Dua Orang Menteri Mengaku Secara Tidak Sengaja Kerajaan Persekutuan Langgar Formula Penetapan Harga Minyak Dan Mengesahkan Cukai Tersembunyi

Kritikan saya mengenai kaedah penetapan harga minyak RON95, RON97 dan diesel yang dimanipulasi oleh Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan politik akhirnya mendapat sahutan dua orang menteri sekaligus.

Saya rujuk kepada laporan Awani bertarikh 3 Ogos 2016 berikut: http://english.astroawani.com/business-news/no-hidden-tax-retail-oil-prices-112903

Dari laporan berita tersebut, kita boleh simpulkan bahawa Menteri Kewangan II Dato’ Johari Abdul Ghani mengakui bahawa sebelum ini pun Kerajaan Persekutuan tidak mengikut formula dalam menetapkan harga minyak bagi bulan Jun dan Julai 2016. Beliau berkata sepatutnya harga bagi bulan Julai 2016 dinaikkan sebanyak 10 sen hingga 15 sen tetapi Kerajaan Persekutuan hanya menaikkan sebanyak 5 sen.

Ini pengakuan terbuka bahawa memang telah menjadi amalan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengikut formula penetapan harga yang ditetapkan sendiri sedangkan rakyat dimaklumkan bahawa harga ditetapkan mengikut harga pasaran purata. Apabila rakyat diberitahu begitu, setiap kali kenaikan harga diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak akan mencuci tangan seolah-olah beliau tidak kena mengena dengan kenaikan tersebut.

Sedangkan keputusan menaikkan harga atau mengekalkan harga pada ketika harga pasaran purata mengikut formula adalah lebih rendah (seperti bagi bulan Ogos 2016; harga mengikut formula adalah RM1.65 tetapi Kerajaan Persekutuan mengekalkannya pada RM1.75) adalah satu bentuk pencukaian secara tersembunyi yang mendatangkan hasil lumayan kepada Kerajaan Persekutuan. Anggaran saya bagi bulan Ogos 2016, Kerajaan Persekutuan akan mengutip RM142 juta dari cukai tersembunyi ini.

Manipulasi harga yang melanggar formula harga yang diumumkan sebenarnya memberi keuntungan politik kepada Barisan Nasional. Walaupun Dato’ Johari memberi alasan harga minyak tidak dinaikkan seperti yang ditetapkan oleh formula bagi bulan Julai 2016 kononnya untuk meringankan beban rakyat di bulan Ramadhan dan dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri, sebab sebenarnya ialah sensitiviti rakyat akibat dua pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlangsung.

Harga minyak bagi Jun 2016 diumumkan pada 31 Mei 2016 iaitu pada ketika rakyat sudah tahu mengenai dua pilihanraya kecil tersebut, maka Kerajaan Persekutuan bermain politik dengan tidak mengikut formula kerana bimbang dengan kemarahan rakyat jika dinaikkan.

Harga minyak bagi Julai 2016 pula diumumkan pada 30 Jun 2016 iaitu tidak sampai dua minggu keputusan dua pilihanraya kecil itu. Menaikkan harga mengikut formula akan mengundang kemarahan rakyat kerana itu mengesahkan bahawa harga minyak sengaja tidak dinaikkan mengikut formula untuk mengelakkan kesannya kepada dua pilihanraya kecil tersebut.

Malah semakan saya dan rakan-rakan dari industri minyak yang membantu saya memantau perkara ini mengesahkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak pun teragak-agak menaikkan harga minyak di bulan Ramadhan 2015. Padahal keadaannya lebih buruk bagi rakyat ketika itu kerana kenaikan harga minyak itu datang berganda dengan pelaksanaan GST yang baru sebulan dilaksanakan.

Jadual berikut menunjukkan senarai harga minyak yang diumumkan sejak 2015 iaitu harga minyak tetap dinaikkan semasa Ramadhan dan Aidilfitri (Jun 2015 dan Julai 2015); lalu membuktikan bahawa Ramadhan dan Aldilfitri bukanlah pertimbangan sebenar seperti alasan yang diberikan oleh Dato’ Johari:

ron95for2016

Seorang lagi menteri iaitu Dato’ Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) terus mengiyakan dakwaan beliau sendiri iaitu beliau tidak tahu apabila komen beliau hanyalah saya tidak merungut apabila harga turun. Maklumbalas begini dari seorang menteri tidak layak dilayan lagi.

Pengakuan terbuka Dato’ Johari Abdul Ghani bahawa harga minyak sebelum ini ditetapkan sesuka hati pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengikut keperluan politik bermakna risiko rakyat dicukai secara tersembunyi adalah besar. Jika ini berterusan, rakyat akan terus menjadi mangsa kerana pada kala rakyat beranggapan harga minyak tidak ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, rakyat pula membayar cukai kepada kerajaan tanpa mereka ketahui.

Ini situasi “rompak-rompak” yang memberi keuntungan seratus peratus kepada Barisan Nasional.

Oleh itu, saya mendesak supaya Kementerian Kewangan menerbitkan jadual harga pasaran purata secara mingguan supaya rakyat boleh mengira sendiri harga minyak yang ditetapkan oleh formula. Hanya dengan rakyat yang ramai mengetahui berapa harga minyak sebelum ia diumumkan, barulah Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berani menggunakan penetapan harga minyak sebagai senjata politik untuk kepentingan Barisan Nasional seperti sebelum ini.

Jika Dato’ Johari Abdul Ghani enggan berbuat demikian, saya sendiri akan menyediakan satu kira-kira harga minyak yang dikemaskini setiap minggu dengan harga pasaran terbaru untuk menjadi sumber rujukan rakyat keseluruhannya. Daripada rakyat mengambil maklumat dari saya, adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan menyiarkan jadual harga mingguan itu untuk mengelakkan berlakunya lagi pencukaian tersembunyi seperti yang berlaku sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Sekat Kakitangan Dan Pengurusan PETRONAS Dari Semenanjung Bukan Jawapan Kepada Barisan Nasional Mungkir Janji

Saya membaca laporan-laporan mengenai tuntutan supaya lebih ramai kakitangan PETRONAS yang berasal dari Sarawak diberikan tempat dalam pengurusan dan lebih banyak jawatan dikhaskan secara kuota kepada penduduk Sarawak. Saya juga sedia maklum dengan cadangan YB Chong Chin Jien, Ahli Parlimen Kuching yang mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak menggunakan kuasa imigresennya untuk menyekat kakitangan dan pengurusan PETRONAS yang bukan dari Sarawak dari masuk ke negeri itu.

Saya adalah sebahagian dari keluarga PETRONAS sejak berumur 17 tahun hinggalah saya meninggalkan syarikat kebanggaan negara itu hampir 10 tahun yang lalu bila mana kontrak perkhidmatan seperti perjanjian penajaan pendidikan hampir tamat. Sepanjang perkhidmatan saya dengan PETRONAS, saya pernah terlibat dengan pengurusan Perniagaan Petrokimia (yang mempunyai anak syarikat di Sarawak) dan pengurusan PETRONAS Carigali (yang mempunyai operasi yang besar di Sarawak).

Sedang saya memahami sentimen sebahagian besar rakyat Sarawak yang merasakan bahawa kekayaan negeri mereka tidak dikongsi sama rata, saya juga ingin mengajak ahli-ahli politik dan rakyat Sarawak untuk memfokuskan bantahan dan kritikan kepada punca sebenar masalah ini iaitu Kerajaan Persekutuan. Tindakan menyalahkan PETRONAS bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah pada pendapat saya bertentangan dengan kebajikan kakitangan eksekutif PETRONAS yang berasal dari Sarawak sendiri.

Kakitangan eksekutif PETRONAS diambil bekerja oleh ibupejabat PETRONAS dan kemudiannya ditugaskan ke unit-unit dan anak-anak syarikat di seluruh dunia. PETRONAS mempunyai operasi besar yang meliputi huluan (upstream), gas dan LNG, loji penapisan dan petrokimia, operasi hiliran (downstream) yang lain, pemasaran, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Operasi yang besar dan kejayaan PETRONAS sebagai satu-satunya syarikat Fortune500 (500 syarikat terbesar di dunia) dari Malaysia membolehkan kakitangan PETRONAS dibentuk dan dilatih melalui pelbagai pengalaman dan kemahiran dari pelbagai operasi. Itu menjadi keistimewaan yang hanya dinikmati oleh kakitangan PETRONAS dan menjadikan mereka mempunyai daya bolehpasar (“marketability”) yang lebih baik berbanding syarikat lain.

Dari pelbagai operasi yang saya sebutkan di atas, bukan semuanya ada di Sarawak. Operasi PETRONAS di Sarawam hanya meliputi operasi huluan (upstream) di luar pantai dan berpusat di Miri serta kompleks LNG dan loji urea di Bintulu.

Sebab itu pada pendapat saya, mengenakan kuota agar jawatan pengurusan bagi operasi PETRONAS di Sarawak dikhususkan hanya untuk orang Sarawak sebenarnya tidak baik untuk kakitangan tersebut kerana perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka akan terbantut di situ. Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain.

Kesan ialah kakitangan PETRONAS dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak tetapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan PETRONAS yang lebih besar dan mencabar. Akhirnya, kita bakal berhadapan dengan satu lagi masalah baru iaitu rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan PETRONAS ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak.

Sebab itu pada pendapat saya, konglomerat bertaraf dunia seperti PETRONAS yang telah terbukti menjadi tulang belakang negara perlu dilindungi dari campur tangan politik dan menjadi bola sepak permainan politik. Mandat yang diberikan kepada PETRONAS ialah untuk mendapatkan nilai yang terbaik dari setiap molekul hidrokarbon yang ada di negara ini dan itu hanya boleh dicapai sekiranya PETRONAS beroperasi sepenuhnya mengikut pertimbangan komersil dan profesional.

Soal ketidakadilan perkongsian hasil minyak Sarawak sewajarnya dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Dato’ Seri Najib Tun Razak.

PETRONAS tertakluk kepada undang-undang dan jumlah royalti serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dan digubal Kerajaan Persekutuan. Tugas PETRONAS ialah memulangkan hasil minyak negara pada nilai keuntungan yang terbauk kepada Kerajaan Persekutuan. Keputusan membelanjakannya secara adil adalah keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebab itu juga saya telah berkali-kali mencadangkan supaya Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak masing-masing menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu oleh PETRONAS untuk membangun bertaraf dunia. Rakyat Sarawak dan rakyat Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu oleh PETRONAS dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara. Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.

Tetapi idea saya ini tidak pun dipandang oleh mana-mana pimpinan Sarawak dan Sabah baik dari Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Sebaliknya kadang-kadang saya melihat mereka berlumba-lumba memukul institusi lain yang dilihat dari Semenanjung, sedangkan yang sepatutnya dipukul ialah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menabur janji mengenai autonomi tetapi nampaknya enggan ditunaikan.

Adalah lebih baik menyekat Dato’ Seri Najib Tun Razak dari masuk Sarawak dari menyalahkan PETRONAS. Ia juga satu langkah menyelamatkan rakyat Sarawak dari pelbagai janji-janji pilihanraya yang tidak ikhlas seperti yang berlaku baru-baru ini.

Rafizi Ramli adalah pengurus termuda pernah dilantik di PETRONAS pada umur 25 tahun. Beliau juga adalah pengurus kanan termuda pernah dilantik pada umur 27 tahun. Berkelulusan kejuruteraan elektrik dan elektronik serta ditauliahkan sebagai akauntan bertauliah oleh Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), beliau pernah bertugas di loji petrokimia, ibupejabat korporat dan Carigali.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Rakyat Dicukai Lagi Kerana Harga Minyak Ogos 2016 Tidak Ikut Formula Yang Ditetapkan Kerajaan

080161 Tak Turun Harga Minyak_1

Sejak pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengapungkan harga minyak petrol (RON95 dan RON97) dan diesel mengikut harga pasaran, harga yang ditetapkan boleh dikira sendiri oleh orang ramai dengan merujuk kepada laporan harga pasaran terkini. Formula kiraan bagi RON95 contohnya adalah mudah iaitu:

mopsformula

Sejak Julai 2015, saya telah mengira sendiri harga RON95 yang sepatutnya mengikut formula apungan yang diumumkan oleh kerajaan sendiri untuk memastikan kerajaan tidak mencukai rakyat secara diam-diam. Jika harga yang ditetapkan adalah lebih tinggi dari harga apungan mengikut formula di atas, itu bermakna kerajaan mencukai rakyat secara senyap-senyap.

Saya boleh memaklumkan bahawa kiraan mengikut formula harga apungan bagi bulan Ogos 2016 (menggunakan harga pasaran purata dan kadar tukaran purata sepanjang Julai 2016) menunjukkan bahawa harga RON95 sepatutnya turun lagi sebanyak 10 sen seperti di dalam jadual di bawah:

july2016

Walau bagaimana pun, harga di stesen minyak seperti yang diarahkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menunjukkan harga RON95 kekal pada RM1.75 seliter.

Ini bermakna sepanjang bulan Ogos 2016, rakyat Malaysia akan membayar 10 sen cukai bagi setiap liter RON95 yang dibeli. Saya percaya keadaannya sama bagi RON97 dan diesel walaupun saya tidak melakukan kiraan bagi kedua-dua jenis minyak itu.

Dengan anggaran penggunaan minyak tahunan sebanyak 17 bilion liter berdasarkan laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) bagi tahun 2011 (iaitu anggaran yang konservatif kerana penggunaan minyak tahunan meningkat berkadar dengan jumlah kenderaan), cukai 10 sen setiap satu liter bersamaan dengan anggaran kutipan cukai RM142 juta bagi bulan Ogos 2016 ini.

Saya percaya cukai RM142 juta ini dikutip bagi menampung subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi bulan Mei 2016 dan Jun 2016 apabila kerajaan menetapkan harga minyak yang lebih rendah dari harga apungan mengikut formula kerana dua pilihanraya penting yang berlaku iaitu Pilihanraya Negeri Sarawak (Mei 2016) dan Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar (Jun 2016).

Tindakan menetapkan harga mengikut kepentingan politik Perdana Menteri dan Barisan Nasional adalah melampau apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri mengumumkan bahawa kerajaan akan menetapkan harga mengikut harga pasaran. Sebaliknya yang berlaku harga minyak ditetapkan mengikut kesesuaian dan kepentingan beliau sendiri.

Jika ini berterusan, ia bermakna rakyat boleh sahaja dicukai secara senyap-senyap pada masa ia menguntungkan Barisan Nasional dan kutipan cukai itu dibelanjakan pula pada ketika kempen pilihanraya untuk memastikan Barisan Nasional mendapat kelebihan berganda berbanding pembangkang.

Saya mendesak supaya KPDNKK menyiarkan secara terperinci jadual kiraan sejak dasar apungan harga mengikut pasaran ini dilaksanakan untuk membolehkan rakyat menilai berapa banyak cukai yang telah dikutip secara diam-diam.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Dato’ Seri Najib Anugerah Kontrak RM740 Juta Kepada TH Heavy Engineering (THHE) Untuk Bina Kapal Peronda Walaupun THHE Tidak Ada Pengalaman

Saya telah nyatakan dalam satu kenyataan media semalam bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan dana rakyat sebanyak RM740 juta untuk disuntik ke dalam TH Heavy Engineering Berhad (THHE) melalui satu anugerah kontrak besar kerajaan secara rundingan terus. Suntikan ini diperlukan memandangkan keadaan kewangan THHE yang terlalu terdesak terutamanya selepas ia disaman oleh kontraktornya untuk mengutip hutang tertunggak.

Saya sertakan satu salinan surat dari Kementerian Kewangan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menyenaraikan segala maklumat terperinci mengenai anugerah kontrak secara rundingan terus ini:

FullSizeRender_2

FullSizeRender_1

FullSizeRender

Saya rumuskan butiran anugerah kontrak tersebut seperti berikut:

Jumlah kontrak RM740 juta
Kerja Membekal, membina, menguji dan mentauliah tiga (3) unit “offshore patrol vessel” (OPV) secara rundingan terus bagi kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
Syarat THHE perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman membina kapal

Saya perlu tegaskan bahawa syarat khusus bahawa “THHE perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman membina kapal” dimasukkan kerana semakan menunjukkan bahawa THHE TIDAK PERNAH mempunyai pengalaman membina kapal OPV seperti yang dikehendaki.

THHE adalah sebuah syarikat yang membina kemudahan pelantar di luar pesisir pantai. Kalau dalam perniagaan sekarang pun ia bermasalah untuk menyiapkan kerja-kerja sehingga mengalami kelewatan dan turut digantung oleh PETRONAS Carigali dari turut serta di dalam kontrak perolehan PETRONAS Carigali, sudah tentu THHE akan bermasalah dalam menyediakan kapal-kapal OPV yang diperlukan sekarang.

Tindakan Dato’ Seri Najib menggunakan kontrak membekal OPV untuk menutup kelemahan Tabung Haji melabur di dalam THHE yang sudah terdedah kepada kerugian RM554 juta adalah terdesak dan sangat tidak bertanggungjawab. Dalam keadaan keselamatan yang runcing di luar pesisir pantai Malaysia terutamanya di Timur Sabah (ekoran peristiwa penculikan yang berulang), tindakan menganugerahkan kontrak pembinaan OPV ini kepada sebuah syarikat yang langsung tidak berpengalaman samalah seperti menempah masalah kerana kemungkinan besar kapal-kapal OPV itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual. Ini akan merencatkan usaha menambahbaik kawalan keselamatan perairan negara yang akan menyebabkan ancaman lanun dan penculikan akan berterusan.

Walaupun saya tahu ahli-ahli politik lain dan seluruh negara seolah-olah tidak lagi berminat dengan isu rasuah kerana tepu ekoran skandal terkini 1MDB, rakyat mesti terus diberi maklumat mengenai salahlaku dan salahtadbir yang merugikan berbilion wang rakyat. Dalam kes THHE ini, tindakan terbaru Dato’ Seri Najib ini menyebabkan sebanyak RM1.315 bilion wang rakyat disalurkan kepada syarikat ini walaupun ia terus menemui kegagalan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

DS Najib Guna RM740 Juta Wang Rakyat Untuk Selamatkan TH Heavy Engineering Akibat Keputusan Pelaburan Tabung Haji Yang Salah

Saya diberi maklumat bahawa seorang pimpinan terkanan kerajaan (yang selepas ini saya namakan dahulu sebagai #MalaysianOfficial1) telah meluluskan anugerah satu kontrak rundingan terus kepada TH Heavy Engineering Berhad (THHE) berjumlah RM740 juta.


Saya telah berkali-kali mempersoalkan pelaburan Tabung Haji di dalam THHE kerana ia sebuah syarikat yang secara berterusan mengalami masalah kewangan dan ramai yang telah menjadi mangsa THHE (sebelum ini dikenali Ramunia Holdings Berhad).

Tabung Haji kini mempunyai pegangan 30% di dalam THHE yang bermakna ia tidak mempunyai kawalan ke atas syarikat itu. Malangnya Tabung Haji terus menyediakan sokongan kewangan kepada THHE sehingga telah memakan wang rakyat setakat ini seperti berikut:

i) Pembelian 30% saham THHE yang menelan belanja RM250 juta (pada harga asal purata RM1.50 sesaham). Harga saham telah jatuh kepada 6.5 sen minggu lalu menyebabkan kerugian atas kertas sebanyak RM228 juta;

ii) Pinjaman patuh shariah dalam bentuk terbitan sukuk sebanyak RM50 juta; dan

iii) Pinjaman terbitan hutang dalam bentuk “redeemable preference shares” (RPS) sebanyak RM275 juta

Saya juga sebelum ini mendedahkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan surat meluluskan Tabung Haji memberi jaminan korporat (“corporate guarantee”) kepada THHE bagi pinjaman baru dari bank-bank sehingga had pinjaman USD228.2 juta (bersamaan RM912 juta pada kadar semasa). Namun kemudahan ini tidak laku kerana bank-bank dan institusi kewangan ragu-ragu dengan prestasi THHE.

Oleh yang demikian, THHE berada dalam keadaan yang terdesak terutamanya setelah dua kontraktornya telah menfailkan saman menutup THHE untuk mengutip balik hutang-hutang mereka.

Fakta-fakta di atas mengesahkan kedudukan kewangan THHE yang semakin parah seperti yang saya dedahkan sebelum ini.

Tindakan dan keputusan #MalaysianOfficial1 itu meluluskan anugerah secara rundingan terus kepada THHE sebanyak RM740 juta adalah satu “bail out” untuk menyelamatkan THHE dari jatuh bankrap.

Saya membantah sekeras-kerasnya kerana THHE adalah sebuah syarikat swasta dan hanya dimilki oleh Tabung Haji sebanyak 30% sahaja. Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang memiliki 70% lagi sedangkan mereka inilah yang akan mendapat durian runtuh apabila wang rakyat RM740 juta dianugerahkan kepada THHE.

Malah, orang-orang di belakang THHE sepatutnya disiasat dan dihadapkan ke mahkamah (jika ada kes) kerana telah menyebabkan kerugian wang rakyat sehingga RM554 juta.

Keputusan dan tindakan #MalaysianOfficial1 memperuntukkan RM740 juta wang rakyat untuk mengelakkan THHE jatuh muflis adalah zalim kepada rakyat kerana mereka terpaksa berdepan dengan GST, kenaikan harga barang, pengangguran dan pelbagai potongan peruntukan rakyat seperti biasiswa, perbelanjaan sekolah/universiti dan lain-lain.

Saya mendesak supaya Kerajaan Persekutan membatalkan serta-merta anugerah kontrak secara rundingan terus berjumlah RM740 juta yang bertujuan menyelamatkan THHE dan menutup kelemahan pengurusan pelaburan Tabung Haji.

Saya mempunyai dokumen-dokumen yang secara jelas mengesahkan anugerah kontrak secara rundingan terus sebanyak RM740 juta kepada THHE ini yang saya akan dedahkan lagi pada setiap hari minggu ini.

Dari dokumen-dokumen itu saya boleh mengesahkan bahawa #MalaysianOfficial1 adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Setiausaha Agung/Naib Presiden KEADILAN


25 Julai 2016