Pakatan Harapan Tumpu Isu-Isu Membela Kebajikan Rakyat, Elak Polemik Politik

backdrop

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan sedia maklum dengan beberapa kenyataan yang dibuat oleh PAS sejurus berlangsungnya Ijtima’ Pilihanraya PAS Selangor hari ini.

Walaupun ada kenyataan-kenyataan itu yang menjurus terus kepada parti-parti di dalam Pakatan Harapan, Majlis Setiausaha berpendapat bahawa misi paling utama Pakatan Harapan sekarang ini adalah untuk menumpukan kepada isu-isu kebajikan rakyat yang tertekan dengan segala tindakan dan dasar Dato’ Seri Najib Tun Razak. Perkara paling penting dalam negara ini ialah untuk menghentikan kemudharatan kepada rakyat akibat dari pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi meringankan beban rakyat.

Dalam bulan Januari 2016 ini, ada beberapa peristiwa penting yang akan berlaku yang membawa kesan besar kepada rakyat. Ini adalah proses semakan semula Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2016 yang terpaksa dibentangkan semula oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana unjuran pendapatan Kerajaan Persekutuan kini tidak lagi dapat menampung perbelanjaan. Satu lagi peristiwa penting ialah sidang khas Parlimen pada 26 dan 27 Januari 2016 untuk membahaskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang akan membawa kesan besar kepada rakyat.

Oleh yang demikian, mengambil semangat kesatuan politik di antara KEADILAN, DAP dan AMANAH yang dimeterai di dalam Perjanjian Pakatan Harapan semalam, Majlis Setiausaha mengambil pendirian supaya semua pimpinan Pakatan Harapan tidak terjebak di dalam polemik politik yang tidak berkesudahan kerana ini akan mengalihkan perhatian kami dari membawa isu-isu rakyat dan membendong keborosan Umno/Barisan Nasional. Malah, polemik politik yang berlebihan itu tidak disenangi rakyat dan memberi kelebihan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk kekal berkuasa.

 

10 Januari 2016

DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH YB RAFIZI RAMLI YB LOKE SIEW FOOK HAJI MOHAMAD ANUAR TAHIR
 

Ketua Setiausaha PH

 

Setiausaha Agung KEADILAN

 

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP

 

Setiausaha Agung AMANAH

 

Perjanjian Pakatan Harapan / Pakatan Harapan’s Coalition Agreement

Alhamdulillah pada hari ini, 9 Januari 2016 buat pertama kali satu pakatan politik menandatangani perjanjian yang mengikat dan terperinci mengenai prinsip dan kaedah dalam membina kesatuan politik.

Dari asas ini, Insya Allah Pakatan Harapan akan menumpukan usaha kepada membangunkan kerangka dasar-dasar bersama dan program-program yang akan meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Harapan adalah pilihan terbaik untuk membela kepentingan dan kebajikan rakyat.

Muatturun perjanjian untuk sebarkan; seperti berikut:

 

Bahasa Melayu

Download (PDF, 4.93MB)

Bahasa Inggeris

https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgQWJ6Zk54NE5xVXc

IMG_4057 IMG_4060 IMG_4061 IMG_4062 IMG_4064 IMG_4069 IMG_4070

1MDB Perlu Sahkan Sama Ada Perbezaan Nilai Urusniaga Sebanyak RM2.13 Bilion Melibatkan Penjualan Bandar Malaysia Adalah Bersabit Pemindahan Dan Naiktaraf 6 Kem Tentera Udara

Saya merujuk kepada laporan-laporan sebelum ini mengenai perbezaan nilai urusniaga melibatkan penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB yang diumumkan oleh 1MDB berbanding dengan nilai yang difailkan di Bursa Hong Kong oleh China Railway Group Limited iaitu syarikat induk kepada China Railway Engineering Corp.

Laporan The Malaysian Insider hari ini memetik kenyataan Presiden/CEO 1MDB, Arulkanda Abdullah bahawa perbezaan sebanyak RM2.13 bilion itu adalah melibatkan beberapa liabiliti dan kos melibatkan pemindahan kemudahan sedia ada yang perlu dirundingkan oleh 1MDB dan konsortium pembeli yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China itu yang akan dimuktamadkan menjelang Jun 2016.

Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami betapa mengejutkan pengesahan yang dibuat oleh Arulkanda Abdullah hari ini.

Untuk pengetahuan umum, tanah yang ingin dibangunkan sebagai Bandar Malaysia dan dianugerahkan kepada 1MDB oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sekarang ini menempatkan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi. Sebelum ini 1MDB bersetuju untuk memindahkan kemudahan Kem TUDM itu dan menaiktarafkan 6 pengkalan TUDM yang lain dan satu kem polis udara sebagai pertukaran tanah di Sungai Besi itu dipindahmilik kepada 1MDB. Saya dimaklumkan kem-kem tersebut antara lainnya ialah Kem TUDM Kuantan, Kem TUDM Gong Kedak, Kem TUDM Sendayan, Kem TUDM Butterworth dan Kem Polis Udara Ipoh.

Arulkanda Abdullah hari ini mengesahkan bahawa perbezaan RM2.13 bilion (iaitu nilai urusniaga yang diumumkan adalah RM2.13 bilion lebih tinggi dari apa yang difailkan oleh China Railway Group Limited) untuk mengambil kira kos-kos pemindahan dan kemudahan sedia ada di tanah tersebut.

Ini bermakna liabiliti 1MDB untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM Sungai Besi belum disempurnakan oleh 1MDB. Apabila pegangan saham di dalam projek pembangunan Bandar Malaysia dijual kepada konsortium yang dianggotai oleh syarikat milik Kerajaan China ini, ada kemungkinan besar liabiliti untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM itu turut ditanggung oleh konsortium pembeli itu.

Jika ini benar-benar berlaku, ini membawa implikasi besar kepada kedaulatan negara dan pertahanan negara seperti berikut:

1. Apakah konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini akan terlibat di dalam keputusan-keputusan yang membabitkan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM?

2. Apakah konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini berhak membuat keputusan mengenai kos yang membabitkan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM?

3. Apakah jika konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini enggan membayar jumlah RM2.13 bilion, itu akan menjejaskan proses pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM sedia ada?

Hakikat bahawa syarikat China Railway Group Limited telah memfailkan nilai urusniaga yang lebih rendah sebanyak RM2.13 bilion bermakna ia telah pun memasukkan liabiliti kos pemindahan kemudahan sedia ada yang dirujuk oleh Arulkanda Abdullah di dalam kenyataannya hari ini.

Justeru, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri memberi penjelasan kepada soalan-soalan di atas secepat mungkin kerana tidak ada mana-mana negara berdaulat yang wajar melibatkan syarikat yang dimiliki negara lain di dalam apa-apa keputusan yang membabitkan kelengkapan dan kemudahan ketenteraannya, terutamanya memandangkan Kem TUDM Sungai Besi adalah salah satu kem tentera udara paling penting di negara ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN