Ketua-Ketua Bahagian UMNO Dan Parti Dari Barisan Nasional Yang Menerima Wang Dari Dato’ Seri Najib Perlu Pulangkan Kembali Wang Kerana Itu Duit Rakyat

 

Laporan Malaysiakini semalam memetik bahawa Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali enggan mengulas apabila ditanya sama ada dokumen-dokumen yang saya dedahkan (berasal dari satu laman yang disekat di Malaysia iaitu SPRMInsider) adalah benar.

Apabila beliau enggan menjawab dan menukar topik kepada isu lain setelah ditanya mengenai dokumen itu, secara tidak langsung beliau mengesahkan kesahihan dokumen-dokumen itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa tidak pernah berlengah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap saya walaupun isu yang saya bawa itu adalah berkenaan kepentingan awam.

Minggu ini, saya menghabiskan masa selama seminggu secara berterusan untuk 2 kes berbeza yang dibawa Peguam Negara:

1) dakwaan di bawah BAFIA berkenaan pendedahan saya mengenai skandal NFC melibatkan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil

2) dakwaan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kononnya menyebarkan berita buruk mengenai Tabung Haji atas pendedahan saya bahawa rizab Tabung Haji telah menjadi negatif seperti yang terkandung di dalam surat mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz

Oleh itu, jika ada sedikit pun yang tidak benar mengenai dokumen SPRMInsider dan pendedahan-pendedahan yang saya telah buat setakat ini, saya yakin saya telah pun ditangkap dan didakwa.

Bukan itu sahaja, tidak ada seorang pun yang saya telah dedahkan menerima wang dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak yang telah membuat laporan polis atau menyaman saya atau menafikan dengan bukti.

Individu-individu paling penting (seperti berikut) pun tidak menafikan pendedahan saya:

1) Dato’ Seri Najib tidak menafikan membelanjakan RM3.2 juta di kedai barang kemas mewah yang bernama De Grisogono di Itali dalam satu hari yang dibayar dengan wang yang berasal dari SRC

2) Dato’ Amhari Nazaruddin, pegawai khas Dato’ Seri Najib tidak menafikan syarikatnya Orb Solutions Sdn Bhd menerima RM2 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib dari wang yang berasal dari SRC

3) Bank Negara Malaysia tidak menafikan bagaimana seorang yang bernama Ariffin Salleh telah menunaikan cek tunai bernilai RM43 juta dalam masa 3 minggu dalam Januari 2015 yang sudah tentu dikesan oleh Bank Negara; wang itu berasal dari SRC dan disyaki dari suntikan dana dari Tabung Haji

4) Tabung Haji sehingga kini tidak mengeluarkan satu pun kenyataan menafikan penglibatannya dalam keseluruhan pindahan wang keluar masuk ke akaun SRC melalui suntikan dana RM193.5 juta ke dalam Putra Perdana Berhad, yang mana anak-anak syarikatnya digunakan untuk “melapiskan” pindahan wang SRC ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib

Apabila tidak ada seorang pun yang saya telah namakan secara terbuka menafikan atau membuat laporan polis, saya semakin yakin bahawa kesemua pendedahan itu dari dokumen SPRMInsider adalah benar.

Apatah lagi apabila Peguam Negara sendiri enggan menafikan kesahihan dokumen itu dan menukar tajuk perbualan apabila ditanya.

Maka, pada hari ini saya ingin meneruskan pendedahan mengenai individu dan pihak lain yang menerima wang secara terus dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib seperti yang didedahkan melalui dokumen-dokumen tersebut.

Rujuk paparan skrin yang ditunjukkan, iaitu senarai penerima-penerima dari kalangan pimpinan Umno dan Barisan Nasional.

Berdasarkan dokumen itu, ada 8 urusniaga yang boleh dikenalpasti terus bahawa penerimanya adalah bahagian-bahagian Umno sendiri, atau parti Barisan Nasional atau pun individu yang merupakan pemegang jawatan di dalam Umno.

Saya senaraikan penerima-penerima wang SRC (yang bermula dari wang pencen rakyat) seperti yang terkandung di dalam dokumen SPRMInsider yang berkait dengan Umno:

i. Pada 22 Julai 2014, Barisan Nasional Bandar Tun Razak dilaporkan menerima RM170,000 dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

ii. Pada 22 Julai 2014, UMNO (saya andaikan ini ibupejabat UMNO) dilaporkan menerima RM1.5 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

iii. Pada 24 Julai 2014, UMNO Pulau Pinang dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

iv. Pada 26 Ogos 2014, UMNO (saya andaikan ini ibupejabat UMNO) dilaporkan menerima RM5 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

Wang ini datangnya dari SRC yang dipindahkan ke dalam beberapa syarikat sebelum sampai ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib.

Dalam bulan Februari 2015, ada beberapa bayaran lagi kepada parti Barisan Nasional atau tokoh-tokoh/bahagian Umno seperti berikut:

i. Pada 17 Februari 2015, parti UPKO dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib. Nama naib presiden UPKO, YB Datuk Dr Marcus Mojigoh disenaraikan sebagai individu yang bertanggungjawab

ii. Pada 17 Februari 2015, seorang bernama Asmadi Talib dilaporkan menerima RM50,000 dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib. Semakan mendapati Ketua Umno Padang Serai, Kedah adalah seorang yang bernama Asmadi Talib

iii. Pada 26 Februari 2015, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib

iv. Pada 3 Mac 2015, Umno Bahagian Johor Bahru dilaporkan menerima RM300,000 dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib

Pembayaran di dalam Februari 2015 adalah lebih sensitif kerana dalam bulan Disember 2014, anak-anak syarikat Putra Perdana Berhad telah memasukkan wang sejumlah RM140 juta ke dalam akaun SRC bagi menggantikan wang yang telah diambil beberapa bulan sebelum itu. Dalam bulan Disember 2014 juga, Tabung Haji telah menyuntik sebanyak RM193.5 juta wang ke dalam kumpulan Putra Perdana Berhad.

Ini menimbulkan tanda tanya besar sama ada wang yang dipindahkan dari SRC ke akaun Dato’ Seri Najib selepas Disember 2014 adalah dana dari Tabung Haji, yang kemudiannya dilaporkan digunakan untuk membayar parti Barisan Nasional seperti UPKO dan tokoh-tokoh/bahagian Umno yang lain.

Jumlah yang dipindahkan dari akaun Dato’ Seri Najib kepada tokoh-tokoh Umno, Umno sendiri dan parti-parti Barisan Nasional adalah RM10,020,000 seperti senarai di atas.

Saya dengan ini mendesak supaya semua yang dinamakan di atas memberi maklumbalas mengenai dokumen ini dan membersihkan nama mereka.

Saya juga menggesa supaya mereka memulangkan kembali wang ini kepada SRC, terutamanya UPKO yang berisiko tinggi berkemungkinan besar menerima wang Tabung Haji untuk perbelanjaannya; jika mereka tidak dapat membuktikan mereka tidak menerima wang ini seperti yang didedahkan dokumen.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

One thought on “Ketua-Ketua Bahagian UMNO Dan Parti Dari Barisan Nasional Yang Menerima Wang Dari Dato’ Seri Najib Perlu Pulangkan Kembali Wang Kerana Itu Duit Rakyat”

  1. Hat’s off to you RR. Keep up with yr gd work & expose them at will. Teach them to respect wht’s don’t belong to you & return the money where it shd be.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.