Kajiselidik Taman Tugu bitly.com/surveytamantugu | Kumpulan QS Sukarelawan bitly.com/qsrakyat

091316-kajiselidik-taman-tugu-01

Saya mengikuti penerangan yang diberikan oleh Tan Sri Azman Mokhtar, CEO Khazanah mengenai pecahan kos projek Taman Tugu seperti yang diterangkan semasa acara soal jawab yang pertama yang diadakan minggu lepas. Saya juga dihubungi oleh Encik Jiv Sammanthan, Ketua Pegawai kepada CEO untuk menyertai acara-acara soal jawab tersebut atau mendengar taklimat dari Khazanah.

Saya berterima kasih kepada Khazanah di atas jemputan tersebut.

Walau bagaimana pun, saya hanya akan menyertai satu taklimat dan perbincangan dengan Khazanah atau pihak berkuasa setelah saya mendapat maklumbalas umum dari orang ramai mengenai perkara ini. Ia juga sesuatu yang boleh membantu Khazanah menilai kesan projek ini kepada jenamanya (branding) kerana acara-acara “townhall” dan “engagement” yang disusun oleh Khazanah setakat ini hanya berkisar di tempat tertentu dan mungkin tidak boleh meliputi seramai mungkin rakyat.

Saya juga ingin memastikan bahawa apabila saya duduk mendengar taklimat dari Khazanah, saya dibantu oleh juruukur (quantity surveyor) dan jurutera yang boleh memahami kos projek yang disebut oleh Khazanah.

Oleh itu, saya telah melancarkan dua kajisedilik iaitu:

1. #QS_Rakyat untuk mengumpulkan juruukur dan jentera dalam satu pasukan untuk membantu menyemak kos yang disebut oleh Khazanah atau pihak berkuasa. Mereka yang berminat untuk membantu boleh mengisi borang di bitly.com/qsrakyat

2. #SurveyTamanTugu untuk mengumpul pandangan orang ramai mengenai projek Taman Tugu secara keseluruhan. Kajiselidik boleh didapati di bitly.com/surveytamantugu dan saya galakkan seberapa ramai rakyat menyertainya jika anda benar-benar serius mengenai pembaziran wang negara

Saya masih tidak yakin dengan penjelasan yang diberikan oleh Tan Sri Azman Mokhtar setakat ini dan masih berpandangan bahawa ia satu pembaziran dana awam.

Pun begitu, saya akan menunggu maklumbalas orang ramai yang dibuka sehingga Jumaat ini sebelum saya mengaturkan satu perjumpaan dengan Khazanah secara rasmi.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Keputusan Benarkan Pemaju Memberi Pinjaman Perumahan: Membunuh Ekonomi, Membunuh Rakyat, Risiko Menjadi Sumber Dana PRU14 Terlalu Tinggi

090916-cadangan-noh-omar-01

Belum pun kejutan dari pengumuman membelanjakan RM650 juta untuk menaiftaraf Taman Tasik Perdana luntur, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat satu lagi kejutan baru yang lebih tidak masuk akal. Kali ini kejutan dibuat oleh Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar yang mengumumkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan lesen memberi pinjaman perumahan kepada pemaju-pemaju besar seperti Kumpulan Sunway, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac.

Pengumuman ini dibuat tanpa ada sebarang perbincangan awam dengan “pihak yang berhak” (stakeholders) terutamanya golongan pembeli, para ekonomi, sektor kewangan apatah lagi Ahli Parlimen. Saya tidak pernah mendengar sekali pun dalam masa setahun yang lepas pimpinan Bank Negara Malaysia membuat kenyataan mengenai perkara ini sedangkan ia membawa perubahan paling besar kepada sektor kredit perumahan yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia.

Mengambil kira pengumuman sebelum ini seperti menaiktaraf Taman Tasik Perdana berjumlah RM650 juta, saya semakin cenderong mengesyaki bahawa keputusan-keputusan yang membawa risiko kewangan besar kepada rakyat dan negara ini bukanlah keputusan berhubung pertimbangan dasar (not driven by policy framework) tetapi satu skim untuk mendapatkan dana Pilihanraya Umum 14 (PRU14) Barisan Nasional.

Saya telah nyatakan secara terbuka analisa saya bahawa satu-satunya faktor yang mengekang Dato’ Seri Najib Tun Razak memanggil PRU14 lebih awal ialah kekurangan dana memandangkan apa-apa dana yang diselewengkan dari 1MDB kini dibekukan di negara-negara lain. Dengan belanja PRU yang mencecah beberapa billion ringgit, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan Umno mesti mencari sumber baru.

Membenarkan pemaju besar menawarkan khidmat memberi pinjaman kepada pembeli samalah seperti memberikan lesen institusi kewangan kepada pemaju-pemaju besar ini. Kalau pada awalnya sebuah anak syarikat ditubuhkan hanya untuk memberikan pinjaman perumahan kepada pembeli rumah dari kumpulan pemaju itu, lama-kelamaan hartawan besar yang memiliki kumpulan pemaju ini boleh sahaja melobi supaya lesen mereka diperluaskan untuk berfungsi sebagai sebuah bank.

Lesen membuka institusi kewangan atau bank di negara ini adalah cukup berharga kerana selepas krisis kewangan 1997/98, dasar penggabungan institusi kewangan menghadkan bank kepada beberapa kumpulan besar sahaja demi mengelakkan risiko bank kecil yang bermasalah mencetuskan wabak kewangan yang berjangkit. Sejak proses penggabungan itu selesai lebih 15 tahun lalu, tidak ada satu kumpulan perbankan baru pun yang dibenarkan.

Saya khuatir keputusan Kerajaan Pusat ini adalah jalan belakang ke arah itu dan sebagai balasan, kumpulan pemaju besar yang diberikan lesen perlu “menderma” sejumlah yang besar kepada Barisan Nasional. Jika satu lesen menarik derma sebanyak RM100 juta (iaitu jumlah yang kecil bagi satu lesen institusi kewangan), 5 lesen mampu menarik “derma” politik sehingga RM500 juta.

Saya lebih rela dibuktikan salah dan disaman di mahkamah jika pertanyaan saya ini dianggap fitnah daripada membenarkan perkara ini diteruskan kerana kesannya (selain dari rasuah politik) adalah terlalu besar kepada rakyat.

Saya senaraikan 3 risiko terbesar yang akan membunuh rakyat dan membunuh ekonomi jika perkara ini diteruskan:

1. Risiko kewangan “sub-prime” – membenarkan pemaju untuk memberikan pinjaman perumahan kepada peminjam yang tidak layak (mengikut peraturan kredit Bank Negara Malaysia) kerana pendapatan mereka tidak padan dengan ansuran bulanan adalah satu tindakan membina portfolio peminjam tidak boleh bayar.

Apatah lagi kadar faedah yang dikenakan iaitu 12% hingga 18% adalah lebih tinggi dari kadar kad kredit dan menjadikan kebarangkalian peminjam tidak boleh membayar balik adalah terlalu tinggi. Fenomena membenarkan peminjam yang tidak layak mendapat pembiayaan perumahan pada kadar faedah yang tinggi inilah yang dirujuk sebagai “sub-prime” yang pernah berlaku di Amerika Syarikat hinggalah skim itu runtuh dalam tahun 2008.

Akibat krisis “sub-prime” di Amerika Syarikat, seluruh ekonomi dunia merudum dan kesannya belum dipulihkan sepenuhnya di beberapa negeri/bandar di Amerika Syarikat terutamanya di Detroit.

2. Melesenkan “Along” dan meluaskan riba’ – kadar 12% hingga 18% yang diumumkan oleh Dato’ Seri Noh Omar adalah kadar pinjaman yang ditawarkan oleh Along. Kadar itu juga adalah satu bentuk penghambaan kewangan kerana keuntungan yang diambil oleh pemberi pinjaman adalah berlipat kali ganda hingga membunuh kelangsungan ekonomi peminjam.

Mana-mana peminjam yang mengambil pembiayaan rumah pada kadar ini samalah seperti menjadi hamba kepada pemberi pinjaman sehingga ke akhir hayat kerana jumlah bayar balik adalah di antara 4 – 6 kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

3. Lebih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah – Memberi lesen kepada pemaju memberi pembiayaan pada kadar along bermakna Kerajaan Persekutuan langsung tidak mengambil hirau bahawa harga rumah yang dipacu oleh pemaju-pemaju terbesar ini adalah diluar kemampuan rakyat terutamanya di bandar-bandar besar yang dimonopoli mereka.

Dengan lesen memberi pinjaman ini, lebih banyak projek perumahan diluar kemampuan rakyat yang akan dibangunkan dan pilihan rumah mampu milik semakin berkurangan dengan alasan pembeli kini boleh meminjam 100%. Akibatnya pemaju kecil akan gulung tikar kerana hanya pemaju besar yang ada lesen yang mampu bersaing dan pada masa yang sama harga rumah akan terus naik mencanak.

Sebelum ini saya jarang memberi komentar mengenai perumahan kerana ia lebih wajar dibela oleh ahli parlimen lain memandangkan saya sudah banyak mengendalikan isu-isu ekonomi lain.

Walau bagaimana pun, keputusan Kerajaan Persekutuan kali ini adalah keputusan paling gila saya mengenai perumahan dan kewangan negara yang pernah saksikan sejak saya menjadi ahli parlimen.

Oleh itu, saya akan mengikuti dengan dekat isu ini dan akan mula menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah perumahan rakyat bermula minggu depan.

Saya juga akan berusaha agar risiko-risiko akibat dari keputusan memberi lesen pembiayaan kepada pemaju besar ini difahami rakyat secepat mungkin dan diterjemahkan menjadi bantahan segera agar keputusan tersebut dibatalkan serta merta.

Saya akan mula menyiarkan satu video ringkas menerangkan perkara ini kepada orang ramai petang ini dan sasaran saya agar ia ditonton 500,000 orang dalam masa seminggu. Video itu akan disiarkan di laman Facebook Page https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Apa Jaminan Perdana Menteri RM650 Juta Kos Taman Tugu Tidak Digunakan Untuk Mengumpul Dana PRU14?

Saya melihat satu trend terkini iaitu dalam kegawatan polemik politik yang tepu, ada pengumuman-pengumuman besar yang membawa kesan kewangan besar kepada rakyat. Malangnya dalam kegawatan polemik politik mutakhir, pengumuman-pengumuman begini dilepas pandang baik oleh ahli politik, wakil rakyat, media atau rakyat sendiri.

Saya sangat prihatin dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengenai satu projek menaiktaraf Taman Tasik Perdana (nama lama) yang turut dikenali sebagai Lake Gardens menjadi “Taman Tugu” pada kos RM650 juta.

Saya telah mendapat tahu mengenai perkara ini sejak beberapa bulan yang lalu kerana dimaklumkan oleh kakitangan awam yang prihatin akan kesannya kepada Rumah Kelab Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan perniagaan di situ. Saya memilih untuk menunggu pengumuman rasmi sebelum memberi komen.

Saya sangat terkejut dengan harga RM650 juta yang diumumkan terutamanya melihatkan skop kerja dan naiktaraf yang diumumkan setakat ini. Orang ramai boleh meninjau sendiri cadangan naiktaraf di laman Taman Tugu http://tamantugu.com.my/en/things-to-see-do/. Saya rumuskan kerja-kerja naiktaraf yang telah disenaraikan seperti berikut:

1. Sektor Keluarga & Komuniti – Surau Jumaat, gerai makan, taman kanak-kanak dengan kawasan bermain air, parkir, kawasan acara luar dewan, kawasan makan dan minum tepi tasik, laluan pejalan kaki, dewan acara untuk 1,000 orang dan kuil Hindu

2. Sektor Pendidikan & Pembelajaran – Pusat Pendidikan Hutanhujan, laluan 800 meter untuk ruang berjalan dan berlari, laluan 500 meter tepian alur, laluan tergantung 80 meter untuk pusat pembelajaran dan inovasi dengan kerjasama Malaysian Nature Society

3. Aktiviti rekreasi – Kawasan rekreasi, laluan hutan 800 meter, kawasan gazebo terbuka, kawasan perkhemahan dan menara pantau

4. Kawasan bersejarah – pejabat ISIS dan rumah Kelab PTD

Kos RM650 juta adalah tinggi bagi kerja-kerja sebegini dan ia akan dibiayai sebahagian besarnya oleh Khazanah sebanyak RM500 juta.

Melihatkan kos RM650 juta yang tinggi dan dananya akan diperolehi oleh Khazanah, saya khuatir projek ini tidak lebih dari projek untuk menjana dana bagi pihak-pihak berkepentingan yang akhirnya akan disalurkan kembali kepada kempen Umno/Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 14 (PRU14) nanti.

Umum mengetahui bahawa belanja menguruskan kempen yang ditanggung oleh Umno/Barisan Nasional dalam sesuatu pilihanraya umum boleh mencecah berbilion ringgit. Jika dalam PRU13 Dato’ Seri Najib Tun Razak mengaku menerima derma RM2.6 bilion, saya tidak yakin beliau akan begitu bernasib baik untuk menerima derma yang sebesar itu menjelang PRU14.

Saya ingin melahirkan kebimbangan bahawa projek-projek pembinaan dan naiktaraf diwujudkan bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan untuk menyedut dana-dana dari syarikat berkaitan kerajaan atau tabung awam yang lain. Projek-projek yang kosnya tidak seberapa kemudian akan dilipatgandakan nilainya dan dianugerahkan kepada kontraktor tertentu dan keuntungan yang berlipatganda itu kemudian “didermakan” balik kepada pimpinan atau badan tertentu menjelang PRU14.

Sebagai seorang akauntan bertauliah dan aktivis whistleblower yang telah lama berdepan dengan kes-kes penyelewengan dana awam, saya ingin menyatakan bahawa projek Taman Tugu ini mengundang risiko yang besar akan ada campur tangan untuk menganugerahkan tender kepada kontraktor tertentu.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak menjelaskan kepada rakyat jaminan beliau bahawa:

1. Proses ukur bahan (quantity survey) untuk menentukan kos sebenar bagi kerja-kerja di atas dibuat secara terbuka, telus dan boleh diteliti secara terperinci oleh rakyat

2. Proses bidaan tender bagi setiap pakej dibuat secara terbuka, telus dan boleh diteliti secara terperinci oleh rakyat

3. Setiap pembida bersetuju membuat pengisytiharan terperinci (detailed disclosure) yang menunjukkan pemilikan dan aliran wang

Sekiranya beliau gagal memberi jaminan ini, maka saya akan mengambil pendirian untuk menentang projek ini dan akan mula menggerakkan kempen tersusun menghalangnya. Saya akan mulakan dengan mengumpul satu pasukan juruukur bahan (quantity surveyor) sukarela yang akan mula meneliti kos sebenar bagi kerja-kerja di atas.

Saya akan menunggu maklumbalas dari Dato’ Seri Najib Tun Razak atau Khazanah dalam tempoh seminggu sebelum mengumumkan pendirian saya sebagai ahli parlimen mengenai projek ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Dialog “Hargai Perajurit” Di Seluruh Negara

IMG_8948

Sejak dari Mac 2016, saya telah membawakan isu kebajikan pesara tentera yang bermula dengan masalah kelewatan pembayaran caruman mereka di dalam LTAT selepas meninggalkan persaraan. Saya juga telah membongkarkan bagaimana 1MDB telah terlambat membayar kepada anak syarikat LTAT yang diberikan kontrak memindahkan dan menaiktaraf pengkalan udara di seluruh Malaysia. 1MDB juga telah menggunakan wang yang diperuntukkan kerajaan untuk dibayar kepada anak syarikat LTAT untuk membayar faedah pinjamannya.

Saya telah ditahan, dibicarakan dan berdepan dengan hukuman penjara mandatori akibat membawa isu ini. Saya juga telah disaman oleh LTAT dan kes ini sedang berjalan di mahkamah.

Malangnya, saya tidak melihat apa-apa perubahan kepada nasib pesara tentera. Masih ramai pesara yang baru meninggalkan perkhidmatan yang terpaksa menunggu berbulan (kalau bukan bertahun) untuk mendapatkan wang caruman mereka. Alasan yang diberikan oleh LTAT atau UGAT samalah seperti cuba mencuci tangan tanpa menyelesaikan masalah ini. Dividen LTAT bagi tahun 2015 adalah yang paling rendah sejak dalam sejarah.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak pernah memberi maklumbalas mengenai perkara-perkara ini setiap kali saya menimbulkannya.

Pada masa yang sama, saya terus menerima aduan kelewatan pembayaran dari pesara-pesara melalui borang bitly.com/pesaratentera . Terbaru, saya akan mengemukakan 95 lagi senarai pesara-pesara yang belum menerima bayaran caruman mereka kepada LTAT dan UGAT untuk diselesaikan segera kerana mereka telah menunggu lama untuk mendapatkan hak mereka.

Pesara tentera adalah antara kumpulan pengundi Melayu yang paling berpengaruh di dalam masyarakat walaupun mereka jarang menyedarinya. Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) mengaggarkan terdapat sekitar 450,000 veteran tentera dan setiap tahun secara purata seramai 5,000 askar akan tamat perkhidmatan. Jika setiap veteran mempunyai keluarga (isteri dan anak-anak) seramai 4 orang, maka terdapat sekitar 1.8 juta pengundi yang rata-ratanya Melayu dari kalangan veteran tentera.

Oleh kerana saya juga sedar saya mungkin mempunyai masa beberapa bulan sahaja lagi sebelum dijatuhkan hukuman penjara, saya telah umumkan bahawa hal ehwal kebajikan pesara tentera adalah antara agenda utama saya.

Selain dari membicarakan mengenai kebajikan veteran, saya juga akan mengupas dan mendedahkan perkara-perkara berikut:

1. Keadaan pengkalan tentera dan kemudahan tentera yang diabaikan atau dikomersilkan seperti mana projek Bandar Malaysia oleh 1MDB
2. Prospek pelaburan jangka pendek dan sederhana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)
3. Keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan dan kebajikan kepada rakyat keseluruhannya

Saya akan melawat setiap kem tentera yang besar di seluruh Malaysia dan akan memenuhi jemputan kumpulan-kumpulan pesara tentera yang menjemput saya berdialog dengan mereka melalui satu program yang diberi nama Hargai Perajurit: Misi Angkat Kebajikan Perajurit.

Dialog pertama akan diadakan di Setiawangsa iaitu berdekatan kem tentera utama di Lembah Klang pada hari Rabu, 7 September 2016 jam 9 malam di Jalan 24/56, Keramat Wangsa, Kuala Lumpur dan akan disertai oleh YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid, YBhg Brig Jeneral (B) Dato’ Abdul Hadi Khattab dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad selain saya sendiri.

Saya akan umumkan tarikh bagi dialog di Lumut, Butterworth, Kuantan, Telok Kemang dan kem-kem lain dari semasa ke semasa. Saya juga mencabar bekas-bekas jeneral dan pegawai berpangkat tinggi dalam tentera untuk turut sama hadir bagi membuktikan kepedulian mereka kepada nasib anak buah mereka yang diabaikan selama ini.

Saya yakin undi protes paling besar terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak akan bermula dari kumpulan keluarga veteran tentera yang berjumlah 1.8 juta orang ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Terus Perjuang Nasib Rakyat Walau Penjara Menanti

Keputusan mahkamah hari ini yang bersetuju pihak pendakwa telah membuktikan prima facie (ada asas kukuh pertuduhan terhadap saya) sudah pun saya duga.

Saya mengikuti dengan dekat persediaan pembelaan yang dikemukakan oleh pasukan peguam saya yang diketuai oleh YB Gobind Singh Deo, Saudara Saiful Izham Ramli, Saudara Ahmad Nizam Abdul Hamid dan kumpulan peguam muda yang lain. Saya yakin hujah kami adalah kukuh dan akan memastikan kes pembelaan kelak akan menunjukkan kelemahan-kelemahan pendakwaraya yang sepatutnya mendorong mahkamah membebaskan saya.

Pun begitu, saya pasrah dengan kemungkinan bahawa saya hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebelum proses mahkamah selesai dan saya dijatuhkan hukuman penjara. Kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) membawa hukuman wajib penjara sekurang-kurangnya satu tahun.

Saya tidak menyesal dan tidak akan berubah pendirian atau pendekatan. Dalam perkara yang jelas betul atau salahnya, tanggungjawab seorang insan adalah berkata benar. Soal kesan akibat berkata benar itu wajarlah diserahkan kepada Allah SWT semata-mata kerana kalau kita yakin kita berkata benar demi mencari keredhaan Allah SWT, kita juga yakin Allah SWT akan melindungi kita dan keluarga kita.

Kalaulah semua pimpinan masyarakat dan agamawan dalam masyarakat mengambil pendirian begini, lebih mudahlah kita melawan kezaliman dalam masyarakat tidak kira betapa kuatnya kuasa pemerintah.

Oleh itu, saya akan terus membawa isu-isu rakyat terbanyak lebih-lebih lagi dalam konteks kemelut politik pemimpin negara sekarang.

Saya telah membuat satu kajiselidik ringkas yang disertai oleh 718 responden sejak 2 minggu lalu. Kajiselidik ini disebarkan secara meluas melalui media sosial dan whatsapp. Soalan penuh kajiselidik boleh disemak di https://poll.fbapp.io/exatdu

Kajian ini bertujuan membantu saya memilih isu yang penting untuk rakyat dalam keadaan keseluruhan fokus ahli politik dan kebanyakan NGO sejak setahun lalu adalah 1MDB semata-mata serta usaha-usaha menukar Perdana Menteri.

Sedang saya bersetuju sepenuhnya dengan sebarang usaha menukar Perdana Menteri serta merta kerana saya bimbang ada usaha menutup skandal 1MDB dengan menggunakan dana-dana awam seperti Tabung Haji, KWAP, KWSP, PNB, Perkeso dan lain-lain, saya juga khuatir keghairahan bercakap mengenai 1MDB dan memecat Perdana Menteri semata-mata tanpa membela nasib rakyat terbanyak akan menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan dilihat terpisah dari rakyat.

Dapatan dari kajiselidik tersebut disertakan bersama-sama kenyataan ini.

image

image

image

image

Ringkasan penting dari dapatan tersebut adalah seperti berikut:

1) 97% dari 718 responden berpendapat ada bukti kukuh Dato’ Seri Najib Tun Razak terlibat di dalam skandal 1MDB

2) Hanya 67% berpendapat pendedahan baru mengenai 1MDB akan mempengaruhi keputusan mereka mengenai 1MDB

3) 92% berpendapat isu-isu kebajikan rakyat lebih penting diketengahkan berbanding Rang Undang-undang 355

4) Responden menyenaraikan “memperjuangkan isu rakyat untuk membela rakyat” sebagai tugas terpenting yang mereka mahu wakil rakyat laksanakan; lebih tinggi dari mendedahkan skandal 1MDB dan menukar Perdana Menteri semata-mata

Dapatan-dapatan ini memberi panduan kepada saya bahawa tumpuan pimpinan Pakatan Harapan dan wakil rakyat sewajarnya untuk kembali membela nasib rakyat dengan memperjuangkan penyelesaian kepada masalah-masalah harian mereka.

Kupasan skandal 1MDB tidak boleh berlegar kepada berapa banyak wang yang telah diselewengkan dan kemewahan keluarga Perdana Menteri semata-mata. Ia perlu diterjemahkan kepada kesannya kepada kehidupan seharian rakyat dalam bentuk kos pendidikan tinggi yang makin tinggi, kos sara hidup, kelewatan bayaran caruman LTAT kepada pesara tentera, penggunaan dana awam dalam projek yang tidak sesuai dan lain-lain.

Oleh sebab inilah saya jarang mengulas mengenai skandal 1MDB dan polemik politik menukar Perdana Menteri semata-mata kerana ia wajar diimbangi dengan pembelaan rakyat yang ada kesan nyata pada kehidupan harian mereka.

Saya akan gunakan saki baki beberapa bulan yang saya ada (mengambil kira kemungkinan saya akan dijatuhkan hukuman penjara) untuk membawa isu-isu rakyat agar dapat menjadi tumpuan umum. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut:

1) Risiko keruntuhan model pembiayaan pendidikan tinggi melalui PTPTN yang akan bawa kesan besar kepada rakyat. Saya akan bentangkan kertas kajian saya di Kongres Mahasiswa Kebangsaan Ke-2 pada 17 September 2016 ini.

2) Membela pesara tentera dan perajurit untuk memastikan kebajikan mereka terjaga dan mendapat bayaran caruman yang tepat pada masa. Saya akan umumkan siri dialog dengan pesara tentera esok.

3) Membela golongan muda dengan menumpukan kepada persoalan peluang pekerjaan yang lebih adil, soal penggajian dan undang-undang muflis yang tidak adil. Saya akan lancarkan satu NGO khusus untuk memperjuangkan isu-isu ini dalam bulan Oktober.

4) Menjaga wang rakyat dalam tabung-tabung rakyat seperti Tabung Haji, Felda, KWAP, PNB dan KWSP. Saya akan menyambung kembali pendedahan saya mengenai kelemahan pengurusan di Tabung Haji selepas Hari Raya Aildiladha minggu depan.

Saya mengecam semua pimpinan perkhidmatan awam di peringkat atasan yang bersekongkol memangsakan rakyat kerana pentingkan kedudukan dan pangkat.

Saya mengecam semua pimpinan di syarikat-syarikat dan tabung milik rakyat yang menjadi pengatur bagi membolehkan penguasa memakan harta rakyat.

Saya mengecam semua pimpinan politik yang secara langsung atau tidak langsung membenarkan rakyat terus dimangsakan dan dipijak walaupun negara sudah bebas dari pentadbiran penjajah 59 tahun lalu.

Saya mengecam semua pimpinan masyarakat yang memberi pelbagai alasan untuk tidak lantang bersuara membidas pihak-pihak yang mempunyai kuasa sehingga golongan muda berdepan dengan risiko mewarisi hutang negara yang diluar kemampuan mereka menanggungnya.

Anda bergembira dan bermewah dengan habuan gaji dan kedudukan yang anda ada sedangkan sumbernya itu datang dari rakyat. Anda akan diadili suatu hari nanti dan saya doakan anda berpeluang memperbetulkan kesilapan lalu.

12 bulan akan datang adalah pecutan terakhir yang perlu meletakkan rakyat di hadapan. In Sya Allah masa beberapa bulan yang berbaki ini saya akan memberi sepenuh komitmen kepada kebajikan rakyat.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Setiausaha Agong/Naib Presiden KEADILAN

1 September 2016