Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Harga RON95 Sepatutnya Turun 5 Sen Malam Ini, Kerajaan Jangan Cukai Untuk Minggu Depan

Berdasarkan angka-angka mengenai harga MOPS95 (sumber: laporan mingguan dari Australian Institute of Petroleum http://www.aip.com.au/), tukaran mata wang dan harga minyak mentah dunia (sumber: https://www.bloomberg.com/), harga RON95 mengikut formula yang ditetapkan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan sepatutnya RM2.24 seliter, iaitu turun sebanyak 5 sen malam ini.

Saya sertakan jadual kiraan harga mingguan mengikut formula seperti berikut:

13-12-1

Kebelakangan ini, saya jarang mengeluarkan kenyataan media mengenai harga mingguan RON95 kerana saya yakin banyak pihak yang melaporkannya dengan tepat.

Walau bagaimana pun, harga minyak mentah Brent naik melonjak melepasi paras USD65 setong minggu ini sebelum turun ke paras sekitar USD63 setong, seperti yang ditunjukkan carta harga dari Bloomberg seperti di bawah:

13-12-2

Oleh itu, walaupun kenaikan yang berlaku pada 2 hari pertama minggu ini tidak akan mempengaruhi harga yang ditetapkan dan akan diumumkan malam ini (kerana itu merujuk kepada harga minggu lepas setakat 8 Disember 2017 sebelum harga minyak mentah naik melonjak), KPDNKK boleh saja mengumumkan penurunan harga RON95 yang tidak mengikut formula untuk memastikan kenaikan minggu depan tidak terlalu tinggi.

Sebab itu saya meminta KPDNKK yang menetapkan harga minyak RON95 untuk tetap menurunkan harga RON95 sebanyak 5 sen mengikut formula walaupun pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak berhadapan risiko kemarahan rakyat apabila harga RON95 boleh naik lebih tinggi dari itu minggu depan.

Jika penurunan harga RON95 malam ini kurang dari 5 sen, menteri berkenaan sepatutnya mendedahkan senarai harga dan formula yang digunakan.

 

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

Najib Enggan Dedahkan Pecahan Kutipan LHDN, Sembunyikan Jumlah Kutipan Denda Dan Faedah Yang Ditanggung Rakyat

Selain dari cukai GST, golongan berpendapatan sederhana kini ditekan pula dengan cukai pendapatan tambahan yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Saya telah membawa perkara ini sejak pertengahan tahun ini tetapi kurang dihiraukan oleh pihak kerajaan.

Kebimbangan saya ialah keputusan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN akan menyebabkan LHDN terpaksa memenuhi sasaran kutipan tertentu kerana pendapatan (dirujuk di dalam dokumen bajet sebagai fii) LHDN tertakluk kepada berapa jumlah cukai yang dikutip oleh LHDN. Contohnya, bagi 2018 pentadbiran Dato’ Seri Najib telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion sebagai fii atas khidmat LHDN mengutip cukai dari orang ramai, seperti helaian bajet yang berikut:

12-06-2017-6.png

Baru-baru ini pada 27 November 2017, akhbar perniagaan The Edge melaporkan (capaian di http://www.theedgemarkets.com/article/irb-launches-operasi-mega-reach-higher-tax-target-rm1347b-2018) bahawa LHDN telah melancarkan Ops Mega untuk mengutip cukai dari orang ramai dan syarikat bagi tujuan memenuhi sasaran kutipan cukai sebanyak RM134.7 bilion bagi 2018. Ini bermakna, LHDB dibayar sebanyak 1.63% dari jumlah kutipan cukai yang dipungut bagi pihak kerajaan.

12-06-2017-7

Sebab itu saya telah melahirkan kebimbangan sebelum ini mengenai keputusan dan tindakan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN dengan mengambil kaedah memberi insentif kewangan sebagai komisen kepada jumlah cukai yang dikutip. Lebih-lebih lagi apabila keperluan kewangan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib adalah jauh lebih tinggi yang menyebabkan LHDN terpaksa berusaha mengutip sasaran cukai yang bertambah tinggi setiap tahun.

Dalam keadaan ekonomi tidak berkembang pada kadar yang sepadan dengan kekayaan Malaysia dan gaji pekerja tidak naik, saya telah suarakan sebelum ini kebimbangan sekiranya LHDN lebih cenderung untuk mengenakan denda dan mengutip faedah atas cukai-cukai yang didakwa tidak dibayar di tahun-tahun lepas. Sementara syarikat besar mempunyai wang untuk membayar peguam dan akauntan, rakyat biasa tiada pilihan kecuali membayar sahaja jika tidak mahu faedah dan denda terus meningkat setiap tahun.

Saya telah mengemukakan satu soalan di Parlimen baru-baru ini untuk mengenal pasti sama ada peningkatan kutipan cukai oleh LHDN adalah disumbangkan oleh keuntungan syarikat/gaji pekerja yang lebih tinggi atau disebabkan lebih banyak denda atau faedah yang dikenakan kepada rakyat.

Sepatutnya soalan saya ini dapat dijawab dengan mudah, tetapi jawapan yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib adalah panjang berjela tanpa sedikit pun menjawab soalan tersebut:

12-06-2017-2

12-06-2017-3

12-06-2017-4

Akhirnya, Dato’ Seri Najib tidak mahu mendedahkan pecahan mengikut cukai sebenar yang dikutip, denda yang dikenakan dan faedah yang dikutip atas denda dan cukai yang lewat dibayar. Saya yakin ini berpunca kebimbangan Dato’ Seri Najib bahawa rakyat akan menjadi bertambah marah sekiranya peningkatan kutipan cukai oleh LHDN sebenarnya bukan disebabkan oleh pertambahan pendapatan rakyat/keuntungan syarikat sebaliknya denda dan faedah yang dikenakan untuk memenuhi sasaran kutipan cukai rakyat.

Saya akan melancarkan satu laman online untuk membolehkan orang ramai yang merasa dianiaya dengan tuntutan denda dan faedah yang tidak berpatutan dari LHDN untuk mendapatkan khidmat akauntan sukarela membantu rakyat biasa yang tidak mampu membayar peguam atau akauntan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

 Facebook | Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

 Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Subsidi Minyak Jika Harga RON95 Kekal RM2.50 Ke Atas Bagi Tiga Bulan Berturut-Turut: U-Turn Yang Tidak Ikhlas

Saya sertakan kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam untuk mengumumkan keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa Kerajaan Persekutuan akan mula memperkenalkan kembali subsidi minyak sekiranya harga RON95 dan diesel kekal melebihi paras RM2.50 seliter bagi tiga bulan berturut-turut.
MOF Subsidy Minyak

Sudah tentu saya orang yang paling lega dengan keputusan tersebut, kerana akhirnya Dato’ Seri Najib mengenepikan ego dan kepentingan politik sempit beliau untuk mengakui bahawa kaedah subsidi minyak yang dilaksanakan dengan harga siling perlu dilaksanakan dan dasar itu tidak akan membunuh ekonomi negara, seperti propaganda ekonomi yang disebarkan Barisan Nasional selama ini.

Lebih penting, Dato’ Seri Najib terpaksa membuat pusingan “U” yang paling besar dalam dasar ekonomi beliau selama ini iaitu memperkenalkan kembali subsidi minyak setelah bertahun-tahun cuba menggambarkan kononnya pendirian saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan mengenai subsidi minyak adalah tidak bertanggungjawab.

Sebab itu, setelah beliau mengaku kalah dalam isu subsidi minyak ini, saya mengajak rakyat untuk menilai secara terperinci fakta-fakta harga minyak, pendapatan lebihan Kerajaan Persekutuan dan kos untuk menurunkan harga minyak RON95 dan diesel. Tujuannya untuk menilai sendiri betapa mudahnya untuk menurunkan harga minyak tetapi tidak diendahkan Dato’ Seri Najib selama ini.

Saya sertakan satu lampiran pengiraan dan saya kongsikan fakta-fakta ini dalam bentuk soalan seperti berikut:

Pendapatan Luar Jangka Kerajaan Persekutuan Akibat Kenaikan Harga Minyak – 2017

1. Berapakah harga minyak mentah dunia (Brent) yang akan menyebabkan harga RON95 ditetapkan pada RM2.50 seliter?
Menggunakan data-data harga RON95 yang telah ditetapkan selama 6 bulan dibandingkan harga minyak mentah dunia pada minggu yang sama, satu model statistik dapat dibangunkan untuk meramalkan pada harga minyak mentah yang berapa yang menyebabkan harga RON95 ditetapkan pada RM2.50 seliter?

Kiraan saya menunjukkan bila harga minyak mentah dunia mencecah USD64 se-tong, formula yang dipakai pentadbiran Dato’ Seri Najib akan menetapkan RON95 pada harga RM2.50 seliter.

Harga pada hari ini ialah USD62.16 se-tong dan bulan ini, minyak mentah pernah mencecah USD64.27 se-tong. Ini bermakna, prospek harga RON95 semahal RM2.50 seliter bukanlah satu yang luar biasa dan boleh berlaku dalam minggu-minggu akan datang.

bloombergcrude

2. Berapakah keuntungan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan setiap kali harga minyak mentah dunia naik?
Saya telah menunjukkan sebelum ini pada puratanya bagi setiap kenaikan USD1 dollar se-tong, sekitar 40% dari kenaikan itu akan dibayar terus kepada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, cukai petroleum, duti dan lain-lain. Ini tidak termasuk keuntungan PETRONAS, cukai-cukai lain dan dividen yang dibayar.

Sebab itu saya mengkritik keras tindakan menghapuskan subsidi kerana itu samalah seperti Kerajaan Persekutuan membolot kesemua untung dari kenaikan harga minyak apabila sebahagian lebihan pendapatan (akibat kenaikan harga minyak itu) langsung tidak dikembalikan dalam bentuk subsidi minyak untuk dinikmati semua.

Alasan bahawa keuntungan itu dikembalikan dalam bentuk BR1M tidak boleh dipakai, kerana alasan yang sama digunakan untuk menerangkan kenapa GST dikutip. Pada saya, apa-apa yang dibayar sebagai BR1M adalah melalui GST dan seharusnya sebahagian lebihan pendapatan akibat kenaikan harga minyak dikembalikan dalam bentuk subsidi minyak.

Anggaran saya menunjukkan sejak 1 Januari 2017, pentadbiran Dato’ Seri Najib telah mengutip lebihan pendapatan sebanyak sekitar RM2.5 bilion akibat kenaikan harga minyak mentah dunia.

Anggaran ini tidak banyak berbeza dengan jawapan yang diberikan Menteri Kewangan Kedua, iatu setiap kenaikan USD1 harga minyak mentah dunia akan menyumbang sekitar RM300 juta setahun kepada Kerajaan Persekutuan.

minyakusd

3. Adakah Dato’ Seri Najib akan beri subsidi selepas ini dan harga RON95 akan kekal pada RM2.50 sahaja sebagai harga siling?
Tidak.

Saya cukup kesal apabila kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya akan memperkenalkan subsidi bersama-sama harga siling RM2.50 sekiranya harga RON95 dan diesel kekal melepasi RM2.50 selama 3 bulan berturut-turut.

Maka, setiap kali harga RON95 jatuh di bawah paras RM2.50 seliter walaupun minggu-minggu lain kekal di atas RM2.50, itu akan “reset” perkiraan 3 bulan berturut-turut dan membolehkan Dato’ Seri Najib menyimpan lebihan pendapatan tanpa memulangkan satu sen pun subsidi minyak. Contohnya, jika harga pada minggu 1=RM2.64/l, minggu 2=RM2.58/l, minggu 3=RM2.43/l dan minggu 4=RM2.81/l; syarat “mesti kekal melebihi 3 bulan berturut-turut” akan menyebabkan jam harga itu ditetapkan pada permulaan minggu yang baru (reset).

Jadi, saya tidak menolak walaupun bunyinya ada kesediaan di pihak Dato’ Seri Najib untuk memberikan kembali subsidi, helahnya ialah besar kemungkinan itu tidak akan berlaku kerana untuk mengekalkan harga minyak melebihi USD64 se-tong secara berterusan selama 3 bulan, satu krisis dunia yang besar telah pun berlaku.

Malah, jika pun harga minyak mentah kekal melebihi USD64 se-tong selama 3 bulan berturut-turut, pentadbiran Dato’ Seri Najib telah mengutip RM4.2 bilion sejak 1 Januari 2017 sebelum memulangkan sedikit dalam bentuk subsidi.

Sebab itu saya mengecam sikap tidak ikhlas yang acuh tidak acuh ini dalam membantu meringankan bebanan rakyat. Tindakan menunggu sehingga lebihan pendapatan mencecah sekurang-kurangnya RM4.2 bilion sebelum mahu diperkenalkan kembali subsidi adalah mementingkan diri, apatah lagi kos subsidi untuk menurunkan 10 sen harga RON95 hanyalah sekitar RM47 juta seminggu (atau RM2.4 bilion setahun).

Oleh itu, saya mendesak pentadbiran Dato’ Seri Najib membatalkan syarat harga RON95 mesti kekal melebihi RM2.50 seliter untuk 3 bulan berturut-turut dan sebaliknya memperkenalkan terus harga siling pada paras RM2.30 seliter dan membiayai subsidi mingguan seperti berikut:

i. Jumlah kutipan tahunan GST ke atas RON97 yang dianggarkan RM68 juta digunakan untuk membayar subsidi untuk menurunkan harga RON95 dan diesel ke paras bawah RM2.30 seliter; dan

ii. Jumlah terkumpul lebihan pendapatan akibat kenaikan harga minyak mentah dunia yang dianggarkan sudah melebihi RM2.5 bilion digunakan serta merta untuk menanggung kos subsidi RM47 juta seminggu untuk menurunkan (dan mengekalkan) harga minyak pada harga siling RM2.30 seliter.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Larangan Tidak Boleh Pakai Tudung Tidak Berlaku Jika Ada Akta Peluang Pekerjaan Adil (“Fair Work Act”)

Saya merujuk kepada kontroversi terkini melibatkan sebuah hotel yang tidak membenarkan kakitangan di kaunter depan memakai tudung.

Saya yakin majoriti rakyat Malaysia dan rakyat dunia amnya tidak menilai khidmat sesebuah hotel semata-mata berdasarkan sama ada kakitangan di kaunter depan hotel itu memakai tudung atau pun tidak. Soal boleh memakai tudung atau tidak ini tidak ada kena mengena dengan prestasi kerja, tetapi masih wujud di kalangan segelintir manusia. Prejudis sebegini wujud dalam mana-mana agama, mana-mana masyarakat, mana-mana negara.

Oleh kerana manusia yang ada prejudis sebegini memang wujud dalam mana-mana masyarakat, maka akan ada alasan yang diberikan oleh majikan, persatuan atau kumpulan yang benar-benar percaya pemakaian tudung boleh menjejaskan perniagaan mereka. Kenyataan balas oleh Persatuan Hotel Malaysia yang mempertahankan tindakan hotel tersebut, walaupun mengecewakan, tidak melanggar undang-undang kerana tiada undang-undang mengenai perkara ini.

Sebab itu isu ini akan terus wujud. Selang beberapa bulan, akan timbul isu bagaimana satu majikan tidak membenarkan seorang yang memakai tudung bekerja atau tidak akan mengambil seorang pemohon kerja hanya kerana dia memakai tudung.

Sementara saya faham kekecewaan Ahli Parlimen Temerloh, YB Nasruddin Hassan mengenai perkara ini, saya pula kecewa apabila beliau begitu pantas mengheret sentimen agama dan kaum dalam perkara ini seolah-olah umat Islam telah hilang haknya untuk mengamalkan Islam di negara sendiri (rujuk kenyataan beliau yang dilaporkan Sinar Harian bertarikh 13 November 2017 di capaian http://www.sinarharian.com.my/nasional/larangan-bertudung-cabar-sensitiviti-umat-islam-1.756315)

Sebenarnya isu ini boleh dihentikan dengan berkesan sekiranya ada satu akta yang mengharamkan apa-apa dasar, peraturan atau amalan yang boleh mendiskriminasikan mana-mana individu atau kumpulan atas dasar jantina, kaum, agama atau kelainan upaya.

Saya telah menulis buku bernama “Panduan Bina Semula Negara” yang memperincikan kenapa negara memerlukan satu undang-undang yang menjamin setiap rakyat Malaysia akan mendapat peluang yang adil dan bersesuaian dengan kemahiran serta kerja yang dibuat (baik dari segi mendapat kerja, gaji dan kenaikan pangkat). Keseluruhan muka surat 48 hingga 54 dalam buku itu dikhususkan untuk menerangkan kenapa dan bagaimana undang-undang ini boleh dilaksanakan.

Saya perincikan kembali cadangan-cadangan utama saya dalam buku itu untuk dipertimbangkan rakyat Malaysia:

i.   Menggubal dan menguatkuasa satu akta yang menjamin peluang kerja dan kerjaya yang adil kepada setiap rakyat Malaysia, sekaligus menjadikan sebarang diskriminasi berdasarkan agama, kaum, jantina dan kelainan upaya (contohnya larangan memakai tudung) menyalahi undang-undang yang akan dikenakan hukuman

ii.   Akta itu boleh dinamakan “Akta Keadilan Peluang Kerja dan Kerjaya” atau “Fair Work and Career Opportunity Act”

iii.   Semua diskriminasi secara langsung atau tidak langsung diharamkan dan dikenakan hukuman

iv.   Diskriminasi secara langsung merujuk kepada sebarang perlakuan, amalan, dasar atau peraturan yang dibuat oleh majikan yang menyebabkan seorang pemohon kerja atau pekerja diberi layanan berbeza atau mendapat kelebihan berbanding pemohon atau pekerja lain atas sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya

v.   Diskriminasi secara tidak langsung merujuk kepada sebarang perlakuan, amalan, dasar atau peraturan yang nampak sama kepada semua pekerja tetapi mendatangkan kesan yang lebih negatif kepada seseorang atas sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya. Contoh: seorang pekerja dipecat atas alasan selalu lewat ke mesyuarat tetapi mesyuarat dijadualkan semasa berlangsungnya tanggungjawab agama (seperti sembahyang Jumaat atau waktu ke gereja), sedangkan mesyuarat boleh sahaja dijadualkan di masa yang lain yang tidak bertembung dengan tanggungjawab agama tersebut

vi.   Kaedah melaksanakan dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang di dalam akta ini adalah melalui penubuhan sebuah Suruhanjaya Keadilan dan Kepelbagaian Peluang Kerjaya (SKKPK) atau Equal Opportunity and Diversity Commission (EODC)

vii.   Suruhanjaya ini diberikan kuasa untuk menggubal undang-undang dan peraturan, mengawal selia dan menjadi timbang tara (melalui kaedah tribunal) untuk memastikan semua majikan di negara ini tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana individua tau kumpulan atas sebab-sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya

Saya menghormati pilihan YB Nasruddin Hassan untuk menggunakan kaedah yang sesuai dengan cara beliau untuk mengatasi masalah diskriminasi di tempat kerja, cuma saya berharap ia tidak diberikan dimensi agama dan kaum.

Saya akan terus berkempen supaya satu undang-undang yang menjamin keadilan kepada semua pekerja dikuatkuasakan dengan harapan sebarang tindakan yang tidak membenarkan seorang pekerja memakai tudung dikenakan hukuman yang setimpal kerana telah mendiskriminasi seorang pekerja atas sebab agama.

Saya akan mengedarkan kertas cadangan akta ini kepada ahli-ahli Parlimen yang sedang bersidang dari semua parti untuk mendapat sokongan mereka dalam tempoh seminggu. Jika ada sokongan ramai ahli Parlimen yang merentasi parti dan kaum, saya percaya ia perlu diangkat oleh Menteri Sumber Manusia untuk dijadikan asas sebuah undang-undang dan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI

AHLI PARLIMEN PANDAN

NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

 

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

 

Facebook | Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Perdana Menteri Wajar Beri Subsidi 20 Sen Seliter Jika Benar Subsidi Diberi Secara Senyap-Senyap Sebelum Ini

Dato’ Seri Najib Tun Razak sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila harga RON95 mencecah RM2.31 seliter semalam, iaitu harga termahal sejak beliau menjadi Menteri Kewangan selepas Pilihanraya Umum 2008.

Malah, sejak beliau menjadi Perdana Menteri, harga petrol dan diesel terus menjadi kucar-kacir akibat tindakan beliau seperti berikut:

1. Mengambil pendekatan “bermusuh” dengan subsidi minyak atas alasan subsidi minyak menyebabkan kewangan Kerajaan Persekutuan parah akibat hutang yang tinggi. Sejak Disember 2014, beliau menghapuskan sepenuhnya subsidi

2. Kegagalan menguruskan ekonomi dengan baik menyebabkan matawang Ringgit Malaysia (MYR) menjadi matawang yang prestasinya antara yang tercorot. Oleh kerana harga minyak mentah ditentukan di dalam Dollar Amerika Syarikat (USD), rakyat Malaysia terpaksa membayar harga petrol dan diesel yang lebih tinggi dari sepatutnya akibat kenaikan harga minyak mentah yang diburukkan lagi dengan kejatuhan Ringgit Malaysia

3. Memperkenalkan semakan harga secara mingguan tanpa menguatkuasakan harga siling dan mengembalikan subsidi, iaitu prasyarat untuk melaksanakan semakan harga mingguan

Setakat ini, tidak ada tanda-tanda harga RON95 boleh turun di bawah paras RM2 selagi Ringgit Malaysia tidak mengukuh dan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah berterusan.

brent09112017

Masalahnya, setiap kali harga minyak mentah naik, pentadbiran Dato’ Seri Najib akan mendapat durian runtuh kerana beberapa sumber pendapatan Kerajaan Persekutuan juga akan meningkat, seperti berikut:

i. Kutipan cukai pendapatan syarikat lebih tinggi (keuntungan dari syarikat-syarikat berasaskan minyak)
ii. Kutipan cukai pendapatan petroleum atau PITA lebih tinggi (keuntungan dari setiap lapangan minyak yang dicukai berasingan dari syarikat)
iii. Kutipan cukai pendapatan perseorangan juga lebih tinggi kerana bonus dan bayaran gaji yang lebih mahal dan lebih ramai orang yang diambil bekerja dalam sektor minyak dan gas
iv. Kutipan GST lebih tinggi kerana RON97 dan produk berasaskan petroleum seperti minyak pelincir dikenakan GST
v. Royalti petroleum yang lebih tinggi
vi. Dividen dari PETRONAS yang lebih tinggi kerana keuntungan yang lebih tinggi

Dato’ Seri Najib tidak berterus terang bahawa sebenarnya pada harga purata minyak mentah sepanjang tahun, Kerajaan Persekutuan telah mendapat pendapatan luar jangka yang saya anggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM3.5 bilion bagi tahun 2017 menggunakan kaedah yang saya telah terangkan sebelum ini di http://rafiziramli.com/2017/02/harga-ron95-sepatutnya-kekal-rm2-30-seliter-kerajaan-persekutuan-untung-rm18-juta-sehari-dari-kenaikan-harga-minyak-mentah-dalam-januari-dan-februari-2017/

Harga minyak mentah yang digunakan oleh Dato’ Seri Najib untuk menganggarkan pendapatan Kerajaan Persekutuan bagi 2017 adalah USD45 se-tong tetapi harga purata minyak mentah rujukan Brent bagi 2017 (setakat Oktober 2017 dan menggunakan USD60 setong bagi November dan Disember 2017) adalah USD53.83 se-tong (seperti jadual di bawah).

brent purata

brent one year

Bagi setiap satu tong pengeluaran minyak dan gas di negara ini yang berjumlah 643,000 tong sehari, pendapatan langsung Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak 40% dari harga jualan minyak mentah.

royalti kerajaan minyak

Maka, pendapatan luar jangka (boleh juga dirujuk sebagai durian runtuh “Musang King”) yang telah, sedang dan akan dibelanjakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib kerana kenaikan harga minyak mentah ini adalah [40% dari USD9 se-tong, iaitu 40% dari pertambahan harga sebenar berbanding harga USD45 se-tong yang digunakan untuk mengira pendapatan Kerajaan Persekutuan dalam peruntukan 2017, pada kadar tukaran RM4.2 setiap USD]:

RM9.7 juta sehari setiap hari selama 365 hari, bersamaan RM3.5 bilion bagi tahun 2017 bagi pendapatan langsung iaitu royalti, duti dan cukai petroleum. Ini tidak termasuk kutipan GST dan pendapatan tidak langsung yang lain iaitu cukai syarikat, cukai pendapatan dan dividen.

Sebab itu saya tidak terkejut apabila Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Irwan Serigar baru-baru ini mendakwa subsidi minyak masih ada.

Mereka yang arif dalam bidang kewangan dan sektor minyak/gas tahu bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib memang mengutip pendapatan luar jangka yang lumayan sejak awal tahun ini akibat kenaikan harga minyak mentah yang keuntungannya tidak dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk subsidi untuk mengekang kenaikan mendadak harga petrol dan diesel yang ditanggung rakyat.

Jika pun ia dipulangkan, ia dalam suasana penuh kerahsiaan dan tidak diketahui oleh rakyat kalau tembelangnya tidak dipecahkan oleh Tan Sri Irwan Serigar.

Oleh itu, saya mendesak Dato’ Seri Najib menjelaskan kepada rakyat perkara berikut:

1. Berapa banyak pendapatan luar jangka secara langsung dan tidak langsung akibat harga minyak mentah dunia naik lebih tinggi pada purata USD53.83 se-tong berbanding USD45 se-tong yang digunakan untuk menganggarkan pendapatan Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2017?

2. Dalam bahagian dan laporan mana pendapatan ini dilaporkan?

3. Kepada kementerian mana pendapatan luar jangka yang sekurang-kurangnya berjumlah RM3.5 bilion ini diperuntukkan? Adakah diberikan kepada Perdana Menteri untuk ditentukan perbelanjaannya?

Saya juga mendesak supaya Dato’ Seri Najib memperkenalkan subsidi 20 sen setiap liter bagi bulan Disember 2017 dan Januari 2018 untuk mengimbangkan kenaikan harga minyak mentah dunia dengan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, terutamanya di hujung tahun/awal tahun semasa musim buka sekolah.

Saya menganggarkan pada penggunaan tahunan purata sebanyak 27 bilion liter petrol dan diesel (seperti jawapan Dato’ Seri Najib kepada soalan parlimen saya), pada purata penggunaan setiap bulan sebanyak 2.25 bilion liter, subsidi 20 sen setiap liter ini hanya melibatkan peruntukan RM900 juta bagi bulan Disember 2017 ke Januari 2018. Itu lebih kurang 25% sahaja dari pendapatan luar jangka yang dikutip oleh Dato’ Seri Najib sejak awal tahun ini.

Saya akan mulakan kempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan orang ramai dan mendidik orang ramai selok-belok harga petrol dan diesel.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN