Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Kerajaan Hapus Subsidi Tetapi Jamin Keuntungan Syarikat Minyak

Saya dimaklumkan akan reaksi Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin terhadap tindakan menghapuskan subsidi oleh Barisan Nasional dengan menempelak kritikan di media sosial. Beliau menjawab dengan menunjukkan bagaimana harga akan ditentukan di bawah sistem apungan harga terkawal (managed float system) di laman Twitter.

Saya mengalu-alukan jawapan itu kerana ia mendedahkan bagaimana Barisan Nasional terus memangsakan rakyat tetapi membela syarikat-syarikat besar.

Penetapan harga petrol dan diesel telah lama dibuat melalui sistem Penetapan Harga Automatik (Automatic Pricing Mechanism) yang mengikut formula berikut (iaitu yang ditunjukkan oleh YB Khairy Jamaluddin):

1. Kos petrol dan diesel ditetapkan melalui harga rujukan menggunakan harga yang dikumpul oleh Platts melalui satu indeks yang dipanggil Means of Platts Singapore (MOPS). Harga ini adalah harga purata petrol dan diesel yang diperdagangkan melalui Singapura (dan bukannya harga minyak mentah). Kos ini telah termasuk kos dan keuntungan syarikat minyak yang mengendalikan loji penapisan kerana MOPS menentukan harga petrol dan diesel yang telah siap diproses.

2. Ditambah: “alpha” atau bayaran pampanan kepada syarikat minyak sebanyak 5 sen (petrol) dan 4 sen (diesel) untuk melindungi mereka dari turun naik kos petrol dan diesel di pasaran

3. Ditambah: “kos operasi” yang dibayar untuk menampung kos pengangkutan, agihan dan pemasaran yang ditanggung oleh syarikat minyak

4. Ditambah: “keuntungan syarikat minyak” sebanyak 5 sen (petrol) dan 2.25 sen (diesel)

5. Ditambah: “keuntungan stesen minyak” sebanyak 12.19 (petrol) dan 7 sen (diesel)

Ini bermakna sementara rakyat terpaksa berdepan dengan risiko turun naik harga petrol dan diesel di pasaran dunia ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia, Barisan Nasional meneruskan kaedah menjamin keuntungan syarikat-syarikat minyak melalui formula yang di atas.

Segala kos syarikat minyak – dari kos memproses minyak mentah menjadi petrol dan diesel (dengan merujuk kepada harga rujukan MOPS) sehinggalah ke kos pengangkutan, edaran dan pemasaran – dijamin dan dibayar balik kepada syarikat minyak. Lebih dari itu, Barisan Nasional juga menjamin keuntungan kepada syarikat minyak dan pemilik stesen minyak.

Sebelum ini, rakyat mendapat subsidi yang mengimbangkan jaminan keuntungan yang diberikan kepada syarikat-syarikat minyak. Dengan penghapusan subsidi, rakyat terpaksa menanggung bukan sahaja kenaikan kos petrol dan diesel, malah keuntungan syarikat-syarikat minyak yang dijamin oleh Barisan Nasional.

Sebab itu saya terus menegaskan bahawa subsidi itu adalah satu tanggungjawab sosial dan moral yang perlu Kerajaan Persekutuan tanggung kerana sistem yang sedia ada memunggahkan kekayaan kepada syarikat besar dan memangsakan rakyat.

Saya berminat untuk mendapat jawapan lanjut dari Ketua Pemuda Umno sama ada tindakan beliau mempertahankan formula apungan harga yang menjamin keuntungan syarikat minyak ini bermakna beliau lebih mementingkan syarikat-syarikat besar berbanding kepayahan rakyat kebiasaan?


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

24 November 2014

Soal Jawab Harga Minyak: Harga Petrol Sepatutnya RM1.90 Seliter Sekarang

Saya ditanya oleh wartawan mengenai kaedah sebenar memastikan harga petrol dan diesel yang ditetapkan tidak memangsakan rakyat.

Berikut adalah cadanga saya yang saya akan angkat ke Pakatan Rakyat untuk kita perjuangkan. Mohon sebarkan supaya kita dapat kembalikan sistem subsidi dan pastikan #turunhargaminyak

SOALAN SATU:
Apa akan terjadi sekiranya harga minyak mentah melambung?

Apabila harga petrol dan diesel diapungkan sepenuhnya mengikut harga minyak mentah di pasaran dunia, harga petrol dan diesel juga akan mengikut turun naik di pasaran dunia. Pada ketika ini harganya berada pada paras USD80 setong dan oleh kerana BN telah menaikkan harga petrol dan diesel hingga mencecah RM2.30 (petrol) dan RM2.20 (diesel), maka harga sebenarnya yang dikenakan oleh syarikat minyak seperti PETRONAS, SHELL dan lain-lain sebenarnya lebih murah dari itu. Jadi pada harga minyak mentah di paras USD80 setong, jika diapungkan mengikut harga pasaran, harga petrol dan diesel lebih murah beberapa sen dari harga sekarang.

Tetapi sekiranya harga minyak mentah kembali naik, harga pasaran yang dikenakan oleh syarikat minyak seperti PETRONAS, SHELL dan lain-lain akan melebihi RM2.30 seliter, maka rakyat terpaksa menanggung kos petrol dan diesel yang lebih tinggi.

Penarikan subsidi maknanya kerajaan mengabaikan terus tanggungjawab mengurangkan beban rakyat dengan melindungi rakyat dari ketidaktentuan harga di pasaran antarabangsa.

Sebab itu saya tetap menegaskan bahawa ada caranya yang mana subsidi boleh dikekalkan tanpa membebankan negara, pada masa yang sama melindungi rakyat.

Saya berpendapat kerajaan sepatutnya menetapkan jumlah subsidi setiap liter yang tetap, contohnya 30 sen setiap liter bagi petrol dan diesel. Mengambil kira jumlah penggunaan petrol dan diesel setiap tahun iaitu 15 bilion liter petrol setiap tahun dan 10 bilion liter diesel setiap tahun, jumlah subsidi yang perlu diperuntukkan setiap tahun ialah [30 sen X (15b + 10b)] = RM7.5 bilion sahaja.

Jumlah ini tidak mahal berbanding dengan segala perbelanjaan lain, contohnya hutang 1MDB yang mencecah RM42 bilion, bayaran faedah dari hutang kerajaan sebanyak RM25 bilion setahun dan lain-lain.

Jika subsidi ditetapkan dengan cara ini:

– rakyat akan tetap menikmati harga petrol dan diesel yang murah walaupun masih tertakluk kepada perubahan harga minyak mentah dunia

– kos menyediakan subsidi itu tidak terlalu tinggi dan kerajaan boleh merancang lebih baik kerana telah menetapkan subsidi tetap setiap liter, bukannya berubah-ubah

Oleh itu, jika diambil dengan harga minyak mentah sekarang iaitu USD80 setong, harga pasaran yang dikenakan oleh syarikat minyak ialah RM2.25 seliter bagi petrol.

Jika kerajaan mengambil kaedah memberi subsidi 30 sen seliter bagi petrol, harga petrol sepatutnya hanya RM1.95 seliter.

Sebab itu saya membangkang tindakan kerajaan ini kerana ia memangsakan rakyat dan bakal menyusahkan rakyat apabila harga minyak mentah naik kelak.

SOALAN DUA:
Apakah mekanisme menetapkan harga yang diumumkan kerajaan itu tepat?

Mekanisme akan mengambil kira harga purata minyak mentah di pasaran dunia mengikut bulan, kemudian ini akan menetapkan harga bagi bulan yang seterusnya. Malah harga itu akan tetap dikawal dan ditentukan oleh kerajaan, cuma kerajaan tidak memberi subsidi.

Ini juga tidak adil kepada rakyat kerana bila diambil purata bulanan, turun naik itu mungkin tidak memberi sebarang perubahan besar sedangkan ada minggu yang harga turun.

Sebab itu kalau kerajaan betul-betul mahu menggunakan harga pasaran, maka gunakanlah harga pasaran sepenuhnya.

Saya telah bagi cadangan bagaimana ini boleh dilaksanakan iaitu:

1) tetapkan jumlah subsidi setiap liter yang diberikan, contohnya 30 sen setiap liter seperti yang saya terangkan di atas

2) berdasarkan harga minyak mentah minggu di pasaran dunia, tetapkan harga siling yang boleh dikenakan oleh syarikat minyak pada setiap minggu. Syarikat-syarikat ini boleh mengenakan harga yang lebih murah untuk mendapat lebih ramai pelanggan tetapi tertakluk kepada harga siling

3) Harga yang dibayar oleh rakyat adalah harga yang dikenakan syarikat minyak ditolak subsidi yang diberikan oleh kerajaan

4) Contoh: pada harga minyak mentah USD80 setong, kerajaan menetapkan harga siling RM2.25 seliter bagi petrol. PETRONAS tetapkan harga RM2.20 seliter dan SHELL RM2.23 seliter. Pengguna yang membeli di PETRONAS akan membayar RM1.90 seliter kerana kerajaan memberi subsidi 30 sen.

Tindakan Hapus Subsidi Petrol Dan Diesel Adalah Terkutuk, Tidak Bertanggungjawab Dan Memangsakan Rakyat

Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Dato’ Seri Najib Tun dan pentadbiran beliau yang mengorbankan kebajikan dan kepentingan rakyat apabila subsidi petrol RON95 dan diesel dihapuskan sepenuhnya bermula 1 Disember 2014, seperti yang diumumkan sebentar tadi.

Persoalan subsidi petrol dan diesel di negara ini bukan terhad kepada keputusan ekonomi sama ada subsidi baik atau buruk untuk ekonomi negara. Prinsip yang lebih besar ialah sama ada kekayaan hasil minyak dan gas negara dikongsi bersama dengan rakyat, bukannya dibelanjakan sewenang-wenangnya oleh pemerintah di Putrajaya.

Melalui kaedah subsidi petrol dan diesel yang digunapakai selama berpuluh tahun, sebahagian dari kekayaan itu dikongsi terus dengan rakyat tanpa perlu menunggu peruntukan yang diputuskan oleh pemerintah di Putrajaya.

Dengan penghapusan subsidi petrol dan diesel, keseluruhan kekayaan hasil minyak dan gas dibolot sepenuhnya oleh Barisan Nasional. Mereka menentukan berapa peruntukan yang sampai kepada rakyat. Dalam keadaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah terbukti tidak berniat untuk menghapuskan rasuah malah diburukkan lagi dengan skandal 1MDB dan lain-lain, penghapusan subsidi ini bermakna kekayaan hasil minyak dan gas dipusatkan sepenuhnya bagi membiayai segala pembaziran dan rasuah yang kian berlaku oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya menolak sepenuhnya penghapusan subsidi petrol dan diesel ini dan berazam akan terus bersama-sama aktivis dan rakyat menuntut harga minyak diturunkan bermula dengan demonstrasi #turunhargaminyak pada 31 Disember 2014. Dengan pengumuman Barisan Nasional pada hari ini, demonstrasi pada 31 Disember 2014 akan turut menuntut supaya sistem subsidi dikembalikan.

Sementara menunggu tekanan dari rakyat mengembalikan sistem subsidi petrol dan diesel, saya juga mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak berlaku adil dengan rakyat dengan serta-merta mengumumkan perkara-perkara berikut:

1. Membatalkan hasrat menetapkan harga petrol dan diesel melalui sistem apungan harga terkawal (managed floating pricing system) sebaliknya membenarkan syarikat-syarikat minyak menetapkan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing tertakluk kepada harga siling. Dengan cara ini, rakyat akan dapat memilih untuk membeli minyak pada harga paling rendah, bukannya yang ditetapkan oleh kerajaan. Ia juga memberi insentif kepada syarikat-syarikat minyak supaya lebih cekap dan tidak hanya bergantung kepada perlindungan kerajaan melalui harga seragam seperti yang berlaku sekarang. Melalui cara ini iaitu melaksanakan harga terbuka, syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan pimpinan Barisan Nasional seperti PETRON akan mengalami kesukaran untuk bersaing kerana mereka bukanlah syarikat minyak yang mempunyai operasi berintegrasi di hiliran dan huluan;

2. Mengumumkan penghapusan cukai eksais kereta secara berperingkat untuk memastikan harga kereta akan lebih selari dengan harga pasaran seperti yang dibayar oleh pengguna di negara-negara lain. Selama ini Barisan Nasional memberi alasan rakyat terpaksa membayar cukai eksais kereta yang tinggi kerana kerajaan memberikan subsidi petrol dan diesel, alasan ini kini tidak boleh digunapakai. Jika harga petrol dan diesel ditetapkan mengikut kos dan pasaran, maka harga kereta juga perlulah mengikut harga pasaran.

Kegagalan atau keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan kedua-dua perkara di atas bermakna beliau mengundang kemarahan rakyat. Jika cukai-cukai kereta tidak dihapuskan, pentadbiran beliau dijangka mengutip RM17.3 bilion dari rakyat bagi segala jenis cukai kenderaan tahun depan tanpa sedikit pun dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi.

Apa pun alasan Dato’ Seri Najib Tun Razak selepas ini, saya menyeru semua rakyat, NGO dan aktivis untuk turun beramai-ramai pada 31 Disember 2014 untuk menuntut #turunhargaminyak dan dikembalikan sistem subsidi.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

21 November 2014

Turunkan Harga Minyak Sekarang

Saya ambil maklum kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan kononnya harga petrol dan diesel akan diturunkan sekiranya harga minyak mentah dunia jatuh ke paras USD70 hingga USD75 setong.

Saya telah berkali-kali mengingatkan Barisan Nasional supaya berlaku adil dengan rakyat dan mengikuti konsep ekonomi yang ingin mereka laksanakan sendiri. Jika harga petrol dan diesel dinaikkan apabila harga minyak mentah naik di pasaran dunia, maka adalah adil harga petrol dan diesel diturunkan apabila harga minyak mentah turun di pasaran dunia.

Apatah lagi harga RON97 adalah harga pasaran seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Harga RON97 sekarang ditetapkan ketika harga minyak mentah dunia masih lagi sekitar USD105 setong. Dengan penurunan sehingga 20% harga minyak mentah di pasaran dunia sejak dua bulan lalu, sepatutnya harga RON97 juga perlu turun 20%.

Paras harga minyak mentah sekitar USD70 hingga USD75 setong yang dicadangkan Timbalan Menteri Kewangan itu adalah harga minyak mentah bila mana kerajaan tidak perlu menanggung langsung subsidi petrol dan diesel, malah rakyat pula perlu membayar cukai petrol dan diesel sekiranya harga dikekalkan pada kadar RM2.30 seliter bagi petrol dan RM2.20 seliter bagi diesel.

Mengambil kira bahawa dasar subsidi petrol dan diesel selama ini dilaksanakan supaya kekayaan hasil minyak negara turut dinikmati oleh rakyat terbanyak, cadangan Timbalan Menteri Kewangan itu bermakna Barisan Nasional memang berniat untuk menghapuskan terus subsidi petrol dan diesel yang selama ini dinikmati rakyat.

Ini bermakna keseluruhan hasil minyak melalui PETRONAS dan cukai petroleum akan dibelanjakan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek; bukannya sampai terus kepada rakyat.

Menurunkan harga petrol dan diesel sekarang akan menguji kebenaran hujah-hujah ekonomi Barisan Nasional sebelum ini kononnya apabila GST dilaksanakan, cukai GST yang boleh dituntut semula oleh peniaga akan menyebabkan harga barang akan turun. Saya percaya jika harga petrol dan diesel diturunkan sekarang, harga barang tetap tidak akan turun lalu membuktikan bahawa hujah Barisan Nasional mengenai GST tidak boleh diterimapakai.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya harga petrol RON97, petrol RON95 dan diesel diturunkan bermula 1 Disember 2014. Jika tidak, saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan memimpin satu demonstrasi mendesak harga minyak diturunkan pada 31 Disember 2014 di Dataran Merdeka.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

18 November 2014

Turunkan Harga Minyak Sejajar Dengan Kejatuhan Harga Minyak Mentah

Harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus jatuh mewajarkan semakan semula harga petrol dan diesel yang ditetapkan kerajaan. Di samping itu, fenomena harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal pada paras yang lebih rendah memerlukan penilaian semula kepada beberapa dasar menaikkan harga petrol dan diesel yang selama ini dijalankan secara agresif oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Harga minyak mentah dunia yang berlegar sekitar USD$105 ke USD$108 setong di antara Mei hingga Ogos tahun ini (rujukan harga piawai Brent) tiba-tiba mula jatuh bermula Ogos. Ia jatuh dari paras USD$105 setong ke USD$85 setong pada awal Oktober dan kekal pada paras itu sehingga kini.

Penganalisa pasaran minyak mentah dunia turut meramalkan bahawa harga minyak mentah akan kekal sekitar paras itu bagi tempoh yang lebih lama sehingga ke tahun 2015.

Dalam sidang Parlimen minggu lepas, saya telah menanyakan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Chua Tee Yong apakah kerajaan bersedia untuk menurunkan harga petrol dan diesel mengambil kira tekanan inflasi yang membebankan rakyat serta harga minyak mentah yang semakin susut di pasaran antarabangsa. Beliau tidak memberi komitmen sekadar menyebut kerajaan sedang memantau keadaan.

Saya telah membuat analisa jumlah subsidi petrol dan diesel yang akan ditanggung kerajaan sekiranya harga minyak mentah kekal pada harga sekitar USD$85 setong sehingga ke tahun 2015.

Bagi suku terakhir tahun ini, kerajaan akan menjimatkan RM1.45 bilion dalam bentuk subsidi yang tidak perlu dibayar kerana harga minyak mentah yang lebih rendah menyebabkan kos pengeluaran petrol dan diesel juga lebih rendah.

Jumlah subsidi petrol dan diesel bagi tahun 2015 pula dijangka berjumlah hanya RM9.5 bilion (jika harga minyak mentah kekal pada paras USD$85 setong) iaitu penjimatan sebanyak RM4.2 bilion dari jumlah subsidi bagi tahun 2014 yang dijangkakan berjumlah RM13.7 bilion.

Ini bermakna, alasan bahawa harga minyak perlu dinaikkan kerana bebanan subsidi yang tinggi tidak lagi benar akibat kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia. Jika kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel apabila jumlah subsidi meningkat, bukankan apabila jumlah subsidi turun dengan mendadak maka beban rakyat yang disebabkan oleh kenaikan harga petrol dan diesel itu boleh dikurangkan dengan menurunkan pula harga petrol dan diesel?

Penjimatan sebanyak RM1.45 bilion bagi suku terakhir tahun ini dan RM4.2 bilion yang dijangka bagi tahun 2015 itu perlulah dipulangkan kepada rakyat dan bukannya disimpan sebagai peruntukan untuk dibelanjakan oleh Perdana Menteri dan menteri-menterinya.

Keengganan Dato’ Seri Najib untuk memulangkan penjimatan ini kepada rakyat akan terus menjejaskan popularity beliau yang sudah pun merudum kerana keputusan-keputusan yang menaikkan harga barang dan membebankan rakyat.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

3 November 2014