Dedahkan Terma-Terma Perjanjian Konsesi Hospital UiTM Puncak Alam

hospitaluitmpuncakalam

Pendedahan saya di dalam Dewan Rakyat pada hari Selasa mengenai cadangan menganugerahkan pembinaan dan operasi Hospital UiTM Puncak Alam telah mendapat beberapa reaksi semalam.

Saya sedia maklum kenyataan rasmi UiTM yang tidak menafikan pendedahan saya tetapi sekadar menyebut maklumat itu tidak tepat dan menyeluruh. Saya menghargai kenyataan rasmi UiTM itu kerana secara tidak langsung ia mengiyakan pendedahan yang saya buat.

Semakan saya menunjukkan bahawa Lembaga Pengarah UiTM akan bermesyuarat pada hari ini dan salah satu agenda utama ialah menilai cadangan penswastaan Hospital UiTM Puncak Alam melalui sistem konsesi seperti yang saya dedahkan. Hari ini, Lembaga Pengarah UiTM akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh syarikat milik Tan Sri Rozalli Ismail iaitu TRIplc Berhad bagi penswastaan tersebut.

Saya menggesa supaya setiap Ahli Lembaga Pengarah UiTM mengambil pendirian bebas dengan menolak sebarang campur tangan Putrajaya dalam projek ini seterusnya membuat keputusan untuk menolak cadangan penswastaan melalui sistem konsesi. Ahli-ahli Lembaga Pengarah UiTM sedia maklum bahawa kos membina dan menguruskan sendiri oleh UiTM adalah jauh lebih murah daripada apa yang terpaksa ditanggung UiTM dan rakyat melalui sistem konsesi.

Saya juga dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Kuala Selangor semalam menyebut bahawa kos keseluruhan pembinaan dan operasi Hospital UiTM Puncak Alam melalui sistem konsesi yang dicadangkan hanyalah RM800 juta, bukannya bernilai RM8.2 bilion seperti yang saya dedahkan.

Saya menasihati beliau supaya menyemak dan meneliti sendiri dokumen mengenai penswastaan ini seperti mana yang telah saya lakukan agar beliau tidak malu nanti apabila maklumat-maklumat ini keluar.

Jika benar kos keseluruhan konsesi hanyalah RM800 juta seperti yang beliau dakwa, saya cabar beliau mendapatkan kebenaran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mendedahkan kertas-kertas cadangan dan perincian konsesi ini yang telah dikemukakan kepada UiTM setakat ini kepada orang ramai supaya kos sebenar konsesi dapat dinilai.

Saya akan menunggu maklumbalas dari kerajaan sebelum mula menghuraikan butiran-butiran mengenai cadangan konsesi ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.