All posts by rafiziramli

Akuan Bersumpah Pengisytiharan Harta

Saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI (No kad pengenalan: XXXXXX-XX-XXXX) yang beralamat di [XXXXXXXXXXX] dengan ini membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 bagi tujuan mengisytiharkan harta saya sebagai seorang yang berminat menjadi calon bagi Pilihan Raya Umum ke 15. Akuan bersumpah ini di buat sejajar dengan sebahagian dari syarat-syarat yang ditetapkan oleh Parti Keadilan Rakyat sebagai calon bertanding di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat.

Oleh itu, saya dengan ini mengisytiharkan perkara-perkara berikut:   

  1. Saya adalah calon Ahli Parlimen Pandan (P100) Pilihan Raya Umum ke 15.
  2. Saya sudah berumah tangga dan mempunyai seorang isteri dan seorang anak yang berumur sembilan (9) tahun.
  3. Sepanjang masa saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen (penggal 2013 – 2018), saya tidak pernah menyalahgunakan kuasa saya untuk memperkayakan diri saya, isteri saya, anak saya atau mana-mana ahli keluarga saya. Saya tidak pernah memegang jawatan awam lain selain dari menjadi Ahli Parlimen (penggal 2013 – 2018).
  4. Jumlah nilai aset bersih saya pada 31 hari bulan Oktober 2022 adalah dianggarkan sebanyak RM 18,851,350. Senarai harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan saya terkandung di dalam Lampiran 1.
  5. Kesemua anggaran yang terkandung di dalam pengisytiharan ini di buat dengan usaha terbaik dan berdasarkan dokumen, rekod dan/atau ingatan saya. Semua aset yang diberi nilai pasaran terkini adalah berdasarkan anggaran terbaik saya.

Saya dengan ini mengesahkan kesemua kenyataan di atas serta maklumat di dalam Lampiran 1 adalah pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan saya. Saya membuat akuan ini dengan percaya bahawa akuan ini benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dan sesungguhnya                                )

diakui oleh saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI         )

di Sungai Besi, Kuala Lumpur                                )

pada 2 November 2022                                         )

Di hadapan saya

Rakan Niaga Latiff Ahmad Dinamakan Sebagai Penerima Bayaran Palsu Dalam Projek SGPV

Saya mengalu-alukan pengumuman Dato’ Seri Latiff Ahmad, pimpinan BERSATU/Perikatan Nasional yang terpalit dengan skandal LCS untuk tidak bertanding dalam PRU15.

Saya juga masih menunggu surat saman sivil dari beliau selepas pendedahan-pendedahan saya menunjukkan penglibatan beliau dalam skandal LCS melalui sebuah syarikat palsu yang bernama Alizes Marine Ltd.

Saya ambil maklum kenyataan beliau minggu ini yang beliau mempunyai tempoh masa enam tahun untuk mengemukakan saman sivil terhadap saya. Saya berharap beliau tidak menggunakan taktik yang sama seperti Najib Razak, yang berjanji untuk menyaman Wall Street Journal tetapi sehingga ke penjara belum memfailkan saman tersebut.

Walaupun telah mengumumkan persaraan dari politik, itu tidak bermakna Latiff Ahmad boleh bebas dari tuduhan-tuduhan berkait skandal LCS.

Saya harap rakyat Malaysia bersabar sementara saya terus meneliti kes ini sehinggalah tangan-tangan ghaib yang menggugat keselamatan negara (demi kekayaan dan kepentingan diri) di bawa ke muka pengadilan.

Pengalaman saya menunjukkan usaha untuk membongkar tangan-tangan ghaib di sebalik skandal-skandal besar negara selalunya memakan masa yang cukup lama.

Sebab itu, bermula hari ini, saya ingin kembali memberi perhatian kepada skandal-skandal pertahanan negara iaitu LCS dan pembelian meriam Howitzer (SPH) yang telah saya dedahkan sebelum ini.

Sehingga kini, Latiff Ahmad cuba mengelak mengenai pembabitan beliau dalam syarikat-syarikat yang dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik LCS dengan hanya memberikan penafian-penafian mudah.

Satu-satunya penafian setakat ini adalah “Zainab bukan isteri saya”, sedangkan carian syarikat menunjukkan Latiff Ahmad adalah rakan kongsi Zainab dalam syarikat Alizes Marine Ltd yang dinamakan sebagai syarikat palsu yang mendapat kontrak pembekalan projek LCS.

Keterlibatan Latiff Ahmad dalam perolehan projek LCS lebih sukar untuk dinafikan kerana ada lagi beberapa syarikat yang dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik yang ada kaitan dengannya.

Jika siasatan dalaman setakat ini hanya menamakan satu syarikat yang ada kaitan dengan Latiff Ahmad, dia boleh membuat tuduhan bahawa siasatan terkeliru (seolah-olah ada individu lain yang bernama Latiff Ahmad). Apabila siasatan menamakan juga syarikat-syarikat lain yang ada kaitan dengannya, atau individu-individu yang dikenal pasti sebagai rakan perniagaannya, sudah tentu bukti-bukti ini mengukuhkan lagi penemuan siasatan dalaman bahawa Latiff Ahmad mendapat laba (secara salah) dari perolehan projek LCS.

Satu lagi dari syarikat yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Audit yang mempunyai kaitan dengan Latiff Ahmad ialah sebuah syarikat yang didaftarkan di Singapura bernama JSD Corporation Pte Ltd.

Muka surat 75 Laporan Audit Forensik memperincikan bahawa syarikat ini mendapat bayaran sebanyak RM1.36 juta sebagai bayaran bagi khidmat teknikal dalam projek Second Generation Patrol Vessel (SGPV) sedangkan tidak ada bukti khidmat itu berlaku.

Perenggan 3.15.4.1 menyatakan bahawa pembayaran bagi “khidmat teknikal” seperti ini, termasuk kepada JSD Corporation Pte. Ltd. hanyalah bersandarkan satu invois kepada BNS (anak syarikat LTAT yang mendapat kontrak bagi projek-projek TLDM) sedangkan tiada bukti pun khidmat teknikal itu berlaku.

Perenggan 3.15.4.5 (muka surat 78) mendedahkan bahawa JSD Corporation Pte Ltd dibayar bagi khidmat teknikal pembinaan kapal perang, sedangkan syarikat itu adalah syarikat yang menyewakan kapal terbang. Ini menguatkan lagi penemuan bahawa bayaran-bayaran khidmat teknikal seperti ini adalah bayaran palsu untuk menipu projek-projek pertahanan laut yang dikendalikan TLDM.

Di hari-hari yang seterusnya, saya akan mendedahkan siapa di belakang JSD Corporation Pte Ltd, hubung kaitnya dengan tokoh-tokoh UMNO/BERSATU serta penglibatan mereka dalam pelbagai skandal selama ini.

Saya menunggu maklum balas dari Latiff Ahmad untuk menafikan yang dia tiada kaitan dengan mana-mana individu di belakang JSD Corporation Pte Ltd yang telah dinamakan di dalam siasatan.

RAFIZI RAMLI

Batal Surat Niat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri

Saya berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Hussin yang memberi maklum balas positif mengenai pendedahan kontrak pembekalan meriam artileri SPH berjumlah RM834 juta.

Saya telah mendedahkan bagaimana keputusan Kerajaan Persekutuan melantik MA Analytics Sdn Bhd, sebuah syarikat setahun jagung untuk dianugerahkan kontrak ini secara rundingan terus adalah bertentangan dengan kehendak pertahanan negara. Kementerian Pertahanan secara jelas memohon supaya kontrak ini dibuat secara tender terhad supaya spesifikasi pertahanan dapat dipenuhi pada harga yang terbaik untuk negara.

Kenyataan Hishamuddin itu mengesahkan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan memberi tender secara rundingan terus itu adalah benar. Jawapan beliau semalam hanyalah menyebut bahawa kontrak itu tidak muktamad kerana masih dirundingkan.

Masalahnya, jika keputusan Kerajaan Persekutuan melalui Surat Niat tidak dibatalkan segera, kontrak itu masih lagi akan diberikan kepada MA Analytics Sdn Bhd. Yang mungkin berubah hanyalah harga akhir yang dibayar oleh rakyat.

Oleh itu, saya menyambut baik kenyataan Hishamuddin dengan menggesa supaya keputusan melantik MA Analytics Sdn Bhd secara rundingan terus dibatalkan dengan segera. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan hendaklah kembali kepada proses tender terhad seperti yang disarankan oleh Kementerian Pertahanan mengikut spesifikasi persenjataan yang telah ditetapkan oleh Angkatan Tentera Darat.

Apatah lagi dalam keadaan MA Analytics Sdn Bhd nampaknya didalangi oleh pihak-pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan Timbalan Menteri Pertahanan sendiri, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz. Ahli Parlimen Tanah Merah ini menang atas tiket UMNO tetapi melompat menyertai BERSATU selepas PRU14.

Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan siasatan ke atas individu-individu terbabit dalam MA Analytics Sdn Bhd menunjukkan pemilikan bersama syarikat-syarikat dengan anak Ikmal Hisham iaitu Ikmal Hadzlan bin Ikmal Hisham dan isteri Ikmal Hisham iaitu Datin Seri Norihan Ayob.

Saya akan menunjukkan bukti-bukti pemilikan bersama yang mengesahkan bahawa MA Analytics Sdn Bhd adalah syarikat kroni berkait dengan Timbalan Menteri Pertahanan esok.

Saya pasti Hishamuddin sedia maklum mengenai perkara ini.

Jika dia benar-benar prihatin mengenai kepentingan pertahanan negara, wajarlah dia mengambil tindakan sebagai Menteri Pertahanan membatalkan Surat Niat kepada MA Analytics Sdn Bhd dengan segera.

Saya juga menunggu maklum balas dari Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai pendedahan ini.

RAFIZI RAMLI

Perolehan Sistem Meriam Artileri Tentera Darat: Perdana Menteri Dan Menteri Kewangan Arahkan Rundingan Terus Dengan Syarikat Berusia Dua Tahun

Belum pun isu skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) reda, proses perolehan pertahanan negara terus berkecamuk akibat campur tangan pimpinan politik kerajaan yang tidak mengendahkan pandangan dan keputusan pimpinan angkatan tentera.

Salah satu perolehan besar yang menjadi sebutan dan kontroversi terkini ialah pembelian meriam artileri jenis self-propelled Howitzer (SPH) yang melibatkan peruntukan sekitar RM854 juta. SPH ialah meriam artileri yang digunakan oleh Angkatan Tentera Darat dan diukur antaranya dari segi keupayaan jarak tembakan dan keperluan mobilisasi/pengangkutan.

Saya telah mengkaji kontroversi perolehan ini sejak beberapa bulan dan mendapati ada bukti-bukti bahawa keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi kerajaan membelakangkan spesifikasi dan keperluan angkatan tentera.

Kementerian Pertahanan telah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan agar perolehan sistem meriam artileri SPH yang baru melalui proses tender terhad, seperti amalan perolehan kelengkapan pertahanan amnya.

Memang menjadi amalan perolehan pertahanan negara bahawa pendekatan tender terhad digunakan untuk mengimbangi keperluan kerahsiaan pertahanan negara (supaya spesifikasi persenjataan tidak diketahui umum) dan mendapatkan nilai terbaik wang rakyat (agar pembida terbaik dilantik).

Walau bagaimana pun, permohonan melaksanakan tender terhad oleh Kementerian Pertahanan ini ditolak oleh Kementerian Kewangan, seperti yang dimaklumkan oleh wakil Bahagian Perolehan Kerajaan, Datin Rosni Mohd Yusoff (bagi pihak Kementerian Kewangan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan:

Saya mengucapkan tahniah kepada penjawat awam seperti Datin Rosni dan kakitangan Kementerian Kewangan yang pintar menyatakan secara tersirat bentuk-bentuk campur tangan yang telah berlaku dalam perolehan meriam artileri ini:

  • Menteri Kewangan menolak permohonan Kementerian Pertahanan untuk mengadakan tender terhad, sebaliknya mengarahkan supaya perolehan dianugerahkan terus kepada sebuah syarikat bernama MA Analytics Sdn Bhd pada harga RM853 juta
  • Syarikat MA Analytics Sdn Bhd telah menulis kepada Perdana Menteri untuk merayu mengenai perkara ini dalam satu surat bertarikh 21 April 2022

Saya lampirkan surat dari MA Analytics kepada Perdana Menteri itu yang merakamkan nota arahan Perdana Menteri yang menjadi sandaran keputusan Kementerian Kewangan mengarahkan perolehan berjumlah RM853 juta ini diberikan kepada MA Analytics:

Surat tersebut memohon agar Perdana Menteri campur tangan untuk menyegerakan keputusan permohonan MA Analytics Sdn Bhd untuk dianugerahkan kontrak membekalkan meriam artileri SPH secara rundingan terus.

Perdana Menteri kemudiannya mencatatkan nota arahannya kepada Menteri Kewangan pada 27 April 2022 seperti berikut:

“… YBM MOF, Saya sokong permohonan ini. Sila [……] ambil tindakan segera”

Pada 25 Julai 2022, Kementerian Pertahanan akhirnya terpaksa akur dengan arahan Menteri Kewangan.

Satu Surat Niat (“Letter of Intent”) telah dikeluarkan yang melantik MA Analytics untuk membekalkan sistem meriam artileri SPH secara rundingan terus, walaupun ini bertentangan dengan kehendak dan permohonan Kementerian Pertahanan sebelum itu yang mahu perolehan ini dibuat secara tender terhad (seperti lazimnya).

Saya juga telah menyemak latar belakang syarikat MA Analytics Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan membekal dan menyelia sistem meriam artileri SPH berjumlah RM835 juta ini.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa syarikat ini hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun dari tarikh anugerah kontrak oleh kerajaan, tanpa rekod dalam industri pertahanan dan pembekalan persenjataan yang sebegini besar.

Saya ingin memulakan siri pendedahan perolehan persenjataan dan pertahanan negara (siri meriam artileri) dengan menanyakan soalan-soalan berikut:

  • Siapa di belakang syarikat MA Analytics Sdn Bhd yang tiada pengalaman ini sehingga Perdana Menteri sendiri yang memberi arahan agar tender dianugerahkan secara rundingan terus?
  • Kenapa kerajaan UMNO – PAS -BERSATU terus menggadaikan kepentingan pertahanan negara dan kebajikan askar dengan memperjudikan sistem persenjataan di tangan syarikat-syarikat yang tidak ada pengalaman dan rekod seperti MA Analytics Sdn Bhd ini?

Saya akan mendedahkan pelbagai kepincangan lain dalam pembelian meriam artileri SPH ini setiap hari dalam minggu ini dan minggu depan.

Oleh kerana UMNO nampaknya begitu yakin dengan sokongan pengundi Melayu kepada mereka sehingga sanggup memanggil PRU15 semasa banjir, saya ingin lihat berapa banyak lagi sokongan kepada UMNO jatuh merudum apabila mereka berkempen di dalam banjir untuk mempertahankan penyelewengan-penyelewengan sistem pertahanan negara seperti LCS dan meriam artileri SPH ini.

RAFIZI RAMLI

Jumlah LCS Untuk Keperluan Pertahanan Negara

Walaupun UMNO, BERSATU dan sekutunya PAS berharap isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) akan senyap begitu sahaja, ada banyak perkara yang akan terus timbul kerana ia bersabit pertimbangan strategik pertahanan negara.

Saya terus menyiasat dan mendalami skandal ini. Lebih penting lagi, saya percaya kesedaran rakyat mengenai skandal ini memberi tumpuan kepada perkara-perkara strategik berhubung pertahanan negara.

Sehingga ini, rakyat Malaysia masih terkeliru dengan jawapan yang bercanggah mengenai kemajuan projek LCS dan kos yang akan ditanggung rakyat.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Hussin memberi jawapan yang berbeza dari Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Laporan-laporan media memetik Hishamuddin menyatakan bahawa kapal LCS pertama akan mula beroperasi dalam “satu atau dua tahun” dari sekarang (seperti jawapannya di Dewan Negara pada 8 Ogos 2022). Ini bermakna penyerahan kapal LCS pertama dijangka dalam 2023 atau 2024.

Kenyataan ini bercanggah dengan tarikh penyerahan seperti yang dinyatakan Panglima Angkatan Tentera,  Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu temu ramah pada 13 September 2022 bersempena Hari Angkatan Tentera.

Menurut beliau, jadual penyerahan kapal LCS adalah seperti berikut: Kapal pertama (Januari 2026), kapal kedua (September 2026), kapal ketiga (Mei 2027), kapal keempat (Januari 2028) dan kapal kelima (September 2028).

Maklumat-maklumat yang bercanggah di antara Menteri Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia menimbulkan beberapa persoalan besar yang belum dijawab oleh Hishamuddin.

Pandangan individu-individu yang terbabit dengan projek LCS yang disampaikan kepada saya sebelum ini merumuskan beberapa perkara yang wajar dibawa kepada perhatian rakyat

  • Dengan jumlah yang telah dibelanjakan (melebihi RM6 bilion dari kos keseluruhan RM9 bilion yang diperuntukkan) berbanding kemajuan projek setakat ini, baki peruntukan adalah tidak mencukupi untuk menyiapkan kapal-kapal ini
  • Berdasarkan pengumuman Hishamuddin sebelum ini yang kos keseluruhan projek LCS akan mencecah RM11 bilion, mereka menganggarkan hanya dua (2) kapal LCS yang boleh disiapkan dengan jumlah tersebut

Sebab itu, saya menyeru supaya Hishamuddin menjelaskan kepada rakyat beberapa soalan penting mengenai projek LCS setakat ini:

  • Berapa jumlah sebenar kapal LCS yang dibina di bawah kontrak dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang akan disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia?
  • Berapa kos keseluruhan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan sejumlah kapal LCS it?
  • Apakah jadual penyerahan sebenar kapal-kapal ini kepada Tentera Laut Diraja Malaysia?

Perkara ini penting kerana kelewatan projek LCS sekarang sudah pun meletakkan tentera kita di belakang negara-negara serantau. Kapal LCS yang sepatutnya diserahkan dalam masa satu dua tahun ini dirancang dan dibina menggunakan teknologi sedekad lalu.

Adalah tidak masuk akal untuk meneruskan kontrak sedia ada dengan BNS yang menggunakan spesifikasi sepuluh tahun lalu pada kos yang berkali ganda kerana itu akan terus meminggirkan keupayaan pertahanan tentera kita berbanding dengan negara serantau.

Kita sewajarnya membina keupayaan pertahanan yang setanding dengan negara serantau seperti Indonesia.

Semakan menunjukkan Tentera Nasional Indonesia (TNI)  mempunyai pelan jangka panjang memodenkan armada tentera lautnya.

Rancangan jangka panjang di bawah program bernama Green Water Navy ini meletakkan sasaran kekuatan armada sebanyak 274 kapal (terdiri dari 110 kapal tempur, 66 kapal peronda dan 98 kapal bantuan) menjelang 2024.

Setakat ini, TNI sudah mempunyai 12 kapal tempur pesisir di bawah kelas Clurit dan kelas Sampari (walaupun spesifikasi adalah berbeza, kelas-kelas ini dilihat sebagai kapal tempur pesisir yang sesuai bagi perairan Indonesia).

Sebab itu, skandal LCS yang berlaku sewajarnya meletakkan tumpuan negara kepada persoalan peruntukan berbilion ringgit yang dibazirkan akibat penyelewengan sedangkan keupayaan pertahanan negara terus menjadi usang.

Oleh itu, saya menyeru supaya Hishamuddin berterus terang mengenai jumlah sebenar yang akan dibelanjakan di bawah kontrak sedia ada dengan BNS dan berapa kapal sebenarnya yang akan siap dan diserahkan kepada TLDM.

Jawapannya kelak akan membuka perdebatan baru mengenai sejauh mana armada TLDM kita ketinggalan berbanding dengan negara serantau.

RAFIZI RAMLI