Menteri Kewangan Enggan Menyatakan Bayaran Pinjaman Dan Faedah 1MDB

27 MEI 2015

Saya mendapat jawapan kepada soalan saya mengenai perincian jumlah pembayaran faedah dan bayaran pokok bagi setiap hutang/bon 1MDB dalam tempoh bermula Januari 2015 minggu lalu, seperti yang disertakan bersama.

Keengganan Menteri Kewangan menyatakan secara terperinci jumlah bayaran pokok dan faedah bagi setiap hutang/bon 1MDB seperti yang saya ajukan adalah membimbangkan. Sebelum ini, setiap kali ada pembayaran hutang pokok atau faedah yang perlu dilangsaikan oleh 1MDB, ada urusniaga-urusniaga yang melibatkan dana rakyat yang mengundang kontroversi dan kemarahan rakyat. Sebab itu saya mengajukan soalan ini supaya rakyat boleh memantau setiap kali 1MDB perlu membayar hutang pokok atau faedah agar dana rakyat tidak digunakan bagi tujuan itu.

Pembayaran hutang 1MDB berjumlah RM2 bilion dalam bulan Februari 2015 kepada RHB dan Maybank dilaporkan diaturkan oleh hartawan Ananda Krishnan. Sehingga kini, kita tidak tahu apakah terma dan bayaran balas kepada Ananda Krishnan hasil dari pertolongan itu.

Apabila Jemaah Menteri meluluskan peruntukan sebanyak RM950 juta (“standby credit”) dalam bulan Mac 2015, kelulusan itu dibuat pada waktu yang hamper sama dengan pembayaran faedah 1MDB yang dilaporkan pada jumlah yang sama. Begitu juga penjualan tanah oleh 1MDB kepada Tabung Haji baru-baru ini dibuat dalam tempoh yang sama dengan pembayaran faedah oleh 1MDB pada jumlah yang sama.

Maka, adalah munasabah rakyat dimaklumkan apakah senarai hutang pokok dan faedah yang perlu dibayar oleh 1MDB bermula dari Januari 2015 supaya spekulasi bahawa dana-dana awam disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang diperjelaskan.

Alasan Menteri Kewangan bahawa penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2015 belum diselesaikan tidak boleh diterima dan tidak masuk akal.

Pada setiap tahun kewangan, audit yang dilakukan akan mengesahkan jumlah bayaran pokok dan faedah yang perlu dibayar oleh 1MDB dari tahun kewangan itu sehinggalah hutang/bon itu dilangsaikan. Maknanya, audit tahun 2014 telah pun mengesahkan perincian pembayaran hutang pokok dan faedah semua hutang/bon 1MDB bagi tahun kewangan 2014 hinggalah ke tahun-tahun hutang itu dilangsaikan.

Menteri Kewangan boleh sahaja mengarahkan 1MDB merujuk kepada penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun 2014 untuk memberi perincian maklumat ini tanpa menunggu audit bagi tahun 2015.

Saya beranggapan keengganan Menteri Kewangan memberikan perincian ini adalah untuk menutup ruang rakyat menyemak semua urusniaga dan suntikan dana ke dalam 1MDB dalam tempoh terdekat. Ia juga menguatkan keraguan saya bahawa Perdana Menteri masih tidak menolak kemungkinan menggunakan dana awam untuk membayar hutang pokok dan faedah hutang 1MDB dalam tempoh terdekat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Menteri Kewangan Kedua Perlu Sahkan Sama Ada KWAP Sudah Membeli Tanah Di Tun Razak Exchange

20 MEI 2015

Minggu lepas, saya mendapat beberapa helaian maklumat mengenai 1MDB yang didakwa merupakan kertas taklimat yang diberikan oleh Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Husni Hanazlah kepada Jemaah Menteri, seperti di bawah:

cabinet2

cabinet4

cabinet3

Oleh kerana ini adalah maklumat penting mengenai 1MDB dan menepati beberapa pengumuman yang telah dibuat oleh 1MDB setakat ini, ada kemungkinan besar bahawa ini adalah kertas taklimat yang diberikan kepada Jemaah Menteri seperti yang didakwa.

Oleh yang demikian, saya meminta Menteri Kewangan II mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Apakah benar ini kertas taklimat 1MDB kepada Jemaah Menteri?

2. Mengambil kira bahawa kertas taklimat ini telah mengesahkan bahawa satu perjanjian jual beli dan sewa semula (“Head of terms for sale and leaseback”) telah ditandatangani, apakah terma-terma perjanjian itu?

Sebarang kertas perjanjian yang ditandatangani hatta satu surat hasrat (“letter of intention”) pun adalah sah di sisi undang-undang dan mengikat pihak-pihak yang menandatanginya. Jika ini bukan satu perjanjian yang mengikat, kenapa ia ditandatangani? Secara lazimnya, “heads of agreement” ditandatangani sebagai satu perjanjian awal untuk mengikat terma-terma utama sementara pihak-pihak merundingkan terma-terma yang lebih terperinci.

Mengambil kira bahawa pembelian tanah oleh KWAP di Tun Razak Exchange ini melibatkan pembayaran kepada 1MDB dan pulangan kepada KWAP hanya dapat diperolehi jika pembangunan ini disiapkan, ia adalah satu pelaburan yang berisiko tinggi apabila 1MDB menghadapi masalah aliran tunai untuk memulakan projek Tun Razak Exchange ini. Jika pembangunan ini disiapkan pun, belum tentu 1MDB berjaya mendapatkan sewaan penuh bagi bangunan milik 1MDB ini.

Saya menyatakan dengan tegas bahawa KWAP perlu melupuskan semua pegangan dan pelaburan di dalam 1MDB secepat mungkin termasuk membatalkan “head of terms” ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pelaburan KWAP, KWSP Dan Tabung Haji Di Dalam IMDB Berisiko Besar Walau Dijamin Kerajaan

20 MEI 2015

Jawapan Perdana Menteri bagi soalan bertulis saya bertarikh 18 Mei 2015 mengesahkan bahawa pelaburan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) adalah lebih besar dari apa yang pernah dilaporkan sebelum ini. Selain dari pinjaman RM4 bilion yang diberikan kepada bekas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd, Perdana Menteri mengesahkan bahawa KWAP juga mempunyai pelaburan dan pegangan berjumlah RM1.4 bilion di dalam 4 anak syarikat 1MDB termasuklah Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Ini bermakna dari RM1.5 bilion bon yang diterbitkan oleh 1MDB (melalui Bandar Malaysia Sdn Bhd) bagi membiayai penempatan semula operasi ketenteraan di Kem Udara Sungai Besi, RM920.8 juta telah dilanggan oleh Tabung Haji dan besar kemungkinan baki RM579.2 juta telah dilanggan oleh KWAP. Baki pelaburan dan pegangan KWAP yang lain berkemungkinan dalam bentuk bon yang diterbitkan oleh anak-anak syarikat 1MDB yang disenaraikan Perdana Menteri pada hari Isnin.

Jawapan Perdana Menteri itu juga mengesahkan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga terdedah kepada risiko kewangan 1MDB melalui pelaburan dan pegangannya yang berjumlah RM1.72 bilion.

Saya kurang bersetuju dengan pendapat Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan bahawa pegangan bon di dalam 1MDB dan anak-anak syarikat janakuasa 1MDB adalah selamat kerana ia dijamin kerajaan. Beliau juga dipetik dengan berkata bahawa sekiranya 1MDB mengalami masalah pun, apabila aset-aset 1MDB dijual KWSP akan mendapat keutamaan dalam mendapatkan kembali nilai pelaburan RM1.72 bilion itu.

Hakikatnya, masalah kewangan 1MDB telah menjadi satu risiko kewangan yang besar bukan sahaja kepada syarikat itu, malah kepada keseluruhan Perbendaharaan Negara. Oleh kerana banyak hutang-hutang 1MDB dijamin oleh Kerajaan Persekutuan, sebarang kegagalan membayar hutang perlulah ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam keadaan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan juga rapuh, ada kemungkinan besar sekiranya 1MDB gagal, Kerajaan Persekutuan akan berunding dengan agensi-agensi kerajaan seperti KWAP, KWSP, Tabung Haji dan lain-lain untuk melengahkan pembayaran atau menggantikan pembayaran dengan aset bukan tunai untuk membantu aliran tunai Perbendaharaan Negara. Memandangkan KWAP, KWSP dan Tabung Haji adalah agensi Kerajaan, besar kemungkinan agensi-agensi ini terpaksa akur dengan permintaan Kerajaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, bukanlah mudah untuk mengutip hutang dari 1MDB apabila syarikat itu gagal seperti mana yang diwar-warkan oleh beberapa pihak sebelum ini. Tambahan pula, hutang RM42 bilion oleh 1MDB itu berhadapan dengan risiko “cross default” (kegagalan berturut-turut membayar hutang apabila 1MDB gagal membayar satu hutang) yang boleh membawa kesan besar kepada sistem kewangan negara. Apabila ini terjadi, kepentingan Kerajaan Persekutuan ialah memulihkan sistem kewangan negara dan sebarang tuntutan oleh badan-badan kerajaan seperti KWAP, KWSP dan Tabung Haji akan dilengah-lengahkan.

Oleh itu, saya menggesa supaya KWAP, KWSP dan Tabung Haji dengan segera membuat keputusan melupuskan pegangan dan pelaburan di dalam 1MDB terutamanya di dalam bon-bon bagi melindungi kepentingan pencarum. Dengan segala masalah yang dihadapi 1MDB yang telah menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, adalah lebih selamat sekiranya KWAP, KWSP dan Tabung Haji mengambil pendirian “mencegah lebih baik” (“prevention is better than cure”).

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Risiko “Cross Default” Oleh 1MDB Ke Atas Sistem Kewangan Negara Seperti Laporan Akhbar Perniagaan Singapura

13 MEI 2015

Hari ini, akhbar perniagaan Singapura Business Times telah melaporkan kemungkinan konsortium enam bank antarabangsa yang diketuai oleh Deutsche Bank yang meminjamkan sejumlah USD975 juta (bersamaan RM3.6 bilion) kepada 1MDB akan menggunakan haknya seperti di dalam perjanjian untuk mengarahkan 1MDB membayar hutang itu lebih awal dari tempoh matang iaitu September 2015.

Semalam, saya telah menanyakan beberapa soalan mengenai hutang RM3.6 bilion ini termasuklah bagaimana 1MDB akan membayar hutang ini memandangkan kedudukan aliran tunai 1MDB yang tidak baik. Rekod pembayaran hutang 1MDB setakat ini menunjukkan bahawa setiap kali 1MDB perlu membayar hutang sejak awal tahun ini, kerajaan atau agensi pelaburan negara terpaksa menyuntik dana ke dalam 1MDB.

Laporan akhbar Business Times pada hari ini mengesahkan pendedahan saya semalam bahawa hutang RM3.6 bilion ini diambil dengan memberi cagaran simpanan dana USD1.1 bilion yang kononnya disimpan oleh 1MDB di Bank BSI di Singapura. Oleh kerana laporan terkini menyebut bahawa dana USD1.1 bilion ini mungkin tidak wujud, ia telah mewujudkan keadaan panik di kalangan enam bank antarabangsa tersebut yang bimbang 1MDB tidak boleh membayar hutang RM3.6 bilion itu.

Ini menimbulkan masalah besar kerana jika keenam-enam bank itu menuntut bayaran segera dan 1MDB tidak mampu membayarnya, ini bermakna 1MDB telah gagal membayar hutang (“defaulted on loan”).

Adalah menjadi amalan biasa di dalam perjanjian pinjaman atau terbitan hutang bon bagi bank dan peminjam memasukkan satu klausa “cross default” di dalam perjanjian pinjaman. “Cross default” bermakna jika 1MDB gagal membayar faedah atau bayaran pokok di dalam satu pinjaman/hutang, ia juga dikira telah gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi semua hutang-hutangnya yang lain.

Ini bermakna, jika tuntutan bayaran hutang RM3.6 bilion oleh enam bank antarabangsa ini gagal dipenuhi dalam masa terdekat, 1MDB secara undang-undangnya telah gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi kesemua RM42 bilion hutangnya.

Hutang-hutang RM42 bilion ini turut melibatkan sukuk dan bon yang dibeli oleh Lembaga Tabung Haji di samping pinjaman yang diberikan oleh bank-bank tempatan. Jumlah bonnya juga besar dan akan mempunyai kesan besar kepada pasaran bon negara.

Oleh itu, ramalan awal saya bahawa satu hari nanti hutang-hutang 1MDB ini membawa risiko besar kepada kestabilan kewangan negara (“systemic risk to the financial system”) kini mungkin menjadi kenyataan. Ini menafikan jaminan yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional termasuklah Khairy Jamaluddin yang kononnya 1MDB bukanlah satu risiko kepada kestabilan kewangan negara.

Memandangkan kegagalan 1MDB memenuhi tuntutan hutang RM42 bilion ini adalah risiko besar kepada negara jika “cross default” terjadi akibat dari tuntutan hutang RM3.6 bilion oleh bank-bank antarabangsa ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak wajib memberikan kenyataan segera bagaimana 1MDB bercadang membayar hutang RM3.6 bilion yang boleh dituntut bila-bila masa ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Penafian PNB Mengenai Pembelian Sukuk Bandar Malaysia Oleh 1MDB

13 MEI 2015

Saya baru dimaklumkan bahawa PNB telah mengeluarkan kenyataan menafikan ia membeli bon sukuk Bandar Malaysia yang diterbitkan oleh 1MDB, seperti kenyataan saya semalam. Saya mengucapkan terima kasih di atas penjelasan yang dibuat oleh PNB. Sekurang-kurangnya ia meredakan kebimbangan penabung yang bimbang sekiranya dana PNB juga terlibat dengan 1MDB.

Kenyataan saya itu dibuat berdasarkan satu laporan oleh akhbar The Star bertarikh 1 Mac 2014 oleh Risen Jayaseelan yang secara jelas menyebut bahawa PNB telah membeli bon sukuk Bandar Malaysia yang diterbitkan 1MDB.

imdb pnb sukuk

 

Sekiranya tidak pernah ada rundingan atau PNB tidak pernah membeli bon sukuk tersebut, apakah PNB pernah membuat penafian pantas sejurus selepas laporan oleh akhbar The Star itu disiarkan tahun lepas? Jika PNB tidak pernah membuat penafian pantas tahun lalu sekitar tarikh laporan itu disiarkan, kenapa penafian itu baru dibuat sekarang pada kala kesedaran rakyat mengenai masalah 1MDB semakin tinggi?

Mengambil kira segala penafian yang pernah dibuat oleh 1MDB yang akhirnya dibuktikan benar, saya berpendapat adalah lebih baik sekiranya ahli parlimen dan wartawan terus bertanyakan soalan mengenai keterlibatan dana-dana awam dengan 1MDB. Adalah lebih baik sekiranya kebimbangan yang ditimbulkan dibuktikan tidak benar dengan penafian dari dana-dana awam ini kerana sehingga kini tiada ketelusan dalam semua urusniaga melibatkan 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: