Negara Berdepan Dengan Krisis Pendidikan Tinggi: PTPTN Tidak Lagi Mampu Menanggung Keperluan Pembiayaan Pendidikan Tinggi

092016-ptptn_1-copy-2

Saya mula mencadangkan dan berkempen agar Malaysia memperkenalkan pendidikan tinggi percuma sejak 2012 lagi. Walaupun ramai yang menuduh bahawa cadangan pendidikan percuma adalah helah murahan untuk meraih sokongan undi, saya sebenarnya lebih bimbangkan kelangsungan kemudahan pendidikan tinggi negara yang menggunakan model pinjaman PTPTN kerana saya yakin dalam beberapa tahun (dari 2012) PTPTN akan mengalami krisis kewangan yang meruncing.

Baru-baru ini (17 September 2016), saya membentangkan cadangan reformasi pendidikan tinggi negara yang antara lainnya meliputi penghapusan biasiswa ke luar negara untuk ijazah pertama. Sekali lagi saya dituduh sebagai bodoh, tidak berfikir dan bermacam-macam lagi tanpa mereka yang mengkritik meneliti angka-angka yang saya bentangkan.

Cadangan menghapuskan biasiswa ke luar negara untuk ijazah pertama secara berperingkat menjelang 2030 adalah sebahagian dari cadangan reformasi pendidikan tinggi yang berpunca dari krisis pendidikan tinggi negara yang tidak diwar-warkan.

Saya akan terus fokus kepada isu ini terutamanya kegagalan PTPTN membiayai pendidikan rakyat seperti yang sewajarnya sehinggalah masalah ini selesai.

Di antara tahun 2010 hingga 2015, jumlah pembiayaan yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada peminjam telah jatuh mendadak.

Saya merujuk kepada buku Info PTPTN 2011 dan sumber-sumber lain untuk melengkapkan senarai pinjaman yang dikeluarkan oleh PTPTN dari penubuhannya (1997) hingga 2010 mengikut pecahan IPTA dan IPTS, seperti berikut:

Download (PDF, 200KB)

Oleh kerana PTPTN tidak lagi menerbitkan jumlah pinjaman yang diberikan mengikut tahun dan perincian seperti sebelum ini, saya terpaksa menyemak jawapan-jawapan di Parlimen untuk menganggarkan berapa pembiayaan terkini yang telah dikeluarkan.

Jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap pada 19 November 2015 menunjukkan pembiayaan baru (diluluskan dan diagihkan) bagi 9 bulan pertama 2015 hanyalah RM2.08 bilion. Walaupun saya belum mendapat jawapan bagi pembiayaan sepanjang 2015, oleh kerana semester pengajian bermula sebelum September, saya merasakan bahawa pembiayaan setakat September adalah anggaran yang baik bagi pembiayaan baru yang diluluskan bagi setiap tahun.

Berdasarkan angka-angka ini, saya boleh timbulkan perkara-perkara berikut:

1. Jumlah pembiayaan pendidikan baru yang diluluskan oleh PTPTN bagi 2015 (sekitar RM2 bilion) adalah satu pertiga dari jumlah pembiayaan baru yang diluluskan oleh PTPTN bagi 2010 (sekitar RM6 bilion);

2. Jika ini benar, ia bermakna bahawa jumlah pelajar yang tidak mendapat pembiayaan pendidikan sama ada di IPTA atau IPTS bagi tahun 2015 dan sehingga kini naik mendadak kerana jika pada 2010 jumlah yang diperlukan untuk membiayai pinjaman baru adalah RM6 bilion, sudah tentu bagi 2015 jumlahnya lebih tinggi dari itu.

Malah, beberapa tindakan drastik oleh PTPTN seperti menyenarai hitam peminjam, memotong gaji secara automatik sehingga baki yang kecil tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan bulanan, menghadkan pembiayaan penuh kepada peminjam dari keluarga penerima BR1M sahaja menunjukkan bahawa ada krisis aliran tunai yang dihadapi PTPTN.

Oleh kerana sistem pendidikan tinggi di negara ini (IPTA dan IPTS) bergantung sebahagian besarnya kepada PTPTN untuk membiayai pelajar, kegagalan PTPTN membiayai pelajar pada jumlah yang drastik (anggaran satu pertiga dalam 2015 berbanding 2010) bermakna sistem pendidikan tinggi yang ada sekarang sedang berdepan krisis yang runcing.

Saya akan membentangkan analisa saya mengenai aliran tunai PTPTN dalam masa terdekat untuk memastikan perkara ini tidak dipendamkan dan satu penyelesaian dicari segera bagi membantu keluarga yang terbeban akibat kelemahan kewangan PTPTN ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

One thought on “Negara Berdepan Dengan Krisis Pendidikan Tinggi: PTPTN Tidak Lagi Mampu Menanggung Keperluan Pembiayaan Pendidikan Tinggi”

  1. yup, sebenarnya itu yg patut, memberikan pendidikan tinggi percuma sebab adalah menjadi tanggungjwb kerajaan membantu rakyat..kedua, untuk mengelakkan terjadinya ketidakbayaran hutang berlaku..yg paling teruk, jenis tak mahu bayar hutang..selain memberikan pendidikan tinggi percuma, penyelesaian lain cuma bersifat sementara sahaja..

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.