Category Archives: Reformasi

#REFORMASI20TAHUN Mendahului Selepas 11 Negeri

Saya cukup terkejut dengan keputusan pemilihan di Perak hari ini, yang memberi lonjakan terbesar dan meletakkan saya di hadapan mengatasi Saudara Azmin Ali.

Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Perak yang memberi 6,700 (61%) undi kepada saya, berbanding 4,359 (39%) kepada Saudara Azmin. Saya juga menang di 19 dari 24 cabang di Perak, satu keputusan yang paling besar di mana-mana negeri setakat ini .

Saya juga berterima kasih kepada pengundi-pengundi di Kedah yang menyaksikan saya mendapat 3,210 (47%) undi berbanding Saudara Azmin (3,653 undi, atau 53%).

Dengan 158 cabang dan 12 negeri telah mengundi Semenanjung & Wilayah Persekutuan (kecuali 6 cabang di Selangor yang akan mengundi esok), saya kini mendahului Saudara Azmin sebanyak 995 undi. Ini mengambil kira keputusan di cabang-cabang Negeri Sembilan dan Melaka yang telah dikeluarkan keputusan.

Kedudukan terkini adalah seperti paparan jadual keputusan yang saya sertakan.

Rafizi Ramli: Undi – 47,542 atau 50.5%, Cabang – 86 atau 54.4%

Azmin Ali: Undi – 46,547 atau 49.5%, Cabang – 72 atau 45.6%

perakkedah

Ini adalah satu keputusan yang sangat baik mengambil kira saya tiada sebarang kedudukan dalam kerajaan dan berkempen dalam serba kekurangan. Keputusan dari negeri-negeri (terutamanya Perak) memberi gambaran jelas ada tuntutan dari akar umbi yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan Pusat.

Saya berharap prestasi ini dapat diteruskan di 6 cabang terakhir di Selangor esok, dan disambung pula di Sabah dan Sarawak. Saya berharap sukarelawan dan jentera kempen #Reformasi20Tahun terus segar dan bersemangat untuk membuat pecutan terakhir.

Saya yakin dengan momentum yang ada, disambut pula dengan sokongan yang baik di Sabah dan Sarawak, agenda reformasi dalaman yang kita bawa melalui #Reformasi20Tahun boleh dilaksanakan.

Rafizi Ramli

#Reformasi20Tahun Menang Perlis, Kalah Tipis Di Selangor II

Jumlah - Result 21 Oktober 2018

 

Keputusan pemilihan di Selangor (7 cabang) dan di Perlis hari ini masih memberi saingan yang kuat.

#Reformasi20Tahun menang di Perlis dengan mendapat 54% undi dari anggota KEADILAN yang keluar mengundi di negeri itu hari ini.

Di 7 cabang Selangor, #Reformasi20Tahun hanya ketinggalan 594 undi dari jumlah keseluruhan undi di cabang-cabang Gombak, Selayang, PJ Utara, PJ Selatan, Klang, Kuala Langat dan Puchong. Ini satu keputusan yang cukup baik memandangkan cabang-cabang Selangor hari ini melibatkan cabang Saudara Azmin (calon Timbalan Presiden) dan Saudara Xavier (calon Naib Presiden).

Pemilihan hari ini melengkapkan pemilihan di 9 negeri dan 73% dari cabang-cabang Selangor. Dari keputusan setakat ini, suara anggota akar umbi KEADILAN menunjukkan:

1. Saya dan pasukan #Reformasi20Tahun menang di 7 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis

2. Saingan saya, Saudara Azmin hanya menang di Pulau Pinang, Johor dan mendahului di Selangor dalam margin yang kecil

Paling penting, mitos bahawa saingan saya, Saudara Azmin akan menang besar di Selangor juga tidak benar. Dengan 16 dari 22 cabang telah mengundi, keputusannya menunjukkan beliau hanya menang sekitar 1,300 undi sahaja di Selangor, dalam keadaan beliau tidak mendapat sokongan majoriti di negeri-negeri di luar Selangor.

Setakat ini, kelebihan kecil undi yang beliau dapat di Selangor itu telah diimbangi di negeri-negeri luar Selangor.

Dengan persaingan di Semenanjung hanya berbaki 6 cabang di Selangor berbanding 39 cabang di Perak dan Kedah minggu depan, saya yakin #Reformasi20Tahun ada peluang untuk menang di Semenanjung, sebelum pemilihan di Sabah dan Sarawak bermula dalam bulan November.

Saya juga optimis sokongan di Sabah dan Sarawak akan berpihak kepada #Reformasi20Tahun.

Oleh itu, saya menyeru semua pendokong #Reformasi20Tahun untuk meningkatkan usaha. Bagi cabang-cabang dan negeri-negeri yang telah selesai pemilihan, sertai sukarelawan kita untuk membantu di negeri-negeri Kedah, Perak dan Selangor (baki 6 cabang) yang akan mengadakan pemilihan minggu depan.

Bagi cabang-cabang yang akan melalui pemilihan di Selangor, Kedah dan Perak minggu depan – gandakan usaha untuk mengeluarkan seberapa ramai pengundi dan meraikan pesta demokrasi parti yang terbesar di negara ini.

Keputusan setakat ini sangat memberangsangkan: tanpa mengambil kira undi di cabang-cabang di Melaka dan Negeri Sembilan yang berpihak kepada saya, kita hanya ketinggalan 862 undi (tidak mengira undi ragu lagi), iaitu perbezaan 1% sahaja. Dengan 16 cabang-cabang di Selangor telah selesai mengundi, perbezaan 1% itu (In Sha Allah) akan dapat ditutup di Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Terima kasih atas kepercayaan saudara-saudari dengan agenda reformasi dalaman parti yang kami bawa.

Rafizi Ramli

Siasatan Ke Atas Pegawai Menteri Pertahanan: Perlunya Pengisytiharan Harta Terbuka Termasuk Di Kalangan Pegawai-Pegawai

Saya merujuk kepada laporan media mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang pegawai kanan kepada YB Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Saya dibekalkan beberapa dokumen yang mengesahkan bahawa status muflis pegawai terbabit diselesaikan dalam beberapa hari, seperti ditunjukkan di dalam dokumen-dokumen berikut:

 

8 - 15 - 3

Status pencarian pada 15 Mei 2018, menunjukkan individu berhubung
kes mahkamah 29-3936-07/2013 disahkan muflis

8 - 15 - 2

Penyata insolvensi bagi kes bernombor sama (29-3936-07/2013) menunjukkan 4 bayaran besar dimasukkan dalam tempoh 2 hari

 

Dokumen-dokumen ini menunjukkan bahawa 4 bayaran yang meragukan (masing-masing berjumlah RM318,525, RM100,000, RM300,000 dan RM100,800) dibuat dalam tempoh dua hari iaitu 30 Mei 2018 dan 31 Mei 2018.

Alasan yang sampai kepada saya ialah wang ini hasil dari “crowdfunding” (atau biayaramai) yang diusahakan untuk melepaskan pegawai tersebut dari status muflis. Saya sukar menerima alasan ini kerana saya juga tahu seorang lagi pimpinan AMANAH iaitu Saudara Mazlan Aliman masih belum berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membayar saman ke atasnya, sedangkan Saudara Mazlan lebih dikenali dari pembantu YB Mohamad Sabu ini.

Kes ini, walaupun boleh memalukan Pakatan Harapan, boleh juga diambil pengajaran dalam usaha kita memperkukuhkan lagi Pakatan Harapan.

Sementara pihak berkuasa wajar meneruskan siasatan dan yang disiasat berhak membela diri di mahkamah, kes ini mendedahkan risiko yang dihadapi oleh anggota Kerajaan Persekutuan yang baru ini.

Walaupun parti yang memerintah telah bertukar, tetapi pihak-pihak yang sudah biasa untuk menawarkan rasuah, membayar tiket ke luar negara dan lain-lain tetap pihak yang sama kerana mereka merupakan pembekal kepada Kerajaan Persekutuan selama ini.

Mereka juga tahu bahawa mana-mana ahli politik dan pembantu mereka, memerlukan wang untuk menguruskan parti dan membina pengaruh. Ada juga ahli politik dan pembantu mereka yang kelabu mata dengan tawaran kemewahan, sesuatu yang mereka tidak pernah merasai semasa menjadi pembangkang dahulu.

Oleh itu, pihak-pihak yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan ini akan bertali arus mendampingi dan berbuat baik dengan menteri-menteri, terutamanya melalui pegawai-pegawai yang rapat dengan mereka.

Kita wajar memperhalusi bagaimana hubungan di antara pelobi-pelobi dan pihak-pihak yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan, untuk mengurangkan ruang mereka boleh menawarkan sogokan.

Saya yakin Kerajaan Persekutuan akan terus memperkenalkan peraturan-peraturan baru untuk mengetatkan lagi kod etika pimpinan kerajaan dan pegawai-pegawai mereka. Contohnya, Kerajaan Persekutuan boleh menguatkuasa pengisytiharan kepentingan (“declaration of interest”) bagi setiap perjumpaan di antara pihak swasta/pelobi dengan menteri dan pegawai-pegawai mereka. Jika kita boleh menyemak siapa dan apa tujuan satu-satu kumpulan berjumpa menteri, ini akan membuatkan menteri dan pelobi lebih berhati-hati kerana pertemuan mereka itu direkodkan.

Pada masa yang sama, saya juga percaya Kerajaan Persekutuan perlu memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan pengisytiharan harta berkala secara terbuka kepada rakyat yang melibatkan:

i. Perdana Menteri dan seluruh anggota Jemaah Menteri, termasuk keluarga mereka
ii. Menteri-menteri besar dan seluruh EXCO, termasuk keluarga mereka
iii. Semua ahli parlimen dan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan DUN, termasuk keluarga mereka
iv. Kesemua pegawai tinggi kerajaan berpangkat JUSA A ke atas, termasuk keluarga mereka
v. Semua setiausaha politik, setiausaha sulit, setiausaha akhbar dan pegawai-pegawai kanan yang menguruskan Perdana Menteri/TPM/Menteri/Menteri-menteri besar/EXCO, termasuk keluarga mereka

Pengisytiharan ini boleh dibuat secara berkanun supaya mereka boleh didakwa dan digugurkan dari jawatan sekiranya ada bukti mereka berbohong di dalam pengisytiharan mereka. Ini memudahkan siasatan agar SPRM tidak diheret untuk menyiasat kes-kes kekayaan melampau yang kemudiannya tidak boleh disabitkan kesalahan atas alasan tiada bukti menteri terbabit meluluskan projek untuk kroni mereka.

Saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan kembali cadangan untuk mewajibkan menteri-menteri mengisytiharkan harta kepada SPRM semata-mata.

Jalan terbaik masih lagi mengisytiharkan harta secara terbuka kepada orang ramai secara berkanun. Jika ahli politik itu tidak mahu mengisytiharkan harta secara terbuka kepada orang ramai, beliau tidaklah layak menjadi seorang penjawat awam dan lebih sesuai berada di dalam sektor swasta.

Kes terbaru melibatkan seorang pembantu kanan Menteri Pertahanan ini sewajarnya menjadi teladan perlunya undang-undang pengisytiharan harta yang lebih ketat.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Semak Semula Projek Kereta Nasional Ketiga

Saya membaca laporan-laporan akhbar mengenai hasrat Kerajaan Persekutuan melancarkan projek kereta nasional yang ketiga menjelang 2020. Perkara ini turut diumumkan oleh YB Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan seperti yang dilaporkan The Star bertarikh 4 Ogos 2018 (capaian https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/08/04/third-national-car/).

Saya ingin melahirkan rasa bimbang sekiranya Kerajaan Persekutuan secara berterusan mahu meneruskan projek ini dalam keadaan tentangan rakyat terhadapnya adalah jelas.

Pakatan Harapan dipilih atas platform untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat. Sementara rakyat masih memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk melaksanakan janji-janji manifesto (walaupun ada yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari), melaksanakan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran Pakatan Harapan akan mengundang rasa sinis rakyat.

Sejak Buku Jingga ditulis dalam tahun 2010, parti-parti yang menjadi majoriti di dalam Pakatan Harapan (iaitu KEADILAN, DAP dan pimpinan yang meninggalkan PAS untuk membentuk AMANAH) secara berterusan menyatakan hasrat untuk menghapuskan duti eksais yang dikenakan ke atas penjualan kereta kerana cukai kereta itu dilihat sangat membebankan.

Cukai eksais banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta menjadi lebih mahal berbanding negara-negara lain.

Platform dasar yang mahu menghapuskan cukai eksais demi menurunkan harga kereta ini tidak pernah berubah selepas Pakatan Harapan ditubuhkan. Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga.

Saya berpandangan usaha untuk menubuhkan perusahaan kereta nasional yang ketiga akan mendatangkan kesan kewangan yang besar kepada rakyat, seperti berikut:

1. Berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam?
2. Badan kerajaan mana (GLC, GLIC atau MOF Inc) yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek ini?
3. Adakah Kerajaan Persekutuan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta nasional ketiga dilancarkan?

Apabila Menteri Pembangunan Usahawan telah menetapkan tempoh masa yang khusus iaitu pelancaran projek kereta nasional ketiga menjelang tahun 2020, saya tertanya-tanya sama ada satu perancangan khusus yang menilai kesan kewangan kepada negara telah dijalankan?

Untuk mengurangkan sindiran dan serangan ke atas Kerajaan Persekutuan, saya menyeru supaya perkara ini dipertimbangkan semula.

Memandangkan ia bersabit perkara dasar, ia sewajarnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu untuk mendapat persetujuan bersama parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan. Sementara saya menghargai keperluan Jemaah Menteri membuat keputusan, tetapi keputusan yang bersabit perkara dasar mestilah diperhalusi secara prinsipnya di peringkat Pakatan Harapan sebelum boleh dilaksanakan melalui Jemaah Menteri.

Pandangan saya ini akan mengundang pelbagai kontroversi.

Saya tidak begitu bimbang dengan serangan dari dalam dan luar apabila saya menyuarakan pandangan-pandangan berhubung kebajikan rakyat seperti ini kerana saya yakin pentadbiran Pakatan Harapan lebih terbuka dengan pandangan dan kritikan membina.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

Pemilihan KEADILAN 2018

Reformasi20Tahun_Poster-small

Seperti yang dilaporkan oleh media, saya telah bersetuju menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN bagi pemilihan parti yang akan berlangsung September ke Oktober ini.

Saya tahu itu satu beban yang berat kerana saya bukanlah berjawatan kerajaan atau berduit. Kalah atau menang bukanlah perkiraan yang besar bagi saya, namun amanah untuk mempertahankan idealisme reformasi yang melahirkan KEADILAN perlulah digalas oleh seseorang.

Saya bukanlah yang terbaik dari kalangan pimpinan yang ada. Ada lagi pemimpin yang lebih tua, ada juga yang lebih hebat, ada juga yang lebih tertib, ada juga yang lebih rajin.

Cuma kali ini, amanah membawa gagasan reformasi setelah KEADILAN berjaya membentuk kerajaan dengan rakan PH yang lain, adalah beban saya yang perlu saya pikul.

Saya hanya bergantung kepada sokongan rakan-rakan akar umbi parti yang hidup mereka tidaklah berubah sebelum dan selepas PRU14, kerana saya juga seperti mereka: hanya seorang penggiat reformasi yang mahu kekal dengan idealisme yang menjerumuskan kita ke kancah politik 20 tahun lalu.

In Sha Allah dalam minggu-minggu mendatang, saya akan turun berjumpa seberapa ramai aktivis akar umbi KEADILAN di seluruh negara. Saya sudi mendengar, sudi ditegur, sudi meminta maaf dan sudi mencadangkan bagaimana kita mahu membina parti reformasi yang kekal pada idealismenya dan menyanjung aktivis di bawah lebih tinggi dari tunduk kepada jawatan di atas.

Kempen saya bermula secara tidak rasmi hari Ahad ini (29 Julai 2018) jam 230 petang di Hotel De Palma, Ampang. In Sha Allah saya akan memperkenalkan sahabat-sahabat pimpinan yang sudi memikul beban ini bersama-sama saya.

Saya jemput seberapa ramai keluarga besar KEADILAN dari seluruh negara untuk datang ke majlis yang tidak seberapa ini, untuk memperkukuhkan setiakawan, memperbaharui idealisme dan merayakan sumbangan #Reformasi20Tahun memenangkan PH dalam PRU lalu.

Mohon sebarkan kepada seberapa ramai sahabat-sahabat, jumpa di Hotel De Palma, Ampang pada hari Ahad ini.

Rafizi Ramli
#Reformasi20Tahun