Buka Kembali Siasatan Terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak, Kempen Petisyen Membuka Siasatan Dilancar

Beberapa perkembangan terkini sejak minggu lalu memberi gambaran bahawa keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali menutup siasatan kes melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan wang yang dipindahkan ke akaun beliau adalah tergopoh-gapah.

Saya merujuk kepada satu laporan di dalam New York Times semalam yang memetik Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir bahawa dana yang disebut-sebut itu bukan satu derma malah satu pelaburan oleh individu warganegara Arab Saudi.

Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu memberi dimensi baru kerana perkara-perkara berikut:

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak bukan seorang ahli perniagaan atau pakar pelaburan. Beliau tidak mempunyai apa-apa perniagaan. Seorang warganegara Arab Saudi tidak akan memberikan wang sebanyak RM2.6 bilion kepada beliau untuk dilaburkan kerana pelaburan bukanlah kepakaran beliau. Pelaburan sejumlah itu tidak mungkin diserahkan kepada seorang individu, apatah lagi yang bukan pakar pelaburan seperti Dato’ Seri Najib Tun Razak.

2. Jika dana RM2.6 bilion itu adalah bagi tujuan pelaburan, ia mesti melibatkan syarikat dan aset-aset tertentu. Warganegara Arab Saudi yang memberikan dana sebesar itu bagi tujuan pelaburan sudah tentu mahukan balasan tertentu sebagai pulangan kepada pelaburannya. Ini memungkinkan wujudnya pertelingkahan kepentingan (“conflict of interest”) memandangkan kuasa Dato’ Seri Najib Tun Razak yang besar sebagai seorang Perdana Menteri.

3. Keterlibatan seorang warga Arab Saudi di dalam pelaburan di Malaysia yang bersabit dengan Perdana Menteri membawa kembali dakwaan bahawa dana RM2.6 bilion itu ada kena mengena dengan 1MDB kerana 1MDB sendiri sebelum ini mewar-warkan bahawa pelaburannya melibatkan individu tertentu dari Arab Saudi, sementara Dato’ Seri Najib Tun Razak pula adalah Penasihat 1MDB.

Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu juga menyangkal kenyataan Peguam Negara kononnya dana itu adalah satu derma.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Peguam Negara membuka semula dengan serta merta kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil kira perkembangan terbaru ini. Saya juga mengingatkan Peguam Negara supaya menggunakan sepenuh kuasa di bawah Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (Mutual Legal Assistance) dengan negara-negara yang sedang menyiasat 1MDB dan/atau Dato’ Seri Najib Tun Razak termasuklah Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Untuk mengembalikan momentum rakyat dalam kes ini, saya juga telah mengambil inisiatif melancarkan kempen maya untuk mengumpul sokongan rakyat mendesak supaya kertas-kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya bercadang mengumpul sejuta tandatangan rakyat melalui laman Facebook dan sejuta rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang akan diangkat kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memohon campur tangan mereka supaya kertas siasatan dan pendakwaan dapat dibuka semula.

Saya menyeru supaya seberapa ramai rakyat Malaysia mengambil tindakan berikut:

1. “Like” laman “1 Juta Desak Buka Kembali Siasatan Terhadap Najib Razak” di capaian https://www.facebook.com/1Juta-Desak-Buka-Kembali-Siasatan-Terhadap-Najib-Razak-1086535944702074/

2. Tandatangan petisyen maya kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memohon campur tangan mereka supaya kertas siasatan dan pendakwaan dapat dibuka semula di capaian http://goo.gl/forms/pnd3XvubsQ

Setelah mendapat jumlah tandatangan yang memadai, saya dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan akan menulis untuk merafak sembah mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai perkara ini.

Saya yakin rakyat tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini ditutup apabila Peguam Negara menutup kes. Dengan desakan rakyat, saya yakin Dato’ Ser Najib Tun Razak boleh dihadapkan ke mahkamah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kempen Besar-Besaran Halang Cadangan Pindaan Akta Rahsia Rasmi Menutup Penyelewengan Kerajaan

Kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang berhasrat meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 dengan mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup dan sebatan sewajarnya dicemuh oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran. Satu lagi unsur penindasan yang dicadangkan oleh beliau ialah untuk mendakwa mana-mana wartawan dan editor berita yang menerbitkan berita berkenaan maklumat yang bocor.

Beliau mengusulkan pindaan ini pada ketika kredibiliti beliau sebagai Peguam Negara berada pada tahap yang paling rendah ekoran keputusannya menutup siasatan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkenaan wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri. Sudah tentu cadangan pindaan itu dilihat sebagai usaha lanjut untuk menutup sebarang pendedahan mengenai salahlaku atau penyelewengan kerajaan Barisan Nasional.

Sejak tujuh tahun lalu, pelbagai salahlaku penyelewengan dan rasuah telah didedahkan kepada orang ramai berikutan dokumen-dokumen yang bocor. Saya sendiri banyak mengendalikan pendedahan-pendedahan ini termasuklah skandal NFC, skandal 1MDB, pembelian jet mewah, penganugerahan kontrak LRT kepada George Kent oleh Perdana Menteri yang tidak mengikut saranan Jawatankuasa Perolehan dan bermacam-macam lagi.

Saya tahu bahawa kebocoran maklumat merupakan salah satu sebab utama imej Barisan Nasional jatuh merudum kerana selalu disabitkan dengan salahlaku rasuah dan penyelewengan. Walau bagaimana pun, punca kepada kebocoran maklumat ini ialah kerana gejala rasuah dan penyelewengan di peringkat pimpinan kerajaan yang terlampau sehingga menyebabkan mereka yang mengetahuinya mengambil risiko membocorkannya demi kepentingan umum.

Fenomena meningkatnya maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat (whistleblowers) juga menunjukkan kurangnya keyakinan mereka kepada kemampuan badan-badan penguatkuasa berlaku adil menyiasat penyelewengan tersebut secara bebas.

Sudah tentu Tan Sri Mohamad Apandi Ali sepatutnya insaf bahawa tindak tanduk beliau kebelakangan ini yang menutup semua kes yang bersabit Perdana Menteri adalah salah satu punca yang mendorong lebih banyak kebocoran maklumat kerana orang ramai sudah hilang keyakinan dengan kebebasan beliau sebagai Peguam Negara. Maka sepatutnya tindakan beliau ialah membuktikan bahawa beliau berani bertindak bebas dan adil, bukannya mengugut untuk mengetatkan lagi Akta Rahsia Rasmi 1972.

Cadangan beliau itu menggambarkan kecenderongan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang akan mengambil jalan kekerasan untuk menutup mulut pengkritik beliau. Kecenderongan ini tidak boleh dibiarkan dan perlu ditentang dari awal supaya cadangan pindaan ini dibatalkan serta merta.

Saya akan memulakan satu kempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan seberapa ramai rakyat Malaysia untuk menolak cadangan pindaan ini dan menuntut Peguam Negara bertindak secara bebas, telus dan adil. Memandangkan cadangan pindaan ini adalah satu bentuk penindasan terhadap wartawan dan kebebasan media, saya percaya perkara ini akan menjadi isu di peringkat antarabangsa yang akan memburukkan lagi imej Dato’ Seri Najib Tun Razak di mata dunia.

Saya mengesyorkan supaya Tan Sri Mohamad Apandi Ali membatalkan hasratnya meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum beliau sendiri terjebak di dalam kebangkitan kemarahan rakyat yang kini disasarkan kepada Perdana Menteri.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Rizab Tabung Haji Negatif: Alasan Aset Kumpulan Tabung Haji Kukuh Cubaan Mengelirukan Rakyat

Sehingga kini saya masih menunggu reaksi dari Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail kepada kenyataan media saya bertarikh 27 Januari 2016 yang telah menunjukkan bahawa rizab Tabung Haji sebenarnya telah menjadi negatif sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 lagi. Mengambil kira prestasi Bursa Kuala Lumpur yang tidak memberangsangkan dalam tahun 2015, sudah tentu kedudukan rizab negatif ini adalah lebih buruk bagi tahun 2015.

Kenyataan saya itu tidak disanggah malah keseluruhan kepimpinan kerajaan dan Tabung Haji mengelak dari menjawabnya.

Saya kesal kerana Datuk Seri Azeez Rahim bersembunyi di sebalik kenyataan rasmi Tabung Haji bahawa kononnya walaupun rizab Tabung Haji adalah negatif, itu tidak menjejaskan kedudukan kewangannya kerana nilai keseluruhan aset anak-anak syarikatnya adalah lebih besar dan mampu menampung keperluan kewangan Tabung Haji.

Kenyataan ini seolah-olah cuba mengelirukan rakyat terbanyak yang kurang arif dengan laporan kewangan.

Untuk menggambarkan keadaan sebenar di antara kedudukan rizab Tabung Haji yang negatif dan nilai aset keseluruhan anak-anak syarikatnya, saya lampirkan penerangan mengenai Penyata Kedudukan Kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 seperti berikut:

1. Anak syarikat terbesar yang mempunyai aset terbesar di dalam kumpulan Tabung Haji adalah Bank Islam. Oleh itu, aset-aset Bank Islamlah yang mempunyai kesan terbesar apabila digabungkan (“consolidated”) di dalam penyata kewangan di peringkat kumpulan Tabung Haji.

2. Lihat penyata aset kumpulan Tabung Haji seperti di bawah:

th-asset2014

3. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset Tabung Haji (bersendirian) adalah RM54.751 bilion sementara aset kumpulan Tabung Haji (digabungkan dengan anak-anak syarikat) adalah RM107.038 bilion. Nilai aset anak-anak syarikat Tabung Haji adalah RM52.287 bilion (iaitu RM107.038 bilion tolak RM54.751bilion) dan alasan inilah yang digunakan kononnya anak-anak syarikat Tabung Haji mempunyai aset yang besar sebanyak RM52.287 bilion yang mampu menampung rizab Tabung Haji yang negatif.

4. Apabila diteliti perincian aset-aset ini satu persatu, dua bentuk aset paling besar yang disumbangkan oleh anak-anak syarikat Tabung Haji ialah “Securities available-for-sale” dan “Financing” seperti berikut:

 

  Kumpulan TH

(RM billion)

TH

 

(RM billion)

Sumbangan aset anak syarikat

(RM billion)

“Securities available-for-sale”  

40.996

 

27.393

 

13.603

“Financing” 29.525 1.448 28.077
Jumlah sumbangan aset anak syarikat dari dua kategori ini 41.683

Jadual 1

5. 80% dari aset anak syarikat yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji (iaitu RM41.683 bilion dari RM52.287 bilion) adalah terdiri dari “Securities available-for-sale” dan “Financing” iaitu dua kategori aset terbesar Bank Islam. Ini bermakna 80% dari aset anak syarikat yang kukuh yang diwar-warkan mampu membantu rizab Tabung Haji yang negatif itu datangnya dari Bank Islam.

6. Nota 8 kepada Penyata Kewangan memberikan perincian kepada “Securities available-for-sale” seperti berikut:

th-note8

7. Rujuk Nota 8 di atas – sebenarnya sejumlah RM11.455 bilion aset yang disumbangkan oleh Bank Islam itu adalah “Government debt securities” iaitu hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Persekutuan yang dibeli oleh Bank Islam (dikira RM12.835 bilion tolak RM1.380 bilion). Aset ini, walaupun diwar-warkan sebagai aset kumpulan Tabung Haji, adalah aset yang tidak boleh ditunaikan segera kerana dalam keadaan kesempitan kewangan sekarang, Kerajaan Persekutuan tidak berkemampuan untuk melangsaikan hutang ini jika dituntut. Oleh itu, aset ini tidak boleh digunakan untuk menampung rizab Tabung Haji yang negatif.

8. Nota 12 pula memberi perincian kepada aset “Financing” seperti berikut:

th-financing-bankislam

9. Rujuk Nota 12 di atas – sebenarnya aset “Financing” sebanyak RM28.077 bilion (iaitu RM29.524 bilion tolak RM1.448 bilion) adalah segala bentuk pinjaman yang diberikan oleh Bank Islam kepada pelanggannya. Maka jumlah RM28.077 bilion ini tidaklah cair dan tidak boleh ditunaikan segera jika Tabung Haji memerlukan dana untuk membayar dividen atau menampung rizab negatifnya.

10. Malah, sebarang keputusan Bank Islam untuk mencairkan aset-aset ini (“Securities available-for-sale” dan “Financing”) adalah tertakluk kepada peraturan Bank Negara Malaysia untuk mengelakkan tindakan tergesa-gesa mencairkan aset yang boleh menjejaskan kestabilan sistem perbankan dan kewangan negara.

11. Oleh sebab itulah Bank Negara Malaysia mengeluarkan surat menegur pengurusan dana pendeposit Tabung Haji kerana Bank Negara Malaysia tahu aset-aset anak syarikat Tabung Haji adalah terikat di dalam bentuk-bentuk di atas.

12. Tambahan pula, kedua-dua aset di atas yang berjumlah RM41.683 bilion (rujuk Jadual 1) bukanlah berpunca dari pendeposit Tabung Haji atau keuntungan Tabung Haji. Dana asal yang digunakan oleh Bank Islam untuk memberikan pinjaman kepada pelanggannya dan membeli terbitan hutang Kerajaan Persekutuan adalah diperolehi dari simpanan pemegang-pemegang akaun Bank Islam seperti yang ditunjukkan di dalam Penyata Hutang:

th-liabilitybankislam

13. Bank Islam berhutang dengan pemegang-pemegang akaun Bank Islam sebanyak RM38.369 bilion dan mempunyai tanggungan liabiliti takaful yang perlu dibayar kepada pemegang polisi takaful sebanyak RM6.323 bilion. Jumlah hutang yang ditanggung oleh Bank Islam ialah RM44.692 bilion, iaitu lebih besar dari nilai aset-aset yang disumbangkannya kepada kumpulan Tabung Haji iaitu RM41.683 bilion.

Maka, kesimpulan dari angka-angka penyata kewangan Tabung Haji yang diaudit ini adalah seperti berikut:

i. Nilai aset-aset anak syarikat Tabung Haji yang diwar-warkan kukuh dan mampu menampung rizab negatifnya itu adalah aset-aset Bank Islam yang berjumlah RM41.683 bilion yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji;

ii. Aset-aset ini tidak cair dan tidak boleh ditunaikan segera kerana ia berbentuk pinjaman yang diberikan oleh Bank Islam kepada pelanggan dan Kerajaan Persekutuan. Malah, aset-aset ini tidak boleh digunakan bagi tujuan lain kerana ia perlu menanggung hutang Bank Islam berjumlah RM44.692 bilion iaitu jumlah simpanan rakyat yang didepositkan dan tanggungan polisi takaful;

iii. Untuk memenuhi tanggungjawabnya membayar kembali simpanan rakyat yang menabung dengannya dan membayar dividen/bonus, Tabung Haji tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan dana dan asetnya sendiri;

iv. Penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan Tabung Haji telah mempunyai rizab negatif yang bermakna ia tidak cukup dana dan aset untuk menampung pembayaran balik simpanan rakyat sekiranya dikeluarkan serentak, apatah lagi untuk membayar dividen/bonus.

Saya berharap kepimpinan Tabung Haji berhenti mengelirukan rakyat dengan berselindung di belakang terma-terma kewangan yang cuba menyembunyikan perkara sebenar.

Jika benar kedudukan kewangan Tabung Haji kukuh, saya menyeru supaya Datuk Seri Azeez Rahim mengadakan satu taklimat terbuka kepada pendeposit Tabung Haji dan bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan rakyat. Saya akan hadir sebagai salah seorang pendeposit kerana separuh dari simpanan hari tua saya adalah di dalam Tabung Haji.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Rizab Tabung Haji Negatif Sejak Tahun Berakhir 31 Disember 2014

Saya merujuk kepada kenyataan Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Urusan Tabung Haji berhubung isu kelemahan dana rizab Tabung Haji yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia.

Antara lain, beliau memberi alasan perkara yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia itu tidak menggambarkan kedudukan kewangan sebenar Tabung Haji kerana aset-aset anak syarikat Tabung Haji adalah lebih besar. Saya petik kenyataan beliau:

Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset Tabung Haji adalah lebih tinggi dari nilai liabiliti Tabung Haji, di mana ia mengambil kira kesemua nilai saksama portfolio pelaburan Tabung Haji

Sebagai Ahli Parlimen, saya berpeluang meneliti sendiri Penyata Kewangan Tabung Haji yang diserahkan kepada Ahli Parlimen setiap tahun. Penyata Kewangan Tabung Haji terkini yang diaudit adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014. Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 hanya akan diperolehi di akhir tahun ini.

Saya rujuk kepada Penyata Kedudukan Kewangan (“Statements of Financial Position”) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 seperti di bawah:

th-asset2014

Bagi mereka yang kurang mahir membaca penyata kewangan, kepala “TH” merujuk kepada aset, liabiliti dan rizab pendeposit Tabung Haji. Kepala “Group” merujuk kepada aset, liabiliti dan rizab Tabung Haji dan keseluruhan kumpulan yang merangkumi anak syarikat dan syarikat bersekutu. Contoh-contoh anak syarikat ialah Bank Islam Malaysia Berhad dan Tabung Haji Plantations. Contoh-contoh syarikat bersekutu ialah TH Heavy Engineering Berhad.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset Tabung Haji adalah sebanyak RM54.751 bilion dengan simpanan tunai sebanyak RM7.0 bilion.

th-liability2014

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, jumlah dana terkumpul Tabung Haji ialah RM54 bilion. Dana terkumpul adalah dana-dana yang digunakan oleh Tabung Haji dalam menjalankan aktivitinya. Dari dana inilah maka ia dilaburkan atau dibuka anak syarikat untuk menjana keuntungan kepada Tabung Haji.

Dana terkumpul sebanyak RM54 bilion ini terdiri dari jumlah dana dari pendeposit Tabung Haji sebanyak RM54.358 bilion dan rizab terkumpul iaitu kerugian sebanyak RM351 juta. Secara umumnya, rizab terkumpul adalah jumlah keuntungan terkumpul sejak Tabung Haji melaksanakan perniagaan. Jika Tabung Haji mempunyai keuntungan terkumpul, maka jumlah rizab adalah positif. Jika Tabung Haji mempunyai kerugian terkumpul, maka jumlah rizab adalah negatif.

Jumlah rizab ini adalah penting kerana ia melambangkan 2 perkara:

1. Rizab terkumpul yang positif melambangkan Tabung Haji berjaya menjana keuntungan yang baik dan bermakna keputusan pelaburannya adalah tepat
2. Dari rizab terkumpul inilah bonus (atau dividen) boleh dibayar kepada pendeposit. Jika rizab terkumpul itu besar, maka lebih besarlah bonus boleh dibayar kepada pendeposit

Oleh yang demikian, saya ingin menegur Tan Sri Ismee Ismail yang nampaknya cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan beliau semalam seolah-olah Tabung Haji tidak mengalami apa-apa masalah kewangan.

Penyata Kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 yang diaudit telah menunjukkan bahawa rizab terkumpul Tabung Haji telah pun negatif iaitu kerugian terkumpul sebanyak RM351 juta. Ini bermakna, jika semua pendeposit Tabung Haji mahu mengambil kembali simpanan sebanyak RM54.358 bilion, semua aset-aset Tabung Haji tidak cukup untuk membayar simpanan tersebut dan kekurangan dana sebanyak RM351 juta.

Kedudukan kewangan ini berlaku sebelum tahun 2015 yang menyaksikan kejatuhan pasaran saham dan nilai matawang ringgit yang mendadak. Ini bermakna bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, Tabung Haji akan mengalami kerugian yang jauh lebih besar.

Maka nilai rizab terkumpulnya akan menunjukkan kerugian terkumpul yang jauh lebih besar dari RM351 juta.

Dalam keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia wajar mengetahui bahawa:

1. Tabung Haji tidak mempunyai aset yang mencukupi untuk membayar kembali simpanan pendeposit sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dan dijangka makin teruk bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015

2. Tabung Haji tidak mempunyai rizab keuntugan terkumpul untuk membayar bonus kepada pendeposit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 kecuali ia meminjam wang atau mencairkan asetnya

Ini bukan perkara yang kecil dan saya akan terus meneliti perkara-perkara lain mengenai prestasi kewangan Tabung Haji.

Pun begitu, sebagai permulaan untuk memperbaiki keadaan, saya menuntut supaya Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletak jawatan serta merta di atas kegagalan beliau memastikan prestasi kewangan Tabung Haji tidak menjejaskan simpanan pendeposit.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Lantik Pendakwa Bebas Khas (“Special Independent Prosecutor”) Untuk Buka Kembali Kes Dato’ Seri Najib Tun Razak

Penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali semalam berkenaan keputusan beliau menutup kertas siasatan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung skandal dana RM2.6 bilion dan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd tidak dapat diterima umum. Bukan sahaja alasan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memulangkan kembali “derma” yang diterimanya itu tidak masuk akal, malah ada beberapa perkara asas yang tidak dijawab oleh beliau.

Berhubung pemindahan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Apandi Ali seolah-olah lupa bahawa SRC International Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). Sebab itu saya terus bertanyakan siapa yang bertanggungjawab meluluskan pemindahan dana itu dari SRC International Sdn Bhd kerana pegawai teratas yang bertanggungjawab adalah tidak lain dan tidak bukan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan.

Oleh yang demikian, alasan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak tahu menahu sebanyak RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dipindahkan ke akaun peribadinya tidak boleh menyelamatkan beliau dari dakwaan, atas asas-asas berikut:

1. Mengambil kira bahawa beliau adalah pegawai teratas yang bertanggungjawab kepada keputusan SRC International Sdn Bhd di atas kapasiti beliau sebagai Menteri Kewangan, adalah mustahil beliau tidak mengetahui mengenai keputusan memindahkan dana itu. Besar kemungkinan beliau sedia maklum dan pemindahan itu berlaku dengan mendapat kelulusan mengikut prosedur Kementerian Kewangan. Jika ini keadaannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya didakwa atas tuduhan pecah amanah kerana dana dari syarikat awam di bawah kawalan beliau dipindahkan ke akaun peribadi beliau;

2. Jika beliau berkeras beliau tidak tahu menahu mengenai pemindahan tersebut, ini bermakna beliau telah cuai dalam menjalankan amanah sebagai pegawai teratas yang bertanggungjawab menguruskan syarikat awam iaitu SRC International Sdn Bhd. Dalam keadaan ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga sepatutnya didakwa di atas tuduhan cuai dan lalai dalam menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian dana awam.

Dalam kedua-dua keadaan, ada kes yang kukuh untuk mendakwa Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya percaya atas alasan ini juga, selain dari bukti-bukti siasatan yang lebih terperinci, Pengarah Operasi Khas SPRM, Dato’ Bahri Mohd Zin dipetik sebagai berkata SPRM mempertimbangkan untuk merayu supaya kes ini dibuka semula memandangkan ia satu kes yang jelas (“straight forward”).

Walau bagaimana pun, saya tidak yakin Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali sesuai untuk mengendalikan kes-kes bersabit dakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak memandangkan setakat ini beliau cenderong untuk menutup kes tanpa memberi penjelasan yang boleh diterima akal oleh rakyat.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya satu usaha dibuat agar Parlimen melantik seorang Pendakwa Bebas Khas (“Special Independent Prosecutor”) dari kalangan pengamal undang-undang yang bebas dan berintegriti untuk membuka semula siasatan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dan meneliti kertas siasatan SPRM dan Bank Negara setakat ini.

Saya akan berbincang dengan ahli-ahli Parlimen yang berlatar belakangkan undang-undang untuk merangka satu usul dan usaha membawa perkara ini ke sidang parlimen yang seterusnya dalam bulan Mac 2016.

Saya yakin rakyat Malaysia yang cintakan keadilan tidak boleh putus asa dan terus mencari jalan baru sehinggalah kebenaran mengenai skandal-skandal ini dapat dibentangkan kepada rakyat dan mereka yang bertanggungjawab di bawa ke muka keadilan. Jika Dato’ Seri Najib Tun Razak beranggapan cerita lawak yang dibawa oleh Tan Sri Apandi Ali semalam akan menutup kes ini, beliau merendahkan pemikiran rakyat Malaysia keseluruhannya.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: