Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Penambahbaikan Menyeluruh Industri Minyak Runcit: Ubah Kepada Sistem Konsainan (“Consignment”) Untuk Mengelakkan Cukai Petrol Dan Diesel

Kenyataan media saya semalam menerangkan kelemahan sistem penetapan harga minyak yang digunapakai sejak 1 Disember 2014 telah mengundang pelbagai reaksi. Jelas bahawa sebahagian besar dari orang ramai tidak begitu memahami mekanisme dan operasi industri minyak runcit di negara ini terutamanya beza di antara syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak.

Ciri-ciri Industri Minyak Runcit

Syarikat minyak (seperti Petronas, Shell, Petron dan BHP) memiliki sebahagian besar dari stesen minyak di negara ini. Mereka melantik pengusaha stesen minyak sebagai kontraktor untuk mengendalikan operasi stesen minyak yang dimiliki mereka.

Ciri-ciri operasi industri minyak runcit antaranya adalah seperti berikut:

1. Pengusaha stesen minyak dibayar komisen tetap iaitu 12 sen setiap liter bagi petrol dan 7 sen setiap liter bagi diesel. Oleh itu, perolehan kasar pengusaha stesen minyak bergantung kepada berapa banyak petrol dan diesel dijual setiap bulan

2. Pengusaha stesen minyak perlu membayar tunai setiap pembelian stok petrol dan diesel dari syarikat minyak. Bergantung kepada saiz stesen minyak, jumlah pembayaran tunai ini adalah diantara RM100,000 hingga RM200,000 secara purata bagi setiap pembelian. Selalunya, pengusaha stesen minyak membeli stok petrol dan diesel setiap beberapa hari atau seminggu sekali (bergantung kepada saiz stesen minyak)

3. Penghantaran dan pembelian stok petrol dan diesel ditentukan oleh syarikat minyak. Pengusaha stesen minyak tidak ada hak untuk menolak penghantaran stok. Jadual penghantaran stok petrol dan diesel dikawal oleh syarikat minyak

4. Pengusaha stesen minyak perlu membayar sewa dan bayaran-bayaran lain kepada syarikat minyak

5. Pengusaha stesen minyak perlu menanggung kos operasi lain seperti eletrik dan gaji pekerja

Oleh kerana ciri-ciri industri minyak runcit ditetapkan oleh kerajaan sedemikian rupa, ini menyebabkan pengusaha stesen minyak berdepan dengan kerugian setiap kali harga baru diumumkan lebih rendah kerana mereka terpaksa membeli stok petrol dan diesel yang dihantar lebih awal oleh syarikat minyak.

Alasan BN Tidak Mahu Menurunkan Harga Minyak Lebih Kerap

Dalam keadaan pasaran minyak mentah dijangka akan terus merudum, Malaysia berhadapan dengan risiko pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar dalam tempoh beberapa bulan akan datang jika tidak ditangani dengan baik. Jika ini berlaku, rakyat juga akan menjadi mangsa kerana kekurangan bekalan petrol dan diesel.

Alasan bahawa penurunan harga minyak yang lebih kerap akan merugikan pengusaha stesen minyak kini digunakan oleh Barisan Nasional untuk tidak menyelaraskan harga petrol dan diesel setiap minggu. Penyelarasan harga yang berlaku sebulan sekali benar-benar merugikan rakyat kerana terpaksa terus membayar harga petrol dan diesel yang lebih tinggi sedangkan harga sebenar di pasaran terus jatuh mendadak.

Misalnya, harga pasaran terkini yang dilaporkan pada 6 Januari 2015 (mengikut laporan harga oleh Platts dan menggunakan formula kerajaan) bagi RON95 adalah RM1.64 seliter sedangkan rakyat membayar RM1.91 seliter. Dalam keadaan harga minyak mentah telah jatuh di bawah USD50 setong minggu ini dan dijangka mencecah USD40 setong menjelang akhir Januari 2015, ini bermakna harga RON95 berkemungkinan jatuh setiap hari hingga mencecah RM1.40 seliter menjelang akhir Januari 2015 tetapi rakyat akan terus membayar RM1.91 seliter sepanjang bulan ini.

Barisan Nasional sudah tentu tidak mahu menurunkan harga petrol dan diesel setiap minggu kerana kerajaan persekutuan mengutip cukai bagi setiap liter petrol dan diesel yang dibeli. Bagi tempoh Disember 2014 sahaja, Barisan Nasional telah mengutip sebanyak RM633 juta cukai petrol dan diesel. Berdasarkan pola harga pasaran terkini, Barisan Nasional akan mengutip jumlah cukai petrol dan diesel yang lebih besar (saya anggarkan mencecah RM700 juta) bagi Januari 2015.

Oleh yang demikian, Barisan Nasional akan terus mengkambing hitamkan pengusaha stesen minyak dengan menggunakan alasan harga minyak tidak dapat diturunkan setiap minggu untuk menjaga keuntungan pengusaha stesen minyak – sedangkan motif utama adalah mengutip cukai dari rakyat.

Sistem Penetapan Harga Minyak Yang Adil Kepada Semua Pihak

Saya nekad untuk terus berkempen memastikan:

1. Harga petrol dan diesel diselaraskan dan diturunkan setiap minggu agar harga terus turun mengikut harga pasaran

2. Cukai petrol dan diesel yang dikutip adalah minima dan sebarang kutipan cukai hasil dari perbezaan harga pasaran dan harga yang ditetapkan tidak boleh dibelanjakan kecuali untuk menstabilkan harga minyak di masa akan datang

3. Subsidi tetap 30 sen seliter petrol dan diesel diwujudkan kembali untuk menurunkan lagi harga petrol dan diesel

4. Kelangsungan bekalan petrol dan diesel kepada rakyat dengan memastikan pengusaha stesen minyak boleh terus beroperasi

Sepatutnya, tugas merancang lebih awal (forward planning) bagi memastikan sistem penetapan harga minyak adalah adil kepada semua perlulah dijalankan dengan berkesan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan. Malangnya, sehingga kini tidak ada satu cadangan pun yang datang dari menteri-menteri terbabit untuk memenuhi keempat-empat matlamat di atas.

Oleh yang demikian, saya mengambil inisiatif untuk menyeru kerajaan persekutuan, syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak menambahbaik sepenuhnya amalan industri runcit minyak bagi membolehkan harga diturunkan setiap minggu tanpa mengakibatkan kerugian kepada pengusaha stesen minyak.

Industri Minyak Runcit Berasaskan Stok Konsainan (“Consignment”)

Salah satu punca utama yang menyebabkan penurunan harga petrol dan diesel boleh mengakibatkan kerugian kepada pengusaha stesen minyak adalah kerana syarikat minyak menjual stok petrol dan diesel secara pukal kepada pengusaha stesen minyak. Pembayaran tunai bagi stok pukal ini menyebabkan pengusaha stesen minyak memegang stok petrol dan diesel yang besar pada satu-satu masa dan terdedah kepada risiko kewangan.

Di negara-negara lain, kerajaan mereka menetapkan bahawa industri minyak runcit adalah berasaskan stok konsainan (“consignment stock”). Ini bermakna pengusaha stesen minyak tidak perlu membeli terlebih dahulu stok secara pukal kerana stok petrol dan diesel yang disimpan di stesen minyak adalah milik syarikat minyak sehinggalah dijual kepada pengguna.

Ciri-ciri industri minyak runcit berasaskan stok konsainan adalah seperti berikut:

1. Pengusaha stesen minyak bertindak sebagai ejen yang menjual stok petrol dan diesel yang dimiliki oleh syarikat minyak. Pengusaha stesen minyak tidak perlu membayar jumlah yang besar untuk mendapatkan stok

2. Sebarang perubahan harga petrol dan diesel tidak mempunyai kesan kewangan kepada pengusaha stesen minyak yang hanya bertindak sebagai ejen dan dibayar melalui komisen yang ditetapkan

3. Syarikat minyak hanya berdepan dengan risiko untung atau rugi akibat dari perubahan harga petrol dan diesel SEKALI SETAHUN sahaja semasa penilaian stok dibuat di hujung tahun kewangan. Itu pun sebarang kerugian hanyalah kerugian atas kertas kerana stok itu terus kekal milik syarikat minyak selagi tidak dijual kepada pengguna

Kedudukan kewangan syarikat minyak yang kukuh dan telah mengaut keuntungan besar selama ini membolehkan syarikat-syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Petron dan BHP melaksanakannya tanpa risiko kewangan yang berat. Contohnya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, anggaran keuntungan kasar Petronas (melalui anak syarikatnya Petronas Dagangan Berhad) dari penjualan petrol dan diesel kepada orang ramai adalah RM500 juta setahun (rujuk Laporan Tahunan Petronas Dagangan 2013).

Dengan pelaksanaan sistem stok konsainan ini, alasan bahawa harga tidak boleh diselaraskan setiap minggu tidak untuk menjaga keuntungan pengusaha stesen minyak tidak boleh dipakai lagi. Harga petrol dan diesel yang diselaraskan setiap minggu akan menyaksikan harga petrol dan diesel jatuh seperti mana harga pasaran. Barisan Nasional juga tidak lagi boleh mengutip cukai petrol dan diesel berbilion ringgit dari rakyat seperti mana yang telah dan akan berlaku selepas ini.

Saya menuntut supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan yang bertanggungjawab menetapkan peraturan industri minyak runcit dengan segera memanggil syarikat minyak dan wakil-wakil pengusaha stesen minyak untuk melaksanakan sistem stok konsainan ini.

Keengganan Barisan Nasional menukar peraturan industri minyak runcit yang berada di dalam kawalan mereka bermakna Barisan Nasional berniat untuk mengekalkan harga minyak pada kadar yang lebih tinggi dari harga pasaran untuk mengutip cukai petrol dan diesel.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

8 Januari 2015

Sistem Penetapan Harga Minyak Memangsakan Pengusaha Stesen Minyak

Sistem penetapan harga minyak yang dilaksanakan sekarang adalah berasal dari Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) yang mempunyai 4 komponen:

1) Kos petrol atau diesel
2) Kos operasi dan jaminan keuntungan kepada syarikat minyak
3) Kos operasi dan keuntungan pengusaha syarikat minyak
4) Subsidi atau cukai oleh kerajaan

Walau bagaimana pun, sejak keputusan kerajaan menghapuskan subsidi, mekanisme ini tidak lagi berjaya melindungi kebajikan pengusaha stesen minyak kerana tiadanya subsidi bermakna harga petrol dan diesel tidak lagi stabil dan kerap berubah-ubah.

Perubahan harga petrol dan diesel ini membawa risiko kerugian yang besar kepada pengusaha stesen minyak sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Jika pengusaha stesen minyak mengalami kerugian setiap bulan dalam beberapa bulan akan datang, saya bimbang ramai pengusaha stesen minyak tidak lagi boleh beroperasi.

Di bawah sistem sekarang, pengusaha stesen minyak terdedah kepada kerugian apabila harga minyak turun sedangkan mereka membeli stok petrol dan diesel pada harga yang lebih tinggi. Syarikat minyak seperti PETRONAS, SHELL, PETRON dan BHP menetapkan setiap stesen minyak membeli stok minyak sekurang-kurangnya bersamaan jumlah jualan 3 hari petrol dan diesel pada satu-satu masa. Mereka perlu membayar harga stok ini pada harga pasaran ditolak dengan komisen (12 sen bagi petrol dan 7 sen bagi diesel) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

70% dari stesen minyak di Malaysia dianggarkan adalah stesen minyak bersaiz kecil atau sederhana yang purata jualan bulanan adalah di bawah 500,000 liter sebulan. Berdasarkan komisen petrol dan diesel yang ditetapkan oleh kerajaan, pendapatan bulanan setiap stesen minyak ini adalah di antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan.

Daripada jumlah ini, pengusaha stesen minyak perlu membayar kos seperti berikut:

1) Eletrik dan utiliti yang lain
2) Sewa stesen minyak kepada syarikat minyak
3) Caj perkhidmatan, caj kredit kad dan lain-lain
4) Gaji pekerja

Setelah ditolak kos-kos ini, keuntungan bersih purata pengusaha stesen minyak ini setiap bulan adalah di antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Mereka juga perlu menyediakan simpanan tunai yang besar untuk membeli stok minyak bersamaan sekurang-kurangnya jumlah jualan tiga hari. Bagi 70% stesen minyak di Malaysia, jumlah stok ini adalah sekitar 50,000 hingga 70,000 liter setiap satu masa. Oleh itu, bagi stok di hujung bulan Disember, mereka terpaksa membayar sekitar RM100,000 hingga RM150,000 secara tunai (iaitu 50,000 liter X (RM2.26 – RM0.12)).

Apabila harga minyak diturunkan pada 1 Januari 2015, secara automatik mereka kerugian di antara RM10,000 hingga RM15,000 kerana stok minyak yang dibeli pada harga yang lebih tinggi hanya boleh dijual pada harga RM1.91 seliter. Oleh itu, dengan serta merta setiap pengusaha minyak rugi 35 sen setiap liter pada 1 Januari 2015.

Dalam keadaan purata untung bersih pengusaha stesen minyak seperti ini bagi setiap bulan hanyalah sekitar RM5,000 hingga RM10,000, kerugian serta merta dalam satu hari akibat kerugian inventori sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 seperti ini bermakna mereka akan menanggung rugi bersih sepanjang bulan itu. Jika ini berterusan, ada risiko banyak pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar.

Sebab itu saya mengecam tindakan Barisan Nasional yang membuat keputusan secara tergopoh-gapah menghapuskan subsidi tanpa mengkaji kesannya kepada rakyat dan pihak-pihak lain. Selain mendedahkan rakyat kepada harga minyak yang lebih tinggi, tindakan itu juga memangsakan pengusaha stesen minyak yang dibiarkan menanggung kerugian.

Saya juga kesal dengan kenyataan-kenyataan bongkak yang dibuat pemimpin Umno seperti Tan Sri Ali Rustam, Pengerusi PUNB yang mencabar pengusaha stesen minyak menyerahkan operasi stesen minyak jika tidak mampu menjana keuntungan. Beliau jelas tidak faham mekanisme operasi dan kewangan stesen minyak. Beliau juga lupa bahawa sebahagian besar pengusaha stesen minyak adalah usahawan Bumiputra yang kononnya dibela oleh Umno.

Saya tegas mahukan harga minyak termurah yang adil bagi rakyat. Saya juga mahukan satu sistem harga yang adil kepada pengusaha stesen minyak dan menjamin kestabilan bekalan petrol dan diesel kepada rakyat di seluruh negara.

Sistem sekarang yang diputuskan secara tergopoh gapah terbukti merugikan rakyat dan pengusaha stesen minyak. Saya menunggu jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Dato’ Hassan Malek kerana jelas kementerian beliau tidak membuat kajian mendalam sebelum memutuskan untuk melaksana sistem sedia ada.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

7 Januari 2015

 

Harga Minyak Perlu Ditetapkan Setiap Minggu, Bukan Setiap Bulan

Setelah sistem apungan harga terkawal dilaksanakan secara sebulan sejak 1 Disember 2014, beberapa kelemahan telah dikenalpasti. Dua kelemahan utama sistem apungan terkawal yang menetapkan harga setiap bulan ini adalah seperti berikut:

1. Harga terkini RON95 dan diesel hanya disemak untuk diselaraskan dengan harga pasaran setiap bulan, sedangkan harga minyak mentah terus jatuh setiap hari. Ini menyebabkan harga yang dibayar oleh rakyat jauh lebih mahal dari harga pasaran sebenar.

Contohnya, pada 30 Disember 2014 harga pasaran RON95 yang ditetapkan oleh formula Kerajaan Persekutuan sendiri adalah RM1.75 seliter tetapi rakyat masih terpaksa membayar RM2.26 seliter iaitu 50 sen lebih mahal dari harga sebenar. Jumlah 50 sen setiap liter yang dibayar lebih mahal dari harga pasaran ini dikutip sebagai cukai oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam keadaan harga minyak mentah terus jatuh dan dijangka kekal begitu sepanjang tahun 2015, kaedah menyemak dan menyelaraskan harga RON95 dan diesel dengan harga pasaran setiap sebulan sekali seperti yang diamalkan sekarang memangsakan rakyat.

Apabila semakan dan penyelarasan harga lambat dilakukan, rakyat terpaksa membayar harga sebulan yang lepas yang sudah tentu jauh lebih tinggi dari harga dan kos sebenar yang ditanggung syarikat minyak.

2. Apabila harga yang dibayar oleh rakyat jauh lebih tinggi dari harga pasaran sebenar yang ditetapkan oleh formula, setiap sen lebihan itu dikutip oleh Kerajaan Persekutuan sebagai cukai.

Sepanjang bulan Disember 2014, Kerajaan Persekutuan mengutip cukai tersembunyi di atas penjualan petrol dan diesel yang lebih mahal dari harga pasaran yang berjumlah RM633 juta.

Jika keadaan ini tidak diubah dan berterusan, saya menjangkakan Kerajaan Persekutuan akan mengutip cukai di antara RM3 bilion hingga RM5 bilion dalam tahun 2015 di atas pembelian petrol dan diesel.

Jumlah sebenar yang dikutip boleh dikurangkan secara drastic sekiranya harga petrol dan diesel diselaraskan dengan harga pasaran secara lebih kerap, bukannya sebulan sekali seperti sekarang.

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Kerajaan Persekutuan menukar jadual menyelaraskan harga petrol dan diesel dari sebulan sekali (seperti sekarang) kepada setiap seminggu sekali. Harga bagi minggu ini adalah harga purata petrol dan diesel bagi 7 hari sebelumnya.

Dengan menyelaraskan harga petrol dan diesel kepada harga pasaran setiap seminggu sekali, ini akan dapat menyelesaikan dua masalah utama di atas. Rakyat akan dapat menikmati harga petrol yang jauh lebih rendah (misalnya harga RON95 bagi minggu ini sepatutnya hanya RM1.87 seliter mengikut pelarasan mingguan seperti ini) dan rakyat tidak perlu membayar cukai tersembunyi yang terlalu tinggi seperti yang berlaku sekarang.

Saya telah membuat satu simulasi berapakah jumlah kutipan cukai petrol dan diesel bagi Disember 2014 sekiranya harga RON95 dan diesel diselaraskan setiap minggu kepada harga pasaran.

Kiraan dalam Lampiran menunjukkan bahawa jumlah kutipan cukai hanyalah RM54.4 juta bagi RON95 (berbanding RM402 juta mengikut penyelarasan bulanan) dan RM40.3 juta bagi diesel (berbanding RM231 juta mengikut penyelarasan bulanan).

Download (PDF, 245KB)

Ini bermakna jika harga petrol dan diesel diselaraskan setiap minggu, rakyat hanya membayar cukai petrol dan diesel sebanyak RM95 juta bagi Disember 2014 berbanding RM633 juta di bawah kaedah sekarang.

Saya amat kesal dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang memanipulasi kaedah penetapan harga petrol dan diesel untuk mencukai rakyat dalam keadaan subsidi telah ditarik dan kos sara hidup semakin meningkat.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

2 Januari 2015

LAMPIRAN

LAMPIRAN

SIMULASI KUTIPAN CUKAI MENGIKUT PENYELARASAN HARGA MINGGUAN

 

RON95

 

Harga pasaran harian

 

Tarikh Harga Pasaran MOPS (USD/tong) Harga Pasaran MOPS (USD/liter) Kadar matawang (RM/USD) Harga pasaran MOPS (RM/liter) Jaminan keuntungan syarikat minyak & stesen (RM/liter) Harga pasaran sebenar (RM/liter)
1-Dec-14 79.730 0.501 3.437 1.73 0.32 2.05
2-Dec-14 79.730 0.501 3.437 1.73 0.32 2.05
3-Dec-14 78.716 0.495 3.432 1.71 0.32 2.03
4-Dec-14 78.108 0.492 3.448 1.69 0.32 2.01
5-Dec-14 77.407 0.487 3.465 1.69 0.32 2.01
6-Dec-14 77.407 0.487 3.465 1.69 0.32 2.01
7-Dec-14 77.407 0.487 3.465 1.69 0.32 2.01
8-Dec-14 75.365 0.474 3.504 1.66 0.32 1.98
9-Dec-14 75.710 0.476 3.494 1.66 0.32 1.98
10-Dec-14 73.864 0.465 3.487 1.62 0.32 1.94
11-Dec-14 73.864 0.465 3.487 1.62 0.32 1.94
12-Dec-14 72.671 0.457 3.495 1.60 0.32 1.92
13-Dec-14 72.671 0.457 3.495 1.60 0.32 1.92
14-Dec-14 72.671 0.457 3.495 1.60 0.32 1.92
15-Dec-14 72.065 0.453 3.497 1.58 0.32 1.90
16-Dec-14 67.899 0.427 3.491 1.49 0.32 1.81
17-Dec-14 69.403 0.437 3.487 1.52 0.32 1.84
18-Dec-14 67.794 0.426 3.478 1.48 0.32 1.80
19-Dec-14 69.453 0.437 3.477 1.52 0.32 1.84
20-Dec-14 69.453 0.437 3.477 1.52 0.32 1.84
21-Dec-14 69.453 0.437 3.477 1.52 0.32 1.84
22-Dec-14 72.032 0.453 3.487 1.58 0.32 1.90
23-Dec-14 68.047 0.428 3.497 1.50 0.32 1.82
24-Dec-14 71.057 0.447 3.497 1.56 0.32 1.88
25-Dec-14 71.057 0.447 3.486 1.56 0.32 1.88
26-Dec-14 71.057 0.447 3.486 1.56 0.32 1.88
27-Dec-14 71.057 0.447 3.486 1.56 0.32 1.88
28-Dec-14 71.057 0.447 3.486 1.56 0.32 1.88
29-Dec-14 67.810 0.427 3.497 1.49 0.32 1.81
30-Dec-14 65.058 0.409 3.502 1.43 0.32 1.75

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Harga mingguan yang diselaraskan

 

Minggu Harga pasaran purata (RM/liter)
1 Dis – 7 Dis 2.05
8 Dis – 14 Dis 2.02
15 Dis – 21 Dis 1.94
22 Dis – 28 Dis 1.84
29 Dis – 4 Jan 1.87

 

Kutipan cukai RON95 mengikut harga mingguan

 

Tarikh Harga pasaran sebenar (RM/liter) Harga dibayar rakyat (RM/liter) Untung syarikat/ cukai kerajaan (RM/liter) Purata penggunaan RON95 harian (liter) Jumlah untung syarikat/ cukai kerajaan                   (RM)
1-Dec-14 2.05 2.05 38,356,164
2-Dec-14 2.05 2.05 38,356,164
3-Dec-14 2.03 2.05 0.02 38,356,164 767,123
4-Dec-14 2.01 2.05 0.04 38,356,164 1,534,247
5-Dec-14 2.01 2.05 0.04 38,356,164 1,534,247
6-Dec-14 2.01 2.05 0.04 38,356,164 1,534,247
7-Dec-14 2.01 2.05 0.04 38,356,164 1,534,247
8-Dec-14 1.98 2.02 0.04 38,356,164 1,698,630
9-Dec-14 1.98 2.02 0.04 38,356,164 1,698,630
10-Dec-14 1.94 2.02 0.08 38,356,164 3,232,877
11-Dec-14 1.94 2.02 0.08 38,356,164 3,232,877
12-Dec-14 1.92 2.02 0.10 38,356,164 4,000,000
13-Dec-14 1.92 2.02 0.10 38,356,164 4,000,000
14-Dec-14 1.92 2.02 0.10 38,356,164 4,000,000
15-Dec-14 1.90 1.94 0.04 38,356,164 1,643,836
16-Dec-14 1.81 1.94 0.13 38,356,164 5,095,890
17-Dec-14 1.84 1.94 0.10 38,356,164 3,945,205
18-Dec-14 1.80 1.94 0.14 38,356,164 5,479,452
19-Dec-14 1.84 1.94 0.10 38,356,164 3,945,205
20-Dec-14 1.84 1.94 0.10 38,356,164 3,945,205
21-Dec-14 1.84 1.94 0.10 38,356,164 3,945,205
22-Dec-14 1.90 1.84 (0.06) 38,356,164 (2,356,164)
23-Dec-14 1.82 1.84 0.02 38,356,164 712,329
24-Dec-14 1.88 1.84 (0.04) 38,356,164 (1,589,041)
25-Dec-14 1.88 1.84 (0.04) 38,356,164 (1,589,041)
26-Dec-14 1.88 1.84 (0.04) 38,356,164 (1,589,041)
27-Dec-14 1.88 1.84 (0.04) 38,356,164 (1,589,041)
28-Dec-14 1.88 1.84 (0.04) 38,356,164 (1,589,041)
29-Dec-14 1.81 1.87 0.06 38,356,164 2,465,753
30-Dec-14 1.75 1.87 0.12 38,356,164 4,767,123
                   54,410,959

 

 

DIESEL

 

Harga pasaran harian

 

Tarikh Harga Pasaran MOPS (USD/tong) Harga Pasaran MOPS (USD/liter) Kadar matawang (RM/USD) Harga pasaran MOPS (RM/liter) Jaminan keuntungan syarikat minyak & stesen (RM/liter) Harga pasaran sebenar (RM/liter)
1-Dec-14 86.326 0.543 3.437 1.87 0.23 2.10
2-Dec-14 86.326 0.543 3.437 1.87 0.23 2.10
3-Dec-14 84.356 0.531 3.432 1.82 0.23 2.05
4-Dec-14 82.944 0.522 3.448 1.80 0.23 2.03
5-Dec-14 82.733 0.520 3.465 1.80 0.23 2.03
6-Dec-14 82.733 0.520 3.465 1.80 0.23 2.03
7-Dec-14 82.733 0.520 3.465 1.80 0.23 2.03
8-Dec-14 81.123 0.510 3.504 1.79 0.23 2.02
9-Dec-14 81.282 0.511 3.494 1.79 0.23 2.02
10-Dec-14 79.421 0.500 3.487 1.74 0.23 1.97
11-Dec-14 79.421 0.500 3.487 1.74 0.23 1.97
12-Dec-14 78.369 0.493 3.495 1.72 0.23 1.95
13-Dec-14 78.369 0.493 3.495 1.72 0.23 1.95
14-Dec-14 78.369 0.493 3.495 1.72 0.23 1.95
15-Dec-14 77.998 0.491 3.497 1.71 0.23 1.94
16-Dec-14 74.357 0.468 3.491 1.63 0.23 1.86
17-Dec-14 73.956 0.456 3.487 1.62 0.23 1.85
18-Dec-14 73.229 0.461 3.478 1.60 0.23 1.83
19-Dec-14 73.517 0.460 3.477 1.60 0.23 1.83
20-Dec-14 73.517 0.460 3.477 1.60 0.23 1.83
21-Dec-14 73.517 0.460 3.477 1.60 0.23 1.83
22-Dec-14 77.219 0.486 3.487 1.69 0.23 1.92
23-Dec-14 72.761 0.458 3.497 1.60 0.23 1.83
24-Dec-14 77.303 0.486 3.497 1.70 0.23 1.93
25-Dec-14 77.303 0.486 3.486 1.69 0.23 1.92
26-Dec-14 77.303 0.486 3.486 1.69 0.23 1.92
27-Dec-14 77.303 0.486 3.486 1.69 0.23 1.92
28-Dec-14 77.303 0.486 3.486 1.69 0.23 1.92
29-Dec-14 73.073 0.460 3.497 1.61 0.23 1.84
30-Dec-14 70.734 0.445 3.502 1.56 0.23 1.79

 

 

Harga mingguan yang diselaraskan

 

Minggu Harga pasaran purata (RM/liter)
1 Dis – 7 Dis 2.10
8 Dis – 14 Dis 2.05
15 Dis – 21 Dis 1.98
22 Dis – 28 Dis 1.85
29 Dis – 4 Jan 1.91

 

Kutipan cukai diesel mengikut harga mingguan

 

Tarikh Harga pasaran sebenar (RM/liter) Harga dibayar rakyat (RM/liter) Untung syarikat/ cukai kerajaan (RM/liter) Purata penggunaan diesel harian (liter) Jumlah untung syarikat/ cukai kerajaan                   (RM)
1-Dec-14 2.10 2.10 26,410,959
2-Dec-14 2.10 2.10 26,410,959
3-Dec-14 2.05 2.10 0.05 26,410,959 1,320,548
4-Dec-14 2.03 2.10 0.07 26,410,959 1,848,767
5-Dec-14 2.03 2.10 0.07 26,410,959 1,848,767
6-Dec-14 2.03 2.10 0.07 26,410,959 1,848,767
7-Dec-14 2.03 2.10 0.07 26,410,959 1,848,767
8-Dec-14 2.02 2.05 0.03 26,410,959 867,789
9-Dec-14 2.02 2.05 0.03 26,410,959 867,789
10-Dec-14 1.97 2.05 0.08 26,410,959 2,188,337
11-Dec-14 1.97 2.05 0.08 26,410,959 2,188,337
12-Dec-14 1.95 2.05 0.10 26,410,959 2,716,556
13-Dec-14 1.95 2.05 0.10 26,410,959 2,716,556
14-Dec-14 1.95 2.05 0.10 26,410,959 2,716,556
15-Dec-14 1.94 1.98 0.04 26,410,959 943,249
16-Dec-14 1.86 1.98 0.12 26,410,959 3,056,125
17-Dec-14 1.85 1.98 0.13 26,410,959 3,320,235
18-Dec-14 1.83 1.98 0.15 26,410,959 3,848,454
19-Dec-14 1.83 1.98 0.15 26,410,959 3,848,454
20-Dec-14 1.83 1.98 0.15 26,410,959 3,848,454
21-Dec-14 1.83 1.98 0.15 26,410,959 3,848,454
22-Dec-14 1.92 1.85 (0.07) 26,410,959 (1,773,307)
23-Dec-14 1.83 1.85 0.02 26,410,959 603,679
24-Dec-14 1.93 1.85 (0.08) 26,410,959 (2,037,417)
25-Dec-14 1.92 1.85 (0.07) 26,410,959 (1,773,307)
26-Dec-14 1.92 1.85 (0.07) 26,410,959 (1,773,307)
27-Dec-14 1.92 1.85 (0.07) 26,410,959 (1,773,307)
28-Dec-14 1.92 1.85 (0.07) 26,410,959 (1,773,307)
29-Dec-14 1.84 1.91 0.07 26,410,959 1,811,037
30-Dec-14 1.79 1.91 0.12 26,410,959 3,131,585
40,333,307

 

Cukai Minyak RM633 Juta Perlu Diasingkan Sebagai Tabung Pengimbang Harga Minyak

Pengumuman harga RON95 pada RM1.91 seliter dan diesel pada RM1.93 seliter oleh Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa hari ini mengesahkan bahawa pengiraan harga RON95 dan diesel yang dibuat oleh KEADILAN selama ini adalah tepat.

KEADILAN telah mengambil langkah mengumumkan terlebih dahulu harga RON95 dan diesel mengikut harga pasaran dan formula jaminan keuntungan dan bayaran kos kepada syarikat minyak untuk memastikan Kerajaan Persekutuan tidak berdolak dalih dalam menurunkan harga minyak.

Semalam pada jam 1130 pagi, saya telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga RON95 mengikut formula purata bulanan adalah RM1.91 seliter dan diesel adalah RM1.94 seliter.

Harga itu tepat seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan lewat malam semalam yang sekaligus mengesahkan bahawa kaedah dan pengiraan KEADILAN adalah tepat seperti formula yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Lebih penting lagi, ia juga mengesahkan bahawa kiraan jumlah cukai yang dikutip secara senyap (hidden tax) akibat harga yang dibayar lebih tinggi dari harga pasaran juga adalah tepat.

Maka, pendedahan KEADILAN bahawa bagi bulan Disember 2014 Kerajaan Persekutuan telah mengutip cukai petrol dan diesel secara senyap sebanyak RM633 juta perlu diberi perhatian serius oleh rakyat.

Keadaan ini dijangka berterusan dalam keadaan harga minyak mentah dunia terus jatuh dan perubahan harga hanya dilakukan sekali sebulan seperti yang diamalkan Kerajaan Persekutuan. Akibatnya, Kerajaan Persekutuan akan mengutip cukai pada purata RM400 juta sebulan dan boleh mencecah berbilion ringgit dalam tahun 2015.

Saya sangat khuatir durian runtuh dalam bentuk cukai yang dikutip secara senyap ini akan dibelanjakan sewenang-wenangnya oleh Kerajaan Persekutuan apabila ia dimasukkan di dalam akaun pendapatan yang sama iaitu wang disatukan.

Dalam tempoh satu tahun akan datang, harga minyak berkemungkinan akan naik kembali sekiranya pasaran minyak mentah dunia pulih dan ekonomi dunia kembali rancak. Pada ketika itu, rakyat terpaksa berdepan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang.

Tindakan Kerajaan Persekutuan menghapuskan subsidi menyebabkan rakyat bakal terdedah kepada kenaikan mendadak harga petrol dan diesel. Kerajaan Persekutuan pula akan memberi alasan subsidi terlalu mahal dan tidak mampu ditanggung sedangkan berbilion ringgit cukai petrol dan diesel yang dikutip selama ini telah dibelanjakan bagi projek-projek besar.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya satu akta digubal segera untuk memastikan sebarang kutipan cukai akibat dari perbezaan harga yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan harga pasaran (seperti yang berlaku sekarang) diasingkan dan dikumpul di dalam satu Tabung Pengimbang Harga Minyak.

Dana dari Tabung Pengimbang Harga Minyak ini hanya boleh digunakan untuk menstabilkan harga petrol dan diesel untuk melindungi rakyat dari kenaikan mendadak harga petrol dan diesel apabila harga minyak mentah kembali pulih ke paras lama.

Dana RM633 juta yang dikutip dalam Disember 2014 perlulah segera diasingkan dan dimasukkan di dalam tabung sedemikian sementara satu akta digubal dan dikuatkuasa serta merta.

Saya akan menggubal akta tersebut sebagai inisiatif rang undang-undang persendirian (private member bill) untuk diangkat ke Dewan Rakyat dalam sessi akan datang yang bermula Mac 2015 nanti. Saya sedia bekerjasama dengan mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk memastikan rang undang-undang Tabung Pengimbang Harga Minyak ini dapat diluluskan Dewan Rakyat.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

1 Januari 2015

Harga Pasaran RON95 Dua Minggu Pertama Disember 2014 Di Bawah RM2 Seliter

Harga pasaran RON95 menggunakan formula yang diumumkan oleh Barisan Nasional bagi dua minggu pertama Disember 2014 menunjukkan bahawa RON95 telah jatuh di bawah paras RM2 seliter, seperti berikut:

Tarikh Harga pasaran sebenar (RM/liter)
1-Dec-14 2.05
2-Dec-14 2.05
3-Dec-14 2.03
4-Dec-14 2.01
5-Dec-14 2.01
6-Dec-14 2.01
7-Dec-14 2.01
8-Dec-14 1.98
9-Dec-14 1.98
10-Dec-14 1.94
11-Dec-14 1.94
12-Dec-14 1.92
13-Dec-14 1.92
14-Dec-14 1.92
15-Dec-14 1.90

 

Barisan Nasional mengumumkan bahawa harga RON95 bagi sesuatu bulan ditetapkan berdasarkan harga purata harga pasaran RON95 seperti yang ditetapkan oleh formula. Bagi 15 hari pertama Disember 2014, harga purata ini (dikira berdasarkan harga pasaran harian seperti di atas) telah jatuh ke paras RM1.98 liter (tanpa subsidi). Jika subsidi 30 sen seliter dikembalikan seperti yang dituntut oleh KEADILAN, harga RON95 bagi dua minggu pertama secara purata telah jatuh ke paras RM1.68 seliter.

Dalam keadaan harga minyak mentah terus jatuh mendadak minggu ini dan dijangka terus jatuh sepanjang 2015, harga pasaran harian bagi tempoh 16 Disember 2014 hingga 31 Disember 2014 juga akan lebih rendah dari RM1.90 seliter (merujuk kepada harga pada 15 Disember 2014).

Oleh yang demikian, saya memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya jangan berdolak dalih untuk segera menurunkan harga RON95 kepada RM1.90 serta merta. Sekiranya harga RON95 yang diumumkan pada 31 Disember 2014 kelak adalah lebih tinggi dari RM1.90 seliter, ini bermakna Barisan Nasional terus memanipulasi harga RON95 dan diesel untuk mendapatkan keuntungan melalui cukai minyak secara tersembunyi.

Sehingga kini, tidak ada seorang pemimpin Barisan Nasional pun yang berani menafikan kenyataan saya sebelum ini bahawa rakyat telah terlebih bayar harga minyak yang lebih tinggi yang dianggarkan RM274 juta dalam tempoh 45 hari sejak 1 November 2014. Mengikut amalan biasa, jumlah ini dikembalikan oleh syarikat-syarikat minyak kepada kerajaan sebagai cukai tersembunyi.

Selagi Barisan Nasional tidak menafikan perkara ini dan menjelaskan mekanisme sebenar siapa yang menyimpan jumlah RM274 juta yang dibayar lebih oleh rakyat ini, selagi itulah rakyat akan terus beranggapan bahawa mereka dicukai secara tersembunyi melalui harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi.

Saya mengulangi pendirian bahawa kerajaan wajib mengembalikan subsidi sekurang-kurangnya 30 sen seliter yang akan menyaksikan harga minyak RON95 dalam bulan Januari jatuh ke paras RM1.60 seliter. Penurunan begini selari dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan harga petrol diesel yang lebih rendah yang dinikmati oleh negara-negara lain.

Saya juga menyeru supaya semua rakyat Malaysia turun ke Dataran Merdeka pada 31 Disember 2014 bermula 9 malam untuk #tuntut #turunhargaminyak kerana harga yang ada sekarang mengutip cukai secara tersembunyi dari rakyat.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

19 Disember 2014