Saya merujuk kepada laporan oleh Clara Chooi yang disiarkan pada 27 November 2012 oleh The Malaysian Insider bertajuk “ICAC Letter Shows Musa Aman Cleared of Graft Last December”.
Laporan itu memetik kenyataan Dato’ Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud bagi pihak Dato’ Seri Musa Aman bahawa kes telah ditutup oleh ICAC Hong Kong berdasarkan satu surat yang dihantar secara peribadi kepada Dato’ Seri Musa Aman.
Berdasarkan laporan tersebut, saya ingin menegaskan beberapa fakta berikut:
1. Surat yang diutuskan oleh ICAC itu sekali-kali tidak menyatakan bahawa Dato’ Seri Musa Aman dibersihkan dari tuduhan rasuah, atau membayangkan bahawa ICAC yakin Dato’ Seri Musa Aman bersih dari rasuah seperti yang cuba diwar-warkan oleh Umno/Barisan Nasional.
2. Surat itu hanya memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat-maklumat yang ICAC perolehi setakat itu, ICAC mengambil keputusan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman.
Jika Dato’ Seri Musa Aman tidak bersetuju dengan fakta-fakta ini, maka wajarlah beliau mendedahkan kandungan keseluruhan surat tersebut, bukannya menggunakan Dato’ Abdul Rahman Dahlan untuk menyampaikan secara lisan sahaja kepada wartawan.
Keputusan ICAC untuk tidak meneruskan siasatan berdasarkan maklumat-maklumat yang mereka perolehi setakat itu menimbulkan lebih banyak persoalan. Ia juga menguatkan pandangan beberapa pihak bahawa ICAC tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak berkuasa Malaysia untuk meneruskan siasatan kerana mereka tidak mempunyai kuasa menyiasat dan mengumpulkan bukti.
Oleh yang demikian, mereka bergantung sepenuhnya kepada Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan bukti.
Kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zevros baru-baru ini bahawa pihak berkuasa Hong Kong mengambil keputusan untuk menghentikan siasatan berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia mengesahkan bahawa tangan ICAC terikat dari meneruskan siasatan.
Oleh yang demikian, saya menegaskan pendirian saya bahawa surat yang disebut oleh Dato’ Abdul Rahman Dahlan itu tidak membersihkan nama Dato’ Seri Musa Aman, sebaliknya menguatkan pandangan bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa Malaysia.
Saya dan pasukan dari KEADILAN (YB William Leong, YB Hee Loy Sian dan YB Chang Lih Kang) sedang giat mengumpulkan bukti termasuk penyata-penyata kewangan dan urusniaga di Hong Kong untuk dilaporkan kepada ICAC agar siasatan baru dibuka, seperti persetujuan dengan ICAC baru-baru ini.
Rombongan kami akan menemui ICAC pada 11 Disember 2012 dalam kunjungan yang kedua.
Saya juga menggesa Dato’ Seri Musa Aman supaya tidak terus mengheret Umno ke dalam permasalahan peribadi beliau. Cara terbaik untuk membersihkan nama beliau adalah dengan mengisytiharkan secara terperinci maklumat sumbangan RM40 juta yang diterima beliau, termasuklah:
Siapa yang menderma/memberi sumbangan?
Apa hubungan penderma/penyumbang ini dengan beliau dan Umno?
Apa kontrak-kontrak atau konsesi yang pernah diberikan kepada penderma/penyumbang ini?
Di mana wang itu disimpan dan atas nama siapa?
Saya percaya maklumat-maklumat di atas bukan sahaja dituntut oleh rakyat Malaysia, malah turut ditanya oleh pimpinan Umno sendiri.
Apabila Umno/Barisan Nasional menyerang pimpinan KEADILAN bersabit sumbangan (termasuklah isu bas jelajah Merdeka Rakyat dan penggunaan jet peribadi), pimpinan KEADILAN yang terbabit dengan segera mengisytiharkan butiran penyumbang, supaya rakyat dapat menilai sendiri sama ada berlaku unsur salah guna kuasa.
Sikap yang sama perlulah juga ditunjukkan oleh Dato’ Seri Musa Aman, jika beliau benar-benar yakin tidak ada unsur rasuah dan salah guna kuasa di dalam kes sumbangan RM40 juta kepada beliau/Umno seperti yang didakwanya.
Kegagalan beliau berterus terang akan terus memanjangkan kes ini dan saya akan terus menumpukan perhatian untuk mendapatkan maklumat dan bukti baru untuk dibentangkan kepada rakyat.
Sebab itu, saya tidak sedikit pun merasa tergugat dengan ancaman tindakan undang-undang seperti yang disebut oleh Dato’ Abdul Rahman Dahlan. Saya yakin saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan bersedia untuk mempertahankan kes yang saya bawa di mahkamah pada bila-bila masa.
Persoalannya: Apakah Dato’ Seri Musa Aman bersedia untuk bertemu di mahkamah dan mendedahkan butiran penderma-penderma beliau di mahkamah seperti mana bersedianya saya?
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
28 NOVEMBER 2012
Salam semua. percaya atau tidak, 3 tahun lepas negara kita dikejutkan dengan berita pembeli Tokek @ Kokgo sebesar 400gram keatas berharga 100juta ke 1 bilion sekor kononnya untuk mengubat penyakit AIDS . dan pembeli dia adalah dari over sea. saya percaya bahawa ini adalah cara untuk membawa dana asing ke Malaysia secara sah. kebanyakan pembeli mengatakan bahawa menteri dari sabah bertanggungjawab sebagai orang tengah membeli binatang ini. persoalannya kenapa org Thai, Indon tidak dapat menjual binatang tersebut di negera mereka. kenapa mereka mesti menjual binatang tersebut hanya di Malaysia.. saya rasa ini adalah cara dana asing masuk ke Malaysia secara sah.. pikir pikir kan lah..
Saya masih ingat ucapan bekas PM malaysia suatu ketika dulu di Sabah. Bekas PM itu berkata beliau lebih cenderung memilih calon BN yang kaya, kerana orang-orang ini akan tidak mengamalkan rasuah. Pada saya bekas PM itu sebenarnya lebih suka memilih calon yang bermasalah agar dia boleh kawal dan jadi pak turut.
salam kepada saudara rafizi,
saya ingin bertanya tentang aes yg dikuatkuasakan baru baru ini, adakah unit aes dapat membezakan di antara had kelajuan bas express dan lori ialah hanya 90km/jam di atas highway dgn had kelajuan kereta persendirian ialah110 km/jam.
Jika AES tidak dapat membezakan had kelajuan bas atau lori dgn kenderaan persendirian, ini seolah olah AES memberikan lesen untuk bas express untuk dipandu melebihi kelajuan yang
sepatutnya di hadkan kpd 90 km/jam sahaja.
Sedangkan kita ketahui telah acap kali kita terima berita bahawa kemalangan yang membabitkan bas express adalah disebabkan memandu melebihi kelajuan yang telah ditetapkan.
Justeru itu jika AES tidak mampu membezakan kenderaan bas express yang sepatutnya dipandu dibawah 90km/jam, maka tujuan asal untuk memantau kenderaan di atas higway sudah tidak merangkumi secara keseluruhan dan objektif yang sepatutnya.
Saya harap pihak saudara dapat menyiasat perkara ini. Malahan pada pandangan saya kenderaan membawa lebih muatan terutama lori bermaharajalela di jalanray tidak mempunyai kaedah pemantauan yang sempurna dan secanggih AES, yang sewajarnya ditumpukan juga.