Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Barisan Nasional Mengutip RM274 Juta Cukai Petrol Sejak 1 November 2014 Hingga 15 Disember 2014?

Harga pasaran bagi petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 1 Disember 2014 hingga 15 Disember 2014 disertakan di dalam Lampiran A (harga pasaran RON95) dan Lampiran B (harga pasaran diesel) yang disertakan bersama.

Download (PDF, 141KB)

Download (PDF, 141KB)

Data harga telah diperolehi secara sah dari pasaran seperti berikut:

RON95 – ditentukan oleh MOPS bagi Singapore Mogas 95 Unleaded
Diesel – ditentukan oleh MOPS bagi Singapore Gasoil
Kadar tukaran matawang – ditentukan oleh kadar rasmi Bank Negara

Dari Lampiran A dan Lampiran B, jelas bahawa harga pasaran bagi RON95 (tidak termasuk jaminan keuntungan dan kos yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat minyak) telah menjunam dari paras RM1.73 seliter pada 1 Disember 2014 kepada RM1.58 seliter pada 15 Disember 2014.

Keadaan yang sama juga berlaku dengan harga diesel yang menjunam dari paras RM1.87 seliter pada 1 Disember 2014 kepada RM1.71 seliter pada 15 Disember 2014.

Malah, dengan jaminan keuntungan dan kos yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat minyak sebanyak 32 sen seliter (RON95) dan 23 sen seliter (diesel) seperti yang terpaksa dibayar rakyat sekarang, harganya juga masih rendah berbanding harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengambil kira jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak itu, harga RON95 ialah RM2.05 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.90 seliter (pada 15 Disember 2014); berbanding harga yang dibayar oleh rakyat RM2.26 seliter.

Harga diesel pula (termasuk jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak) ialah RM2.10 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.94 seliter (pada 15 Disember 2014); berbanding harga yang dibayar oleh rakyat RM2.23 seliter.

Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), rakyat Malaysia sebenarnya telah membayar cukai petrol sejak bulan November 2014 lagi.

Perkiraan cukai petrol tersembunyi yang telah ditanggung oleh rakyat ditunjukkan di dalam Lampiran C. Anggaran ini dibuat berdasarkan jumlah penggunaan petrol sebanyak 14 bilion liter setahun dan penggunaan diesel sebanyak 9.64 bilion liter setahun seperti jawapan Perdana Menteri di Parlimen.

Download (PDF, 167KB)

Bagi tempoh November 2014, rakyat membayar sebanyak RM47 juta cukai petrol.

Bagi tempoh 15 hari pertama Disember, rakyat membayar sebanyak RM146 juta cukai petrol bagi RON95 dan RM81 juta bagi diesel.

Maka, jumlah cukai petrol yang dikutip secara senyap oleh kerajaan bagi tempoh 45 hari sahaja ialah RM274 juta tanpa diketahui oleh rakyat.

Oleh sebab itu, saya terus menegaskan bahawa sistem penetapan harga sekarang ini tidak telus dan memangsakan rakyat. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menjawab segera ke mana perginya cukai tersembunyi sebanyak RM274 juta yang dikutip dari rakyat dalam tempoh 45 hari sahaja di antara 1 November 2014 hingga 15 Disember 2014?

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

17 Disember 2014

Saya Akan Pertahankan Ucapan Di Mahkamah

Saya telah menjawab surat tuntutan (demand letter) yang dihantar oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor pada hari ini melalui peguam saya, YB N Surendran dan Tetuan Daim Gamany.

Surat jawapan itu ada disertakan bersama.

Download (PDF, 40KB)

Saya tegas bahawa ucapan yang saya buat itu berkepentingan awam kerana ia bersabit dasar negara. Saya yakin kritikan saya di atas tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menghapuskan subsidi pada ketika pembaziran terus berlaku adalah betul dan akan mempertahankan ucapan itu di dalam mahkamah kelak.

Saya kini menunggu writ saman Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur untuk mengambil tindakan selanjutnya.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

9 Disember 2014

Bangga Disaman Pertahan Subsidi Rakyat

samannajib

Pada hari ini, saya menerima surat memohon penjelasan (demand letter) dari firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bagi pihak Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai kenyataan saya di dalam video bertajuk “Kenapa Kita Pertahan Subsidi Minyak”. Surat seperti ini adalah surat awal sebelum tindakan saman diambil.

Video tersebut adalah rakaman sebahagian dari ucapan saya di Bandar Tun Razak pada 22 November 2014 yang lalu yang mempertahankan subsidi minyak sebagai hak rakyat. Rakaman tersebut boleh didapati di laman MediaRakyat dan capaian https://www.facebook.com/video.php?v=870155893018919&set=vb.145165568851292&type=2&theater

Saya sudah menjangkakan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan mengambil tindakan saman terhadap saya selepas rakan saya YB Tony Pua telah menerima surat yang sama minggu lepas. Saya percaya ia ada kena mengena dengan kritikan berterusan dari kami berdua mengenai 1MDB.

Saya berasa bangga mendapat saman dari seorang Perdana Menteri kerana mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan subsidi minyak sekurang-kurangnya 30 sen seliter dalam keadaan pimpinan negara berbelanja sewenang-wenangnya dana rakyat dalam projek-projek yang membebankan rakyat seperti 1MDB.

Saya telah menyatakan secara terbuka bahawa saya bersedia berdebat dengan mana-mana pimpinan Umno baik yang muda atau tua, menteri atau tidak dalam mempertahankan subsidi minyak ini. Sehingga sekarang tidak ada seorang pun pimpinan Umno – dari Ketua Pemudanya hingga Ketua Penerangan yang berani tampil berdebat mengenai subsidi minyak ini.

Maka, surat ke arah tindakan saman dari Dato’ Seri Najib Tun Razak ini kena tepat pada masanya. Dalam keadaan tiada pimpinan Umno yang berani berdebat secara terbuka mengenai subsidi minyak, sewajarnya Dato’ Seri Najib Tun Razak tampil menjawab hujah-hujah saya secara terbuka.

Saya sekali lagi mencadangkan beliau tampil berdebat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim khusus mengenai isu subsidi minyak yang menjadi isu besar di kalangan rakyat.

Sementara itu, saya akan menjawab surat Dato’ Seri Najib Tun Razak dan bersedia memberi keterangan di mahkamah kelak. Saya juga percaya Dato’ Seri Najib Tun Razak akan menggunakan mahkamah dengan menjadi saksi dan memberi keterangan mengenai 1MDB, wang pencen dan kes-kes lain yang berkaitan dengan keputusan beliau memotong subsidi.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

4 Disember 2014

Pengiraan Harga Petrol RON95, RON97 Dan Diesel Tidak Telus Dan Tidak Selari Dengan Harga Pasaran Dunia

Pengumuman harga baru tanpa subsidi bagi RON95, RON97 dan diesel bermula 1 Disember 2014 membayangkan harga petrol dan diesel akan terus dimanipulasi oleh Barisan Nasional dan menjadi beban utama rakyat di masa akan datang. Walaupun Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan alasan harga yang dibayar oleh rakyat sekarang adalah mengikut harga pasaran, perbezaan di antara harga pasaran dan harga yang ditetapkan Barisan Nasional adalah terlalu ketara.

Harga rujukan minyak mentah Brent di hujung minggu lepas telah mencecah USD68 setong, iaitu penurunan sebanyak 35.2% dari harga sebelum kejatuhan pasaran minyak mentah iaitu sekitar USD105 setong. Harga purata minyak mentah Brent sepanjang bulan November 2014 ialah sekitar USD76 setong, iaitu penurunan sebanyak 27.6% dari harga sebelum kejatuhan pasaran minyak.

Harga rujukan minyak mentah Brent ini menentukan harga rujukan produk petroleum RON95, RON97 dan diesel yang didagangkan di Singapura dan digunakan sebagai asas menentukan harga petrol dan diesel di negara ini. Oleh itu, jika harga rujukan minyak mentah Brent telah jatuh di antara 27% hingga 35%, sudah tentu penurunan RON95, RON97 dan diesel juga adalah dalam lingkungan yang tidak banyak berbeza dari itu.

Malangnya, pengumuman Barisan Nasional menetapkan harga RON95 hanya turun 1.7%, RON97 hanya turun 3.5% malah diesel pula naik 1%. Rakyat tertanya-tanya kenapa ada jurang yang begitu besar di antara harga rujukan di pasaran dunia dan harga yang ditetapkan Barisan Nasional di Malaysia walaupun kononnya harga itu ditetapkan mengikut harga pasaran dunia.

Keadaan ini berpunca dari kaedah penentuan harga yang tidak telus dan memasukkan formula yang menjamin keuntungan syarikat minyak seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Bagi setiap liter RON95 contohnya, Barisan Nasional menjamin keuntungan dan kos dibayar-balik (cost reimbursement) kepada syarikat minyak sebanyak 30 sen.

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menyiarkan setiap minggu secara terperinci harga rujukan RON95, RON97 dan diesel di pasaran dunia yang menggunakan harga terbitan MOPS (Means of Platts Singapore) serta kos-kos lain yang dimasukkan di dalam perkiraan menentukan harga pasaran Malaysia bagi RON95, RON97 dan diesel. Hanya dengan ketelusan sebegini Barisan Nasional boleh mengenepikan pandangan serong rakyat bahawa ia mengambil keuntungan dengan menetapkan harga minyak yang lebih tinggi kepada rakyat walaupun harga pasaran dunia telah jatuh menjunam.

Pada masa yang sama, KEADILAN juga telah menubuhkan pasukan sendiri untuk memantau harga pasaran RON95, RON97 dan diesel untuk memastikan harga pasaran di Malaysia adalah selari dengan harga pasaran dunia. KEADILAN akan mendedahkan secara terperinci harga pasaran rujukan MOPS serta kos-kos lain yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada setiap minggu untuk membolehkan rakyat mendapatkan harga minyak terbaik.

Perbezaan harga yang ketara ini (iaitu penurunan 2% di Malaysia berbanding kejatuhan 28% hingga 35%) juga menimbulkan tanda tanya sama ada Barisan Nasional akan mengenakan cukai petrol secara senyap-senyap seperti yang berlaku sepanjang bulan November 2014.

Kenyataan Dato’ Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan pada 31 Oktober 2014 yang disiarkan BERNAMA secara jelas menyebut bahawa jika harga minyak mentah dunia jatuh ke harga di bawah USD75 setong, harga petrol RON95 sepatutnya menjadi sekitar RM1.72 seliter. Menurut beliau, pada ketika itu Kerajaan Persekutuan boleh membuat keputusan sama ada mengenakan cukai petrol untuk mengekalkan harga yang lebih tinggi.

Pada ketika ini, harga minyak mentah dunia telah pun jatuh ke paras USD68 setong. Malah, harga rujukan purata minyak mentah bagi November 2014 dianggarkan sekitar USD76 setong. Mengikut kenyataan Dato’ Ahmad Maslan sendiri sebulan yang lepas, harga RON95 yang lebih selari dengan harga pasaran sepatutnya adalah RM1.72 seliter, bukannya RM2.26 seperti yang diumumkan semalam.

Oleh yang demikian, saya akan terus berkempen supaya harga minyak diturunkan melalui kempen #turunhargaminyak. Sementara menunggu demonstrasi yang telah diumumkan pada 31 Disember 2014 ini, KEADILAN akan membantu rakyat dengan mengumumkan setiap minggu harga pasaran RON95, RON97 dan diesel mengikut harga pasaran antarabangsa untuk mengelakkan Barisan Nasional mengambil kesempatan mencukai rakyat melalui cukai petrol secara senyap-senyap seperti yang telah berlaku sejak sebulan lalu.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

1 Disember 2014

Penghapusan Hutang Kerajaan Sebanyak RM876

Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini memasukkan dua urusan Kerajaan Persekutuan yang membawa kesan kewangan besar kepada rakyat. Urusan ini adalah dalam bentuk dua usul yang dibawa oleh Menteri Kewangan seperti berikut:

Usul Pertama:
Menteri Kewangan mencadangkan supaya hutang sebanyak RM400 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), sebuah syarikat dimiliki Menteri Kewangan (Diperbadankan), ditukar dari hutang kepada ekuiti pada nilai yang sama.

Usul Kedua:
Menteri Kewangan mencadangkan supaya baki hutang sebanyak RM475.59 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), sebuah syarikat dimiliki Menteri Kewangan (Diperbadankan), ditukar dari hutang kepada ekuiti pada nilai yang sama.

Ini bermakna sejumlah RM876 juta hutang anak-anak syarikat milik Kerajaan Persekutuan dihapuskan begitu sahaja dengan menukarnya kepada pegangan saham atau ekuiti. Akibat tindakan menukar hutang kepada ekuiti seperti ini, Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengutip hutang RM876 juta dari anak-anak syarikat ini sedangkan hutang awal yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada anak-anak syarikat ini tetap perlu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Lebih membimbangkan, tindakan menukar hutang kepada ekuiti ini membayangkan bahawa anak-anak syarikat ini tidak mampu untuk membayar hutang sehingga perlu diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Apabila anak-anak syarikat yang prestasi kewangannya tidak memberangsangkan hingga tidak boleh membayar hutang ini dimiliknegarakan terus dengan cara ini, tanggunggan hutang dan risiko kerugian akan datang kini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Operasi MDV adalah memberi pembiayaan kepada syarikat dan projek teknologi maklumat (IT) dalam bentuk hutang. Kegagalan membayar hutang RM400 juta ini bermakna ada ramai penerima pembiayaan dari kalangan syarikat dan korporat yang gagal membayar hutang dan hutang mereka dilupuskan begitu sahaja.

Keadaannya lebih teruk bagi Prasarana kerana kegagalannya membayar baki hutang sebanyak RM476 juta itu membayangkan operasi Prasarana yang mengendalikan pengangkutan awam di negara ini terus menerus mengalami kerugian.

Oleh itu, saya mengecam tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang selalu menyembunyikan penghapusan hutang besar negara ini melalui cara menukar hutang kepada ekuiti. Perkara yang sama berlaku dengan anak syarikat 1MDB iaitu SRC International yang telah dipindahmilikkan kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dengan tanggungan hutang RM4 bilion yang diambil dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Dalam keadaan peminjam hutang kecil PTPTN dikejar, subsidi dihapuskan dan rakyat terus dibebankan dengan kos sara hidup, tindakan menghapuskan hutang secara sembunyi seperti ini benar-benar mencabar kesabaran rakyat.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

24 November 2014