Laporan Polis Terhadap Ketua Pemuda PAS Sik, Rang Undang-Undang Cegah Kebencian

Saya mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memulakan siasatan terhadap Ketua Pemuda PAS Sik, Shahiful Nasir yang dalam ceramahnya menyatakan mereka yang mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan masuk neraka.

Saya mengambil maklum laporan-laporan media yang memetik kenyataan Pengarah Operasi PRU15 Bukit Aman Hazani Ghazali mengenai perkara ini.

Pun begitu, saya akan meneruskan tindakan membuat laporan polis terhadap Shahiful Nasir dan PAS atas kenyataan itu dan kenyataan-kenyataan lain yang sering diucapkan di dalam program dan ceramah-ceramah mereka yang bertujuan (sama ada) menimbulkan kebencian terhadap kepelbagaian kaum di negara ini, kaum-kaum lain, agama-agama lain atau pun yang menakutkan penganut Islam untuk mengundi kaum lain dengan ugutan agama.

Tema dan kandungan kempen PAS selama ini sering berkisar kepada mesej-mesej berikut:

  • Bahawa agama Islam di negara ini sedang diancam kecualilah pengundi Melayu memilih mereka dalam pilihanraya kerana parti-parti lain seperti PH dan BN tidak cukup pegangan Islam seperti mereka di dalam PAS
  • Bahawa jika parti-parti lain seperti PH menang dalam pilihanraya, amalan umat Islam seperti azan akan dihapuskan
  • Bahawa pengundi Islam yang mengundi parti-parti lain seperti PH dan BN akan masuk neraka

Tema dan pendekatan kempen yang bermain sentimen perkauman dan keagamaan ini berbahaya kerana ia mempertaruhkan keamanan dan keharmonian pelbagai bangsa yang menjadi asas negara ini.

Sementara kempen yang menunggang Islam seperti ini memudahkan kerja PAS dan Perikatan Nasional kerana mereka tidak perlu bersusah payah meyakinkan rakyat mengenai kebolehan mereka mentadbir, kempen sebegini memberi ruang kepada pandangan pelampau menjadi arus perdana.

Setiap kali kandungan kempen yang berbahaya sebegini muncul dan mengundang kemarahan orang ramai, pimpinan PAS mencuci tangan sedangkan kempen-kempen sebegini dijalankan di atas pentas mereka, atas jemputan mereka dan dari mulut aktivis atau pimpinan mereka sendiri.

Apabila pelakon Zul Huzaimy dipetik mengugut untuk “menyembelih kafir harbi” dalam satu program anjuran PAS (dan dirasmikan pimpinan kanan PAS Terengganu) di Chukai, dengan mudah Naib Presiden PAS, Sanusi Md Nor mencuci tangan kononnya ucapan itu bukan dari pimpinan PAS.

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia pelbagai bangsa memandang serius kandungan dan tema kempen PAS/Perikatan Nasional yang terlalu kuat membina kebencian kepada orang bukan Islam demi untuk mendapatkan undi.

Jika KEADILAN dan PH menang dalam PRU15, antara tumpuan utama ialah untuk menggubal, melaksana dan menguatkuasakan satu undang-undang cegah kebencian (anti hatred legislation) atas dasar kaum, agama, jantina dan apa-apa perkumpulan lain.

Mana-mana pihak yang menyerang dan bermain sentimen agama, perkauman dan jantina sewajarnya diambil tindakan keras kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam. Dengan adanya undang-undang ini, saya berharap kita dapat meredakan politik kebencian yang dimainkan oleh PAS/Perikatan Nasional dan menumpukan perhatian kepada usaha membina ekonomi negara dan menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi rakyat Malaysia yang bencikan politik kebencian seperti ini, saya jemput hadir bersama saya esok (Selasa, 15 November 2022) jam 10 pagi di perkarangan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sebagai tanda sokongan apabila saya membuat satu laporan polis terhadap Shahiful Nasir, Zul Huzaimy dan pimpinan PAS kerana kandungan kempen berbahaya yang boleh menggugat ketenteraman awam.

RAFIZI RAMLI

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.