All posts by rafiziramli

Penafian Mudah Tuan Ibrahim Tidak Menjawab Isu Syarikat Kroni Membolot Projek Infrastruktur Kerajaan

Setakat ini, reaksi Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hanyalah membuat penafian mudah bahawa kementeriannya belum lagi menganugerahkan projek tebatan banjir Langat yang berjumlah RM2 bilion secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn. Bhd.

Saya memang menyebut projek ini belum dianugerahkan. Tujuan saya membawa isu ini sekarang ialah kerana perbincangan dan proses itu sedang berjalan dan ada usaha untuk menganugerahkan projek itu dalam masa kerajaan caretaker yang melanggar undang-undang.

Untuk memudahkan Tuan Ibrahim memberi jawapan yang lebih bertanggungjawab dan telus, saya boleh bantu beliau dengan menggariskan soalan-soalan pokok yang perlu beliau jawab:

  • Beliau bertanggungjawab melantik Mangkubumi menjadi kontraktor projek tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal pada jumlah RM578.6 juta di bawah program Jana Wibawa sedangkan Mangkubumi sudah pun mengendalikan beberapa projek besar di bawah kementerian beliau yang berjumlah berbilion ringgit.

Saya sertakan Surat Setuju Terima (SST) yang ditandatangani sendiri oleh beliau untuk projek ini.

  • Tuan Ibrahim tidak menafikan bahawa dokumen yang menyenaraikan dua projek besar melibatkan Mangkubumi (projek tebatan banjir Krubong berjumlah RM578.6 juta dan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 berjumlah RM2 bilion) adalah dokumen kerajaan yang ada dalam rekod kementerian beliau sendiri.
  • Tuan Ibrahim tidak menjelaskan bahawa senarai dua projek itu serta catatannya (yang menyatakan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 diuruskan secara rundingan terus) adalah cabutan dari dokumen rasmi kerajaan yang melibatkan kementerian beliau.

Kegagalan Tuan Ibrahim mengulas mengenai tiga perkara ini mengesahkan perkara-perkara berikut:

  • Bahawa proses dalaman kementerian beliau dan Kementerian Kewangan memang menyenarai pendek Mangkubumi (setakat ini) sebagai kontraktor projek tebatan banjir Sungai Langat 2 yang berjumlah RM2 bilion
  • Bahawa proses dalaman kementerian beliau dan Kementerian Kewangan memang mengesyorkan agar Mangkubumi dilantik secara rundingan terus tanpa tender terbuka

Saya persoalkan perkara ini kerana adalah satu kerugian besar kepada rakyat apabila projek-projek besar di bawah kementerian beliau terus diberikan kepada sebuah syarikat yang jelas ada kaitan yang rapat dengan pimpinan UMNO dan pernah menjadi kes mahkamah kerana terbabit dengan kes penggubahan wang haram sebanyak RM139 juta yang dipindahkan kepada Azeez Rahim, seorang pemimpin UMNO yang mempunyai rekod penyelewengan yang buruk.

Jika pun Mangkubumi tidak terpalit dengan kes-kes jenayah komersial sebelum ini, syarikat itu telah pun mendapat jumlah projek yang begitu tinggi dari kementerian yang dikepalai Tuan Ibrahim, iaitu:

  • Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan Di Papan, Daerah Kinta, Perak-Pakej 1 : Network (Reka & Bina) (No. Kontrak : KeTTHA/JPP/PAPAN 1/RMK10/15/K11) berjumlah RM828 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/pemlojirawatan9/
  • Melalui satu lagi syarikat yang dikawal oleh pemilik Mangkubumi, iaitu Pintas Utama Sdn Bhd, Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan Di Papan, Daerah Kinta, Perak – Pakej 3: Other Network (Reka & Bina) berjumlah RM780 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/pemlojirawatan10/

Maknanya, dalam tempoh enam tahun, KASA telah menganugerahkan projek bernilai lebih RM2.3 bilion kepada satu orang sahaja melalui syarikat-syarikat yang dikawal Zainuddin Karjan.  

Lebih teruk lagi, Mangkubumi juga telah menerima teguran secara rasmi dari Ketua Audit Negara atas prestasi kerjanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 mengkritik prestasi kerja Mangkubumi dalam satu projek di bawah JKR di muka surat 22 ke 23 (yang diterangkan dengan lebih terperinci di muka surat 112 hingga 128) yang melibatkan kelewatan projek yang dianugerahkan.

Secara logiknya, dengan semua maklumat ini, sewajarnya sebuah syarikat seperti Mangkubumi tidak lagi dilantik untuk projek-projek besar kerajaan (kalau pun tidak disenaraihitam).

Sekiranya Tuan Ibrahim menjalankan tugas dengan lebih berhati-hati, syarikat-syarikat kroni yang bermasalah seperti ini tidak patut pun dipertimbangkan sehinggalah semua projek sedia ada disiapkan dengan baik.

Sebab itu, apabila proses dalaman KASA dan Kementerian Kewangan telah sampai ke peringkat mempertimbang untuk melantik Mangkubumi secara rundingan terus untuk satu projek bernilai RM2 bilion, ia menunjukkan kegagalan Tuan Ibrahim sebagai menteri untuk mengawal selia perbelanjaan di bawah kementeriannya.

Ini tidak mengejutkan kerana rekod beliau dan PAS dalam hal ehwal kewangan dan pentadbiran begitu buruk.

Semasa skandal 1MDB memuncak, beliaulah yang telah menyucikan skandal 1MDB dengan mengumumkan beliau berpuas hati dengan penjelasan CEO 1MDB ketika itu.

Saya berharap calon Menteri Besar Pahang dari PN ini memahami bahawa tanggungjawab menjadi seorang menteri dalam menjaga wang rakyat adalah lebih besar, bukannya dengan hanya melepas tangan dan menuding jari kepada kakitangan kerajaan (dengan memberi alasan semua proses dalaman telah dipatuhi) apabila kontroversi begini berlaku.

RAFIZI RAMLI

Muhyiddin Dan PN Telah Gagal Selama 18 Bulan, Pimpinan BERSATU Terpalit Dengan Skandal Pertahanan

Saya meneliti pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. Modal utama PN yang cuba disampaikan oleh Muhyiddin semalam berkisar kepada beberapa perkara sahaja:

  1. Tawaran-tawaran populis sebagai gula-gula pilihanraya untuk memikat pengundi muda seperti pengurangan bayaran PTPTN kepada kumpulan sasar yang lebih besar
  • Rekod penyelewengan PN yang dikatakan lebih bersih dari BN dan PH

Sebagai Pengarah Pilihanraya dan jurucakap kempen PRU15 bagi pihak KEADILAN, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi reaksi awal kepada manifesto PN semalam. Saya yakin kepincangan-kepincangan pentadbiran PN selama 18 bulan dan tawaran manifesto akan terus mendapat perhatian rakyat sepanjang tempoh berkempen dua minggu ini.

Bidasan awal saya pada hari ini mencakupi perkara-perkara berikut:

PERTAMA: REKOD PENTADBIRAN PN YANG GAGAL SELAMA 18 BULAN

Pentadbiran Muhyiddin dan PN akan diingati kerana memecahkan beberapa rekod dalam sejarah negara kita.

Ia pentadbiran seorang Perdana Menteri yang paling pendek dalam sejarah negara iaitu 18 bulan.

PN juga ditubuhkan atas pengkhianatan wakil-wakil rakyat PH dan BN yang memesongkan mandat rakyat dalam PRU14 demi jawatan dalam kerajaan. Hasilnya adalah sebuah kerajaan persekutuan yang tidak stabil kerana mengumpulkan kembali musuh-musuh politik yang berpecah belah dari UMNO, BERSATU dan PAS tetapi duduk dalam satu kerajaan demi jawatan.

Sebab itu, tempoh pentadbiran 18 bulan PN diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh yang paling sengsara dan paling tidak stabil.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin dan PN sebagai Perdana Menteri, rakyat melalui dua tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang yang memusnahkan ekonomi rakyat biasa.

Tindakan-tindakan itu tidak pula berjaya menguruskan wabak Covid-19 dengan baik apabila negara mencatatkan 4.92 juta kes dan kematian 36, 482 orang (yang memuncak semasa PN mentadbir negara). Ini adalah rekod kematian yang paling tinggi yang berpunca dari satu wabak yang pernah dicatatkan dalam sejarah negara kita.

Kegagalan menguruskan wabak Covid-19 juga meninggalkan kesan ekonomi yang berpanjangan yang memusnahkan kehidupan rakyat terbanyak. Tempoh sengsara itu akan diingati selama-lamanya dengan peristiwa #BenderaPutih dan #KitaJagaKita apabila rakyat terpaksa bantu-membantu dalam serba kekurangan untuk meringankan beban golongan termiskin.

Pentadbiran Muhyiddin dicemarkan lagi apabila beliau menggunakan darurat untuk kekal berkuasa. Ia satu lagi rekod penggunaan darurat semasa aman yang terpanjang dalam negara kita sehingga menimbulkan kenyataan-kenyataan yang dilihat bercanggah dengan institusi raja-raja.

Muhyiddin akhirnya terpaksa meletakkan jawatan di kala jumlah kematian rakyat akibat Covid-19 semakin memuncak.

KEDUA: TAWARAN DALAM MANIFESTO TIDAK DILAKSANAKAN SEMASA MENJADI KERAJAAN

Antara tawaran-tawaran populis adalah potongan pembayaran balik PTPTN kepada golongan sasaran yang lebih besar iaitu termasuk peminjam yang tidak mendapat ijazah kelas pertama.

Muhyiddin dan PN lupa bahawa sejak 2018, BERSATU dan PN mengawal hala tuju dan pentadbiran PTPTN sepenuhnya melalui pemimpin kanan BERSATU iaitu Wan Saiful Wan Jan. Beliau adalah antara lantikan politik dari BERSATU yang pertama sebagai Pengerusi PTPTN.

Sepanjang empat tahun memimpin PTPTN, tidak ada satu penyelesaian menyeluruh yang dibawa Wan Saiful untuk menangani kemelut pembiayaan pendidikan tinggi negara. Akibat pentadbirannya yang lemah, PTPTN menjadi bahan kritikan rakyat yang hebat.

Logiknya, sebarang tawaran yang hendak dibuat mengenai PTPTN boleh dibuat serta merta dahulu semasa PN menduduki kerusi Perdana Menteri dan Pengerusi PTPTN.

Ia tidak berlaku.

Sebab itu, adalah menjadi kebodohan untuk cuba memikat hati rakyat sekali lagi mengenai tawaran-tawaran PTPTN kerana peluang keemasan itu telah diberikan kepada PN selama empat tahun.

Mereka gagal sebelum ini dan mereka akan gagal jika mereka dekat dengan PTPTN sekali lagi.

Lebih-lebih lagi apabila tawaran-tawaran itu tidak dibuktikan dapat dilaksanakan dalam keadaan kekangan kewangan yang ada. Sekarang pun, PTPTN terpaksa meminjam dari institusi kewangan swasta pada kadar komersial dan memberi pinjaman pada kadar yang lebih rendah, tanpa berjaya mengutip pinjaman sepenuhnya. Ia menyebabkan kedudukan kewangan PTPTN semakin pincang setiap tahun.

Jika sekarang pun PTPTN tidak mampu mempunyai aliran tunai yang stabil, bagaimana pula ia boleh berbelanja lebih banyak untuk memberi pelepasan pinjaman kepada golongan yang lebih besar.

KETIGA: PIMPINAN BERSATU/PN TERPALIT DENGAN SKANDAL BESAR NEGARA

Sehingga kini, Muhyiddin dan PN tidak pun menafikan keterlibatan pimpinan-pimpinan kanannya dalam skandal-skandal mutakhir negara.

Umum mengetahui bahawa Latiff Ahmad, bekas menteri BERSATU adalah tokoh politik yang dinamakan di dalam laporan audit forensik mengenai kelewatan projek LCS.

Syarikat Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat palsu yang dinamakan terlibat menyeleweng sehingga lebih RM200 juta peruntukan projek-projek pertahanan laut negara adalah syarikat yang dikaitkan dengan Latiff Ahmad.

Sehingga kini, BERSATU tidak memberi sebarang penjelasan atau menafikan perkara ini. Latiff Ahmad pula tidak menyaman saya kecuali membuat satu laporan polis. Tindakan BERSATU seolah-olah mahu perkara ini dilupakan begitu sahaja oleh rakyat.

Dalam tempoh berkempen ini, saya akan tunjukkan pula bagaimana seorang lagi pimpinan kanan BERSATU, Ikmal Hisham Abdul Aziz (bekas Timbalan Menteri Pertahanan) terpalit dengan kontroversi perbekalan meriam artileri (self-propelled Howitzer, SPH) yang turut menjadi isu besar di kalangan pengurusan angkatan tentera.

Sehingga kini juga, Muhyiddin dan PN tidak berjaya menangkis bukti-bukti yang telah ditunjukkan setakat ini.

Sebab itu, Muhyiddin dan PN adalah golongan terakhir yang boleh mendabik dada kononnya mereka bersih. Semasa KEADILAN mengambil langkah berani mengisytiharkan harta, tidak ada seorang pun pemimpin dari BERSATU yang berani mengisytiharkan harta sedangkan pandangan umum rakyat ialah ahli politik yang tidak berani mengisytiharkan harta ada sesuatu yang disembunyikan.

Saya menyeru supaya pengundi-pengundi tidak lupa rekod kegagalan pentadbiran Muhyiddin dan PN selama 18 bulan.

Walaupun tempoh 18 bulan itu bunyinya pendek, ia adalah tempoh yang paling sengsara yang mengakibatkan kematian yang paling tinggi dalam sejarah negara kita.

Memberikan undi kepada PN samalah seperti kita mengundang kembali pengalaman sengsara 18 bulan itu.

RAFIZI RAMLI

BN & PN: Kritik Pengisytiharan Harta Orang Lain Tetapi Tidak Berani Isytihar

Saya mengalu-alukan segala tumpuan yang diberikan kepada langkah KEADILAN mengisytiharkan harta. Setakat ini, majoriti calon-calon KEADILAN telah mengisytiharkan harta dan dijangka semua akuan berkanun akan dimuat naik di laman www.calonkeadilan.org dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Seperti yang dijangka, reaksi dari BN dan PN adalah untuk menimbulkan perkara-perkara remeh temeh berkenaan pengisytiharan harta saya. Saya sudah menjangkakan reaksi mereka dan itu memberi bola tanggung kepada kami dalam kempen PRU15.

Ada beberapa perkara yang ketara di mata pengundi ekoran dari reaksi BN dan PN kepada pengisytiharan harta saya:

  • BN dan PN tidak berani mengisytiharkan harta. Dalam keadaan rakyat menilai untuk memilih calon-calon yang bukan sahaja mengaku bersih tetapi dibuktikan bersih, kegagalan BN dan PN mengisytiharkan harta membezakan kredibiliti anti-rasuah KEADILAN dan parti-parti BN dan PN
  • Mereka menyerang pengisytiharan harta saya dengan perkara remeh temeh untuk mengalihkan perhatian dari keengganan mereka mengisytiharkan harta
  • Perkara remeh temeh yang ditimbulkan menunjukkan kebodohan kerana jelas mereka tidak faham mengenai industri teknologi dan suasana pelaburan dalam syarikat-syarikat pemula (startups) sedangkan BN dan PN adalah kerajaan yang sepatutnya memajukan industri syarikat pemula di negara ini

Pun begitu, saya mengambil kesempatan untuk menjawab beberapa perkara yang ditimbulkan. Bagi saya, serangan-serangan dari BN dan PN ini memberi peluang kepada saya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai potensi ekonomi digital yang sepatutnya menjadi tumpuan negara.

Tiga perkara utama yang ditimbulkan oleh BN dan PN adalah:

  • Soal nilaian (valuation) saham-saham saya di dalam syarikat pemula yang dituduh tidak masuk akal kerana mereka mendakwa syarikat pemula mengalami kerugian
  • Soal punca sebenar harta bersih saya bernilai RM18 juta kerana pada pandangan mereka syarikat pemula tidak boleh mempunyai nilaian sebegitu tinggi
  • Tuduhan dari pimpinan BERSATU, Rashid Hasnon kononnya saya menggunakan sumbangan orang ramai untuk kekayaan peribadi

Saya akan jawab satu persatu seperti berikut:

PERTAMA: NILAIAN SYARIKAT PEMULA

Nilaian syarikat pemula yang berasaskan teknologi bukanlah bergantung kepada keuntungan tahunan semata-mata.

Secara umumnya, nilaian sesebuah syarikat pemula bergantung kepada:

  • Potensi platform atau teknologi yang dibangunkan dapat dikembangkan dengan cepat di banyak pasaran dan digunakan oleh ramai pengguna (adoption scalability) yang bergantung kepada satu kriteria dipanggil product-market fit
  • Prestasi menjana perolehan dari awal yang berkembang pesat setiap tahun (revenue growth)
  • Kemampuan mengimbangi pertumbuhan perolehan dan mengawal perbelanjaan supaya syarikat pemula ada tunai yang mencukupi untuk masa yang panjang (cash sustainability)

Ada pelbagai model kewangan yang digunakan secara piawai untuk menilai syarikat-syarikat pemula. Model-model ini berbeza mengikut kehendak pelaburan firma modal teroka (venture capital firm). Pun begitu, secara umumnya, ada beberapa model kewangan terkenal yang digunakan oleh firma-firma modal teroka, termasuklah:

  • Annual recurring revenue multiples of 15x to 25x (based on worldwide data of transactions in 2018 to 2021) for private cloud startups that are growing100% to 300% annually; and about 5x to 10x for public cloud startups that are growing about 30% annually (Sumber: Bessemer Venture Partners)
  • Revenue multiples of 10x to 20x times and more for the fast-growing, cloud-based businesses, in contrast to multiples of 1x to 5x for the rest (Sumber: Crunchbase)
  • Revenue multiples of 10x to 15x for super high revenue growth of 100% to 300% year-on-year (Sumber: Microcap.co)

Apa pun kaedah nilaian yang digunakan oleh pelabur-pelabur, akhirnya harga saham yang diterbitkan dan dilanggan oleh pelabur bergantung kepada persetujuan harga di antara syarikat pemula dan pelabur atas prinsip “willing buyer and willing seller”.

INVOKE mempunyai dua buah anak syarikat. Apabila INVOKE menerbitkan saham-saham baru kepada pelabur, pelabur membeli saham INVOKE dan bukannya saham kumpulan syarikat (konsep saham kumpulan tidak wujud).

Nilaian yang dibuat adalah ke atas INVOKE sebagai sebuah syarikat, bukannya kepada kumpulan syarikat (kerana anak-anak syarikat boleh dijual kepada syarikat-syarikat lain di masa hadapan).

INVOKE mencatat keuntungan setiap tahun sejak 2020. INVOKE hanya tidak mencatat keuntungan pada tahun pertama menjadi syarikat komersial iaitu 2019.

Keuntungan INVOKE mengikut tahun: tahun kewangan 2020 (RM507,000), tahun kewangan 2021 (RM653,000) dan jangkaan keuntungan tahun kewangan 2022 (RM1.5 juta). Di kalangan syarikat pemula dan syarikat teknologi di seluruh dunia, keupayaan menjana keuntungan dari mula adalah satu prestasi yang baik kerana lebih 90% syarikat pemula tidak pun menjana keuntungan selepas lima tahun beroperasi.

Propaganda BN dan PN kononnya INVOKE mengalami kerugian hanyalah kerana mereka tidak faham membaca penyata kewangan yang penuh. Kerugian INVOKE hanyalah di peringkat kumpulan dan kerugian itu semakin berkurang dari setahun ke setahun, serta dijangka mencatat keuntungan terkumpul di peringkat kumpulan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Terbitan saham terakhir INVOKE dalam 2022 adalah pada nilaian RM75 juta. Nilaian ini sebenarnya lebih rendah dari nilaian rasmi yang dibuat oleh Craddle, sebuah agensi rasmi kerajaan yang meletakkan nilaian INVOKE pada harga RM105 juta.

Bukti nilaian ini boleh diperolehi dari laman www.mystartup.gov.my yang dikendalikan Craddle yang meletakkan nilaian INVOKE pada harga USD25.2 juta (sekitar RM105 juta).

Nilaian ini dibuat oleh sebuah firma penilai bebas antarabangsa iaitu VentureCapInsights (yang boleh disemak di www.venturecapinsights.com )

Semua terbitan saham-saham INVOKE yang telah dilanggan oleh pelabur-pelabur dalam dan luar negara telah didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan diaudit sepenuhnya.

Pelabur-pelabur antarabangsa yang memegang saham di dalam INVOKE juga melantik firma penilai bebas sebelum membuat pelaburan di dalam INVOKE.

KEDUA: PUNCA MODAL YANG DILABURKAN DI DALAM INVOKE

Tuduhan yang dibawakan oleh Rashid Hasnon, calon BERSATU untuk Batu Pahat lebih berniat jahat untuk menimbulkan persepsi kononnya saya menyelewengkan sumbangan orang ramai untuk mengkayakan diri sendiri.

Saya mencecah simpanan tunai melebihi dua juta ringgit menjelang umur saya 30 tahun kerana rekod kerjaya yang baik. Saya memulakan kerjaya sebagai akauntan bertauliah di London dan mendapat gaji dalam pound.

Apabila saya kembali ke Malaysia, saya dinaikkan pangkat dengan begitu cepat dalam masa dua tahun.

Pada umur 26 tahun, gaji permulaan saya di PETRONAS adalah RM3,750. Setelah enam bulan, saya disahkan sebagai pengurus dan gaji naik kepada RM11,000 sebulan. Seterusnya saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Perancangan Petrokimia pada umur 27 tahun dan gaji RM25,000 sebulan.

Pada ketika itu juga, PETRONAS memendekkan tempoh perkhidmatan dan umur persaraan dari 60 tahun ke 55 tahun. Saya dibayar pampasan RM400,000 pada umur 29 tahun untuk tempoh 5 tahun perkhidmatan yang dipendekkan.

Saya juga berada dalam industri minyak dan gas pada ketika harga minyak naik mendadak dan bonus tahun yang besar. Sepanjang 7 tahun saya berada di PETRONAS, bonus tahunan purata saya adalah di antara sepuluh hingga dua belas bulan setahun.

Sebab itu, saya mempunyai simpanan yang mencecah dua juta ringgit menjelang umur 30 tahun dan simpanan ini yang digunakan untuk memulakan syarikat pemula.

Tuduhan yang dibuat oleh Rashid Hasnon itu telah pun dimainkan oleh kumpulan Azmin yang masih berada di dalam KEADILAN dalam tahun 2017 (mereka semuanya kini bersama Azmin di dalam BERSATU).

Saya telah menunjukkan bukti secara terperinci di blog saya dengan berkongsi senarai keluar masuk wang di dalam akaun INVOKE.

Penyata kewangan dan percukaian INVOKE juga telah diaudit sepenuhnya dan difailkan dengan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Syarikat, LHDN dan Jabatan Kastam.

Kesemua hasil INVOKE sehingga 2018 telah dibelanjakan sepenuhnya untuk membiayai kempen PRU14 yang menyumbang kepada kemenangan PH dan memberi tempat kepada bekas-bekas wakil rakyat KEADILAN yang melompat seperti Rashid Hasnon sendiri.

Setelah PRU14 berakhir dan semua hasil dibelanjakan sepenuhnya, saya tidak ada pilihan lain kecuali menukar model INVOKE menjadi komersial dan menerbitkan saham-saham baru kepada pelabur untuk membolehkan kakitangan INVOKE seramai 150 orang kekal dengan kemahiran mereka.

Semua rekod-rekod ini, dari gaji dan pendapatan saya, penyata kewangan dan percukaian INVOKE ada dengan semua pihak berkuasa.

Sebagai tokoh pembangkang yang lantang, sekiranya ada penipuan atau penyelewengan, sudah tentu sudah lama saya disiasat dan didakwa di mahkamah oleh kerajaan BN dan PN, seperti mana Najib Razak didakwa akibat kesalahan melibatkan LHDN.

Saya percaya penjelasan-penjelasan saya semakin menyerlahkan kebodohan pihak lawan yang tidak ada modal kerana enggan mengisytiharkan harta.

Saya juga berharap anak-anak muda semakin memahami bahawa jalan terbaik untuk mencari kekayaan ialah dengan membina perniagaan yang berdaya saing hingga boleh menarik pelabur antarabangsa, bukannya dengan menyeleweng wang rakyat seperti yang dibuat ahli-ahli politik.

RAFIZI RAMLI

Kerajaan Caretaker Tidak Boleh Membuat Anugerah Tender

Dalam kesibukan kempen PRU15, rakyat mungkin tidak sedar bahawa kita berdepan dengan satu risiko besar projek-projek bernilai berbilion ringgit diluluskan dan dianugerahkan secara cepat dalam tempoh kerajaan peralihan (atau “caretaker government”).

Sejak beberapa minggu lalu, saya telah dimaklumkan bahawa ada usaha untuk meluluskan projek-projek bernilai bilion ringgit dengan segera tanpa mengikut prosedur Perbendaharaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Maklumat yang saya perolehi setakat ini menunjukkan ada satu projek yang kini sedang diusahakan untuk diberi kelulusan segera secara rundingan terus walaupun dalam tempoh “caretaker government”.

Saya sertakan Pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan bertarikh 18 Oktober 2022 mengenai pelaksanaan perolehan kerajaan semasa fungsi “caretaker government”. Perenggan 3 pekeliling tersebut dengan secara jelas menghalang sebarang komitmen kontraktual atau aku janji, termasuk rundingan atau aku janji baru yang boleh membebankan kerajaan persekutuan yang baru.

Satu risiko kewangan yang paling besar dihadapi oleh rakyat di musim pilihanraya ialah apabila parti-parti politik yang berkuasa perlu mengumpul dana sebagai persediaan pilihanraya.

Kebiasaannya, sumbangan-sumbangan dari syarikat-syarikat dikumpul terlebih dahulu dengan janji sumbangan mereka akan diganti dengan projek-projek kerajaan apabila parti itu kembali berkuasa.

Sebab itu, selepas PRU14 yang lepas, pihak berkuasa menjumpai wang tunai beratus juta ringgit dalam bentuk sumbangan politik kepada UMNO semasa serbuan dibuat ke atas premis yang digunakan Najib Razak.

Saya dimaklumkan bahawa di beberapa kementerian kebelakangan ini, ada tekanan yang kuat supaya menteri-menteri meluluskan projek-projek secara rundingan terus kepada beberapa kroni.

Satu kes yang dibawa kepada saya ialah yang melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di bawah menterinya Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Kementerian ini bertanggungjawab menyelia Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mempunyai kontrak-kontrak infrastruktur besar.

Semakan saya menunjukkan ada dua projek yang dikendalikan kementerian ini yang melibatkan satu syarikat kroni yang rapat dengan pimpinan UMNO.

Saya boleh mendedahkan bahawa kementerian yang dipimpin Timbalan Presiden PAS ini telah pun menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta kepada Mangkubumi Sdn Bhd untuk kerja-kerja menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal secara tender terhad (atau selektif) di bawah program Jana Wibawa. Projek ini diumumkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri (rujuk https://www.melakahariini.my/peruntukan-rm600-juta-bina-kolam-dwi-fungsi-krubong-pm/)

Program Jana Wibawa adalah projek-projek yang melibatkan peruntukan besar yang bermula sejak zaman Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputra tertentu dengan penuh kerahsiaan, terutamanya kerana ia melibatkan tempoh masa semasa kerajaan mengisytiharkan darurat akibat PKP.

Saya akan menyentuh dengan lebih panjang mengenai program Jana Wibawa ini dalam sidang media yang akan datang.

Untuk hari ini, saya ingin mendedahkan bahawa dimaklumkan oleh pemberi maklumat dalaman bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkubumi Sdn Bhd.

Projek bernilai RM2 bilion ini adalah untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2.

Semakan saya terhadap Mangkubumi Sdn Bhd menunjukkan perkara-perkara berikut:

  • Syarikat ini tidak memfailkan penyata kewangan diaudit kerana memilih status sebagai “exempt company” (iaitu dikecualikan dari memfailkan penyata kewangan dengan pihak berkuasa)
  • Syarikat ini telah pun ada dua kes petisyen muflis di mahkamah kerana tidak membayar hutang kepada kontraktor seperti rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  • Syarikat ini berhutang sebanyak RM144 juta dengan institusi kewangan mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Semakan lanjut mengenai pemilik Mangkubumi Sdn Bhd iaitu Tan Sri Zainuddin Karjan menunjukkan dia adalah seorang tokoh yang rapat dengan UMNO dan telah mendapat laba yang berterusan dari projek-projek kerajaan seperti berikut:

  • Mangkubumi Sdn Bhd telah disiasat dan dinamakan sebagai salah satu syarikat yang memindahkan wang kepada Azeez Rahim dalam tuduhan kes rasuah dan penggubahan wang haram sebanyak RM139 juta. Kes itu didakwa di mahkamah dalam tahun 2019, seperti laporan berikut https://www.malaysiakini.com/news/460412

Maka, maklumat bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air kini dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus semasa fungsi “caretaker government” adalah satu perkara yang perlu dijawab segera oleh menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jika benar perkara ini tidak akan diteruskan, sewajarnya Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan terbuka bahawa projek ini tidak akan dianugerahkan secara rundingan terus dan sebarang keputusan hendaklah dibuat oleh kerajaan yang baru.

RAFIZI RAMLI

Latiff Ahmad Adalah Kenalan Perniagaan Jaya Sudhir Yang Pernah Terbabit Dalam Pelbagai Kontroversi Skandal Besar

Selasa lalu, saya telah memfokuskan kepada sebuah syarikat bernama JSD Corporation Pte. Ltd. yang dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik sebagai syarikat yang menerima bayaran untuk khidmat teknikal untuk projek-projek pertahanan laut negara.

Audit dalaman BHIC (anak syarikat Boustead yang dilantik menjadi kontraktor utama projek LCS) menunjukkan bahawa bayaran dibuat kepada JSD Corporation Pte. Ltd. sedangkan tiada bukti khidmat berlaku.

Apatah lagi, Laporan Audit Forensik juga merumuskan bahawa latar belakang syarikat ini menunjukkan ia tidak ada kena mengena dengan kepakaran untuk membina kapal perang.

Satu nama yang sering disebut-sebut oleh pimpinan kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pemberi maklumat (yang terlibat di dalam peringkat awal perancangan projek LCS) sebagai salah satu watak yang turut mendapat laba dari projek LCS ialah seorang ahli perniagaan Malaysia yang bernama Jaya Sudhir Jayaram.

Jaya Sudhir bukanlah nama yang asing bagi mereka yang pernah berurusan dengan kontrak-kontrak besar negara. Rekodnya menunjukkan dia ada hubungan dengan ahli-ahli politik di Malaysia dan Sri Lanka; serta pernah terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Contohnya, carian di internet menunjukkan dia pernah dikaitkan dengan skandal-skandal berikut:

  • Jaya Sudhir pernah ditangkap di Sri Lanka kerana cuba menyeludup keluar wang berjumlah USD100,000 (bersama-sama anaknya) yang melanggar undang-undang Sri Lanka

Sumber:

  • Akibat dari kegiatan perniagaannya dengan tokoh-tokoh berprofil tinggi di Sri Lanka, pihak media di sana telah menjalankan pelbagai siasatan, termasuk mendedahkan penglibatannya di dalam skandal jual beli minyak mentah dengan Iraq di bawah sekatan perdagangan PBB (dikenali sebagai oil for food).

Sumber: Sunday Times, Sri Lanka (24 Disember 2017)

https://www.pressreader.com/sri-lanka/sunday-times-sri-lanka/20171224/281509341553525

Siasatan Sunday Times dan media antarabangsa mengenai peranan Jaya Sudhir Jayaram di dalam skandal jual beli minyak dengan merasuah Kerajaan Iraq dan melanggar undang-undang Malaysia mendedahkan perkara-perkara berikut:

  • Jaya Sudhir dan dua lagi rakan perniagaannya yang dinamakan di dalam siasatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (The Independent Inquiry Committee into the United Oil-for-Food Programme) telah dituduh merasuah rejim Saddam Hussein sehingga USD10 juta untuk mendapat kontrak membeli minyak mentah dari Iraq di bawah skim itu
  • Dua lagi rakan perniagaannya yang dinamakan itu adalah pemilik Mastek Sdn Bhd (syarikat yang didedahkan terlibat dalam skim merasuah rejim Saddam Hussin) adalah Noor Aishah Mahmood (adik ipar Tun Abdullah Badawi, bekas Perdana Menteri) dan Faek Ahmad Sharef (bekas suami Noor Aishah)
  • Modus operandi Jaya Sudhir dalam skim-skim seperti ini termasuklah mewujudkan syarikat-syarikat palsu (shell company) seperti Keppel Oil
  • Dalam kontroversi terkini, Jaya Sudhir juga dinamakan sebagai watak utama yang cuba mendapatkan konsesi Kerajaan Malaysia untuk mengendalikan aplikasi MySejahtera.

Laporan di portal Code Blue (https://codeblue.galencentre.org/2022/03/28/mysj-to-get-mysejahtera-intellectual-property-licensing-for-rm338-6mil-from-app-developer/), sebuah portal berkenaan isu-isu kesihatan telah menamakan Jaya Sudhir dan anak-anaknya seperti berikut:

  • MySejahtera Sdn Bhd adalah syarikat yang akan mengambil alih aplikasi MySejahtera dari pembangun asalnya. Setelah pengambil alihan, MySejahtera bebas memasuki perjanjian konsesi dengan Kerajaan Malaysia untuk membangunkan lagi penggunaan aplikasi MySejahtera (sama ada dibayar oleh Kerajaan Malaysia atau dikomersialkan).
  • Sebagai salah satu pemegang saham dalam MySejahtera, P2 Aset Management Sdn Bhd yang dikawal oleh Jaya Sudhir telah menyaman pemegang-pemegang saham lain dalam pertelingkahan korporat (corporate dispute)
  • Jaya Sudhir juga dilantik sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan (Chief Business Development Officer) MySejahtera yang sudah tentu akan merundingkan sebarang konsesi dan perjanjian dengan Kerajaan Malaysia

Oleh sebab-sebab inilah saya berminat untuk menyiasat penglibatan Jaya Sudhir di dalam skandal LCS kerana nama beliau disebut-sebut sebagai salah satu orang penting oleh pegawai-pegawai tertinggi TLDM.

Satu syarikat yang disebut dikaitkan dengan Jaya Sudhir adalah JSD Corporation Pte Ltd yang telah dinamakan sebagai penerima bayaran khidmat teknikal oleh BNS bagi khidmat yang tidak wujud.

Apatah lagi nama syarikat JSD adalah tepat dengan akronim nama Jaya Sudhir.

Semakan dengan pendaftar syarikat di Singapura menunjukkan nama Jaya Sudhir tidak ada dalam daftar pemegang saham atau pengarah, iaitu modus operandi yang diketahui telah digunakan sebelum ini dalam skandal-skandal lain.

Oleh itu, walau pun nama Jaya Sudhir tidak ada secara rasmi di dalam JSD Corporation Pte Ltd, saya beranggapan perkara ini perlu disiasat dengan lebih mendalam oleh pihak berkuasa memandangkan rekodnya yang terbabit dalam banyak skandal besar negara dan modus operandi yang licik sebelum ini.

Apatah lagi, apabila ada bukti bahawa Jaya Sudhir rapat dengan Latiff Ahmad melalui pegangan mereka di dalam sebuah syarikat yang turut dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik LCS iaitu Mega P Asia Sdn Bhd.

Latiff Ahmad merupakan pemegang saham asal di dalam syarikat ini yang mendapat pelbagai kontrak-kontrak pertahanan laut dari anak-anak syarikat Boustead, termasuk untuk membekalkan tenaga kerja kepada projek-projek di bawah Boustead.

Semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bagaimana kedua-dua anak Jaya Sudhir iaitu Johnathan Jaya Sudhir dan Gregory Jaya Sudhir telah menggantikan Latiff Ahmad dan adiknya Abdul Aziz Ahmad sebagai pengarah-pengarah di dalam Mega P Asia Sdn Bhd pada 10 March 2020 (iaitu sekitar tarikh selepas berlakunya Sheraton Move dan Latiff menyertai Jemaah Menteri).

(semak carian SSM yang dilampirkan bersama)

https://drive.google.com/file/d/1nhHRnfKmhXAQUC9zz8nILom0ItvgPf9S/view?usp=share_link

Berdasarkan bukti-bukti ini, ia jelas menunjukkan talian hubungan di antara tokoh-tokoh politik dan ahli perniagaan yang mempunyai rekod buruk seperti Jaya Sudhir.

Hakikat bahawa Jaya Sudhir terkait di dalam tiga skandal besar negara setiap satu dekad (2000 – 2010 semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi, 2010 – 2020 di dalam skandal LCS dan kini 2020 – 2030 di dalam skandal MySejahtera) menunjukkan bagaimana berpengaruhnya kroni-kroni di belakang tabir seperti ini.

Dengan pendedahan ini, saya menunggu:

  • Maklum balas Latiff Ahmad setelah bukti demi bukti ditunjukkan bagaimana dia adalah watak penting di dalam skandal LCS melalui hubungan perniagaan dengan Alizes Marine Ltd dan kini Jaya Sudhir
  • Maklum balas dari Jaya Sudhir mengenai pendedahan ini

RAFIZI RAMLI