Category Archives: Reformasi

Siasatan Ke Atas Pegawai Menteri Pertahanan: Perlunya Pengisytiharan Harta Terbuka Termasuk Di Kalangan Pegawai-Pegawai

Saya merujuk kepada laporan media mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang pegawai kanan kepada YB Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Saya dibekalkan beberapa dokumen yang mengesahkan bahawa status muflis pegawai terbabit diselesaikan dalam beberapa hari, seperti ditunjukkan di dalam dokumen-dokumen berikut:

 

8 - 15 - 3

Status pencarian pada 15 Mei 2018, menunjukkan individu berhubung
kes mahkamah 29-3936-07/2013 disahkan muflis

8 - 15 - 2

Penyata insolvensi bagi kes bernombor sama (29-3936-07/2013) menunjukkan 4 bayaran besar dimasukkan dalam tempoh 2 hari

 

Dokumen-dokumen ini menunjukkan bahawa 4 bayaran yang meragukan (masing-masing berjumlah RM318,525, RM100,000, RM300,000 dan RM100,800) dibuat dalam tempoh dua hari iaitu 30 Mei 2018 dan 31 Mei 2018.

Alasan yang sampai kepada saya ialah wang ini hasil dari “crowdfunding” (atau biayaramai) yang diusahakan untuk melepaskan pegawai tersebut dari status muflis. Saya sukar menerima alasan ini kerana saya juga tahu seorang lagi pimpinan AMANAH iaitu Saudara Mazlan Aliman masih belum berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membayar saman ke atasnya, sedangkan Saudara Mazlan lebih dikenali dari pembantu YB Mohamad Sabu ini.

Kes ini, walaupun boleh memalukan Pakatan Harapan, boleh juga diambil pengajaran dalam usaha kita memperkukuhkan lagi Pakatan Harapan.

Sementara pihak berkuasa wajar meneruskan siasatan dan yang disiasat berhak membela diri di mahkamah, kes ini mendedahkan risiko yang dihadapi oleh anggota Kerajaan Persekutuan yang baru ini.

Walaupun parti yang memerintah telah bertukar, tetapi pihak-pihak yang sudah biasa untuk menawarkan rasuah, membayar tiket ke luar negara dan lain-lain tetap pihak yang sama kerana mereka merupakan pembekal kepada Kerajaan Persekutuan selama ini.

Mereka juga tahu bahawa mana-mana ahli politik dan pembantu mereka, memerlukan wang untuk menguruskan parti dan membina pengaruh. Ada juga ahli politik dan pembantu mereka yang kelabu mata dengan tawaran kemewahan, sesuatu yang mereka tidak pernah merasai semasa menjadi pembangkang dahulu.

Oleh itu, pihak-pihak yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan ini akan bertali arus mendampingi dan berbuat baik dengan menteri-menteri, terutamanya melalui pegawai-pegawai yang rapat dengan mereka.

Kita wajar memperhalusi bagaimana hubungan di antara pelobi-pelobi dan pihak-pihak yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan, untuk mengurangkan ruang mereka boleh menawarkan sogokan.

Saya yakin Kerajaan Persekutuan akan terus memperkenalkan peraturan-peraturan baru untuk mengetatkan lagi kod etika pimpinan kerajaan dan pegawai-pegawai mereka. Contohnya, Kerajaan Persekutuan boleh menguatkuasa pengisytiharan kepentingan (“declaration of interest”) bagi setiap perjumpaan di antara pihak swasta/pelobi dengan menteri dan pegawai-pegawai mereka. Jika kita boleh menyemak siapa dan apa tujuan satu-satu kumpulan berjumpa menteri, ini akan membuatkan menteri dan pelobi lebih berhati-hati kerana pertemuan mereka itu direkodkan.

Pada masa yang sama, saya juga percaya Kerajaan Persekutuan perlu memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan pengisytiharan harta berkala secara terbuka kepada rakyat yang melibatkan:

i. Perdana Menteri dan seluruh anggota Jemaah Menteri, termasuk keluarga mereka
ii. Menteri-menteri besar dan seluruh EXCO, termasuk keluarga mereka
iii. Semua ahli parlimen dan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan DUN, termasuk keluarga mereka
iv. Kesemua pegawai tinggi kerajaan berpangkat JUSA A ke atas, termasuk keluarga mereka
v. Semua setiausaha politik, setiausaha sulit, setiausaha akhbar dan pegawai-pegawai kanan yang menguruskan Perdana Menteri/TPM/Menteri/Menteri-menteri besar/EXCO, termasuk keluarga mereka

Pengisytiharan ini boleh dibuat secara berkanun supaya mereka boleh didakwa dan digugurkan dari jawatan sekiranya ada bukti mereka berbohong di dalam pengisytiharan mereka. Ini memudahkan siasatan agar SPRM tidak diheret untuk menyiasat kes-kes kekayaan melampau yang kemudiannya tidak boleh disabitkan kesalahan atas alasan tiada bukti menteri terbabit meluluskan projek untuk kroni mereka.

Saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan kembali cadangan untuk mewajibkan menteri-menteri mengisytiharkan harta kepada SPRM semata-mata.

Jalan terbaik masih lagi mengisytiharkan harta secara terbuka kepada orang ramai secara berkanun. Jika ahli politik itu tidak mahu mengisytiharkan harta secara terbuka kepada orang ramai, beliau tidaklah layak menjadi seorang penjawat awam dan lebih sesuai berada di dalam sektor swasta.

Kes terbaru melibatkan seorang pembantu kanan Menteri Pertahanan ini sewajarnya menjadi teladan perlunya undang-undang pengisytiharan harta yang lebih ketat.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Semak Semula Projek Kereta Nasional Ketiga

Saya membaca laporan-laporan akhbar mengenai hasrat Kerajaan Persekutuan melancarkan projek kereta nasional yang ketiga menjelang 2020. Perkara ini turut diumumkan oleh YB Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan seperti yang dilaporkan The Star bertarikh 4 Ogos 2018 (capaian https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/08/04/third-national-car/).

Saya ingin melahirkan rasa bimbang sekiranya Kerajaan Persekutuan secara berterusan mahu meneruskan projek ini dalam keadaan tentangan rakyat terhadapnya adalah jelas.

Pakatan Harapan dipilih atas platform untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat. Sementara rakyat masih memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk melaksanakan janji-janji manifesto (walaupun ada yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari), melaksanakan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran Pakatan Harapan akan mengundang rasa sinis rakyat.

Sejak Buku Jingga ditulis dalam tahun 2010, parti-parti yang menjadi majoriti di dalam Pakatan Harapan (iaitu KEADILAN, DAP dan pimpinan yang meninggalkan PAS untuk membentuk AMANAH) secara berterusan menyatakan hasrat untuk menghapuskan duti eksais yang dikenakan ke atas penjualan kereta kerana cukai kereta itu dilihat sangat membebankan.

Cukai eksais banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta menjadi lebih mahal berbanding negara-negara lain.

Platform dasar yang mahu menghapuskan cukai eksais demi menurunkan harga kereta ini tidak pernah berubah selepas Pakatan Harapan ditubuhkan. Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga.

Saya berpandangan usaha untuk menubuhkan perusahaan kereta nasional yang ketiga akan mendatangkan kesan kewangan yang besar kepada rakyat, seperti berikut:

1. Berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam?
2. Badan kerajaan mana (GLC, GLIC atau MOF Inc) yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek ini?
3. Adakah Kerajaan Persekutuan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta nasional ketiga dilancarkan?

Apabila Menteri Pembangunan Usahawan telah menetapkan tempoh masa yang khusus iaitu pelancaran projek kereta nasional ketiga menjelang tahun 2020, saya tertanya-tanya sama ada satu perancangan khusus yang menilai kesan kewangan kepada negara telah dijalankan?

Untuk mengurangkan sindiran dan serangan ke atas Kerajaan Persekutuan, saya menyeru supaya perkara ini dipertimbangkan semula.

Memandangkan ia bersabit perkara dasar, ia sewajarnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu untuk mendapat persetujuan bersama parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan. Sementara saya menghargai keperluan Jemaah Menteri membuat keputusan, tetapi keputusan yang bersabit perkara dasar mestilah diperhalusi secara prinsipnya di peringkat Pakatan Harapan sebelum boleh dilaksanakan melalui Jemaah Menteri.

Pandangan saya ini akan mengundang pelbagai kontroversi.

Saya tidak begitu bimbang dengan serangan dari dalam dan luar apabila saya menyuarakan pandangan-pandangan berhubung kebajikan rakyat seperti ini kerana saya yakin pentadbiran Pakatan Harapan lebih terbuka dengan pandangan dan kritikan membina.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

Pemilihan KEADILAN 2018

Reformasi20Tahun_Poster-small

Seperti yang dilaporkan oleh media, saya telah bersetuju menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN bagi pemilihan parti yang akan berlangsung September ke Oktober ini.

Saya tahu itu satu beban yang berat kerana saya bukanlah berjawatan kerajaan atau berduit. Kalah atau menang bukanlah perkiraan yang besar bagi saya, namun amanah untuk mempertahankan idealisme reformasi yang melahirkan KEADILAN perlulah digalas oleh seseorang.

Saya bukanlah yang terbaik dari kalangan pimpinan yang ada. Ada lagi pemimpin yang lebih tua, ada juga yang lebih hebat, ada juga yang lebih tertib, ada juga yang lebih rajin.

Cuma kali ini, amanah membawa gagasan reformasi setelah KEADILAN berjaya membentuk kerajaan dengan rakan PH yang lain, adalah beban saya yang perlu saya pikul.

Saya hanya bergantung kepada sokongan rakan-rakan akar umbi parti yang hidup mereka tidaklah berubah sebelum dan selepas PRU14, kerana saya juga seperti mereka: hanya seorang penggiat reformasi yang mahu kekal dengan idealisme yang menjerumuskan kita ke kancah politik 20 tahun lalu.

In Sha Allah dalam minggu-minggu mendatang, saya akan turun berjumpa seberapa ramai aktivis akar umbi KEADILAN di seluruh negara. Saya sudi mendengar, sudi ditegur, sudi meminta maaf dan sudi mencadangkan bagaimana kita mahu membina parti reformasi yang kekal pada idealismenya dan menyanjung aktivis di bawah lebih tinggi dari tunduk kepada jawatan di atas.

Kempen saya bermula secara tidak rasmi hari Ahad ini (29 Julai 2018) jam 230 petang di Hotel De Palma, Ampang. In Sha Allah saya akan memperkenalkan sahabat-sahabat pimpinan yang sudi memikul beban ini bersama-sama saya.

Saya jemput seberapa ramai keluarga besar KEADILAN dari seluruh negara untuk datang ke majlis yang tidak seberapa ini, untuk memperkukuhkan setiakawan, memperbaharui idealisme dan merayakan sumbangan #Reformasi20Tahun memenangkan PH dalam PRU lalu.

Mohon sebarkan kepada seberapa ramai sahabat-sahabat, jumpa di Hotel De Palma, Ampang pada hari Ahad ini.

Rafizi Ramli
#Reformasi20Tahun

Catatan: Seksyen 294 dan Bebas Penjara

Minggu lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan untuk membatalkan hukuman penjara satu tahun setengah dan sebaliknya menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 294, Kanun Tatacara Jenayah dalam kes Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung Laporan Ketua Audit Negara.

Hukuman penjara satu tahun setengah itu digantikan dengan bon berkelakuan baik selama 2 tahun dan bon RM10,000.

Saya perhatikan ada banyak kekeliruan yang berlaku. Saya membaca dan menghadam pelbagai reaksi orang ramai (terutamanya di media sosial) untuk saya cuba memahami perspektif orang ramai mengenai perkara ini.

Kekeliruan yang paling utama datangnya dari orang ramai yang terkeliru dengan konsep reformasi walaupun mereka menyokong kuat Pakatan Harapan. Ada yang berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana membebaskan saya. Ada juga yang meletakkan keputusan membatalkan hukuman penjara itu sebagai jasa itu dan ini.

Mereka nampaknya tidak sedar anggapan bahawa Kerajaan Persekutuan boleh mempengaruhi keputusan hakim itu sangat-sangat bertentangan dengan reformasi yang ingin kita bawa melalui kerajaan baru ini. Sejak saya berumur 20 tahun (malah lebih awal dari itu), saya mahukan satu badan kehakiman yang benar-benar bebas tanpa takut atau boleh dipengaruhi sesiapa. Beban amanah kepada hakim-hakim ini adalah untuk memastikan keadilan berlaku, dengan mengambil kira segala pertimbangan untuk berlaku adil.

Sebab itu saya tidak mahu membuat apa-apa permohonan yang melibatkan kuasa eksekutif yang boleh dilihat (atau disalah tafsir) ada keistimewaan diberikan kepada saya, hanya kerana saya seorang pemimpin Pakatan Harapan. Saya bertegas bahawa saya akan terus ke kandang tertuduh dan biarlah peguam-peguam saya berhujah di hadapan yang arif-yang arif hakim, dengan doa supaya hakim-hakim sekarang tidak lagi perlu rasa bimbang untuk membuat keputusan yang seadil mungkin.

Oleh itu, saya ingin perbetulkan sedikit kekeliruan di luar yang mungkin merasakan keputusan itu ada campur tangan mana-mana pihak. Proses mahkamah pada hari Jumaat lalu berjalan seperti biasa tanpa ada sebarang permohonan dari saya atau campur tangan mana-mana pihak.

Kenapa Seksyen 294?

Maka ia terletak sepenuhnya kepada pertimbangan hakim-hakim berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan peguam-peguam saya.

Sebelum perbicaraan, peguam-peguam saya Saudara Saiful Izham Ramli dan Saudara Ahmad Nizam Abdul Hamid telah berbincang dengan saya strategi di mahkamah. Akhirnya saya bersetuju dengan cadangan mereka, bahawa saya tidak akan merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman bersalah kepada saya, sebaliknya hanya akan merayu hukuman penjara satu tahun setengah.

Strategi ini sangat berisiko kerana nasib saya terletak kepada belas ihsan dan budi bicara tiga orang hakim Mahkamah Rayuan semata-mata – iaitu Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Jika mereka menerima hujahan peguam saya di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah, saya boleh bebas dari penjara. Jika tidak, hukuman mandatori minimum adalah satu tahun penjara.

Jadi kenapa saya mengambil risiko menggunakan hujah di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah ini? Apa sebenarnya Seksyen 294 ini?

Apabila saya berhadapan dengan sesuatu keadaan, saya ada pilihan – sama ada menyelamatkan diri atau menggunakan keadaan saya itu untuk membawa kebaikan yang lebih besar kepada masyarakat.

Oleh itu, sebarang penghakiman dan keputusan dalam kes-kes yang melibatkan saya akan menjadi satu duluan (precedent) undang-undang; yang boleh menjadi rujukan kepada kes-kes seumpamanya di masa hadapan.

Ramai yang tidak tahu kewujudan satu kuasa pertimbangan yang besar yang diberikan kepada hakim-hakim di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah. Ia memberikan kuasa kepada hakim-hakim menggunakan budi bicara dan belas ihsan, dengan mengambil kira segala pertimbangan fakta kes untuk meringankan hukuman kepada pesalah-pesalah.

Dalam kes saya, contoh-contoh pertimbangan seperti saya tidak mendapat apa-apa keuntungan, bahawa tindakan saya itu membantu ribuan pesara tentera mendapat pencen, bahawa maklumat di dalam laporan Ketua Audit Negara itu bukannya maklumat keselamatan negara dan lain-lain (seperti yang dihujahkan oleh peguam-peguam saya).

Saya berterima kasih kepada Timbalan Pendakwaraya, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang tidak membantah permohonan peguam-peguam saya agar hakim-hakim menggunakan budi bicara seperti diperuntukkan di dalam Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah itu.

Hasilnya, hakim-hakim mengenepikan hukuman penjara dan meletakkan bon berkelakuan baik; yang bermakna saya tidak ada rekod jenayah dan saya boleh kembali ke arena politik (jika satu lagi kes saya dalam pertuduhan BAFIA berjaya diketepikan).

Keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim Yang Arif Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil itu mewujudkan satu duluan (precedent) undang-undang yang cukup penting.

Selepas ini, hakim-hakim perlu mempertimbangkan faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan sesuatu hukuman dalam kes-kes yang melibatkan “whistleblowers” atau pemberi maklumat, atau kes-kes berkepentingan awam yang seumpamanya.

Saya berharap orang ramai sedar bahawa mereka dilindungi oleh undang-undang apabila mereka tampil memberi maklumat, atau mendedahkan, atau memperjuangkan sesuatu yang ada kepentingan umum (dan bukan untuk kepentingan peribadi). Ini banyak membantu untuk kita memerdekakan rakyat dari ketakutan, sifat mementingkan diri dan sifat sembang-kencang-tapi-malas-ambil-tindakan di kalangan segelintir rakyat kita.

Saya juga berharap kaedah Seksyen 294 ini akan lebih diguna pakai dalam kes-kes jenayah kecil: contohnya ibu miskin yang mencuri susu, anak yatim yang mencuri makanan dan lain-lain. Kita tidak lagi mahu mendengar berita seorang yang mencuri ayam dihukum penjara setahun, atau ibu miskin dipisahkan dari bayinya kerana mencuri susu.

Sistem kehakiman di negara kita perlu lebih bersandarkan belas ihsan (“compassion”) supaya pesalah seperti ini diberikan bon berkelakuan baik atau khidmat masyarakat mengikut peruntukan Seksyen 294, bukannya dihantar ke penjara kerana mencuri susu akibat kemiskinan.

Rafizi Ramli
7 Jun 2018

Rundingan Jemaah Menteri Masih Berjalan Dan Belum Dimuktamadkan

Saya merujuk kepada pengumuman yang dibuat YAB Tun Mahathir Mohamad sebentar tadi mengenai perlantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan iaitu Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

Saya telah ditanya mengenai ketiadaan wakil KEADILAN di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman perlantikan.

Saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang menjadi latar belakang kepada pengumuman tersebut:

1. KEADILAN beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad; dan

2. Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan.

YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sedang dalam perjalanan untuk berbincang dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilisasi Cheras mengenai perlantikan-perlantikan ini.

KEADILAN yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN