dunia, Kerajaan Persekutuan akan mendapat untung berlebihan.
Saya sertakan kiraan bagaimana bagi setiap satu tong minyak mentah, 40.4% hasil itu pergi terus kepada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, duti, cukai petroleum dan anggaran perkongsian keuntungan.
Oleh itu, kita boleh kira berapa sebenarnya laba dari kenaikan harga minyak mentah itu yang telah dipulangkan kembali kepada rakyat dalam bentuk subsidi, atau yang dibelanjakan terus oleh Kerajaan Persekutuan tanpa dipulangkan kepada rakyat.
(Rujuk lampiran bernama Perbandingan Subsidi dan Harga Minyak – Sebelum & Selepas 9 Mei)
Perbandingan Subsidi & Harga Minyak – Pre Post 9 Mei 2018
Oleh kerana Bajet 2018 mengunjurkan harga minyak mentah sebanyak USD50 se-tong sahaja, pentadbiran Dato’ Seri Najib sebenarnya telah mendapat durian runtuh sejak 1 Januari 2018 kerana harga minyak mentah telah pun melonjak sekitar USD68 se-tong (purata antara Januari ke awal Mei 2018).
Akibatnya, antara 1 Januari 2018 hingga akhir April 2018, pentadbiran Dato’ Seri Najib mendapat keuntungan tambahan (yang tidak diperuntukkan untuk apa-apa perbelanjaan semasa Bajet 2018 dibentangkan) sebanyak RM17 juta sehari atau RM2.2 bilion sehinggalah hari beliau kalah dalam PRU14.
Berapa banyak dari jumlah lebihan pendapatan (akibat kenaikan harga minyak mentah ini) RM17 juta sehari ini yang dipulangkan kepada rakyat? Sangat sedikit, hampir kosong (kerana subsidi minyak hanya diperkenalkan dalam 2 minggu berkempen, sebelum itu tiada subsidi minyak di bawah Dato’ Seri Najib).
Apabila PH mengambil alih pentadbiran bermula 10 Mei 2018, harga minyak RON95 dikekalkan pada RM2.20 seliter dan perubahan harga mingguan dihapuskan. Ini bermakna pentadbiran PH memperkenalkan harga siling pada paras RM2.20 seliter.
Harga siling hanya dapat diperkenalkan apabila Kerajaan Persekutuan bersedia menanggung subsidi apabila harga minyak RON95 mengikut formula (yang merujuk kepada harga minyak mentah dunia) melebihi RM2.20 seliter.
RM1.4 bilion Subsidi Dalam 67 Hari
Manifesto PH menjanjikan minyak bersubsidi hanya kepada pengguna motosikal di bawah 125cc dan kereta di bawah 1,300cc.
Sejak mengambil alih pentadbiran Putrajaya, pentadbiran PH telah membelanjakan (anggaran) RM1.4 bilion dalam bentuk subsidi minyak (petrol dan diesel) kepada semua rakyat Malaysia untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM2.20 seliter, walaupun harga minyak mentah melambung naik.
Dalam tempoh 67 hari sejak 10 Mei 2018, pentadbiran PH telah membuat keputusan bijak memulangkan antara 17 sen hingga 30 sen subsidi setiap liter, untuk menstabilkan harga minyak.
Penyokong UMNO dan BN akan terus sawan di media sosial menuntut harga yang lebih rendah walaupun RM1.4 bilion telah dibelanjakan dalam tempoh 67 hari. Mereka akan berkata: “menurut Rafizi, setiap kali harga minyak mentah naik, kerajaan akan untung besar. Kenapa tidak boleh turunkan sehingga RM1.50 seliter?”
Setakat ini, rekod pentadbiran PH memulangkan hasil tambahan (akibat kenaikan harga minyak mentah dunia) adalah cemerlang.
Daripada RM1.77 bilion pendapatan tambahan (akibat kenaikan harga minyak mentah dunia) yang diperolehi Putrajaya antara 10 Mei hingga 16 Julai 2018, sebanyak RM1.384 bilion dikembalikan kepada rakyat sebagai subsidi minyak.
Maknanya, pentadbiran PH mengembalikan 78% dari pendapatan tambahan hasil minyak kepada rakyat.
Bandingkan dengan rekod pentadbiran Dato’ Seri Najib: dari RM2.2 bilion hasil tambahan (akibat kenaikan harga minyak mentah dunia) antara Januari ke Mei 2018, beliau membelanjakan hampir keseluruhannya tanpa dikembalikan kepada rakyat.
Saya berharap pimpinan UMNO dan PAS menjadi pembangkang yang baik. Bukan saja membangkang dengan berfakta, tetapi mendidik juga penyokong mereka agar celik ilmu.
Kesemua analisis yang saya bentangkan ini adalah berdasarkan maklumat yang boleh diperolehi dari pembacaan di internet. Tidak ada satu maklumat pun yang dibekalkan oleh mana-mana individu dari jabatan kerajaan.
Maknanya, jika ada kemahuan, pembangkang dari UMNO dan PAS pun boleh memperjuangkan kebajikan rakyat dengan berkesan berpandukan fakta dan maklumat yang sudah sedia ada. Tidak perlulah penyokong UMNO dan PAS mencari saya setiap kali mereka mahu menimbulkan isu bersabit kebajikan rakyat.
Nukilan:
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN
16 Julai 2018
Ramai lagi yang tidak faham bahawa betapa pentingnya utk menstabilkan harga minyak, sesiapa yang minta RM 1.50/litre tu memang golongan yang tidak berfikir secara logik sebelum bersuara. Terima kasih atas analisis dan penjelasan yang terperinci dan memperkenalkan inisiatif yang konstruktif untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara. Salam Malaysia Baru.