Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) boleh dipanggil bila-bila masa dari sekarang. Desas-desus membayangkan PRU14 akan dipanggil seawal Oktober 2017 yang bermakna semua pihak yang berhasrat menumpaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak hanya ada sekitar 4 bulan untuk bersiap sedia dengan jentera di peringkat akar umbi.
Setiap kali pilihanraya umum, perkara yang sering ditimbulkan ialah bagaimana mengatasi penipuan pilihanraya terutamanya dakwaan penggunaan pengundi hantu, kertas undi yang tidak sah dan lain-lain. Ramai orang awam yang sering membawa perkara-perkara ini sebagai alasan kenapa Barisan Nasional tidak dapat dikalahkan.
Sebenarnya, mengalahkan Barisan Nasional dan mengatasi penipuan pilihanraya bukanlah satu perkara yang mustahil. Perlembagaan Persekutuan ditulis dengan niat dan hasrat untuk memberi ruang kepada orang awam memastikan pilihanraya diadakan dengan adil dan tanpa penipuan; dengan memberi hak kepada setiap calon yang bertanding untuk melantik Ejen Tempat Undi (“Polling Agent”) dan Ejen Mengira Undi (“Counting Agent”) yang sering dirujuk kepada PACA.
Ejen Tempat Undi mempunyai kuasa untuk membantah seseorang dari membuang undi jika orang itu disyaki seorang pengundi hantu, atau maklumat dalam kad pengenalannya tidak tepat dengan rupa paras atau penampilannya di hari mengundi.
Ejen Mengira Undi mempunyai kuasa untuk membantah undi yang diragui. Beliau boleh menyemak nombor siri kertas undi supaya padan dengan nombor siri yang dikeluarkan di awal pagi sebelum pengundian bermula (mengikut Borang 13 yang ditandatangani). Ini mengurangkan risiko kertas undi palsu dibawa masuk pada saat-saat akhir, kecualilah ada dua salinan kertas undi dengan kod yang sama yang disediakan.
Ejen Mengira Undi juga mempunyai kuasa untuk mengesahkan keputusan akhir melalui Borang 14. Keputusan yang direkodkan bagi setiap saluran di Borang 14 tidak boleh lari dari pengiraan yang disahkan oleh Ejen Tempat Mengundi, dan keputusan akhir yang diumumkan tidak boleh lari dari penjumlahan mengikut keputusan Borang 14.
Malangnya, dalam PRU13 ada kelemahan ketara di pihak calon-calon pembangkang dari segi penyediaan PACA yang mencukupi. Banyak kerusi marginal tidak mempunyai PACA yang mencukupi. Kalau pun jumlah PACA yang ada mencukupi, PACA juga tidak dilatih dengan baik sehingga menyebabkan mereka tidak berkesan untuk menghalang penipuan.
Mengambil iktibar dari kelemahan lalu, INVOKE tampil untuk memikul tanggungjawab itu dengan matlamat-matlamat berikut:
1. Menggembleng tenaga orang ramai (terutamanya yang tidak berparti) untuk tampil ke hadapan dan menawarkan diri menjadi sukarelawan PACA
2. Melatih PACA yang secukupnya untuk 50 kerusi Parlimen marginal di seluruh negara yang kini dibantu oleh INVOKE
3. Menguruskan proses untuk memadankan PACA dari kawasan bandar ke kerusi marginal di luar bandar, termasuk memadankan PACA, mendaftarkan PACA mengikut undang-undang dan mengaturkan lojistik untuk membawa PACA ke kerusi marginal
Memandangkan peraturan pilihanraya adalah rumit, INVOKE telah mengumpulkan kepakaran dari semua pihak untuk menerbitkan sebuah buku “Panduan Ejen Tempat Undid an Ejen Mengira Undi” yang lengkap dengan petikan undang-undang, gambar rajah dan modul latihan menyeluruh untuk menjadi seorang PACA yang berkesan.
Buku panduan ini adalah yang pertama diterbitkan di negara ini setakat ini dan boleh diperolehi seperti berikut:
i. Dibeli secara online di https://shop.invokemalaysia.org atau di kedai-kedai buku pada harga RM20 setiap satu. INVOKE sedang mengusahakan agar buku ini dijual di kedai-kedai buku utama di seluruh negara.
ii. Dibeli di setiap sessi latihan PACA yang dianjurkan INVOKE di 15 pejabat lapangan INVOKE di seluruh negara pada harga RM15 setiap satu. Diskaun 25% diberikan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia tampil menjadi PACA.
Setiap minggu sejak Januari 2017, INVOKE mengadakan latihan PACA yang dibuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang di 15 pejabat lapangan di seluruh negara seperti berikut: Mata Ayer (Perlis), Alor Setar (Kedah), Sungai Lalang (Kedah), Sungai Petani (Kedah), Bayan Baru (Pulau Pinang), Padang Rengas (Perak), Tanjong Malim (Perak), Sungai Besi (Lembah Klang), Seremban (Negeri Sembilan), Bandar Melaka (Melaka), Ledang (Johor), Semborng (Johor), Johor Bharu (Johor), Kuantan (Pahang) dan Kuala Terengganu (Pantai Timur).
Penyertaan orang ramai masih lagi rendah. Mengikut rekod, setakat ini INVOKE hanya berjaya melatih 978 orang dalam tempoh 6 bulan lalu sedangkan jumlah PACA yang diperlukan untuk mengawalselia pengundiaan adalah 20,000 orang (pada anggaran 400 orang PACA terlatih bagi setiap kawasan parlimen).
Oleh itu, bagi pihak sukarelawan INVOKE yang telah menghabiskan masa mereka setiap minggu melatih PACA sejak Januari 2017 lalu, saya menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil tindakan berikut sekiranya anda benar-benar serius mahu mengatasi penipuan pilihanraya:
1. Mendaftar menjadi PACA dengan mendaftar di laman INVOKE http://bit.ly/JomJoinINVOKE Setelah mendaftar, anda akan mendapat email dan whatsapp memaklumkan latihan PACA yang diadakan setiap minggu.
2. Bagi pengundi-pengundi di kubu kuat Pakatan Harapan seperti di bandar-bandar besar, saya menggalakkan anda membuat keputusan untuk tidak mengundi dan sebaliknya menjadi PACA untuk bertugas di luar kawasan; iaitu di kerusi-kerusi marginal di kawasan separa bandar/luar bandar yang tidak cukup petugas. INVOKE akan memadankan anda dengan kerusi marginal yang paling dekat dengan anda.
Saya berharap INVOKE akan dapat melatih sehingga 20,000 orang PACA dalam tempoh 4 bulan ini di seluruh negara. Walaupun INVOKE mempunyai sukarelawan tegar dan berkemahiran yang boleh melatih anda setiap minggu, kami tidak akan dapat mencapai sasaran 20,000 PACA terlatih jika rakyat Malaysia masih dengan perangai lama yang meluahkan perasaan di media social tetapi tidak mengambil tindakan untuk berbuat sesuatu.
Pertahankan undi anda, jadilah PACA hari ini dengan mendaftar di bit.ly/JomJoinINVOKE
Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
Bagi pihak INVOKE
Ok I ve managed to utilise Cista to the full with its phonebanking and PACA training. Its time now that I try to help my constituency Sepang parliamen to utilise Cista but Sepang is a Amanah seat. Can somebody help me guide to use Cista in Sepang. Currently Sepang is extremely very very quiet