Kontrak Sewa Beli Jet Peribadi Baru Perdana Menteri Berjumlah RM465,411,952.58

17 MAC 2015

Saya telah mendedahkan semalam bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membeli sebuah lagi jet peribadi (“private jet”) kerajaan jenis ACJ320. Perkara ini telah disahkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.

Isu utama yang dipersoalkan ialah kewajaran membeli sebuah lagi jet peribadi di kala kerajaan sudah pun mempunyai 6 jet peribadi termasuklah pesawat ACJ319 sedia ada. Tambahan pula kedudukan kewangan negara yang dibebani dengan hutang sehingga subsidi minyak pun terpaksa dihapuskan menimbulkan kemarahan rakyat apabila dana rakyat seolah-olah digunakan untuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri bersenang-lenang.

Oleh sebab itu, rakyat perlu tahu berapakah dana rakyat yang telah dan akan digunakan untuk membiayai pembelian jet peribadi baru ini. Bersama-sama ini saya sertakan satu mukasurat perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang memperincikan kos pembelian jet peribadi baru ACJ320 ini.

Perlu diingatkan bahawa kos yang diperincikan di sini hanyalah kos membeli (melalui kaedah sewa beli) dan tidak termasuk kos operasi, kos penyenggaraan dan lain-lain yang dipersetujui melalui satu lagi perjanjian.

page2-contractvalue

Butir-butir utama pembelian jet peribadi baru ACJ320 untuk kegunaan Perdana Menteri, keluarga dan Jemaah Menteri adalah seperti berikut:

1. Kerajaan Malaysia akan membayar pembelian ini dengan pembayaran deposit USD20 juta (telah dibayar) dan bakinya dibayar melalui ansuran bulanan selama 15 tahun

2. Bayaran deposit USD20 juta yang telah dibayar adalah bersamaan RM65.22 juta mengikut kadar tukaran matawang yang ditetapkan semasa perjanjian iaitu USD1 bersamaan RM3.261

3. Kerajaan Malaysia akan membayar ansuran sebanyak USD679,984 sebulan bersamaan RM2.217 juta sebulan selama 15 tahun untuk melangsaikan baki hutang

4. Jumlah kos sewa beli keseluruhan untuk membeli jet peribadi baru ini adalah RM465,411,952.58 termasuk yuran perkhidmatan (“entry into services”)

5. Sebarang risiko kadar matawang yang menyusut ditanggung oleh Kerajaan Malaysia sepanjang tempoh 15 tahun itu. Dalam keadaan nilai matawang Ringgit Malaysia turun seperti sekarang, Kerajaan Malaysia akan membayar lebih untuk menanggung kerugian akibat nilai matawang Ringgit Malaysia yang jatuh

Berdasarkan terma-terma ini, sudah tentu harga akhir yang akan ditanggung oleh rakyat adalah lebih tinggi dari RM465,411,952.58. Saya yakin tidak ada rakyat Malaysia yang bersetuju membelanjakan hamper setengah billion Ringgit Malaysia dana rakyat sedangkan masih ada mangsa banjir di Kelantan yang tinggal di dalam khemah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pentadbiran Dato’ Seri Najib Beli “Private Jet” Baru

16 MAC 2015

Dalam suasana rakyat tertekan akibat kenaikan harga barang dan Barisan Nasional terus memotong subsidi dan perbelanjaan pro-rakyat yang lain, saya terkejut dengan sikap tiada kepedulian pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dengan sewenang-wenangnya membeli sebuah jet peribadi (“private jet”) baru.

Menurut jawapan Parlimen yang diberikan Jabatan Perdana Menteri pada sidang November 2013, Kerajaan Malaysia sudah mempunyai sekurang-kurangnya 6 jet peribadi termasuklah sebuah Boeing Business Jet.

Saya sertakan bersama satu surat perjanjian yang mengesahkan pembelian jet baru ini yang bertarikh 1 Disember 2014. Perolehan jet peribadi baru untuk Perdana Menteri ini dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang turut mengendalikan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319.

page1

Penggunaan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319 melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyenggaraan.

Pembelian sebuah lagi jet peribadi baru yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK dan telah siap dicat dengan logo 1Malaysia (seperti di dalam gambar yang disertakan) membuktikan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak terus menerus bergelumang di dalam keborosan dan pembaziran, pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1MDB.

newjet2

Tindakan membeli sebuah lagi jet peribadi baru ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST dalam tempoh 2 minggu dari sekarang. Rakyat terpaksa menanggung cukai baru yang sebahagiannya akan digunakan untuk membayar jet peribadi baru Perdana Menteri ini.

Saya mendesak supaya pembelian jet ini dibatalkan serta merta dan Dato’ Seri Najib Tun Razak meminta maaf dengan rakyat kerana tindakan membeli jet peribadi baru ini membelakangkan kepentingan rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Perdana Menteri Perlu Perjelas Desas-Desus Suntikan Dana Baru Ke Dalam 1MDB

11 MAC 2015

Sejak isu masalah kewangan 1MDB dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, desas-desus mengenai suntikan dana baru ke dalam 1MDB terus menjadi spekulasi. Ini diperkuatkan lagi selepas pertemuan Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan ketua-ketua bahagian Umno pada 8 Mac 2015 baru-baru bila mana presiden Umno itu dilaporkan memberi penerangan lanjut mengenai 1MDB.

Saya diberikan maklumat oleh seorang Ketua Bahagian Umno yang hadir di dalam pertemuan pada 8 Mac 2015 itu bahawa penerangan mengenai 1MDB itu dilaporkan berkisar sekitar masalah aliran tunai 1MDB. Maklumat itu turut mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyuntik RM900 juta dana baru ke dalam 1MDB untuk membantu masalah aliran tunai 1MDB. Daripada jumlah RM900 juta dana baru itu, pemberi maklumat itu mendakwa RM300 juta telah pun disalurkan kepada 1MDB.

Dakwaan ini adalah satu dakwaan yang berat dan melibatkan kepentingan awam kerana kedudukan kewangan 1MDB adalah berisiko besar. Adalah dibimbangi sebarang suntikan dana baru oleh Kerajaan Persekutuan berkemungkinan tidak boleh dibayar kembali oleh 1MDB.

Ada juga spekulasi bahawa satu jumlah yang besar telah pun dipindahkan kepada 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri tetapi jumlah suntikan itu (ada yang merujuk sebanyak RM3 bilion) tidak diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Maklumat dari taklimat Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada Ketua-ketua Bahagian Umno dan spekulasi yang timbul mengenai kemungkinan suntikan dana baru kepada 1MDB yang tidak diumumkan kepada rakyat ini perlu diberi perhatian segera.

Selama ini pun, segala urusan 1MDB dijalankan tanpa ada pertanggungjawaban kepada rakyat atau Parlimen hinggalah jumlah hutangnya mencecah RM42 bilion setakat tahun kewangan 2014. Untuk mengelakkan keadaan ini berlanjutan, sebarang dakwaan dan spekulasi mengenai suntikan dana baru ke dalam 1MDB perlulah diberi perhatian segera.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak mendedahkan minit mesyuarat Jemaah Menteri mengenai 1MDB dan suntikan dana ke dalam 1MDB. Beliau juga perlu memberi penjelasan mengenai maklumat dari taklimat Ketua-ketua Bahagian Umno bahawa suntikan baru RM900 juta telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Akuan Berkanun Pengisytiharan Harta

10 MAC 2015

Bersama-sama ini saya sertakan Akuan Berkanun (statutory declaration) yang saya sempurnakan pada hari ini dengan perincian harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan saya sebagai Ahli Parlimen. Saya juga memberikan latar belakang pendapatan dan kedudukan harta saya sebelum saya menjadi ahli politik dan wakil rakyat.

Download (PDF, 596KB)

Perincian ini disertakan juga dengan bukti dokumen dari penyata-penyata bank, simpanan dan lain-lain. Bukti mengenai nilaian harta dan kenderaan boleh didapati sendiri di laman internet.

Saya mengambil langkah ini untuk menyahut cabaran pemimpin Umno sebelum ini supaya pimpinan Pakatan Rakyat mengisytiharkan harta. Saya percaya jika saya yang tidak mempunyai apa-apa jawatan kerajaan dan tidak mempunyai kuasa boleh mengisytiharkan harta, maka menjadi tanggungjawab moral dan amanah bagi setiap Menteri di dalam Jemaah Menteri hinggalah ke Perdana Menteri untuk turut mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan.

Saya menasihatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan kaedah ini untuk membersihkan namanya yang dikaitkan dengan kemewahan yang tidak berpadanan dengan gaji. Jika benar beliau mewarisi harta yang banyak dari Allahyarham Tun Abdul Razak Dato’ Hussein seperti kenyataan Pejabat Perdana Menteri, maka beliau perlu memperincikan setiap harta warisan itu seperti mana saya memperincikan harta saya.

Saya yakin langkah mengisytiharkan harta sebegini disokong sepenuhnya oleh rakyat.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Saya Akan Mengisytiharkan Harta, Pendapatan Dan Perbelanjaan Secara Terperinci

5 Mac 2015

Saya meyambut baik seruan oleh Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee supaya saya dan pimpinan Pakatan Rakyat membuat pengisytiharan harta sebelum mengkritik kekayaan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan pimpinan Barisan Nasional yang lain.

Secara peribadi, saya sentiasa percaya bahawa ahli-ahli politik perlu hidup secara sederhana agar mereka dapat merasai susah payah rakyat. Hanya dengan cara itu ahli-ahli politik dapat menjadi suara rakyat yang berkesan dan tidak terpisah (“out of touch”) dengan permasalahan rakyat.

Oleh yang demikian, saya akan membuat satu akuan bersumpah yang akan menyenaraikan perkara-perkara berikut:

1. Kedudukan harta dan hutang terkini saya
2. Latar belakang pendapatan dan kerjaya saya sebelum menjadi ahli politik
3. Pendapatan bulanan saya sebagai ahli politik
4. Perbelanjaan bulanan saya sebagai ahli politik

Akuan bersumpah yang mempunyai maklumat ini akan saya edarkan di ruang lobi Parlimen pada 10 Mac 2015 untuk memberi masa kepada saya mengumpulkan semua maklumat ini beserta dokumen bukti.

Setelah saya membuat pengisytiharan tersebut, saya sangatlah berharap agar Datuk Seri Syed Ali Alhabshee tidak lagi memberi alasan dan memimpin kempen dalaman Umno supaya semua pimpinan Umno bertaraf menteri ke atas membuat pengisytiharan yang sama. Jika saya yang hanya seorang Ahli Parlimen biasa boleh membuat pengisytiharan harta yang terbuka sebegitu, anggota-anggota Jemaah Menteri yang mempunyai kuasa dan boleh menggunakan kedudukan untuk mengumpul harta perlulah membuat pengisytiharan harta juga.

Saya percaya budaya mengisytiharkan harta perlu disemarakkan dan menjemput lebih ramai ahli Parlimen dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mengambil langkah yang sama.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: