Saya telah memaklumkan semalam mengenai penganjuran Ekspo Negaraku yang dikendalikan oleh sebuah syarikat bernama PICO Integrated Exhibitions (M) Sdn Bhd. Sejurus selepas sidang media saya, ada maklumat baru bahawa Raslan Dahlan bukanlah abang kepada Dato’ Seri Rahman Dahlan. Oleh itu saya telah memadamkan sebarang bahan yang mengaitkan mereka mempunyai pertalian darah.
Walau bagaimana pun, itu tidak memadamkan isu sebenar yang lebih besar yang saya ketengahkan: berapa wang rakyat yang dibelanjakan untuk menganjurkan Ekspo Negaraku dan sama ada satu tender terbuka telah dipanggil bagi tujuan ini?
Sebelum ini pun dalam kes bayaran lobi kepada bekas penasihat Presiden Trump oleh sebuah syarikat bernama Godfrey Group, walaupun identiti pemiliknya yang bernama Florence Goh adalah tidak tepat pada awalnya, itu sedikit pun tidak melunturkan isu tersebut dari segi pentingnya rakyat mengetahuinya. 3 bulan selepas saya mendedahkan bagaimana Pejabat Perdana Menteri telah membayar pelobi melalui Godfrey Group yang dimiliki oleh Florence Goh, seluruh dunia menjadi saksi bagaimana Dato’ Seri Najib menjanjikan pelaburan dari dana awam milik rakyat Malaysia untuk membantu projek infrastruktur Amerika Syarikat.
Keadaannya sama kali ini: soalan di Parlimen atau melalui media terbuka tidak akan dijawab oleh menteri-menteri. Saya telah tunjukkan sebelum ini bagaimana soalan mudah mengenai berapa denda dan faedah yang dikutip oleh LHDN setakat ini pun tidak dijawab oleh Dato’ Seri Najib.
Sebab itu, satu-satu cara untuk mengemukakan isu rakyat terutamanya yang bersabit dengan dana awam ialah melalui pendedahan terbuka seperti ini. Sementara identiti Raslan Dahlan seperti yang dimaklumkan oleh sumber EPU adalah tidak tepat sepenuhnya, itu tidak mengurangkan pentingnya rakyat mengetahui berapa yang telah dibelanjakan untuk menganjurkan Ekspo Negaraku ini.
Tiada Rekod Tender
Saya telah menanyakan soalan kepada Dato’ Seri Najib sendiri pada sidang Parlimen yang lepas mengenai hal ehwal tender, seperti yang terkandung dalam soalan-soalan 41 dan 50 pada 23 Oktober 2017 yang disertakan bersama.
Jawapan-jawapan Dato’ Seri Najib ini mengesahkan beberapa perkara penting:
- Kementerian hanya dibenarkan mengadakan tender terhad (menyenarai pendek terlebih dahulu pembida dan hanya menjemput pembida tertentu dengan alasan hanya pembida-pembida tersebut yang ada kepakaran) bagi tender yang nilainya kurang dari RM10 juta.
- Jika tender terhad itu melebihi RM10 juta, ia perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan terlebih dahulu
- Semua jenis tender dan perolehan dipaparkan di laman http://myprocurement.treasury.gov.my termasuklah yang melibatkan rundingan terus, tender terhad dan tender terbuka
Sidang media yang diadakan oleh Dato’ Seri Rahman Dahlan mengesahkan satu perkara: syarikat PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd memang telah dilantik sebagai “event management” atau pengendali acara yang sudah tentu melibatkan bayaran dari pihak kerajaan kepada syarikat itu.
Pengesahan itu membolehkan orang ramai menyemak sama ada tender penganjuran ini dibuat secara rundingan terus, tender terhad atau tender terbuka melalui carian di laman http://myprocurement.treasury.gov.my seperti berikut:
Carian untuk mengesahkan PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd pernah menyertai tender kerajaan dan ada nombor syarikat melalui carian di “Arkib Keputusan Tender” di http://myprocurement.treasury.gov.my/?page_id=813. Carian di “Arkib Keputusan Tender” menunjukkan syarikat yang bernama PICO mempunyai nombor syarikat 357-01013753.
Carian menunjukkan PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd hanya pernah dianugerahkan satu sahaja tender iaitu “Perundingan dan Pengurusan Aquafair Malaysia Tahun 2010” oleh Jabatan Perikanan Malaysia yang berharga RM1,488,900.
Semakan kepada kesemua kontrak yang pernah dikeluarkan tender oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan bahawa tidak ada sebarang tender dikeluarkan bagi penganjuran Ekspo Negaraku dan tidak pernah ada kontrak dianugerahkan oleh EPU kepada PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd.
Setelah mendapati tiada rekod tender bagi kerja-kerja penganjuran Ekspo Negaraku sedangkan ia diumumkan sebagai projek anjuran Jabatan Perdana Menteri di bawah pimpinan Dato’ Seri Rahman Dahlan, saya seterusnya menyemak sama ada projek ini dianugerahkan melalui rundingan terus.
Carian yang dibuat di http://myprocurement.treasury.gov.my/?page_id=180 menunjukkan di antara 1 Januari 2013 hingga 1 Disember 2017, EPU hanya pernah menganugerahkan tender secara rundingan terus sebanyak dua kali iaitu pelantikan kolej-kolej swasta bagi program peningkatan kapasiti dan kebolehan, seperti paparan skrin di bawah:
Daripada kesemua carian ini di rekod rasmi perolehan kerajaan, ia menunjukkan bahawa tidak ada sebarang rekod penganjuran Ekspo Negaraku dan lantikan PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd pernah melalui apa-apa proses tender mahupun rundingan terus.
Maka, Dato’ Seri Rahman Dahlan perlu menjawab:
- Agensi mana yang membayar kos penganjuran Ekspo Negaraku?
- Jika bukan agensi kerajaan, siapa yang membayar kos penganjuran Ekspo Negaraku dan apa balasan kepada mereka menanggung perbelanjaan ini?
Anggaran Kos Penganjuran RM34 Juta
Semakan yang menunjukkan PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd pernah mendapat kontrak menganjurkan Aquafair Malaysia Tahun 2010 oleh Jabatan Perikanan Malaysia sebanyak RM1,488,900 boleh dijadikan perbandingan untuk menganggarkan kos penganjuran Ekspo Negaraku.
Aquafair Malaysia 2010 adalah satu pameran berkaitan ikan yang dianjurkan selama 4 hari di Pusat Konvensyen KLCC dari 25 ke 28 November 2010, seperti maklumat yang terkandung di http://forums.petfinder.my/showthread.php?t=5070
Menggunakan anggaran kos berkadar langsung iaitu sekitar RM1.5 juta untuk 4 hari dan mengambil kira faktor-faktor berikut:
- Ekspo Negaraku adalah jauh lebih besar dan lebih rumit, melibatkan kubah-kubah yang dibina khusus menggunakan aplikasi teknologi pameran terkini
- Masa pameran yang jauh lebih panjang iaitu 30 hari
- Harga pada tahun 2017 adalah lebih mahal disebabkan inflasi dan jatuhnya nilai ringgit berbanding 2010;
orang ramai boleh mengira sendiri anggaran kos penganjuran Ekspo Negaraku yang dikenakan oleh PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd sekiranya kos pada tahun 2017 (dan untuk menganjurkan pameran yang sebesar dan serumit itu) diletakkan pada kadar 3 kali ganda lebih mahal dari struktur kos yang dikenakan oleh PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd untuk menganjurkan Aquafair Malaysia 2010.
Oleh itu, anggaran kos penganjuran adalah [ RM1.5 juta / 4 hari]*3 X 30 hari = sekitar RM34 juta.
Sebab itu, dalam keghairahan Dato’ Seri Rahman Dahlan ingin mengalihkan pandangan masyarakat dari isu pembaziran wang rakyat untuk menganjurkan Ekspo Negaraku yang mencecah puluhan juta sedangkan rakyat mengikat perut, beliau tidak boleh lari dari menjawab soalan-soalan penting ini:
- Berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk menganjurkan ekspo ini?
- Siapa yang membayarnya kerana tiada rekod dalam sistem perolehan kerajaan ini pernah melalui proses perolehan yang biasa di peringkat kementerian.
Esok, saya jangkakan harga minyak naik lagi kerana harga minyak mentah Brent telah naik mendadak sejak minggu lalu dan mencecah USD65 setong:
Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan merancang ekonomi, Dato’ Seri Rahman perlu menjawab apa yang beliau buat selama ini untuk menurunkan harga minyak dan harga barang? Tugas beliau bukan untuk menganjurkan ekspo yang menelan puluhan juta wang rakyat bagi tujuan membodek Perdana Menteri semata-mata.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
One thought on “Rahman Dahlan Perlu Jawab: Kos Penganjuran Ekspo Negaraku Cecah RM34 Juta, Tiada Rekod Ditender”