Pembiayaan MARA Bagi Pelajar UniKL: Jangan Jadikan Pelajar Melayu/Bumiputra Komoditi Politik

Saya telah meneliti kenyataan media yang dikeluarkan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi MARA yang dipaparkan di laman Facebook beliau bertarikh 13 Februari 2016 mengenai isu pembiayaan pelajar-pelajar MARA terutamanya di Universiti Kuala Lumpur dan institusi pengajian MARA (IPMA) yang lain.

Saya juga mendapat kemaskini perkembangan yang berterusan dari pelajar-pelajar terbabit termasuklah satu arahan yang dikeluarkan oleh pengurusan UniKL/MARA agar pelajar-pelajar terbabit hadir untuk satu majlis pada hari ini. Malah saya dimaklumkan bas-bas juga disediakan untuk mengangkut pelajar-pelajar ini ke satu majlis yang dijangka bertujuan menunjukkan keprihatinan MARA dan penyelesaian pantas masalah ini.

Saya mengeluarkan kenyataan rasmi mendesak MARA berterus terang mengenai kemampuannya membiayai program pendidikan Melayu/Bumiputra (terutamanya yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Kuala Lumpur dan IPMA yang lain) pada 10 Februari 2016. Pada hari itu juga saya telah menjemput semua yang menghadapi masalah dengan pembiayaan MARA memberikan maklumat kepada saya.

Kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi MARA mengumumkan bahawa semua pelajar di Universiti Kuala Lumpur dan IPMA akan diberikan pembiayaan mengikut 3 kategori mula disebarkan pada malam 12 Februari 2016. Ini bermakna dalam tempoh 2 hari sahaja keputusan pembiayaan oleh MARA boleh dibuat.

Tan Sri Annuar Musa kemudiannya dengan bermegah menaikkan status di Facebooknya menempelak dakwaan bahawa ada anak-anak Melayu/Bumiputra yang terpaksa menghentikan pengajian kerana tidak mampu, seperti berikut:

anuarmusafb

Saya mengutuk sekeras-kerasnya sikap dan keangkuhan Pengerusi MARA ini dalam menangani kesusahan pelajar-pelajar yang telah berlanjutan bertahun-tahun.

Daripada kajiselidik yang saya telah kumpul mengenai permasalahan pembiayaan pendidikan oleh MARA, setakat ini seramai 468 pelajar telah tampil ke hadapan memberi maklumat. Daripada jumlah ini, 298 iaitu 64% adalah pelajar-pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (selebihnya adalah dari IPMA yang lain atau institusi lain dalam dan luar negara).

Paling mengejutkan, apabila ditanya tempoh masa mereka telah berhadapan dengan masalah pembiayaan begini, jawapan responden adalah seperti berikut:

• Kurang dari 6 bulan: 66 orang atau 22%
• 6 bulan hingga setahun: 185 orang atau 62%
• 1 tahun hingga 2 tahun: 14 orang atau 5%
• Lebih dari 2 tahun: 28 orang atau 9%
• Tidak memberi jawapan: 5 orang atau 2%

Saya juga menanyakan sama ada mereka telah menghentikan pengajian atau tindakan mereka jika terus tidak mendapat pembiayaan. Daripada 298 orang pelajar UniKL yang tampil ke hadapan, 30 orang telah pun menghentikan pengajian dan 181 bercadang akan menghentikan pengajian jika terus tidak mendapat pembiayaan menjelang pertengahan tahun 2016 ini.

Semakan saya menunjukkan Tan Sri Annuar Musa telah dilantik menjadi Pengerusi MARA sejak 2013 selepas Pilihanraya Umum 13 (PRU13). Malah, beliau juga adalah Pro-Canselor II Universiti Kuala Lumpur sejak tempoh yang sama iaitu dari 2013 lagi.

Maknanya, sepanjang beliau menjadi Pengerusi MARA dan Pro-Canselor II Universiti Kuala Lumpur sejak 2013 beliau tidak mampu menyelesaikan masalah pembiayaan pelajar-pelajar Universiti Kuala Lumpur di bawah pengurusan MARA sendiri sedangkan masalah ini telah wujud sejak tahun 2013 lagi.

Lebih menjengkelkan, apabila saya mula membawa isu ini, dalam tempoh 2 hari beliau boleh pula menyelesaikan masalah ini. Jika peruntukan kewangan dari MARA dapat diputuskan dalam masa 2 hari sahaja sejak saya menimbulkan perkara ini, maknanya peruntukan itu wujud selama ini tetapi keputusan tidak diambil.

Sebab itu saya memberi amaran kepada Tan Sri Annuar Musa supaya tidak menjadikan nasib pelajar-pelajar Melayu/Bumiputra ini sebagai komoditi politik untuk dijaja di dalam majlis-majlis sedangkan selama ini rintihan mereka tidak didengari. Beliau juga perlu ingat bahawa ada banyak lagi masalah pembiayaan pelajar-pelajar Melayu/Bumiputra yang perlu diselesaikan segera dan bukannya menunggu seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan bersuara.

Oleh itu, saya akan memulakan kembali siri sidang media menumpukan kepada dua perkara utama melibatkan MARA iaitu maklumat-maklumat lanjut pembelian hartanah MARA di Australia dan dapatan kajiselidik masalah pembiayaan MARA yang saya usahakan. Sidang media pertama akan bermula esok 16 Februari 2016 jam 1130 pagi di NOW Centre, Sungai Besi.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tabung Haji Mengakui Rizabnya Negatif, Kembali Kepada Soal Tatakelola Yang Ditimbulkan Oleh Bank Negara Malaysia

Saya rakamkan terima kasih di atas kenyataan yang dikeluarkan Tabung Haji semalam (10 Februari 2016) yang sebahagian besarnya adalah reaksi kepada isu-isu yang saya bangkitkan selama ini. Saya juga sedia maklum pelbagai komen yang dilontarkan oleh aktivis maya (“cyber activists”) Umno di bawah seliaan Dato’ Ahmad Maslan mengenai perkara ini.

Kenyataan Tabung Haji semalam mengesahkan unjuran yang saya terbitkan pada 9 Februari 2016 lalu bahawa rizab Tabung Haji kekal negatif bagi 2 tahun berturut-turut, berdasarkan perkara-perkara berikut:

1. Tabung Haji tidak sekali pun menafikan bahawa rizabnya negatif secara dua tahun berturut-turut seperti yang saya unjurkan;

2. Tabung Haji tidak sekali pun mengemukakan angka-angka yang menunjukkan unjuran yang saya terbitkan itu salah atau terlalu jauh dari keputusan sebenar;

3. Tabung Haji mengakui bahawa penyata kewangannya disediakan mengikut piawaian pelaporan kewangan yang ditetapkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB), bermakna ia mengakui bahawa tafsiran saya mengenai “rizab” di dalam analisa yang saya terbitkan adalah sama dengan “rizab” di dalam Penyata Kedudukan Kewangan (“Statements of Financial Position”) di dalam penyata kewangan Tabung Haji yang diaudit (seperti di bawah);

th-financialpositions

4. Tabung Haji mengesahkan bahawa keuntungan terkumpul (selepas bonus dikreditkan kepada pendeposit bagi tahun 2015) adalah RM609 juta. Angka ini tidak banyak berbeza dengan unjuran yang saya terbitkan (tanpa mempunyai apa-apa maklumat kewangan dalaman dari Tabung Haji) yang mengunjurkan keuntungan terkumpul bagi tahun kewangan 2015 adalah RM593 juta (rujuk Lampiran F). Ini bermakna analisa dan unjuran yang saya terbitkan itu tidak lari dari keputusan sebenar Tabung Haji bagi tahun kewangan 2015;

5. Mengenai isu rizab negatif (rujuk perenggan 5 kenyataan Tabung Haji), sementara Tabung Haji mengesahkan secara tidak langsung bahawa rizabnya memang negatif, ia memberi alasan bahawa ada dua jenis rizab iaitu Rizab Boleh Agih (yang terdiri dari keuntungan terkumpul yang masih positif dan berbaki RM609 juta seperti dinyatakan Tabung Haji) dan Rizab Tidak Boleh Agih. Nilai rizab yang dicatatkan di dalam penyata kewangan adalah jumlah kedua-dua Rizab Boleh Agih dan Rizab Tidak Boleh Agih; dan

6. Tabung Haji mengesahkan bahawa Rizab Tidak Boleh Agih adalah rizab nilai saksama yang menunjukkan untung/(rugi) terkumpul dari perubahan nilai saksama saham/sekuriti pegangan Tabung Haji, seperti yang saya terangkan di dalam analisa yang saya terbitkan. Dengan tidak menyatakan nilai Rizab Tidak Boleh Agih bagi tahun 2015, Tabung Haji secara tidak langsung mengesahkan ia terus kekal negatif pada kadar yang besar kerana rizab ini sudah pun negatif dengan baki (RM868 juta) bagi tahun 2014. Jika prestasi pasaran saham dalam tahun 2014 telah menyebabkan penurunan nilai saksama saham/sekuriti Tabung Haji sebanyak RM2.4 bilion, prestasi pasaran saham 2015 sudah tentu lebih buruk dan penurunan nilai saksama dalam tahun 2015 lebih besar dari RM2.4 bilion.

Setakat ini, Tabung Haji tidak pun mempersoalkan unjuran saya bahawa rizabnya kekal negatif bagi dua tahun berturut-turut. Saya puji pendekatan pengurusan Tabung Haji yang faham kenyataan-kenyataan saya adalah berbentuk analisa kewangan yang nyata, maka maklumbalas Tabung Haji juga ditumpukan kepada analisa kewangan ini.

Malangnya, banyak komen yang dilontarkan oleh aktivis maya Umno di bawah seliaan Dato’ Ahmad Maslan cuba mengalih perhatian rakyat dari isu pokok yang sebenarnya mula-mula ditimbulkan secara rasmi oleh Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam suratnya bertarikh 23 Disember 2015 kepada Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Antara komen yang cuba mengelirukan termasuklah kononnya rizab bukanlah bersabit kecairan tunai, rizab tidak boleh agih tidak mempunyai kesan kepada Tabung Haji dan lain-lain (ada sesetengah komen yang terlalu dangkal dan tidak perlu dijawab).

Sebab itu saya menyeru rakyat Malaysia keseluruhannya supaya kembali secara objektif kepada perkara-perkara bersabit tatakelola pengurusan dana Tabung Haji yang ditimbulkan oleh Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di dalam suratnya bertarikh 23 Disember 2015 kerana perkara-perkara itu menjawab secara langsung kenapa persoalan rizab negatif ini adalah perkara besar yang perlu diberi perhatian umum.

Saya rujuk kembali perkara-perkara itu (seperti di dalam surat Tan Sri Zeti Akhtar Aziz) untuk membolehkan rakyat menilai secara objektif apa risikonya apabila rizab Tabung Haji kekal negatif pada nilai yang besar (berbilion ringgit):

015

016

017

1. Perenggan 2: Oleh kerana Rizab Boleh Agih (iaitu keuntungan terkumpul) sememangnya lemah kerana Tabung Haji membayar bonus lebih besar dari keuntungan yang dijananya dalam tahun-tahun 2012, 2013 dan 2014, itu menimbulkan risiko kewangan kerana prestasi pasaran saham dijangka merudum dalam tahun 2015;

2. Perenggan 2: Dengan penurunan nilai saksama portfolio pelaburan saham/sekuriti Tabung Haji yang besar dalam tahun 2015, ini akan menyebabkan Rizab Tidak Boleh Agih kekal negatif pada jumlah yang besar dalam tahun 2015 (saya unjurkan mencecah RM3 bilion). Walaupun Rizab Tidak Boleh Agih ini tidak terlibat di dalam pengiraan bonus yang dibayar kerana bonus dibayar dari Rizab Boleh Agih, ia mempunyai kesan yang besar kepada nilai aset Tabung Haji;

3. Perenggan 2: Sebab itu dalam surat Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, beliau telah mengingatkan Tabung Haji bahawa akibat kejatuhan pasaran saham, pada akhir September 2015 nilai aset Tabung Haji telah susut sehinggakan asetnya hanya boleh membayar 98 sen bagi setiap seringgit hutangnya. Nilai aset bersih dikira dengan menjumlahkan keseluruhan aset (yang sebahagian besarnya adalah saham/sekuriti iaitu sekitar 65%) dengan Rizab Tidak Boleh Agih untuk memberikan nilai pasaran (disebut nilai saksama) aset;

4. Perenggan 2: Maka, apabila Rizab Tidak Boleh Agih adalah negatif pada nilai yang besar (seterusnya menyebabkan rizab menjadi negatif), ini menunjukkan bahawa nilai pasaran/nilai saksama aset Tabung Haji adalah lebih rendah dari yang ditunjukkan di dalam penyata kewangannya. Aset yang nilai saksamanya susut ini tidak akan dapat menampung nilai hutang Tabung Haji termasuklah kepada pendepositnya;

5. Perenggan 2: Ini mengundang satu lagi risiko iaitu kecenderongan Tabung Haji untuk menjual asetnya untuk menjana keuntungan demi memastikan ia tetap boleh membayar bonus yang besar dalam keadaan pasaran saham yang tidak memberangsangkan (lalu pulangan dalam bentuk dividen atau untung saham yang diniagakan adalah rendah). Ini membawa kesan susutan berganda iaitu aset Tabung Haji makin mengecil dan rizabnya terus negatif lalu melemahkan kedudukan kewangan dalam jangka masa yang panjang;

6. Perenggan 3: Risiko seterusnya ialah kerana Tabung Haji mempunyai taburan pelabur yang tidak sekata iaitu 5% pendeposit terbesar mengawal 75% deposit keseluruhan. Mereka adalah kumpulan pelabur yang peka kepada prestasi dan kedudukan kewangan Tabung Haji. Apabila mereka menyedari perkara-perkara (1) hingga (5) terus berlaku, ada kemungkinan besar mereka mula mengeluarkan deposit mereka. Jika sebahagian sahaja dari 5% pendeposit terbesar ini mengeluarkan deposit mereka, Tabung Haji tidak mempunyai kemampuan kewangan membayarnya kembali apabila nilai asetnya tidak mampu menampung tanggungan hutang (diterangkan di dalam (3) di atas);

7. Perenggan 3: Jika Tabung Haji tidak mampu membayar kembali deposit apabila sebahagian dari 5% pendeposit terbesar mengeluarkan deposit, masalah itu akan menular kepada keseluruhan sistem kewangan negara. Tabung Haji mungkin terpaksa bergantung kepada anak syarikatnya iaitu Bank Islam untuk memberi sokongan kewangan yang akan mengancam kestabilan sistem perbankan. Jika Tabung Haji terus menjual saham/sekuriti yang dipegang untuk mencairkan asetnya ke dalam bentuk tunai, itu akan menyebabkan kejatuhan pasaran yang membawa kesan kepada pelaburan-pelaburan lain; dan

8. Perenggan 3: Apabila Tabung Haji tidak mampu membayar kembali deposit kepada sebahagian dari 5% pendeposit terbesar yang mengeluarkan deposit mereka, Tabung Haji mungkin terpaksa kembali kepada bantuan Kerajaan Persekutuan kerana simpanan di dalam Tabung Haji dijamin kerajaan. Dalam keadaan kewangan Kerajaan Persekutuan pun begitu parah, ini akan menyebabkan pelbagai masalah kewangan baru kepada rakyat dalam bentuk cukai GST yang lebih tinggi, pemotongan peruntukan dan lain-lain.

Saya berharap orang ramai menilai isu-isu yang saya timbulkan kebelakangan ini mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji dalam perspektif yang diutarakan oleh Tan Sri Zeti Akhtar Aziz seperti di atas kerana saya hanya mengulangi penilaian Bank Negara Malaysia mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji. Saya yakin rakyat terbanyak yang celik akal lebih percayakan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Bank Negara Malaysia dari aktivis maya Umno yang dididik oleh Datuk Ahmad Maslan.

Oleh yang demikian, saya ingin terus fokus kepada kelemahan kepimpinan Tabung Haji di bawah Pengerusinya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sehingga menjerumuskan Tabung Haji kepada kedudukan sekarang.

Saya ingin menarik perhatian media dan orang ramai kepada perenggan pertama surat Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang menunjukkan kegagalan dan ketidakcekapan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam mengepalai Tabung Haji. Sepanjang isu ini timbul sejak sebulan lalu, hampir keseluruhan rakyat Malaysia terlepas pandang bahawa Bank Negara Malaysia telah pun menulis surat kepada Tabung Haji mengenai keperluan merumus satu dasar rizab setahun lebih awal (iaitu pada 19 Disember 2014) dari tarikh surat Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang bertarikh 23 Disember 2015 itu.

Maknanya, perkara ini telah ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia lebih dari setahun yang lepas namun nampaknya tidak ada sebarang tindakan kukuh di pihak Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sehinggakan Bank Negara Malaysia terpaksa mengeluarkan surat seterusnya bertarikh 23 Disember 2015.

Saya menuntut supaya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memberikan penjelasan segera mengenai perkara ini dan memberi jaminan bahawa Tabung Haji akan mengemukakan cadangan dasar rizab seperti yang diarahkan oleh Bank Negara Malaysia sebelum 31 Mac 2016.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Masalah Pembiayaan Di Universiti Kuala Lumpur Dan Lain-Lain: MARA Perlu Senaraikan Semua Pembiayaan Pendidikan Yang Disediakan

Saya sering dihubungi oleh ibu bapa dan pelajar-pelajar yang memohon atau ditawarkan skim pembiayaan pendidikan oleh MARA mengenai masalah-masalah yang mereka hadapi. Gambaran yang saya dapati dari aduan-aduan ini menunjukkan MARA menghadapi masalah dalam melaksanakan tanggungjawabnya membiayai pendidikan pelajar Bumiputra walaupun Pengerusi MARA memberikan gambaran sebaliknya.

Majlis_Amanah_Rakyat_logo

Salah satu aduan yang paling tinggi ialah masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar di Universiti Kuala Lumpur berkenaan pembiayaan pendidikan mereka yang boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Mereka asalnya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Universiti Kuala Lumpur dengan persetujuan bahawa yuran kursus dan elaun sara hidup akan disediakan melalui pinjaman MARA

2. Setelah mereka memulakan pengajian, mereka belum mendapat sebarang tawaran pembiayaan oleh MARA. Apabila mereka menghubungi pihak MARA, mereka dimaklumkan bahawa permohonan belum dibuka

3. Mereka dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa mereka perlu mendapatkan pembiayaan lain

4. Pihak MARA menawarkan menjadi orang tengah untuk memudahcara pelajar-pelajar ini mendapatkan pinjaman pendidikan dari institusi pendidikan swasta yang kadar faedahnya tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh pelajar

5. Mereka dimaklumkan mereka perlu meminjam dari PTPTN yang tidak menyediakan pinjaman sara hidup yang mencukupi

Perkara-perkara ini terus diadukan kepada saya sehingga kini.

Semakan di laman MARA menunjukkan tidak ada satu skim pembiayaan pendidikan pun yang dibuka setakat ini:

1. Sistem Pinjaman Pelajaran MARA di eduloan.mara.gov.my masih ditutup

2. Sistem MyEduloan di https://myeduloan.mara.gov.my masih ditutup dan menyatakan tidak ada sebarang permohonan yang dibuka

3. Sistem e-Pendahuluan di http://online06.mara.gov.my/ependahuluan/index.php?method=ShowHome yang memberikan pendahuluan RM2,000 untuk membayar belanja masuk universiti juga masih ditutup

Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan pelajar terutamanya ekoran dari keputusan kerajaan memotong pelbagai peruntukan pendidikan termasuklah biasiswa JPA. Apabila pihak MARA tidak berterus terang timbul kebimbangan mengenai kedudukan sebenar kesediaan dan kemampuan MARA membiayai pendidikan Bumiputra seperti yang dimandatkan.

Saya menyeru supaya Tan Sri Anuar Musa memberikan penjelasan segera mengenai kedudukan pelajar-pelajar di Universiti Kuala Lumpur. Setakat ini beliau enggan mengulas dan menguatkan lagi spekulasi bahawa MARA tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membiayai pendidikan Bumiputra.

Oleh itu, saya menyeru Tan Sri Anuar Musa memberikan jawapan-jawapan berikut:

1. Senaraikan semua skim pembiayaan pendidikan yang ditawarkan oleh MARA sekarang yang dibuka kepada permohonan

2. Nyatakan sama ada pelajar-pelajar Universiti Kuala Lumpur akan diberikan pembiayaan pendidikan oleh MARA seperti yang mula-mula dijanjikan kepada mereka

3. Nyatakan peruntukan yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada MARA bagi tujuan pembiayaan pendidikan bagi setiap tahun dari tahun 2009 hingga 2016

Untuk membantu ramai pelajar-pelajar dan ibubapa yang menghadapi kesukaran kerana masalah pembiayaan pendidikan MARA, saya juga telah melancarkan satu aduan dan kajiselidik mengenai pembiayaan MARA di bit.ly/AduanMARA

Saya jemput semua yang menghadapi masalah mengenai pembiayaan pendidikan MARA untuk mengisi maklumat di bit.ly/AduanMARA supaya saya dapat menganggarkan sejauh mana seriusnya masalah pembiayaan pendidikan MARA seperti yang diadukan sebelum ini.

Saya akan memberi tumpuan kepada isu-isu bersabit MARA termasuklah isu pembiayaan ini selain dari maklumat lanjut skandal pembelian hartanah MARA di Australia dalam tempoh seminggu dua ini. Saya cadangkan Tan Sri Anuar Musa supaya tidak mengelak dan segera memberi jawapan kerana lebih banyak perkara akan ditimbulkan selepas ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kedudukan Kewangan Tabung Haji: Pengisytiharan Bonus Tidak Boleh Menutup Unjuran Rizab Negatif Bagi Tahun Kewangan 2015

Saya telah meneliti dan menganalisa penyata kewangan Tabung Haji yang diaudit bagi tahun-tahun kewangan 2009 hingga 2014. Saya juga mengambil kira pengumuman keuntungan dan bonus yang diumumkan oleh Datuk Seri Jamil Khir minggu lalu.

Berdasarkan angka-angka ini, saya telah menulis satu laporan ringkas mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji dan unjuran rizabnya bagi tahun kewangan 2015 (yang disertakan bersama).

https://drive.google.com/file/d/0B2GRLI8QVQQgSDZmYTJrYXFuMEU/view?usp=sharing

Oleh kerana penyata kewangan Tabung Haji yang diaudit lazimnya hanya dikeluarkan di akhir tahun, orang ramai hanya boleh mengetahui kedudukan sebenar kewangan dan rizab Tabung Haji bagi tahun kewangan 2015 di akhir tahun 2016.

Ini sudah tentu tidak baik kerana pelbagai perkara boleh berlaku di antara sekarang dan akhir tahun ini, apatah lagi dalam keadaan rizab Tabung Haji yang sudah pun negatif bagi tahun kewangan 2014. Oleh yang demikian, saya berharap analisa dan laporan ringkas mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji ini akan membuka satu perbincangan awam mengenai prestasi Tabung Haji yang mendorong Tabung Haji mengeluarkan penyata kewangannya yang diaudit lebih awal.

Analisa saya menunjukkan perkara-perkara berikut yang perlu diberi perhatian segera oleh rakyat dan pengurusan Tabung Haji (dirumuskan di mukasurat 1 dan 2 dalam laporan):

1. Kedudukan rizab Tabung Haji diunjurkan terus negatif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 iaitu dua tahun berturut-turut rizab Tabung Haji mengalami defisit. Ini selaras dengan peringatan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia. Defisit rizab Tabung Haji bagi tahun kewangan 2015 diunjurkan boleh mencecah sehingga RM3.195 bilion. Rizab yang negatif bermakna Tabung Haji tidak berkeupayaan memulangkan semua simpanan pendeposit Tabung Haji jika ia dituntut serentak oleh pendeposit.

2. Keuntungan RM3.53 bilion yang diumumkan oleh Datuk Seri Jamil Khir pada 4 Februari 2016 lalu tidak mengambil kira kerugian akibat kejatuhan harga saham dan sekuriti yang dipegang Tabung Haji sebagai pelaburan. Memandangkan prestasi Bursa Kuala Lumpur jatuh mendadak sepanjang tahun 2015, kerugian akibat kejatuhan harga saham dan sekuriti diunjurkan boleh mencecah sehingga RM3.14 bilion. Jika kerugian akibat kejatuhan harga saham mencecah paras tersebut, ia boleh menghapuskan keuntungan yang diumumkan oleh Datuk Seri Jamil Khir.

3. Tabung Haji membayar bonus melebihi keuntungan yang dijana pada tahun-tahun 2012 dan 2014. Bonus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 (yang dibayar pada awal 2013) besar kemungkinan bermotifkan pilihanraya. Bonus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 (yang dibayar pada awal 2015) disyaki berlatar belakangkan krisis 1MDB bila mana pihak berkuasa perlu meyakinkan rakyat bahawa masalah kewangan 1MDB tidak mempunyai kesan kepada pasaran kewangan tempatan.

Adalah sangat penting bagi pendeposit dan rakyat tahu bahawa pengumuman bonus tahunan 5% dan bonus haji 3% bukanlah bermakna kedudukan kewangan Tabung Haji adalah kukuh. Tambahan pula ia terlibat dalam beberapa pelaburan yang mendatangkan kerugian besar dan kebelakangan ini terlibat dengan 1MDB.

Saya akan terus menyiarkan analisa kewangan mengenai Tabung Haji dengan harapan ia akan dapat mendorong kerajaan menggantikan Pengerusi Tabung Haji sedia ada dengan seorang yang lebih sesuai dan arif dalam hal ehwal pelaburan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: