Category Archives: Reformasi

Perletakan Jawatan Saudari Nurul Izzah Anwar

Saya menerima panggilan yang tidak putus-putus dari kalangan pendokong KEADILAN, wartawan dan orang ramai mengenai berita perletakan jawatan Saudari Nurul Izzah dari jawatan kepimpinan.

Berikut adalah pandangan saya:

1. Saudari Nurul ada berkongsi pandangan dengan saya secara berterusan, terutamanya yang bersabit komitmen reformasi kepada rakyat. Beliau sangat komited dengan idealisme reformasi dan sudah tentu ada beberapa perkembangan yang perlu diperhalusi dari semasa ke semasa.

2. Beliau bukan mengundurkan diri dari politik. Beliau kekal memainkan peranan penting di Parlimen dan persada politik tanahair. Beliau hanya mengundurkan diri dari jawatan kanan parti.

3. Saya ingin mengambil sudut positif dari keputusan tersebut. Saya membacanya sebagai satu tindakan berprinsip untuk membolehkan beliau kekal bersuara secara objektif membawa isu-isu rakyat yang selari dengan idealisme reformasi.

4. Saya berharap beliau mempertimbangkan keputusan itu. Beliau tahu saya merasakan beliau boleh mempertahankan idealisme reformasi dengan kedudukan kanan beliau di dalam kepimpinan KEADILAN.

5. Saya juga menghormati keputusan beliau. Kami sudah melalui masa muda membina KEADILAN, sejak kali pertama kami sepentas dari tahun 1999 lagi (di London), maka saya juga faham pandangan beliau. Oleh itu, saya akan menyokong segala keputusan yang dibuat oleh Saudari Izzah kerana saya percaya itu datang dari hasrat beliau untuk memainkan peranan dengan lebih berkesan.

6. Saya berharap anggota KEADILAN menerima keputusan Saudari Izzah itu dengan memberi sepenuh galakan dan sokongan. Ia juga menjadi bukti bahawa idealisme reformasi tetap segar di dalam KEADILAN.

7. Jawatan kanan di dalam parti hanyalah satu jalan untuk menyumbang. Saudari Izzah telah dan akan buktikan bahawa idealisme perjuangan itu lebih penting dari jawatan, pangkat atau kuasa. Maka, keputusan beliau pada hari ini, walaupun mengejutkan, adalah sesuatu yang wajar kita teladani mesejnya.

Rafizi Ramli

 

Letter To Khairy

12 - 14 - Letter To KKJ

Saudara Khairy

I am sure you receive a lot of messages today. I choose to send a public message like this because we have a responsibility to be open and transparent on issues that matter most to the public.

While the news (of groups of UMNO MPs leaving the party) has been around for a while, it still came as a shock. I understand how demoralising it would have been to you and your colleagues in UMNO because we went through a similar ordeal when it happened to KEADILAN in 2010.

I will be accused of being a sell-out, just because I sound empathetic.

The truth is: no one who loves his party (and what the party stands for) can stomach MPs (who were elected on the party’s ticket) leaving the party in such a manner. The reason for leaving was not policy differences or anything to do with principles; they went for convenience. Life as opposition MPs feels so hard, having been government MPs for so long.

I pen this letter (with all its flamboyance that comes with it) because I feel the need to express some sort of solidarity, that it is in the best interest of the nation for good and honest people to remain in UMNO.

Since 1998, I did not fight for a mere change of government. I wanted to see a robust 2-party system:

A government that is fair to a competent opposition, and an opposition that is competent to act as a check-and-balance that it deserves to be in government.

Malaysia needs a competent opposition bench that can articulate issues (on behalf of the rakyat), an opposition that is made up of honest, wise and sincere people.

A government that is too strong because the opposition is too weak will eventually become corrupt. We have gone through the experience for 61 years.

UMNO’s defeat (no matter how painful it was to its leaders and supporters) gives it a second chance to embrace reforms. I pray that UMNO accepts the defeat with humility and understands why people rejected it so that UMNO can go back to the drawing board to rebuild a party that will truly serve the rakyat.

I disagree with any action, decision or attempts to annihilate the opposition (whichever party it may be). I may disagree with the opposition’s opinion, action or positions in many issues, but I appreciate the value of an effective opposition in a democratic society.

The next few days, weeks and months may appear to be bleak for you and your colleagues who are pushing for genuine reforms in UMNO.
But, if you work steadfastly to serve the public with integrity, the so-called exodus of the (former) UMNO MPs will only strengthen UMNO.

Provided: those who remain must be God-fearing leaders who reject corruption totally and work towards an inclusive Malaysia that builds (not that divides). UMNO will thrive if those who stay become progressive advocates who speak the truth on behalf of the public.

You are one of the leading lights of the progressive voice in the country. Many young people remain hopeful you will play a pivotal role to promote a new political culture that can unite us in spite of all our differences.

For that reason, I hope you will remain in UMNO and helps UMNO to become an effective opposition.

I will be cursed with profanities by friends and enemies alike, for saying this. But that is why we are who we are because we cherish the freedom to call a spade a spade.

I pray that all will eventually be well for you.

Rafizi Ramli

Surat Kepada Khairy

12 - 14 - Surat_kepada_khairy-01

Saudara Khairy

Saya pasti Saudara menerima banyak mesej hari ini. Saya memilih untuk menghantar mesej yang terbuka kerana kita ada tanggungjawab untuk bercakap secara terus-terang.

Walaupun berita ahli-ahli parlimen UMNO keluar parti beramai-ramai ini sudah berlegar buat seketika, ia tetap mengejutkan. Saya faham kesannya kepada Saudara dan rakan-rakan saudara di dalam UMNO, kerana kami sendiri pernah melalui ketika ia berlaku kepada KEADILAN dalam tahun 2010 dahulu.

Sudah tentu ada yang menuduh saya menjadi penyokong UMNO sekarang, hanya kerana saya menyebut “saya faham kesannya kepada Saudara”.

Tidak ada pemimpin yang sayangkan partinya dan perjuangan yang diangkat oleh partinya, yang tidak terkesan apabila wakil rakyat (yang menang atas tiket partinya) keluar parti. Bukan atas alasan prinsip atau berbeza pandangan mengenai dasar yang pokok, tetapi kerana menjadi pembangkang (setelah sekian lama menjadi kerajaan) tidak semudah semasa menjadi kerajaan dahulu.

Tujuan saya menulis surat kepada Saudara ialah untuk meyakinkan Saudara untuk kekal berada di dalam UMNO, kerana saya percaya rakyat dan negara memerlukan barisan pembangkang yang cekap, cerdik, jujur, amanah dan ikhlas.

Sebuah kerajaan yang terlalu kuat kerana pembangkangnya lemah, akan terdorong ke arah pelbagai salah guna kuasa. Kita sudah melaluinya selama 61 tahun.

Kekalahan UMNO (walaupun perit kepada pemimpin dan penyokong UMNO) memberi peluang kepada UMNO untuk melalui pembaharuan. Saya berdoa UMNO menginsafi segala masalah yang lalu yang menyebabkan ia ditolak rakyat dan kembali untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sejujurnya.

Saya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan untuk meranapkan mana-mana parti pembangkang. Saya mungkin tidak bersetuju atau tidak sehaluan dengan tindakan atau pendapat parti-parti pembangkang, tetapi saya menghargai peri pentingnya parti pembangkang yang berkesan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.

Beberapa hari, minggu dan bulan yang mendatang mungkin mendung buat Saudara dan sahabat-sahabat yang ikhlas ingin membantu rakyat atas platform UMNO.

Tetapi percayalah, jika Saudara berpegang kepada niat untuk berkhidmat dan membela rakyat, pemergian mereka yang meninggalkan UMNO ini akan menguatkan UMNO.

Dengan syarat pimpinan-pimpinan UMNO yang kekal mesti takut kepada Allah, menolak rasuah, menyeru ke arah persaudaraan rakyat pelbagai kaum yang membina, berjiwa progresif yang menggalakkan (bukan menidakkan), berkata benar dan benar-benar menjiwai rakyat.

Saudara menjadi harapan ramai orang muda yang mahu melihat politik Malaysia yang lebih baik dan mendamaikan di masa hadapan.

Untuk itu, Saudara perlu kekal di dalam UMNO dan terus bersuara agar UMNO menjadi parti pembangkang yang berkesan.

Saya akan dimaki kawan dan lawan kerana berpandangan begini. Tetapi itu peranan orang yang berjiwa bebas seperti kita, supaya ada orang yang terus bersuara walaupun pahit.

Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Saudara.

Rafizi Ramli

Satu Persatu Pendedahan Dibawa Ke Muka Pengadilan: Pembelian Kondo Mewah Oleh FGV

12 - 4 - KONDO_FGV_HIKMAH-01

Minggu lepas, FGV memulakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali jumlah yang diselewengkan bekas CEO (Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah) dan bekas pengerusinya (Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad).

Ini bersabit pembelian kondominium mewah di Troika, Jalan Ampang.

Saya telah mendedahkan perkara ini, lengkap dengan salinan perjanjian jual beli, sejak 18 Mei 2016 lagi (lebih dua tahun lalu). Maklumat lengkap ada disiarkan di laman blog saya:

https://rafiziramli.com/2016/05/apa-kegunaan-dua-kondominium-mewah-milik-fgv-berharga-rm8-4-juta-pada-masa-prestasi-fgv-masih-mengecewakan/

Semasa saya mengupas dan menyiasat penyelewengan seperti ini, banyak sahabat-sahabat dari sebelah PAS dan UMNO yang tidak berminat pun.

Kalau yang PAS, mereka mengambil sikap “bersangka baik” yang keterlaluan atas alasan mengamalkan “politik matang sejahtera” (PMS) sehingga tidak percaya dengan pendedahan-pendedahan sebegini. Alasannya, politik saya dan PKR terlalu menyerang sehingga menghuru-harakan.

Kalau yang UMNO, mereka menyifatkan semua ini fitnah. Mereka tutup mata dan akal walaupun fakta-faktanya jelas terpampang.

Akibatnya, penyelewengan wang rakyat dibiarkan berterusan demi kelangsungan politik. UMNO untuk kekal berkuasa, PAS pula yakin berkawan dengan UMNO akan memberinya kuasa.

Alhamdulillah, kini setiap satu pembongkaran saya itu mula dibawa ke muka pengadilan.

Kita boleh berbeza pandangan politik dan bermain politik itu dibenarkan. Mengkritik dan menyerang lawan sehingga memaki hamun (seperti yang dibuat penyokong PAS dan UMNO kini) adalah pilihan masing-masing.

Tetapi bagi yang memikul tanggungjawab dan amanah awam seperti wakil rakyat dan pimpinan UMNO dan PAS, memilih untuk mendiamkan diri, atau memutar belitkan, atau mengalihkan perhatian rakyat dengan membawa isu-isu lain dengan tujuan menenggelamkan perkara penyelewengan seperti ini – sudah tentu ia boleh dikira melanggar amanah.

PAS dan UMNO boleh melaungkan perpaduan Melayu dan kepentingan Melayu.

Di mana mereka semasa saya bertungkus lumus cuba membela kepentingan orang kebanyakan Melayu apabila harta institusi Melayu seperti Felda dan FGV diselewengkan dulu?

Diam dulu, kini dan selamanya bab-bab rasuah dan penyelewengan.
Matang dan sejahtera selamanya dengan tidak mempedulikan isu rasuah.

Rafizi Ramli
4 Disember 2018

Kelas Percuma Mengira Harga Minyak: Untuk PAS & UMNO

12 - 3 - KELAS_MENGIRA_HARGA_MINYAK-01

Sejak Mei 2018, penyokong-penyokong PAS dan UMNO telah berjaya mempopularkan beberapa istilah baru dalam politik: hancing, kencing dan yang sewaktu dengannya.

Antara perkara yang paling diulang ialah kononnya janji untuk menurunkan harga minyak sejurus selepas PH berkuasa. Padahal itu bukan pun janji manifesto PH dalam 2018.

Soal menurunkan harga minyak ini adalah popular dalam PRU2008 kerana keputusan kerajaan BN pada ketika itu memotong subsidi sehingga harga minyak melambung, sedangkan kerajaan juga memperolehi keuntungan luar biasa dari lonjakan harga minyak itu. Kekayaan itu akhirnya dibelanjakan berterusan antara tahun 2008 hingga 2017, malah saya pernah menobatkan Dato’ Seri Najib Razak sebagai pemenang tempat pertama pertandingan membelanjakan wang minyak negara.

Antara yang paling banyak mengulangi hancing dan kencing adalah penyokong PAS. Mereka tidak sedar yang paling banyak menjaja janji untuk menurunkan harga minyak dalam PRU2008 dan PRU2013 adalah pimpinan PAS dan penyokong mereka.

Tetapi pada ketika itu mereka belum lagi bersekedudukan dengan UMNO, yang pada satu ketika dahulu pernah dikafirkan oleh segelintir pimpinan mereka.

Begitulah resam politik: mana-mana parti politik pun, tujuannya ialah untuk mendapat kuasa.

Semasa PAS yakin boleh mendapat kuasa melalui jalan berkawan dengan DAP, maka nama DAP tidak lekang di bibir pimpinan mereka. UMNO dituduhnya perkauman, asobiyah dan tidak Islam. Ada yang menghukum pimpinan DAP itu lebih Islam dari pimpinan UMNO.

Kini PAS melihat UMNO pula sebagai jalan mereka untuk mendapat kuasa. Maka ada pula hujahnya yang meyakinkan mereka bahawa kumpulan yang mereka pernah lawan itu, sebenarnya lebih baik dari kumpulan-kumpulan lain yang mereka pernah berkawan.

Demikianlah politik.

Musuh berkawan dengan lawan, lawan menjadi kawan dan kahwin bersilang-silang, kerana semua itu dilihat sebagai strategi mendapatkan kuasa.

Saya tidak ada masalah dengan strategi politik PAS – mahu berkawan dengan UMNO, atau mahu memeluk DAP. Atau pernah menjemput Tun Mahathir menyertai Gagasan Sejahtera, kemudian memaki Tun Mahathir apabila BERSATU menyertai Pakatan Harapan.

Tetapi janganlah mengaku suci bahawa semua tindak tanduk yang tidak konsisten itu demi mengangkat Islam. Saya menghormati kaedah PAS mendapatkan kuasa sebagai parti politik yang mengambil imej Islam, tetapi janganlah bersifat suci seolah-olah tindak-tanduk mereka bukan bermotifkan kuasa (seperti parti-parti lain juga).

Sewajarnya kita perlu sentiasa mencermin diri.

Penyokong UMNO yang berkempen berterusan dengan hamburan “kencing” dan “hancing” ini lupa bahawa mereka juga yang bermati-matian mahu harga minyak yang tinggi. Semasa Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, pentadbiran beliau menghapuskan terus subsidi minyak hingga harga minyak naik setiap minggu.

Apabila saya membentangkan hujah bahawa kerajaan ada kemampuan untuk meringankan beban dengan mengekalkan harga minyak (untuk menstabilkannya, agar tidak dijadikan alasan peniaga menaikkan harga), penyokong UMNO ini juga yang menyerang saya kononnya saya mendidik rakyat menjadi pemalas. Kononnya ikut cara saya, rakyat mahu semua percuma.

Maka, apabila penyokong UMNO ini menjerit-jerit meminta subsidi dan harga minyak diturunkan, ia satu lawak yang memalukan mereka. Hidup ini biarlah ada maruah, jangan seminggu lepas kamu maki subsidi minyak, minggu ini (selepas kalah) kamu yang menagih subsidi minyak.

Begitu juga dengan penyokong PAS. Ingat-ingatlah bahawa kamu juga yang paling kuat mengusung kempen turun harga minyak semasa kamu bersama Pakatan Rakyat. Kamu juga yang menyerang UMNO ketika itu mengenai harga minyak kerana UMNO tidak mahu memberikan subsidi.

Sekarang kamu cuba mencari modal politik dengan mempersenda Pakatan Harapan kononnya menjanjikan sesuatu yang tidak boleh ditunaikan (sedang kamulah yang paling galak buat janji itu semasa kamu bersama Pakatan Rakyat).

Sebagai pembangkang, sewajarnya tugas mengawasi keputusan dan tindak-tanduk kerajaan ini adalah tugas pembangkang (iaitu PAS dan UMNO).

Jadi, jika sistem harga minyak yang ada sekarang ini boleh diperbaiki, sepatutnya PAS dan UMNO yang wajar melakukan kira-kira, kajian lalu membentangkan idea itu kepada rakyat.

Termasuklah tugas memantau harga minyak yang ditetapkan oleh kerajaan.

Itu tugas saya sebagai Ahli Parlimen pembangkang dahulu. Saya kira, saya bentangkan, saya berhujah.

Saya bagi bukti bagaimana sistem minyak bersubsidi boleh dikembalikan.

Hasil dari pembentangan saya itu, ramai rakyat yang bersetuju. Bila Pakatan Harapan menang, sebahagian dari saranan saya mengenai harga minyak diterima pakai.

Saya tidak menjadi Ahli Parlimen untuk mengajar penyokong-penyokong saya menjerit “hancing” dan “kencing” sepanjang masa.

Saya akan meneliti harga runcit yang ditetapkan sekarang berbanding dengan harga minyak mentah di pasaran dunia dan dibandingkan dengan jumlah subsidi yang telah dibelanjakan setakat ini untuk mengekalkan harga minyak pada ketika harga minyak mentah melambung tinggi.

In Sha Allah saya akan siarkan dalam sehari dua.

Tetapi sepatutnya ini tugas Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO.

Tidakkah ada seorang pun dari Ahli Parlimen PAS dan UMNO yang boleh menjalankan tugas ini? Supaya penyokong-penyokong mereka boleh bergantung harap kepada mereka, bukan datang menulis “hancing” dan “kencing” di mana-mana?

Saya sanggup mengadakan kelas percuma mengajar Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO ini bagaimana memantau harga minyak, supaya mereka tidaklah menjadi PASU di dalam Parlimen sementara penyokong mereka kencing di merata-rata.

Selepas itu, barulah pembangkang boleh melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik, kerana mereka mengambil gaji untuk tujuan itu.

Rafizi Ramli
3 Disember 2018