Category Archives: PTPTN @ Pendidikan Percuma

Kajian Keberhutangan PTPTN Dan Tweetup #PTPTN 29 Ogos 2013

KEADILAN memandang berat cadangan PTPTN yang dibawa oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS yang diumumkan minggu ini. Walaupun Barisan Nasional akhirnya tunduk kepada bantahan mendadak rakyat, cadangan yang dibawa menteri itu menunjukkan bahawa Barisan Nasional begitu terpisah dari realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan oleh PTPTN ini.

Sehingga kini, kita tidak pernah dimaklumkan sama ada sebarang kajian khusus telah dibuat oleh PTPTN atau Barisan Nasional untuk memahami apakah sebab-sebab sebenar kenapa majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran untuk membayar PTPTN.

Kerajaan Persekutuan juga tidak pernah mengumumkan perincian-perincian berikut yang sangat penting untuk memahami masalah ini dengan menyeluruh agar langkah susulan itu tepat dengan punca masalahnya, iaitu:

1. Profail pendapatan bulanan bersih peminjam-peminjam PTPTN – berapa ramai yang bergaji di atas RM2,500 sebulan, berapa ramai yang bergaji di bawah RM1,000 sebulan dan lain-lain

2. Profail kejayaan mendapatkan kerja atau mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan – berapa ramai yang masih menganggur, berapa lama diperlukan sebelum mendapat kerja yang setimpal, berapa orang pemegang ijazah yang mendapat kerja berkelulusan lebih rendah seperti diploma dan lain-lain

3. Profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang mendapat kerja – berapa ramai peminjam yang berakhir dengan ijazah yang tidak diiktiraf, berapa banyak kolej yang tidak menyediakan kemudahan bertaraf university, peratusan kejayaan graduan kolej-kolej swasta dan IPTS mendapat kerja selepas tamat pengajian

Ini adalah contoh-contoh maklumat yang sangat diperlukan untuk membentuk satu pemahaman yang adil mengenai masalah keberhutangan golongan muda.

Barisan Nasional tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

KEADILAN menggesa Dato’ Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi pandai-pandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat-maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di Parlimen.

Sementara itu, KEADILAN akan merintis jalan ke arah memahami masalah keberhutangan peminjam PTPTN dengan melancarkan kajiselidik keberhutangan peminjam PTPTN untuk mengumpulkan maklumat-maklumat yang disenaraikan di atas. Kajiselidik ini boleh disertai oleh semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di internet bermula esok, 23 Ogos 2013. Kajiselidik ini akan disebarkan melalui laman-laman sosial, Twitter dan blog.

Keputusan dari kajiselidik awal ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan tweetup #PTPTN yang akan diadakan pada hari Khamis, 29 Ogos 2013 jam 830 malam di Perpustakaan MBPJ, Petaling Jaya. Semua peminjam/aktivis anti-PTPTN dan pimpinan masyarakat dijemput turut serta di dalam tweetup tersebut yang turut bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

Sudah tiba masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelakkan berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian CCRIS.


NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden
Ahli Parlimen Lembah Pantai

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

NIK NAZMI AHMAD
Pengarah Komunikasi
Timbalan Speaker DUN Selangor

22 OGOS 2013

KEADILAN Membantah Langkah PTPTN Menyenaraikan Peminjam PTPTN Dalam CCRIS

Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan PTPTN yang akan menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS (Central Credit Reference Information System atau Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat) yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Idris Jusoh (Menteri Pendidikan II).

Tindakan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat ini mempunyai kesan besar kepada rakyat terutamanya anak muda. Apabila maklumat pembayaran dan pinjaman PTPTN disenaraikan di dalam CCRIS, ia membolehkan institusi kewangan menambah rekod peminjaman PTPTN sebagai kriteria baru menilai kedudukan kredit kewangan seseorang.

Secara langsung, tindakan ini akan digunakan oleh institusi kewangan untuk menafikan kemudahan pinjaman (perumahan, kenderaan dan peribadi) kepada peminjam PTPTN yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS. Ini bermakna peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga – sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah, kereta dan lain-lain.

Ugutan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman institusi kewangan ini bukanlah kali pertama PTPTN menggunakan cara kasar untuk menekan peminjam. Sebelum ini pun, PTPTN telah menyenaraihitamkan peminjam PTPTN dalam senarai imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara. Ugutan itu tidak pun berjaya memperbaiki kedudukan kutipan hutang PTPTN, maka ugutan terbaru menyenaraikan peminjam dalam CCRIS juga saya yakin tidak akan berkesan.

Oleh yang demikian, saya memberi amaran kepada Dato’ Seri Idris Jusoh supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum anak muda peminjam PTPTN dengan menyenaraikan mereka di dalam CCRIS.

KEADILAN akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang hasrat ini sehinggalah ia dibatalkan oleh Barisan Nasional.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

20 OGOS 2013

Jaminan Menteri Pendidikan Tinggi Bahawa Pelajar Tidak Akan Dimangsakan Lagi

Saya mengalu-alukan pengumuman Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor berhubung penubuhan dana RM30 juta untuk membantu pelajar-pelajar Unisel yang terkesan dengan pembekuan pinjaman PTPTN.

Iltizam Kerajaan Pakatan Rakyat untuk melakukan yang termampu bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terjejas adalah sangat bertentangan dengan sikap tiga orang Menteri Umno iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Khaled Nordin dan Dato’ Seri Noh Omar yang gembira dengan kesusahan pelajar demi permainan politik mereka.

Kemarahan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat – dari Pakatan Rakyat, kumpulan mahasiswa, orang kebanyakan hinggalah pimpinan Barisan Nasional sendiri – akhirnya memaksa Dato’ Seri Khaled Nordin dan PTPTN menghentikan tindakan memangsakan pelajar Unisel itu.

Kenyataan tidak rasmi bahawa PTPTN telah membatalkan arahan pembekuan pinjaman kepada pelajar Unisel disambut dengan perasaan lega.

Pun begitu, suka saya mengingatkan Dato’ Seri Khaled Nordin supaya jangan sekali-kali cuba memperjudikan masa depan dan kebajikan pelajar demi kepentingan politik Umno. Sebagai orang yang bertanggungjawab mengarahkan pembekuan pinjaman PTPTN, beliau wajar memberi jaminan bahawa PTPTN tidak akan membekukan pembiayaan kepada mana-mana institusi atau pelajar yang layak menerimanya.

KEADILAN akan terus mendesak menteri terbabit mengeluarkan jaminan agar tindakan kebudakan-budakan oleh PTPTN di Unisel tidak akan berulang lagi.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

8 JUN 2012

UNISEL Akan Cairkan Aset Untuk Bantu Pelajar

Kerajaan Selangor memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar-pelajar baharu Universiti Selangor (UNISEL) yang teraniayai ekoran tindakan Kerajaan Persekutuan dan Menteri Pengajian Tinggi yang membekukan PTPTN kepada pelajar di university tersebut.

Sebagai tindakan jangka pendek, pihak UNISEL akan menggunakan asetnya untuk membantu pelajar-pelajar yang dalam kesukaran meneruskan pengajian. Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang-hutang TALAM.

Kerajaan Selangor telah selesai menyusun semula hutang-hutang ini di mana tanah seluas 500 ekar telah menjadi aset UNISEL.

Kerajaan negeri akan membantu UNISEL mengapungkan hartanah tersebut dipasaran untuk mendapatkan wang tunai. Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini. Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN. Walaubagaimanapun bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai.

UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar –pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.

Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Pengajian Tinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada UNISEL.

Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat Federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baharu malah telah mengecewakan ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka.

Barisan Nasional telah menjadikan pelajar UNISEL dan ibu bapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat. Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negeri ini.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Menteri Pendidikan Tinggi Mengarahkan PTPTN Menyekat Pinjaman Pelajar Unisel?

Perkembangan terbaru bahawa PTPTN bertindak menyekat pinjaman pelajar Unisel adalah membimbangkan.

Saya juga terkejut dengan satu tweet oleh Dato’ Seri Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi berhubung perkara ini, yang dibuat semalam seperti berikut:

“Unisel boleh hapuskan yuran, dgn sendirinya memenuhi matlamat pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yg dilaungkan Anuar dan Pakatan”

Gelagat beliau yang seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya yang lebih besar: apakah beliau sendiri yang mengarahkan agar PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai sebahagian dari mainan politik dendam Umno/Barisan Nasional?

Polemik tawaran pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN adalah perkembangan yang sihat dan wajar diraikan. KEADILAN mengambil pendirian bahawa model pendidikan tinggi sedia ada yang mendahulukan pendidikan swasta dengan menghadkan pelaburan di dalam institusi pendidikan awam akan menjerumuskan negara ke kancah hutang seperti yang telah berlaku di negara-negara lain.

Pada masa yang sama, KEADILAN juga yakin bahawa Malaysia mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya berdasarkan kira-kira yang telah dibentangkan kepada rakyat.

Oleh kerana pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan Kerajaan Pusat, maka sebarang perubahan dalam model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat.

Seharusnya Dato’ Seri Khaled Nordin, sebagai Menteri Pendidikan Tinggi menjadi pemuka yang paling intelek untuk mempertahankan model pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta seperti yang diamalkan sekarang, bukannya mengambil sikap kebudak-budakan dengan berdendam dan menghukum pelajar.

Saya juga harus memuji rakan saya Saudara Khairy Jamaluddin yang jelas lebih professional dan berilmu dalam hal ini, sewajarnya beliaulah yang dilantik menjadi Menteri Pendidikan Tinggi oleh Umno/Barisan Nasional bagi menggantikan Dato’ Seri Khaled Nordin.

Saya mencabar Dato’ Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir.

Jika beliau tidak terlibat, beliau harus bertanggungjawab campur tangan dan memastikan tindakan kebudak-budakan yang zalim ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

6 JUN 2012