Kebajikan Peneroka Dipertaruhkan Dengan Pembelian Harga Luar Biasa Eagle High Plantation, Laporan Polis Terhadap Kesemua Ahli Lembaga Pengarah FELDA Dan Dato’ Seri Najib

Reaksi rasmi Felda bahawa pembelian 37% pegangan di dalam Eagle High Plantation (pada harga yang diketahui seluruh dunia sebagai tidak masuk akal) tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada peneroka, sebenarnya satu gambaran awal bagaimana takutnya kepimpinan kerajaan akan kemarahan rakyat mengenai isu ini.

Saya memilih untuk tidak menghuraikan semuanya hari ini kerana ini musim cuti dan ramai yang tidak menyemak berita. Saya juga tertanya-tanya sama ada masa berita pembelian ini dilaporkan (atau diumumkan) sengaja ditetapkan di akhir tahun untuk mengurangkan kritikan rakyat kerana ramai yang bercuti.

Saya akan memanggil sidang media tergempar di INVOKESpace (bit.ly/directioninvokespace) pada 27 Disember 2016 (Selasa) jam 1 petang untuk mengulas isu ini bersama-sama dengan satu lagi isu besar iaitu pengakuan tidak rasmi Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa kos keseluruhan projek MRT akan melebihi RM100 bilion. Saya sedang mengatur untuk mendapatkan beberapa pimpinan dan aktivis Felda yang lain untuk bersama-sama dalam sidang media tergempar tersebut.

Hakikatnya, apabila pembelian itu dibuat melalui Felda (bukannya FGV seperti yang dicadangkan sebelum ini), kesan dari penggunaan dana Felda yang sudah pun berkurangan untuk urusniaga ini yang mahal ini, sudah tentu akan dirasai terus oleh peneroka Felda di seluruh negara.

Jika kejatuhan harga saham FGV tidak memberi kesan secara langsung kerana kerugian atas kertas tidak dirasai selagi bank tidak mengambil tindakan mahkamah untuk menuntut kembali hutang (jika saham dibeli dengan pembiayaan bank), sebarang ketidaktentuan dalam aliran tunai Felda akan mempunyai kesan terus kepada peneroka.

Bagi peneroka yang masih menjual buah kelapa sawit mereka melalui Felda, mereka mungkin terkesan dari segi tawaran harga atau tempoh bayaran. Bagi peneroka yang menyerahkan kerja-kerja penanaman semula kepada Felda, mereka akan terkesan dari segi kemajuan kerja-kerja penanaman semula pokok kelapa sawit, hutang yang mereka terpaksa tanggung dari penanaman semula itu serta ketepatan bayaran elaun sara hidup sementara menunggu hasil kelapa sawit mereka.

Malah, bagi keseluruhan warga Felda yang masih menetap di tanah perancangan, mereka akan terkesan hatta dari segi barang runcit yang dibekalkan melalui kedai-kedai yang diusahakan oleh Felda.

Saya yakin bahawa pembelian Eagle High Plantation ini adalah kesilapan terbesar pimpinan Umno/Barisan Nasional kerana ia memberi peluang kepada saya masuk ke tanah perancangan Felda untuk menerangkan dengan terperinci pertanggungjawaban Dato’ Seri Najib dalam urusniaga ini. Saya juga yakin tanah perancangan Felda adalah medan tempur saya dan Umno/Barisan Nasional yang terakhir; iaitu satu-satunya institusi Melayu/Islam yang saya belum tumpukan sepenuh tenaga saya untuk diselamatkan dari kerakusan pimpinan yang ada sekarang. Dengan beralihnya sokongan 3% hingga 5% pengundi dari tanah peracangan Felda, akan jatuhlah pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Bermula esok, saya akan mula mengupas aspek kewangan dan membuktikan bagaimana pembelian ini akan memudaratkan kebajikan peneroka. Sidang media mengenai Felda ini akan diadakan setiap hari minggu ini dan diikuti dengan satu laporan polis terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kesemua Ahli Lembaga Pengarah Felda pada hari Khamis, 29 Disember 2016 jam 3 petang.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

2 thoughts on “Kebajikan Peneroka Dipertaruhkan Dengan Pembelian Harga Luar Biasa Eagle High Plantation, Laporan Polis Terhadap Kesemua Ahli Lembaga Pengarah FELDA Dan Dato’ Seri Najib”

  1. Sejak FGV mula nak diapungkan pd bursa malaysia, mrk da mula menipu peneroka dgn membeli pink form dgn harga 1.00 seunit bermakna 15lot boleh mendapat 15ribu. Bila ramai pelabur mengambil keuntungan maka saham FGV merundum hingga kini. Demi utk menutup kebobrokan ini maka bermacam cara utk menambah capital operasi FGV. Semoga YB Rafizi terus membongkar kebobrokan mrk… syabas YB Rafizi

  2. I hope you keep up the reply wth facts & precise..better late rather thn giving the FGV open space to shoot you down later..whtever yr reply, make it simple & easy to chew especially the ordinary folks..details explanation are vry important. We hv to exposed their corrupt practice without fear

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.