Category Archives: KEADILAN

Kajiselidik Buktikan Rakyat Mahu Ahli Politik Isytihar Harta

Berikutan polemik mengenai cadangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menguatkuasakan satu akta mengawal sumbangan kepada parti politik, saya telah membuat satu kajiselidik atas talian.

Latar belakang 727 responden yang menyertai kajiselidik ini adalah seperti berikut:

1 – 60% adalah dari kalangan responden yang memperkenalkan diri sebagai penyokong parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, PAS dan Bersatu

2 – Sekitar 40% adalah dari kalangan responden yang memperkenalkan diri sebagai atas pagar atau tidak mahu menyatakan mereka menyokong parti mana. Sebahagian dari mereka yang tidak mahu menyatakan kecenderongan mengundi adalah penyokong Barisan Nasional

Dapatan-dapatan yang jelas menunjukkan sentimen umum mahukan pengisytiharan harta oleh ahli politik dan penjawat awam berpangkat tinggi secara langsung membuktikan rakyat tidak percaya dengan tindakan Dato’ Seri Najib memperkenalkan akta untuk mengawal sumbangan kepada parti-parti politik.

Paling ketara, sekitar 60% responden mengakui pemgisytiharan harta mempengaruhi keputusan mengundi calon lain.

Saya sertakan dapatan penuh untuk diteliti oleh orang ramai.


Oleh itu, saya akan mengisytiharkan harta bagi tahun 2016 esok jam 12 tengahari di INVOKESpace dalam satu sidang media yang boleh juga ditonton secara LIVEFB di laman page Rafiziramli.

Saya menyeru seberapa ramai wakil rakyat supaya mula mengisytiharkan harta secara sukarela selepas ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Perletakan Jawatan Sebagai Setiausaha Agung KEADILAN 


25 November 2016

Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat.

(disampaikan dengan tangan)

PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG EKORAN KEPUTUSAN MAHKAMAH KES AKTA RAHSIA RASMI

Saya mendoakan Dato’ Seri Presiden dan Ketua Umum terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT dalam memikul amanah kepimpinan yang digalas.

Pada 14 November 2016, saya telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ini bermakna saya hilang kelayakan di sisi undang-undang untuk bertanding di dalam sebarang pilihanraya dan memegang jawatan di dalam sebuah pertubuhan politik seperti KEADILAN sekiranya rayuan saya ditolak kelak.

Walaupun proses rayuan masih berjalan, saya memandang berat keperluan KEADILAN membina sebuah jentera pentadbiran dan organisasi parti yang kukuh sebagai persiapan menghadapi PRU14. Jika saya terus memegang jawatan Setiausaha Agung, ketidaktentuan kelayakan saya di sisi undang-undang boleh memberi ruang kepada musuh politik kita menggunakannya untuk membantutkan persediaan parti. Saya tidak mahu faktor saya dijatuhkan hukuman mendatangkan risiko tambahan yang perlu ditangani parti.

Oleh yang demikian, saya dengan penuh rasa syukur ingin memulangkan kembali amanah yang telah Dato’ Seri Presiden berikan kepada saya sejak Oktober 2014 kepada budi bicara Dato’ Seri Presiden. Saya bersyukur di atas kepercayaan yang telah diberikan dan berharap beberapa pembaharuan pentadbiran yang saya perkenalkan termasuk menaiktaraf sistem keanggotaan dan organisasi parti telah berjaya membantu parti.

Saya dengan ini memaklumkan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung KEADILAN berkuatkuasa hari ini Jumaat, 25 November 2016.

Oleh yang demikian, saya kini kekal sebagai salah seorang Naib Presiden yang dipilih oleh anggota parti dan akan terus melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin. Mandat sebagai Naib Presiden telah diberikan oleh anggota, maka saya akan terus menjawatnya sehinggalah proses undang-undang memuktamadkan kedudukan saya di sisi undang-undang kelak.

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Dato’ Seri Presiden, Ketua Umum dan semua anggota parti yang telah memberi sepenuh kerjasama kepada saya sepanjang saya melaksanakan amanah sebagai Setiausaha Agung.

Saya akan memfokuskan kepada kerja-kerja merekrut dan melatih sukarelawan pilihanraya untuk memenangi kerusi-kerusi yang dimenangi tipis oleh Barisan Nasional; seperti yang telah dibincangkan sebelum ini dengan Dato’ Seri Presiden dan Ketua Umum.

Saya mendoakan Allah SWT sentiasa memberi petunjuk kepada kita agar tidak menyempang dari matlamat asal dan terus kekal membela rakyat dengan melawan mereka yang memangsakan rakyat.

Wassalam.

DEMI RAKYAT
Saya yang menjalankan amanah


RAFIZI RAMLI
Setiausaha Agung/Naib Presiden

Tonton #FBLive | Wakil Rakyat Aku Buat Apa? 


Anda pernah terfikir sebenarnya apa yang dibuat oleh Ahli Parlimen sepanjang mereka bersidang? Sebenarnya berapa hari setahun mereka bersidang? Minggu ini ada pengundian paling penting iaitu #Bajet2017. Jika Ahli Parlimen anda mengundi menolak bajet itu, Najib Razak bukan lagi Perdana Menteri hari ini.

Mulai minggu ini, setiap minggu sepanjang Dewan Rakyat bersidang, INVOKE Malaysia akan memanggil dua orang Ahli Parlimen dari pelbagai parti untuk disoalsiasat oleh Syed Ibrahim Syed Noh dan Midi Rahim dalam slot khas #WakilRakyatAkuBuatApa 

Minggu ini kami menampilkan Dato’ Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani dan Manivanan Gowin, Ahli Parlimen Kapar atas tanggungjawab mereka sebagai Ketua Whip dan Naib Ketua Whip ahli-ahli parlimen KEADILAN di Parlimen.

Jika ada kesempatan, datang ke INVOKESpace bit.ly/directioninvokespace atau pastikan anda menonton #FBLive bermula jam 9 malam di FB Page saya (Rafizi Ramli)

Anda boleh tweet soalan kepada mereka ke Twitter @invokemalaysia 
Mohon sebarkan!

Keputusan Mahkamah Rayuan Benarkan Kerajaan Saman Rakyat: Ketua Menteri Sarawak Perlu Tarik Balik Tindakan Undang-Undang Terhadap YB Chong Chien Jien, Pertimbang Pindaan Undang-Undang Sekat Kerajaan Saman Rakyat

Saman Rakyat-01

Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu di dalam kes yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap Ahli Parlimen Bandar Kuching/ADUN Kota Sentosa YB Chong Chien Jien.

Keputusan majoriti dua orang hakim Mahkamah Rayuan iaitu Dato’ Abdul Rahman Sebli dan Dato’ Zamani Abdul Rahim (seorang lagi hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk David Wong Dak Wah tidak bersetuju dengan keputusan itu) telah membenarkan Kerajaan Negeri Sarawak mengambil tindakan saman malu (iaitu tindakan undang-undang sivil) terhadap YB Chong Chien Jien walaupun secara umumnya di seluruh dunia, prinsip undang-undang yang diamalkan tidak membenarkan kerajaan menyaman seorang rakyat.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu mengundang risiko besar kepada setiap rakyat Malaysia kerana ia memberi kuasa kepada kerajaan (sama ada kementerian, jabatan, agensi, menteri dalam kapasiti rasmi malah majlis-majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan) untuk menggunakan wang rakyat yang dikutip melalui cukai untuk menyaman rakyat sendiri apabila ada perkara yang ditimbulkan oleh rakyat mengenai kerajaan yang tidak dipersetujui oleh kerajaan.

Secara umumnya, prinsip bahawa kerajaan tidak dibenarkan menyaman rakyat sendiri telah diputuskan melalui undang-undang “common law” yang diamalkan di United Kingdom. Ia bertepatan dengan prinsip keadilan sejagat (“universal justice values”) seperti berikut:

1. Rakyat memilih kerajaan dan membayar cukai untuk membolehkan kerajaan berfungsi. Rakyat adalah majikan kepada kerajaan;

2. Kerajaan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat menggunakan cukai yang dikutip daripada rakyat. Maka sebagai majikan dan juga pelanggan kepada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan, rakyat berhak untuk memberi maklumbalas (baik dalam bentuk pujian, kritikan, aduan, komen dan lain-lain) mengenai perkhidmatan yang disediakan kerajaan kerana perkhidmatan itu dibiayai oleh duit rakyat;

3. Jika rakyat tidak berpuas hati dan memberi kritikan atau aduan yang tidak disukai oleh kerajaan, adalah tidak adil untuk kerajaan menggunakan wang rakyat (apabila mengambil tindakan saman dalam kapasiti rasmi bukan kapasiti peribadi) untuk menyaman rakyat yang memberi kritikan.

Prinsip di atas ditegaskan di dalam keputusan House of Lords di United Kingdom di dalam kes ternama iaitu tindakan saman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Derbyshire County Council yang mengambil tindakan saman terhadap akhbar Times Newspapers. Dalam menegaskan bahawa kerajaan pusat atau mana-mana kerajaan tempatan tidak boleh menyaman rakyat yang mengkritik, House of Lords mengulangi kepentingan melindungi hak rakyat mengkritik kerajaan seperti berikut:

“It was of the highest public importance that a democratically-elected government body should be open to uninhibited public criticism, and since the threat of civil actions for defamation would place an undesirable fetter on the freedom to express such criticism, it would be contrary to the public for institutions of central or local government to have any right at common law to maintain an action for damages for defamation.”

“Adalah menjadi keutamaan terpenting bahawa sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik perlulah terbuka kepada kritikan awam yang tidak dihadkan; dan oleh kerana tindakan saman malu oleh kerajaan akan menyekat kebebasan mengkritik kerajaan, adalah bertentangan dengan kepentingan awam sekiranya badan-badan kerajaan pusat atau kerajaan tempatan diberikan hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan saman malu terhadap orang awam.”

Jika keputusan Mahkamah Rayuan ini kekal dan tidak dicabar di Mahkamah Persekutuan, ia akan membawa kesan buruk kepada rakyat dan negara. Selain dari ahli-ahli parlimen, tokoh NGO dan akademik yang akan disaman menggunakan duit rakyat bila mana pendapat mereka tidak disenangi Umno/Barisan Nasional, rakyat biasa pun sebenarnya akan menjadi mangsa. Contohnya, jika seorang penduduk mengadu di media televisyen, internet atau mana-mana media bahawa khidmat kutipan sampah di kawasan perumahan beliau tidak memuaskan, majlis perbandaran di kawasan itu boleh menyaman penduduk tersebut.

Saya sangat-sangat bimbang jika perkara ini tidak diperbetulkan ia akan menjadi senjata menutup mulut rakyat keseluruhannya.

Oleh yang demikian, saya akan memantau kes ini dengan dekat untuk memastikan ia tidak kekal menjadi undang-undang yang akan disalahgunakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya akan mengambil tindakan-tindakan berikut:

i. Saya berharap YB Chong Chien Jien yang disaman dan menjadi defendan kes ini akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas

ii. Apabila kes ini sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan, saya menyeru Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak membuktikan bahawa beliau berbeza dari pimpinan Umno/Barisan Nasional yang lain dengan mengarahkan supaya Kerajaan Sarawak menghentikan tindakan asal yang menyaman YB Chong Chien Jien. Ini membolehkan supaya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan

iii. Saya akan membawa perkara ini kepada panel ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang merupakan pengamal undang-undang seperti YB Sivarasa Rasiah (Subang), YB Hanipa Maidin (Sepang), YB Gobind Singh Deo (Puchong), YB Gooi Hsiao Leoung (Alor Setar), YB Manivannan Gowin (Kapar), YB Wong Chen (Kelana Jaya), YB Darell Leiking (Penampang) dan lain-lain untuk menyemak undang-undang sedia ada dan mempertimbangkan satu Rang Undang-undang Persendirian difailkan dalam sidang Mei 2016 khusus untuk menyekat kerajaan dari mendapat hak menyaman rakyat.

Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah sebarang perubahan undang-undang, keputusan atau tindakan yang boleh disalahgunakan untuk menyekat hak kita mengkritik kerajaan terutamanya dalam keadaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak terdesak menutup skandal 1MDB dengan apa cara sekalipun.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Asas Kerjasama Wajib Kepada Prinsip

Dalam apa-apa usaha dan tindakan, kerjasama sentiasa dianggap sebagai faktor penting dalam kejayaan. Kerjasama membawa maksud beberapa pihak terlibat secara bersama dalam mencapai sesuatu objektif yang dipersetujui bersama. Kerjasama ini boleh berlaku dalam banyak keadaan dan peringkat, sama ada sesama individu atau kumpulan, dalam perkara kecil atau besar. Dalam kalimah bahasa, kerjasama dalam perkara keburukan pun dianggap kerjasama.

Namun berpandukan Al-Qur’an, ayat 2 Surah Al-Maidah, kerjasama mestilah berasaskan kepada melaksanakan kebaikan dan bukan kerosakan. Mafhum ayat tersebut ialah “…Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksaNya.”

Dalam sebuah Hadith Riwayat Bukhari Rasulullah S.A.W bersabda, “Bantulah saudaramu, baik dalam keadaan sedang berbuat zalim atau sedang teraniaya. Ada yang bertanya: “Wahai Rasulullah, kami akan menolong orang yang teraniaya. Bagaimana menolong orang yang sedang berbuat zalim?” Baginda menjawab: “Dengan menghalanginya melakukan kezaliman. Itulah bentuk bantuanmu kepadanya.”

Justeru, asas kerjasama wajib kepada prinsip-prinsip yang didokong yang membawa manfaat kepada umum namun tidak boleh sama sekali bekerjasama dalam perkara dosa seperti berdusta dan perkara melampaui batas seperti pecah amanah dan kezaliman. Kepekaan dan kesedaran terhadap pendirian pihak yang terlibat dalam kerjasama amatlah penting supaya kita tidak terjerumus sama dalam membuat kerosakan.

Dalam konteks politik negara sekarang, amatlah jelas kepincangan UMNO-BN dalam memerintah dan mentadbir. Krisis ekonomi dan kepemimpinan berlaku kerana kelemahan dan kebobrokan mereka yang berkait dengan prinsip amanah, keadilan, kebenaran, tatakelola dan pertanggungjawaban.

Skandal hutang 1MDB, derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, pelaksanaan GST dan penggunaan undang-undang seperti akta hasutan sebagai ancaman adalah antara pelanggaran prinsip-prinsip tersebut oleh UMNO-BN yang akibatnya amat buruk buat rakyat.

Sementara itu, dana awam yang kebanyakannya merupakan wang amanah orang Melayu dan Bumiputera turut dicemari dengan keputusan serta tindakan yang amat meragukan. Contohnya penggunaan dana Kumpalan Wang Amanah Pencen, Tabung Haji dan lain-lain untuk menyelamatkan 1MDB. Begitu juga dengan dakwaan penyalahgunaan dana dan aset MARA dalam pembelian hartanah serta salahguna dana amal jariah YaPEIM.

Justeru, dalam konteks cadangan kerjasama di antara UMNO dan PAS yang masih lagi rakan tahaluf siyasi KEADILAN, saya ingin menegaskan pendirian Biro Politik KEADILAN bahawa bekerjasama tidak ada salahnya malah digalakkan dalam rangka usaha yang jelas ke arah mewujudkan kemakmuran ekonomi, menjamin keadilan sosial dan kepemimpinan yang amanah. Namun pertimbangan yang bijaksana perlu diambil apabila rakan kerjasama tidak serius malah menjadi penyumbang kepada kerosakan, penyelewengan, rasuah dan kezaliman.

SYED IBRAHIM SYED NOH
Ketua Penerangan KEADILAN