Perjanjian Kerjasama MAS-Air Asia

Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menukar sebanyak 20.5% pegangan saham dalam MAS dengan 10% saham dalam AirAsia memerlukan penelitian mendalam memandangkan akan timbul pelbagai kesan akibat tindakan tersebut.

Sebagai permulaan, perjanjian tersebut memperakui kenyataan tersirat pihak Khazanah Nasional Berhad bahawa kedua-dua Pelan Pemulihan Perniagaan (BTP) yang dilaksanakan sejak tahun 2006 di bawah pengawasan dua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) telah gagal. Isu yang lebih penting adalah sama ada ini merupakan petunjuk awal bahawa Program Transformasi GLC juga gagal memandangkan pemulihan MAS dianggap sebagai petunjuk utama usaha berkaitan.

Penglibatan GLC dalam pembangunan negara dan menjana ekonomi merupakan satu isu penting. Barisan Nasional seringkali menyalahguna GLC untuk kepentingan mereka dalam mewujudkan pertalian kartel politik perniagaan dengan menggunakan hasil cukai rakyat. Sejak akhir-akhir ini, pentadbiran Najib Razak telah menjadikan GLC sebagai pembiaya kepada projek-projek mega yang menggunakan dana awam tanpa sebarang kebertanggungjawaban kepada Parlimen sekiranya projek-projek tersebut telah dimasukkan di dalam Belanjawan Negara.

Justeru, kecekapan GLC adalah penting untuk ekonomi dan kegagalan dua BTP perlu dilihat dalam konteks ini. Memandangkan kerajaan sekarang begitu ghairah untuk memasarkan laporan KPI kepada rakyat, pastinya perkembangan terkini di dalam MAS merupakan petunjuk jelas bahawa transformasi ekonomi Najib yang selalu disebut-sebut itu juga telah gagal.

Saya juga mendesak ketegasan dalam kebertanggungjawaban terhadap keputusan ini kerana kegagalan masa lalu dan kesannya terhadap masa depan industri pengangkutan udara negara. Kakitangan MAS telah menghadapi situasi turun naik selama lima tahun di bawah perancangan pemulihan perniagaan. Mereka telah setia kepada pengurusan MAS sepanjang masa dan melakukan yang terbaik walaupun ada masanya suara mereka tidak dipedulikan oleh pihak pengurusan. Hakikat bahawa urusan perjanjian pertukaran saham ini dicadang dan diputuskan tanpa mendengar pandangan mereka adalah bersifat tidak adil. Adalah tidak menghairankan dengan kegagalan dua BTP memandangkan pandangan kakitangan (iaitu pemegang saham terbesar dalam MAS) terus dipinggirkan oleh Khazanah dan pengurusan MAS.

Perjanjian pertukaran saham ini adalah bersifat jangka pendek dan masih kabur terutamanya dari aspek kesan masa depan terhadap industri pengangkutan udara negara. Hakikatnya, Malaysia tidak pernah mempunyai dasar pengangkutan udara atau undang-undang yang mengawalselia dan memandu pembangunan industri pengangkutan udara. Kemasukan pemain baru ke dalam industri pada kebiasaannya adalah disebabkan wujudnya jaringan dengan elit politik seterusnya membentuk monopoli dalam industri tersebut.

Dari perspektif ini, rakyat telah beroleh banyak manfaat dari persaingan antara AirAsia dan MAS terutamanya untuk pasaran penerbangan domestik. Malangnya, ini tidak akan berlaku lagi oleh kerana termeterainya perjanjian pertukaran saham kerana hanya akan wujud satu syarikat penerbangan yang mendominasi pasaran penerbangan domestik. Dengan ketiadaan dasar pengangkutan udara negara, adalah mustahil untuk melihat kemunculan pemain baru untuk mencabar monopoli AirAsia terhadap industri ini.

Oleh itu, mangsa utama kepada kewujudan sebuah monopoli penerbangan domestik ini adalah rakyat dan MAHB (operator lapangan terbang negara). Air Asia akan menggunakan sepenuhnya kelebihan sebagai monopoli penerbangan tunggal negara untuk mendapatkan kehendak-kehendaknya dari MAHB yang sebelum ini terbantut, memandangkan hubungan yang sering tegang di antara Air Asia dan MAHB.

Sudah tentu rakyat akan menghakimi sama ada usaha kerjasama ini benar-benar akan menguntungkan kedua-dua syarikat penerbangan, apatah lagi MAS dan Air Asia adalah pesaing hebat sebelum ini. Satu-satunya kebaikan dari kerjasama ini yang sering diulang adalah penarikan diri MAS dari pasaran domestik, atas alasan untuk memberi fokus kepada pasaran premium. Anehnya, keputusan ini boleh sahaja dibuat secara bebas oleh kepimpinan MAS dan Khazanah sebelum ini tanpa melibatkan Air Asia. Penyertaan Air Asia dalam keputusan-keputusan penting melibatkan MAS akan membuka ruang kepada pertembungan kepentingan yang besar dan sepatutnya membimbangkan semua pihak.

Apa yang sangat diperlukan oleh MAS sekarang ini adalah kepimpinan yang berwibawa dengan pengetahuan dan pengalaman industri penerbangan yang mendalam. Ini tidak akan berlaku sekiranya kepimpinan MAS diterajui oleh sebuah jawatankuasa yang ahlinya mempunyai kepentingan berbeza. Keputusan Khazanah melantik sebuah jawatankuasa dan seorang Ketua Pegawai Operasi sementara adalah membimbangkan memandangkan keadaan MAS yang mendesak.

Oleh itu, saya menyeru kepimpinan Khazanah dan MAS untuk mengkaji semula strategi sedia ada dan mempercepatkan perlantikan seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang bertepatan dengan industri penerbangan agar kepentingan MAS dan pekerjanya dapat dijamin.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

23 OGOS 2011

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.