Rang Undang-Undang Persendirian (Kuasa Mahkamah Shariah): Bubar Parti-Parti Komponen BN Jika Gagal Dapatkan Pendirian Perdana Menteri & Timbalan Perdana Menteri

22 MAC 2015

Sandiwara yang dimainkan Umno untuk memerangkap PAS mengenai isu hudud semakin menjadi-jadi walaupun Enakmen Kanun Jenayah Shariah Kelantan diluluskan pada 19 Mac 2015 yang lalu.

Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak minggu lalu, laporan mengenai keputusan mesyuarat itu berbeza-beza mengikut sumbernya. Presiden MCA, Dato’ Seri Liow Tiong Lai dilaporkan menyatakan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak menentang rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah shariah) yang bakal dibawa oleh Presiden PAS tidak lama lagi. Malah, Dato’ Seri Liow Tiong Lai juga berkata Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu secepat mungkin.

Sehingga kini, tidak ada satu pun kenyataan yang dikeluarkan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai pendirian beliau dan Umno apabila rang undang-undang persendirian itu dibentangkan. Malah, tidak ada pengesahan pun bahawa rang undang-undang persendirian itu boleh dibentangkan dalam sidang kali ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri yang bertanggungjawab menyusun rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen menyatakan semalam bahawa besar kemungkinan rang undang-undang persendirian yang mahu dibawa presiden PAS itu tidak sempat untuk dibentangkan kerana agenda parlimen kali ini telah sarat dengan rang undang-undang yang dibawa kerajaan.

Sandiwara ini berterusan lagi di media yang rapat dengan Umno dan Barisan Nasional. Akhbar Sinar Harian memuatkan di muka depan bagaimana Umno menyokong penuh pelaksanaan hudud dengan tajuk “BN Sokong Hudud”. Pada hari yang sama, saya dimaklumkan akhbar Sinchew Daily memuatkan laporan di muka hadapan bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak menolak pelaksanaan hudud. Pendirian Umno berubah-ubah mengikut pengundi sasaran mereka.

Ini adalah rentetan sandiwara demi sandiwara Umno untuk memecahkan Pakatan Rakyat dengan menggunakan isu hudud.

Rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah shariah) yang ingin dibawa Presiden PAS itu hanya boleh dibentangkan dengan persetujuan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Malah, dengan semua parti selain Umno di Parlimen telah menyatakan pendirian masing-masing mengenai rang undang-undang persendirian tersebut, jika ia dibenarkan dibawa rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah shariah) itu hanya akan lulus jika semua 88 ahli Parlimen Umno mengundi untuk menyokongnya.

Sebab itu saya cabar presiden-presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (MCA, MIC, Gerakan, PBB, PBS, UPKO, SUPP, PRS, SPDP, PPP dan LDP) yang telah menyatakan bangkangan kepada rang undang-undang persendirian itu untuk mendapatkan pendirian Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bentuk bertulis secepat mungkin.

Jika kesemua presiden-presiden parti-parti komponen Barisan Nasional ini gagal mendapatkan pendirian Dato’ Seri Najib Tun Razak dan pendirian Umno menjelang hari Selasa ini, lebih bermaruah jika mereka membubarkan sahaja parti masing-masing kerana jelas telah dibuli dan diperlekehkan oleh Umno dalam permainan sandiwara mengenai hudud.

Jelas parti-parti mereka tidak bernilai jika dibandingkan dengan kerjasama di antara Umno dan PAS dalam perkara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Apa Pendirian Dato’ Seri Najib Mengenai Rang Undang-Undang Persendirian Mengenai Hudud Di Parlimen

20 MAC 2015

Parti-parti komponen Barisan Nasional yang berasaskan perkauman seperti MCA dan Gerakan dengan segera mengambil kesempatan berhubung Enakmen Kanun Jenayah Shariah Kelantan (EKJSK) untuk menghakis sokongan rakyat bukan beragama Islam terhadap Pakatan Rakyat. Hari ini, pimpinan MCA dan Gerakan cuba mengalihkan perhatian dari persoalan paling utama jika Rang Undang-Undang Persendirian (“Private Members Bill”) mengenai kuasa mahkamah syariah di bawa ke Parlimen: apakah pendirian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen Umno di Parlimen kelak?

Setakat ini, hanya Umno Kelantan yang menyuarakan sokongan terhadap EKJSK dan ahli-ahli Parlimen Umno dari Kelantan. Pada masa yang sama, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional yang senior juga mengelirukan dan bertentangan di antara satu sama lain.

Contohnya, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) iaitu Tan Sri Shahrir Samad minggu ini menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen Umno belum mendapat arahan dari kepimpinan Umno mengenai pendirian mereka sekiranya Rang Undang-undang Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah dibawa ke Parlimen. Beliau menyimpulkan bahawa keputusan untuk menyokong atau tidak akan diserahkan kepada keputusan peribadi setiap ahli Parlimen Umno.

Kenyataan itu disanggah pula oleh Ahli Parlimen Pulai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negara iaitu Datuk NurJazlan Mohamad. Minggu ini beliau mengeluarkan kenyataan menentang pelaksanaan hukum hudud dan menyebut beliau tidak akan menyokong Rang Undang-undang Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah jika dibawa ke Parlimen.

Pendirian anggota-anggota Parlimen dari parti komponen Barisan Nasional yang terbesar iaitu Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) mengenai perkara ini juga jelas. Presidennya iaitu Tan Sri Adenan Satem telah menyatakan secara terbuka bahawa parti itu akan menolak hudud baik di peringkat negeri Sarawak atau persekutuan. Tambahan lagi, PBB yang akan berhadapan dengan Pilihanraya Negeri Sarawak telah menjelaskan ia mempunyai pandangan yang berbeza mengenai pelaksanaan hukum Islam.

Hakikatnya, tidak ada seorang pimpinan tertinggi Umno atau Barisan Nasional pun yang telah membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai pendirian mereka berkenaan Rang Undang-undang Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah jika di bawa ke Parlimen.

Sebab itu, saya menyeru supaya kepimpinan PAS dan rakyat keseluruhannya berhati-hati dan waspada dengan muslihat Umno dan Barisan Nasional yang menggunakan ketaatan orang Islam terhadap hukum Allah sebagai muslihat politik.

Saya mengajak supaya rakyat keseluruhannya bersama-sama mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan secara terbuka dan bertulis bahawa mereka menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan dan mereka akan mengundi menyokong Rang Undang-undang Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah jika dibawa ke Parlimen.

Kedua-dua pimpinan Umno ini juga perlu mengeluarkan arahan segera secara bertulis bahawa setiap ahli Parlimen dari Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain seperti PBB yang beragama Islam wajib mengundi menyokong Rang Undang-undang Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah jika dibawa ke Parlimen.

Saya menasihati pimpinan PAS supaya mendapat jaminan bertulis mengenai sokongan dari Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain seperti PBB terhadap cadangan Rang Undang-undang Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk membawanya.

Ini adalah penting untuk memastikan tiada muslihat dan tipu daya dari Umno dan Barisan Nasional yang pernah memangsakan PAS dengan menendang parti itu keluar dari Barisan Nasional dalam tahun 1977. Setakat ini, tiada satu kenyataan pun dari Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menyatakan sokongan dan arahan kepada ahli-ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional untuk menyokong cadangan Rang Undang-undang Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah.

Saya khuatir Dato’ Seri Najib Tun Razak hingga ke akhirnya tidak akan membuat kenyataan. Malah saya juga waspada bahawa Umno dan Barisan Nasional tidak akan mengeluarkan sebarang arahan agar setiap ahli Parlimen beragama Islam menyokong Rang Undang-undang Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah jika dibawa ke Parlimen.

Akhirnya, Umno dan Barisan Nasional akan terus menggunakan isu hudud ini untuk memecahkan Pakatan Rakyat dan memastikan mereka kekal berkuasa dalam Plihanraya Umum ke-14. Jika itu berlaku, pelaksanaan hudud tidak pun akan terlaksana dan rakyat akan terus dimangsakan akibat salah tadbir, penyelewengan dan budaya rasuah yang dibawa Umno dan Barisan Nasional.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Diluluskan Di Dewan Undangan Negeri Kelantan

19 MAC 2015

KEADILAN mengikuti dengan dekat perkembangan sehingga lulusnya pindaan-pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini. Sejak cadangan pindaan ini timbul lebih setahun lalu, KEADILAN telah duduk berbincang dengan pimpinan PAS dan Kerajaan Kelantan serta pimpinan DAP untuk mencari jalan terbaik kepada isu ini.

Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat pada 17 Mac 2015 dan membincangkan dengan khusus pindaan-pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

Muafakat Pakatan Rakyat

KEADILAN terikat dan menghormati keputusan bersama mengenai pelaksanaan hudud yang dicapai di dalam Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 seperti berikut:

1. Pelaksanaan hudud bukanlah agenda bersama Pakatan Rakyat

2. Walau bagaimana pun, parti-parti Pakatan Rakyat menghormati bahawa pelaksanaan hudud telah menjadi dasar perjuangan PAS dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 dibentangkan sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak munasabah bagi PAS menggugurkan pelaksanaan hudud daripada agendanya

3. Sebarang dasar atau pelaksanaan dasar yang melibatkan Pakatan Rakyat perlulah mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti

Keputusan bersama ini sering dirujuk sebagai “agree to disagree” mengambil kira Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 telah wujud sebelum Pakatan Rakyat.

Oleh sebab itu, apabila wakil Kerajaan Kelantan Datuk Nik Amar memaklumkan kepada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 bahawa rang undang-undang yang bakal dibentangkan hanyalah pindaan empat (4) perkara ke atas enakmen yang telah diluluskan dalam tahun 1993, KEADILAN mengambil sikap menghormati bahawa pindaan itu bukanlah undang-undang baru dan tidak mengubah status sedia ada. Oleh yang demikian, pindaan seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Nik Amar itu masih berada di dalam kerangka persetujuan bersama dan muafakat Pakatan Rakyat mengenai hudud yang dicapai dalam tahun 2011.

Walau bagaimana pun, KEADILAN tidak diberikan draf pindaan sehinggalah minggu lepas iaitu pada 12 Mac 2015 (seminggu sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri). Draf yang dibentangkan itu bukanlah pindaan empat (4) perkara seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Nik Amar tetapi merupakan pembentangan keseluruhan enakmen setebal 34 muka surat. Walaupun kandungannya tidak banyak berbeza dari enakmen asal tahun 1993, ia tidak lagi mematuhi muafakat bersama yang dipersetujui oleh Pakatan Rakyat dalam 2011 mengenai pelaksanaan hudud.

Oleh yang demikian, KEADILAN melahirkan rasa kesal kerana persetujuan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat bertarikh 8 Februari 2015 tidak dihormati dan sekaligus bertentangan dengan muafakat bersama yang dicapai dalam tahun 2011 mengenai perkara ini.

Sedang KEADILAN menghormati hak dan pendirian Kerajaan Kelantan untuk membentangkan enakmen ini, adalah lebih afdal jika Kerajaan Kelantan juga menghormati persetujuan yang dibuatnya sebelum ini di peringkat Pakatan Rakyat.

Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah

KEADILAN berpendirian bahawa setiap yang beragama Islam wajib menerima hukum hudud kerana Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW telah menetapkan hukuman-hukuman bagi enam salah laku iaitu sariqah (mencuri), hirabah (rompakan bersenjata), zina (persetubuhan di luar perkahwinan), qazaf (tuduhan palsu mengenai kemuliaan seseorang), syurb (meminum arak) dan riddah (murtad).

Pada masa yang sama, KEADILAN juga percaya bahawa rakyat Malaysia boleh membezakan di antara penerimaan ketetapan hudud terhadap enam kesalahan tersebut dengan kaedah melaksanakan ketetapan hudud itu di dalam sesebuah masyarakat. Sementara setiap yang beragama Islam wajib menerima ketetapan hukuman hudud, kaedah mengkanunkan dan melaksanakan hukuman hudud itu dalam konteks sistem undang-undang dan suasana sesebuah masyarakat boleh dibincangkan.

Malah, peraturan dan kaedah dalam melaksanakan hukuman hudud seperti yang biasa diutarakan sekarang adalah hasil dari perbincangan ulama dan ilmuwan selama beribu tahun yang kini membentuk pengetahuan kita mengenai kaedah mengkanunkan hukuman hudud. Oleh sebab itu, KEADILAN berharap perbezaan pendapat mengenai kaedah mengkanunkan dan melaksanakan hudud tidak disalahertikan seolah-olah menolak ketetapan hukuman hudud.

KEADILAN mengambil pendirian bahawa syariat Islam merangkumi kesemua ruang hidup dan bermasyarakat. Selain dari hukuman hudud ke atas enam kesalahan di atas, syariat Islam turut meliputi persoalan perkerajaanan, diplomatik, tatacara ekonomi, hubungan dengan bukan Islam dan perkara muamalah lain-lain. Makanya, kanun hudud seperti yang diterjemahkan ke dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada hari ini adalah sebahagian dari syariat besar Islam.

Oleh sebab itulah, KEADILAN berbeza pandangan mengenai keutamaan yang perlu didahulukan dalam melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh ini. KEADILAN percaya bahawa memutuskan keutamaan masyarakat adalah sebahagian dari pertimbangan fiqh al-awlawiyyat (keutamaan amalan/dasar) yang boleh dibincangkan di dalam sesebuah masyarakat. Dalam perkembangan mutakhir, KEADILAN meletakkan keutamaan kepada memperbetulkan ketidakadilan di dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat sebagai keutamaan yang lebih tinggi dari melaksanakan undang-undang hudud ke atas enam kesalahan tadi mengikut kaedah fiqh al-awlawiyyat.

Ini bukanlah bermakna KEADILAN menolak ketetapan Allah SWT di dalam enam kesalahan mengikut hudud seperti yang sering dipolitikkan. Sebaliknya, KEADILAN percaya perjuangan memperbetulkan ketidakadilan dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat lebih utama dalam menyelesaikan maslahat ummah sekarang terutamanya dengan berlatar belakangkan masalah kebajikan rakyat selepas musibah banjir, tekanan hidup terhadap rakyat akibat rasuah dan salahguna kuasa pemerintah terhadap rakyat.

Pendirian sebegini juga dipegang oleh gerakan-gerakan Islam ternama di dunia termasuk Parti Kemajuan dan Keadilan (AKP) di Turki yang dipimpin Presiden Tayyeb Erdogan dan Parti An-Nahdah di Tunisia yang dipimpin pemikir Islam ternama Sheikh Rashid al-Ghannouchi. Malah, pendirian bahawa pelaksanaan hudud bukanlah keutamaan utama dalam masyarakat juga merupakan pendirian yang diambil oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

KEADILAN percaya bahawa penekanan perlu diberikan untuk meninggikan kefahaman rakyat kepada matlamat undang-undang Islam dilaksanakan seperti yang dituntut di dalam maqasid syariah. KEADILAN akan terus berpegang dan berpandukan kepada maqasid syariah dalam membuat pendirian mengenai dasar-dasar yang melibatkan rakyat.

Oleh yang demikian, mengambil kira pertimbangan-pertimbangan ini, KEADILAN mengambil pendirian yang berbeza mengenai keutamaan melaksanakan hukuman hudud seperti yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini. Oleh itu, KEADILAN telah mengarahkan calon tunggal KEADILAN di Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk tidak menyertai perbahasan dan pengundian bersabit Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan pada hari ini.

Muslihat Umno

KEADILAN menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, kesejahteraan dan kemuliaan insan supaya tidak mudah tertipu dengan muslihat Umno yang mempolitikkan pelaksanaan hukum hudud untuk memecah belahkan perpaduan rakyat menentang Umno.

Perbezaan pendapat mengenai fiqh al-awlawiyyat melaksanakan hukuman hudud ini akan diputar belitkan seolah-olah mereka yang meletakkan keutamaan tuntutan syariat Islam manakala yang lain menolak hukum Allah SWT.

Jika benar Umno benar-benar ikhlas dan bersedia untuk melaksanakan hukuman hudud, sudah tentu Kerajaan Negeri Terengganulah yang memulakan langkah dan disambut oleh Kerajaan Persekutuan di peringkat Parlimen. Keengganan Umno selama ini adalah bukti bahawa Umno hanya berminat mempolitikkan hudud di saat nyawanya di hujung tanduk.

KEADILAN menyeru seluruh rakyat Malaysia kembali fokus kepada usaha menukar kerajaan persekutuan agar kepentingan rakyat dalam semua aspek dapat diperjuangkan.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YAB Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

YB Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN

YB Shamsul Iskandar Md Akin
Naib Presiden KEADILAN

YB Rafizi Ramli
Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden KEADILAN

PM Perlu Sahkan Sama Ada Datin Seri Rosmah Singgah Di Indianapolis Untuk Tinjau Naiktaraf Jet Baru?

Ketika bencana banjir memuncak sekitar akhir tahun 2014, Dato’ Seri Najib Tun Razak terpaksa bergegas pulang dari percutian beliau dan keluarga di Hawaii. Perjalanan pulang beliau diikuti dengan rapat oleh rakyat dan beliau dilaporkan mendarat di Kota Bharu pada petang 27 Disember 2014.

Pada sekitar masa yang sama, jet peribadi yang digunakan beliau dan keluarga yang berpendaftaran 9M-NAA dilaporkan mendarat di Indianapolis sekitar jam 652 petang waktu Malaysia pada 26 Disember 2014. Mengikut semakan perjalanan 9M-NAA di laman www.flightradar24.com jet peribadi 9M-NAA itu kekal berada di Indianapolis selama enam hari sebelum berlepas ke Los Angeles, New York, London, Dubai dan destinasi terakhir di Bangkok.

Sehingga sekarang, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak enggan memaklumkan siapakah sebenarnya yang berada di atas pesawat 9M-NAA itu sedangkan Perdana Menteri berada di Malaysia menguruskan bencana banjir. Persoalan lebih besar yang menjadi misteri: apakah istimewanya Indianapolis sehingga pesawat 9M-NAA itu singgah selama 6 hari di situ?

Sepanjang siasatan yang dilakukan oleh NOW (National Oversight & Whistleblowers) mengenai pembelian jet peribadi baru oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, fakta-fakta berikut telah disahkan:

1. Jet peribadi baru yang dibeli iaitu ACJ320 9H-AWK sebelum ini dimiliki oleh Comlux Aviation Group. Semakan di laman Comlux iaitu www.comluxaviation.com menunjukkan bahawa pengkalan untuk rekabentuk, ubahsuai dan naiktaraf kabin jet peribadi terletak di Indianapolis, Amerika Syarikat (lihat paparan dari laman Comlux yang disertakan bersama)

comluxindianapolis

2. Perjanjian sewabeli jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK ditandatangani pada 1 Disember 2014

3. Dalam bulan Oktober 2013, Comlux telah mengumumkan bahawa ia telah selesai menaiktaraf jet peribadi kegunaan Ketua Negara Malaysia setelah kerja-kerja naiktaraf bermula dalam bulan Jun 2013

4. Perjanjian pembelian jet ACJ320 9H-AWK menunjukkan ia melibatkan kerja-kerja naiktaraf kabin

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, adalah tidak munasabah bahawa jet peribadi sedia ada ACJ319 9M-NAA singgah di Comlux, Indianapolis untuk kerja-kerja naiktaraf kabin kerana pesawat itu baru sahaja dinaiktaraf setahun sebelum itu.

Kita juga tahu bahawa pada 26 Disember 2014 semasa pesawat ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis selama 6 hari secara misteri, Kerajaan Malaysia telah pun membeli jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK.

Makanya, persoalan yang berlegar ialah ada kemungkinan besar penumpang yang menaiki ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis untuk meninjau sendiri kerja-kerja naiktaraf jet peribadi baru yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia.

Oleh kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah pulang ke Malaysia pada ketika itu, soalan seterusnya yang berlegar ialah siapakah sebenarnya VVIP yang singgah di pengkalan Comlux yang sedang menaiktaraf jet peribadi baru yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia?

Spekulasi yang berlegar ialah kemungkinan besar isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah VVIP yang menggunakan ACJ319 9M-NAA untuk singgah di Indianapolis dan meninjau sendiri kerja-kerja menaiktaraf jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK yang baru dibeli Kerajaan Malaysia.

Keengganan Dato’ Seri Najib mengesahkan siapa VVIP yang menggunakan pesawat ACJ319 9M-NAA dan apakah tujuan pesawat itu singgah di Indianapolis selama 6 hari hanya akan menguatkan spekulasi ini, maka perkara yang terbaik ialah Dato’ Seri Najib perlu mendedahkan:

1. Siapa penumpang di atas ACJ319 9M-NAA ketika ia singgah di Indianapolis?

2. Apakah tujuan sebenar rombongan yang menggunakan jet rasmi kerajaan itu singgah selama 6 hari di Indianapolis?

Tanpa jawapan yang telus, perkara-perkara begini akan terus menimbulkan kemarahan rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Isu Jet Baru: Jangan Gunakan Nama Baik YDP Agong Dan Perincikan Penggunaan Semua Jet

17 MAC 2015

Saya kesal kerana maklumbalas pertama dari Jabatan Perdana Menteri berhubung kontroversi pembelian jet peribadi (“private jet”) baru adalah dengan mengheret nama baik DYMM Yang DiPertuan Agong, kononnya pembelian ini perlu untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong.

Tindakan ini tidak bertanggungjawab kerana rakyat dapat membezakan berapa kali Yang DiPertuan Agong terlibat di dalam lawatan-lawatan rasmi ke luar negara berbanding dengan Perdana Menteri sendiri. Bagi tempoh 2008 hingga 2013 seperti jawapan Parlimen kepada soalan YB Nga Kor Ming, kerajaan terpaksa membayar kos RM44 juta bagi semua lawatan ke luar negara melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Itu kos operasi sahaja tidak termasuk kos pembelian dan sewa beli jet-jet peribadi kerajaan.

Oleh itu, jika benar jet peribadi baru ini diperlukan untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong seperti yang didakwa Jabatan Perdana Menteri, saya mencabar Dato’ Seri Najib Tun Razak memperincikan setiap perjalanan jet-jet peribadi milik kerajaan dan siapakah yang menggunakan jet-jet peribadi ini termasuklah Boeing Business Jet (BBJ) dan Airbus Commercial Jetliner (ACJ319) yang sedia ada? Berapa kali sebulan jet-jet ini digunakan hingga jumlah jet yang sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah lagi?

Alasan Jabatan Perdana Menteri bahawa pembelian ini perlu untuk menggantikan jet BBJ (Boeing Business Jet) yang telah lama juga tidak boleh diterimapakai. Tempoh boleh guna sebuah jet Boeing komersil adalah di antara 20 hingga 25 tahun bila disenggara mengikut jadual seperti amalan industri penerbangan. Jet BBJ yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia hanya berusia 16 tahun dan tidak pun digunakan sekerap jet komersil kerana hanya digunakan sekali-sekala untuk keperluan rasmi kerajaan.

Oleh yang demikian, alasan yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diterima rakyat kerana masih belum menjawab di mana kewajaran membeli satu lagi jet peribadi untuk kegunaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri beliau.

Saya menasihati Perdana Menteri berterus terang sahaja dan tidak menggunakan pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mengelak dari menjawab isu ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN