PENGENALAN
INI CERPEN ATAU KERTAS DASAR?
Saya pernah menulis pelbagai kertas dasar untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pakatan pembangkang sebelum ini. Di antara tahun 2010 hingga 2015, saya menulis Buku Jingga yang menjadi rujukan pelan peralihan kuasa Pakatan Rakyat ketika itu dan belanjawan-belanjawan bayangan (atau shadow budget) untuk mempamerkan kaedah pengurusan kewangan yang berbeza sekiranya pakatan pembangkang menerajui pentadbiran Malaysia. Saya juga menulis manifesto pakatan pembangkang yang bertajuk Pakatan Harapan Rakyat bagi pilihanraya umum 2013.
Pelbagai pengalaman tersebut meyakinkan saya bahawa banyak ketikanya ahli politik, pemikir dan pembuat dasar (baik di sebelah kerajaan atau pembangkang) terperangkap dengan penyakit syok sendiri. Kita menulis pelbagai idea dalam kerangka pendekatan dan bahasa yang hanya difahami oleh beberapa kerat orang yang bergelumang dengan maklumat-maklumat ekonomi.
Akhirnya kertas dasar itu hanya berlegar di kalangan beberapa kerat yang merasakan diri mereka “pakar”. Idea yang baik untuk rakyat tidak ditularkan dan pentadbiran negara dikekalkan di kalangan golongan elit.
Sebab itu kita terperangkap dengan budaya tidak ambil kisah kerana sebahagian besar proses menggubal dasar negara diterajui dari atas dan dipusatkan di kalangan golongan elit di dalam masyarakat. Apabila rakyat yang terbanyak tidak digalakkan mengambil tahu dan tidak dilibatkan di dalam proses menggubal dasar, maka mereka pun tidak ambil kisah dan terus terperangkap dengan beban kehidupan yang sudah pun cukup merimaskan mereka.
Kali ini saya ingin mengubah keseluruhan pendekatan kepada penggubalan dasar kerajaan yang membawa kesan besar kepada rakyat setiap hari.
Saya mahu mencuba melontarkan idea-idea reformasi kerajaan, ekonomi, pendidikan dan sosial yang radikal dari bawah ke atas: daripada dasar-dasar dipersembahkan oleh parti-parti politik kepada rakyat di bawah, saya berpendapat lebih baik rakyat memberi senarai dasar dan reformasi yang perlu dibuat oleh mana-mana parti politik yang mahu menguasai tampuk kerajaan persekutuan di Putrajaya.
Jika idea-idea reformasi kerajaan, ekonomi, pendidikan dan sosial yang radikal itu mendapat sokongan hebat di kalangan rakyat sehingga ia menjadi tular, ahli-ahli politik tidak ada pilihan lain kecuali untuk turut serta menjaguhi idea-idea itu.
Justeru saya dan adik-adik muda di Pusat Inisiatif Dasar INVOKE (selalu disebut dengan nama Inggerisnya INVOKE Centre for Policy Initiatives atau I-CPI) membukukan idea-idea kami untuk dibaca oleh rakyat keseluruhannya.
Saya dan Eric (ketua penyelidik di I-CPI) berbeza pendapat tentang bagaimana buku ini perlu ditampilkan kepada rakyat. Kebimbangan Eric adalah jika ia nampak tidak serius, ia akan hilang wibawanya dan akan diperlekehkan.
Saya ambil pandangan yang sedikit berlainan. Saya bosan dengan bahasa-bahasa yang hanya orang berdarjat tertentu yang memahaminya. Saya mahu buku ini menjadi penyebar idea di kalangan anak muda dan rakyat terbanyak.
Lalu saya memutuskan (dan Eric terpaksa bersetuju) bahawa buku ini perlu ditampilkan dalam bentuk yang disenangi rakyat terbanyak.
Ia mengandungi idea dasar-dasar radikal yang memberi makna kepada matlamat reformasi (yang saya serta sebilangan besar rakyat Malaysia usahakan sejak sekian lama) tetapi kandungannya, jalan ceritanya dan sasarannya didemokrasikan agar seberapa rakyat Malaysia boleh turut serta mengikutinya.
Sebabnya negara kita telah semakin rosak dan proses untuk membinanya tidak lagi boleh dibolot oleh golongan-golongan tertentu sahaja. Membina kembali negara ini memerlukan penglibatan dan suara setiap rakyatnya tidak kira darjat atau latar belakang.
Saya berkemungkinan besar akan direhatkan dari arena politik tanahair buat masa yang agak panjang. Setakat ini saya tidak boleh bertanding dalam pilihanraya akan datang dan tidak ada jaminan saya akan kembali ke arena politik selepas tempoh halangan berpolitik saya tamat.
Sebab itu saya berharap buku cerpen-yang-bukan-cerpen ini menjadi tempat yang molek untuk saya dan rakan-rakan merakamkan idea-idea kami tentang bagaimana Malaysia boleh dibina kembali untuk generasi akan datang.
Kalau pun saya sendiri bukan lagi di dalam arus politik negara tanahair, sekurang-kurangnya beberapa idea saya dan rakan-rakan yang menjadi teras kepada penglibatan kami di dalam politik sejak sedekad lalu dapat dipertimbangkan oleh rakyat dan penguasa di Putrajaya.
Nantikan Jilid II yang akan menghuraikan pula beberapa bab penting yang menyentuh reformasi-reformasi lain yang belum dihuraikan dalam jilid ini. Saya, Eric dan keseluruhan pasukan di I-CPI mengambil pendekatan untuk belajar dari maklumbalas dan pandangan rakyat bagi PBSN Jilid I ini dahulu; agar PBSN Jilid II yang akan diterbitkan dalam masa beberapa bulan akan datang adalah lebih baik.
Rafizi Ramli
Mei 2017