Muafakat Pakatan Harapan: Catatan Perunding

Dengan berlangsungnya Konvensyen PH hari ini, maka selesailah beberapa perkara yang selama ini sering menjadi punca perselisihan faham sesama rakan dalam pakatan-pakatan pembangkang sebelum ini.

Dua perkara utama yang menjadi risiko terbesar kesepaduan Pakatan (PH sekarang dan PR sebelum ini) adalah:

(i) agihan kerusi antara parti-parti

(ii) barisan kepimpinan jika menang PRU

Kedua-duanya saling berkait. Parti yang mendapat kerusi yang senang dimenangi dijangka akan lebih berpengaruh di dalam kerajaan yang dibentuk jika menang.

Sudah tentu isu yang paling besar juga ialah soal kepimpinan. Siapa yang akan jadi Perdana Menteri kerana budaya dan sistem kerajaan kita memusatkan terlalu banyak kuasa kepada Perdana Menteri. Maka, siapa yang dinamakan Perdana Menteri dilihat menjadi pemenang sebenar dalam PRU.

Akibatnya, mudah ada adu domba yang akhirnya memulakan bibit-bibit hasad dengki, tidak berpuas hati dan lain-lain.

Akan ada yang mahukan semua kerusi agar peluang parti itu untuk menentukan Perdana Menteri lebih tinggi. Lebih banyak kerusi, lebih banyak ahli parlimen, lebih tinggi peluang tentukan Perdana Menteri.

Akan ada yang tidak berpuas hati kerana mereka merasakan merekalah sumber sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang. Ada yang merungut merekalah tulang belakang jentera, tanpa mereka parti rakan adalah parti nyamuk.

Maka, dua isu utama ini menjadi sumber kegagalan pakatan-pakatan pembangkang sebelum ini.

Apabila dua isu ini tidak diselesaikan hingga ke saat terakhir, tembak menembak di kalangan pimpinan dan penyokong parti-parti di dalam pakatan berterusan sehingga ke saat akhir.

Ini memualkan rakyat. Belum pun menang, sudah bergaduh mengenai ghanimah, kata mereka. Sudah tentu itu tidak adil (jika perselisihan di kalangan parti pembangkang dijadikan alasan untuk membenarkan rasuah, penyelewengan dan rompakan wang rakyat yang berlaku di bawah parti pemerintah ketika itu), tetapi rakyat adalah tuan. Mereka berhak memilih.

Di saat-saat akhir menjelang penamaan calon, ada parti mengumumkan sendiri bertanding di kerusi yang masih dirundingkan. Atau meletakkan calon mereka di kerusi yang dipersetujui telah diagihkan kepada parti rakan.

Dalam PRU13 semasa harapan rakyat menggunung, kedua-dua kelemahan ini menyebabkan kempen Pakatan Rakyat bermula dengan episod pil kuda, tembak menembak sesama rakan.

Semua ini pengalaman pahit. Kita sewajarnya belajar dari semua ini.

Rundingan yang memuktamadkan Muafakat Harapan pada hari ini berlangsung beberapa bulan dengan azam mengelakkan perkara ini berulang.

Rundingan akhir bermula sejurus selepas Majlis Presiden pada hari Khamis, 4 Januari 2018 bersetuju bahawa calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana boleh diumumkan semasa Konvensyen Pakatan Harapan pada hari ini, dengan syarat rundingan kerusi di peringkat Parlimen untuk Semenanjung selesai.

Ini bukan kerana KEADILAN atau PPBM atau DAP atau AMANAH mahu membolot kerusi, tetapi kita telah belajar dari kesilapan lalu.

Kalau mahu menang, kita kena kurangkan risiko kita menembak sesama sendiri agar peluru semuanya ditembak ke arah Najib dan Umno.

Rundingan bermula pada pagi hari Jumaat dan berterusan sehingga ke saat terakhir perjanjian dicapai, iaitu sekitar jam 8 malam semalam.

Rundingan pada hari pertama disertai oleh saya dan Sdri Nurul Izzah Anwar bagi pihak KEADILAN. Di hari kedua (Sabtu), rundingan kerusi yang bersambung disertai juga oleh Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin.

Akhirnya persetujuan agihan kerusi Semenanjung iaitu 52 PPBM, 51 KEADILAN, 35 DAP dan 27 AMANAH dicapai sekitar jam 7 malam.

Menepati janji seperti yang diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Presiden, keempat-empat presiden parti dan pengerusi Pakatan Harapan menandatangani perjanjian Muafakat Harapan sekitar jam 8 malam.

Saya berdoa supaya muafakat ini akan dapat membantu kita menewaskan Najib dalam beberapa bulan akan datang.

Rafizi Ramli

————————————————————————

Berikut adalah muafakat yang dirundingkan dan dipersetujui bersama:

MUAFAKAT PAKATAN HARAPAN

Rakyat Malaysia berhasrat menjadikan tanah air ini sebuah negara yang maju, stabil dan sejahtera. Mereka mengimpikan negara yang gemilang, utuh dan dihormati seantero dunia. Sejak Merdeka dan penubuhan Malaysia, pendiri bangsa telah mewariskan pedoman dan gagasan besarnya agar kita tidak tergelincir dari landasan tersebut.

Namun, mutakhir ini Malaysia berada dalam bahaya dan dilingkungi kebejatan tidak berkesudahan. Rasuah bermaharajalela, hutang negara menggunung, nilai ringgit susut dan hilang daya-saing, sedangkan rakyat terbeban dan menderita kerana harga barang serta kos perkhidmatan terus meningkat dalam keadaan pendapatan tidak mencukupi.

Justeru, menjadi keutamaan Pakatan Harapan menawarkan harapan baharu buat seluruh warganegara demi perjuangan membela rakyat dan membina semula Malaysia yang lebih baik.

MAKA, Pakatan Harapan bermuafakat dan bertekad untuk melaksanakan janji-janji berikut apabila Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14:

1. Membentuk sebuah kabinet berwibawa; gandingan yang berpengalaman, berkelayakan dan berkemampuan;

2. Menjadikan Parlimen sebagai sebuah institusi yang kukuh dan bebas; dan dipimpin oleh Yang di-Pertua yang adil dan berwibawa.

3. Mengambil langkah-langkah segera memulihkan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat. Antaranya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memberikan fokus utama kepada usaha menambah pendapatan rakyat;

4. Melaksanakan reformasi menyeluruh demi mengembalikan maruah dan jatidiri negara dan Bangsa Malaysia, meliputi reformasi institusi, reformasi pendidikan, reformasi ekonomi dan reformasi sosial seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan;

5. Menghadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal pilihanraya untuk memugar dan menyihatkan amalan demokrasi terbaik serta mempertegas prinsip kebertanggungjawaban dalam urustadbir negara;

6. Memastikan ketua-ketua institusi penting negara termasuk Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan Ketua Audit Negara bebas daripada pengaruh penguasa politik. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat menerusi institusi parlimen, di mana mereka akan melalui proses pengesahan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parlimentary Select Committee) dan akhirnya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong;

7. Membersihkan Malaysia dari najis rasuah dengan mendakwa pelaku rasuah di mahkamah, dan jika disabit bersalah maka akan dikenakan hukuman setimpal;

8. Memastikan institusi-institusi awam seperti FELDA, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Majlis Amanah Rakyat diurus secara cekap, telus dan beramanah;

9. Membela kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin, ibu tunggal, orang berkelainan upaya dan kumpulan berpendapatan rendah;

10. Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa, serta antara wilayah dengan tumpuan khusus kepada hak rakyat Sabah dan Sarawak sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963;

11. Mengkaji semula sistem percukaian negara untuk memastikan pembayar cukai, terutamanya golongan kelas menengah, tidak tertekan dengan bebanan cukai yang berganda;

12. Menghormati prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang; dan

13. Menjunjung prinsip-prinsip utama Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk semua kaum, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.

MENGHARGAI bahawa Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan besar (grand coalition) parti-parti politik yang menggandingkan dua tokoh negarawan ulung, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dalam rangka menyempurnakan legasi misi tertangguh, maka Pakatan Harapan dengan penuh sukacita dan ta’zimnya mengumumkan:

1. Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Datuk Dr Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14;

2. Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8;

3. Sebagai persiapan Pakatan Harapan menghadapi dan memenangi PRU14, kami telah memutuskan pengagihan kerusi-kerusi kawasan Parlimen bagi Semenanjung iaitu yang melibatkan 165 kerusi, seperti berikut:

a. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – 52 kerusi

b. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) – 51 kerusi

c. Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) – 35 kerusi

d. Parti Amanah Negara (AMANAH) – 27 kerusi

MAKA dengan ini kami bersepakat dan bersetuju dengan muafakat bersama ini sebagai perjanjian yang mengikat parti-parti kami.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Presiden Parti Keadilan Rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Tuan Tan Kok Wai

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik Malaysia

Tuan Hj Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara

Bertarikh: 6 Januari 2018

One thought on “Muafakat Pakatan Harapan: Catatan Perunding”

  1. Penyataan strategik yang cukup bermakna. PH bersefakat bak kata bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
    Insya’ Allah, kita perlukan 115 sahaja. Cadangan 165. Sekiranya lebih Allah jua amat mengetahui.
    Janj janji 7 dan 11 mesti disegerakan. Struktur cukai negara wajib di lakukan segera kerna ada kaitan mesra mengstabilkan keadilan rakyat dalam rangka membina semula negara.
    Mesti ada langkah strategik dan konstruktif kearah sistem pertanian lestari (perkebunan dan perladangan) sehat yang menyehatkan rakyat. Pertanian oleh rakyat untuk rakyat bagi rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.