Kegagalan 1MDB menjelaskan bayaran hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB sebanyak dua kali berturut-turut menjejaskan kestabilan sistem perbankan negara. Ia juga menimbulkan risiko kepada pasaran saham dan bon Malaysia yang jika tidak ditangani dengan baik boleh membawa kesan buruk kepada negara.
Oleh yang demikian, semua pihak yang arif mengenai sistem kewangan negara tahu bahawa 1MDB tidak boleh dibiarkan terus gagal membayar hutang tersebut.
Laporan berita sejak sebulan lalu memetik sumber dalaman bahawa 1MDB berunding dengan Ananda Krishnan untuk meminjam dana dari hartawan itu. Rundingan dilaporkan berkisar tentang imbuhan yang bakal diperolehi Ananda Krishnan sekiranya menyelamatkan 1MDB.
Namun, baru-baru ini CEO 1MDB menyebut bahawa pinjaman RM2 bilion dari Ananda Krishnan itu hanyalah “spekulasi” semata-mata. Itu menimbulkan tanda tanya dari manakah 1MDB mendapat dana untuk membayar hutang, sedangkan selama berbulan-bulan ia tiada dana bagi tujuan tersebut. Sudah tentu dana itu bukan dana dalaman 1MDB kerana jika 1MDB mempunyai wang, ia sudah tentu mampu membayar hutang itu terlebih dahulu.
Saya meneliti siri hutang kertas baru yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Semua hutang bon yang diterbitkan disiarkan di dalam web Bank Negara Malaysia melalui “Fully Automated System for Tendering/Issuing” atau FAST di laman http://fast.bnm.gov.my
Dalam tempoh dua minggu yang lepas, Kerajaan Malaysia telah menerbitkan dua siri hutang Malaysian Treasury Bill (MTB) atau Kertas Perbendaharaan Malaysia pada jumlah yang besar dan diluar amalan biasa.
Pada 11 Februari 2015, MTB bernombor 201500000242 berjumlah RM1 bilion. Kertas hutang ini berjangka pendek dan perlu dibayar pada 13 Mei 2015, maka faedah yang perlu dibayar pada kadar 3.2% bagi tiga bulan adalah setanding dengan kadar “overdraft”.
Pada 13 Februari 2015, MTB bernombor 201500000264 berjumlah RM1.1 bilion dengan tarikh matang (perlu dibayar balik) pada 14 Ogos 2015 telah diterbitkan, juga dengan kadar faedah sekitar 3.2% bagi tempoh itu.
Maknanya, minggu lepas Kerajaan Malaysia telah menerbitkan hutang jangka pendek sebanyak RM2.1 bilion dalam keadaan luar biasa. Jumlah itu hampir sama dengan hutang yang perlu dibayar 1MDB iaitu sebanyak RM2 bilion.
Saya menyifatkan masa dan jumlah kertas hutang yang diterbitkan itu luar biasa atas faktor-faktor berikut:
1) Jumlahnya hampir sama dengan jumlah yang diperlukan untuk membayar hutang tertunggak 1MDB berjumlah RM2 bilion itu
2) Masanya juga dekat dengan tempoh tamat tarikh 1MDB perlu membayar RM2 bilion itu
3) Jika rundingan dengan Ananda Krishnan melibatkan syarat-syarat pemilikan ekuiti dalam syarikat tenaga 1MDB yang hendak disenaraikan, rundingan itu mungkin gagal apabila 1MDB berhadapan masalah menyenaraikan syarikat tersebut
4) Penerbitan hutang dalam bentuk MTB berjangka pendek sebelum ini adalah dalam jumlah yang kecil kerana ia bagi keperluan aliran tunai bersifat sementara. Semakan di laman FAST BNM menunjukkan penerbitan lalu adalah pada jumlah yang kecil iaitu 201500000215(RM80 juta diterbitkan 6 Februari 2015), 201500000174 (RM100 juta diterbitkan 30 Januari 2015), 201500000114 (RM100 juta diterbitkan 23 Januari 2015), 201500000113 (RM80 juta diterbitkan 23 Januari 2015) dan lain-lain. Semakan terhadap penerbitan dalam bentuk MTB menunjukkan semuanya dalam jumlah yang kecil sekitar RM80 juta hingga RM100+ juta bukannya dalam jumlah bilion.
Mengambil kira perkara-perkara ini, timbul persoalan sama ada Kerajaan Malaysia telah meminjam wang dari pasaran hutang sebanyak RM2.1 bilion untuk dipinjamkan kembali kepada 1MDB bagi membayar hutang tertunggak RM2 bilion itu. Sebagai Ahli Parlimen, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menanyakan soalan ini memandangkan kesan besarnya kepada tata kelola kewangan negara.
Jika benar Kerajaan Malaysia telah membuat hutang jangka pendek untuk menyelamatkan 1MDB (“bail out”), ini merupakan satu skandal besar memandangkan Kerajaan Malaysia telah pun menjamin berbilion hutang sedia ada 1MDB. Satu “bail out” seperti ini adalah isyarat nyata bahawa 1MDB akan membawa kesan buruk kepada kewangan negara dan perlu dihentikan serta merta.
Tindakan paling wajar yang perlu diambil oleh 1MDB adalah menjelaskan kepada orang ramai dari manakah sumber RM2 bilion itu dan apakah benar ia dari sumber MTB yang diterbitkan Kerajaan Malaysia minggu lalu.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung
17 Februari 2015
Tahniah saudara , teruskan dengan mencungkil setiap inci kesalahan kerajaan kita.
Salam Reformasi !
Perjuangan wajib diteruskan , kebenaran akhirnya akan menang , kebatilan pastinya akan tumbang – ini lah janji Allah yg kita Imani sebagai hambanya .
PKR harus terus menerus melaksana dan menguar-uarkan majlis solat hajat tanpa henti , walaupun dicemuh musuh politik kononya ” solat hajat tidak memberi apajua impak untuk membebaskan DSAI yang telah dipenjarakan atas keputusan mahkamah”. Logiknya DSAI harus menjalani hukuman dipenjara .
Solat hajat mempunyai dua mata pedang – mata pedang pertama memohon kepada Allah agar meringankan musihbah yang hadapi dan mata pedang kedua memohon kepada Allah Maha Perkasa agar menurunkan Kuasanya terhadap mereka – mereka yang telah melakukan Kezaliman .
Allah sangat cepat mendengar rintihan doa dari hambanya yang telah dizalimi .
saya merasakan Govt sgt terdesak utk bail-out dgn membuat penerbitan bil perbendaharaan. rasanya depa mgkn confident bayar balik melalui GST yg akan dilaksanakan April ini. Kalau x juga, siap sedia lah institusi spt KWSP, KWAP tu…