Geran Kerajaan Berjumlah RM1.0865 Bilion Kepada 1MDB Bagi Kerja-Kerja Pemindahan Dan Naiktaraf Pengkalan Udara, Kini Skandal Mencecah RM3.4865 Bilion

Sehingga hari ini 1MDB masih belum memberikan penjelasan ke mana perginya dana berbaki dari terbitan sukuk RM2.4 bilion yang kononnya dipinjam untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara.

1MDB juga tidak menafikan kenyataan-kenyataan saya bahawa berdasarkan angka-angka yang dikeluarkan oleh 1MDB, hanya RM800 juta dari keseluruhan kos projek RM2.7 bilion yang telah dibayar oleh 1MDB. Sebab itu baki tanggungan RM1.9 bilion untuk menyiapkan kerja-kerja itu kini mengundang kontroversi apabila ia melibatkan syarikat berkaitan Kerajaan China yang boleh mendedahkan negara kepada risiko keselamatan dan pertahanan.

Saya yakin ada sesuatu yang disembunyikan 1MDB kerana angka-angka yang diketahui umum tidak masuk akal.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan bagi perkara penyaluran geran kepada syarikat dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan di mukasurat 523 (petikan di bawah), 1MDB sebenarnya telah diberikan geran kerajaan berjumlah RM1.0865 bilion bagi tujuan “pembinaan bagunan gantian dan perolehan peralatan susulan pembangunan semula Sungai Besi”.

1MDB Development GRant

Ini bermakna 1MDB telah menggunakan dana awam dalam bentuk geran Kerajaan Persekutuan untuk membiayai kos kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara yang sebenarnya adalah tanggungjawab 1MDB.

Lebih teruk lagi, berdasarkan angka-angka ini, jelas bahawa jumlah dana yang telah diperolehi oleh 1MDB dalam bentuk terbitan sukuk sebanyak RM2.4 bilion dan geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.0865 bilion (menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diambil bagi tujuan ini mencecah RM3.4865 bilion) adalah jauh melebihi kos keseluruhan projek yang diumumkan iaitu RM2.7 bilion.

Malangnya, 1MDB sendiri mengakui bahawa hanya RM800 juta yang telah dibayar setakat ini dan RM1.9 bilion masih berbaki.

Maka, skandal pembiayaan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara yang melibatkan 1MDB kini menjadi lebih rumit dan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri perlu menjelaskan perkara-perkara berikut:

1. Kenapa Kerajaan Persekutuan meluluskan geran kepada 1MDB sebanyak RM1.0865 bilion untuk membiayai sebahagian kerja-kerja tersebut sedangkan itu adalah tanggungjawab kewangan 1MDB mengikut perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan sebagai pertukaran 1MDB mendapat tanah-tanah Pengkalan TUDM Sungai Besi pada harga yang rendah?

2. Jika geran sebanyak RM1.0865 bilion telah dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB tetapi hanya RM800 juta yang diagihkan kepada kontraktor, ke mana baki geran sebanyak RM286.5 juta?

3. Jika keseluruhan bayaran kepada kontraktor sebanyak RM800 juta kini ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan melalui geran ini, ke mana pula keseluruhan dana RM2.4 bilion dari terbitan sukuk yang sepatutnya digunakan bagi menanggung kos projek ini?

Jumlah RM3.4865 bilion yang terbabit di dalam skandal ini telah melebihi jumlah RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau wajar meminta maaf kepada rakyat kerana mengumumkan dengan bongkaknya bahawa masalah kewangan 1MDb diselesaikan tanpa melibatkan dana rakyat, sedangkan Ketua Audit Negara sendiri telah mengesahkan bahawa RM1.0865 bilion dana rakyat telah disalurkan kepada 1MDB bagi menanggung kos yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

1MDB Tidak Menjawab Soalan, Berikan Perincian Bagaimana Sukuk RM2.4 Bilion Dibelanjakan

Kenyataan 1MDB semalam sebagai maklumbalas kepada isu-isu yang saya timbulkan tidak menjawab soalan dan cuba mengelirukan orang ramai.

Saya bertanya soalan berdasarkan fakta-fakta yang jelas seperti berikut:

  1. 1MDB mengakui kos keseluruhan pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara adalah RM2.7 bilion
  1. IMDB mengakui bahawa baki bayaran untuk menyempurnakan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara adalah RM1.9 bilion
  1. Ini bermakna 1MDB mengakui bahawa dari keseluruhan kos RM2.7 bilion, hanya RM800 juta telah dibayar sekarang. Oleh sebab itu, baki yang perlu dilangsaikan adalah RM1.9 bilion
  1. 1MDB mengakui bahawa liabiliti RM1.9 bilion ini kini perlu ditanggung oleh konsortium yang membeli 60% pegangan dalam Bandar Malaysia (yang turut membabitkan syarikat berkaitan Kerajaan China)
  1. 1MDB mengakui bahawa pihaknya juga sedang merundingkan dengan konsortium tersebut agar hutang sukuk RM2.4 bilion turut ditanggung oleh konsortium itu
  1. 1MDB mengakui ia menerbitkan hutang sukuk sebanyak RM2.4 bilion dalam tahun 2014 yang tujuannya untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara itu

Oleh itu, berdasarkan fakta-fakta di atas, saya bertanyakan soalan yang mudah dan jelas seperti berikut:

  1. Jika hanya RM800 juta dari sukuk berjumlah RM2.4 bilion itu yang telah dibelanjakan untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara, bagaimanakah baki sukuk selebihnya dibelanjakan?
  1. Jika sebahagian besar sukuk itu dibelanjakan bagi kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara, tidak timbul soal membabitkan konsortium pembeli untuk menanggung baki bayaran RM1.9 bilion kerana itu mempunyai risiko melibatkan syarikat asing di dalam keputusan-keputusan strategik pertahanan negara.
  1. Jika 1MDB kini merundingkan agar bayaran sukuk itu turut ditanggung oleh konsortium pembeli ini, maknanya dana yang diperolehi dari terbitan sukuk itu telah tiada. Oleh kerana ia tidak dibelanjakan bagi tujuan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara, bagi tujuan apa ia dibelanjakan?

 

1MDB memberikan satu kenyataan umum bertujuan mengelirukan orang ramai dengan menyatakan bahawa kesemua dana dari terbitan sukuk dibelanjakan seperti yang ditetapkan oleh perjanjian. Tetapi 1MDB tidak menjawab soalan yang paling utama: ke manakah baki RM1.6 bilion dari terbitan sukuk tersebut?

Secara umumnya, 1MDB menyatakan bahawa dana tersebut dibelanjakan antara lainnya untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara, mematuhi syarat rizab simpanan seperti di dalam perjanjian, yuran dan belanja pengurusan menerbitkan bon serta memenuhi keperluan modal 1MDB RE iaitu anak syarikatnya.

Oleh itu, saya cuba menganggarkan jumlah perbelanjaan bagi setiap kategori perbelanjaan yang disebut oleh 1MDB seperti berikut:

PEMBIAYAAN KERJA-KERJA MEMINDAHKAN DAN MENAIKTARAF PENGKALAN-PENGKALAN UDARA

Dari maklumat yang diberikan oleh 1MDB sendiri, anggaran yang munasabah ialah RM800 juta telah dibayar kepada kontraktor.

MEMATUHI SYARAT RIZAB SIMPANAN

Saya sertakan cabutan Perjanjian Sukuk mengenai syarat menyimpan rizab minima oleh 1MDB pada satu-satu masa di dalam Lampiran A.

Download (PDF, 927KB)

Mengikut perjanjian, 1MDB perlu menyimpan rizab minima (dipanggil FRSA) bersamaan bayaran keuntungan kepada pemegang bon bagi enam bulan seterusnya ke atas baki sukuk yang belum dibayar.

Kadar keuntungan tidak dimuktamadkan di dalam perjanjian ini seperti cabutan di Lampiran A.

Saya mengandaikan bahawa kadar keuntungan adalah sekitar 6% ke atas baki iaitu kadar yang lebih tinggi dari bon-bon bersabit kerajaan (yang selalunya dikenakan kadar keuntungan sekitar 4%).

Oleh itu, jumlah rizab minima yang perlu disimpan pada sesuatu masa adalah (6% X RM2.4 b) dibahagi dua (kerana bayaran keuntungan adalah setiap 6 bulan) iaitu RM72 juta. Jumlah RM72 juta ini ialah jumlah FRSA yang maksimum pada sesuatu masa kerana saya mengandaikan baki bon masih RM2.4 bilion.

YURAN DAN BELANJA MENERBITKAN BON

Penerbitan bon atau sukuk memang melibatkan bayaran yuran kepada perunding, institusi kewangan dan penasihat. Walau bagaimana pun, jumlah ini bukanlah besar dan pada kebiasaannya tidak melebihi kadar 1% – 2% dari jumlah terbitan bon/sukuk.

Mengambil bayaran yuran dan perunding yang maksimum pada kadar 2% dari terbitan sukuk, kita boleh andaikan bahawa jumlah yang dibelanjakan adalah RM48 juta.

 

Oleh yang demikian, berdasarkan kenyataan 1MDB sendiri semalam, saya boleh simpulkan bahawa pecahan perbelanjaan yang menggunakan dana sukuk itu adalah seperti berikut:

1) Membiayai kerja-kerja memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan udara RM800 juta
2) Memenuhi syarat perjanjian menyimpan rizab simpanan minima RM72 juta
3) Yuran dan belanja menerbitkan bon RM48 juta
BAKI: Digunakan bagi memenuhi keperluan modal 1MDB RE RM1,480 juta
Sukuk yang diterbitkan RM2,400 juta

 

Maka, 1MDB perlu menjawab bagi tujuan apakah sebanyak RM1,480 juta telah digunakan oleh anak syarikatnya iaitu 1MDB RE dari dana sukuk ini sedangkan 1MDB RE tidak mempunyai aktiviti perniagaan selain sebagai pemaju hartanah di Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia. Malah, dari tahun 2014 hingga sekarang kedua-dua projek pembangunan hartanah ini belum bermula dan peranan 1MDB RE setakat ini seumpama sebagai broker hartanah yang menjual tanah-tanah di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi.

Mustahil sebuah syarikat yang fungsi utamanya menjual tanah-tanah memerlukan RM1,480 juta untuk membiayai operasinya.

Oleh sebab itulah saya masih bertegas bahawa 1MDB masih belum memberi penjelasan yang boleh diterima akal mengenai baki dari sukuk RM2.4 bilion yang diterbitkan.

Saya mencabar 1MDB untuk mendedahkan perincian perbelanjaan yang menggunakan dana sukuk itu terutamanya perbelanjaan terperinci 1MDB RE bagi menjelaskan ke mana keseluruhan dana sukuk telah dibelanjakan.

Perkara ini penting kerana jika dana sukuk itu digunakan untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara seperti yang sepatutnya, 1MDB tidak perlu membawa masuk pelabur asing dari China untuk menanggung hutang-hutang itu sehingga mendedahkan negara kepada risiko pertahanan dan kedaulatan negara.

 

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

 

Kenapa Kerajaan BM Tidak Mengenakan Cukai Eksport Ke Atas Bauksit, Kerugian RM180 Juta

12 JANUARI 2016

KENAPA KERAJAAN BN TIDAK MENGENAKAN CUKAI EKSPORT KE ATAS BAUKSIT, KERUGIAN RM180 JUTA

Masalah alam sekitar, kesihatan, gangguan serta tekanan yang dihadapi oleh penduduk sekitar Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar dan kawasan sekitarnya akibat dari perlombongan bauksit sudah diketahui umum. YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan telah berkempen selama setahun mendesak supaya aktiviti perlombongan ini dihentikan.

Kontroversi mengenai perlombongan bauksit ini memuncak melalui pendedahan bahawa ada ketirisan dari segi kutipan hasil royalti yang perlu dibayar kepada Kerajaan Negeri Pahang yang menyebabkan SPRM membuka siasatan baru-baru ini.

Saya memetik kenyataan Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob (Laporan Bernama, 8 Januari 2016) bahawa kutipan royalti bagi tahun 2015 oleh Kerajaan Negeri Pahang sepatutnya RM180 juta, bukannya RM47 juta yang dikutip. Laporan lain menyebut bahawa anggaran kutipan sebenar sepatutnya 5 kali ganda lebih tinggi iaitu sekitar RM235 juta.

Perkara ini menarik perhatian saya kerana mengikut Akta 396: Akta Pembahagian Duti Eksport Galian 1964, Seksyen 2(1) dan Seksyen 2(2), kerajaan negeri tidak boleh mengenakan royalti atau apa-apa caj ke atas perlombongan galian yang disenaraikan di bawah akta ini (termasuk bauksit) kerana Kerajaan Persekutuan telah mengenakan duti eksport yang separuhnya akan diagihkan kepada kerajaan negeri (rujuk akta di bawah):

Download (PDF, 227KB)

Oleh itu, apabila Dato’ Seri Adnan Yaakob menyebut bahawa Kerajaan Negeri Pahang mengutip royalti sebanyak RM47 juta dalam tahun 2015 hasil dari perlombongan bauksit, saya menyemak pula kod tarif bagi bauksit di laman Kastam DiRaja Malaysia untuk menyemak maklumat tersebut berdasarkan Akta 396 di atas.

Carian di laman tarif Kastam DiRaja Malaysia iaitu http://tariff.customs.gov.my menunjukkan bahawa bauksit tidak disenaraikan di bawah kodnya sendiri, sebaliknya dikategorikan di bawah aluminium kerana biji bauksit yang dilombong sebenarnya mengandungi kandungan aluminium yang diproses untuk mendapatkan aluminum itu.

Oleh itu, semakan kod bagi bauksit adalah 260600000 seperti di bawah:

Perkara yang mengejutkan dan membimbangkan saya ialah apabila kadar duti eksport bagi bauksit di bawah kod 260600000 adalah 0% seperti yang ditunjukkan oleh laman Kastam DiRaja Malaysia sendiri. Berdasarkan maklumat ini, bermakna eksport bauksit ke luar negara tidak dikenakan sebarang duti eksport dan Kerajaan Persekutuan tidak mengutip sebarang hasil.

Menurut World Bureau of Metal Statistics, Malaysia dijangkakan mengeluarkan 20 juta tan bauksit dalam tahun 2015 yang semuanya dieksport. Pada harga purata USD45 per tan (bersamaan RM180 per tan ada kadar tukaran purata RM4 setiap USD1), jumlah eksport bauksit bagi tahun 2015 sepatutnya mencecah RM3.6 bilion. Ini bertepatan dengan anggaran royalti 5% seperti yang disebut oleh Dato’ Seri Adnan Yaakob iaitu sebanyak RM180 juta.

Ini bermakna Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk tidak mencukai eksport bauksit sedangkan pengusaha bauksit dilaporkan mendapat kadar keuntungan bersih sehingga 40% bagi setiap tan bauksit. Ini berbeza dengan industri utama negara yang lain seperti industri kelapa sawit yang dikenakan duti eksport sebanyak 10% sedangkan kadar keuntungan bersih adalah jauh lebih rendah dari 40% yang diperolehi syarikat perlombongan bauksit.

Jika Kerajaan Persekutuan peka dengan kesan perlombongan bauksit dan kos membaikpulih alam sekitar, paling kurang ia perlu mengenakan duti eksport sebanyak 10% setanding dengan duti eksport ke atas kelapa sawit. Hasil ini boleh dibahagikan pada pecahan 50:50 dengan Kerajaan Negeri Pahang seperti kehendak Akta 396.

Mengambil kira perkara ini, saya mohon Menteri Kewangan mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa Kerajaan Persekutuan lalai dan tidak mengenakan sebarang duti eksport ke atas bauksit, seperti maklumat di laman Kastam DiRaja Malaysia

2. Bahawa akibat kelalaian itu, Kerajaan Persekutuan telah rugi sekurang-kurangnya RM180 juta dalam bentuk 50% dari duti eksport yang sepatutnya dikutip bagi tahun 2015.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Ke Mana Dana RM2.4 Bilion Dari Sukuk Bandar Malaysia Yang Sepatutnya Digunakan Untuk Membiayai Pemindahan Dan Naiktaraf Pengkalan-Pengkalan Tentera?

Dedah 1.6B-01

Saya merujuk kepada kenyataan 1MDB bertarikh 6 Januari 2016 yang jelas cuba mematahkan soalan-soalan yang saya tanya khusus mengenai perkara-perkara berikut:

1. Pembiayaan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara sebagai sebahagian dari tanggungjawab 1MDB setelah dianugerahkan tanah kerajaan di Sungai Besi

2. Kesan kepada keselamatan negara akibat dari penjualan pegangan di dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) milik 1MDB kepada satu konsortium yang dianggotai oleh syarikat berkaitan Kerajaan China

Jawapan 1MDB pada 6 Januari 2016 sebenarnya mengesahkan kebimbangan saya mengenai (2) iaitu keterlibatan syarikat berkaitan Kerajaan China di dalam projek pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara.

Kenyataan 1MDB tempoh hari mengakui bahawa bahawa salah satu pilihan struktur urusniaga yang sedang dibincangkan ialah pembelian ekuiti di dalam BMSB. Ini selari dengan pengumuman 1MDB sebelum itu bahawa ia telah menjual ekuitinya di dalam BMSB sebanyak 60% kepada konsortium yang dimiliki bersama oleh syarikat berkaitan Kerajaan China itu. Apabila ini dipadankan dengan pengumuman yang difailkan di Bursa Hong Kong, ia mengesahkan bahawa struktur urusniaga melalui kaedah penjualan ekuiti telah dilaksanakan kerana syarikat berkaitan Kerajaan China itu memfailkan nilai urusniaga ekuiti (bukannya nilai tanah seperti yang diumumkan oleh 1MDB).

Namun yang lebih merunsingkan, penjualan ekuiti kepada konsortium itu sebenarnya mendedahkan satu lagi perkara yang lebih besar – kenapa bebanan kewangan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan tentera masih lagi berbangkit sehingga menjadi sebahagian dari urusniaga jual beli ekuiti BMSB; sedangkan 1MDB/BMSB telah meminjam RM2.4 bilion dalam tahun 2014 untuk membiayai kerja-kerja tersebut?

Saya sertakan lampiran-lampiran yang mengandungi terma-terma utama Perjanjian Sukuk Murabahah RM2.4 Bilion yang diterbitkan oleh 1MDB dalam tahun 2014. Saya rujuk kepada mukasurat-mukasurat penting seperti berikut:

Download (PDF, 2.45MB)

1. Mukasurat 6 mengesahkan bahawa BMSB (anak syarikat milik penuh 1MDB) menerbitkan Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion

2. Mukasurat 10, 11, 12 mengesahkan bahawa kontrak-kontrak pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara/polis udara Sendayan, Ipon, Butterworth, Gong Kedak, Kuantan, Subang (2 kontrak bagi 2 pengkalan berbeza) dan Kajang yang merupakan bayaran balik 1MDB kepada Kerajaan Persekutuan telah dicagarkan sebagai tukaran kepada tanah-tanah yang dianugerahkan

3. Mukasurat 13 dan 14 mengesahkan bahawa dana RM2.4 bilion yang diperolehi 1MDB hasil dari terbitan Sukuk Murabahah ini hanya boleh digunakan untuk 2 tujuan sahaja; iaitu membiayai pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara di atas dan membiayai aliran tunainya.

Dalam kenyataannya bertarikh 6 Januari 2016, 1MDB sendiri mengakui bahawa nilai keseluruhan kontrak pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera ini adalah RM2.7 bilion dan sehingga kini, baki pembiayaan yang perlu dikeluarkan 1MDB untuk membayar kontraktor adalan RM1.9 bilion.

Secara mudahnya, mengambil kira bahawa 1MDB telah menerbitkan Sukuk Murabahah berjumlah RM2.4 bilion untuk membiayai kerja-kerja itu – maka persoalan yang paling besar: adakah ini bermakna dari jumlah RM2.4 bilion yang diperolehi itu, hanya RM800 juta yang dibelanjakan bagi kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera (iaitu jumlah projek keseluruhan RM2.7 bilion tolak jumlah baki bayaran RM1.9 bilion)?

Ini bermakna sejumlah RM1.6 bilion dari Sukuk Murabahah yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kerja-kerja itu TIDAK DIGUNAKAN bagi tujuan itu. Ke mana dana berjumlah RM1.6 bilion ini dan bagi tujuan apa ia telah digunakan?

Oleh sebab itulah, maka 1MDB tiada pilihan lain kecuali melibatkan pihak swasta di dalam urusniaga melibatkan BMSB sedangkan BMSB telah pun mencagarkan kontrak-kontrak itu sebagai sebahagian dari terbitan Sukuk Murabahah. Apabila pihak swasta itu pula melibatkan syarikat berkaitan Kerajaan China, sudah tentu ini menimbulkan pertanyaan sejauh mana keterlibatan mereka di dalam keputusan-keputusan mengenai pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera kerana mereka (syarikat China itu) kini adalah pemilik bersama BMSB yang dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja tersebut.

1MDB tidak boleh lari dari soalan-soalan ini dan saya akan terus menyelidik supaya perkara ini dibawa ke pengetahuan umum.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Malaysia Terus Diancam Turun Penarafan (“Downgrading Of Rating”) Walaupun Najib Laksanakan Dasar Menekan Rakyat

Hari ini, agensi penarafan kewangan dunia Moody’s telah menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari “positif” kepada “stabil”. Lazimnya sebarang penurunan taraf prospek ekonomi sesebuah negara oleh agensi penarafan dilihat sebagai ancaman kepada penarafan kewangan negara tersebut.

Sejak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam tahun 2009, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menjadikan pengurangan defisit dan penghapusan subsidi sebagai jihad ekonomi beliau demi memastikan penarafan kewangan Malaysia (“sovereign rating of Malaysia”) tidak diturunkan oleh agensi-agensi penarafan seperti Moody’s. Ini berikutan kebergantungan pentadbiran beliau kepada hutang akibat keborosan kerana sebarang penurunan penarafan akan menyebabkan kadar faedah hutang Kerajaan Persekutuan menjadi lebih tinggi, lalu menyukarkan pentadbiran beliau untuk terus berhutang.

Beliau tunduk kepada tekanan agensi-agensi antarabangsa untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang anti-rakyat seperti pelaksanaan GST dan penghapusan subsidi. Demi memastikan nasihat agensi-agensi antarabangsa ini diikuti, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mengendahkan kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat dasar-dasar yang anti-rakyat.

Hari ini, GST telah dilaksanakan selama lebih 9 bulan dan lebih RM30 bilion telah dikutip dari rakyat. Hampir keseluruhan dari subsidi yang sebelum ini dinikmati rakyat telah dihapuskan semuanya termasuklah subsidi petrol dan diesel. Beliau juga memotong peruntukan-peruntukan penting untuk pendidikan dan biasiswa di dalam belanjawan 2016 yang dibentangkan Oktober 2015 lalu.

Malangnya, kesemua dasar-dasar anti rakyat ini yang menyebabkan beban sara hidup rakyat naik berganda, mahasiswa terpaksa mengikat perut, rakyat melakukan lebih dari satu kerja untuk menampung kenaikan harga dan lain-lain kepayahan – tidak pun berjaya menghalang Moody’s dari menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari positif kepada stabil.

Ini bermakna keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mempertaruhkan kebajikan rakyat demi memastikan agensi penarafan antarabangsa tidak memberikan isyarat yang negatif mengenai penarafan kewangan Malaysia adalah sia-sia. Rakyat menanggung beban dan prospek ekonomi Malaysia tetap diturunkan oleh Moody’s.

Sebab itu, pendekatan ekonomi konvensional yang diambil oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak akan terus menjadi sia-sia dan tidak berkesan selagi ia tidak menangani barah utama ekonomi negara iaitu rasuah, tatakelola yang lemah dan tiadanya amanah.

Ekonomi Malaysia akan kembali mampan bila mana dasar-dasar ekonomi pro-rakyat dilaksanakan selari dengan perang besar-besaran membanteras rasuah, menguatkan tatakelola dan membina amanah di dalam pentadbiran negara.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: