Perbandingan Kos MRT1 Dan MRT Line9 Seoul: BN Menipu Rakyat Untuk Menunjukkan Kononnya Saya Menipu

Walaupun saya sebaiknya tidak perlu menjawab kenyataan media dari kumpulan tidak bernama seperti Pasukan Komunikasi Strategik BN yang menuduh saya menipu dalam perbandingan kos keseluruhan MRT1 (sejauh 51 km dari Sungai Buloh ke Kajang) dengan MRT Seoul jajaran Line 9 (sejauh 37.5 km bawah tanah sepenuhnya), tetapi saya perlu menelanjangkan juga pembohongan mereka.

Rujuk kenyataan terdahulu saya bahawa pembinaan MRT1 itu 2.5 kali ganda lebih mahal dari pembinaan MRT Seoul Line 9 (http://rafiziramli.com/2016/12/bentangkan-perbezaan-kos-mrt-yang-diumumkan-dalam-2010-dengan-kos-yang-bakal-ditanggung-rakyat/)

Kenyataan saya itu dibalas oleh Pasukan Komunikasi Strategik BN yang disiarkan The Star http://www.thestar.com.my/news/nation/2016/12/29/bn-communications-team-answers-rafizi-mrt-claims/

Di dalam kenyataan balas Pasukan Komunikasi Strategik BN itu, mereka (hantu-hantu tidak bernama ini) menyatakan perkara berikut:

1. Menuduh saya tidak menyemak rujukan saya dan mengambil sumber maklumat dari satu blog tidak bernama

2. Menuduh saya tidak memahami perbezaan kos dan membuat perbandingan kos yang salah apabila saya dakwa kos MRT1 bagi setiap km adalah 2.5 kali ganda lebih mahal dari kos MRT Seoul Line 9

3. “Membetulkan kesalahan kiraan saya” lalu menyatakan bahawa kos sebenar MRT Seoul Line 9 adalah USD152 juta/km, kononnya berkali ganda lebih mahal dari kos MRT1 bagi setiap km

Saya sertakan kiraan sebenar yang saya buat (tidak merujuk semata-mata kepada blog-blog) seperti berikut:

Berikut adalah sumber-sumber sah dan rasmi yang saya petik:

i. Panjang MRT Seoul Line 9 dan kos (sama seperti yang dirujuk oleh Pasukan Komunikasi BN) – http://www.siudmysore.gov.in/UTdetails/Day4.pdf

ii. Penerangan mengenai MRT Seoul Line 9 dan ia 100% bawah tanah – http://www.railway-technology.com/projects/seoul-metro/

iii. “Normalisasi” pembinaan MRT antara bawah tanah, atas tanah dan pelantar – http://flyvbjerg.plan.aau.dk/Publications2008/UNITCOSTSURBANRAIL8.pdf

iv. Kos dan spesifikasi MRT1 Sungai Buloh – Kajang – semua kenyataan media saya setakat ini

v. Kadar purata tukaran USD:RM – http://www.xe.com/currencycharts/?from=USD&to=MYR&view=5Y

Bukankah satu penipuan dan kebodohan apabila Pasukan Komunikasi Strategik BN cuba menipu rakyat Malaysia secara buta-buta dengan membandingkan kos setiap km MRT1 dengan pembinaan 37.5 km bawah tanah MRT Seoul Line 9 (kononnya USD152 juta setiap km, dengan membahagikan USD5.7 bilion dengan 37.5 km) tanpa membuat perbandingan yang sama jenis, iaitu menjalankan proses normalisasi kos terlebih dahulu.

Sedangkan hanya 20% dari MRT1 adalah dibawah tanah berbanding 100% MRT Seoul Line 9. Sebab itu saya kira selepas menjalankan normalisasi kos terlebih dahulu untuk mempastikan perbandingan yang bermakna mengambil kira kajian kejuruteraan sebelum itu oleh Halcrow Fox bahawa perbandingan kos ialah bagi setiap 1 km pembinaan MRT bawah tanah adalah bersamaan dengan 3 kali kos setiap km pembinaan MRT atas pelantar.

Berdasarkan perkiraan jujur yang bukan menipu seperti di atas, jelaslah bahawa kos setiap km bagi MRT1 (sekitar USD110 juta) adalah 2.5 kali ganda kos bagi MRT Seoul Line 9 (sekitar USD50.7 juta).

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Harga Minyak RON95 Bermula Januari 2017 Ke Mac 2017 RM2.20 Seliter Kecuali Subsidi Dikembalikan

Pada 20 Disember 2016 yang lepas, saya telah memberi amaran bahawa berdasarkan:

1. Pergerakan harga minyak diproses RON95 (seperti diniagakan di pasaran terbuka Singapura yang dilaporkan oleh Platts sebagai MOPS95 yang menjadi harga rujukan formula pengiraan RON95 di Malaysia yang ditetapkan kerajaan), dan

2. Pergerakan kadar tukaran matawang ringgit kepada dollar bagi tempoh 3 minggu pertama Disember 2016

harga RON95 pada 1 Januari 2017 mengikut formula (berdasarkan harga 3 minggu pertama itu) adalah RM2.20 seperti ditunjukkan di dalam jadual berikut:

Minggu berakhir Harga rujukan per liter mengikut MOPS Harga RON95 per liter mengikut formula
2 Disember 2016 RM1.69 RM2.02 (RM1.69 + 32 sen)
9 Disember 2016 RM1.80 RM2.12 (RM1.80 + 32 sen)
16 Disember 2016 RM1.85 RM2.17 (RM1.85 + 32 sen)

Bagi minggu terakir Disember 2016 dan minggu pertama Januari 2017, laporan MOPS95 hanya akan keluar selepas 7 Januari 2017 mengambil kira cuti panjang di negara-negara Barat dan pasaran utama dunia.

Pun begitu, kita boleh menganggarkan harga rujukan mengikut MOPS bagi minggu terakhir Disember 2016 berdasarkan harga pasaran minyak mentah rujukan (iaitu Brentt) dan kadar tukaran ringgit/dollar yang dilaporkan setiap hari. Oleh kerana harga RON95 yang telah diproses adalah berkadar langsung dengan turun naik minyak mentah Brent, kita boleh menggunakan peraturan-peraturan berikut:

1. Jika harga Brent (dalam dollar/tong) adalah lebih tinggi dalam minggu terakhir Disember 2016 berbanding minggu sebelum itu, maka harga harga rujukan RON95 yang telah diproses (mengikut laporan MOPS95) adalah sekurang-kurangnya sama dengan minggu sebelum itu

2. Jika kadar ringgit/dollar makin merosot dalam minggu terakhir Disember 2016 berbanding minggu sebelum itu, maka harga RON95 yang ditetapkan bagi minggu terakhir Disember 2016 adalah sekurang-kurangnya sama dengan minggu sebelum itu

Saya sertakan carta harga minyak mentah Brent dan kadar tukaran ringgit/dolar bagi bulan Disember 2016 untuk menunjukkan pergerakan dari minggu ke minggu seperti berikut:

Harga minyak mentah Brent semakin naik dari USD54.78 (19 Disember 2016) kepada USD56.14 (29 Disember 2016)

Nilai ringgit juga semakin susut dari RM4.4785 (19 Disember 2016) kepada RM4.4850 (29 Disember 2016)

 

Berdasarkan angka-angka dan harga rujukan yang telah dikira sebelum ini, adalah jelas bahawa harga RON95 yang dikira mengikut formula kerajaan bagi 1 Januari 2017 adalah RM2.20 seliter.

Kenaikan 25 sen seliter ini adalah sangat tinggi bagi keluarga berpendapatan bawahan dan pertengahan terutamanya di kala setiap keluarga telah pun membelanjakan sebahagian besar gaji bulanan mereka untuk persediaan buka sekolah anak-anak. Bagi sebuah keluarga biasa yang mempunyai sebuah kereta dan tinggal di bandar atau separa Bandar, dengan anggaran purata penggunaan petrol sebanyak 250 liter sebulan, kenaikan 25 sen ini bermakna peningkatan kos sebanyak RM62.50 setiap isirumah bagi bulan Januari 2017.

Bagi keluarga yang pendapatan isirumah dibawah RM5,000 sebulan (sekitar 60% dari keluarga di Malaysia), dengan menggunakan titik pendapatan RM2,500 sebagai median, peningkatan kos petrol RM62.50 sebulan ini bersamaan dengan kehilangan 2.5% gaji mereka bagi bulan itu, sedangkan sebahagian besar mereka (terutamanya kakitangan swasta) tidak pun mendapat apa-apa kenaikan gaji.

Jika Dato’ Seri Najib Tun Razak membenarkan harga ditetapkan mengikut formula yang beliau sendiri tetapkan sebelum ini, ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan kejam dalam keadaan sebahagian besar isirumah Malaysia bergelumang dengan gaji yang rendah dan kenaikan kos sara hidup.

Mengambil kira suasana ekonomi global yang menunjukkan harga minyak mentah akan kekal melebihi paras USD55/tong bagi beberapa bulan akan datang dan nilai ringgit yang kekal lemah (sebahagiannya disebabkan skandal 1MDB dan hilangnya keyakinan pelabur terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib), maka saya mengjangkakan harga RON95 mengikut formula kerajaan akan kekal sekitar RM2.20 bagi beberapa bulan pertama 2017.

Oleh itu, saya mendesak supaya harga siling RM2 seliter bagi RON95 dikuatkuasakan dengan mengembalikan subsidi minyak yang saya perjuangkan sejak tahun 2012 lagi. Sebarang kenaikan harga melepas RM2 seliter perlulah diimbangkan dengan kenaikan pendapatan luar jangka yang diperolehi pentadbiran Dato’ Seri Najib hasil dari kenaikan harga minyak mentah.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Tanpa Pembelian EHP Pun, Felda Menghadapi Masalah Kewangan Untuk Melaksanakan Program Tanam Semula Untuk Peneroka

Pada hari ini, saya hanya akan menumpukan kepada satu tanggungjawab Felda yang paling utama dan membawa kesan paling besar kepada peneroka di seluruh Malaysia. Sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguruskan tanah-tanah rancangan di bawahnya, Felda menguruskan kerja tanam semula bagi pihak peneroka-peneroka.

Bagi peneroka yang ladang mereka telah mencapai umur matang tertentu, pokok kelapa sawit matang itu perlu ditebang dan ditanam semula. Oleh kerana kerja-kerja itu memakan modal pusingan yang besar, majoriti peneroka akan menyerahkan kerja tanam semula ini kepada Felda untuk diuruskan (hanya sebahagian kecil yang memilih untuk mengusahakan sendiri proses tanam semula).

Selain dari mengeluarkan modal pusingan untuk mengusahakan tanam semula, Felda juga memberikan elaun sara diri kepada peneroka sepanjang tempoh tanam semula hingga ke tempoh tertentu. Dalam tempoh ini, peneroka hanya mendapat gaji asas dan sebarang laba dari jualan kelapa sawit disimpan oleh Felda sebagai sebahagian dari pembayaran bagi modal pusingan yang dikeluarkan lebih awal. Jumlah keseluruhan perbelanjaan yang didahulukan oleh Felda akan menjadi pinjaman yang perlu dilangsaikan oleh peneroka apabila mula menikmati hasil dari tanam semula itu.

Download (PDF, 119KB)

Saya ingin merujuk kepada mukasurat-mukasurat berkenaan untuk menunjukkan kedudukan kewangan terkini dan perbelanjaan tahunan Felda yang diaudit setakat tahun berakhir 31 Disember 2014:

i. Mukasurat 168: Pendapatan di peringkat Felda hanyalah RM87 juta setahun. Jika diambil kira pendapatan di peringkat kumpulan yang disatukan, pendapatan tahunan kumpulan Felda hanyalah RM420 juta setahun.

ii. Mukasurat 168: Rugi bersih Felda adalah RM1 bilion (2014) dan RM2.3 (2013)

iii. Mukasurat 185: Perbelanjaan kasar untuk melaksanakan rancangan tanam semula untuk peneroka ialah RM2.5 bilion (2014) dan RM2.4 bilion (2013)

iv. Mukasurat 187: Baki tunai yang ada di akaun Felda hanyalah RM291 juta (2014) dan RM685 juta (2015)

v. Mukasurat 271: Jumlah hutang Felda adalah RM6.1 bilion (2014) dan RM5.7 bilion (2013)

Daripada angka-angka yang diaudit ini, boleh dirumuskan bahawa kedudukan kewangan sedia ada Felda adalah sangat lemah untuk melaksanakan tanggungjawabnya melaksanakan program tanam semula bagi pihak peneroka, atas sebab-sebab berikut:

1. Pendapatannya jauh lebih rendah dari jumlah tunai yang diperlukan untuk melaksanakan program tanam semula (RM87 juta setahun berbanding keperluan tunai RM2.5 bilion setahun)

2. Operasinya mengalami kerugian besar dan terus menghakis wang simpanan yang ada sehingga jatuh ke paras RM291 juta

3. Felda tidak lagi boleh berhutang kerana hutang sedia ada sudah terlalu tinggi iaitu RM6.1 bilion

Sebab itu sebarang urusniaga yang melibatkan hutang baru akan menyebabkan kedudukan kewangan dan keberhutangan Felda makin parah. Ini akan membawa kesan langsung kepada kecairan tunai Felda dan boleh menjejaskan keupayaan Felda untuk melaksanakan program tanam semula bagi peneroka-peneroka.

Saya akan turun menjelajah ke tanah perancangan Felda untuk menterjemahkan makna angka-angka ini agar peneroka Felda memberi isyarat jelas untuk menolak urusniaga membeli pegangan di dalam EPH yang bakal menambah hutang Felda sebanyak lebih RM2 bilion lagi.

Pada masa yang sama, saya mendesak supaya Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan serta merta di atas segala kerosakan yang telah dibuat ke atas Felda sepanjang beliau memegang jawatan tersebut. Beliau kini terpaksa berdepan dengan kemarahan peneroka Felda yang akan celik mata bahaya urusniaga ini kepada kelangsungan mereka apabila ladang-ladang mereka mungkin tidak dapat ditanam balik akibat kedudukan kewangan Felda yang nazak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kos RM21 Bilion Bagi MRT1 Yang Diumumkan Perdana Menteri Tidak Termasuk RM7 Bilion Bayaran Kepada Perunding, Jumlah Kos MRT1 Adalah RM28 Bilion

Kenyataan MRT Corp (mewakili Kerajaan Persekutuan) yang cuba menyatakan saya melakukan kesilapan apabila pernah menyebut bahawa projek MRT ini dahulunya diumumkan sebagai projek usahasama awam-swasta (“public private partnership” atau PPP) sebenarnya mendedahkan lebih banyak kontroversi mengenai kos projek MRT.

Rakyat perlu tahu bahawa projek MRT ini bermula dari cadangan dua syarikat pembinaan utama negara yang selalu dikaitkan dengan pemerintah Umno iaitu MMC (yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary) dan Gamuda (yang ditubuhkan dan diuruskan oleh Dato’ Lin Yun Ling).

Seawal 15 Jun 2010, The Star melaporkan bahawa sumber kerajaan mengesahkan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menerima satu cadangan bersama sistem MRT Lembah Klang dari konsortium MMC-Gamuda seperti laporan http://www.thestar.com.my/business/business-news/2010/06/15/cabinet-yet-to-study-mrt-proposal-from-gamuda-mmc/ Berita ini juga secara jelas merujuk kepada kos RM36 bilion dan 3 jajaran MRT iaitu MRT1 (Sungai Buloh – Kajang), MRT2 (Sungai Buloh – Serdang) dan MRT3 (Circle Line).

Pada 12 Februari 2012, akhbar perniagaan The Malaysian Reserve melaporkan bahawa konsortium MMC-Gamuda itu yang dinamakan KVMRT Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian “project delivery partner” (PDP atau firma pelaksana projek) dengan syarikat kerajaan yang mengusahakan MRT iaitu MRT Corp, seperti laporan http://themalaysianreserve.com/new/story/project-delivery-partner-pact-massive-mrt-project-sealed Saya juga sertakan bersama keratin akhbar tersebut yang dimuatnaik ke laman rasmi MRT Corp sendiri.

Download (PDF, 382KB)

Laporan itu juga memperincikan jumlah bayaran yang akan dibayar oleh kerajaan (melalui MRT Corp) kepada syarikat usahasama MMC-Gamuda ini iaitu:

1. Bayaran yuran pengurusan projek sebanyak 6% dari keseluruhan pakej tender yang dianugerahkan kepada kontraktor
2. Tuntutan perbelanjaan oleh perunding bagi kos pentadbiran (“overhead”) dan kos-kos langsung lain yang dihadkan sehingga RM2.85 bilion
3. Peruntukan luarjangka projek yang dihadkan kepada 6% dari jumlah keseluruhan pakej tender yang dianugerahkan kepada kontraktor

Bayaran (1) hingga (3) di atas adalah bagi khidmat rundingan dan pengurusan projek oleh syarikat usahasama MMC-Gamuda itu termasuk risiko menanggung kenaikan kos sekiranya kenaikan kos melebihi 15% (diulas dibawah).

Sebab itu saya mengecam sekeras-kerasnya cubaan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang cuba mengelirukan rakyat mengenai kos sebenar projek MRT sepanjang 150 km. Bukan sahaja kos keseluruhan projek yang sudah pasti melebihi RM100 bilion cuba disembunyikan dari pengetahuan orang ramai, malah pengumuman beliau bahawa “projek MRT1 menelan belanja RM21 bilion dan menjimatkan RM2 bilion” adalah tidak tepat kerana tidak mengambil kira bayaran kepada perunding PDP seperti yang diperincikan di atas.

Berdasarkan perincian (1) hingga (3) di atas bersama-sama laporan NST bertarikh 24 Julai 2014 mengenai kenyataan bekas CEO MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid (rujuk http://www.nst.com.my/news/2015/09/%E2%80%98mrt-line-1-within-rm30b-budget%E2%80%99?d=1) , jelas bahawa kos sebenar MRT1 sepanjang 51 km dari Sungai Buloh ke Kajang setelah mengambil kira bayaran kepada syarikat perunding PDP milik usahasama MMC-Gamuda adalah:

RM21 bilion (seperti diumumkan Dato’ Seri Najib) bagi kos pembinaan dan sistem MRT, ditambah

RM7 bilion bagi kos perunding, tuntutan perbelanjaan dan kos berkaitan perunding PDP seperti di atas, selain apa-apa kos yang tidak diumumkan.

Maka, kos sebenar bagi MRT1 sahaja adalah RM28 bilion setelah mengambil kira bayaran RM7 bilion kepada perunding PDP seperti yang disebut sendiri oleh bekas CEO MRT Corp dua tahun lalu.

Sebab itu saya tidak berganjak dari angka RM40 bilion yang disebut oleh Dato’ Seri Najib dalam ucapan belanjawan 2011 yang disampaikan dalam bulan Oktober 2010 kerana ia berkemungkinan besar adalah hasil dari cadangan sistem MRT yang dikemukakan (dan kemudiannya diterima oleh kerajaan) oleh syarikat usahasama MMC-Gamuda. Pada ketika itu, hanya syarikat usahasama MMC-Gamuda itu yang mungkin telah melaburkan sejumlah wang untuk menggaji perunding bagi menyiapkan kertas cadangan sistem MRT itu kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pun baru ditubuhkan.

Sebab itu jugalah ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan iaitu Saudara Tony Pua dan saya sendiri telah mengecam pendekatan yang digunapakai oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib sejak dari awal projek MRT diumumkan kerana ia mendedahkan rakyat kepada risiko kos pembinaan MRT naik melambung.

Rakyat perlu tahu kegilaan yang telah berlaku dalam pelaksanaan projek MRT ini, seperti berikut:

i. Jun 2010 – Syarikat usahasama MMC-Gamuda mencadangkan projek MRT yang pada awalnya diwar-warkan sebuah projek usahasama swasta-kerajaan;

ii. Oktober 2010 – Pentadbiran Dato’ Seri Najib mengumumkan pembinaan sistem MRT pada kos RM40 bilion beberapa bulan setelah menerima cadangan dari syarikat usahasama MMC-Gamuda itu;

iii. Februari 2012 – Pentadbiran Dato’ Seri Najib melalui MRT Corp menandatangani perjanjian melantik syarikat usahasama MMC-Gamuda sebagai perunding PDP untuk menguruskan projek MRT (termasuk merancang, mengeluarkan tender, memilih pembida dan melantik kontraktor bagi pihak kerajaan);

iv. Mac 2012 – Konsortium MMC-Gamuda dianugerahkan tender membina pakej bawah tanah MRT1 berjumlah RM8.2 bilion seperti dilaporkan http://tunnellingjournal.com/news/breaking-news-mmc-gamuda-wins-kuala-lumpur-mrt/ Ini bermakna selain dari menjadi perunding pelaksana projek yang menguruskan pemilihan pembida dan melantik kontraktor bagi pakej-pakej pembinaan, konsortium yang sama juga membida bagi pakej-pakej yang ditawarkan di dalam projek ini;

v. Julai 2014 – MRT Corp menyatakan bahawa kos pembinaan MRT1 meliputi RM23 bilion untuk pembinaan dan sistem; serta RM7 bilion untuk perunding PDP dan kos-kos lain.

Ini bermakna, cadangan asal yang menentukan rekabentuk, sistem dan jajaran yang dibawa oleh konsortium MMC-Gamuda besar kemungkinan berjumlah sekitar RM40 bilion. Pentadbiran Dato’ Seri Najib kemudian melantik MMC-Gamuda untuk melaksanakan projek bagi pihak kerajaan dan memastikan kos tidak melebihi anggaran dengan imbuhan yang lumayan (6% yuran perunding dan tuntutan sehingga RM2.85 bilion). Pentadbiran Dato’ Seri Najib juga meluluskan peruntukan luar jangka sehingga 6% dari jumlah tender (bersamaan RM1.3 bilion) yang memudahkan lagi konsortium MMC-Gamuda mencapai sasaran kos RM21 bilion.

Persoalan saya: bagaimana konsortium MMC-Gamuda boleh diberi imbuhan sebagai perunding PDP untuk melaksanakan projek MRT dan mengawal kos pembinaan sehingga RM7 bilion apabila kos pembinaan RM23 bilion yang diuruskannya bagi MRT1 adalah jauh lebih tinggi dari keseluruhan kos RM40 bilion yang disebut oleh Dato’ Seri Najib (yang besar kemungkinan datang dari konsortium ini juga?)

Dengan kegilaan ini, wajarlah Dato’ Seri Najib meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana cuba mengelirukan rakyat mengenai tanggungan sebenar kos MRT (baik MRT1 atau keseluruhan projek).

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Bentangkan Perbezaan Kos MRT Yang Diumumkan Dalam 2010 Dengan Kos Yang Bakal Ditanggung Rakyat

Hari ini genap seminggu masa yang saya berikan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap saya (melalui saman fitnah) sekiranya betul dakwaan saya bahawa kos keseluruhan MRT bagi 150 km melebihi RM100 bilion, malah mencecah RM124 bilion pada kiraan saya.

Sejak mengumumkan penjimatan RM2 bilion semasa melancarkan Fasa 1 MRT1 dari Sungai Buloh ke Semantan pada 15 Disember 2016, Dato’ Seri Najib tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya. Sebaliknya, sebarang isu mengenai kos sebenar MRT diserahkan sama ada kepada Dato’ Abdul Rahman Dahlan, yang kemudiannya menyerahkannya pula kepada satu pasukan komunikasi strategik BN yang tidak bernama.

Tugas mempertahankan Dato’ Seri Najib yang sudah kesipuan besar itu juga diserahkan kepada tentera maya (“cybertrooper”) Barisan Nasional di bawah kawalan JASA. Terbaru, Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Dato’ Seri Ismail Sabri cuba mengheret pimpinan lain dari Pakatan Harapan untuk mengalihkan fokus dari perkara yang paling pokok: berapa sebenarnya kos keseluruhan MRT sepanjang 150 km itu.

Akhirnya pada 24 Disember 2016, kerajaan melalui MRT Corporation mengeluarkan satu kenyataan bahawa “kos RM40 bilion (yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib dalam tahun 2010) itu tidak lagi relevan”. Kenyataan MRT Corporation itu secara tidak langsung mengesahkan hujah saya bahawa kos keseluruhan MRT sepanjang 150 km melebihi RM100 bilion.

Maka wajarlah perhatian rakyat kini ditumpukan pula kepada sebab-sebab kenapa projek yang diumumkan hanya menelan belanjan RM40 bilion dalam tahun 2010 itu kini mengalami kenaikan kos 3 kali ganda sehingga mencecah RM124 bilion kerana mereka yang bertanggungjawab perlu diambil tindakan.

Saya membandingkan anggaran kos projek-projek MRT di seluruh dunia untuk mendapatkan sedikit gambaran sejauh mana perbezaan kos sekarang (mencecah RM124 bilion) dengan kos yang diumumkan (RM40 bilion) berpunca dari pembaziran, ketidakcekapan, rasuah atau ia hanya kelemahan pengiraan di pihak Dato’ Seri Najib semata-mata yang memberikan angka mudah yang tidak realistik semasa mengumumkan projek ini dalam tahun 2010.

Projek MRT bawah tanah antara bandar di antara Barcelona Sants-La Sagrera sejauh 5.8 km dibina di antara 2008 dan siap 2011, bernilai USD39 juta per km. Projek MRT Seoul Line 9 sejauh 27 km sepenuhnya bawah tanah dibuka pada tahun 2009 dan menelan belanja USD43 juta per km.

Kedua-dua projek ini adalah projek penting yang sedang berjalan semasa projek MRT dirancang dan diumumkan dalam tahun 2010. Kos bagi MRT bawah tanah sepenuhnya hanyalah sekitar USD39 juta – USD43 juta setiap km iaitu jauh lebih rendah dari kos MRT1 sejauh 50 km dari Sungai Buloh ke Kajang, yang boleh dikira seperti berikut:

Kos yang telah diumumkan = RM21 bilion bagi 51 km
Pada tukaran purata RM4 bagi setiap USD1, kos per km = USD103 juta per km

Pada harga USD103 juta setiap km, kos MRT1 yang telah disiapkan (dan diumumkan ada penjimatan RM2 bilion) adalah 2.5 kali ganda lebih mahal dari projek di Barcelona dan Seoul, sedangkan kedua-dua projek tersebut adalah bawah tanah sepenuhnya dan MRT1 dari Sg Buloh ke Kajang hanya 9 stesen di bawah tanah. Maka, Dato’ Seri Najib perlu bentangkan kos perbezaan kenapa MRT1 sangat mahal berbanding projek-projek lain sedangkan kos RM40 bilion itu besar kemungkinan merujuk kepada kos projek sedia ada semasa itu iaitu di Barcelona dan Seoul.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN