MRT, 1MDB: Kalau Saya Tidak Pandai Kira, Samanlah Lebih Cepat Di Mahkamah

Saya membaca laporan media mengenai reaksi Dato’ Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II yang dengan mudah menuduh saya tidak pandai mengira (apabila ditanya wartawan sama ada dakwaan saya bahawa kos keseluruhan 150 km projek MRT melebihi RM100 bilion itu benar atau salah).
Sementara saya tidak ambil hati dengan reaksi tersebut, saya lebih bimbangkan reputasi dan kewibawaan Dato’ Johari sebagai Menteri Kewangan II yang akan terus jatuh setiap kali beliau tidak menjawab apabila ditanya soalan-soalan yang sukar.

Dalam sessi Parlimen lepas, apabila saya menanyakan bagaimana kerajaan akan membayar tanggungan hutang yang diwarisi dari 1MDB akibat penerbitan bon USD3 bilion dan opsyen (“options”) yang berkenaan, beliau tidak menjawab sehingga ke akhir ucapan beliau.

Minggu ini, beliau mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih sepenuhnya projek Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB. Beliau nampaknya masih belum memahami bahawa tahap celik maklumat rakyat zaman ini adalah jauh lebih tinggi berbanding zaman 1980an kerana adanya internet dan media sosial. Rakyat tahu bahawa apabila Kerajaan Persekutuan mengambil alih projek TRX yang dilaporkan melibatkan pembangunan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (“gross development value” atau GDV) sebanyak RM40 bilion, itu bermakna rakyat akan terus menanggung hutang yang telah, sedang dan akan dibuat Dato’ Seri Najib dan menteri-menterinya atas sebab-sebab berikut:

i. Untuk membangunkan projek hartanah yang GDV adalah RM40 bilion, Kerajaan Persekutuan memerlukan modal. Jika keperluan modal diletakkan pada anggaran 50% dari projek, maka Kerajaan Persekutuan perlu mencari dana sebanyak RM20 bilion untuk menyiapkan projek ini. Dari mana Kerajaan Persekutuan mahu mendapatkan dana ini kalau bukan dengan berhutang?

ii. Semasa melancarkan projek TRX ini, Dato’ Seri Najib dengan bangganya mengumumkannya sebagai projek usahasama Malaysia-Abu Dhabi untuk memberi gambaran wang pelabur kaya Arab akan digunakan untuk membangunkan TRX. Melalui 1MDB, satu syarikat usahasama ditubuhkan yang bernama Aabar. 1MDB juga menerbitkan bon USD3 bilion untuk membiayai projek TRX ini.

iii. Kini, satu dunia tahu bahawa Aabar yang disebut-sebut itu telah menjadi kes yang disiasat apabila syarikat Abu Dhabi menafikan dana yang dipindahkan oleh 1MDB masuk ke akaunnya. Dana berjumlah berbilion ringgit itu didakwa sebenarnya dimasukkan ke syarikat yang dikawal oleh Jho Low. Maka, syarikat Abu Dhabi yang pernah diumumkan sebagai rakan kongsi 1MDB dalam projek usahasama TRX itu kini mengheret 1MDB ke proses “arbitration” (melantik pihak ketiga untuk mengadili tuntutan wang dari 1MDB) untuk mendapatkan kembali wang yang dijanjikan 1MDB tetapi didakwa dipindahkan ke syarikat yang dikawal Jho Low.

iv. Oleh itu, rakyat Malaysia tahu bahawa dengan Kerajaan Persekutuan mengambil alih projek TRX, itu bermakna Kerajaan Persekutuan juga telah secara senyap mengambil alih hutang 1MDB yang dipinjam kononnya untuk melaksanakan projek ini yang dianggarkan berjumlah RM15 billion pada tukaran terkini.

v. Maka, untuk menyiapkan projek TRX ini sahaja, Kerajaan Persekutuan akan berhutang baru pada anggaran RM35 bilion.

Oleh sebab itulah, soalan saya mengenai berapa jumlah kos bagi keseluruhan 150 km projek MRT adalah cukup penting kerana ia mempunyai kesan besar kepada tahap hutang Kerajaan Persekutuan yang akan ditanggung oleh rakyat.

Apabila Dato’ Seri Najib mengumumkan kos sebanyak RM40 bilion dalam tahun 2010, sebarang perubahan kos mestilah dilaporkan kepada Parlimen dan rakyat berhak tahu terutamanya dalam keadaan negara dilihat berhutang keliling pinggang untuk projek-projek besar, sedangkan peruntukan penting untuk perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat terbiasa dipotong.

Jika dicampurkan jumlah hutang untuk menyiapkan projek TRX dan MRT sepenuhnya, laporan-laporan terkini menunjukkan ia mencecah RM159 bilion (iaitu anggaran RM35 bilion untuk TRX dan hutang 1MDB yang ditanggung; dicampur dengan anggaran RM124 bilion untuk projek MRT). Jumlah hutang RM159 bilion tidak boleh diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya melihatkan reaksi mudah mereka di media sosial berkenaan isu MRT sahaja.

Apabila saya memberi perincian pada 20 Disember lepas kenapa kos keseluruhan 150 km projek MRT melebihi RM100 bilion, ia menarik minat netizen seperti paparan berikut (laman FB saya):

Apabila saya tanyakan pemahaman rakyat mengenai kos keseluruhan MRT, hanya 10% dari netizens yang turut serta bersetuju bahawa kos keseluruhan adalah RM21 bilion dan penjimatan RM2 bilion dicapai. 21% merasakan kosnya melebihi RM100 bilion, tetapi 69% keliru dengan kos sebenar.

Daripada reaksi netizens di media sosial, jelas bahawa rakyat di luar sana lebih yakin dengan pengiraan saya berbanding pengiraan yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib atau Dato’ Johari. Sebab itu saya menasihati Dato’ Johari untuk tidak menjadi mangsa untuk mempertahankan Dato’ Seri Najib seperti mana Dato’ Ahmad Maslan dahulu; kerana jika beliau (Dato’ Johari) tidak berhati-hati, tempat beliau di mata rakyat boleh menjadi seperti Dato’ Ahmad Maslan juga.

Maka, jika benar saya tidak pandai mengira dan dakwaan saya bahawa kos keseluruhan projek MRT melebihi RM100 bilion itu satu fitnah, sewajarnya Dato’ Johari menasihati Dato’ Seri Najib untuk menyaman saya di mahkamah secepat mungkin kerana tempoh tujuh hari yang saya berikan akan tamat pada 26 Disember 2016, iaitu 3 hari sahaja lagi.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.