Penafian Tabung Haji Mengenai “Corporate Guarantee” Kepada THHE: Surat Kementerian Kewangan Membuktikan “Corporate Guarantee” Diluluskan Oleh Tabung Haji

Saya terkejut apabila reaksi Tabung Haji kepada kenyataan saya mengenai pelaburan Tabung Haji di dalam TH Heavy Engineering (THHE) hanyalah menafikan bulat-bulat bahawa “corporate guarantee” diberikan oleh Tabung Haji dan risiko kerugian keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion.

Saya terkejut kerana Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail seolah-olah lupa bahawa kelulusan Kementerian Kewangan bagi membolehkan Tabung Haji memberikan “corporate guarantee” berjumlah sehingga USD228.2 juta kepada THHE terkandung di dalam satu surat dari Kementerian Kewangan bertarikh 8 Disember 2015 yang dialamatkan kepada Tan Sri Ismee Ismail sendiri.

Bersama-sama ini saya sertakan surat tersebut dari Dato’ Dr Mohd Isa Hussain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) kepada Tan Sri Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji bertarikh 8 Disember 2015 yang mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Tabung Haji membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk meluluskan “corporate guarantee” berjumlah sehingga USD228.2 juta kepada THHE melalui satu surat bertarikh 12 November 2015. Kelulusan dari Kementerian Kewangan diperlukan kerana mengikut Akta Tabung Haji, Tabung Haji tidak dibenarkan memberi bantuan kewangan (seperti “corporate guarantee”) kepada bukan anak syarikat;

2. Kementeria Kewangan telah meluluskan permohonan Tabung Haji untuk memberikan “corporate guarantee” berjumlah sehingga USD228.2 juta itu tertakluk kepada beberapa syarat yang digariskan oleh Kementerian Kewangan.

003

004

Saya kecewa kerana sikap pengurusan tertinggi Tabung Haji masih lagi mahu menyembunyikan perkara sebenar dari berterus terang sedangkan banyak dokumen-dokumen telah pun bocor kepada orang ramai.

Maka, risiko kewangan yang ditanggung oleh Tabung Haji sehingga RM1.4 bilion berhubung pelaburannya di dalam THHE seperti yang saya timbulkan semalam adalah benar. Malah, saya perlu tegaskan sekali lagi bahawa risiko kewangan dan tindakan yang bertentangan dengan Akta Tabung Haji ini (iaitu memberikan “corporate guarantee” kepada bukan anak syarikat) adalah penilaian risiko yang dibuat oleh pengurusan tertinggi Jabatan Pengurusan Risiko Tabung Haji sendiri.

Saya sertakan kembali laporan penuh Penilaian Risiko Pelaburan (“Investment Risk Assessment”) yang disediakan oleh Jabatan Pengurusan Risiko dari mukasurat 1 hingga mukasurat 10. Laporan ini menerangkan bagaimana masalah kewangan THHE mempunyai risiko berjangkit kepada kedudukan kewangan Tabung Haji seperti berikut:

1. Unjuran aliran tunai THHE menunjukkan ia akan mempunyai aliran tunai negatif sehingga mencecah RM108 juta dari suku pertama hingga suku ketiga 2016 (iaitu penghantaran FPSO yang sedang menjalani kerja-kerja ubahsuai kepada penyewa iaitu JX Nippon yang mengendalikan operasi pengeluaran minyak di lapangan Layang);

2. THHE berdepan dengan tindakan undang-undang dari kontraktor-kontraktornya yang telah hutang mereka telah tertunggak lama. Jumlah hutang tertunggak yang mungkin perlu dibayar oleh THHE dianggarkan mencecah RM109.7 juta;

3. Projek FPSO untuk disewakan kepada JX Nippon (yang merupakan kontrak terbesar yang bakal menjana perolehan kepada THHE secara berterusan di masa akan datang) dijangkakan tidak memberi pulangan yang baik sepanjang tempoh sewaan asal;

4. Kelangsungan THHE sebagai entiti perniagaan yang menguntungkan bergantung kepada penghantaran projek FPSO tepat pada masanya kepada JX Nippon. Ini risiko yang membimbangkan kerana projek FPSO tersebut sudah pun mengalami kelewatan (apabila THHE sebelum ini membinanya di Negara Teluk sedangkan ia mempunyai gudang pembinaan sendiri di Pulau Indah) dan berdepan masalah kewangan kerana hutang tertunggak yang belum dibayar kepada kontraktor.

005

006

007

008

009

010

011

012

013

014

Oleh yang demikian, perkara-perkara yang saya timbulkan semalam berhubung Tabung Haji terdedah kepada risiko kerugian RM1.4 bilion adalah benar.

Tekaan saya ialah selepas keputusan Tabung Haji meluluskan “corporate guarantee” kepada THHE di dalam bulan Disember 2015, tiba-tiba ia berdepan dengan kontroversi kedudukan kewangannya yang dilaporkan meluas bermula akhir Januari 2016. Saya tidak terkejut sekiranya Tabung Haji mengambil langkah lain untuk memastikan bantuan kewangan berjumlah sehingga USD228.2 juta itu tetap disalurkan oleh Tabung Haji kepada THHE, cuma bentuk bantuan kewangan (“instrument kewangan”) itu diubah ke dalam bentuk yang kurang kontroversi.

Jadi saya berharap Tan Sri Ismee Ismail dapat mengesahkan sama ada jumlah USD228.2 juta yang pada awalnya diluluskan sebagai “corporate guarantee” kini telah distrukturkan semula dalam bentuk pegangan saham (Tabung Haji menambah lagi pegangan sahammnya) atau pinjaman atau bentuk-bentuk instrumen kewangan lain.

Walau apa pun penstrukturan yang dibuat oleh Tabung Haji, sekiranya ada sebarang bentuk sokongan kewangan kepada THHE untuk menyiapkan projek FPSO Layang, itu tidak mengubah penilaian risiko pelaburan bahawa Tabung Haji berdepan dengan risiko kerugian keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion seperti yang saya dedahkan semalam.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pelaburan Tabung Haji Di Syarikat Kejuruteraan Huluan (Ramunia Holdings Berhad) Catat Kerugian Atas Kertas RM200 Juta, Risiko Kerugian Jangka Panjang RM1.4 Bilion

Pelaburan Tabung Haji yang mengundang kontroversi paling utama ialah pelaburannya di dalam syarikat kejuruteraan huluan (“upstream engineering”) yang bernama Ramunia Holdings Berhad bermula dari 2008. Setelah syarikat tersebut mengalami kerugian mendadak dan sahamnya jatuh menjunam dalam tahun 2010, Tabung Haji menjenamakan semula syarikat itu sebagai TH Heavy Engineering Berhad (THHE) dan terus menyuntik lebih banyak pelaburan.

Tabung Haji mula membeli saham dengan agresif dalam pertengahan tahun 2008 seperti berikut:

• Di antara 10 Julai 2008 hingga 16 Julai 2008, Tabung Haji membeli 14.23 juta saham menjadikan pegangannya mencecah 18.06% (99.74 juta saham) selepas pembelian tersebut. Harga saham pada waktu ini adalah di antara RM1.54 hingga RM1.59 sesaham.
• Berdasarkan Laporan Tahunan Ramunia Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2008, setakat 29 Februari 2009, Tabung Haji telah mengumpul 166,836,833 saham menjadikannya pemegang saham terbesar Ramunia Holdings Berhad pada 29.68% pegangan.

thhe2008

Mengambil kira prestasi harga saham Ramunia Holdings Berhad sepanjang tahun 2008 yang menunjukkan harganya memuncak pada harga RM1.95 sesaham pada awal Februari dan mula menurun sehingga ia mencatat harga terendah (rekod 52 minggu) 76 sen sesaham pada pertengahan Ogos, anggaran harga saham purata yang dibeli oleh Tabung Haji untuk mengumpul 29.68% saham ialah RM1.50 sesaham.

Saya menganggarkan pelaburan awal Tabung Haji dalam tahun 2008 untuk membeli saham-saham Ramunia Holdings Berhad adalah sekitar RM250 juta.

Walaupun saya faham pada ketika itu ada khabar-khabar angin bahawa MISC (anak syarikat PETRONAS) akan membeli Ramunia (yang menyebabkan harga sahamnya naik melonjak), prestasi kewangan Ramunia secara jelas menunjukkan ia sebuah syarikat yang mempunyai masalah kewangan, seperti yang ditunjukkan berikut:

Tahun Kewangan Kerugian Tahunan

(RM juta)

Kerugian Terkumpul

(RM juta)

2008 21 74
2009 383 457

pnlthhe

retainedthhe

 

Oleh kerana kerugian yang mendadak dan terlalu besar bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2009, juruaudit telah memberi amaran bahawa Ramunia Holdings Berhad berdepan dengan risiko muflis (“going concern”) terutamanya kerana sebuah anak syarikatnya Ramunia Fabricator Sdn Bhd disaman oleh banyak pihak kerana gagal membayar hutang.

goingconcernthhe

Akibat dari amaran ini, saham Ramunia Holdings Berhad jatuh menjunam sehingga ditutup pada harga 20.5 sen pada 2 Mac 2010. Berikutan dari ini, Ramunia Holdings Berhad digantung penyenaraiannya dan dikategorikan sebagai syarikat PN17.

Kontroversi melibatkan Ramunia Holdings Berhad diketahui umum kerana ia melibatkan penjualan asetnya kepada Sime Darby Engineering dan pelbagai tindakan mahkamah oleh kontraktor-kontraktor yang rata-ratanya usahawan Bumiputra yang terpaksa gulung tikar. Saya telah duduk sendiri dengan beberapa orang usahawan ini yang jatuh muflis akibat masalah kewangan Ramunia Holdings Berhad.

Tabung Haji sebaliknya terus menambah pelaburan di dalam Ramunia Holdings Berhad yang dijenamakan semula sebagai TH Heavy Engineering Berhad (“THHE”). Tabung Haji melantik wakilnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan kekal sebagai pemegang saham terbesar.

Prestasi kewangan THHE menampakkan sedikit pemulihan bagi beberapa suku kewangan sahaja sebelum sahamnya jatuh kembali. Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik Tabung Haji sebelum ini iaitu Datuk Nor Badli Mohd Alias meletakkan jawatan secara mengejut dalam tahun 2014 apabila THHE gagal menunjukkan pemulihan kewangan.

Saham THHE terkini (berdasarkan harga 22 Februari 2016) ditutup pada 14.5 sen.

shareprice

 

Oleh itu, perkiraan kerugian atas kertas pelaburan Tabung Haji di dalam THHE setakat ini adalah seperti berikut:

  RM Juta
Pelaburan asal 2008:

166,836,833 saham @ RM1.50 harga purata

 

250

   
Nilai terkini 22 Februari 2016:

334,162,107 saham @ RM0.145

(jumlah saham selepas penstrukturan)

 

48

   
Kerugian atas kertas 202

 

Paling membimbangkan, THHE terpaksa pula beroperasi dalam suasana harga minyak mentah yang rendah yang dijangkakan berterusan sehingga 5 hingga 8 tahun akan datang. Ini akan menyebabkan tidak banyak kontrak-kontrak pembinaan huluan yang boleh dibida kerana syarikat-syarikat minyak memotong perbelanjaan kapital mereka dalam tempoh tersebut.

Tabung Haji terus memberi sokongan kewangan walaupun prospek THHE membimbangkan. Apabila THHE menerbitkan “Islamic irredeemable cumulative preference shares” (ICPS), terbitan itu tidak mendapat sambutan yang baik oleh pelabur lain tetapi Tabung Haji menyuntik RM275 juta ke dalam THHE dengan melanggan ICPS tersebut.

Kontroversi terkini ialah dokumen yang bocor dari Tabung Haji dalam Januari yang lalu yang menunjukkan Tabung Haji melanggar akta dan undang-undang penubuhannya apabila ia memberikan jaminan korporat (“corporate guarantee”) kepada THHE berjumlah RM981 juta (seperti dihuraikan di dalam Laporan Risiko Pelaburan) sedangkan THHE bukanlah anak syarikat Tabung Haji (kerana pegangan saham Tabung Haji hanyalah 29.81% setakat 10 April 2015). Maklumat di dalam Laporan Risiko Pelaburan tersebut menunjukkan bahawa kelulusan pengurusan Tabung Haji untuk memberikan jaminan korporat kepada THHE itu dibuat sekitar November atau Disember 2015.

THHECG1

THHECG2

THHECG3

THHECG4

 

Oleh yang demikian, risiko pelaburan Tabung Haji di dalam THHE kini mencecah sekurang-kurangnya RM1.4 bilion (iaitu kerugian saham pada nilaian RM100 juta bagi keseluruhan pegangan saham, ICPS sebanyak RM275 juta, sukuk sebanyak RM50 juta dan jaminan korporat sebanyak RM981 juta). Risiko pelaburan ini akan lebih tinggi melangkau RM1.4 bilion apabila harga saham THHE jatuh di bawah paras 30 sen satu saham.

Soalan saya yang paling utama: sejauh mana Tabung Haji akan menyuntik lebih banyak dana pendeposit di dalam THHE untuk bertahan dalam tempoh 5 hingga 8 tahun kejatuhan harga minyak mentah ini, sedangkan ia gagal memulihkan THHE dalam tahun-tahun 2008 hingga 2014 pada ketika harga minyak mentah memuncak?

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Laporan Polis Di Bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan Atas Pecah Amanah (“Criminal Breach Of Trust”) Terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak, Datuk K.K.Eswaran Dan Dato’ M Davendran Kerana Menyalahgunakan Dana Awam Bagi Kempen BN Dalam PRU13

Berdasarkan bukti-bukti yang telah ditunjukkan setakat ini, adalah jelas bahawa dana awam telah digunakan untuk membiayai kempen BN dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) yang lalu. Lebih teruk lagi apabila dana awam ini diumumkan sebagai “derma” pilihanraya kepada ahli-ahli Majlis Pengurusan MAICCI.

Saya percaya individu-individu terbabit seperti berikut perlu disiasat di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan kerana disyaki pecah amanah (dan seksyen-seksyen lain yang berkaitan):

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada semua kelulusan peruntukan. Oleh itu, beliau boleh dikira pecah amanah kerana meluluskan peruntukan dana awam bagi tujuan yang mendatangkan keuntungan kepada beliau sendiri sebagai Pengerusi BN

2. Datuk K.K.Eswaran yang menggunakan kedudukan beliau sebagai Presiden MAICCI untuk mendapatkan dana awam dari Kementerian Kewangan yang kemudiannya tidak digunakan bagi tujuan seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan/piagam MAICCI, sebaliknya untuk kempen politik

3. Dato’ M Davendra yang menggunakan kedudukan beliau sebagai Setiausaha Kehormat MAICCI untuk menggunakan dana awam yang mendatangkan keuntungan kepada beliau sendiri sebagai bekas ADUN yang mungkin bertanding di dalam PRU13

Saya akan membuat laporan polis terhadap 3 individu ini pada hari esok, Khamis 25 Februari 2016 jam 2 petang di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

MANIVANNAN GOWIN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT
AHLI PARLIMEN KAPAR

Bukti Perbelanjaan Kempen Barisan Nasional Dalam PRU13 Yang Menggunakan Dana Awam

Saya telah tampilkan bukti bagaimana geran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2 juta telah dipindahkan kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) pada 22 April 2013 yang kemudiannya diisytiharkan sebagai “derma” bagi membiayai perbelanjaan kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) oleh presiden MAICCI Datuk K.K.Eswaran.

Hari ini, saya bentangkan bukti-bukti bagaimana dana awam RM2 juta itu telah dibelanjakan oleh individu-individu tertentu untuk menjalankan kempen BN. Perincian perbelanjaan ini boleh disemak melalui dokumen-dokumen berikut:

1. “Payment Summary” berjumlah RM954,678.10 yang menunjukkan secara terperinci segala perbelanjaan bagi kempen BN untuk masyarakat India di beberapa negeri tertentu. Sebahagian dari program yang dibiayai (seperti program Sahabat BN di Melaka, Sahabat BN di Klang dan lain-lain) telah pun disahkan melalui liputan-liputan berita yang saya senaraikan di dalam sidang media semalam

Download (PDF, 175KB)

2. “Payment Voucher” bernombor 7(14) bertarikh 4 Ogos 2014 sebanyak RM185,000 kepada Datuk K.K.Eswaran sebagai bayaran balik kepada perbelanjaan kempen PRU13 yang didahulukan oleh beliau

Download (PDF, 32KB)

3. “Payment Voucher” bertarikh 8 Mei 2013 kepada Narish Enterprise sebanyak RM50,000 sebagai bayaran kepada jentera pilihanraya BN Pahang (Dato’ M. Davendran, Setiausaha Kehormat MAICCI adalah bekas Pengerusi MIC Pahang dan bekas ADUN Sabai, Pahang)

Download (PDF, 32KB)

4. “Payment Voucher” bertarikh 3 Mei 2013 kepada Teraju Muda Sdn Bhd sebanyak RM500,000 bagi penyediaan CD program Sahabat BN. Teraju Muda Sdn Bhd adalah syarikat RM2 yang didaftarkan di Johor Bahru. 2 orang pengarahnya adalah bekas pegawai kanan kerajaan iaitu Dato’ Shahrom Abdul Majid (bekas Ketua Pengarah Jabatan Perikanan) dan Dato’ Mohd Ali Samad (bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan)

Download (PDF, 129KB)

Saya juga telah menyemak pembayaran invois dan baucer bayaran ini dengan penyata bank MAICCI dan boleh mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Cek bagi bayaran RM185,000 kepada Datuk K.K.Eswaran telah dilunaskan pada 7 Ogos 2014

2. Cek-cek bagi bayaran berjumlah RM954,678.10 (kepada Datuk K.K.Eswaran, nombor cek 719603), RM50,000 (nombor cek 719604) dan RM500,000 (nombor cek 719602) seperti perincian di atas telah dilunaskan pada tarikh yang sama dalam bulan Mei 2013 (salinan penyata bank tidak jelas dan tidak dapat dipastikan pada hari apa)

3. Satu lagi cek bernilai RM420,000 (nombor cek 719601) dilunaskan pada tarikh yang sama dalam bulan Mei 2013 (salinan penyata bank tidak jelas dan tidak dapat dipastikan pada hari apa) seperti cek-cek di atas iaitu bayaran bagi kemeja-T kempen pilihanraya BN kepada Impak Dermaga Sdn Bhd

Ini menjadikan jumlah keseluruhan bayaran yang dibuat oleh MAICCI bagi perbelanjaan kempen BN bagi PRU13 adalah RM2,109,678.10. Saya juga boleh mengesahkan melalui semakan penyata bank bahawa kesemua RM2 juta yang dipindahkan oleh Kementerian Kewangan sebagai “geran” kepada MAICCI telah digunakan bagi perbelanjaan-perbelanjaan yang diperincikan di atas.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pelaburan Tabung Haji Di Dalam Syarikat Roti Silverbird: Saham Dibeli Pada Premium 177%, Kerugian RM90 Juta

Salah satu pelaburan Tabung Haji sebelum ini yang mengundang kontroversi ialah pembelian saham-saham di dalam syarikat pembuat roti Silverbird Group Berhad (pembuat roti High-5) di dalam tahun 2007 pada harga yang cukup tinggi sehinggakan menyebabkan kerugian apabila syarikat itu akhirnya diisytiharkan tidak mampu menampung perbelanjaan perniagaan dalam tahun 2012.

Tabung Haji mula membeli saham-saham Silverbird secara agresif dalam masa sebulan di antara September hingga Oktober 2007 sehingga melonjakkan harga saham Silverbird dari 39 sen sesaham (awal September 2007) kepada RM1.08 sesaham pada 16 Oktober 2007. Kesemua saham-saham Silverbird dibeli oleh Tabung Haji dalam tempoh tidak sampai 1 bulan sehingga ia muncul sebagai pemegang saham terbesar Silverbird pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2007, seperti berikut:

shareholding2007

Download (PDF, 1.25MB)

Berdasarkan harga asal saham Silverbird pada 39 sen sesaham, ini bermakna anggaran pelaburan Tabung Haji di dalam Silverbird dalam bulan September 2007 mencecah RM98 juta (mengambil kira Tabung Haji membeli pada ketika harga telah naik mendadak).

Seorang lagi pemegang saham terbesar pada ketika harga saham Silverbird mula naik mendadak (kerana pembelian agresif oleh Tabung Haji) adalah Tan Sri Vincent Tan. Pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2007, Tan Sri Vincent Tan juga muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar Silverbird dengan pegangan (langsung dan tidak langsung) sebanyak 22.79%. Sudah tentu keghairahan Tabung Haji membeli saham Silverbird secara agresif turut sama menguntungkan Tan Sri Vincent Tan yang nilai sahamnya di dalam Silverbird turut naik.

Malangnya, prestasi operasi dan kewangan Silverbird merudum selepas itu dan tidak memberangsangkan. Menjelang tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2011, Silverbird telah mencatatkan kerugian terkumpul (“accumulated losses”) sebanyak RM44 juta, seperti berikut:

accumulatedlosses

Download (PDF, 592KB)

Harga sahamnya terus merudum dan dalam tahun 2012 syarikat ini digantung dan disenaraikan sebagai syarikat berstatus PN17.

Apabila disenaraikan semula, harga sahamnya tidak pernah pulih dan pelbagai masalah pengurusan dan dakwaan penyelewengan kewangan yang timbul menyebabkan prestasi saham dan kewangannya tidak memungkinkan Tabung Haji mendapat kembali pelaburan asal.

Semakan Laporan Tahunan Silverbird menunjukkan Tabung Haji menjual saham-sahamnya di antara 28 Februari 2013 dan 28 Februari 2014 (rujuk Analisa Pemegang Saham yang disertakan di bawah):

shareholding2013

Download (PDF, 2.51MB)

shareholding2014

Download (PDF, 1.79MB)

Oleh itu, semasa Tabung Haji menjual saham-sahamnya, harga saham Silverbird sepanjang tempoh itu pada puratanya adalah sekitar 10 sen sesaham (rujuk carta harga saham di bawah):

shareprice

Pada harga tersebut, Tabung Haji diunjurkan mengalami kerugian sekitar RM90 juta dari pelaburan asal asal berjumlah RM98 juta. Sudah tentu jika dana RM98 juta ini dilaburkan di dalam perniagaan yang lebih menguntungkan, nilainya akan bertambah menjelang 2014 dan kerugian yang ditanggung Tabung Haji (mengambil kira kos pelaburan terlepas) adalah lebih tinggi dari RM90 juta.

Oleh yang demikian, kepimpinan Tabung Haji wajar memberi penjelasan-penjelasan berikut:

1. Kenapa Tabung Haji membeli saham Silverbird secara mendadak sehingga melonjakkan harga sahamnya dalam tempoh sebulan dalam tahun 2007 dan menyebabkan Tabung Haji membayar premium 177%?

2. Bagaimana Tabung Haji boleh membuat kesilapan pelaburan sehingga rugi RM90 juta pelaburan asal dalam tahun 2007?

3. Berapa jumlah sebenar pelaburan dan kerugian terkumpul Tabung Haji di dalam Silverbird setakat ini dan siapakah yang telah dibawa ke muka pengadilan akibat kesilapan ini?

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: