All posts by rafiziramli

Tolak Kerjasama Dengan PN: Bukan Pendapat Peribadi Saya, Keputusan PH

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meremehkan kenyataan saya bahawa Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk tidak menjalankan kerjasama dengan PN. Katanya itu pendapat peribadi saya, bukan keputusan PH.

Yang jadi Timbalan Presiden KEADILAN dan duduk dalam Majlis Presiden PH adalah saya. Yang tahu apa keputusan PH dia.

Ada beberapa perangai pimpinan-pimpinan dalam PN yang masih belum dicuci sepenuhnya walaupun mereka mahu memimpin negara.

Pertama, mereka memandang rendah mereka yang lebih muda. Walaupun saya sudah berusia 45 tahun, telah berada dalam barisan kepimpinan KEADILAN sejak berusia awal 20an, di mata Muhyiddin saya hanya budak hingusan.

Sebab dalam PN, orang muda ini fungsinya bukan untuk membuat keputusan. Fungsi pimpinan berumur 40an ke bawah dalam PN hanyalah mengikut telunjuk mereka yang dua atau tiga dekad lebih tua. Ini budaya parti yang cuba menarik undi anak-anak muda yang menjadi majoriti pengundi kali ini.

Kedua, mereka pakar dalam bab-bab runding belakang. Pendirian rasmi parti lain mereka tidak hormat atau terima kerana mereka percaya mereka boleh berurusan dengan watak-watak tertentu yang sama berkepentingan seperti mereka.

Mereka bangga dengan budaya runding belakang yang membelakangi parti-parti lain ini kerana budaya inilah yang membolehkan Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Mereka tidak hormat soal mandat, soal pilihan rakyat atau pilihan akar umbi parti. Mereka tidak hormat demokrasi.

Keputusan untuk memberi noktah kepada sebarang perbincangan bekerjasama dengan PN ini ialah keputusan Majlis Presiden PH yang terakhir. Keputusannya ialah PH akan menguatkan gabungan ini dan masuk PRU15 sebagai PH. Noktah.

Kalau ada satu dua orang pimpinan dari parti-parti dalam PH yang masih mahu berbincang dengan PN, itu pandangan peribadi mereka. Kalau Muhyiddin yakin akan ada Azmin kedua dalam PH, itu juga hak beliau.

Sebarang pandangan peribadi mana-mana pemimpin dalam parti-parti PH tidak akan mengikat keputusan bersama Majlis Presiden PH yang telah memberikan noktah kepada PN.

Rasional utama keputusan ini kerana kita tahu pelawaan PN untuk bekerjasama dengan PH bukanlah untuk menyelamatkan negara, seperti yang didakwa Muhyiddin. Ia untuk menyelamatkan jawatan dan kedudukan mereka yang mendapat jawatan hasil dari mengkhianati mandat rakyat dalam PRU14.

Rekod pentadbiran PN juga tidak baik.

Semasa watak-watak yang kini menjadi menteri PN berada dalam kerajaan PH dahulu, watak-watak inilah yang mengundang kekecewaan rakyat terhadap PH. Azmin Ali gagal sebagai menteri ekonomi, sumbangan terbesar Redzuan Yusof (Pak Wan) hanyalah idea kereta terbang. Sehingga sekarang PH dipersalahkan atas kebodohan idea watak-watak PPBM yang kini berada dalam PN.

Seorang lagi watak PN, Rina Harun dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang mengawal agensi-agensi penting yang sepatutnya boleh mengubah kehidupan rakyat di desa. Sehingga sekarang, tidak ada sebarang idea baru yang pernah diketengahkan Rina Harun. Yang hanya berubah penampilan Rina Harun, rakyat desa hidupnya sama.

Semua menteri-menteri besar dari PPBM kecundang dan sudah dilupakan kini. Tidak ada seorang pun menteri-menteri besar PPBM yang pentadbirannya ada kesan berpanjangan kepada rakyat.

Portfolio PTPTN juga diambil oleh PPBM. Pengerusi PTPTN adalah orang kuat PPMB. Kegagalan PPBM menjaga portfolio PTPTN itu juga yang digunakan sebagai peluru oleh UMNO dan BN.

Muhyiddin memberi alasan negara perlu diselamatkan dari UMNO dan BN sebagai alasan untuk bekerjasama dengan PH. Kata Muhyiddin, kalau tidak kita berdepan dengan rasuah, penyelewengan kuasa dan lain-lain.

Sedang Muhyiddin takut dengan rasuah dan penyelewengan kuasa UMNO, Muhyiddin juga yang menerima ahli-ahli Parlimen UMNO yang terpalit dengan rasuah masuk ke PPBM demi untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin takut dengan kerosakan yang akan dibawa UMNO, tetapi Muhyiddin dan PN juga yang membentuk kerajaan bersama-sama dengan UMNO. Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan sekarang bukan dari PH, mereka dari UMNO.

Lebih baik Muhyiddin menyatakan secara terbuka PN ingin bekerjasama dengan PH demi kepentingan peribadi dan kuasa (bukan untuk kepentingan negara) sebab kami tidak bodoh.

Kami mungkin muda tapi kami tidak bodoh.

KEADILAN dan PH akan terus meyakinkan rakyat melalui usaha kami menentang rasuah, membasmi politik kebencian perkauman dan membawa idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Kalau kami jadi kerajaan, kami akan tadbir kerajaan dengan prinsip dan pendekatan kami. Kalau kami kekal pembangkang, kami akan pastikan kerajaan tidak sakau duit rakyat.

Itu lebih bermaruah dari berpakat hanya untuk mendapat kuasa.

RAFIZI RAMLI

Latiff Ahmad Perlu Saman Auditor, BHIC Dan Saya

Penafian terbaru Datuk Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai pembabitan beliau (melalui syarikat-syarikat yang dikawal oleh isteri kedua beliau) yang dibuat pada hari ini, hanyalah penafian di Facebook.

Beliau tidak sedikit pun membidas fakta-fakta yang telah dikongsi dengan rakyat setakat ini:

  • Laporan Forensik Kapal LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau
  • Laporan Forensik Kapal LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang mengawal syarikat-syarikat palsu Alizes Marine yang mendapat kontrak membekalkan alat gantian sebanyak RM210 juta
  • Laporan Forensik Kapal LCS turut menamakan satu lagi syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd sebagai syarikat yang dikawal oleh Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak-kontrak pertahanan laut
  • Syarikat Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr Latiff sendiri
  • Syarikat Mega P Asia Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Dr Latiff dan Zainab Mohd Salleh

Apabila Dr. Latiff hanya menafikan di Facebook, itu bermakna beliau menuduh juru audit yang dilantik Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu, apabila laporan juru audit menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan Dr. Latiff dalam kontrak-kontrak projek LCS.

Penafian Facebook Dr. Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Dr. Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab Mohd Salleh melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn. Bhd.

Penafian mudah (tanpa menunjukkan sebarang fakta atau dokumen) adalah taktik biasa yang menjadi amalan pimpinan UMNO dan bekas UMNO (yang kini dalam BERSATU).

Semasa skandal SRC dan 1MDB mula-mula didedahkan pun, Dato’ Seri Najib Razak menafikan mentah-mentah bahawa wang masuk ke akaun peribadinya. Apabila telah dibuktikan, barulah beliau menyebut wang itu dari derma hartawan Arab. Setelah disiasat, didapati pula wang itu datang dari tabung pencen rakyat.

Sebab itu, rakyat tidak lagi boleh mempercayai penafian kosong oleh menteri-menteri UMNO dan BERSATU kerana rekod yang telah ada setakat ini.

Jika Dr. Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan dia (atau keluarganya) tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman dengan serta-merta ke atas BHIC (tuan punya Laporan Forensik Kapal LCS), Alliance IFA (M) Sdn Bhd (juru audit yang dilantik BHIC untuk menyiasat projek kapal LCS) dan saya (yang mendedahkan perkara ini).

Jika ini tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr. Latiff akan mengheret partinya BERSATU ke kancah kekalahan dalam PRU15 kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini.

RAFIZI RAMLI

Syarikat Milik Keluarga Menteri Bekal Putik Kapas Telinga Dalam Kontrak Alat Gantian Kapal Perang

Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh (670430-01-XXXX) sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Datuk Dr. Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) di dalam Laporan Forensik Projek LCS, sehingga sekarang Dr. Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Dr Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

Dengan tiadanya penafian atau kenyataan balas menafikan yang individu yang dinamakan itu isterinya, rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya itu benar. Lagi pun, perkara ini dinyatakan secara bertulis di dalam Laporan Forensik Projek LCS.

Sejumlah besar kontrak Alizes Marine Limited (syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah untuk membekalkan alat-alat gantian (“spare parts”) kapal.

Syarikat ini dilantik dengan memberi gambaran bahawa ia berkaitan dengan sebuah syarikat Perancis (Alizes Marine France) yang mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan dari Kerajaan Perancis. Setelah memperolehi kontrak membekalkan alat-alat ganti dari projek LCS, invois-invois dengan alamat palsu dihantar dan arahan pembayaran menyelewengkan dana ke syarikat-syarikat berlainan yang didaftarkan di Malta dan Labuan. Akaun bank yang digunakan juga dari Singapura, bukannya di Perancis.

Laporan Forensik Projek LCS telah mendedahkan bahawa syarikat palsu ini tidak pun mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan seperti yang didakwa.

Lebih teruk lagi, syarikat palsu ini menghantar invois bagi barang-barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian pertahanan. Sesetengah barang-barang yang dibekalkan adalah barang-barang biasa yang boleh dibeli di pasar raya Mydin atau kedai serbaneka 7-Eleven.

Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan:

Global purchase orders (PO) issued to Alizes Marine contained certain items which did not belong to Depot level spare parts (repairs and maintenance) such as mineral water, cotton bud packs, cleaning cloth, fans etc. This signified the level of discrepancy and deception in the process of procurement.”

“Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, putik kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.”

Kontrak untuk membekalkan kononnya alat-alat gantian kapal yang diberikan kepada Alizes Marine melibatkan pembayaran sekitar RM210 juta setakat tahun 2011 ke 2015 sahaja.

Sebab itu ada beberapa soalan penting yang perlu dijawab berhubung stok alat-alat gantian kerana Laporan PAC mendedahkan projek telah membeli sehingga RM1.7 bilion alat-alat gantian sedangkan kapal belum siap.

Soalan-soalan penting:

  1. Berapa banyak dari RM1.7 bilion yang dibeli itu sebenarnya alat-alat gantian yang diperlukan untuk kapal bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal? Berapa banyak dari stok alat gantian itu sebenarnya untuk barang-barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa?
  2. Apabila UMNO/BN mendakwa projek telah mencapai 50% kemajuan sehingga 2018 (sejak pembinaan bermula), berapa banyak dari peratusan kemajuan itu bersabit dengan pembelian barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan alat gantian kapal seperti ini? Kita tahu bahawa kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat-alat gantian kapal.

Dengan tiadanya penafian dari Dr Latiff atau fakta-fakta yang menolak pendedahan setakat ini, sudah sampai masanya tindakan politik diambil terhadap Dr Latiff.

Ada dua tindakan bermaruah yang perlu disegerakan:

  1. Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memecat Dr. Latiff dari jemaah menteri
  2. Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri yang BERSATU membuat keputusan supaya Dr. Latiff digantikan dengan calon lain dari BERSATU di dalam jemaah menteri

Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan BERSATU benar-benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini.

RAFIZI RAMLI

Dr. Latiff Dan Zainab Memiliki Bersama Subkontraktor Projek Pertahanan Negara

Setelah saya menamakan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh sebagai individu-individu yang terlibat dengan beberapa syarikat palsu (iaitu Alizes Marine Limited) yang menyeleweng sehingga RM210 juta dari projek LCS, satu-satunya reaksi dari Dr. Latiff Ahmad ialah penafian yang Zainab Mohd Salleh adalah isterinya.

Kenyataan Dr. Latiff Ahmad juga begitu umum dengan merujuk kepada satu berita yang tular:

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.”

Saya mengucapkan tahniah kepada Dr. Latiff Ahmad kerana berjaya memutar kenyataannya untuk mengelirukan orang ramai. Rujukan kepada “berita yang tular” sudah tentu merujuk kepada kesilapan satu portal berita yang melaporkan kononnya Zainab Mohd Salleh yang terlibat di dalam projek LCS ini adalah Ketua Pegawai Kewangan Dialog Berhad (yang juga bernama Zainab Mohd Salleh).

Saya tergelak kerana besar kemungkinan Dr. Latiff Ahmad benar-benar ingat saya pun tersilap begitu juga.

Zainab Mohd Salleh yang memiliki Alizes Marine Limited adalah seorang individu lain.

Oleh kerana Dr. Latiff Ahmad cuba mengelirukan orang ramai mengenai identiti sebenar Zainab Mohd Salleh, saya sertakan nama penuh, kad pengenalan (baru dan lama), alamat dan gambar pengenalan Zainab Mohd Salled (LCS) mengikut carian rasmi, seperti berikut (rujuk “1”):

Seterusnya, saya juga mengesahkan kewujudan Zainab Mohd Salleh ini dengan menjejaki “digital footprint” di Facebook. Berikut ialah profil Zainab Mohd Salleh di Facebook (rujuk “2”):

Zainab Mohd Salleh juga ada digital footprint yang mengaitkannya dengan Dr. Latiff Ahmad.

Pada hari Dr. Latiff Ahmad mengangkat sumpah sebagai menteri di dalam kabinet Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, salah seorang dari yang mengucapkan tahniah di posting Facebook Dr. Latiff bertarikh 30 Ogos 2021 adalah Zainab Mohd. Salleh (rujuk “3”):

Masalah besar Dr. Latiff Ahmad bukanlah kerana Zainab Mohd. Salleh meninggalkan komen di Facebooknya.

Isu yang wajib dijawab oleh Dr. Latiff Ahmad (tetapi langsung tiada apa-apa maklum balas setakat ini) ialah pendedahan-pendedahan saya bahawa Zainab Mohd. Salleh adalah pemilik syarikat-syarikat palsu Alizes Marine Limited yang menyelewengkan dana dari projek LCS.

Apatah lagi apabila Laporan Forensik Projek LCS yang dinyahwarta semalam (dan kini boleh dibaca di laman Parlimen) secara terang telah menyatakan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr. Latiff  Ahmad (rujuk “4”):

Jika bukti-bukti ini tidak memadai, saya sertakan satu lagi bukti besar yang menyokong penglibatan Dr. Latiff dalam skandal LCS melalui syarikat yang dimiliki bersama dengan Zainab Mohd. Salleh (yang dinyatakan sebagai isterinya).

Penipuan oleh Alizes Marine Limited melibatkan penggunaan nama syarikat lain di Perancis sedangkan invois dihantar dengan alamat yang berlainan. Laporan Forensik Projek LCS menyenaraikan alamat-alamat palsu yang digunakan di dalam invois-invois Alizes dan menamakan seorang rakyat Perancis bernama Thierry Georges Andre Barrier sebagai individu yang terlibat di dalam skim penipuan ini.

Dr. Latiff Ahmad menubuhkan sebuah syarikat bernama Mega P Asia Sdn Bhd (pendaftaran 1163389-W) pada 23 Oktober 2015 (rujuk “5A” dan “5B”).

Mega P Asia Sdn Bhd turut dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah sebuah syarikat berkait dengan Dr Latiff Ahmad yang mendapat laba dari projek-projek pertahanan laut negara.

Perenggan 3.16.13.4 muka surat 97 menyebut:

“….. It is also to be noted that Mega P Sdn Bhd is the company involved in supplying Chilean workers for millions of ringgit for submarine projects, and payments were released to them.”

“… Perlu diambil maklum bahawa Mega P Sdn Bhd juga terlibat membekalkan tenaga kerja dari Chile untuk projek-projek kapal selam (Scorpene) yang melibatkan jutaan ringgit, dan syarikat ini telah menerima bayaran.”

Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr. Latiff Ahmad bersama-sama Thierry Barrier yang masing-masing memegang satu saham semasa penubuhan. Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Dr. Latiff Ahmad terlibat di dalam skim penipuan menggunakan invois-invois palsu melibatkan Alizes Marine Limited, memandangkan invois-invois itu berkait dengan Thierry Barrier (seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Forensik Projek LCS).

Hubung kait diantara Dr. Latiff Ahmad dengan Zainab Mohd Salleh diperkuatkan lagi apabila semakan pemilikan saham Mega P Asia Sdn Bhd menunjukkan Dr. Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh merupakan pemegang majoriti saham-saham syarikat itu.

Maklumat Borang 68 (perincian pemegang saham sesebuah syarikat) bagi tahun 2017 yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (rujuk “6A”) menunjukkan bahawa Dr. Latiff Ahmad memegang 105,002 saham dan Zainab Mohd Salleh memegang 245,000 saham di dalam Mega P Asia Sdn Bhd  (rujuk “6B”).

Laporan kewangan Mega P Asia Sdn Bhd yang diaudit bagi tahun kewangan 2016 menunjukkan bahawa syarikat Mega P Asia Sdn Bhd (yang ditubuhkan Dr. Latiff Ahmad) dikawal oleh Zainab Mohd Salleh (rujuk “6C”).

Daripada semua maklumat ini, kita boleh simpulkan beberapa fakta:

  • Zainab Mohd Salleh yang memiliki syarikat-syarikat palsu Alizes Marine Limited adalah individu yang berlainan dari CFO Dialog.
  • Kenyataan Dr. Latiff Ahmad yang menafikan Zainab Mohd. Salleh bukan isterinya dilihat cuba mengelirukan orang ramai dengan memberi gambaran Zainab yang saya maksudkan dalam pendedahan saya adalah CFO Dialog.
  • Dr. Latiff Ahmad menubuhkan syarikat Mega P Asia Sdn Bhd yang menjadi subkontraktor projek-projek pertahanan laut negara dengan seorang rakyat Perancis bernama Thierry Barrier.
  • Thierry Barrier dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah seorang individu yang terlibat di dalam pemalsuan invois-invois Alizes Marine Limited menggunakan pelbagai alamat palsu di Perancis.
  • Pemegang-pemegang saham Mega P Asia Sdn Bhd adalah Dr. Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh.
  • Pemegang saham yang mengawal Alizes Marine Limited adalah Zainab Mohd Salleh.
  • Laporan Forensik Projek LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri Dr. Latiff Ahmad.

Bukti-bukti ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri (kedua) Dr. Latiff Ahmad dan kedua-dua mereka terlibat di dalam Marine Alizes Limited yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai syarikat yang menyelewengkan sehingga RM210 juta dana dari projek LCS.

Jika benar Zainab Mohd Salleh bukan isteri (kedua) Dr. Latiff Ahmad seperti yang disebut di dalam Laporan Forensik Projek LCS, kenapa Dr. Latiff memberikan saham majoriti dan membenarkan Zainab Mohd Salleh mengawal Mega P Asia Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkannya dan mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit dari projek-projek Kementerian Pertahanan?

RAFIZI RAMLI

Syarikat Palsu Dimiliki Keluarga Menteri

Minggu lalu, saya telah mendedahkan bagaimana syarikat-syarikat palsu yang mirip nama syarikat Perancis (yang benar-benar wujud) telah digunakan untuk menjadi pembekal alat-alat ganti (“spare parts”) kepada projek kapal LCS.

Siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan saya menunjukkan kesimpulan-kesimpulan berikut:

  • Dua buah syarikat palsu yang menggunakan nama Alizes Marine telah didaftarkan. Sebuah syarikat bernama Alizes Marine Limited yang didaftarkan di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan yang didaftarkan di Labuan.
  • Kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (“offshore”) dan tidak boleh dijejaki. Kewujudan Alizes Marine Limited hanya diketahui apabila pangkalan data syarikat pesisir luar pantai dibocorkan oleh pemberi maklumat sehingga menjadi skandal besar dunia (dikenali sebagai Panama Papers dan Paradise Papers).
  • Zainab Mohd Salleh juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited. Syarikat ini memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.

Kertas siasatan dalaman skandal LCS menerangkan secara jelas penglibatan syarikat-syarikat Alizes Marine yang menyelewengkan dana kapal perang LCS.

Ada beberapa bentuk penyelewengan yang berlaku.

Pertama, syarikat-syarikat sebegini dilantik menjadi juru runding teknikal (sedangkan mereka tiada kepakaran) kepada projek. Mereka menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan. Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014.

Kedua, Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat-alat gantian (“spare parts”) kepada projek LCS. Lantikan itu berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan (sedangkan ia tidak mempunyai lesen itu). Projek LCS membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan.

Siapa Zainab Mohd Salleh ini yang begitu berpengaruh dalam projek LCS?

Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin UMNO sebelum menyertai BERSATU selepas PRU2018.

Laporan siasatan dalaman projek LCS juga secara jelas menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad.

Muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 laporan menyebut “It is noted that Abdul Latiff is the spouse of Zainab” yang bermaksud “Siasatan mengambil maklum bahawa Abdul Latiff adalah suami kepada Zainab”.

Beliau adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika ini ialah Dato’ Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang.

Semakan saya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan. Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau.

Ada beberapa projek pertahanan negara yang lain yang turut melibatkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain yang dimiliki dan dikawal oleh dia sendiri (Latiff) atau isterinya.

Pelbagai maklumat ini akan keluar pada kadar yang segera.

Hakikat bahawa skim-skim menyelewengkan dana LCS menggunakan syarikat-syarikat palsu yang dimiliki oleh Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu bukanlah satu kebetulan.

Sebab itu, saya dari awal telah menuntut penjelasan dari Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab menukar reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind, dan Najib Razak yang merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

Mustahil skim penyelewengan ini yang melibatkan projek-projek yang dikendalikan oleh kedua-dua mereka (Najib dan Zahid) boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka.

Saya harap pendedahan saya pada hari ini menutup mulut UMNO dan Barisan Nasional yang cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut apabila skandal ini meletup. Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan UMNO yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan.

Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional dari BERSATU dan PAS mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka, Latiff Ahmad dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS.

Saya menunggu reaksi pimpinan UMNO, PAS dan BERSATU yang membentuk Kerajaan Persekutuan kali ini.

RAFIZI RAMLI