Category Archives: Skandal @ NFC

Skandal NFC: Iklan Notis Bankrap Sengaja Diusahakan Sebagai Modal Politik

Saya merujuk kepada satu notis menuntut bayaran sebanyak RM306,999.17 setakat 13 Julai 2017 seperti yang diiklankan di dalam akhbar tempatan atas arahan yang diperolehi oleh Dato’ Seri Salleh Ismail (suami kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno) dan NFC daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Saya tahu bahawa tindakan membuat permohonan terus di mahkamah tanpa berusaha sepenuhnya untuk menghantar notis secara tangan agar notis itu diterima sendiri oleh saya (seperti kehendak undang-undang yang biasa diamalkan) adalah satu helah murahan di pihak Dato’ Seri Salleh Ismail untuk memfitnah dan menyerang peribadi saya. Saya tidaklah terkejut, malah bersimpati dengan beliau kerana pada umur sedemikian beliau nampak terlalu terikut-ikut dengan perasaan marah dan dendam atas apa yang berlaku ke atas NFC yang mengheret keluarga beliau.

Dengan mendapatkan notis dari mahkamah itu, ia bertujuan untuk memberi gambaran bahawa saya berlaku tidak jujur kerana menerima sumbangan orang ramai untuk membayar jumlah yang dituntut oleh beliau tetapi menyimpan jumlah itu dan tidak membayarnya kepada beliau. Selain itu, ia digunakan sebagai modal politik murahan oleh cyber trooper Umno untuk menyerang saya sebagai seorang yang bankrap.

Rakyat secara umumnya tidak begitu arif tentang selok belok kaedah undang-undang dalam mengendalikan tuntutan bayaran selepas satu penghakiman kes saman dikeluarkan.

Oleh itu, mudah untuk menggunakan kaedah undang-undang untuk memberi gambaran saya enggan membayar walaupun sudah menerima sumbangan lebih RM1.5 juta dari rakyat Malaysia.

Kaedah-kaedah di sisi undang-undang untuk menghantar notis menuntut bayaran selepas satu penghakiman dibuat dalam kes saman seperti ini tertakluk kepada kaedah-kaedah yang terkandung di dalam Peraturan Mahkamah 2012 (Rules of Court 2012) yang diwartakan.

(Rujuk Peraturan Mahkamah 2012 http://www.malaysianbar.org.my/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=3766 )

Secara umumnya, kaedah-kaedah ditentukan oleh Perintah 10 (“ORDER 10: SERVICE OF ORIGINATING PROCESS: GENERAL PROVISIONS”) dan Perintah 62 (“ORDER 62
SERVICE OF DOCUMENTS”).

Perintah 10 Peranggan 1 menyebut bahawa tertakluk kepada akta-akta dan peraturan-peraturan di dalam Peraturan Mahkamah, sesuatu notis (dipanggil juga writ) perlulah disampaikan secara peribadi kepada pihak yang menerima atau dihantar melalui pos berdaftar. Dalam kes notis menuntut bayaran seperti kes ini, ia bermakna peguam yang dilantik oleh Dato’ Seri Salleh Ismail perlulah membuat temu janji dengan saya untuk datang berjumpa dan menyampaikan sendiri notis tuntutan itu yang perlu ditandatangani oleh saya dalam satu salinan sebagai persetujuan saya telah menerima notis tersebut.

Perintah 62 Perenggan 5 (mengenai “Substituted Service”) menyebut pula bahawa jika sesuatu notis perlu disampaikan secara peribadi tetapi Mahkamah merasakan adalah tidak praktikal (“impractical”) untuk menyampaikannya secara peribadi, satu permohonan boleh dibuat kepada Mahkamah oleh pemohon untuk mendapatkan arahan Mahkamah agar kaedah-kaedah lain digunakan untuk menyampaikan notis itu kepada pembayar.

Mahkamah kemudiannya berhak mengarahkan agar satu notis diiklankan mengikut apa-apa kaedah yang difikirkan sesuai, selalunya diiklankan di dalam sebuah akhbar edaran nasional.

Saya perlu menegaskan bahawa kaedah mendapatkan satu perintah mahkamah agar notis diiklankan bukanlah cara biasa yang digunakan untuk menuntut bayaran seperti dalam kes ini kerana tugas untuk menyampaikan notis secara tangan untuk diterima secara peribadi oleh saya bukan satu perkara yang susah.

Saya dimaklumkan oleh beberapa orang rakan peguam bahawa pemohon (dalam kes ini Dato’ Seri Salleh Ismail) perlu menunjukkan bahawa beliau tidak dapat menjejaki saya sama ada kerana alamat yang diberikan tidak lagi wujud atau tiada yang tahu di mana saya berada. Tambahan pula, kaedah mengiklankan di dalam akhbar akan melibatkan kos yang tinggi.

Sebab itu saya tidak terkejut apabila Dato’ Seri Salleh Ismail dan NFC mengambil jalan yang pelik dan menelan belanja sedangkan cara biasa hanyalah menghubungi saya atau datang ke pejabat saya. Bagi saya, mereka berniat untuk memalukan dan menunjukkan kononnya saya seorang yang pecah amanah kerana telah mendapat sumbangan tetapi tidak membayar tuntutan mereka.

Apa yang tidak dimaklumkan kepada rakyat adalah saya tidak dapat membayar sehingga mereka menyampaikan notis tuntutan itu secara tangan dan diterima peribadi kepada saya kerana saya tidak tahu jumlah sebenar yang perlu saya bayar. Hakim YA Azizul Azmi Adnan bukan sahaja menganugerahkan bayaran RM300,000 kepada NFC dan Dato’ Seri Salleh Ismail, jumlah itu perlu dibayar dengan bayaran faedah yang dikira pada setiap hari.

Oleh itu, saya memang perlu menunggu notis tuntutan itu diserahkan secara tangan untuk memenuhi kehendak undang-undang dan mengetahui jumlah yang perlu dibayar.

Malangnya, perkara yang mudah iaitu menghubungi saya untuk membuat temujanji untuk menyerahkan notis tuntutan yang menyatakan jumlah yang perlu dibayar itu tidak pernah diusahakan oleh Dato’ Seri Salleh Ismail.

Pihak beliau hanya meninggalkan surat di rumah saya kononnya mereka datang tetapi saya tiada di rumah. Seterusnya mereka meninggalkan pula surat untuk menyatakan mereka berkehendakkan saya berada di rumah pada tarikh dan masa yang mereka tetapkan untuk saya menerima notis yang hendak mereka serahkan.

Saya hanya satu arahan mahkamah yang sama seperti yang diiklankan di dalam akhbar buat kali pertama pada hari Selasa lepas iaitu 19 September 2017, semasa saya pulang ke rumah sekitar jam 1 pagi selepas program seharian,. Arahan mahkamah itu bertarikh 14 September 2017 dan memberi saya tempoh seminggu iaitu sehingga 21 September 2017, tetapi hanya ditampal di pintu rumah saya hanya pada 18 September 2017 dan hanya dilihat oleh saya pada pagi 19 September 2017.

Pada 20 September 2017, saya berada di Sitiawan pada sebelah malamnya dan pada 21 September 2017, saya ada kes di mahkamah. 22 September 2017 ialah cuti umum awal Muharram.

Maka saya tidak terkejut apabila saya menyemak telefon saya semalam sekitar 7 malam setelah seharian berkempen di Kedah dan Perlis, saya terlihat ada dua panggilan dari wartawan New Straits Times yang bernama Syed Umar Ariff. Sebelum ini, wartawan ini menulis beberapa rencana pojok politik yang memburuk-burukkan saya tanpa sekali pun merujuk kepada saya sebelum menulis rencana-rencana itu. Itu hak beliau untuk menulis tetapi apabila wartawan pertama yang menghubungi saya mengenai notis kebankrapan ini adalah Syed Umar Ariff dari NST (sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah pun menghubungi saya walaupun tulisan pojok beliau itu boleh sahaja disaman kerana serangan ke atas saya), saya fahamlah sebab musababnya.

Jika niat mereka ini untuk memalukan saya kerana notis bankrap yang disiarkan dan dijadikan modal serangan media milik Umno seperti TV3, NST dan Berita Harian – saya tidak rasa itu berkesan. Saya sudah pun ada berbelas kes mahkamah dan sudah dijatuhkan hukuman penjara. Apalah sangat satu notis menuntut bayaran yang disiarkan di dalam media milik Umno.

Jika niat mereka untuk menunjukkan saya seorang yang menipu kerana menerima sumbangan rakyat tetapi menyelewengkan wang itu untuk diri saya – tindakan yang diambil ini adalah bodoh kerana rakyat Malaysia boleh membaca permainan politik mereka. Cemuhan rakyat kepada keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan Dato’ Seri Salleh Ismail akan berterusan kerana bukan sahaja mereka tidak mengembalikan sepenuhnya RM250 juta wang rakyat yang diambil, kini mereka cuba bermain politik pula dengan menggunakan skandal NFC.

Mulanya Dato’ Seri Salleh Ismail menuntut bayaran RM300,000 walaupun rayuan masih berjalan dan beliau boleh sahaja menunggu sehingga rayuan terakhir. Ketika itu nampak beliau terdesak untuk mendapatkan wang RM300,000.

Setelah saya berjaya mengumpul RM300,000 untuk membayar beliau dan NFC, kini lain pula helahnya. Saya nampak seperti mereka cuba pula mencari jalan untuk saya tidak membayar wang RM300,000 itu dan menggunakan kaedah permohonan mahkamah agar notis tidak disampaikan secara peribadi kepada saya agar saya dapat membayarnya. Sebaliknya satu tindakan mahkamah diambil dan ditampal di saat-saat akhir sebelum tarikh akhir yang diarahkan mahkamah.

Peguam saya akan mengira jumlah terkini yang perlu dibayar dengan mengambil kira bayaran faedah terbaru dan saya akan menyerahkan cek itu kepada beliau esok (Isnin, 25 September 2017) untuk dibayar kepada Dato’ Seri Salleh Ismail dan NFC. Selepas itu, soal kebankrapan sepatutnya tidak timbul dan saya akan menunggu tarikh rayuan untuk membatalkan keputusan Hakim YA Azizul Azmi Adnan tempoh hari.

Saya menasihati Dato’ Seri Salleh Ismail dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil supaya menumpukan perhatian mereka kepada usaha untuk mengembalikan kesemua RM250 juta yang mereka telah ambil dan sebahagiannya dibelanjakan bagi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu seperti kondominium mewah.

Tindakan kebudak-budakan seperti tidak mengusahakan untuk menyerahkan notis tuntutan dengan jumlah yang perlu dibayar secara tangan yang menghalang saya membayar (seperti yang lazim berlaku) supaya satu notis kebankrapan dapat disiarkan di akhbar-akhbar akan terus mengundang cemuhan rakyat terhadap mereka.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Catatan Dari Kandang Mahkamah


Banyak masa saya dihabiskan di mahkamah bermula minggu ini untuk melalui perbicaraan bagi 3 kes berturut-turut: kes NFC (minggu ini dan depan), kes menghina Umno (minggu depan), kes kedudukan kewangan Tabung Haji (minggu satu lagi).
Ada orang tanya apa perasaan saya turun naik mahkamah bagi kes-kes yang bertahun-tahun lamanya seperti NFC. Ada orang kata tindakan saya menumpukan usaha saya mendedahkan penyelewengan wang seperti ini adalah sia-sia kerana akhirnya yang ambil wang dilepaskan, saya pula didakwa dan rakyat pun sudah lupa.

Orang-orang PAS yang dulu ghairah menggunakan saya untuk menarik orang ke ceramah mereka semasa skandal NFC memuncak kini sudah berkata penyelewengan dana rakyat RM250 juta itu satu fitnah, kata sahabat-sahabat yang menghantar mesej kepada saya.

Saya tidak pedulikan itu semua.

Apabila saya “terjumpa” skandal wang rakyat diselewengkan (bermula dengan NFC), saya anggap itu ujian Allah kepada saya.

Pilihan saya ialah sama ada saya memalingkan muka dan tidak ambil kisah kerana hidup saya senang dan langsung tidak terkesan bila wang rakyat sebegitu hilang (gaji besar, kereta besar).

Tetapi saya rasa Allah akan murka jika pada masa Allah kurniakan saya peluang pendidikan yang lebih baik, saya lebih petah, saya lebih selesa dengan hal ehwal kewangan tetapi saya memilih untuk berdiam diri.

Maka saya bersuara kerana saya bimbang saya kufur nikmat dan saya tidak “berkongsi” kebolehan yang Allah kurniakan itu demi kebaikan orang lain.

Ada orang sedih tengok saya saban minggu duduk di dalam kandang tertuduh. Ada orang bisikkan semuanya sia-sia kerana semasa isu tengah panas ramai yang mahu saya naik pentas dan tumpang sekaki, tetapi bila duduk di kandang setiap minggu ramai yang tidak endah.

Saya langsung tidak terkesan kerana saya lega saya telah lulus ujian yang saya anggap Allah kenakan terhadap saya.

Sama juga dengan hakim-hakim (ada yang berbudi baik dengan saya, ada yang kasar dengan saya) dan pendakwaraya dan peguam (ada yang berbudi, banyak yang kasar dengan saya kerana saya orang kena tuduh).

Ada yang tanya sekiranya PH menang, adakah saya akan cari kembali semua watak-watak yang setiap minggu turun naik mahkamah mahu memastikan saya dipenjara?

Saya sebenarnya tidak ambil kisah pun perangai dan lagak setiap orang yang saya terpaksa lalui dalam saya menjalankan amanah ini. Yang berbudi baik dengan saya, saya ingat sampai bila-bila. Yang kasar dan menunjukkan kuasa kepada saya, saya lupakan terus.

Bagi saya itu ujian Allah kepada mereka bila mereka diberikan kuasa, seperti mana setiap hari saya diberi ujian dalam keadaan saya juga ada sedikit pengaruh yang terhad.

Mereka akan disoal suatu hari kelak seperti mana saya akan disoal bagi setiap perlakuan saya kerana sebesar mana kita dalam ruang hidup kita yang sempit, kita hanyalah zarah yang lebih kecil dari zarah dibandingkan kekuasaan Allah.

Sama juga bila Dato’ Seri Salleh Ismail dengan bangga menyatakan bahawa dana RM250 juta yang dibelanjakan beliau dan keluarga bagi projek itu bukanlah duit rakyat kerana ia duit kerajaan. Rakyat tiada hak untuk mengetahui apa yang dibuat dengan wang itu kerana apabila beliau meminjam dari kerajaan, itu soal peribadi beliau dan kerajaan.

Allah datangkan ujian kepada beliau dan keluarga beliau dalam bentuk wang yang melimpah ruah dan kedudukan dunia, terpulanglah kepada beliau bagaimana melaluinya kerana Allah memandang semua.

Ada orang menghantar mesej memaki saya kerana katanya padan muka kerana saya kini menjadi penjenayah turun naik mahkamah.

Mereka lupa hampir semua tokoh dunia yang membawa perubahan kepada masyarakat bermula dengan dipandang sebagai penjenayah oleh penguasa pada ketika itu: dari zaman Rasulullah SAW, kepada George Washington (bapa kemerdekaan USA), Mahatma Ghandi, Sukarno, Mandela sehinggalah kepada Erdogan.

Saya akan terus dilabel penjenayah oleh penguasa selagi mereka berkuasa kerana suara saya mengancam kekuasaan mereka.

Rafizi Ramli
Mahkamah Sesyen Shah Alam

Rayuan Penghakiman Kes Saman NFC

Saya berterima kasih di atas penghakiman Yang Arif Azizul Azmi Adnan yang memutuskan kenyataan saya adalah fitnah dan mengarahkan saya membayar RM300,000 kepada Dato’ Seri Salleh Ismail dalam bentuk gantirugi dan kos guaman.

Saya sedang berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai sudut-sudut penghujahan yang boleh dikemukakan di dalam rayuan kelak.
Saya akan memaklumkan kepada media apabila rayuan dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Sementara saya yakin keputusan ini tidak mengubah pandangan masyarakat mengenai skandal NFC dan segala pendedahan yang saya buat setakat ini, saya mengambil pendirian mempertahankan ruang untuk membawa kebertanggungjawaban kepada mereka yang menggunakan dana awam mestilah dipertahankan sebaik-baiknya.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan

31 Oktober 2016

Pengerusi Eksekutif NFC Didapati Tidak Bersalah Pecah Amanah: Adakah Kerajaan Bersetuju Dana Penternakan Lembu Digunakan Untuk Membeli Kondo Mewah?

menerong4

nfc

Saya tidak sedikit pun terkejut dengan keputusan mahkamah yang mendapati Dato’ Seri Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC) tidak bersalah dalam satu pertuduhan pecah amanah menggunakan dana NFC sebanyak RM9,758,140 untuk membeli 2 unit kondominium mewah di One Menerong, Bangsar.

Saya akan menunggu perincian perbicaraan sebelum boleh membuat komen lanjut tetapi saya boleh mengagak tertuduh mengemukakan bukti bahawa pembelian tersebut telah diluluskan mengikut prosedur dan peraturan syarikat. Atas sebab itu, oleh kerana pembelian kondo tersebut telah diluluskan maka tidak berlaku sebarang pecah amanah.

Jika ini yang berlaku di dalam perbicaraan, ia memberi makna berikut:

1. Kelulusan itu diberikan sama ada di dalam mesyuarat Lembaga Pengarah atau Mesyuarat Agung Tahunan (Annual General Meeting) yang dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan sebagai mewakili Kerajaan Malaysia yang mempunyai saham istimewa di dalam NFC;

2. Wakil-wakil kerajaan di dalam Lembaga Pengarah hanya boleh memberi kelulusan pembelian kondominium tersebut dengan persetujuan dan arahan dari pegawai atasan kerajaan iaitu Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian;

3. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah meluluskan supaya NFC boleh menggunakan dana yang diberikan untuk penternakan lembu bagi tujuan membeli kondominium.

Dengan keputusan mahkamah ini, secara langsung pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memberi mesej bahawa ia tidak sedikit pun peduli dengan kemarahan rakyat mengenai skandal NFC ini yang menyebabkan Ketua Wanita Umno, Dato’ Seri Shahrizat Jalil terpaksa meletakkan jawatan.

Jika sebelum ini skandal NFC hanya terpalit kepada keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, keputusan hari ini mengesahkan bahawa skandal NFC ini bukan sahaja melibatkan keluarga bekas menteri itu tetapi keseluruhan Umno kerana pimpinan Umno di dalam kerajaan memberi izin dana NFC digunakan untuk membeli kondominium.

Saya mengingatkan pimpinan Umno supaya jangan terlalu ghairah berselindung di sebalik alasan pembelian atau perbelanjaan yang tidak munasabah mematuhi prosedur untuk lari dari tindakan undang-undang (seperti mana juga alasan yang digunakan di dalam skandal YaPEIM) kerana rakyat menilai kewajaran perbelanjaan itu berlaku; bukan semata-mata sama ada ia telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah atau tidak.

Keputusan pada hari ini dan sangkaan saya bahawa wakil kerajaan telah membenarkan pembelian ini (jika benar) mengesahkan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada iltizam untuk memerangi penyelewengan atau rasuah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tindakan Undang-Undang Sivil Ke Atas NFC Tidak Menjamin Kutipan Rm250 Juta Dana Awam

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan beberapa langkah yang dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap NFC berikutan kegagalannya memenuhi syarat perjanjian yang ditandatangani dan prestasi projek yang tidak dicapai.

Salah satu langkah yang dipertimbangkan adalah mengambil tindakan undang-undang sivil (bermakna menyaman NFC), seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

KEADILAN menolak langkah mengambil tindakan undang-undang sivil ke atas NFC atas dasar ia tidak menjamin bahawa dana awam RM250 juta dapat dikutip sepenuhnya, berasaskan perkara-perkara berikut:

1. Perjanjian yang dimeterai adalah di antara Kerajaan Malaysia dan NFCorp, maka sebarang tindakan undang-undang sivil seperti saman akan hanya melibatkan NFCorp;

2. Perlakuan penyelewengan dan pembelian aset mewah yang tidak ada kena mengena dengan projek fidlot kebangsaan banyak berlaku di dalam syarikat-syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, bukannya NFCorp;

3. Syarikat-syarikat ini secara undang-undang tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab atau obligasi kepada kerajaan atau pun perjanjian dana awam RM250 juta kerana ia hanya melibatkan NFCorp, maka ia tidak boleh disaman;

4. NFCorp tidak mempunyai aset yang besar dan mengalami kerugian sejak ia beroperasi. Jika Kerajaan Persekutuan berjaya sekali pun di dalam tindakan saman sivilnya, NFCorp boleh sahaja diisytiharkan muflis tetapi tidak masih mampu membayar kembali RM250 juta yang dipinjam.

Oleh sebab itulah, KEADILAN sejak dari awal lagi mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengenakan “jaminan peribadi” (“personal guarantee”) terhadap Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya agar semua harta mereka (termasuk hartanah mewah yang dibeli melalui syarikat-syarikat milik keluarga mereka tetapi menggunakan dana dari NFCorp) boleh disita bagi mendapatkan kembali RM250 juta dana awam yang diselewengkan.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa termasuklah Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia sepatutnya telah pun mengambil tindakan di bawah Akta Anti Pengubahan Wang (Anti Money Laundering Act, AMLA) seperti yang pernah disyorkan sebelum ini, agar sebarang aset mereka boleh dibekukan dan disita.

Saya mengalu-alukan pendedahan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 mengenai NFC kerana ia melambangkan sikap Dato’ Seri Najib Tun Razak yang hanya mahu melengah-lengahkan tindakan diambil ke atas NFC (dengan harapan Barisan Nasional menang PRU13 dan isu ini boleh dipadamkan). Pendirian Kerajaan Persekutuan yang hanya mahu mengambil tindakan undang-undang sivil, bukannya tindakan tegas dengan mengenakan “jaminan peribadi” atau pembekuan aset/sita aset di bawah AMLA mengesahkan bahawa Barisan Nasional tidak berniat mendapatkan kembali RM250 juta dana awam yang telah disalurkan kepada NFC.

KEADILAN akan tetap bersuara demi memastikan segala usaha diambil untuk mendapatkan kembali wang RM250 juta tersebut.

 

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

16 OKTOBER 2012