Perjumpaan Najib-Trump Hanya 30 Minit, Bukan Lawatan Rasmi Ketua Negara: Adakah Perjumpaan Hasil Lobi Syarikat Florence Goh?

Hari ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Media propaganda Barisan Nasional menggambarkan pertemuan pada hari adalah satu pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat kepada kejayaan Malaysia sebagai sebuah “kuasa baru” di dunia yang berhasrat menyertai kumpulan 20 negara paling maju dan berkuasa di dunia menjelang 2050 (rujuk laporan NST https://www.nst.com.my/news/nation/2017/09/278870/najib-malaysia-us-meeting-will-benefit-both-countries).

Sabtu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mengaku bahawa pertemuan Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump pada hari ini akan membincangkan kezaliman yang berlaku kepada rakyat Myanmar berbangsa Rohingya, untuk memberi gambaran kononnya Dato’ Seri Najib ke Amerika Syarikat untuk memperjuangkan nasib rakyat Myanmar berbangsa Rohingya yang menjadi mangsa pembersihan etnik. (Rujuk laporan Berita Harian https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/323286/rakyat-perlu-bersatu-bantah-penindasan-etnik-rohingya)

Kebetulan saya mendapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai yang mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Lawatan Dato’ Seri Najib berjumpa Presiden Trump pada hari ini bukanlah satu lawatan rasmi Ketua Kerajaan (“official visit”) seperti kebiasaannya (atau yang digambarkan oleh propaganda BN). Sebaliknya ia satu perjumpaan singkat selama 30 minit sahaja dan oleh itu tidak banyak isu yang boleh dibincangkan. Maklumat lanjut mengenai jenis-jenis jemputan dari Presiden Amerika Syarikat boleh diperolehi di https://en.wikipedia.org/wiki/State_visits_to_the_United_States)

2. Untuk membezakan sama ada sesuatu jemputan dari Presiden Amerika Syarikat itu adalah jemputan berbentuk lawatan rasmi Ketua Kerajaan atau tidak, kita boleh melihat layanan dan kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Amerika Syarikat kepada pemimpin asing yang diberi peluang berjumpa Presiden Amerika Syarikat.

Jemputan yang bertaraf lawatan rasmi Ketua Kerajaan melibatkan (antara lainnya) sambutan rasmi semasa pesawat mendarat, majlis sambutan rasmi di White House dan penginapan yang disediakan di Blair House (iaitu rumah untuk tetamu negara).

Perbezaan layanan dan kemudahan mengikut protokol jenis lawatan seorang pemimpin asing ke Amerika Syarikat ditunjukkan di bawah:

Protokol sambutan mengikut jenis lawatan 

Sambutan “flight line ceremony” setiba mendarat

Sambutan rasmi di White House

Sidang media bersama di White House

Blair House, kediaman rasmi untuk tetamu Presiden

3. Maklumat saya mengesahkan bahawa Dato’ Seri Najib menginap di sebuah hotel milik keluarga Presiden Trump dan segala perbelanjaan tidak ditanggung oleh Kerajaan Amerika Syarikat. Ini mengesahkan bahawa lawatan beliau bukanlah satu lawatan rasmi Ketua Kerajaan dan saya merasakan segala perbelanjaan sebenarnya ditanggung oleh rakyat Malaysia.

4. Maklumat saya mengesahkan bahawa ahli keluarga Dato’ Seri Najib (selain dari Datin Seri Rosmah) juga menyertai lawatan ini. Selepas pertemuan 30 minit di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump pada hari ini, saya dimaklumkan akan ada satu lagi pertemuan di antara Presiden Trump dan ahli keluarga Dato’ Seri Najib di satu lokasi persendirian iaitu Menara Trump di New York, milik keluarga Presiden Trump.

5. Maklumat saya mengesahkan bahawa pejabat Presiden Trump menawarkan untuk diadakan satu sidang media bersama selepas perjumpaan dan Dato’ Seri Najib boleh memilih sama ada sidang media itu membenarkan soalan ditanya wartawan atau tiada soalan dibenarkan. Saya dimaklumkan Dato’ Seri Najib memilih untuk langsung tidak mengadakan sidang media bersama dan hanya satu kenyataan akan diedarkan selepas pertemuan tersebut.

(Saya menyemak laporan TV1 yang mengesahkan bahawa Dato’ Seri Najib tidak mendapat sambutan “flight line ceremony” semasa mendarat dan menginap di Trump International Hotel, bukannya Blair House)

 

Saya yakin, berdasarkan maklumat-maklumat sulit ini, bahawa pertemuan Dato’ Seri Najib dengan Presiden Trump pada hari ini bukanlah satu jemputan biasa kepada seorang Ketua Kerajaan. Saya percaya ia satu pertemuan yang diusahakan untuk melonjakkan imej Dato’ Seri Najib di kalangan rakyat Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Sebab itu sebelum ini saya telah mendedahkan bagaimana sebuah syarikat swasta telah mewakili Pejabat Perdana Menteri yang membayar seorang bekas pembantu Presiden Trump sebagai seorang pelobi.

Kenyataan-kenyataan sebelum saya sebelum ini mengenai pembabitan seorang wanita bernama Florence Goh yang memiliki sebuah syarikat yang ditubuhkan di pusat pesisir pantai (“offshore”) iaitu Godfrey Group Limited, tidak pernah dinafikan oleh Dato’ Seri Najib dan tiada sebarang tindakan (saman atau tangkapan) setakat ini diambil oleh pihak berkuasa.

Sebab itu pendedahan saya sebelum ini mengesahkan bahawa:

1. Godfrey Group Limited yang dimiliki Florence Goh telah mewakili Pejabat Perdana Menteri untuk melantik dan membayar sejumlah RM1.125 juta kepada bekas pembantu kempen Presiden Donald Trump yang bernama Healy Baumgardner-Nardone untuk menjalankan kerja-kerja melobi bagi pihak Pejabat Perdana Menteri

2. Perjanjian lantikan untuk melobi pentadbiran Presiden Trump itu diisytiharkan dan difailkan dengan Kerajaan Amerika Syarikat pada 19 Mei 2017, iaitu beberapa bulan lalu sahaja

3. Tan Sri Shahrir Samad dan Dato’ Nurjazlan Mohamad pernah terlibat di dalam beberapa program yang melibatkan individu bernama Florence Goh ini

(Rujuk kenyataan-kenyataan saya mengenai perkara ini di:

i. http://rafiziramli.com/2017/05/pentadbiran-dato-seri-najib-bayar-rm1-juta-kepada-bekas-pembantu-kempen-presiden-trump-untuk-melobi-kerajaan-amerika-syarikat/

ii. http://rafiziramli.com/2017/05/pmo-menggunakan-pelobi-di-amerika-syarikat-pengisytiharan-tambahan-menamakan-dato-seri-najib-razak-kenyataan-media-pejabat-perdana-menteri-berbohong/

iii. http://rafiziramli.com/2017/05/shahrir-samad-adalah-penasihat-kepada-ngo-yang-diketuai-oleh-florence-goh-pengarah-godfrey-group-yang-terlibat-dalam-kontrak-melobi-kerajaan-amerika-syarikat/)

Oleh yang demikian, saya berpandangan lawatan Dato’ Seri Najib untuk bertemu Presiden Trump ini menimbulkan banyak syak wasangka yang memerlukan penjelasan daripada beliau.

Saya yakin keseluruhan perbelanjaan delegasi beliau dan keluarga beliau ditanggung oleh Kerajaan Malaysia yang melibatkan penggunaan wang rakyat yang besar dalam keadaan banyak peruntukan dipotong dan harga barang/harga minyak terus naik akibat GST dan penghapusan subsidi. Dato’ Seri Najib perlu menjawab berapa jumlah wang rakyat yang digunakan untuk membiayai keseluruhan kos lawatan ini?

Maklumat-maklumat yang menunjukkan jemputan untuk bertemu Presiden Trump bukanlah satu lawatan rasmi seperti kebiasaannya mengukuhkan pandangan bahawa Pejabat Perdana Menteri membayar pelobi untuk mengaturkan perjumpaan pada kali ini. Saya mendesak supaya Dato’ Seri Najib berterus terang siapa yang membayar RM1.125 juta kepada bekas pembantu kempen Presiden Trump itu dan adakah pertemuan dengan Presiden Trump adalah hasil dari kerja-kerja lobi yang menelan belanja RM1.125 juta itu?

Akhir sekali, jika maklumat dari sumber saya adalah benar, Dato’ Seri Najib perlu menjawab kenapa beliau memilih untuk tidak berhadapan dengan pihak media di dalam satu sidang media bersama dengan Presiden Trump, sedangkan itu satu kebiasaan selepas pertemuan seorang Presiden Amerika Syarikat dengan ketua kerajaan lain. Adakah Dato’ Seri Najib takut ditanya dengan soalan-soalan mengenai skandal 1MDB memandangkan ada kes-kes mahkamah berkaitan penyelewengan wang 1MDB di Amerika Syarikat.

Tempoh 30 minit pertemuan adalah terlalu singkat dan saya berani mengatakan nasib rakyat Myanmar berbangsa Rohingya tidak pun sempat dibincangkan secara mendalam. Cuma saya berharap Dato’ Seri Najib tidak mengambil kesempatan di atas penderitaan saudara Rohingya kita demi kepentingan peribadi beliau.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.