Empat Matlamat UMNO Berhubung Pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Hari ini Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir buat pertama kali di khalayak ramai setelah seminggu dipenjarakan sekali lagi. Beliau senyum dan terus bersemangat walaupun pada umur 67 tahun dan mengalami sakit tulang belakang berpunca dari kecederaan akibat dipukul dalam tahun 1998.

Pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah satu agenda politik untuk menghentikan kemaraan Pakatan Rakyat. Hakikat bahawa ini adalah agenda politik tidaklah diragui oleh majoriti rakyat negara ini.

Ada empat matlamat lawan politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ingin dicapai melalui pemenjaraan beliau iaitu:

1) Pakatan Rakyat berpecah dengan tiadanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim

2) KEADILAN bergolak dan melalui tempoh masalah dalaman

3) Serangan Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional di dalam isu berhubung salah guna kuasa, rasuah dan isu-isu rakyat akan berkurangan

4) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilupakan dengan desakan agar beliau berundur dari politik untuk memberi ruang kepada pemimpin yang lebih muda

Jika keempat-empat matlamat ini dicapai, maka agenda pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh lawan politik beliau telah berjaya dan Umno/Barisan Nasional akan terus berkuasa.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang cintakan kebebasan dan keadilan di negara ini untuk menggembleng tenaga memastikan keempat-empat matlamat itu tidak tercapai. Apabila KEADILAN dan Pakatan Rakyat berjaya mengukuhkan muafakat dan terus menumpukan fokus kepada menewaskan Umno/Barisan Nasional dalam isu-isu rakyat, ketika itulah Umno/Barisan Nasional hilang punca dan akan tewas.

Cabaran kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat kini adalah memastikan kita terus mengasak Umno/Barisan Nasional sementara kita juga membela Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mengingatkan rakyat kezaliman yang telah dilakukan terhadap beliau dan keluarga beliau.

KEADILAN akan memastikan kami mengukuhkan muafakat dengan Pakatan Rakyat untuk menewaskan Umno/Barisan Nasional. Isu-isu rakyat selepas ini akan dijaguhi secara bersama di antara PAS, DAP dan KEADILAN sebagai lambang kesepakatan kami meneruskan perjuangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

KEADILAN juga sepakat untuk mengukuhkan perpaduan dalaman dengan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden dan Saudara Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden.

Saya percaya ada hikmah di sebalik kezaliman yang memenjarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini. Ia memberi ruang untuk kita menyatukan kembali suara rakyat dan memfokuskan usaha menumpaskan Umno/Barisan Nasional.

Rafizi Ramli
Naib Presiden/Setiausaha Agung

17 Februari 2015

2 thoughts on “Empat Matlamat UMNO Berhubung Pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim”

  1. Sdr Rafizi,
    Saya mohon mencadangkan perkara berikut bagi Pakatan Rakyat terus menjadi alternatif kepada rakyat Malaysia.
    1. Pastikan PAS tidak berpecah dengan isu ulama/professional. Tindakannya ialah mengekalkan status quo. Elakkan pertembungan ini. Lagipun timbul isu UG adalah adalah pada era Pak Lah dan sekarang sudah tidak relevan lagi.
    2. Memujuk DAP supaya tidak mengganggu pembentangan kanun hudud di DUN Kelantan. Walaupun diluluskan DUN, banyak lagi halangan untuk laksanakannya. Kalau DAP dah luluskan enakmen PBT di DUN Penang, biarkan Kelantan juga
    bertindak sedemikian.
    3. Meyakinkan DSAI dan DSDWA untuk pilihanraya kecil Permatang Pauh, cari calon lain selain Nurul Nuha @ keluarga Anwar. Perang saraf musuh akan memberi persepsi yang tidak boleh diketepikan. Walaupun saya percaya Nuha layak dan boleh memberi kemenangan, langkah sekarang tidak sesuai. Saya cenderung kepada anak lelaki Arwah Ustaz Fadzil Noor. Seorang anak muda yang berketrampilan dan cukup syaratnya. Beliau boleh bertanding atas tikit PKR atau PAS. Jika ini berlaku BN tiada modal untuk mencerca Anwar dan keluarganya. Lagipun ini hanya PRK. Atas tikit PAS pun, pada PRU kerusi ini memang menjadi milik PKR. Malah PKR dilihat sebagai anggota Pakatan Rakyat yang tidak mementingkan diri. Saya percaya ada hikmahnya dengan percaturan ini.
    4. PKR perlu berbincang dengan anggota Pakatan berkaitan calon Ketua Pembangkang. Saya rasa DAP akan menyokong PKR. Jika PAS juga mahukan TGHH sebagai Ketua Pembangkang, mintalah MP Pakatan Rakyat memilih secara undian (dengan syarat DAP volunteer tarik diri) antara calon PAS dan PKR.
    5. Saya menyokong usaha saudara terus menerus membangkitkan isu 1MDB kerana ini adalah benar dan memberi menfaat kepada rakyat dan negara. Ulaslah isu Jho Lo dan anak FLOM seperti didedahkan oleh NYT.
    Moga PR akan bersatu dan memenangi PRU 14. Wassalam.

  2. teruskan perjuangan YB Rafizi. sy yakin PKR mampu bangkit lebih kuat pada pilihanraya akan datang. kita tumbangkan BN betul2

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.