Category Archives: KEADILAN

Muat Turun Dan Daftar Sebagai Pengundi Atas Talian

Dalam Pemilihan 2018, ada 20,000+ undi yang tidak dikira.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada ketika itu memberi alasan ia berpunca dari masalah teknikal yang menyebabkan pelayan (cloud server) tidak mengesan undi-undi itu. Masalah 20,000+ undi yang tidak dikira ini dibawa ke Biro Politik tetapi keputusannya pada ketika itu untuk tidak mengambil apa-apa tindakan.

Sementara saya aman dan tenang sahaja, KEADILAN akhirnya dikhianati oleh pemenang-pemenang hasil dari keputusan pemilihan yang meragukan sebegini. Hampir semua anggota JPP pun meninggalkan parti menyertai mereka yang khianat.

Kita meletakkan harapan yang besar kepada JPP kali ini yang dipengerusikan Dr Zaleha, veteran lama parti untuk memastikan peristiwa ini tidak berulang lagi. Sebab itu saya menyokong sepenuhnya usaha JPP untuk mengadakan pemilihan atas talian walaupun ia dianggap rumit.

Ada beberapa kebaikan sistem pemilihan atas talian ini.

Pertama, ia memberi kebebasan kepada anggota biasa untuk memilih calon-calon tanpa perlu dipengaruhi oleh pimpinan di peringkat cabang dan lain-lain. Hak itu adalah hak individu setiap anggota. Jika pemilihan secara fizikal, ada perayu undi yang cuba berkempen ketika anggota biasa ingin mengundi.

Kedua, ia mengurangkan risiko pengundi yang digerakkan tetapi tidak ambil tahu mengenai perkembangan parti. Keadaan ini mewujudkan “warlord” politik di peringkat akar umbi yang boleh mempengaruhi keputusan pimpinan parti mengikut kumpulan mana yang menjanjikan kedudukan terbaik kepada mereka (tidak semestinya pemimpin yang terbaik akan diangkat).

Maka, kita wajar berusaha supaya seberapa ramai anggota memuat turun aplikasi ADIL dan mendaftar sebagai pengundi atas talian. Proses pendaftaran mengambil sedikit masa kerana saya difahamkan JPP perlu mengesahkan identiti setiap anggota dengan memadankan kad pengenalan dan gambar profil.

Setakat hari ini, saya difahamkan tidak sampai 5% dari anggota parti telah mendaftar sebagai pengundi atas talian. Ia mendedahkan parti kepada pemilihan oleh segelintir sahaja yang tidak mewakili sentimen anggota parti keseluruhannya.

Tarikh akhir untuk memuat turun aplikasi ADIL dan mendaftar sebagai pengundi atas talian ialah 8 April 2022 (dua hari dari sekarang). Anda boleh muat turun di capaian berikut:

Apple:

https://apps.apple.com/us/app/adil/id1609854829

Google:

https://play.google.com/store/apps/details?id=org.keadilanrakyat.pkr&hl=en&gl=US

Jangan berlengah lagi. Muat turun aplikasi ADIL dan daftar sebagai pengundi atas talian jika anda betul-betul mahu pasukan baru yang lebih kreatif mendekati pengundi.

Jika anda hanya pandai sembang di WhatsApp atau Facebook tetapi tidak pun mendaftar sebagai pengundi atas talian, anda memang juara sembang kencang (tapi tidak ada kesan)!

RAFIZI RAMLI

PEMILIHAN KEADILAN 2022

Keputusan Pilihanraya Negeri Johor (PRN Johor) baru-baru ini mengesahkan bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan telah menjadi parti ketiga selepas Barisan Nasional dan Perikatan Nasional. Keputusan itu perlu diterima dengan terbuka dan tawaduk oleh semua rakyat Malaysia yang mendukung idealisme politik progresif yang dibawa KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihanraya negeri. Setiap kali KEADILAN dan Pakatan Harapan mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat.

Satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan “khemah besar” untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan UMNO/Barisan Nasional. Terbaru, saya dimaklumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju mengambil pendekatan untuk berbincang dengan Perikatan Nasional mengenai kemungkinan bekerjasama dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Walaupun tidak ada tanda-tanda pun pendekatan “khemah besar” ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan Pakatan Harapan seolah-olah keseluruhan pimpinan Pakatan Harapan sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

KEADILAN dan Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) kerana isu-isu yang dibawa ketika itu dekat dengan rakyat. Rakyat memahami kesan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika itu kepada kehidupan seharian dan masa depan mereka. Rakyat juga tertarik dengan beberapa penyelesaian yang dibawa untuk merungkai masalah ekonomi yang dihadapi.

Rentetan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas PRU14 meyakinkan sebahagian rakyat (terutamanya pengundi atas pagar) bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka. Baik dari gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah siapa yang menjadi menteri dan mendapat keistimewaan yang datang dengan kedudukan.

Sebab itu UMNO/Barisan Nasional boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018. Dalam keadaan sebahagian besar pengundi atas pagar merasakan KEADILAN dan Pakatan Harapan sudah tidak ada beza dengan UMNO/Barisan Nasional atau Perikatan Nasional, sebahagian besar dari mereka mengalami kelesuan politik. Mereka mual dengan isu politik kerana tiada perbezaan ketara dari gabungan-gabungan politik.

Kelesuan politik ini juga berpunca dari pelbagai taktik yang dibawa gagasan-gagasan politik untuk mendapat kuasa selepas PRU14.

Di peringkat Persekutuan, UMNO dan BERSATU boleh berkongsi kuasa tetapi memaki hamun sesama sendiri di luar. PAS boleh mendakap UMNO demi kuasa (walaupun bermusuh sekian lama), kemudian memaki hamun kembali juga disebabkan kuasa. KEADILAN boleh dimainkan hidup-hidup oleh helah UMNO konon untuk menyokong calon KEADILAN menjadi Perdana Menteri, seolah-olah KEADILAN tidak kenal siapa UMNO. DAP menyatakan pengkhianatan BERSATU meruntuhkan mandat rakyat, tetapi DAP juga yang menjadi broker persefahaman MOU untuk mengekalkan Perdana Menteri dari BERSATU (seterusnya bersambung dengan Perdana Menteri dari UMNO).

Terkini, pandangan terbaru ialah supaya Pakatan Harapan mencari jalan bekerjasama pula dengan Perikatan Nasional.

Di mata ahli-ahli politik ini adalah strategi demi meningkatkan peluang memenangi pilihanraya. Di mata rakyat biasa, politik Malaysia sudah menjadi drama Keluarga 69 seperti yang dinukilkan Allahyarham P Ramlee dahulu.

Saya memang kurang minat dengan politik sejak dari kecil. Saya tidak bercita-cita menerima jawatan awam kerana ia satu tanggungjawab. Jika kita tidak yakin boleh memikul sesuatu amanah, lebih baik kita beri laluan kepada orang lain.

Sejak 2019, saya telah menyuarakan pandangan yang tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan (dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat) demi untuk mendapat kuasa. Suara saya menjadi suara minoriti di kalangan pimpinan KEADILAN, apatah lagi di kalangan Pakatan Harapan.

Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada di dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju. Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian dari pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawaban (“accountability”).

Sebab itu, saya sangat gembira untuk kembali ke kehidupan sebagai rakyat biasa dan memberi ruang sepenuhnya kepada pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan memikat kembali hati rakyat untuk memegang tampuk pentadbiran negara. Jika mereka yakin taktik membawa mana-mana Ahli Parlimen yang sanggup menukar kesetiaan (demi mencukupkan angka sokongan) boleh mengembalikan pentadbiran Pakatan Harapan dan seterusnya meningkatkan peluang memenangi PRU15, saya tumpang gembira (walaupun saya tidak mahu terlibat).

Malangnya, dari satu khemah ke khemah lain, ketaasuban kepada strategi gabungan politik ini makin menjauhkan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari rakyat. Apabila hari ini kita mengkritik dan kemudian esoknya kita berpacaran dengan orang yang kita kritik, lama-lama rakyat merasakan ini semua hanyalah drama Keluarga 69. Lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak tumpuan diberikan kepada membentuk gabungan, usaha mengangkat derita rakyat dan menawarkan penyelesaian menjadi semakin sepi.

Saya terus mendapat desakan dari pendukung KEADILAN dan Pakatan Harapan dari kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik. Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin saya boleh membantu keadaan dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti di kalangan pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga KEADILAN dan Pakatan Harapan nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat. Jika KEADILAN dan Pakatan Harapan ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan harian rakyat. Bukan sahaja menuding jari, bawalah penyelesaian-penyelesaian yang masuk akal untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika mereka memilih KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik. Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik dari menambat hati rakyat.

Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Saya menganggotai KEADILAN sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai. Sumbangan saya dalam menubuhkan Pakatan Harapan dalam tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihanraya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu.

Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika KEADILAN dan Pakatan Harapan terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan akan datang.

RAFIZI RAMLI

Garis Panduan Dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim Memudahkan Untuk Memuktamadkan Keputusan Rundingan KEADILAN-PAS

Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai isu rundingan kerusi di antara KEADILAN dengan PAS yang banyak membantu menjelaskan latar belakang persetujuan beliau mengenai rundingan tersebut (ketika isu ini timbul dua tahun lalu) dan pandangan mutakhir beliau setelah dua tahun perkara ini berlanjutan.

Saya ada pilihan untuk tidak mengulas lanjut kenyataan tersebut, namun saya khuatir ia disalah erti sehingga menyebabkan Dato’ Seri Anwar menjadi sasaran cemuhan rakyat apabila kenyataan itu ditafsirkan secara sekerat-sekerat sehingga ia keluar dari konteks sebenar.

Sejak semalam, saya lihat ada pihak yang mendakwa kenyataan Dato’ Seri Anwar itu menjadi bukti bahawa strategi berunding dengan PAS hingga ke saat akhir itu datangnya dari Dato’ Seri Anwar sendiri. Ramai penyokong KEADILAN dan Pakatan Harapan serta rakyat terbanyaknya yang kecewa, tidak kurang juga yang menyerang Dato’ Seri Anwar.

Dengan keterbatasan yang beliau ada kerana terpenjara, pandangan Dato’ Seri Anwar selama ini pun (dalam sesuatu perkara) memang berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan. Beliau menyenaraikan sempadan-sempadan (“parameters”) supaya keputusan yang dibuat mengambil kira perkara-perkara penting yang ditetapkan oleh sempadan-sempadan itu.

Namun akhirnya, keputusan diserahkan untuk dibincangkan dan dimuktamadkan oleh pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan kerana beliau ada keterbatasan dari segi maklumat terkini yang diperolehi. Dalam isu rundingan kerusi dengan PAS ini, keterbatasan maklumat itu lebih meruncing kerana satu-satunya saluran maklumat beliau yang paling kerap ialah melalui peguam-peguam Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang ketiga-tiganya adalah pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru.

Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Dato’ Seri Anwar semalam kerana ia mengulangi perkara-perkara prinsip yang telah beliau tegaskan sejak dua tahun lalu apabila isu-isu ini mula-mula timbul.

Perkara-perkara prinsip yang dirujuk oleh Dato’ Seri Anwar dalam kenyataan beliau adalah:

1. Segala bentuk kerjasama dengan PAS, kalau pun berlaku, mestilah dalam bentuk kerangka komitmen KEADILAN dengan Pakatan Harapan (dan bukannya atas dasar KEADILAN bersendiri dengan PAS)

2. Segala bentuk kerjasama dengan PAS, kalau pun berlaku, mestilah dalam konteks strategi pilihanraya nasional (yang merangkumi semua parti di dalam Pakatan Harapan dan semua kerusi di seluruh negara) dan bukannya terbatas kepada Selangor semata-mata

3. Pendekatan KEADILAN untuk tidak memusuhi PAS bagi tujuan berunding adalah bersyarat kepada kesediaan PAS untuk saling berunding; dan (penilaian sama ada PAS masih bersedia untuk berunding itu) tertakluk kepada penilaian pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa

4. Kebimbangan mengenai sikap PAS terhadap Umno dan kemungkinan kerjasama di antara dua parti itu adalah satu pertimbangan penting; dan Dato’ Seri Anwar berpegang kepada penafian Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini

5. Tempoh masa rundingan yang lama yang tidak membuahkan hasil membawa risiko besar kepada persediaan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14)

Kesemua perkara di atas adalah panduan-panduan yang telah digariskan oleh Dato’ Seri Anwar sejak dua tahun lalu. Oleh sebab itulah, KEADILAN mengambil pendekatan untuk membidani penubuhan Pakatan Harapan dan pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan dengan PAS selepas itu.

Seruan saya supaya keputusan mengenai rundingan dengan PAS dimuktamadkan segera oleh pimpinan (dan jika tidak, wajar diserahkan kepada pimpinan akar umbi untuk diputuskan melalui Kongres Khas mengikut peruntukan Perlembagaan parti) sebenarnya mengambil kira banyak perkembangan terkini yang telah menyentuh garis-garis sempadan yang ditentukan oleh Dato’ Seri Anwar sejak dua tahun lalu.

Saya senaraikan perkembangan-perkembangan terkini yang sewajarnya membolehkan KEADILAN membuat keputusan segera dengan berpandukan garis prinsip yang ditetapkan Dato’ Seri Anwar:

i. Segala bentuk kerjasama dengan PAS mestilah dalam kerangka komitmen KEADILAN dalam Pakatan Harapan – Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan muktamad menolak sebarang bentuk rundingan kerusi dengan PAS pada saat ini memandangkan ia akan melengah-lengahkan persediaan di peringkat Pakatan Harapan jika pembahagian kerusi tidak dapat dimuktamadkan. Sebagai parti yang membidani kelahiran Pakatan Harapan, KEADILAN wajar menghormati keputusan yang dibuat Pakatan Harapan;

ii. Segala kerjasama dengan PAS mestilah melibatkan seluruh negara dan bukannya terbatas kepada Selangor sahaja – kenyataan pimpinan PAS secara berterusan mengesahkan parti itu akan bertanding di kesemua kerusinya semasa di bersama Pakatan Rakyat di seluruh negara. Kenyataan terkini Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man juga menegaskan rundingan hanya boleh berlaku jika kerusi-kerusi PAS tidak disentuh diseluruh negara. Ini menyebabkan mustahil boleh berlaku sebarang kerjasama kerana tidak ada ruang langsung untuk AMANAH dan PPBM bertanding, sedangkan dua parti rakan Pakatan Harapan ini wajar diberi ruang sebaiknya untuk sama-sama membantu menjana kemenangan. Dalam keadaan ini, adalah mustahil satu formula dapat dicapai yang memuaskan hati semua pihak di peringkat Selangor dan seluruh negara;

iii. Rundingan dengan PAS adalah bersyarat kepada kesediaan PAS untuk saling berunding dan tertakluk kepada penilaian pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa – Sehingga hari ini, PAS terus berpendirian untuk tidak berunding dengan KEADILAN atau Pakatan Harapan. Malah, PAS Selangor yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor telah mengisytiharkan untuk bertanding di 42 kerusi DUN Selangor, termasuk Parlimen Gombak yang diwakili Dato’ Seri Azmin Ali sendiri. Pendirian PAS untuk tidak berunding ini bukan sahaja disampaikan kepada KEADILAN tetapi juga telah disampaikan kepada pimpinan PPBM terlebih dahulu. Maka tidak hairanlah Majlis Presiden membuat penilaian bahawa PAS tidak lagi bersedia untuk berunding dan wajarlah rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan tidak lagi dilengah-lengahkan dengan cubaan memujuk PAS;

iv. Kebimbangan rakyat mengenai sikap PAS terhadap Umno – Saya tidak pasti bila kali terakhir ada perhubungan terus di antara Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Tuan Ibrahim memandangkan keterbatasan ruang yang wujud di antara mereka. Masalahnya, keputusan pimpinan PAS ditentukan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan bukannya Dato’ Tuan Ibrahim. Sehingga kini, Dato’ Seri Abdul Hadi belum menafikan beliau ada berbincang secara berterusan dengan Dato’ Seri Najib mengenai kemungkinan mewujudkan kerjasama PAS-Umno untuk merampas Selangor dalam PRU14 seperti laporan media baru-baru ini. Malah, kalau pun Dato’ Tuan Ibrahim mampu mempengaruhi keputusan JK PAS Pusat, kenyataan beliau baru-baru ini yang “berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB” selepas mengadakan pertemuan dengan CEO 1MDB (Arul Kanda Abdullah) tidak membantu meredakan kebimbangan rakyat mengenai sikap PAS terhadap Umno;

v. Tempoh masa rundingan yang lama – sehingga kini, tidak ada sebarang kemajuan dalam rundingan di antara KEADILAN dan PAS. Wakil KEADILAN yang diberi tanggungjawab berunding dengan PAS iaitu Dr Shaharuddin Badaruddin (Naib Presiden dilantik) sehingga sekarang tidak ada laporan yang kukuh dan masih lagi di perbincangan awal, sedangkan PRU14 semakin dekat.

Justeru, saya mengalu-alukan saranan Dato’ Seri Anwar supaya “segala keputusan perlu dimuktamadkan segera” memandangkan PRU14 yang terlalu dekat.

Beliau memohon supaya Presiden dan pimpinan KEADILAN diberikan ruang untuk memberi arah yang seterusnya (maksudnya membuat keputusan segera) selaras dengan pendirian KEADILAN dan muafakat Pakatan Harapan.

Pendirian KEADILAN telah lama dipersetujui seperti yang digariskan oleh prinsip-prinsip di atas dan diulangi sekali lagi oleh Dato’ Seri Anwar dalam kenyataannya semalam. Muafakat Pakatan Harapan juga telah memutuskan tidak ada lagi sebarang rundingan dengan PAS untuk membolehkan Pakatan Harapan menumpukan perhatian kepada persediaan PRU14 pada kadar segera.

Sebab itu bagi saya, isu ini tidak lagi berbangkit dan kenyataan Dato’ Seri Anwar semalam tidak boleh disalah ertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan demi memujuk PAS sehingga ke saat akhir penamaan calon.

Jika garis-garis panduan yang jelas yang diberikan oleh Dato’ Seri Anwar (besertakan keputusan di peringkat Pakatan Harapan dan penolakan PAS) masih belum membolehkan satu keputusan muktamad mengenai perkara ini di peringkat pimpinan KEADILAN, maka ahli akar umbi berhak untuk menggunakan peruntukan Perlembagaan untuk memanggil Kongres Khas dan memuktamadkan keputusan tersebut bagi pihak parti.

Saya bersetuju dengan Dato’ Seri Anwar bahawa sewajarnya ia tidak perlu sampai ke situ kerana keputusannya sudah “terang lagi bersuluh”. Keutamaan kita sekarang adalah mempamerkan kejujuran dan keikhlasan dalam membela rakyat terbanyak yang saya pasti akan turut memikat hati ahli-ahli PAS biasa yang rata-ratanya mahu menukar kerajaan Umno/BN seperti mana juga kami di Pakatan Harapan.

Membawa isu rakyat adalah strategi yang lebih baik untuk memenangi undi penyokong PAS, bukannya rundingan dengan pimpinan yang secara jelas telah menemui jalan buntu.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Tiada Amaran Atau Tindakan Dari Biro Politik, Tumpu Kepada Persediaan Pilihanraya

Saya dihubungi berkali-kali oleh rakan-rakan media pada Hari Raya Aidiladha mengenai satu laporan yang disiarkan Sinchew Daily kononnya saya diberi amaran keras oleh Biro Politik kerana memburukkan nama baik parti dan akan dipecat dari KEADILAN jika terus bersuara. Berita itu ditulis berdasarkan satu sumber dari Biro Politik yang tidak dinamakan.

Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keputusan Biro Politik yang begitu. Saya tidak diberi sebarang amaran oleh sesiapa dan tiada sebarang keputusan mengenai tindakan tatatertib dibuat oleh Biro Politik. Sudah tentu berita yang saya boleh dipecat juga direka-reka.

Semua ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail.

Saya tidak terkejut dengan perkara ini kerana ia pernah berlaku beberapa kali sebelum ini setiap kali ada perbezaan pendapat yang ketara di dalam kepimpinan. Ada beberapa orang pimpinan KEADILAN yang gemar memberikan gambaran yang salah kepada pihak media dengan berselindung di sebalik nama “sumber dalaman parti” untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai pandangan umum, walaupun itu bertentangan dengan perbincangan atau keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Ini pernah berlaku semasa pelantikan Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, apabila berita-berita yang tidak sahih terus dibekalkan kepada pengamal media yang jelas memusuhi KEADILAN seperti Jocelyn Tan dari The Star. Walaupun mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat dengan secara jelas memutuskan hanya satu calon untuk jawatan Menteri Besar iaitu Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ada sahaja berita-berita dari sumber tidak rasmi kononnya ada keputusan yang berbeza.

Perkara yang sama berlaku menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak. Sedang Biro Politik berkali-kali memutuskan untuk mempertahankan perjanjian pembahagian kerusi yang telah dipersetujui di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan, ada segelintir ahli Biro Politik yang menghantar mesej yang berlainan kepada pimpinan KEADILAN di Sarawak, yang akhirnya sampai kembali kepada saya sebagai Setiausaha Agung apabila mereka (pimpinan akar umbi) mahu mengesahkan berita itu.

Selagi 2-3 orang ahli Biro Politik ini tidak berdisiplin dan memberikan maklumat yang salah kepada pihak media dan anggota parti, keadaan akan terus bercelaru.

Oleh sebab itulah saya mengambil keputusan (sejurus selepas Pilihanraya Negeri Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar) bahawa masa dan tenaga saya lebih dimanfaatkan bergelumang dengan kempen KEADILAN dan Pakatan Harapan di kerusi-kerusi marginal berbanding cuba membetulkan maklumat yang salah yang disebarkan secara berterusan oleh 2-3 orang ahli Biro Politik ini.

Sebelum ini, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri agar perkara ini tidak sampai ke pihak media tatkala pimpinan-pimpinan yang sama sedang mengusahakan perbincangan dengan PAS. Untuk tidak terus bertembung akibat maklumat yang salah disebarkan, saya mengambil keputusan lebih baik tidak turut serta di dalam mesyuarat Biro Politik untuk mengurangkan kebarangkalian saya terpaksa membetulkan versi keputusan Biro Politik yang kerapnya diberikan tafsiran berbeza.

Kini, kita sudah terlalu dekat dengan Pilihanraya Umum ke-14 dan sewajarnya kita memberi fokus kepada persediaan PRU14 (bukannya berita-berita dalaman sebegini).

Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Seri Azmin Ali untuk patuh kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan dan saya yakin sebagai Pengarah Pilihanraya PH, beliau ada ruang besar untuk menyumbang memperkasakan persediaan PH menghadapi BN, walaupun jika berlaku pertembungan 3 penjuru.

Saya juga menyeru keseluruhan pimpinan KEADILAN dari yang tertinggi di Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat, sehinggalah kepada pimpinan akar umbi untuk memberi tumpuan kepada persediaan PRU14 dan tidak melayan berita politik yang tidak membantu mengalahkan Umno/BN.

Saya akan terus turun ke kerusi-kerusi marginal di seluruh negara. Dalam bulan Julai dan Ogos, saya telah berkempen sebanyak 61 kali (ceramah dan acara kempen lain) di 46 kerusi marginal di peringkat Parlimen dan DUN di seluruh negara iaitu sekitar 7 atau 8 kerusi DUN/Parlimen setiap minggu tanpa henti. Jumlah tontonan terkumpul kesemua ceramah-ceramah ini di Facebook dan Youtube telah mencecah 1.1 juta tontonan sepanjang dua bulan ini.

Saya yakin tanggungjawab berjumpa pengundi di bawah dan menyampaikan maklumat sebegini adalah lebih penting dari melayan berita-berita tidak sah yang direka oleh sumber-sumber yang tidak berani menerbitkan nama mereka sendiri.

Maka, saya beranggapan perbezaan pendapat mengenai rundingan kerusi dengan PAS telah tamat dengan keputusan Majlis Presiden PH yang dipersetujui oleh Biro Politik KEADILAN dan dihormati oleh Dato’ Seri Azmin Ali sendiri dalam kenyataannya dua hari lalu kepada pihak media.

Oleh itu, ini masa untuk menjaga kawasan masing-masing dan menumpukan perhatian kepada kempen akar umbi untuk menghadapi PRU14 yang boleh dipanggil bila-bila masa dari sekarang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Anggota KEADILAN Harus Pilih Melalui Kongres Khas

Persoalan mengenai bentuk kerjasama di antara KEADILAN dengan PAS berpanjangan kerana ia satu keputusan yang memberi kesan kepada semua, bukannya KEADILAN semata-mata.

Keputusan sama ada KEADILAN menumpukan kepada persediaan pilihanraya bersama Pakatan Harapan sepenuhnya (termasuk bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS) atau “berada di dalam dua kolam” (bersama Pakatan Harapan tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru) adalah keputusan yang perlu mengimbangi perkara-perkara berikut:

1. Soal prinsip – adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi KEADILAN di seluruh negara mengatasi perkara-perkara prinsip yang selama ini menjadi roh perjuangan KEADILAN?

2. Soal realiti semasa – apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan tiga penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno seperti yang dihujahkan beberapa pihak?

3. Soal tanggungjawab moral – bahawa KEADILAN mempunyai tanggungjawab moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak demi membela rakyat. Keutamaan membela rakyat adalah nadi yang menghidupkan parti ini sejak hari pertama saya mengenalinya

Sudah tentu ketiga-tiga perkara di atas adalah pertimbangan berat dan saling berhubung kait. Ia disukarkan lagi kerana penilaian kepada ketiga-tiga perkara itu banyak bergantung kepada persoalan tahap sokongan pengundi semasa yang tidak dapat dipastikan dengan mudah. Satu-satunya cara yang paling objektif untuk menentukan tahap sokongan pengundi semasa ialah dengan bersandarkan kepada laporan-laporan kajiselidik tahap sokongan pengundi. Masalahnya badan kajiselidik yang berlainan memberi gambaran dan laporan yang sangat berbeza.

Perbezaan pendapat yang berpanjangan

Sebab itu, kepimpinan kanan KEADILAN baik di Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak sebelum pun Pakatan Harapan ditubuhkan. Malah semasa Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan telah mengumpul satu petisyen untuk memecat saya dari jawatan Setiausaha Agung pada ketika itu.

Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara dua pemikiran berbeza di dalam KEADILAN.

Di satu pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik KEADILAN mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan KEADILAN sebagai tonggak kerajaan Selangor. Hasil dari pendapat ini adalah mudah: KEADILAN tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor. Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihanraya.

Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan di dalam KEADILAN dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti Latheefa Koya, N Surendran dan Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang mengkritik PAS sebelum itu.

Di satu pihak lagi merasakan KEADILAN mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan satu gabungan pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Relevannya KEADILAN di dalam politik tanahair adalah kerana KEADILAN adalah orang tengah yang menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.

Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting dari pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata. Kemenangan yang menampakkan KEADILAN sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan KEADILAN dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau parti-parti lain.

Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan KEADILAN yang berpendapat begini adalah saya, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Dato’ Johari Abdul (Ketua Whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ketua AMK), Datin Paduka Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan) dan William Leong sendiri.

Parti terbahagi dua

Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara dua pihak seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.

Maka, tugas Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya faham beliau terpaksa mengemudi KEADILAN tanpa dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan buruknya. Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi kepada beliau kerana memimpin KEADILAN membidani lahirnya Pakatan Harapan dicelah-celah kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk dari aktivis-aktivis civil society.

Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya KEADILAN membina Pakatan Harapan dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan perselisihan PAS dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan dapat diredakan. Matlamat utama ialah untuk membina satu barisan pembangkang yang kuat untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan mendapat persetujuan satu lawan satu di antara parti-parti pembangkang utama negara (termasuk PAS, sama ada ia berada di dalam Pakatan Harapan atau tidak).

Walau bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada AMANAH dan PPBM, sudah tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus mendampingi PAS itu wajar.

Kajiselidik yang semakin merumitkan

Pertembungan di antara dua pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip) dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kajiselidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi, laporan-laporan kajiselidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.

Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan-dapatan dari Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan yang menurut mereka menunjukkan (dari kajiselidik kedua-dua badan ini) bahawa PAS adalah parti Melayu yang paling kuat. Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan tiga penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar.

Malah, perkembangan terakhir yang mendorong kepada keputusan untuk terus berunding dengan PAS walaupun Pakatan Harapan telah jauh berlari ke depan adalah bersandarkan pembentangan terkini Profesor Dato’ Dr Redzuan Othman (dari Institut Darul Ehsan) dan Profesor Mohd Noor Nawawi (dari Unisel).

Mereka memberi pendapat, berdasarkan kajian mereka, bahawa pengundi bukan Melayu sangat membenci Umno sehinggakan mereka akan tetap mengundi KEADILAN /Pakatan Harapan walaupun KEADILAN dilihat terus berunding dan menjalin kerjasama dengan PAS. Oleh itu, demi mencapai pertandingan satu lawan satu, rundingan mesti diteruskan kerana ia tidak ada kesan besar kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada KEADILAN.

Saya tidak pernah melihat data yang terperinci dari Merdeka Centre atau Institut Darul Ehsan. Kaedah dan jenis sampel kajiselidik yang mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dikendalikan oleh Pusat Kajiselidik INVOKE yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat terkini.

Sudah tentu dapatan kajiselidik INVOKE sangat berbeza malah bertentangan dengan dapatan Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan itu. Seawal Januari 2017, dalam kajiselidik yang terbesar pernah dibuat di negara ini mengenai kecenderongan mengundi, kami dapati undi Umno sudah pun jatuh ke tahap 40%. Itu memungkinkan senario pertandingan 3 penjuru yang berpihak kepada Pakatan Harapan jika undi bukan Melayu kekal tinggi dan Pakatan Harapan berjaya mendapatkan 30% sokongan Melayu. Setakat kajiselidik terkini iaitu Julai 2017, kajiselidik INVOKE menyimpulkan undi Melayu Pakatan Harapan adalah hampir sama dengan undi Melayu Umno iaitu sekitar 30+ %.

Pertembungan dua set data berbeza yang masing-masing menyokong pendapat satu pihak juga disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang mengeluarkan dapatan tersebut.

INVOKE ditubuhkan oleh saya, maka dapatannya dituduh berat sebelah hanya untuk menyokong pandangan saya dan rakan-rakan. Kaedah dan sistem yang digunakan oleh INVOKE menepati piawaian antarabangsa dan saya pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada manipulasi, ia boleh dibuktikan segera.

Institut Darul Ehsan adalah milik Kerajaan Selangor dan bergantung belanjawannya kepada ehsan Menteri Besar Selangor. Malah, kajiselidik IDE hanyalah melibatkan pengundi di Selangor (bukannya di seluruh Malaysia) dan sehingga kini, saya masih belum diyakinkan sama ada sampel yang dipilih adalah benar-benar rawak seperti kehendak sebuah kajiselidik.

Bagi Merdeka Centre pula, saya tidak pernah melihat laporan kecenderongan pengundi seluruh negara yang terkini. Merdeka Centre juga tidak pernah menyiarkan berapa orang yang ditelefon, berapa kadar jawab (response rate), bagaimana sampel itu dipilih untuk memastikan ia benar-benar rawak dan pelbagai soalan lain. Saya juga tahu pengurusan Merdeka Centre juga diberi tanggungjawab menguruskan satu projek bernama #teamSelangor di bawah Kerajaan Selangor yang dimaklumkan melibatkan peruntukan RM13 juta.

Bagi saya pula, sementara saya menerima pelbagai input dari IDE dan Merdeka Centre, kajiselidik-kajiselidik mereka yang dikemukakan untuk menyokong pendapat kumpulan yang mahu terus berunding dengan PAS ini tidaklah menggambarkan keadaan sebenar dan tidaklah sebebas yang didakwa kerana keterlibatan mereka secara rapat dengan pentadbiran Dato’ Seri Azmin Ali.

Oleh sebab ini jugalah (dan peranan maklumat yang berbeza-beza dari kajiselidik-kajiselidik seperti yang saya sebut di atas), perbezaan pendapat kami di peringkat pimpinan berpanjangan sejak 2015 dan menjadi lebih kuat dengan dapatan terkini yang dibentangkan oleh Profesor Dato’ Dr Redzuan Othman (dari Institut Darul Ehsan) dan Profesor Mohd Noor Nawawi (dari Unisel) mengenai sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan kerjasama KEADILAN -PAS.

Usaha yang mustahil membuahkan hasil

Mengambil kira perkara-perkara ini, saya bimbang bahawa perkara ini akan terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14 kerana ia mengheret sama Pakatan Harapan dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara KEADILAN -PAS yang tidak melibatkan Pakatan Harapan adalah satu usaha yang mustahil membuahkan hasil.

Saya menyebut begitu kerana KEADILAN tidak boleh merundingkan bagi pihak AMANAH dan PPBM dalam keadaan sebahagian besar tuntutan PAS itu melibatkan AMANAH, PPBM (dan juga DAP). PAS berkehendakkan supaya kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna AMANAH dan PPBM tidak ada kerusi untuk bertanding. Saya tidak yakin KEADILAN dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada AMANAH dan PPBM semata-mata untuk memenuhi tuntutan PAS.

Contohnya, satu konfigurasi kerusi di Selangor yang disebut-sebut di bawah cadangan “satu lawan satu” yang diusahakan diantara KEADILAN dan PAS ini ialah KEADILAN bertanding 15 kerusi, DAP bertanding 15 kerusi, PAS bertanding 14 kerusi, PPBM bertanding 10 kerusi dan AMANAH bertanding 2 kerusi. Saya tahu perkara itu mustahil dicapai kerana Dato’ Seri Azmin tidak akan dapat meyakinkan DAP untuk menerima PAS di dalam kerajaan Selangor selepas ini dan beliau tidak akan dapat meyakinkan AMANAH untuk bertanding hanya 2 kerusi.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran

Oleh itu, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa kerana KEADILAN tidak ada kuasa dan mandat untuk memaksakan persetujuannya ke atas Pakatan Harapan, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan yang sedang berjalan.

Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak pelawaan kumpulan dari KEADILAN yang mahu berkawan tetapi menghina KEADILAN dari semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah PAS dan menyakitkan hati rakan dari Pakatan Harapan hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon KEADILAN termasuklah dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu.

Ini kerana dalam proses cuba memujuk PAS itu, KEADILAN akan dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri. Apabila rundingan itu gagal akhirnya (kerana ia mustahil dicapai seperti disebut di atas), KEADILAN bukan sahaja tidak mendapat undi dari penyokong PAS, malah hilang undi bukan Melayu dan pengundi tegar Pakatan Harapan yang marah dengan tindakan membelakangkan Pakatan Harapan itu.

Selesai melalui kaedah demokrasi di Kongres Khas

Itulah latar belakang kenapa tidak ada titik pertemuan atau kompromi di kalangan pimpinan KEADILAN di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat mengenai isu ini. Perbezaan pendapat ini telah berlanjutan terlalu lama dan kita tidak lagi boleh mengheret anggota biasa KEADILAN dan rakyat keseluruhannya ke dalam kancah ini.

Perbezaan pendapat ini juga telah membahagikan parti ini kepada dua kumpulan sejak kebelakangan ini sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk meneka pandangan setiap pemimpin pusat. Oleh kerana ada di kalangan pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat Pakatan Harapan, perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.

Di satu pihak, yang bersetuju dengan Dato’ Seri Azmin untuk terus berunding dengan PAS termasuklah Naib-naib presiden Sdr Tian Chua, Sdr Shamdul Iskandar dan naib presiden dilantik iaitu Sdr Xavier Jeyakumar dan Sdr Dr Shaharuddin (yang menjadi wakil rundingan KEADILAN dan PAS). Pimpinan lain yang dikenali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Sdri Zuraida Kamaruddin (Ketua Wanita), ahli-ahli Biro Politik iaitu Sdr Sivarasa Rasiah, Dato’ Saifuddin Abdullah (yang juga KSU Pakatan Harapan), Dato’ Kamaruddin Jaafar, Sdr Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi) dan Sdr Surendren. Ahli MPP pula termasuklah Sdri Elizabeth Wong, Sdr Hee Loy Sian, Sdri Siti Aaishah Sheikh Ismail, Dr Mohamad Nur Manuty, Sdri Latheefa Koya, Sdr Afif Baharuddin dan Sdri Haniza Talha.

Di satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada Pakatan Harapan, selain saya sendiri, termasuklah Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Sdr Nik Nazmi (Ketua AMK), Datin Paduka Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Sdr Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan), Dato’ Johari Abdul (Ketua Whip), Sdr Sim Tze Tzin (Pengarah Strategi), Sdr Fariz Musa (Ketua Setiausaha Pengelola), Sdr William Leong, Jeneral (B) Dato’ Hadi (Pengerusi Lembaga Disiplin) dan Sdri Christina Liew (Pengerusi Sabah) di peringkat Biro Politik. Pimpinan lain yang berpendapat begini di peringkat MPP antaranya ialah Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid, Sdr Wong Chen, Sdri Rodziah Ismail, Sdri Fuziah Salleh, Sdr Manivanan, Sdr Gooi Hsiao Loong, Sdr Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Sdr Hassan Karim dan Sdr Aminuddin Haron.

Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat Biro Politik ke MPP hinggalah ke peringkat akar umbi.

Oleh yang demikian, sampai masanya ia diputuskan secara keseluruhan mengikut Perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik iaitu demokrasi.

Saya mengesyorkan supaya satu Kongres Khas kebangsaan dipanggil dengan segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan cabang-cabang KEADILAN dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Parti. Setelah undian dibuat dan kedua-dua pihak ada peluang yang adil untuk membentangkan hujah masing-masing, saya yakin apa pun keputusannya keseluruhan anggota KEADILAN dari atas hingga bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan dari keputusan itu tanpa boleh menuding jari kepada satu pihak lagi.

Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah Kongres Khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan-rakan Pakatan Haarapan dan diri kita sendiri.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN